Sunday, October 28, 2007

Riba di sebalik caj perkhidmatan PTPTN

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

KESEDIAAN kerajaan untuk meneliti caj pentadbiran yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagaimana jaminan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi awal minggu ini pastilah mampu mengukir senyuman di kalangan penuntut menara gading yang kebanyakannya merupakan peminjam PTPTN. Ketika ini PTPTN mengenakan caj pentadbiran sebanyak tiga peratus berasaskan jumlah pinjaman pada setiap tahun kepada para pelajar yang meminjam daripada tabung tersebut.

Penulis turut berkongsi kelegaan dan kegembiraan dengan jaminan tersebut. Apatah lagi harapan penulis selama ini agar tabung pendidikan yang ditubuh khas kerajaan untuk memberi bantuan pinjaman kepada para pelajar bebas daripada unsur-unsur riba tampak semakin menjadi kenyataan.

Sejak awal diperkenalkan, isu caj perkhidmatan ini sememangnya tidak sunyi daripada polemik perdebatan di kalangan massa. Isu ini kembali menjadi tumpuan lebih-lebih lagi ketika kerajaan dilihat begitu serius dalam usaha memperhebatkan perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam di negara ini. Pelbagai kempen yang dijalankan tampak semakin berjaya meningkatkan kesedaran rakyat mengenai halal haram dalam urusniaga muamalah khususnya berkaitan riba.

Sememangnya pembangunan sistem alternatif yang bebas riba amat bertepatan dengan amaran Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah:278).

Kecelakaan riba ini turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang mengingatkan dalam satu hadis: “Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seseorang lelaki berzina dengan ibunya sendiri.” (At-Tabrani, 7/158; Riwayat Al-Hakim).

Demikianlah bahana riba yang dikategorikan sebagai dosa besar yang bukan sahaja diumpamakan seperti berzina dengan ibu kandung sendiri malah lebih parah lagi sehinggakan Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap pengamalnya.

Sebab itulah dalam konteks urusniaga kewangan semasa, ulama banyak memperincikan garis panduan berasaskan prinsip syarak dalam memastikan urusan muamalah umat benar-benar bebas daripada unsur-unsur riba yang diharamkan.

Salah satu bentuk riba yang jelas diharamkan oleh Islam ialah riba yang terkait dengan amalan memberi hutang atau dinamakan sebagai Riba Al-Qard atau Riba Al-Duyun. Dalam konteks ini, syariat jelas memperincikan bahawa hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah mahupun perkhidmatan. Prinsip ini turut dipertegaskan dalam satu hadis: “Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman maka ia adalah riba”.

Majlis fatwa antarabangsa yang mengawal selia operasi sistem kewangan Islam seperti AAOIFI menyataka bahawa, “semua faedah atau lebihan (daripada jumlah yang dipinjam) yang dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat pada awal kontrak ataupun dikenakan ketika kelewatan membayar balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan atau apa-apa manfaat lain dilarang dan adalah riba”.

Berkenaan dengan kos perkhidmatan pula, Majlis Syariah AAOIFI dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah OIC (Persidangan Negara-negara Islam), mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal sahaja. Manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.

Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti 1 peratus, 2 peratus ataupun 3 peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah yang dikatakan riba kerana manfaat diperoleh daripada nilai hutang yang diberikan dan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar.

Sebaliknya yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa OIC tadi ialah apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Sebagai contoh, sekiranya kos pengurusan sebenar (termasuk kos dokumentasi, peguam, cukai setem dan lain-lain) bagi setiap transaksi adalah sebanyak RM600. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan.

Demikianlah perincian yang dilakukan oleh para ulama dalam memperhalusi isu riba dalam urusniaga kewangan khususnya dalam aspek pemberian pinjaman yang sudah menjadi asam garam kehidupan hari ini. Apa yang penting elemen riba tidak boleh dikompromi sama sekali dalam upaya mencari jalan keluar bagi mempermudahkan urusan kehidupan masyarakat.

Justeru, amat bertepatanlah langkah kerajaan untuk menilai kembali kaedah caj perkhidmatan yang dikenakan dalam memberikan kemudahan pinjaman pendidikan kepada para pelajar. Ia sekaligus menggambarkan kesungguhan kerajaan yang begitu prihatin dalam memartabatkan sistem kewangan Islam berteraskan prinsip syarak yang sebenar.

Friday, October 26, 2007

Semoga Anakku Menjadi Penyanyi

Belajarlah rajin-rajin, nak. Besar nanti boleh jadi doktor ke, lawyer ke, engineer ke…”. “Mak dan ayah akan usahakan segala yang termampu asalkan hasrat kau untuk masuk ke universiti akan tercapai..”.

Guru bertanya kepada murid-muridnya: “Apa cita-cita kamu?”. “Saya nak jadi pilot”. “Saya pula nak jadi cikgu”. “Saya nak jadi saintis”. “Saya nak jadi businessman”.

Kalau dahulu, inilah lebih kurang dialog-dialog yang sering kita dengar di antara anak dan ibu bapa dan murid dengan gurunya. Suatu dialog yang menggambarkan bahawa ibu bapa mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat anak-anak mereka berjaya menceburi bidang-bidang pekerjaan yang hebat dan dipandang murni. Jawapan daripada anak-anak atau murid-murid generasi dahulu juga sudah cukup membuktikan bahawa mereka adalah generasi yang berwawasan, mempunyai matlamat hidup dan menyedari peranan mereka di masa hadapan.

Tapi sekarang, lain pula yang kita dengar. Mummy bangga dengan kamu kerana terpilih ke Akademi Fantasia. “Daddy mahu kamu berusaha bersungguh-sungguh untuk pertandingan Malaysian Idol nanti”. “Saya berasa sangat seronok kerana akhirnya hasrat anak saya untuk jadi penyanyi tercapai juga akhirnya”. “Rancangan Mentor ini telah memberikan masa depan yang cerah buat anak saya”. “Abah dan ibu akan memberikan sokongan yang kuat, asalkan kau menang dalam pertandingan My Starz nanti”…


Murid-murid pula apabila ditanya guru mereka: “Apa cita-cita kamu?”. “Saya nak masuk Akademi Fantasia”. “Saya nak jadi penyanyi”. “Saya suka sangat kalau dapat masuk Malaysian Idol”.



Inilah yang kita dengar dan lihat hari ini. Jawapan-jawapan yang menggambarkan kepada kita tentang betapa tingginya harapan sesetengah ibu bapa yang mahu menjadikan anak mereka seorang penyanyi. Ibu bapa akan sangat gembira, terharu dan menangis kegembiraan jika anak mereka terpilih untuk menyertai mana-mana rancangan realiti televisyen yang ingin melahirkan “penyanyi-penyanyi segera” –kualitinya belum tahu lagi-. Sebaliknya ibu bapa ini akan berasa sedih, kecewa dan menangis kesedihan jika anak mereka gagal terpilih atau tersingkir. Sebab itu, ibu bapa ini akan sanggup berkorban demi melihat anak mereka berjaya terpilih. Malah, ada yang sanggup menjual tanah dan berhutang semata-mata ingin mempromosikan anak mereka. Ada ibu bapa lain juga terpaksa berhutang, tetapi untuk membeli buku-buku latihan dan membayar yuran-yuran pengajian anak. Bukan setakat ibu bapa, malah adik-beradik dan sanak saudara yang lain turut serta memberi sokongan padu. Sebab itu, ada yang sampai menubuhkan “fan club”, buat banner, t-shirt khas dan sebagainya. Ini semua dilakukan semata-mata untuk melihat si anak ini menjadi seorang penyanyi.

