Kejayaan dakwah para anbiya ialah pada keikhlasan mereka dan istiqamah memegang dan mempertahankan prinsip. Kemenangan bukanlah suatu kemestian dalam dakwah. Ramai juga para anbiya yang tidak menang. Bahkan dalam hadith yang sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim baginda bersabda: “Ditunjukkan padaku berbagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua orang pengikut. Ada yang bersama sekumpulan (kurang daripada sepuluh orang). Adapula nabi yang tiada seorang pun bersamanya…”. Namun tiada seorang nabi pun yang mengubah prinsipnya kerana inginkan pengikut. Sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s. seperti yang dirakamkan oleh al-Quran dalam surah Nuh.
Pendekatan dan cara boleh berubah. Prinsip dan inti adalah tonggak yang kekal dalam seruan. Perjuangan para anbiya ialah perjuangan menegak aqidah tauhid yang tulus dan murni dari sebarang unsur kesyirikan. Syariat yang hendak ditegakkan ialah syariat yang bertunjangkan tauhid dan perlambangan kepada pengabdian diri kepada ALLAH. Berkembanglah dari situ asas-asas keadilan untuk manusia yang merupakan penjelmaan syariat yang bertunjangkan tauhid itu. Para pengikut manhaj anbiya dan salaf bagi umat ini seiras dan seiring dalam isu prinsip ini. Mereka tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas. Pendekatan mereka mungkin berbeza. Tetapi akidah dan prinsipnya sama.
Adalah malang, jika jamaah atau kumpulan atau individu yang tidak tahu apakah prinsip yang menjadi teras kepada perjuangannya. Maka kita lihat berpecah-pecah pendirian antara mereka dalam masalah prinsip. Mereka hanya bertemu dan seragam dalam isu-isu semasa. Seperti ada yang sokong akidah Syiah, ada Mu’tazilah, ada penyeru para wali dan yang pula berakidah ahli sunnah. Soal prinsip berbeza. Namun soal senjata nuklear, isu perundangan dan beberapa perkara semasa kelihatan sama. Ini bercanggahan dengan rupa bentuk dakwah anbiya dan generasi salaf. Mereka mungkin berbeza dalam sesuatu isu dan pendekatan, namun mereka tegas dan tegap dalam masalah prinsip.
Dalam Islam ada politik. Seperti mana adanya ekonomi, pendidikan dan selainnya. Namun teras kepada semua itu adalah akidah dan usul-usul yang menjadi prinsip Islam. Seseorang yang hendak menganut Islam, tidak boleh masuk melalui pintu siasah atau ekonomi. Dia mesti masuk melalui pintu tauhid dan mengenali prinsip-prinsip Islam.
Seorang muslim yang berdakwah hendaklah menyerukan kepada Islam sebagai al-din. Bukan Islam sebagai parti atau jemaah atau daulah. Seseorang mungkin tidak memiliki jamaah atau kumpulan atau daulah yang diidami, tetapi ia mesti memiliki akidah dan ibadah kepada ALLAH dalam wajah zahir dan batin pengabdian diri tanpa sebarang pencemaran. Pendakwah muslim gembira melihat seseorang berpegang dengan Islam, sekalipun tidak menyertai organisasinya atau menyumbang kepadanya. Dia menyeru rakyat dan pemerintah agar menerima akidah terhadap al-Quran dan al-Sunnah sebagai prinsip, kemudian diikuti dengan perlaksanaan syariat dalam diri dan masyarakat. Pendakwah muslim akan dukacita melihat seseorang meninggalkan prinsip-prinsip Islam, sekalipun orang itu adalah rakan organisasinya, atau mendakwa sealiran dengannya. Pendakwah muslim tidak mempunyai kepentingan yang mengatasi prinsip dalam dakwah. Gembira dan dukacitanya melihat orang menerima atau menolak dakwah adalah kerana soal tanggungjawab hidayah bukan kerana habuan siasah atau seumpamanya.
