Monday, January 17, 2005

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi`I, Pembela Sunnah RasululLah s.a.w.

Oleh
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

(Pensyarah Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM)



Muqaddimah


Memandangkan seminar ini mempunyai tiga kertas kerja dan telah mendahului saya dua kertas kerja yang menceritakan tentang sejarah hidup serta asas-asas pegangan mazhab imam yang agung ini, maka tidak perlu bagi saya mengulangi apa yang telah disebutkan. Memadai saya menyebut latar balakang beliau dengan ringkas dan seterus membincang tentang pegangan beliau mengenai sunnah Nabi s.a.w. Ini kerana beliau telah digelar dizamannya sebagai nasir al-Sunnah ناصر السنةatau pembela sunnah.

Kertas kerja ini dibuat dengan begitu ringkas, dan ini bukanlah kebiasaan saya. Namun ianya mencukupi disebabkan adanya kertas kerja yang lain sebelum saya yang berkisar pada titik yang agak sama.


Pengenalan Umum


Al-Imam al-Syafi`I (150H-204H) seperti yang disebut oleh al-Zahabi (w. 748H) الذهبي :
محمد بن إدريس بن العباس بن عثمان بن شافع بن السّائب بن عُبَيد بن عبد يزيد بن هشام بن المُطَلِّب بن عبد مناف بن قُصَيِّ بن كلاب بن مُرَّةَ بن كعْب بن لُؤَيِّ بن غالب الإمام عالم العصر ناصر الحديث فقيه الملّة، أبو عبد الله القَرَشِيّ ثم المطَلِّبي الشافعي المكي، الغَزِّي المولد، نسيب رسول الله r.
Muhammad bin Idris bin ‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi’ bin al-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hisyam bin al-Mutallib bin ‘Abd Manaf bin Qusaiy bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Luaiy bin Ghalib. Beliau adalah Imam, ‘alim zamannya, pembela sunnah, faqih agama, Abu ‘Abd Allah al-Qurasyi (keturunan Quraisy), juga al-Mutallibi (keturunan al-Mutallib) al-Syafi‘I (keturunan al-Syafi‘I) al-Makki. Kelahiran Ghazzah, bernasab (berketurunan) RasululLah s.a.w. ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala` , 10/5-6, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut.)

Nasabnya bertemu dengan Nabi s.a.w. pada pada ‘Abd Manaf yang disebutkan namanya di atas. Syafi` pernah berjumpa Nabi s.a.w., namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim pada hari peperangan Badr. Beliau ditawan tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam . (Ibn Khallikan خلِّكان, Wafayat al-‘Ayan وفيات الأعيان, 2/312, cetakan Dar Ihya` al-Turath al-‘Arabi, Beirut.)

Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah غزة, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda, maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah . (Al-Zahabi, op. cit, 10/6)

Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan syair, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya . (Lihat: ibid, 10/6)

Sebagai peringatan di sana ada kitab yang dusta mengenai al-Rihlah ila al-Rasyid yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’i. Dalam kitab tersebut banyak riwayat-riwayat yang bohong dan karut. Antara ianya mencerita bahawa Al-Imam al-Syafi’I bertemu dengan al-Qadi Abu Yusuf (w 182H), tokoh utama mazhab Abi Hanifah di Baghdad, sedangkan al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal sebelum al-Imam al-Syafi’`I masuk ke Baghdad. Lebih buruk lagi ianya mencerita tokoh terkenal ulama Islam al-Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani (w 189H) dan juga al-Qadi Abu Yusuf merancang agar dibunuh al-Imam alSyafi`I dengan membuat tuduhan terhadapnya di hadapan khalifah. Ini adalah fitnah yang besar terhadap kedua imam yang agung tersebut. Kedudukan kedua-dua imam yang agung itu memustahilkan mereka melakukan perkara yang seperti itu.

Bahkan di dalam kitab tersebut berbagai pembohongan lagi . (Lihat: Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` كشف الخفاء, 2/401-402, cetakan Dar Ihya al-Tutath al-‘Arabi, Beirut). Ini semata-mata untuk memperlihat taksubnya kepada imam al-Syafi`i. Ini semua datangnya datang daripada ‘Abd Allah bin Muhammad al-Balawi, seorang pendusta. Malangnya beberapa tokoh telah memetik apa yang diriwayatkannya tanpa menjelaskan pembohongan isi kandungannya. Termasuklah antara mereka al-Imam al-Baihaqi (w. 458H) di dalam Manaqib al-Syafi’i ( Lihat: Syu‘aib al-Arnaut, Tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala, 10/78-79). Bahkan menurut Al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) al-Imam al-Syafi’I datang ke Bahgdad pada tahun 184H. Beliau telah berdialog dengan al-Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani di hadapan khalifah Harun al-Rasyid. Muhammad bin al-Hasan memuji al-Imam al-Syafi`I disebabkan kebijaksanaannya. Sehingga beliau memuliakan al-Imam al-Syafi’I dan mengambilnya sebagai tetamu. Adapun Al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal setahun, atau dua tahun sebelum itu (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/263, cetakan Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah, Beirut).

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam memetik kisah-kisah para ulama yang lampau agar tidak terfitnah mereka yang tidak bersalah hasil daripada sikap golongan yang taksub lagi jahat.

‘Aqidah al-Imam al-Syafi`i.


Al-Imam al-Syafi`I berakidah dengan aqidah Ahl al-Hadith dan beliau amat membenci ilmu kalam dan falsafah. Ahl al-Hadith atau disebut sebagai Ashab al-Hadith أصحاب الحديث berpegang kepada aqidah yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadith. Mereka menolak berfalsafah dalam aqidah seperti yang dibuat oleh ahli ilmu kalam. Mereka tidak membicarakan sifat-sifat Allah luar daripada ajaran al-Kitab dan al-Sunnah. Ahl al-Hadith (Ahl al-Hadith adalah juga nama kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang disebut sebagai al-firqah al-Najiyyah) bermaksud “mereka yang mementingkan hadith RasululLah s.a.w; samada dari segi riwayah dan dirayah (periwayatan atau kefahaman). Mereka bersungguh-sungguh mengkaji hadith-hadith Nabi s.a.w dan meriwayatkannya. Mereka mengikuti kandungannya dalam ilmu dan amalan. Mereka beriltizam dengan sunnah dan menjauhi bid‘ah. Mereka berbeza dengan Ahl al-Ahwa` أهل الأهواء (golongan yang berpegang dengan hawa nafsu) yang mengutamakan pendapat golongan yang sesat melebihi ucapan-ucapan RasululLah s.a.w. Golongan Ahl Ahwa` mendahulukan akal mereka yang rosak, mantiq (ilmu lojik akal) mereka yang bercanggah dan ucapan meraka yang bertentangan melebihi apa yang dibawa oleh al-Quran dan al-Sunnah” ( Al-Misri: Muhammad ‘Abd al-Hadi, Ma‘alim al-Intilaqah al-Kubra m.s. 49, cetakan Dar Taiyibah, Riyadh).

Kata al-Imam Abu ‘Uthman al-Sabuni (w. 449H): “Ashab al-Hadith yang berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah –semoga Allah memelihara mereka (ashab al-Hadith) yang masih hidup dan merahmati mereka yang sudah meninggal-bersaksi keesaan untuk Allah sementara kerasulan dan kenabian untuk Rasul s.a.w. Mereka mengenali tuhan mereka azza wa jalla dengan sifat yang dinyatakan oleh wahyu dan kitabNya. Juga apa yang disaksikan oleh RasulNya s.a.w. , berdasarkan apa yang dinyatakan dalam riwayat-riwayat sahih, dan yang diambil daripada baginda melalui para rawi yang adil lagi dipercayai. Ashab al-Hadith menetapkan bagi Allah jalla jalaluh apa (sifat-sifat dan nama-nama) yang Allah tetapkan untuk dirinya di dalam kitabNya dan atas lisan RasulNya s.a.w. Mereka tidak beriktikad dengan tasybih (menyamakan) sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya..” ( Abu ‘Uthman al-Sabuni, ‘Aqidah al-Salaf Ashab al-Hadith, m.s. 26, cetakan Maktabah al-Ghuraba` al-Athariyyah, Madinah)

Kata al-Imam al-Syafi`I : “Pegangan dalam sunnah RasululLah yang aku berada di atasnya, dan aku lihat sahabat-sahabat kita (para ulama) berada di atasnya, mereka itu ahl al-Hadith yang aku telah lihat dan mengambil daripada mereka seperti Sufyan bin ‘Uyainah عيينة, Malik ( Maksudnya al-Imam Malik bin Anas r.h) dan selain mereka ialah:

-Ikrar dengan syahadah bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah, dan Muhammad itu RasululLah. Sesungguhnya Allah di atas ‘arasyNya di langit. Dia menghampiri sesiapa yang dikehendakiNya di kalangan makhluk-makhlukNya dengan cara yang Dia kehendaki.
-Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti mana yang Dia kehendaki.
-Bagi Allah itu nama-nama dan sifat-sifat. Ianya didatangkan oleh kitabNya, dan Nabi pula memberitahunya kepada umat. Tidak boleh untuk seseorang dari makhluk Allah Ta‘ala yang telah ditegakkan ke atasnya hujjah (bermaksud telah dijelas dan terangkan kepadanya dengan hujah atau dalil yang kukuh), menolaknya. Ini kerana ianya telah dinyatakan di dalam al-Quran, dan ada sabda yang sahih daripada RasululLah mengenai hal ini, yang diriwayatkan daripada golongan yang adil. Sesiapa yang menyanggahinya selepas thubut hujah (bermaksud dia telah mendengar hujah yang terang dan kukuh) ke atasnya, maka dia seorang kafir. Adapun sebelum thubut hujah ke atasnya maka dia dimaafkan kerana jahil. Ini kerana ilmu dalam masalah ini tidak dapat diperolehi hanya dengan akal, atau pandangan, atau fikiran. Tidak dikafirkan sesiapa yang jahil mengenainya. Melainkan setelah thubut berita ( Maksudnya berita mengenai hal tersebut sampai dengan jelas dan kukuh) tersebut sampai kepadanya. Kita menetap (bagi Allah) sifat-sifat ini ( Maksudnya sifat-sifat Allah yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah) dan menafikan terhadap Allah tasybih ( Menyamakan Allah dengan makhluk) seperti mana Dia menafikan tasybih terhadap diriNya, firmanNya:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
(terjemahannya: “Tiada sesuatu pun yang sama denganNya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat) ( Surah al-Syura:11)