Apa sudah jadi dengan sesetengah ibu bapa yang sebegini. Mereka sedih, kecewa dan menangis apabila anak mereka tersingkir atau tidak terpilih untuk menjadi penyanyi. Tetapi mereka tidak kisah jika anak yang sama juga tidak solat lima waktu. Mereka tidak gusar jika anak mereka masih tidak pandai membaca al-Quran. Mereka tidak bimbang jika anak yang sama juga bergaul bebas tanpa batasan antara teman-teman lelaki dan perempuan. Mereka tidak sedih jika anak yang sama juga gagal di dalam peperiksaan. Mereka tidak hirau jika corak kehidupan anak-anak mereka seolah-olah hanya hidup untuk seronok dan hiburan. Mereka tidak risau jika anak yang sama juga tidak mempunyai matlamat dan arah tujuan di dalam kehidupan.

Kemana hilangnya semangat dan harapan yang ada pada ibu bapa generasi dahulu? Di mana silapnya atau siapakah yang silap? Apakah silap pihak media dan tv yang terlalu banyak menyiarkan rancangan-rancangan hiburan, tidak kira dari luar negeri mahupun artis-artis tempatan? Atau jari harus ditundingkan kepada kerajaan yang tidak menyekat dan mengawal hiburan-hiburan yang tidak berpatutan? Atau ianya salah guru-guru yang tidak memberikan nasihat dan pesanan. Atau adakah mungkin salah masyarakat yang turut menghantar sms memberikan sokongan? Atau mungkin juga salah ustaz-ustaz dan golongan agama yang tidak mengajar dan mengajak umat supaya kembali kepada panduan al-Quran dan sunnah Nabi junjungan. Atau perkara ini berlaku secara kebetulan? Atau mungkin juga ia suatu perancangan pihak lawan? Atau mungkin inilah kesannya dari dunia tanpa sempadan? Mungkin juga ini suatu lambang ketamadunan dan kemodenan sebuah bangsa yang bernama Melayu dan Islam sebagai anutan.

Generasi remaja sekarang juga seolah-olah sudah hilang hala tuju mereka. Tiada lagi jatidiri seorang bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan budaya ketimurannya. Malah yang lebih penting, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang telah diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan hakiki.

Budaya hedonisme semakin menular di kalangan mereka. Hidup ini bagaikan tiada fungsi dan tujuan, semata-mata untuk berseronok dan hiburan. Peribadi dan sunnah Rasulullah saw tidak lagi menjadi ikutan. Lebih parah, ada yang ditanya tentang latar belakang Nabi, terus digelengkan kepala dan mahu mengelak diri. Tapi, pantang ditanya tentang artis kegilaan hati, terus dijawab tanpa henti dan ragu lagi. Semuanya dapat diceritakan; dari tajuk-tajuk album dan lagu hingga berapakah biji jerawat yang ada di dagu. Di mana show dan konsert di hujung minggu, hingga berapakah saiz baju, semuanya mereka tahu. Artis barat pula semakin dijadikan kiblat arah ikutan. Apa saja yang artis-artis barat lakukan, itulah garis panduan dan contoh ikutan. Kadangkala apa yang dilakukan sememangnya melampaui batas budaya ketimuran –apatah lagi syariat- tetapi itu semua dianggap trend dan kemodenan. Mereka tidak sedar, di saat masyarakat barat yang sedang menuju ke arah kehancuran dek kerana artis-artisnya yang tidak keharuan, remaja kita pula di dalam keasyikan menyambut dan menjulang mereka seperti dewa kayangan. Dari pakaian, cara bergaul, gaya hidup, semuanya ditiru dan dipertahankan.

Kesannya, ramai yang teringin untuk menjadi penyanyi. Lihat saja sewaktu sessi temuduga untuk rancangan realiti tv, berpuluh ribu yang sanggup beratur sejak dari subuh pagi. Tidak kisah lagi jika tidak dapat masuk universiti, kerana masih ada Akademi Fantasia, My Starz, Mentor dan bermacam-macam lagi. Semua ini adalah peluang untuk mereka menjadi penyanyi. Kalau tersingkir sekali pun, mereka tetap akan jadi popular dan disanjung tinggi.

Penulis bukanlah anti kepada hiburan dan penyanyi, kerana sememangnya hiburan diperlukan oleh hati, Tetapi biarlah hiburan dan menyanyi tidak melampaui batas dan nilai-nilai murni. Bagaimana yang dikatakan tidak melampaui batas dan nilai-nilai murni? Maka, semestinya syariat agama ini dijadikan kayu ukur utama dan budaya ketimuran –yang sejajar dengan syariat- juga mesti diambil kira. Hiburan juga bukanlah menjadi suatu agenda utama untuk pembangunan umat dan negara sehinggakan semua pihak mesti berusaha untuk mencapainya. Tetapi suasana yang ada pada hari ini sebaliknya. Hiburan dan artis menjadi tajuk utama. Artis-artis lebih dikenali daripada para ilmuan dan tokoh sarjana. Tokoh-tokoh akademik, para ulamak, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan sumbangan yang telah mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan Negara. Sebaliknya, artis-artis lebih diberi pelbagai anugerah dan dijulang nama. Cerita-cerita merekalah yang memenuhi separuh ruang dari akhbar-akhbar utama. Hai….apa nak jadi dengan masyarakat kita?

Inilah gambaran fenomena yang menular di kalangan remaja dan masyarakat Malaysia sekarang ini. Apa tindakan kita? Adakah cukup sekadar mengeluh panjang dan mengkritik pihak itu dan ini? Oleh itu, penulis berharap semua pihak menyedari akan hakikat ini dan bertindak mengikut fungsi sendiri. Sekadar ingin berkongsi harapan dan permintaan penulis:

  • Untuk Ibu bapa kepada generasi di alaf ini, marilah kita renung kembali tugas, tanggungjawab dan peranan kita sebagai ibu bapa. Kita bukan sekadar memastikan anak-anak kita hanya cukup makan dan pakaian mereka, tetapi lebih jauh dari itu, kita perlu didik mereka dengan corak hidup yang berlandaskan agama, semoga kita semua dijauhkan dari azab api neraka. Firman Allah swt (bermaksud): ((Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka; yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya pula adalah malaikat yang kasar lagi keras (layanannya), mereka itu tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diarahkan kepada mereka, dan mereka melakukan apa yang disuruh)) (al-tahrim: 6). Tanamkan semangat kepada anak-anak untuk menuntut ilmu dan bentuk mereka dengan jatidiri teguh sebagai seorang Muslim di samping tidak salah kiranya kita bersama-sama mempertahankan budaya ketimuran Melayu yang sejajar dengan ajaran agama.

  • Kepada Remaja dan generasi muda harapan agama, bangsa dan negara, di hadapan kita menanti seribu satu cabaran dan dugaan yang kita belum pasti bagaimanakah bentuk dan keadaan. Bagi yang bersedia dan mempersiapkan diri dengan benteng ilmu dan kemahiran, semua itu akan mampu dihadapi, insya-Allah, dengan izin Tuhan. Tunaikan perintah Allah sebaik mungkin. Pelihara solat, jaga aurat, baca al-Quran dan fahami maksudnya, beramal dengan ilmu bukan sekadar taklid buta yang melulu. Justeru, mari kita bina jatidiri yang utuh dan teguh. Berbanggalah dengan ajaran agama dan jangan sesekali kita terpedaya dengan hasutan dan dakyah musuh durjana, yang menjelma dengan pelbagai bentuk dan rupa; Yahudi, Amerika dan konco-konconya. Letakkan matlamat hidup yang tinggi, mulia dan murni supaya dapat menabur bakti dan budi untuk agama, bangsa dan ibu pertiwi.