Hal ini berbeza dengan orang politik kepartian. Dia suka jika musuhnya buat kesalahan. Supaya ada isu yang boleh diperkatakan dan menguntungkan kerja buat politiknya. Dia tidak gembira jika musuhnya berbuat positif kerana itu merugikannya. Dia akan tafsirkan kebaikan itu dengan wajah kejahatan, atau sekurang-kurang dia akan kata ‘ada udang di sebalik batu’. Jika hal yang sama dilakukan olehnya, penafsirannya berbeza. Niat musuh selalunya busuk, niatnya didakwa selalu jujur. Bagaimana dia berfikir, demikian dia menyangka orang lain juga. Semua parti politik yang goyah prinsipnya hampir semazhab dalam hal ini. Maka dalam politik musuh sekelip mata boleh bertukar menjadi kawan. Kawan dalam sekelip mata boleh bertukar menjadi musuh. Sekalipun kawan ataupun musuh tadi belum pun menukar prinsipnya. Apa yang penting, sesiapa yang menguntungkan cita-cita politik ‘kerusi’ maka dia akan dianggap kawan. Sekalipun dasar dan pegangannya berbeza. Sesiapa yang dirasakan tidak menguntungkan hasrat politiknya, maka dia musuh. Sekalipun prinsip dan pegangannya sama. Orang dakwah yang berprinsip tidak demikian. Mereka sebaliknya. Mereka bersatu atas prinsip. Lalu maaf dan memaafi perbezaaan. Mereka bercerai kerana prinsip. Sekalipun ada kepentingan luar yang sama.
Hal ini membezakan antara pendakwah dan ahli politik ala jahaliyyah. Maka orang dakwah mungkin berpolitik demi dakwah. Tetapi tidak akan berdakwah untuk kepentingan politik. Politik bagi mereka apa yang mendekatkan diri kepada Islam. Bukan mendekatkan diri kepada Islam untuk politik. Seperti tidak mungkin mendekatkan diri kepada ALLAH untuk bersolat. Namun, bersolat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Hal ini mesti difahami..
Saya seorang yang tidak pandai dalam politik kepartian. Namun saya sering menumpang dengar dan baca tentang hal ‘orang parti’. Parti apa pun sama. Hal mereka kadang-kadang lucu. Kadang-kadang pelik. Kadang-kadang menyebabkan kita marah. Dalam banyak keadaan, saya yang teramat-amat daif ini melihat kerenah mereka, rasa syukur kerana bukan ahli politik dan menyebut seperti firman ALLAH Surah al-A’raf ayat 43: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami. Tidak sekali-kali kami akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami”.
Saya ada sahabat yang kuat politiknya. Dia selalu emailkan kepada saya berbagai isu politik. Entah berapa banyak yang telah saya perolehi, jumlahnya tidak terhitung. Emailnya sebelum ini selalu mencerca dan mengutuk habis-habisan mantan perdana menteri. Baginya tidak ada nilai baik walaupun sedikit. Kadang kala dia semacam mengkafirkan. Atau sekurang-kurang dihukum kekal neraka sebelum keputusan Mahsyar. Namun ada perkembangan yang memeranjatkan. Saya pun hairan dan teramat pelik. Kebelakangan ini dia memuji kembali. Dia mengkritik PM sekarang kerana enggan mendengar nasihat bernas mantan perdana menteri berkenaan.
Namun apabila saya renungi, ini adalah cara hidupnya barangkali. Dahulu ketika mantan Timbalan Perdana (DSAI) berada dalam kerajaan, dia menuduh tokoh tersebut sebagai munafik, jual agama, ingin cuci najis dari dalam tong dan lain-lain. Pantang ada yang dia nampak silap melainkan dihentamnya. Apabila berlaku krisis, DSAI dibuang, dia marah-marah. Katanya; nampak sangat Dr M anti-Islam. Sebabnya, DSAI baginya adalah pejuang yang ingin menegak Islam dan memerangi rasuah. Apa sahaja perkataan yang boleh dicerca Dr M dicercanya Kutukan untuk DSAI sudah tidak kedengaran lagi. Bahkan gambar DSAI diletakkan di sana-sini. Apabila Tun Mahathir bersara, dia begitu marah PM sekarang. Dia katakan ‘Pak Lah’ boneka Tun dan hanya meneruskan dasar-dasar lama yang jahat. Apabila Tun tampil memberikan kritikan kepada PM sekarang, suatu lagi kejutan berlaku. Dalam email-emailnya dia menyokong Tun. Dia marah PM sekarang kerana tidak mendengar nasihat Tun. Tun lebih jujur dan berpengalaman, katanya. Sekarang dia kata ‘dosa lalu akan dimaafkan’. Bahkan Tun layak jadi ketua pembangkang sekarang. Saya tanya: kenapa berubah?. Dia kata : “yang penting kita bersatu lawan kerajaan”.