-Kekhalifahan Abu Bakr telah Allah putuskan di langitNya. Dia telah menghimpunkan atas kekhalifahan Abu Bakr semua hati para sahabat NabiNya s.a.w. ( Al-Imam al-Syafi`I, Wasiyyah al-Imam al-Syafi`I, m.s 53-58, cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut)

Aqidah Ahl al-Hadith adalah ‘aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Ianya adalah ‘aqidah yang diasaskan oleh Nabi s.a.w bukan diasaskan oleh sesiapa. Sumber ‘aqidah adalah al-Quran dan al-Sunnah. Maka Ahl al-Hadith ‘aqidah mereka diasaskan semenjak kedua sumber tersebut wujud di atas muka bumi. Inilah ‘aqidah yang dipegang oleh para sahabah dan mereka yang mengikuti sahabah. Kata al-Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Dahlawi al-Madani (w. 1375H): “Sesungguhnya jalan golongan Ahl al-Hadith bukanlah satu mazhab baru, bahkan ia adalah yang paling asal yang berada di atasnya RasululLah s.a.w. Baginda mewariskannya kepada sahabah-sabahahnya yang agung. Sesungguhnya sahabah r.a. telah mengajar jalan ini kepada mereka yang menganut Islam di tangan mereka” ( Ahmad al-Dahlawi al-Madani, Tarikh Ahl al-Hadith, m.s. 29, cetakan Maktab al-Ghuraba` al-Athariyyah, Madinah).

Adapun dakwaan yang menyatakan al-Imam al-Syafi’I berakidah dengan apa yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-‘Asy‘ari adalah tidak benar. Ini kerana al-Imam al-Syafi`I meninggal pada tahun 204H ( Lihat: Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala` , 10/76), adapun al-Imam Abu al-Hasan al-‘Asy‘ari lahir pada 260H dan meninggal pada 324H ( Lihat: ibid 15/85-86). Al-Imam al-Syafi‘I meninggal 50 tahun sebelum kelahirannya. Kalau Ahl al-Sunnah itu baru sahaja diasaskan pada zaman Abu al-Hasan al-‘Asy ‘ari, bagaimana dengan aqidah para imam yang wafat sebelum daripada kelahiran beliau, termasuklah kesemua imam yang empat?!!.

Adapun dakwaan menyatakan bahawa al-Imam al-Syafi`I terpengarauh dengan Syi’ah seperti yang disebut oleh mereka yang membencinya pada zamannya dan buku-buku segelintir pengikut mazhab fiqh yang lain ( Segelintir tokoh-tokoh pada zaman dahulu menuduh al-Syafi`I sebagai syi`ah disebabkan beberapa pandangannya di dalam masalah furu’ yang menyamai pandangan golongan Syi`ah, seperti masalah membaca basmalah secara jahr (terang) dan qunut subuh. (lihat: Al-Zahabi, Al-Ruwah al-Thiqat, 1/31, cetakan Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut)). Adalah disebabkan salah faham, atau taksub kepada mazhab mereka dan membenci al-Imam al-Syafi`I. Dakwaan ini adalah palsu. Kata al-Imam al-Zahabi (w. 748H): “Sesiapa yang menyatakan al-Syafi`I menganut Syi`ah maka dia adalah pendusta. Dia tidak tahu apa yang dia ucapkan”. Katanya juga: “Sekiranya beliau itu syi`ah –beliau sebenar jauh dari itu semua- beliau tidak akan menyatakan bahawa al-Khulafa al-Rasyidin itu lima; bermula dengan Abu Bakr al-Siddiq dan diakhiri dengan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz” ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/58-59).


Al-Imam al-Syafi’I Menentang Ilmu Kalam


‘Aqidah yang diajar oleh Nabi s.a.w adalah ‘aqidah yang bersih dan mudah difahami. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan ‘aqidah adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk dimengertikan oleh semua lapisan umat. Ini kerana persoalan ‘aqidah mesti difahami oleh mereka yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan yang terpelajar dan cerdik pandai. Kalaulah perbahasan ‘aqidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?!!. Malangnya kemasukan pengaruh Yunan ke dalam pemikiran sebahagian umat Islam telah menyebabkan mereka menjadikan ilmu kalam sebagai ‘aqidah dan meminggirkan persoalan-persoalan asasi dalam ‘aqidah Islamiyyah. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ianya bukannya ‘aqidah….Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah ‘aqidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” ( Dr Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Dai‘iyah, m.s. 92, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut).

Golongan ahli falsafah dalam penulisan mereka memulakan perbahasan dengan ilmu mantiq ( Ilmu mantiq yang berasal daripada Yunan ini kononnya untuk menjadikan cara fikir betul dan berperaturan)(ilmu lojik akal) kemudian ilmu tabiat ( Ilmu ini membahaskan tentang tabiat atau sifat semula jadi sesuatu dan kekuatannya), kemudian ilmu hisab kemudian kepada ilmu ketuhanan. Maka kita lihat ahli-ahli ilmu kalam yang terpengaruh dengan pemikiran ahli falsafah ini mengikuti cara yang sama dalam penulisan dan perbahasan mereka mengenai tauhid. Mereka memulakan perbahasan mereka dalam ilmu kalam dengan bab al-Nazr النظر (pemerhatian), ilmu dan dalil. Ini adalah sebahagian daripada ilmu mantiq. Kemudian mereka akan membahaskan tentang baharunya alam dan membuktikan kebaharuannya. Kebanyakan ahli falsafah meluaskan perbahasan mereka mengenai ilmu tabi‘at. Kemudian mereka meningkat kepada perbahasan mengenai cakerawala atau falak dan hal-hal berkaitannya. Kemudian golongan yang mencari tuhan dari kalangan mereka meningkat kepada persoalan wajib al-wujud (wajib wujud), kemudian mengenai akal dan diri. Inilah yang dilakukan oleh ahli ilmu kalam.

Kemuncak dan tujuan daripada perbahasan tauhid ilmu kalam ialah untuk membuktikan keesaan Allah dan tiada sekutu baginya. Mereka menyangka ini yang dimaksudkan dengan tuntutan La ila illa Allah ( Lihat: Dr Sulaiman al-Asyqar, Al-‘Aqidah fi Allah m.s 32-33, cetakan Maktabah al-Falah, Kuwait).

Adapun manhaj al-Quran yang diturunkan Allah menjadikan pembukaan dakwah keseluruhan para rasul ialah dakwah kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah, atau yang kita namakan Tauhid al-Uluhiyyah atau Tauhid al-‘Ibadah. Tidak berpada sekadar membahaskan keesaannya, tetapi kemuncak tauhid ialah pengabdian diri hanya kepada Allah. Firman Allah :
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِي
(terjemahannya) Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu” ( Surah al-Anbiya: 25).

Semua rasul menyeru kaumnya kepada ibadah:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنْ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

(terjemahannya): Dan sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya. ( Surah al-Nahl: 36)

Sumber ilmu untuk mengenali Allah dan alam ini ialah Allah itu sendiri seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Mengenali Allah membawa insan mengenali segala-galanya. Mengetahui kalam Allah dan kalam al-Rasul seseorang akan mengenali Allah dengan tepat, bukan dengan mantiq Yunan. Justeru itu al-Imam al-Bukhari sebelum memulakan kitab al-Iman dan al-‘Ilm (ilmu) mendahulukan kitab Bad`i al-Wahy بدء الوحي (bermulanya wahyu).

Maka dakwah kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah adalah kemuncak dakwah para Rasul. Di dalamnya terkandung makna mengenali Allah dan bertauhid untukNya. Adapun sekadar mengakui keesaan Allah dan hanya Dialah pencipta seperti yang dituntut dalam ilmu kalam, itu hanya satu juzuk daripada manhaj al-Quran tetapi bukan keseluruhannya. Al-Quran menyeru agar ditauhidkan Allah dan mengakuinya hanya Dialah pencipta. Inilah yang kita namakan dengan Tauhid al-Rububiyyah. Namun ini tidak mencukupi. Ianya hendaklah disempurnakan dengan Tauhid al-Uluhiyyah yang memutlakkan ibadah dan tauhid hanya kepadaNya. Ini menuntut antaranya ( Lihat: Dr. Muhammad Na‘im Yasin, Al-Iman, m.s. 24-27, cetakan Jordan) agar kita;

i. Mengikhlaskan cinta kepada Allah.
ii. Hanya berdo‘a, bertawakkal dan berharap kepadaNya dalam perkara-perkara yang hanya Dia mampu melakukannya.
iii. Hanya takut yang mutlak kepadaNya.
iv. Untuk Allah sahaja seluruh ibadah.

Tauhid inilah yang terkandung dalam hakikatnya keseluruhan tauhid yang lain; al-Rubbiyyah dan Tauhid al-Asma wa al-Sifat ( Ibid, m.s. 22). Inilah seruan para rasul.