  • Kepada Pemimpin dan pihak-pihak yang mempunyai hak dan kuasa, gerakkan seluruh tenaga dan kuasa yang ada untuk mengawal dan membimbing rakyat jelata, agar mereka tidak terlalu lalai dan leka dengan agenda dan propaganda musuh yang sentiasa mahu melihat umat ini alpa. Hiburan yang melampaui batas agama dan budaya bangsa, perlu dikaji semula malah lebih baik untuk dihalang saja. Gerakkan rakyat untuk terus mencintai ilmu, membina nilai diri agar menjadi umat yang sentiasa disegani dan tidak lagi menjadi penghuni setia di pusat serenti. Jadikan amar ma’ruf dan nahi munkar sebagai salah satu agenda utama. Bendung dan halang segala unsur-unsur negatif yang boleh membantut dan mencemarkan gagasan Islam Hadhari yang sangat cantik jika ia dapat dilaksanakan.

  • Kepada Ustaz-ustaz dan golongan agama yang dihormati, sebarkan dakwah Islam yang tulen dan asli sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan tiga generasi yang terpuji. Bentangkan Islam dengan mudah agar ia senang untuk difahami dan dihayati. Elakkan menokok tambah sesuka hati dan jadikan hikmah sebagai kuasa untuk menambat hati. Bimbing masyarakat agar sentiasa menjadikan syariat sebagai kayu ukur dan panduan dalam setiap perkataan dan kerja buat. Semoga kita semua akan sentiasa dibawah petunjuk hidayah dan naungan rahmat.

Adakah ini harapan Ibu bapa untuk anak-anak mereka??

Semoga dengan ini, harapan kita untuk melihat umat Melayu ini kembali bermaruah dan disegani menjadi kenyataan. Kita tiada pilihan lain lagi untuk menjadi umat yang bermaruah dan dihormati kecuali kembali menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw sebagai paksi dalam semua keadaan dan segi. Inilah tajdid yang ingin kita terajui. Ayuh! Semarakkan arus tajdid ini.

abd al-razzaq muthalib ahmad

11/8/07, 11.51 pm,

Medan, Indonesia.

Sunday, October 21, 2007

Bersikap adil dalam penilaian

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

BERSIKAP adil terhadap kawan dan lawan amatlah sukar. Namun itulah tuntutan Islam yang agung ini. Hati manusia biasanya apa berpihak kepada orang yang disukai, sekalipun dia di pihak yang salah. Sukar pula untuk menyokong orang yang dibenci, sekalipun dia di pihak yang benar. Apabila perasaan tidak terkawal atau berdisiplin dengan ajaran Islam, maka insan biasanya akan mencari justifikasi untuk membela kesilapan orang disukainya. Dalam masa yang sama, dia mungkin akan mencari ruang untuk mempersalahkan musuh yang dibencinya. Sikap seperti ini menjadi barah kehidupan. Jika ia menguasai masyarakat, kebenaran akan terhapus dan kebatilan akan dibela.

Sikap ini hadir kadangkala disebabkan taksub yang berlebihan, atau kebencian yang berlebihan, atau sayang yang berlebihan, atau adanya kepentingan tertentu di sebalik kebencian yang dipamerkan atau sokongan yang diberikan. Hasilnya nanti, ketidakadilan hukuman atau penilaian akan berlaku. Kebenaran akan dinafikan hanya kerana kebencian. Kesalahan akan dinilai dengan kebaikan hanya kerana ketaksuban atau kecintaan atau kepentingan. Sebab itulah Islam memusuhi sikap yang seperti ini. Firman Allah dalam surah al- Maidah: 8: (maksudnya): Wahai orang- orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Melanggar prinsip keadilan hanya kerana kebencian adalah sikap yang hina. Demikian ajaran al-Quran. Allah menyebut dalam surah al-Nisa ayat 135:" Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan".

Kebiasaan manusia yang tidak berprinsip, akan mudah menerima khabar buruk orang yang dibencinya. Maka banyaklah berita buruk tersebar tanpa bukti dan dalil. Justeru itu Nabi s.a.w. bersabda: Cukuplah untuk seseorang itu dianggap berdusta dengan dia menceritakan setiap yang dia dengar (riwayat Muslim). Kata al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H): “Ketahuilah, tidak selamat seseorang yang menceritakan setiap apa yang dia dengar, dan seseorang tidak menjadi imam (pimpinan) sama sekali apabila dia menceritakan setiap yang dia dengar.” (Riwayat Muslim dalam Muqaddimah Sahihnya).

Hasil dari sikap yang tidak adil ini, sesetengah pihak menolak pandangan bernas seseorang hanya kerana empunya pandangan tidak satu parti, atau satu ‘kem’, atau satu ‘kapal’, atau satu mazhab dengan mereka. Lebih dari itu seseorang dimusuhi oleh partinya hanya kerana bersetuju atau menyokong pandangan parti lawan, padahal pandangan atau dasar itu benar. Lebih dahsyat lagi; kadangkala golongan parti tertentu memandang sinis orang memakai songkok, dan ada pula yang memandang sinis mereka yang memakai kopiah. Sehingga pakaian tradisi dan adat pun dimasukkan dalam kandang politik kepartian. Pemikiran seperti ini adalah lambang ketidakadilan sikap dan kemunduran minda. Sikap buruk ini dinyalakan lagi apinya oleh parti-parti yang suka mengambil kesempatan. Apabila ada tokoh yang mengkritik keputusan kerajaan dalam perkara tertentu dengan niat ikhlas dan bertujuan baik, parti-parti berkenaan jadikan itu isu politik untuk meraih undi. Ceramah dan akhbar parti pun membesarkan isu tersebut untuk kepentingan politik, bukan kebaikan rakyat. Akhirnya, yang menjadi mangsa empunya pemikiran yang baik tersebut dan ideanya juga akan turut terkorban. Politik buruk dan tidak bertamadun ini, jika berterusan akan menjuruskan masyarakat kepada cerita dongeng Hang Nadim yang dibunuh kerana ideanya yang bernas. Sikap suka bersangka buruk yang terhasil dari permusuhan atau kebencian atau kepentingan diri. Firman Allah (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa (surah al-Hujurat: 12).