Dalam kebingungan itu, saya cuba mencari jawapan kepada fonomena ini. Setelah saya renung, maka fahamlah saya bahawa prinsip perjuangannya –walaupun dia agak pro Islam- ialah ayatnya: “yang penting kita bersatu lawan kerajaan”. Maka dia berubah-ubah berdasarkan pegangan itu. Apapun dapat digadaikan selagi memenuhi prinsip tersebut. Oleh kerana dia kuat parti tertentu, saya pernah bergurau dengannya: enta ni mana yang mazhab, mana yang agama? Islam tu mazhab, parti tu agama ke, atau macam mana?!. Dia jawab: enta tidak faham. Apa pun kena menang dulu, nanti kita bincang!. Saya senyum dan memohon perlindungan dari ALLAH yang Maha Memberi hidayah.
Walaupun wataknya itu sangat jelek, namun perkara seperti ini boleh menjadikan kita lebih faham nas-nas agama. Antaranya, mengapa ALLAH s.w.t menyebut dalam Surah al-‘Asr (maksudnya): Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian . Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula pesan memesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
Pesan memesan kepada kebenaran diiringan dengan pesan memesan kepada kesabaran. Ini kerana, menegakkan kebenaran memerlukan kesabaran berpegang dengannya dan menghadapi kerenah penentangnya. Jika tidak, prinsip berubah kerana kebenaran yang sudah tidak dapat dipertahankan dek jiwa yang tidak sabar dan tamakkan kemenangan. Untuk apa menang, jika prinsip tergadai?!! Namun orang politik sentiasa rasa sempit dada. Ini seacuan dengan seruannya yang sempit dan kerusi yang sedikit lagi menjadi rebutan. Jika partinya tewas dan kerusinya hilang, maka dia seakan hilang segala-galanya. Penyeru kepada Islam yang lengkap tidak demikian. Bahkan dia selalu merasai tidak sempat masa untuk menyeru dan menyempurnakan keluasan itu. Bermula soal akidah, ibadah, pendidikan, muamalat kewangan, munakahat dan segala macam yang perlu diberikan penjelasan kepada umat dan masyarakat umum. Apatah lagi di era kabur dan keliru ini. Jika ada perkembangan penerimaan dalam mana-mana bahagian Islam, dia amat gembira dan merasai keberhasilannya. Sekalipun nama tidak disebut, habuan tidak dihulurkan. Pusat daftar dirinya di langit. Pemantauan langit tidak pernah silap. Janji pahala sentiasa menanti. Dia tidak memerlukan nama partinya disebut atau nama diukir. Sebaliknya, seperti riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. dalam surat-surat baginda kepada pembesar Rom dan Parsi menulis: “Islamlah nescaya kamu selamat. ALLAH berikan kamu dua pahala”. Bukan soal ingin kuasa. Tapi soal hidayah dan saluran menyampaikan al-Kitab dan al-Sunnah. Peperangan hanya tercetus pabila suasana ruang diplomasi sudah terhapus. Politik Nabi s.a.w tidak bermula dengan konfrantasi terhadap individu pemerintah. Konfrantasinya hanya terhadap sistem yang dianuti. Jika demikian untuk pemerintah yang kafir, apatah lagi untuk pemerintah muslim dalam iklim hari ini. Dunia Barat selalu inginkan kita porak peranda. Namun mengampu pemerintah adalah dilarang sama sekali. Itu adalah kejahatan dan pengkhianatan terhadap negara dan rakyat. Demikian juga sentiasa kontra dengan pemerintah dalam semua perkara, bukanlah ajaran Islam. Bahkan itu adalah golongan sesat yang berjiwa khawarij.
Lagipun sikap melampau dalam membenci dan suka amat dilarang oleh agama. Orang politik suka orang lain taksub kepadanya. Demikian dek masa depan kuasanya. Tidak begitu RasululLah s.a.w. Baginda membantah orang yang melampau memujinya kerana dibimbangi syirik.
Al-Quran melarang kebencian yang melampau. Firman ALLAH dalam Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”
Hinanya kita umat ini apabila kita menjadi tidak berprinsip. Demikian ajaran al-Quran. ALLAH menyebut dalam Surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Nabi mengingatkan kita perkara ini. Daripada Thauban, katanya: Sabda RasululLah s.a.w.: “Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan (menjamah hidangan makanan) . Seorang sahabat bertanya "apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?" Baginda menjawab "bahkan bilangan kamu diwaktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha` (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn." Seorang sahabt bertanya pulak " Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?" Jawab Rasulullah "cinta dunia dan takut mati" (Riwayat Abu Daud. Al-Albani mensahihkannya ( Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. 2/647 Riyadh: Maktabah al-Ma`arif).