Kalau sekadar mengakui Allah sebagai pencipta sudah memadai, tentulah golongan musyrikin sudah memenuhi tuntutan tersebut. Firman Allah menceritakan hal musyrikin:
قُلْ لِمَنْ الْأَرْضُ وَمَنْ فِيهَا إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ(84)سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ(85)قُلْ مَنْ رَبُّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ(86)سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ(87)قُلْ مَنْ بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَهُوَ يُجِيرُ وَلَا يُجَارُ عَلَيْهِ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ(88)سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ فَأَنَّا تُسْحَرُون َ
(terjemahannya) Tanyakanlah (wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (insaf)? "Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?" Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!" Mereka akan menjawab: "(Segala-galanya) dikuasai Allah". Katakanlah: "Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?" ( Surah al-Mu`minun : 84-89)

Firman Allah juga:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمـَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلْ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
(terjemahannya): Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). ( Surah Luqman: 25)

Kata Ibn Abi al-Izz al-Dimasyqi ( w. 792H): “Tiada di sana golongan yang menetapkan bagi alam ini dua pencipta yang sama. Namun begitu, ahli kalam, nazr ( Gelaran untuk ahli kalam. Bermaksud golongan yang membuat pemerhatian dan kesimpulan) dan falsafah bersusah payah menetap dan membuktikan hal ini (bahawa bagi alam hanya satu pencipta ( Keyakinan bagi alam hanya satu pencipta adalah fitrah insan, yang tidak berhajatkan kepada hujah golongan ahli kalam dan falsafah)) ( Ibn Abi ‘Izz, Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, 1/28, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut).

Ini disebabkan kekeliruan mereka dalam memahami tauhid al-Uluhiyyah atau disebut al-ilahiyyah ( Lihat: ibid, ½). Akhirnya kita lihat perbahasan tauhid secara ilmu kalam tidak membawa seseorang kepada keimanan yang teguh dan berwaspada terhadap syirik serta perkara yang membatalkan iman. Sebab itulah ramai yang menghafal ilmu kalam, tetapi mereka masih lagi tidak mengikhlaskan tauhid kepada Allah kerana sangkaan cukuplah dengan mengakui Allah sebagai tuhan dan pencipta.

Lebih daripada itu perbahasan tauhid secara ilmu falsafah dan kalam telah mengheret sebagaian besar golongan umat Islam ke dalam kancah perbahasan ketuhanan yang menyanggahi dasar-dasar yang terkandung dalam al-Quran dan l-Sunnah. Al-Imam al-Syafi`I samalah seperti imam-imam Ahl al-Sunnah yang lain, mereka mengutuk dan mencerca ilmu ini. Bahkan cercaan al-Imam al-Syafi`I terhadap falsafah dan kalam paling banyak diriwayatkan dibandingkan imam-imam yang lain. Antara katanya:

-لو عَلِم النّاس ما في الكلام من الأهواءِ لفَرُّوا منه كما يَفِرُّون من الأسد
(maksudnya) “Kalaulah manusia tahu hawa nafsu yang ada dalam ilmu kalam nescaya mereka akan lari daripadanya seperti mana mereka lari daripada singa. ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala, 10/16)

- وما شيءٌ أبغض إليّ من الكلام وأهله
(maksudnya) “Tiada sesuatu yang lebih aku benci dari ilmu kalam dan ahlinya. ( Ibid, 10/19)
يا ربيع اقبل مني ثلاثة لا تخوضن في أصحاب رسول الله r فإن خصمك النبي r غدا ولا تشتغل بالكلام فإني قد اطلعت من أهل الكلام على التعطيل ولا تشتغل بالنجوم

(maksudnya): Wahai Rabi’ ! ( Beliau adalah al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi , imam, muhaddith, faqih, anak murid al-Imam al-Syafi`I dan pewaris ilmunya. Lahir pada 174H, meninggal 270H. (Al-Zahabi. Siyar ‘Alam al-Nubala`, 12/587.)) Ambillah daripadaku tiga perkara. (pertama) jangan masuk campur memperkatakan mengenai sahabah-sahabah RasululLah s.a.w ( Maksudnya mengenai pertelingkahan yang berlaku di kalangan mereka) kerana sesungguhnya besok yang akan menjadi musuh kamu ialah Nabi s.a.w. (kedua) jangan kamu sibuk dengan ilmu kalam, kerana sesungguhnya aku telah melihat ahli ilmu kalam melakukan ta’til ( Ta’til bermaksud menafikan makna yang sahih pada sifat Allah tanpa diganti dengan makna yang lain. (lihat: Salih al-Fauzan, Syarh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, m.s. 14, cetakan Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh) . (Ketiga) jangan engkau menyibukkan diri dengan ilmu bintang. ( ibid, 10/2)




-حكمي في أهل الكلام حكم عمر في صبيغ
(maksudnya): Hukumanku terhadap ahli kalam ialah hukum ‘Umar (ibn Khattab) terhadap Sabigh" ( Al-Zahabi, op.cit. 10/29) – (Namanya Sabigh bin ‘Isl al-Hanzali. Dia datang ke Madinah dan bertanyakan tentang ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Quran. Dia dipukul oleh Saiyyidina ‘Umar dengan pelepah tamar kering sehingga berdarah kepalanya. Dia berkata: “Cukuplah wahai amir al-mu`minin, telah hilang apa yang ada dalam kepalaku”. (lihat Tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala, 10/29)) .
-حكمي في أهل الكلام أن يُضرَبوا بالجريد ويُحمَلوا على الإبل ويُطاف بهم في العشائر ينادى عليهم: هذا جزاء من ترك الكتاب والسنة وأقبل على الكلام

(maksudnya) “Hukumanku terhadap ahli kalam ialah hendaklah dipukul dengan pelepah tamar ( Jarid asalnya bermaksud pelepah tamar yang dibuang daunnya), diletak di atas unta dan dibawa mengelilingi orang ramai dengan diseru: Inilah balasan sesiapa yang meninggalkan kitab Allah dan sunnah lalu mengadap kepada ilmu kalam. ( Al-Zahabi, Siyar’Alam al-Nubala, 10/29)
-لو أن رجلا أوصى بكتبه من العلم لآخر وكان فيها كتب الكلام لم تدخل في الوصية لأنه ليس من العلم

“Jika seseorang berwasiat memberikan buku-buku ilmunya kepada seseorang. Di dalam buku-buku tersebut ada buku-buku kalam, maka ianya tidak termasuk dalam wasiat berkenaan. Ini kerana buku-buku kalam tidak termasuk dalam ilmu. ( Al-Zahabi, op.cit. 10/30)

Di sana banyak lagi ucapan-ucapan beliau yang menggambarkan pendiriannya yang menentang ilmu kalam dan inilah pendirian para ulama hadith sejak dahulu.







Al-Imam al-Syafi`I Menyuruh Berpegang Kepada Sunnah dan Meninggalkan Taksub


Al-Imam al-Syafi`I sama seperti imam-imam mazhab empat yang lain, mereka melarang orang ramai taksub kepada pendapat mereka. Semua imam-imam menyeru orang ramai berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah, serta jangan berpegang kepada pendapat mereka jika didapati ianya tidak menyamai apa yang ada di dalam al-Kitab dan al-Sunnah.

Golongan yang taksub kepada mazhab dan memusuhi mereka yang tidak sealiran dengan pendapat mazhab tertentu dalam sesuatu hukum sebenarnya adalah menyanggahi arahan para imam. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab sebagai mempunyai kuasa membuat syari`at ( Kuasa menentu syariat hanyalah milik Allah SWT) dan menganggap perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid ( Taklid maksudnya ikut tanpa mengetahui dalil) kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah ( Maksudnya tabi`in dan tabi’ al-tabi`in) sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya ( Muhaqqiq daripada perkataan tahqiq yang bermaksud mereka yang mengkaji, menyemak dan memastikan kekuatan atau kesahihan sesuatu hujah atau fakta) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah” ( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazlum, m.s 202, cetakan: Dar al-Sahwah, Kaherah).

Di sini kita sebutkan beberapa ucapan al-Imam al-Syafi`I, imam kita yang membela kitab Allah dan sunnah RasululLah s.a.w yang menyuruh berpegang kepada sunnah dan melarang taklid buta kepada pendapatnya;

-كل ما قلته فكان من رسول الله r خلاف قولي مما صح فهو أولى ولا تُقَلِّدُوني
(maksudnya) “Setiap apa yang aku ucapkan dan didapati apa yang sahih yang diriwayatkan oleh RasululLah menyanggahi pendapatku, maka ianya (hadith Nabi s.a.w) itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku" ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/33)( Maksudnya: jangan mengikutku dalam pendapat-pendapat beliau yang tidak bertepatan dengan sunnah RasululLah s.a.w.) ”.

-إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله r فقولوا بها ودعوا ما قلته
“Jika kamu dapati apa yang ada di dalam kitabku menyanggahi sunnah RasululLah s.a.w, maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku. ( Al-Zahabi, op.cit. 10/34)

-قال له رجل تأخذ بهذا الحديث يا أبا عبد الله؟ فقال: متى رويت عن رسول الله حديثا صحيحا ولم آخذ به فأشهدكم أن عقلي قد ذهب

Seorang lelaki berkata kepada al-Imam al-Syafi`I: “Apakah engkau akan berpegang dengan hadith ini, wahai Abu ‘Abd Allah? ( Gelaran al-Imam al-Syafi`i) ”. Jawab beliau: “Apabila diriwayatkan daripada RasululLah sesuatu hadith yang sahih dan aku tidak mengambilnya, maka ketahuilah bahawa akalku telah hilang”.( Ibid, 10/34)

-قال الحميدي: روى الشافعي يوما حديثا فقلت اتأخذ به فقال رأيتني خرجت من كنيسة أو علي زُنَّار حتى إذا سمعت عن رسول الله r حديثا لا أقول به
Kata al-Humaidi ( Al-Humaidi adalah salah seorang imam hadith yang masyhur. Mengambil hadith –walaupun tidak banyak- daripada al-Imam al-Syafi`i. Murid kepada Fudail bin ‘Iyadh, Sufyan bin ‘Uyainah dan lain-lain. Salah seorang guru al-Imam al-Bukhari. Meninggal pada 219H. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/616)): "Suatu hari al-Syafi`I meriwayatkan sebuah hadith. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?”. Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang kristian ( Perkataan zunnar bermaksud tali pinggang yang dipakai oleh orang kristian) sampai apabila aku mendengar sesuatu hadith daripada RasuluLah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya." ( ibid, 10/34)

-أي سماء تُظِلُّني وأي أرض تُقِلُّني إذا رويت عن رسول r فلم أقل به

“Langit manakah yang akan memayungiku, bumi manakah yang akan menanggungku, jika aku meriwayatkan hadith daripada RasululLah s.a.w. lalu aku tidak berpegang kepadanya” ( Al-Zahabi, op.cit, 10/35)

-كل حديث عن النبي r فهو قولي وإن لم تسمعوه مني
“Setiap hadith daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku” ( Maka dengan ini, seseorang dianggap berpegang dengan al-imam al-Syafi`I selagimana dia berpegang kepada hadith-hadith Nabi s.a.w. sekalipun al-Imam al-Syafi`I tidak menyebutnya).

-إذا صح الحديث فهو مذهبي وإذا صح الحديث فاضربوا بقولي الحائط
“Apabila sahihnya sesuatu hadith maka itulah mazhabku. Jika sahihnya sesuatu hadith maka campakkan pendapatku ke dinding” ( Di samping itu hendaklah kita sedar, bahawa bukan semua hadith yang sahih yang tidak diamalkan oleh al-Imam al-Syafi`I disebabkan beliau tidak menemuinya. Demikian juga imam-imam yang lain. Di sana ada syarat-syarat yang lain untuk seseorang ahli ilmu berpegang dengan sesuatu hadith, seperti mengetahui ilmu nasikh mansukh, sabab al-wurud, gharib al-Hadith, musykil al-hadith dan lain-lain. Maka tidak wajar bagi seseorang yang tidak memahami ilmu-ilmu ini di samping bahasa ‘arab, usul al-Fiqh juga perkara-perkara berkaitan dengannya lalu cuba mengeluarkan pandangan secara sendirian terhadap hukum-hakam syarak hanya kerana membaca terjemahan sesuatu hadith yang sahih. Dia hendaklah menyandarkan fahamannya kepada mana-mana imam-imam yang muktabar, atau kepada ahli ilmu yang berkemampuan. Sesiapa yang berfatwa tanpa ilmu, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati agama).
-أجمع الناسُ على أن من استبانت له سنة عن رسول الله r لم يكن له أن يدَعَها لقول أحد من الناس .
“Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunnah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia”. ( Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

كل مسألة تكلَّمْت فيها صح الخبر فيها عن النبي r عند أهل النقل بخلاف ما قلت فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي
“Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedang ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadith daripada Nabi s.a.w. yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati”. ( Ibid, 2/266)

Penutup
Inilah pengenalan ringkas mengenai pendirian al-Imam al-Syafi’I r.h sebagai pembela sunnah RasululLah s.a.w.

Sunday, January 16, 2005

Hukum Berzikir dan Berdoa dengan meninggikan suara secara Jamaah



Persoalan yang akan dibincangkan disini bukanlah suatu persoalan yang baru bahkan merupakan persoalan yang diperdebatkan dari generasi ke generasi dan akan berlarutan selagi mana kita tidak berlapang dada dan tidak cuba mengkajinya secara ilmiah.

Kita merasa terkilan kepada sebahagian yang mendakwa bermazhab Syafie tetapi sebenarnya telah berdusta dan mengkhianati Al-Imam As-Syafie Rahimahullah (204H) dengan menyatakan apa yang tidak dinyatakan oleh Al-Imam As-Syafie sendiri. Ini semua berpunca dari kejahilan dan sikap malas untuk membuka sendiri kitab-kitab Imam Syafie. Akhirnya hanya mendengar dan menerimanya tanpa dikaji adakah ianya benar atau tidak.

Disini kita tidak menyatakan bahawa Haramnya bermazhab, bahkan wajib bagi mereka yang tidak mampu untuk mencari dalil dari Al-Quran dan Sunnah untuk bertaqlid. Cuma yang diingkari ialah sikap Ta’sub kepada Mazhab seolah-olah mazhab merekalah yang benar dari mazhab yang lain.

Disini dibawakan kata-kata Al-Imam As-Syafie Rahimahullah yang menunjukkan betapa tawadu’nya beliau juga saranan supaya meninggalkan pendapatnya sekiranya bertentangan dengan sunnah Rasulullah Sallallhu alaihi wasallam

v ما من أحد إلا وتذهب عليه سنة لرسول الله r وتعزب عنه, فمهما قلت من قول, أو أصّلت من أصل فيه عن رسول الله r خلاف ما قلت, فالقول ما قال رسول الله rوهو قولي.

“Tiada seorang pun kecuali dia akan terlepas pandang dari sunnah Rasulullah. Maka apa sahaja yang aku ucapkan atau yang aku asalkan (kaedahkan) dari Rasulullah yang bercanggah dengan ucapanku. Maka sabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam itulah pendapatku.”

v أجمع المسلمون على أن من استبان له سنة عن رسول اللهr , لم يحل له أن يدعها لقول أحد.

“Telah disepakati bahawa sesiapa yang telah jelas baginya Sunnah dari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, tidak halal baginya mengambil pendapat yang lain.”

v إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله r , فقولوا بسنة رسول الله, ودعوا ما قلت. (وفي رواية : فاتبعوها, ولا تلتفتوا إلى قول أحد).

“Sekiranya kamu dapati di dalam kitab ku ini apa-apa yang menyanggahi Sunnah maka ambillah Sunnah Rasulullah dan tinggalkan pendapatku (dalam riwayat lain) maka ikutilah ia (Sunnah) dan janganlah kamu mengambil pendapat yang lain.”

v إذا صح الحديث فهو مذهبي

“Sekiranya Sahih sesuatu Hadith, (sanad dan matan) maka itulah Mazhabku.”

v أنتم أعلم بالحديث والرجال مني, فإذا كان الحديث الصحيح فأعلموني به أي شيء يكون : كوفياً أو بصرياً أو شامياً, حتى أذهب إليه إذا كان صحيحاً.

“Berkata Imam Syafie kepada Imam Ahmad bin Hanbal : Kamu lebih mengetahui Hadith dan Rawinya daripada Aku, sekiranya sesuatu hadith adalah sahih beritahulah kepadaku sama ada dari Kufah atau Basrah atau Syam . aku akan ke sana sekiranya hadith itu sohih.”

v كل مسألة صح فيها الخبر عن رسول الله rعند أهل النقل بخلاف ما قلت, فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي.

“Setiap perkara yang sahih dari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang bercanggah pendapatku, maka aku menarik semula daripadanya semasa aku hidup dan selepas kematianku.

v إذا رأيتموني أقول قولاً, وقد صح عن النبي r خلافه, فاعلموا أن عقلي قد ذهب.

“Sekiranya kamu dapati aku berkata sesuatu, tetapi thabit daripada Rasulullah berlawanan dengan pendapatku, ketahuilah ketika itu aqalku telah hilang.

v كل حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم فهو قولي و إن لم تسمعوه مني.

“Setiap hadith dari nabi sallallhu alaihi wasallam merupakan pendapatku, walaupun kamu tidak pernah mendengarnya daripadaku.”

Sekiranya diperhatikan kepada kata-kata Imam syafie ini kita dapati bahawa Imam Syafie tidak akan mendahulukan kata-katanya daripada Allah dan Rasul seperti mana yang difirmankan Allah di dalam Al-Quran Surah Al-Hujurat ayat 1

يأيها الذين آمنوا لا تقدموا بين يدي الله ورسوله واتقوا الله

“wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahulukan kata-katamu daripada Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kamu kepada Allah.”

Tetapi yang berlaku pada hari ini sekiranya ada orang yang membawakan hadith yang sahih, berlainan apa yang dipelajari dari mazhabnya, maka hadith nabi diketepikan disebabkan ta’sub memegang pendapat mazhab masing-masing, adakah perbuatan tersebut mengikut seperti mana yang diwasiatkan oleh Al-Imam As-Syafie, “Sekiranya Sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku”.

Fikirkan dan renungkanlah adakah kita lebih a’lim dari Imam Syafie yang ilmunya jika dibandingkan dengan kita, bagaikan setitis air ditengah lautan. Kesimpulannya siapakah yang lebih menyayangi dan menyanjungi tokoh ini yang digelar “Nasirus Sunnah”, mujaddid ke 2 selepas Umar bin Abdul Aziz. Adakah mereka yang mendakwa bermazhab syafie tetapi mengkhianati dan mendustai Beliau dengan mengatakan apa yang tidak Beliau katakan? Ataupun mereka yang mengikut Manhaj yang telah dilalui oleh Tokoh ini Al-Imam As-Syafie Rahimahullahu Ta’ala?

Hukum Berzikir dan berdoa beramai-ramai dengan suara yang nyaring.