Taksub adalah antara punca utama hal ini. Taksub pula berbagai-bagai; ada yang taksub kepada sesuatu mazhab, pemimpin, parti politik, bangsa dan lain-lain. Mereka ini akan menghukum sesiapa yang tidak sealiran dengan mereka sebagai tidak baik dan salah. Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqah yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka. Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan tidak berhati- hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti.” (Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al- Khadra‘). Penyakit taksub ini kadangkala mengenai golongan agama lebih parah dari golongan lain. Sentimen agama akan digunakan untuk menghukum mereka yang tidak menyokong mazhab, atau parti atau kumpulan yang mereka anuti. Di Malaysia ini umpamanya, golongan taksub ini apabila melihat ada orang yang memberikan pandangan yang berbeza dari kebiasaan adat atau nenek moyang, maka mereka akan dituduh atau difitnah sebagai kaum muda atau wahhabi. Tanpa melihat kepada dalil dan hujah yang dikemukakan. Padahal sebahagian besar mereka yang dituduh itu tidak tahu apa itu kaum muda atau wahhabi. Lebih dahsyat lagi lagi; si penuduh itu pun tidak tahu apakah sebenarnya istilah-istilah tersebut. Sikap inilah yang telah memangsa tokoh-tokoh pembaharuan Melayu; seperti Za‘ba, Syed Syeikh al-Hadi, Abu Bakar Baqir dan lain-lain. Saya masih ingat seorang yang dituduh wahhabi hanya kerana membaca buku fiqah mazhab Syafii iaitu al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafii. Buku tersebut ditulis oleh tokoh- tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafii, iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji. Namun apabila dibaca apa yang disebut dalam buku tersebut: “Daripada bidaah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya,” (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), maka si pembaca dituduh wahhabi, sedangkan buku yang dibaca adalah buku mazhab Syafii. Demikian ketidakadilan sikap. Mereka lupa kitab-kitab jawi Melayu juga menyebut hal yang sama. Tokoh jawi Melayu yang terkenal Syeikh Daud al-Fatani berkata dalam Bughyah al-Talab: “Lagi bidaah bagi orang yang kematian membuat makanan menyerukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidaah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya,” (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bidaah yang tidak elok,” (7/130). Kesemua mereka ulama tradisi Melayu, apakah mereka semua juga wahhabi?

Ada orang tuduh Perlis wahhabi. Apabila ditanya, apa itu wahhabi? Dia gagal memberi jawabannya. Ada kata wahabi macam Arab Saudi. Saya katakan: Bukan semua fatwa Perlis sama macam Arab Saudi. Wanita di Perlis umpamanya, tidak diwajibkan berpurdah. Ada yang kata kerana Perlis terima ketokohan Muhammad bin Abdul Wahhab, tokoh reformis Saudi. Saya kata: Perlis mengiktiraf kesemua mereka yang menyumbang untuk umat Islam, sama ada Muhammad bin Abdul Wahhab, atau Muhammad ‘Abduh atau Ibn Taimiyyah atau al-Ghazali atau imam-imam yang empat atau selain mereka. Ini bukan juga bererti kita memaksumkan mereka. Keinsafan dan keadilan sikap mengajar kita menghormati sumbangan ilmuwan dan sikap suka mengkafirkan tokoh tanpa alasan yang benar adalah warisan khawarij, bukan ajaran Ahli Sunah wal Jamaah. Saya sendiri tidak banyak memberikan perhatian kepada tulisan Muhammad bin Abdul Wahhab, namun saya tidak menuduhnya bukan-bukan tanpa bukti kerana itu bukan akhlak Islam. Apatah lagi apabila saya dapati tokoh-tokoh umat Islam seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah). Bahkan tokoh fiqah dunia terkenal yang sering negara kita jemput–beliau ulama dari Syria bukan Arab Saudi–Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu Muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas Hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan Muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bidaah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih.” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al- Wahhab patut dituduh wahhabi atau tidak?!

Jika hendak mencari orang yang mengutuk, setiap tokoh ada yang mengutuknya. Imam Syafii yang agung itu pun ada tokoh ilmuwan agung lain iaitu Yahya bin Ma‘in yang mempertikaikannya. Imam al-Bukhari juga dituduh oleh ulama hebat pada zamannya iaitu Muhammad bin Yahya al- Zuhli sebagai menyeleweng. Apa yang hendak dihairankan jika ada yang tersalah hukum kerana tersilap fakta. Apa yang malangnya, ada di kalangan kita yang sengaja mencari yang buruk untuk dihidangkan kepada masyarakat.

Saya bukan wahhabi, Perlis juga bukan negeri wahhabi, namun kami ingin menghargai setiap tokoh yang berjasa, dan tidak dapat menerima sikap suka kafir-mengkafir dan sesat-menyesat. Semua para imam Ahlu Sunah wal Jamaah, termasuk imam yang empat adalah rujukan kami. Kami tidak mahu mengehadkan diri kami mengambil ilmu hanya dari seorang tokoh lalu mengharamkan kesarjanaan dan keilmuan tokoh-tokoh yang lain. Bagi kami, dalil dan hujah itu yang utama, bukan siapa tokohnya. Lihatlah dunia dengan mata yang terbuka dan minda yang bercahaya.

Ketika angkasawan kita telah membelah ufuk langit, ada pihak berkuasa agama tertentu yang masih hendak kalut dengan menyesatkan atau mengkafir kaum Muslimin hanya kerana menyatakan hendaklah umat mengambil manfaat dari semua sarjana Muslim dari berbagai mazhab dan pentingkan dalil al-Quran dan sunah yang sahih. Saya amat berbahagia dengan sokongan kepada idea-idea pembaharuan yang dicetuskan. Malangnya, ada yang antipemikiran progresif dan mengambil jalan mudah dengan menuduh sesiapa yang menyeru kepada sikap dan minda terbuka sebagai wahhabi. Kenanglah arahan Allah: “Bersikap adillah, sesungguhnya adil itu lebih dekat kepada takwa”.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/


Thursday, October 11, 2007

Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri!!!


Hari Raya Juga Ibadah, Mesti Disambut Mengikut Sunnah

Oleh:

Abd Razak Abd Muthalib

Ramadhan semakin melabuhkan tirainya dan Syawal bakal menjelma. Ketibaan Syawal ini merupakan salah satu anugerah dan rahmat Ilahi buat hamba-hamba yang telah membuktikan kehambaan dengan taat dan patuh kepada perintahNya. Ibadah puasa semakin sempurna kita tunaikan. Sebagai balasannya, disediakan satu hari untuk kita bergembira dan meraikan kejayaan ini. Seperti mana puasa ini satu ibadah, hari raya juga adalah satu ibadah. Apabila ibadah, maka ia terikat dengan syarat-syarat dan ciri-ciri yang menepati sesuatu ibadah, supaya ianya diterima sebagai amal soleh. Mana-mana ibadah yang tidak menepati ciri-ciri ini, maka tidak akan diterima. Syarat-syarat tersebut ialah: ikhlas dan menepati sunnah Nabi saw.

Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat terakhir surah al-Kahfi menyatakan: ((Sesiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah dia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)). (Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cet.1, 2000), jil. 3, hal. 111)

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut dan meraikan hari raya ini dengan berpandukan sunnah Rasulullah saw dan contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Baginda.

Anugerah dan rahmat Allah buat umat Muhammad saw

Sedar atau pun tidak, ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha yang kita raikannya saban tahun ini merupakan salah satu rahmat dan anugerah Allah swt buat umat ini.

Daripada Anas r.a berkata: Selepas Nabi saw tiba di Madinah, Baginda mendapati bahawa penduduk Madinah mempunyai dua hari yang mereka raikannya pada zaman jahiliyah. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku sampai kepada kamu semua dan aku dapati ada dua hari yang kamu semua raikannya pada zaman Jahiliyah, dan sesungguhnya Allah swt telah menggantikannya bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik daripadanya: hari raya korban dan I’dil fitri)). (Hadith sahih, riwayat Ahmad (3/103), Abu Daud (1134) al-Nasa’ie (3/179)

Syaikh Ahmad Abd al-Rahman al-Banna berkata: “Ini kerana hari I’dil fitri dan hari raya korban ini merupakan syariat Allah, dipilih oleh Allah untuk makhluk ciptaanNya, dan kedua-duanya juga datang selepas daripada perlaksanaan dua rukun yang besar daripada rukun-rukun Islam, iaitu: haji dan puasa. Pada kedua-dua rukun ini, Allah swt akan mengampunkan dosa mereka yang menunaikan haji dan mereka yang berpuasa, dan Dia mencurahkan rahmatNya ke atas makhluk ciptaanNYa yang taat…”. (Al-Halabi, ‘Ali Hasan, Ahkam al-‘Idyain (Amman: Al-Maktabah al-Islamiyah, Cet.2, 1993), m/s 15).