Jumlah banyak tanpa prinsip tidak memberi manfaat dan faedah kepada umat. Bagaikan buih yang boleh dipukul ke sana ke mari. Seperti yang saya sebutkan, saya bukan pandai politik kepartian ini. Namun saya ingin berkongsi perasaan yang dirasai oleh kebanyakan orang awam seperti saya. Janganlah kita hairan jika suatu hari kumpulan-kumpulan yang berlebelkan Islam ini dipinggirkan dek kerana kepercayaan yang hilang. Alangkah baiknya, jika bersederhana dalam semua hal. Jujur terhadap prinsip dan pegangan. Jika tidak, nanti kelihatan seperti apa yang disifatkan ALLAH dalam Surah al-Nahl ayat 92: (maksudnya) “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya”.
Jika ada rakan politik yang terasa, dipohon kemaafan. Saya bukan pesaing mereka di medan tersebut. Jangan bimbang, anda tidak tergugat kerana tulisan ini. Namun yang menggugat anda ialah pendirian yang berbolak-balik mengikut arus tanpa paksi yang teguh. Kembalilah kepada Islam tulen. Tulisan ini hanya lontaran seorang insan awam yang tidak pandai sepak terajang orang politik. Namun sedikit sebanyak pengetahuan Islam yang pernah dipelajari menjadikan saya yakin jalan yang anda tempuhi wajar dibetulkan.
Apakah ertinya kemenangan, jika kita tiada prinsip sejak perjuangan dilancarkan?!! Kemudian, dalam kesibukan kita ke sana dan ke sini dengan segala macam aktivitinya, mungkin kita lupa bertanya, kerana siapa kita berjuang?! untuk siapa pula perjuangan ini?!! Dan atas manhaj siapa kita lusuri perjuangan ini?!
Justeru baginda Nabi s.a.w selalu menyebut: “Wahai Yang Membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agamaMu” (Sahih, Riwayat al-Tirmizi). Jika demikian baginda, betapa insan lain memerlukan lebih lagi doa istiqamah. Sebelum hendak beristiqamah dia perlu memahami dengan jelas, apakah prinsip yang dipegang untuk dia beristiqamah dengannya?! Jika tidak istiqamah hanya menjadi slogan kosong tanpa erti. Ada orang selalu sebut “saya istiqamah dengan perjuangan”. Namun apabila ditanya: apa yang anda perjuangkan?! Jawabnya: Islam. Ditanya:Islam yang bagaimana yang anda perjuangkan. Hari ini semua menyebut slogan yang sama. Dia tergamam untuk menghuraikan. Atau dia mungkin terkeliru, antara maksud istiqamah di atas Islam yang tulen, dengan aktif dalam sesebuah organisasi!.
Kejelasan prinsip yang bertunjangkan Islam tulen akan menjadikan wajah Islam jelas di hadapan mata, berlapang dada demi prinsip, dapat membezakan setiap isu dengan ukuran prinsip, nampak hala tuju, tidak berputar-putar pendiriannya, sedia mengakui kesilapan demi prinsip, mengenal dengan baik antara sahabat dan bukan, amanah terhadap ilmu dan berbagai lagi. Kita mungkin tersilap dalam tindakan, amalan dan akhlak. Tetapi kita tidak boleh tersilap hingga menggadaikan akidah dan prinsip. Terhoyong-hayang tanpa panduan.
Kita pasti pulang kepada ALLAH. Justeru, jadikanlah segala percaturan yang mengundang keletihan dan kepenatan ini mendapat pahala. Untuk saya, jika mampu saya ingin jadi pendakwah kepada Islam yang tulen. Ingin mempelajari bagaimana berpegang dengan prinsip. Saya masih berusaha.
Adapun siasah, jika berubah-ubah pegangan manusia kerananya, pohon perlindungan dengan ALLAH dari siasah yang seperti itu. Tidak mengapalah jika tidak pandai siasah kepartian selagi tiada menjual pendirian dan hilang panduan. Orang politik! saya pohon kemaafan..