1. Al-Imam Syafie menyebutkan tentang permasalahan ini di dalam kitabnya yang masyhur Al-Umm di dalam :-

باب كلام الإمام وجلوسه بعد السلام

(264) كان رسول الله r إذا سلم من صلاته يقول بصوته الأعلى: لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك وله الحمد .....الخ الحديث

قال الشافعي : وهذا من المباح للإمام, وغير المأموم, قال: وأي إمام ذكر الله بما وصفت جهرا أو سرا أو بغيره فحسن, وأختار للإمام والمأموم أن يذكرا الله بعد الإنصراف من الصلاة, ويخفيان الذكر, إلا أن يكون إماما يجب أن يتعلم منه, فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه ثم يسر, …..الدعاء. ولا تجهر ترفع ولا تخافت حتى لا تسمع نفسك, وأحسب ما روى ابن الزبير من التهليل النبي, وما روى ابن عباس من التكبير كما رويناه.

قال الشافعي : .........وأحسبه لم يمكث إلا ليذكر ذكرا غير جهر.

Bab perkataan Imam selepas salam.

Hadith bernombor 264 bermaksud Rasulullah sallallhu alaihi wasallam selepas memberi salam, baginda berzikir dengan kuat :إله الا الله وحده لا شريك له..... لا ( sehingga akhir hadith)

Berkata As-Syafie : Mana-mana imam yang berzikir dengan apa yang dinyatakan secara kuat atau nyaring atau perlahan atau yang lain adalah baik. Aku berpendapat imam dan makmum berzikir selepas selesai solat secara perlahan, kecuali bertujuan mengajar, maka dikuatkan. Setelah itu diperlahankan semula. Begitu juga dengan doa, tidak dikuatkan dan jangan pula perlahan sehingga tidak didengari olehnya.

( Lihat : Al-Umm, Muhammad bin Idris As-Syafie, jilid 2 muka surat 288, kitab As-Solat )

2. Di dalam Fathul Bari kitab yang mensyarahkan Sohih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar Al-Asqalani (852 Hijrah) menyatakan ketika mensyarahkan hadith :-

باب الذكر بعد الصلاة

(841)أن رفع الصوت بالذكر- حين ينصرف الناس من المكتوبة- كان على عهد النبي , r وقال ابن عباس, كنت أعلم إذا انصرفوا بذلك إذا سمعته.

(842)عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : كنت أعرف انقضاء صلاة النبي r التكبير.

Maksud hadith : (841) Sesungguhnya meninggikan suara ketika selesai dari solat-pernah berlaku pada zaman Nabi Sallallahu alaihi wasallam, Berkata Ibn Abbas : Aku mengetahui selesainya solat itu apabila aku mendengarnya (zikir)

Maksud Hadith : (842) Dari Ibn Abbas Radiallahu anhuma berkata: Dulu aku mengetahui selesainya solat nabi Sallallahu alaihi wasallam dengan Takbir.

Ibn Hajar menuqilkan dari Ibn Battal (بطال) di dalam “utbiah” dari Malik bahawa yang demikian itu Muhdath (bid’ah) . kemudian dia menyatakan dari segi konteks hadith menunjukkan bahawa para Sahabat nabi tidak mengangkat suara mereka pada waktu itu seperti mana yang diriwayatkan oleh ibn Abbas. Ibn Hajar Al-Asqalani berkata : Adapun pendapat yang mengaitkan perbuatan berzikir secara kuat itu dilakukan oleh sebahagian sahabat boleh dipertikaikan bahkan kalaupun ada para sahabah yang dikaitkan pada masa itu hanyalah sedikit.

Imam An-Nawawi berkata : Imam As-Syafie berpendapat bahawa mereka menguatkan suara ketika berzikir hanyalah seketika dan bertujuan untuk mengajar cara-cara berzikir, dan tidak pula mereka berterusan berzikir dengan cara menguatkan suara oleh itu pendapat yang dipilih ialah imam dan makmum berzikir dengan cara perlahan (tidak meninggikan suara) kecuali apabila hendak mengajar.

Perkataan Ibn Abbas bahawa beliau mengetahui selesainya solat nabi dengan takbir, berkata Iyadh (عياض) secara jelasnya hadith menunjukkan bahawa Ibn Abbas tidak hadir berjamaah kerana pada masa itu dia masih kecil dan tidak wajib baginya solat berjamaah, oleh yang demikian dia mengetahui selesainya solat dengan mendengar zikir atau takbir.

Pendapat yang lain menyatakan bahawa Ibn Abbas hadir solat jamaah tetapi berada di saf yang terakhir, oleh itu dia tidak mengetahui selesainya solat dengan salam tetapi dia mengetahuinya dengan takbir.

Ibn Daqiqil I’ed berpendapat bahawa hadith itu menunujukkan bahawa suara tidak dapat sampai kepadanya kerana jauh.

(Fathul Bari Syarh Sohih Al-Bukhari, Kitab Al-Azan, Bab berzikir selepas solat, jilid 2, muka surat 419-421.)

3. Hadith yang sama (di atas, riwayat bukhari) juga terdapat di dalam Sohih Muslim yang di syarahkan oleh Al-Imam An-Nawawi As-Syafie (676 Hijrah).

Imam Nawawi berkata : Ibn Battal dan yang lainnya menuqilkan sesungguhnya bersepakat bahawa tidak di sunnahkan mengangkat suara ketika berzikir dan bertakbir. Beliau juga menuqilkan dari Imam Syafie seperti yang telah dinyatakan.

(Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim oleh Al-Imam An-Nawawi, Bab Zikir selepas Solat, jilid 5, muka surat 85)

4. Begitu juga yang disebutkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya Raudatu al-Tholibin, beliau menyebut : Disunnahkan berdoa selepas salam secara senyap * kecuali imam hendak mengajarkan kepada yang hadir cara berdoa.

* Pentahqiq kitab Raudatu al-Tholibin Syeikh A’dil dan Syeikh A’li Muhammad di dalam nota kakinya menyatakan apa yang dilakukan orang awam dengan menguatkan suara ketika berzikir selepas solat dan menjadikannya adat bukan bertujuan mengajar maka ia termasuk di dalam Bid’ah yang mungkar yang sepatutnya dihalang dari melakukannya. ( Raudhah Al- Tholibin, jilid 1 muka surat 374)

5. Al-Imam Ibn al-Qayyim (751H) menyatakan Doa selepas salam sama ada mengadap kiblat atau mengadap makmum, yang demikian itu bukanlah dari petunjuk nabi sallallahu alaihi wasallam dan tidak diriwayatkan daripada nabi dengan sanad yang sahih juga tidak diriwayatkan dengan sanad yang hasan. Imam Ibn al-Qayyim seterusnya menegaskan bahawa umumnya doa dilakukan ketika berada di dalam solat kerana solat beerti munajat kepada Allah. Oleh yang demikian mengapa tidak berdoa ketika sedang bermunajat kepada Allah. Sedangkan masa yang paling hampir seorang hamba kepada Allah adalah di dalam solatnya.

( Ibn al-Qayyim, Zadul Ma’ad , jilid 1, muka surat 249-250)

6. Di dalam kitab Fiqh Manhaji iaitu kitab yang ditulis mengikut mazhab Syafie yang ditulis oleh ulama’ mazhab Syafie pada masa kini Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugha dan Ali As-Syarbaji dalam masalah Istighfar, zikir dan doa juga menyatakan “Tidak ada tegahan meninggikan suara bagi imam apabila bertujuan hendak mengajar, dan sekiranya mereka sudah mengetahuinya hendaklah kembali merendahkan suara. (jilid pertama muka surat 158)

7. Di dalam Kitab Al-Qaulul Mubin fi Akhta’ Musollin yang ditulis oleh Syeikh Masyhur Hassan Salman “ Bukanlah dari Sunnah apa yang dilakukan orang duduk selepas solat untuk membaca zikir-zikir dan doa-doa yang ma’thur atau yang tidak ma’thur dengan meninggikan suara secara berjamaah”.

8. Dr Wahbah az Zuhaili menyatakan zikir-zikir dibuat secara perlahan kecuali jika diajarkan kepada yang hadir maka dikuatkan sehingga mereka mengetahuinya.

( Al-Fiqhul Islami wa Adillatuh, jilid 1 muka surat 801)

9. Syeikh Ali Mahfuz, iaitu anggota Jamaah Kibar Al-Ulama’ di Al-azhar as-Syarif (1361 H) menyatakan, perbuatan yang dikira Bid’ah Makruhah (dibenci) dalam solat ialah meninggikan suara di masjid secara berjamaah serta berterusan dalam melakukannya sehingga orang awam menyangkakan ianya dari kesempurnaan solat, sedangkan yang sunnahnya bersendirian. Maka perbuatan demikian bukanlah dari nabi sallallahu alaihi wasallam, juga bukan dari para sahabah. Begitu juga dengan doa.

(Syeikh menjelaskan dengan panjang lebar dalam kitabnya Al-Ibda’ fi Madarril Ibtida’, muka surat 284-286)

Kesimpulan dari pandapat-pendapat para Ulama’ bahawa perbuatan berzikir dan berdoa beramai-ramai dengan meninggikan suara selepas solat bukanlah Sunnah untuk diikuti, juga tidak diriwayatkan dari kalangan salaf iaitu generasi yang awal melakukannya. Sekiranya ianya Sunnah sudah pasti para sahabat nabi akan meriwayatkannya dan melakukannya. jikalau sekiranya ianya baik nescaya kita akan berlumba-lumba melakukannya.

والله تعالى أعلم

Rujukan:

1. Ibn Hajar al-Asqalani, Fathul Bari syarh sohih al-Bukhari, cetakan Dar al-Salam.

2. An-Nawawi, Abi Zakaria, Al-Minhaj syarh sohih Muslim ibn Hajjaj, cetakan Dar al-Ma’rifah.

3. An-Nawawi, Abi Zakaria, Raudhah al-Tholibin, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiah.

4. As-Syafie, Muhammad b.Idris, Al-Umm, cetakan Dar al-Wafa’.

5. Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, Zadul Ma’ad, cetakan Muassasah al-Risalah.