Sunnah di dalam menyambut hari raya

1) Mandi sunat sebelum keluar pergi ke tempat sembahyang

Daripada Nafi’meriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar mandi pada hari raya ‘idul fitri sebelum beliau keluar ke tempat sembahyang. (Diriwayatkan oleh Malik, Nafi’ dan Abd al-Razzaq,dan sanadnya sahih).

Al-Imam Sa’id bin al-Musayyib berkata: Ada tiga sunnah pada hari ‘Idul Fitri: berjalan ke tempat sembahyang, makan sebelum keluar, mandi”. (Diriwayatkan oleh al-Firyabi dengan sanad yang sahih, Irwa’ al-Ghalil (2/104)

2) Berhias dan bercantik-cantik pada hari raya.

Ini berdasarkan hadith Ibn Umar yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (886), Muslim (2968), Abu Daud (1076), al-Nasa’ie (3/181).

Al-Imam Ibn al-Qayyim menyebut di dalam kitabnya Zaad al-Maad, bahawa Nabi saw memakai pakaian yang paling cantik untuk kedua-dua hari raya. (Ibn al-Qayyim, Zaad al-Maad, 1/441)

Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Ibn Abi al-Dunya dan al-Baihaqi telah meriwayatkan dengan sanad yang sahih kepada Ibn Umar bahawa dia (Ibn Umar) memakai pakaiannya yang paling baik pada kedua-dua hari raya”.

3) Makan sebelum keluar ke tempat sembahyang

Daripada Anas bin Malik berkata: ((Rasulullah saw tidak keluar pada hari ‘Idul Fitri sehinggalah Baginda makan beberapa biji tamar terlebih dahulu)). (Riwayat al-Bukhari (953), al-Tirmizi (543), Ibn Majah (1754).

Al-Imam al-Muhallab berkata: Hikmah supaya disuruh makan terlebih dahulu sebelum sembahyang ialah supaya seseorang itu tidak menyangka yang dia masih berpuasa sehingga dia menunaikan solat hari raya, jadi seolah-olah Baginda saw ingin mengelakkan perkara ini. (Ibn Hajar, Fath al-Bari, 2/447).

Ibn al-Qayyim al-Jauziyah berkata: ((…ada pun pada hari ‘Idul Adha, Baginda saw tidak makan sehinggalah selepas Baginda pulang dari tempat sembahyang, maka Baginda makan daging sembelihannya)). (Ibn al-Qayyim, Zaad al-Ma’ad, 1/441)

4) Menunaikan solat hari raya dan sunnah solat ini dilakukan di kawasan tanah lapang.

Daripada Abi Sa’id al-Khudri r.a berkata: ((Rasulullah saw keluar pada hari ‘idil fitri dan ‘idil adha ke kawasan tempat solat, maka yang pertama Baginda mulakan ialah solat…)).

(Riwayat al-Bukhari (956), Muslim (889), al-Nasa’ie (3/187).

Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki berkata: “Sunnah yang telah lalu di dalam solat dua hari raya ini ialah ianya dilakukan di kawasan lapang (yang disediakan untuk solat), kerana Nabi saw pernah bersabda: ((Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di masjid-masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram)), namun, walaupun dengan fadhilat yang besar ini, Baginda saw tetap keluar dan meninggalkannya (tidak solat di masjid Nabawi).

5) Pergi dan pulang dari tempat sembahyang menggunakan jalan yang berbeza

Daripada Jabir bin Abdullah r.a berkata: ((Nabi saw pada hari raya menggunakan jalan yang berbeza)). (al-Bukhari (986)

6) Melaungkan takbir

((Nabi saw keluar pada hari raya ‘idil fitri (ke tempat solat), lalu Baginda saw bertakbir hinggalah sampai di tempat solat dan sehingga ditunaikan solat. Apabila telah ditunaikan solat, maka dihentikan takbir”. (Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam “al-Musannaf”, al-Muhamili di dalam “kitab Sifat al-‘Idyain” dengan sanad yang sahih, tetapi ia adalah mursal. Tetapi ada syawahid lain yang menguatkannnya. Lihat: Sislsilah Ahadith al-Sahihah (170).

Ibn Umar juga pada hari ‘idul Fitri dan ‘Idul Adha melaungkan takbir dengan kuat sehinggalah dia sampai ke tempat sembahyang, kemudian beliau bertakbir lagi sehinggalah datang imam. (Riwayat al-Daruqutni dan Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih. Lihat Irwa’ al-Ghalil (650).

Seronok beraya, solat jangan lupa

Memang seronok apabila tibanya hari raya. Dari kanak-kanak, remaja hinggalah orang dewasa semuanya gembira dan seronok meraikan hari mulia ini. Masing-masing dengan cara tersendiri. Kanak-kanak semangat mengumpul duit raya. Golongan remaja saling ziarah menziarahi rumah kawan dan sahabat handai. Golongan dewasa pula gembira menerima dan melayan para tetamu. Inilah, betapa harmoninya suasana hari ini.

Namun, alangkah malangnya jika keharmonian dan kemuliaan hari ini, dicemari dengan dosa dan maksiat. Menyambut hari raya adalah ibadah. Apakah patut kita melakukan ibadah dengan mengabaikan ibadah yang lain. Oleh itu, mari kita saling berpesan dan nasihat menasihati ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai: “raya, raya juga, solat jangan lupa!!”.

Saling bersalaman, jangan sampai melanggar batasan

Sememangnya tradisi ziarah menziarahi sanak saudara jiran tetangga merupakan amalan yang dipuji oleh Islam. Biasanya kita akan saling bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Tetapi jangan pula sampai terlanggar batasan. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram tidak boleh bersalaman. Ingat, kita ada adab dan batas syariat. Biarlah di hari raya ini kita dikurniakan berkat. Jangan cemarkan ia dengan maksiat.

Ramadhan tahun depan, adakah kita berkesempatan?

Tiada siapa yang dapat menjawab soalan ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjadikan didikan dan amalan yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini berterusan hingga bulan-bulan seterusnya. Doa dan harapan kita supaya kita diizinkan lagi untuk bertemu Ramadhan tahun hadapan, bulan rahmat yang penuh keberkatan. Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri!!!

Tuesday, October 09, 2007

Penghalang Fikiran yang Jelas


Terdapat beberapa penghalang yang menghalang kemampuan kita untuk berfikir secara jelas dan waras. Perkara-perkara tersebut selalunya menghalang daripada kita membuat pembetulan terhadap salahfaham kita dan merupakan penghadang yang besar dalam mempunyai kefahaman mengenai Al-Quran dan ajaran Islam yang lain. Perkara tersebut juga menghalang kita dari benar –benar menghargai dan menyertai dalan dunia sekeliling lalu, memundur kemajuan saintifik, teknologi dan budaya kita.

Diantara perkara tersebut ialah:

1) Bertaqlid Buta

Salah satu penghalang utama kepada pemikiran yang waras ialah mengikut secara buta. Menurut seorang ahli fuqaha yang terkenal Ibn `Abd al-Barr "ia adalah satu perkara yang di persetujui oleh keseluruhan para Ulama (Ijma’) yang mana seorang yang bertaqlid buta tidak boleh diterima sebagai Ahl Ilm’(Ulama)" . Beliau merujuk kepada sesetengah orang yang mengikut secara buta para fuqaha yang lain dalam bidang Usul Al-Fiqh.

Adalah kerana , bertaqlid buta dalam segala perkara dalam pemikiran , kehidupan dan kepercayaan menjadi punca utama masyarakat Jahiliyyah Mekah , menolak untuk menerima Islam. Allah berfirman : Dan apabila dikatakan kepada mereka:

"Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?" [Sûrah al-Baqarah: 170]

Penerimaan tanpa berfikir , apa dari nenek moyang atau dari orang lain akan menjuruskan kita kepada menutup pemikiran waras seseorang secara keseluruhannya . Ia adalah pendekatan seperti binatang yang menghalang dari harapan petunjuk , perubahan dan pembangunan.


Rasulullah SAW besabda: “Jangan hanya mengikut trend orang ramai ,sehingga jika mereka berlaku betul , maka kamu berlaku betul juga ,dan apabila orang mula melakukan maksiat , maka kamu mengikut serta dan melakukan maksiat bersama mereka . Sepatutnya, kamu perlu apabila mereka melakukan kebaikan , kamu lakukan kebaikan bersama mereka ,dan apabila mereka menjadi maksiat , kamu menjauhi mereka dari melakukan maksiat.”

2) Tekanan Sosial

Bukti Sosial dan tekanan ialah “ pemikiran berkelompok” mampu menekan seseorang individu , maka ini adalah penghalang kepada pemikiran yang jelas. Ini adalah sebab Allah mengutuskan RasulNya SAW untuk mengarahkan kaum Jahiliyyah Makkah untuk menjauhkan diri mereka dari tekanan tersebut ,supaya mereka dapat berfikir dengan jujur tentang Wahyu yang di berikan kepada mereka. Allah berfirman:

Katakanlah: "Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu suatu hal saja, yaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau sendiri-sendiri; kemudian kamu pikirkan (tentang Muhammad) tidak ada penyakit gila sedikit pun pada kawanmu itu. Dia tidak lain hanyalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum (menghadapi) azab yang keras.” [Sûrah Saba’: 46]

Ini kerana apabila manusia itu berseorangan atau berduaan , mereka lebih berkemungkinan lebih jujur terhadap diri mereka dan lebih dari itu mengeluarkan diri dari kepura-puraan yang mereka sedari ketika berada dalam kumpulan ramai , yang menjadi penghalang dari melihat seseorang dan perkara secara benarnya .

Allah menyebut tentang perkara ini di dalam Al-Quran apabila Allah berfirman :

“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” [Sûrah al-Muttaffifîn: 14]

Allah juga berfirman:

“Mereka berkata: "Hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kamu seru kami kepadanya dan di telinga kami ada sumbatan dan antara kami dan kamu ada dinding, maka bekerjalah kamu; sesungguhnya kami bekerja (pula)". [Sûrah Fussilat: 5]


Masyarakat boleh menghalang kita dari mengenal dan mengakui kebenaran . Ia mampu mengelak manusia dari bersikap tulen dalam perlakuan mereka. Ia adalah penting untuk pemikiran yang jelas dan jitu untuk keluar dari hasutan masyarakat dan tidak mengendahkan diri terhadap tekanan tersebut . Seseorang tidak dapt berfikir dengan jelas dan secara objektif untuk mencari kebenaran jika dia berasa malu , di bawah tekanan untuk berdalih dan takut kepada pandangan masyarakat.

Oleh sebab itu , sesetengah cendikiawan barat telah menyatakan: “Masyarakat boleh menjadi berhala yang bengis yang menghalang pemikiran dan kewarasan”

3) Ketahyulan

Seorang pengkaji telah memerhatikan bahawa kekuatan dan ketegasan dalam pegangan agama berkait terus kepada kelemahan dalam berfikir. Begini , apa yang disandarkan sebagai keagamaan secara amnya , termasuk dari amalan bidaah dalam agama yang direka oleh manusia yang bukan dari Allah dan RasulNya SAW .


Allah telah menjadikan penambahan dalam suruhan agama dan rekaan adalah sama seperti penolakan kepada petunjukNya , dan juga salah satu penghalang manusia dari hidayahNya . Allah berfirman:

Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang membuat-buat suatu kedustaan terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayat-Nya?..” [Sûrah al-Anâm: 21]

Ketahyulan menghalang kewarasan dan fikiran secara logik , mengikat pula pemikiran kepada perkara mistik , magik , dan tipu helah . Seseorang yang diresapi dengan pemikiran tersebut hanya berharap kepada keajaiban . Islam, sebaliknya , memberi petunjuk kepada manusia untuk memberi tumpuan kepada norma dan undang-undang alam yang telah Allah adakan untuk ciptaanNya .

Berfikir adalah satu aktiviti mental yang memerlukan kita menggunakan kewarasan , untuk membentuk proses pemikiran . Ketahyulan memusnahkan kesemua ini . Aktiviti mental terhenti dan hanya menjadi kesimpulan yang termaktub tentang sesuatu. Perkara ini adalah apa yang para bomoh gunakan apabila mereka mendakwa mempunyai ilmu ghaib dan mengetahui perkara yang tersembunyi. Bomoh sebegini menghadkan diri mereka dengan mengeksploitasi orang yang berfikiran lemah.

Allah berkata :

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai". [Sûrah al-A`râf: 179]

4) Kemutlakkan

Sikap yang mana setiap perkara mesti tidak berbelah bagi, mesti jelas dan tepat dan jelas , tidak membenarkan jalan tengah atau jalan yang tidak begitu pasti - adalah penghalang kepada pemikiran yang jelas. Ia mengakibatkan pemikiran kita mengambil sesuatu itu keseluruhan atau menolaknya secara keseluruhan . Bahkan dalam pekara emosi, sikap ini meminta supaya menyayangi atau membenci secara keseluruhan .

`Alî b. Abî Tâlib memberi amaran kepada kita tentang sikap ini. ,beliau berkata “ Sayang kepada orang yang kamu sayangi dengan berakal , kerana perkara yang kamu sayagi akan kamu benci satu hari nanti. Benci pada orang kamu tidak sukai dengan berakal , kerana perkara yang kamu benci itu mungkin akan kamu sukai satu hari nanti”

Pemikiran kemutlakan menjadikan mustahil bagi seseorang untuk berfikir kembali pegangannya atau membetulkan pendapatnya terhadap sesuatu perkara . Ia menjadikan perbincagan sesuatu yang sia-sia. Kerana seorang yang bersikap sebegitu hanya mengulangi perkataannya tanpa berbincang mengenainya.

Salah satu luahan yang mendalam berkenaan perkara ini disampaikan oleh Imam al-Shâfi`î . Perkataan beliau boleh diterima sebagai prinsip asas bagaimana seseorang harus berfikir. Beliau berkata “ Pendapatku kemungkinan benar , tetapi ada kemungkinan aku salah . Pendapat orang lain mungkin salah , tetapi ada kemungkinan pendapatnya benar.”

Maka boleh disimpulkan Imam Al-Shâfi`î memaklumkan bahawa pendapat benar ,tetapi setelah melakukan kajian yang mendalam, bersusah payah dan pertimbangan . Beliau masih memberi peluang kemungkinan pendapatnya salah . Oleh itu , dia mampu untuk untuk mengkaji semula pemikiran dan membincangankan pendapatnya kepada orang lain.Beliau amat terbuka menerima kritikan dan pendapat dari orang lain.