6. Syeikh Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madarril Ibtida’, cetakan Dar al-Kutubul Ilmiyyah.

7. Masyhur Hassan Salman, Al-Qaulul Mubin fi Akhtho’al-Musollin, cetakan Dar Ibn al-Qayyim dan Dar Ibn Hazm.

8. Dr.Mustofa al-Khin, Dr.Mustofa al-Bugha, Dr. Ali Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam as-Syafie, cetakan Dar al-Qalam.

9. Dr.Wahbah az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, cetakan Dar al-Fikr.

وجمعه

أبو شعيب

24 ذوالقعدة 1425 كوالا لمبور

الجامعة الإسلامية العالمية بماليزيا

.

Islam Hadhari Membentuk Generasi



Oleh:
Dr. Mohd Asri b. Zainul Abidin
(Penyelaras Sekretariat Falsafah Dan Sains Islam USM)


Islam Hadhari(1) Membentuk Generasi al-Quran dan Al-Sunnah

Oleh:
Dr. Mohd Asri b. Zainul Abidin
(Penyelaras Sekretariat Falsafah Dan Sains Islam USM)

Pendahuluan

Islam adalah agama yang bertamadun. Sama ada ditambah perkataan hadhari atau tidak, tidak akan menjejaskan nilaian ketamadunan yang telah diletakkan oleh Allah dan RasulNya di dalam ajaran yang mulia ini. Islam yang sempurna seperti yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah merangkumi seluruh aspek kehidupan dan hajat manusia; sama ada di sudut tamadun kebendaan atau keruhanian. Penambahan perkataan al-hadhari selepas perkataan al-Islam bertujuan menggambarkan betapa Islam itu bertamadun. Sekalipun perkataan al-Islam sudah memadai, namun barangkali penambahan perkataan hadhari dirasakan mampu menyedarkan umat yang lalai bahawa Islam yang dianuti menuntut mereka membangun. Islam tidak mengajar umatnya mundur dan menjadi mangsa orang lain. Sebaliknya umat Islam mestilah bersifat memimpin manusia dan membimbing mereka ke arah tamadun yang sebenar, yang diredhai Allah kerana Islam itu bersifat hadhari.

Bilakah Pernambahan al-Hadhari diperlukan.

Pada asalnya, seperti yang dijelaskan di atas, kalimah al-Islam itu sudah memadai tanpa perlu kepada sebarang penambahan. Ini kerana Allah menamakan agamaNya sebagai al-Islam tanpa sebarang penambahan. Sekalipun disedari al-Islam yang diturunkan Allah sememangnya bersifat hadhari, seperti mana ia bersifat ruhi.

Namun dalam beberapa keadaan sifat hadhariyyah itu wajar untuk ditonjolkan, sebagai satu usaha dan ijtihad bagi menjaga nama Islam. Penambahan ini hanyalah sekadar taukid iaitu bagi lebih menjelaskan. Seperti kita menyebut “Muhammad s.a.w dia al-rasul yang mulia”. Perkataan Rasul sememang sudah terkandung makna atau maksud mulia. Ini kerana tidak mungkin seorang rasul tidak bersifat mulia.Namun penambahan perkataan mulia dibuat bagi memperkukuhkan perkara atau tajuk yang sedang diceritakan.

Saya melihat ada kewajaran penjelasan perkataan al-Hadhari bagi kalimah al-Islam dalam beberapa keadaan. Keadaan-keadaan tersebut, saya rumuskan seperti berikut :

i. Apabila Islam sedang ditohmah oleh pihak musuh sebagai agama yang tidak bertamadun dan mundur. Perkataan al-Hadhari ditambah bagi menafikan dakwaan tersebut.

ii. Apabila berlakunya salah sangka non-muslim terhadap sifat Islam dengan menganggap Islam tidak membawa kemajuan dan ketamadunan, atau mereka menyangka Islam sama seperti sifat agama-agama lain. Pernambahan perkataan hadhari boleh membantu mereka memahami kedudukan sebenar Islam.

iii. Apabila umat Islam lalai dan cuai dalam menghayati Islam yang syumul seperti yang diajar oleh Allah dan RasulNya sehingga kelihatan mereka tidak lagi menjadi umat yang berdaulat dan megah. Sebaliknya mereka tertindas, terpengaruh dengan kehebatan orang lain sehingga melupai Islam yang bersifat tamadun yang dianuti oleh mereka. Ketika itu perkataan al-Hadhari ditambah bagi mengingat umat bahawa Islam yang sebenar bersifat tamadun.

iv. Ketika umat Islam gagal memperlihatkan kepada dunia ciri-ciri ketamadunan diri yang bersesuaian dengan Islam yang bersifat hadhari. Kemunduran umat menjadi fitnah kepada Islam. Ketika itu, dunia mesti dijelaskan bahawa telah berlaku perbezaaan antara sikap penganut Islam dengan Islam yang hadhari.Kemunduran tidak boleh dikaitkan dengan Islam, justeru kerana Islam itu bersifat hadhari.

v. Ketika kita sedang melancarkan kempen kesedaran agar umat Islam kembali bangkit membina kegemilangan lampau. Seruan yang mengingatkan tentang tamadun yang menjadi sifat Islam akan mampu menjadikan umat lebih tertumpu dan fokus kepada objektif yang hendak dituju iaitu mereka mesti bergerak membina semula kecemerlangan tamadun.


Mentamadunkan Umat Bukan Merangka Semula Agama

Adapun ajaran Islam sudah sempurna dan cukup. Tidak memerlukan sebarang penambahan. Tidak memerlukan asas-asas baru. Sesiapa yang cuba membuat asas-asas baru bagi Islam, selain dari apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah bererti dia sebenarnya sedang membuat agama baru.
Firman Allah:



وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْخَاسِرِينَ


(maksudnya) Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai din, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
(Surah Ali ‘Imran:85)


إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمْ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
;


(maksudnya): Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan mereka yang diberikan Kitab itu (Yahudi dan Nasrani) tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah datang kepada mereka pengetahuan (yang sah tentang kebenarannya) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
(Surah Ali ‘Imran 19)

Maka jelas bahawa Islam tidak berhajatkan kepada sebarang pembaharuan. Apa yang perlu diperbaharukan ialah sikap dan pemikiran umat yang mengaku menyandarkan diri kepada Islam. Umat Islamlah yang perlu ditamadunkan agar mereka menjadi lebih selaras dengan Islam yang dianuti oleh mereka. Ini kerana yang menjadi punca masalah adalah sikap umat bukan agama yang dianuti oleh mereka. Setelah menggambarkan keagungan generasi Islam yang lampau, ‘Ali Tantawi berkata: “Mijoriti kaum muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan-kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam (menghina Islam-pen). Sehingga Jamal al-Din al-Afghani, atau Muhammad ‘Abduh menyebut perkataan yang hebat: “Islam itu terlindung oleh penganutnya”(2)

Al-Quran dan al-Sunnah Acuan Tamadun Ummah

Atas apakah tamadun diukur dan dibina?. Apabila kita memperkatakan Islam yang bersifat tamadun erti diri Islam itu sendiri bertamadun. Menghayati Islam yang sebenar bererti menghayati tamadun keagungan. Sumber Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang menghayati dan beramal dengan sumber agung ini bererti dia mengamalkan Islam yang sebenar. Sesiapa yang mengamalkan Islam yang sebenar bererti dia sedang menghayati tamadun yang agung. Kemunduran umat hari ialah kerana mereka menyimpang dari kedua sumber agung ini.

Kita tidak boleh untuk membina tamadun kegemilangan dengan membebaskan diri dari ikatan-ikatan Islam, kononnya kerana inginkan kemajuan dan ketamadunan. Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan diri dari ikatan Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, maka tidak perlu kita membinanya atas nama Islam. Jika inginkan ketamadunan dalam ertikata yang tidak difahami oleh Islam, Tamadun Barat sudah terbentang luas untuk kita menganutinya. Namun apabila kita ingin membina kemajuan dan ketamadunan atas nama Islam, maka kita mesti terikat dengan kehendak dan peraturan Islam. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Namun yang kita ingin tegaskan sejak dari awal bahawa hadarah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan. Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadarah al-Islam (Tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara ruh dan kebendaaan. Menseimbangkan antara akal dan hati. Menghimpunkan antara ilmu dan iman. Ia mengambil berat tentang ketinggian akhlak seperti ia mengambil berat tentang kemajuan kebendaan. Ia sebenarnya tamadun keruhanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jamaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan pertengahan” (3)

Memahami Kekuatan Hadarah Islamiyyah Yang Lampau

Kita tidak mungkin memahami dan mengulas tamadun yang telah dibina oleh generasi umat Islam yang lampau tanpa menghayati akidah dan pegangan Islam yang mereka kukuh berpaut dengannya. Mereka membina tamadun dengan acuan Islam yang diimani oleh mereka. Islam itu yang mengalir dalam urat nadi tamadun yang mereka pasak. Mereka mencintai dan membina tamadun di atas tapak tersebut. Tanpa memahami keimanan mereka, kita tidak akan mampu memahami kekuatan tamadun Islam sepanjang zaman. Tokoh sejarahwan Islam kini, Mahmud Syakir pernah membuat suatu perbandingan (analogi) yang sangat menarik, katanya:”Sesungguhnya seorang juru bina tidak akan dapat mendirikan binaan melainkan setelah dia mengkaji tapak binaan, jenis tanah, mata air dan lain-lain. Seorang doktor tidak akan mampu memberikan rawatan yang berkesan melainkan setelah dia bertanya pesakit mengenai puncanya, makanan, minuman dan lain-lain. Demikian juga seorang sejarahwan tidak dibolehkan menyebut sesuatu kisah yang sampai kepadanya atau menghuraikan sesuatu petikan tanpa mengetahui titik tolak umat ini iaitu `aqidah dan segala yang terpancar darinya iaitu kefahaman, nilaian dan maksud. Ini kerana dibimbangi akan memesongkannya di belakang hawa nafsu dan huraian yang salah yang akan membawa kepada mengubah sepenuhnya sesuatu keadaan dan jauh pula dari kefahaman yang sebenar”(4).