5) Mudah Terpengaruh


Sama ada seseorang itu membuta tuli , tentang apa yang berlaku sekelilingnya atau dipengaruhi factor-faktor seperti marah dan benci yang menjadikannya terangsang dan geram , pemikirannya akan menjadi tidak jelas.

Oleh sebab itu Rasulullah SAW bersabda “ Seorang hakim tidak boleh memberi keputusan dalam keadaan dia marah”

Marah adalah hanya salah satu manifestasi keterangsangan yang mengabui pemikiran. Oleh itu para Ulama’ telah mengaplikasikan hukum yang di berikan oleh Rasulullah SAW kepada keadaan yang lain seperti lapar atau keterpaksaan untuk ke tandas.


Umat islam sepatutnya berhati-hati terhadap semua halangan-halangan pemikiran yang waras ini., terutamanya Al-Quran memberi amaran kepada kita mengenainya :

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quraan ataukah hati mereka terkunci? [Sûrah Muhammad: 24]

Semoga Allah melindungi pemikiran kita dari tertutup oleh halangan tersebut.

Wallahua’lam

Al Fadhil Syeikh Salman Al Aodah

Terjemaahan Oleh : Fazh

Sunday, October 07, 2007

Maksud Syaitan Dirantai dan Dibelenggu Dalam Bulan Ramadhan

Maksud Syaitan Dirantai dan Dibelenggu Dalam Bulan Ramadhan


Realiti yang berlaku, kita menyaksikan sebahagian umat Islam yang berpuasa masih ada yang melakukan maksiat di dalam bulan Ramadhan, bukan sekadar itu, bahkan berlaku juga rasukan jin dan syaitan di dalam bulan Ramadhan, termasuk yang dirasuk itu di kalangan umat Islam yang berpuasa. Jika begitu keadaannya, apakah maksud hadith Nabi saw yang menyatakan syaitan itu dirantai dan dibelenggu dalam bulan Ramadhan ? Nabi saw bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ ، وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ



Maksudnya : “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda : “Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama berbeza pendapat tentang maksud dibelenggu para syaitan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai melakukan fitnah kepada umat Islam sepertimana diluar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.

al-Syeikh ‘Atiyyah Soqr menyebut beberapa ulama yang mensyarahkan hadith ini menyatakan yang dimaksudkan dibelenggu ini ialah tidak dapat menguasai orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenarnya, dengan meraikan setiap adab-adab termasuk memelihara lidah, pandangan dan semua anggota dari melakukan maksiat sebagai memenuhi sabda Nabi saw :

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ والْعَمَلَ به فليس لله حاجة في أن يَدعَ طعامه وشرابه

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan yang keji, maka Allah tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya.” (HR al-Bukhari)

Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat maksud para syaitan yang dibelenggu itu ialah sebahagian syaitan yang degil/melampau, adapun selain daripadanya tidak dibelenggu. Inilah yang dinyatakan di dalam hadith :

تصفد فيه مردة الشياطين

Maksudnya : “Dibelenggu padanya (Ramadhan) syaitan-syaitan yang degil/melampau.”

Ada pula yang berpendapat ianya membawa tanda para malaikat masuk ke dalam bulan Ramadhan sebagai membesarkan dan memuliakannya bagi menghalang para syaitan menggoda orang-orang mukmin. Ia boleh juga membawa isyarat kepada banyaknya pengampunan dan balasan pahala yang diberikan di dalam bulan Ramadhan menyebabkan syaitan menjadi seolah-oleh dibelenggu. Ini dikuatkan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Yunus daripada Ibn Syihab di sisi Muslim :

فتحت أبواب الرحمة

Maksudnya : “Maka dibuka pintu-pintu rahmat.”



Maka dibelenggu syaitan itu adalah perumpamaan melemahkan syaitan dalam menyesatkan umat Islam dan menghiasi syahwat mereka.

Al-Imam al-Qurthubiy pula berkata : “Maka jika dikatakan bagaimana kita boleh melihat beberapa kejahatan dan maksiat berlaku dalam bulan Ramadhan secara banyak, jika dibelenggu para syaitan sepatutnya perkara itu tidak berlaku. Maka jawapannya ialah : “Sesungguhnya semua itu kurang berlaku pada orang-orang yang berpuasa dengan puasa yang memelihara syarat-syaratnya dan meraikan adab-adabnya, atau (yang dimaksudkan) dibelenggu sebahagian syaitan, iaitulah syaitan yang degil/melampau, (sebaliknya) bukan semua syaitan seperti yang terdapat di dalam sebahagian riwayat (hadith), atau maksudnya mengurangkan kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ternyata berlakunya kejahatan dalam bulan Ramadhan itu lebih kurang berbanding bulan yang lain, demikian juga tidak semestinya dibelenggu kesemua syaitan tidak berlakunya kejahatan dan maksiat, kerana ada juga sebab lain selain syaitan (yang membawa kepada kejahatan) seperti jiwa yang sememangnya jahat, dan kebiasaan yang jelek dan syaitan manusia.”

Al-Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang persoalan ini menjawab :

“Di dalam sebahagian riwayat hadith (maksudnya) : “Dibelenggu padanya (Ramadhan) syaitan-syaitan yang degil/derhaka.” Atau (dengan lafaz) Tughallu di sisi al-Nasaie atau yang seumpamanya yang termasuk dalam perkara ghaib yang mana hendaklah kita menerima dan membenarkannya, dan kita tidak membicarakannya lebih daripada yang itu, sesungguhnya inilah yang lebih selamat bagi agama seseorang dan lebih baik untuknya…. kemudian secara zahir dibelenggunya syaitan itu (adalah membawa maksud dibelenggu) daripada memesong/menyesatkan manusia disebabkan banyaknya kebaikan dan (mereka banyak) kembali (bertaubat) kepada Allah dalam bulan Ramadhan.”
(Sila lihat fatwa di dalam islam-qa dan islamonline.net)

Wallahu a’lam.

Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Saturday, October 06, 2007

Selamat Berdakwah Wahai Sekalian Fasilitator!

Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, hari ini INTIS berjaya mengadakan satu sesi yang dinamakan Training 4 Trainers (TOT). Sesi ini di adakan sebagai satu persediaan kepada fasilitator-fasilitator yang akan berjuang di jalan Allah (Insya-Allah), pada bulan November ini di Institut al-Qayyim. Walaupun ia adalah sesi khusus bersama fasilitator, penyertaan tetap dibuka pada semua. Kehadiran yang pada mulanya lembap berubah menjadi semakin ramai dan ramai.

Kuliah di sampaikan oleh Ustaz Ismail yang juga merupakan pelajar Master bidang Hadith di UIAM. Walaupun apa yang disampaikan hanyalah ringkasa daripada sifat solat nabi, namun bak kata pepatah "Apa yang tak dapat diambil kesemua, Jangan ditinggal kesemua".

Pihak INTIS telah menyediakan ringkasan Sifat Thaharah Rasulullah SAW dan Sifat Solat Rasulullah SAW. Pihak INTIS juga telah memberikan secara percuma VCD Sifat Solat Nabi kepada para peserta.

Kelihatan semangat para peserta semakin membara selepas menjalani sesi ini. Bahkan kelihatan akan bertambah jumlah-jumlah fasilitator dari semasa ke semasa. Semoga segala apa yang dilakukan akan diterima Allah dan mendapat balasan daripadaNya. Amin!!!

Sebagaimana yang dijanjikan, maka disini kita sediakan bahan-bahan berkaitan yang boleh diguna pakai sebagai rujukan.

Sifat Solat Nabi >> Indon Version

Prophet's Prayer Described >> English Version

Prophet's Wudhu' Described >> English Version

Monday, October 01, 2007

Mencari Laila

Mencari Laila.

Siapakah engkau Laila? Apakah engkau Laila yang masyhur di dalam kisah cinta Laila dan Majnun. Adakah engkau Laila yang membuatkan seorang lelaki menjadi gila kerana setia pada cintanya.

Siapakah engkau Laila? Apakah engkau seorang gadis yang cantik memikat hati semua jejaka. Atau engkau umpama sekuntum bunga yang harum di taman memikat kesemua kumbang yang senang berterbangan.

Siapakah engkau Laila? Hinggakan manusia menyebut-nyebut namamu. Manusia berebut-rebut mendapatkan mu.

Siapakah engkau Laila hinggakan manusia sanggup bersengkang malam menanti kehadiranmu. Hingga manusia menitiskan air mata mengharapkan perjumpaan dengan mu.

Siapakah engkau Laila sehingga menjadi kerinduan semua manusia.

Siapakah engkau Laila?

Aku mencari-cari siapakh engkau wahai Laila. Akhirnya aku temui namamu di dalam kitab Tuhan.

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam al-Qadr. (١)

وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ

Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu? (٢)

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan (٣)

تَنَزَّلُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ

Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan ar-Ruh (malaikat Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan (٤)

سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (٥)

(Surah al-Qadr 97:1-5)

Baru ku tahu rupanya engkaulah yang penuh barkah. Engkaulah yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Apakah nilai mu wahai si Laila sehingga manusia berebut-rebut mendapatkanmu?

وعن أَبي هريرة ، عن النبيِّ ، قَالَ : (( مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إيمَاناً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ )) متفقٌ عَلَيْهِ .

أخرجه البخاري 3/33 (1901) ، ومسلم 2/177 (760) (175)

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “ Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharap, nescaya diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (al-Bukhari dan Muslim)

Bilakah dapat aku bertemu dengan mu Laila. Bilakah dapat ku hidu keharuman mu ya Laila. Bilakah dapat ku lepaskan rinduku ini pada mu Laila. Bilakah kita dapat menghabiskan masa bersama ya Laila. Bilakah cinta yang bersemi ini akan menjadi realiti ya Laila.

وعن ابن عمر رضي الله عنهما : أنَّ رِجالاً مِنْ أصْحَابِ النبيِّ أُرُوا لَيْلَةَ القَدْرِ في المَنَامِ في السَّبْعِ الأَوَاخِرِ ، فَقَالَ رسول الله : (( أرَى رُؤْيَاكُمْ قَدْ تَوَاطَأتْ في السَّبْعِ الأوَاخِرِ ، فَمَنْ كَانَ مُتَحَرِّيهَا فَلْيَتَحَرَّهَا في السَّبْعِ الأَوَاخِرِ )) متفقٌ عَلَيْهِ .

أخرجه البخاري 3/59 (2015) ، ومسلم 3/170 (1165) (205)

Ibn Umar RA berkata: “beberapa orang daripada sahabat Nabi saw telah melihat malam al-Qadr di dalam tidur pada tujuh (malam) yang terakhir. Maka berkata Rasulullah SAW: “Aku melihat mimpi kamu bertepatan dengan tujuh (malam) yang terakhir. Sesiapa yang benar-benar mencarinya (malam al-Qadr), maka carilah ia di tujuh (malam) yang terakhir. (al-Bukhari dan Muslim).

وعن عائشة رضي الله عنها ، قالت : كَانَ رسولُ الله يُجَاوِرُ في العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ ، ويقول : (( تَحرَّوا لَيْلَةَ القَدْرِ في العَشْرِ الأواخرِ منْ رَمَضانَ ))متفقٌ عَلَيْهِ .

أخرجه : البخاري 3/61 (2020) ، ومسلم 3/173 (1169) (219) .

Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW mengasingkan diri (di dalam masjid; beri’tikaf) pada sepuluh (malam) terakhir di dalam Ramadhan. Dan Rasulullah SAW berkata: “Carilah malam al-Qadr pada sepuluh malam terakhir dari Ramadhan.” (al-Bukhari dan Muslim).

وعنها رضي الله عنها : أنَّ رسولَ اللهِ ، قَالَ : (( تَحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ في الوَتْرِ مِنَ العَشْرِ الأوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ )) رواه البخاري .

Aisyah RA berkata lagi, bahawa Rasulullah SAW berkata: “Carilah malam al-Qadr pada (malam-malam) yang ganjil daripada sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadhan.” (al-Bukhari)

Bagaimanakah boleh ku mendapatkan cinta mu Laila? Apakah harga dirimu yang perlu ku bayar wahai Laila? Apakah yang perlu ku korbankan untuk menggapaimu Laila?

وعنها ، رضي الله عنها ، قالت : كَانَ رسول الله إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأَوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ ، أحْيَا اللَّيْلَ ، وَأيْقَظَ أهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ المِئزَرَ . متفقٌ عَلَيْهِ .

أخرجه : البخاري 3/61 ( 2024 ) ، ومسلم 3/175 ( 1174 ) ( 7 ) .

Dari Aisyah lagi, beliau berkata: “Adalah Rasulullah SAW apabila telah memasuki sepuluh (malam) yang terakhir daripada Ramadhan, (baginda) akan menghidupkan malam tersebut, mengejutkan ahli keluarganya dan mengetatkan ikatan kainnya[1].” (al-Bukhari dan Muslim).

وعنها ، قالت : كَانَ رسولُ اللهِ يَجْتَهِدُ في رَمَضَانَ مَا لاَ يَجْتَهِدُ في غَيْرِهِ ، وَفِي العَشْرِ الأوَاخِرِ مِنْهُ مَا لا يَجْتَهِدُ في غَيْرِهِ . رواه مسلم .

أخرجه : مسلم 3/176 (1175) (8) .

Aisyah berkata lagi: “Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada bulan Ramadhan melebihi bersungguh-sungguh baginda pada bulan yang lain, dan lebih bersungguh-sungguh (untuk beribadah) pada sepuluh (malam) terakhir (Ramadhan) melebihi daripada malam-malam yang lain. (Muslim)

Wahai Laila, kata apakah yang patut ku ucapkan apabila bertemu denganmu?

وعنها ، قالت : قُلْتُ : يَا رسول الله ، أرَأيْتَ إنْ عَلِمْتُ أيُّ لَيلَةٍ لَيْلَةُ القَدْرِ مَا أقُولُ فِيهَا ؟ قَالَ : (( قُولِي : اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنّي )) رواه الترمذي ، وقال : (( حديث حسن صحيح (( .

: ابن ماجه (3850) ، والترمذي (3513) .

Aisyah RA berkata lagi: “Aku pernah berkata”: “Ya Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku mengetahui malam yang mana ia ialah malam al-Qadr, apakah yang patut aku sebutkan padanya? Jawab Baginda SAW: “Sebutlah! (Allahumma innaka `afuwwun, tuhibbul-`afwa, fa`fu `anni). Ya Allah! Sesungguhnya Engkau maha Pengampun, Engkau suka mengampuni, maka ampunilah aku. (at-Tirmizi dan Ibn Majah)



[1] Ulama berbeza pendapat tentang maksud nya: 1) bermaksud Nabi SAW akan memperbanyakkan ibadah berbanding malam-malam yang lain. 2) Nabi SAW akan mengelakkan diri daripada menjalinkan hubungan seksual dengan isteri-isteri baginda. Wallahu’alam.