Apabila kita ingin mencontohi mereka tanpa mengetahui rahsia kekuatan iaitu berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah maka kita akan gagal. Bekalan al-Quran dan al-Sunnah telah menjadikan mereka umat yang bertamadun.

Hari ini kita mungkin tertanya-tanya: Ke mana pergi ketamadunan agung yang telah dibina oleh kaum muslimin, khususnya bangsa Arab? Mengapa dunia arab menjadi hina? Ke manakah perginya arab yang dikatakan dahulunya pernah membuka empayar yang memberi kedamaian dan keadilan kepada dunia sejagat. Di manakah hilang khazanah tamadun yang dibanggakan oleh umat yang tercatat dengan tinta emas dalam lipatan sejarah peradaban manusia?

Jawapan sebenarnya terhimpun dan ucapan amirul mukminin `Umar bin al-Khattab r.a. pada hari beliau ke Syam dalam keadaan dan pakaian yang serba sederhana. Beliau ditegur oleh pimpinan tentera kerana bimbang keadaan beliau itu menjejas identiti beliau di hadapan tentera. Beliau menjawab dengan ucapan yang sangat bermakna :


إنا كنّا أذلَّ قومٍ فأعزّنا الله بالإسلامِ فمهما نطْلب العزّةَ بغير ما أعزَّنا الله به أذلّنا الله
;
(5)

“Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”.

Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya كيف دخل العرب التاريخ ; menggambar betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah. Sekalipun pada Arab itu ada ciri-ciri yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki keberanian dan kepandaian dalam senjata, juga tunggangan kuda. Mereka mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik. Malangnya kesemua itu tidak mampu membawa mereka ke persada sejarah yang gemilang. Namun mereka akhir berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah. Sehingga al-Nadwi menyatakan: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”(6)

Generasi al-Islam al-Hadhari

Asas-asas yang diletakkan oleh al-Quran dan al-Sunnah menuntut beberapa perkara dalam kehidupan agar kita dalam menjadi ummah yang bertamadun. Di sini saya kemukakan asas-asas itu secara terpilih bersesuaian dengan tuntutan kehidupan genarasi hadhari yang bertunjangkan al-Quran dan al-Sunnah:

i. Generasi Yang Memelihara Ketulenan Agama.

Oleh kerana agama adalah asas yang menjadi tapak pembinaan tamadun, maka agama mesti dipelihara ketulenannya. Ketulenan itu dipelihara pada dua bahagian ;

Pertama : Ketulenan sumber.

Kedua : Tafsiran terhadap sumber yang tulen dengan kaedah-kaedah yang betul. Kaedah-kaedah itu terkandung dalam ilmu-ilmu teras seperti Bahasa ‘Arab, ‘Ulum al-Hadith, Usul al-Fiqh dan ‘Ulum al-Quran.

Agama mesti kekal terpelihara. Apatah lagi dalam dunia yang maklumatnya serba tangkas dan pantas. Sesuatu yang benar dan bohong sukar untuk dinilai. Sifat insan muslim yang bertamadun sentiasa menyaring dan memilih agar dia tidak terperangkap dengan maklumat yang bohong dan palsu. Bukan bertamadun namanya manusia yang menerima apa sahaja yang didengar tanpa mampu membuat penilaian terbaik.

Sabda Nabi s.a.w.


تأتي على الناس سَنوات خدّعات يُصدَق فيها الكاذب ويُكذَب فيها الصادق ويُؤتَمَن فيها الخائن ويُخَوَّن فيها الأمين ويَنطق فيهم الروَيْبِضة. قيل: يا رسول الله وما الرويبضة؟ قال: الرجل التافه يتكلم في أمر العامة .
; (7)
.


Maksudnya: “Akan datang datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu dibenarkan orang yang dusta, didustakan orang yang benar, dianggap amanah orang yang khianat, dianggap khianat orang yang amanah, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)”.


Apabila kita sebut agama atau Islam, maka sumber asasnya ialah al-Quran dan al-Sunnah. Huraiannya mengenai kedua sumber diteliti kesahihannya. Kata Ibn Sirin (110H):



إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ
; (icon_cool.gif


“Sesungguhnya ilmu ini (mengenai Al-Quran dan al-Sunnah) adalah din (agama). Oleh itu perhatilah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu.”

i.i. Menjaga Ketulenan Sumber

Tafsiran dan huraian terhadap al-Quran secara yang salah boleh mencemar nilaian kitab agung sumber ketamadunan itu. Antaranya ialah sumber-sumber Israiliyyat yang karut dalam tafsir mestilah dikikis dari pemikiran umat. Inti kandungan sumber-sumber ini kadang-kalang memalukan Islam di hadapan dunia moden. Umpamanya riwayat palsu ini :



إن الأرض على صخرة والصخرة على قرن ثور فإذا حرّك الثور قرنه تحركت الصخرة فتحركت الأرض وهي الزلزلة

“Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”


Ini adalah riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini : “Yang peliknya ada orang yang sanggup memasukkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini”(9) .

Kata Abu Syahbah : “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul”(10) .

Ramai golongan dahulunya mempercayai perkara ini, bahawa dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu itu berada atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu yang lain. Ini semua memalukan Islam dalam manusia maju dan moden ini. Ia mencemarkan Islam yang bersifat hadhari.

Contoh lain : Riwayat dusta ketika menafsir surah Qaf yang menyebut bahawa Qaf adalah bukit yang mengeliling langit dan bumi. Ini adalah dusta dan khurafat yang bertentangan dengan akal yang waras. Memalukan agama dihadapan para pengkaji alam yang terdiri dari kalangan orang kuffar. Ianya hanyalah khurafat dan dusta Bani Israil, tidak harus meriwayatkannya (11)

Contoh lain : Cerita bahawa kapal Nabi Nuh a.s. tawaf ka’bah dan bersolat di makam Ibrahim dua raka`at. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal. Nuh a.s. wujud sebelum Ibrahim a.s.. Di mana ka`abah dan makamnya ketika itu?. Para pembaca akan melihat bantahan para ulama hadith terhadap riwayat ini dalam kebanyakan kitab `ulum al-hadith di bawah tajuk [b]al-Hadith al-Maudu’. Termasuk yang menempelak riwayat al-Imam al-Syafi’i [/b] (12)l. Kata al-Syeikh Abu Syahbah: “Ini adalah khurafat yang direka Yahudi". Malang sekali masih ramai golongan yang berceramah menjadi pembaca cerita dusta dan haram ini.

Di saat dunia semakin canggih dan moden. Kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang telah membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam yang bersifat hadhari, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya Islam sahaja, yang dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan. Tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulin tetap utuh, kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari oleh kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan Sunnah yang sahih. Malangnya ada di kalangan umat, terutama para pendakwah dan penceramah yang kurang berhati-hati mencemarkan al-Quran dengan kisah-kisah israiliyyat dan rekaan yang mencemarkan agama. Kedangkalan mereka mengenali disiplin ilmu telah merosakkan agama dari dalam.

Jika perkara ini dibiarkan maka para nabi a.s. juga akan tercemar dengan kisah-kisah yang tidak berpijak pada fakta yang benar. Ramai yang menganggap perkara ini biasa. Namun agama menganggapnya sebagai satu kesalahan yang besar. Pencemaran agama lebih besar dari sebarang pencemaran. Hasil dari sikap kurang bertanggungjawab ada orang melayu yang membuat cerita “Nabi Sulaiman dan Sang Kancil”. Mungkin perekanya ingin mencipta kisah berpengajaran. Namun penglibatan nama seorang nabi secara bohong adalah satu jenayah agama dalam memalukan Islam Hadhari.

Demikian juga dalam persoalan al-Hadith, hasil dari sikap yang tidak berpegang kepada ajaran dan panduan al-Quran dan al-Sunnah, juga nasihat para ‘ulama, hadith-hadith palsu terus bertebaran. Punca utama masalah ini ialah banyak di kalangan umat Islam yang tidak memerhati kedudukan hadith-hadith yang dibaca atau diamalkan. Justeru itu, hadith-hadith palsu atau disebut [/i]hadith maudu’ الحديث الموضوع; [/i](14) bertebaran dalam masyarakat beragama. Nabi s.a.w bersabda :

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ;(15)

(maksudnya) “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. Hadith ini adalah mutawatir(16)

Dalam riwayat lain baginda menyebut:



يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ يَأْتُونَكُمْ مِنَ الْأَحَادِيثِ بِمَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلَا آبَاؤُكُمْ فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ لَا يُضِلُّونَكُمْ وَلَا يَفْتِنُونَكُمْ
;(17)
.

(maksudnya): Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadith-hadith yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar).

Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya atau membacanya kepada khalayak tanpa diterangkan kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (1icon_cool.gif .

Hadith-hadith yang palsu ini juga mencemarkan agama.

Contohnya : Kata Abu Syahbah : Demikian seperti yang di dakwa oleh sebahagian penulis-penulis Israk dan Mi'raj bahawa Nabi s.a.w memijak [b]Arsy dengan kasutnya dan Allah berfirman: "Wahai Muhammad telah mulialah Arsy dengan kasutmu." Ini adalah perkataan (riwayat) yang batil!!!. Telah ditanya al-imam Radiy al-Din al-Qazwaini رضي الدين القزويني; tentang perkara tersebut, jawabnya: "..adapun hadith Nabi memijak arasy dengan kasutnya adalah tidak thabit (benar). Bahkan sampainya baginda ke kemuncak Arsy juga adalah tidak diperkukuhkan dengan dengan khabar yang sahih atau hasan bahkan tidak thabit sama sekali. Hanya yang thabit di dalam hadith ialah baginda sampai setakat Sidrat al-Muntaha sahaja."

Di samping itu Abu Syahbah juga menyebut bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan Islam(19)

Bahkan adalah memalukan umat Islam apabila para saintis mengetahui kaum muslimin mempercayai bahawa dunia ini hanya berusia 7000 tahun pada zaman Nabi s.a.w. dan sekarang tentunya tidak lebih dari 8500 tahun usia dunia. Sedangkan kajian telah membuktikan umur dunia jutaan tahun mengatasi tempoh tersebut. Riwayat itu palsu dari segi sanadnya dan khurafat inti kandungannya.

Justeru itu di kalangan ulama hadith menyebut:


إذا رأيت الحديث يباين المعقول أو يخالف المنقول أو يناقض الأصول فاعلم أنه موضوع
(20)


(Apabila engkau melihat sesebuah hadith menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu).

Kata Dr. al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah : “Sepertimana para ulama hadith mengambil berat berhubung analisa kritis terhadap sanad yang merupakan analisa kritis luaran, mereka juga membuat analisa kritis terhadap matan (textual criticism) iaitu analisa kritis dalaman. Ini terbukti dengan mereka menjadikan salah satu tanda-tanda hadith palsu ialah percanggahannya dengan al-`aql (akal), atau al-musyahadah المشاهدة (apa yang disaksi di alam kenyataan), atau al-hiss الحس (apa yang dikesan oleh pancaindera) sedangkan ianya tidak mampu untuk ditakwilkan dengan takwilan yang hampir dan mungkin[b](21).

Dalam banyak keadaan mereka maksudkan ialah percanggahan dengan al-Quran, atau al-Sunnah yang masyhur lagi sahih, atau sejarah yang diketahui, sedangkan ianya tidak mampu untuk ditaufiqkan (dipertemukan). Para ulama hadith menjadikan antara jenis hadith dhaif ialah hadith munkar, shaz شاذ, mu‘allal al-matn, mudtarib al-matn مضطرب المتن dan lain-lain” (22)

Ini semua penting agar tidak dicemarkan Islam yang bersifat tamadun ini. Riwayat-riwayat yang palsu mencemarkan agama di mata masyarakat yang sudah meningkat maju dan moden.

i.ii. Menafsirkan Nas-Nas Agama Dengan Kaedah Yang Betul.

Penafsiran terhadap nas-nas agama hendaklah dengan cara yang betul. Bukanlah tabiat insan hadhari menyelewengkan fakta dan membuat tafsiran yang salah dengan sengaja terhadap nas. Kadang-kala ada pihak yang menyangka dengan tafsiran-tafsiran yang menyanggahi kaedah-kaedah ilmu mereka mencapai kemajuan berfikir. Mereka yang bersifat hadarah adalah yang patut kepada disiplin ilmiah dan peraturan ilmu. Isu-isu seperti poligami(23) ., hiburan tanpa sempadan, pergaulan bebas lelaki dan wanita tidak wajar diselewengkan maksud nas-nas agama semata-mata kerana menurut tuntutan beberapa pandangan yang tidak memahami dan menghayati maksud-maksud syarak.

Cadangan :


·
Mengujud badan pemantau yang terdiri dari ahli bidang yang berkelayakan terutamanya dalam hadith bagi mentakhrijkan(24) untuk umum hadith dan riwayat yang disiarkan dalam media-massa dan bertebaran dalam masyarakat.

·
Mengujudkan badan yang dapat mengeluarkan penjelasan ilmiah mengenai salah tafsiran isu-isu agama yang timbul.

ii. Generasi Yang Teguh Memegang Aqidah Dan Syariat

Kita tidak wajar dinamakan bertamadun dengan tamadun Islam jika dalam masa yang sama kita terlepas daripada ikatan akidah dan syariah. Akidah adalah penentu kaitan kita dengan Islam, sementara syariah pengukur keteguhan dan kekuatan akidah.

ii.i. Akidah Islam

Akidah Islam adalah akidah yang bebas dari sebarang unsur syirik dan khurafat. Syirik adalah pencemaran terhadap akidah, sementara khurafat adalah pencemaran terhadap kewarasan berfikir. Pengenali Allah sebagai ilah yang diabdikan diri adalah kemuncak keagungan ilmu dan pegangan. Maka dakwah kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah adalah kemuncak dakwah para Rasul. Di dalamnya terkandung makna mengenali Allah dan bertauhid untukNya. Bukan sekadar mengakui keesaan Allah dan hanya Dialah pencipta seperti yang difahami oleh sesetengah pihak, itu hanya satu juzuk daripada manhaj al-Quran tetapi bukan keseluruhannya. Al-Quran menyeru agar ditauhidkan Allah dan mengakuinya hanya Dialah pencipta. Inilah yang kita namakan dengan Tauhid al-Rububiyyah. Namun ini tidak mencukupi. Ianya hendaklah disempurnakan dengan Tauhid al-Uluhiyyah yang memutlakkan ibadah dan tauhid hanya kepadaNya. Ini menuntut antaranya(25) . agar kita ;

i. Mengikhlaskan cinta kepada Allah.

ii. Hanya berdo‘a, bertawakkal dan berharap kepadaNya dalam perkara-perkara yang hanya Dia mampu melakukannya.

iii. Hanya takut yang mutlak kepadaNya.

iv. Untuk Allah sahaja seluruh ibadah.


Tauhid inilah yang terkandung dalam hakikatnya keseluruhan tauhid yang lain; al-Rubbiyyah dan Tauhid al-Asma wa al-Sifat(26).. Inilah seruan para rasul. Bukanlah seorang insan yang bertamadun dalam erti kata yang sebenar jika ia gagal mengenali tuhannya dan mengabdikan diri kepadanya.

ii.ii. Syariat Islam

Demikian syariat adalah peraturan yang dipatuhi sebagai terjemahan kepada akidah yang diimani. Insan hadhari ialah insan yang mematuhi disiplin, batasan dan peraturan. Masyarakat yang tidak berperaturan tidak layak dinamakan masyarakat hadhari. Peraturan Allah yang merangkumi undang-undang dan kewajipan adalah peraturan tertinggi yang terlukis dengannya wajah penghayat al-Islam al-Hadhari. Syariat Allah adalah syumul merangkumi segala ruang hidup insan. Masyarakat al-Islam al-Hadhari berusaha mematuhi syariat ini semampunya dalam semua ruang tersebut. Syariat diamalkan dalam ibadah dan akhlak, pendidikan dan sukan, seni dan hiburan, media dan berita dan sebagainya.

Di samping, golongan agama wajib membahas syariat atau hukum-hakam fiqh dalam bentuk yang lebih mudah bersesuaian dengan perkembangan zaman. Perbincangan-perbincangan fiqh dalam yang kuno dan terikat dengan isu-isu yang hampir tidak wujud lagi hendaklah ditinggalkan. Ianya tidak bersesuai dengan Islam yang cenderung kepada yang mudah. Usaha-usaha kepada Taisir al-Fiqh hendaklah dihidupkan bagi membolehkan Al-Fiqh al-Islami benar-benar dihayati oleh generasi moden yang serba rencam kehidupan mereka. Taisir al-Fiqh(27) tertumpu kepada dua perkara:


i. Mudah untuk difahami.

ii. Mudah untuk diamalkan.


Namun ini memerlukan penglibatan ahli dalam bidang ilmiah, yang mampu memahami dan melihat dalil-dalil syarak dengan kaedah-kaedah yang betul di samping menghayati maqasid al-Syara’.

Cadangan:

·
Bagi menghayati al-Islam al-Hadhari, setiap cabang penting yang mempengaruhi gaya dan cara hidup masyarakat, seperti hiburan dan seni hendaklah diwujudkan suatu majlis pembimbing yang akan menyelia dan membimbing selaras dengan penghayatan yang sedang dituju, contohnya mewujudkan majlis penasihat seni berasaskan Islam Hadhari.


·
Mengujudkan usaha ke arah membentuk Al-Fiqh al-Muyassar bagi menghidupkan ‘fiqh islami mudah’ dalam masyarakat Islam Hadhari.

iii. Generasi Yang Memiliki Al-Fiqh al-Hadari

Perkataan al-Fiqh al-Hadari ini pada peringkat awalnya cuba diperkenalkan oleh ‘Umar Baha` al-Din al-Amiri r.h. Namun beliau tidak meletakkan garisan panduan mengenainya. Dr Yusuf al-Qaradawi dalam karya السنة مصدرا للمعرفة والحضارة cuba memberikan panduan mengenainya. Kata al-Qaradawi: “Kita maksudkan dengan al-Fiqh al-Hadari iaitu Fiqh yang menumpukan pemindahan insan dari kefahaman yang mendatar kepada kefahaman yang mendalam terhadap alam dan kehidupan, dari akal yang beku kepada akal yang bergerak, dari yang muqallid dan pengikut kepada akal yang bebas dan merdeka, dari akal yang khurafat yang menurut sangkaan-sangkaan kepada akal ilmu yang mengikut bukti, dari akal yang taksub kepada akal yang terbuka, dari akal yang bongkak kepada akal yang tawaduk, yang mengetahui kadarnya dan tidak melebihi kemampuannya”(2icon_cool.gif

Dalam tulisannya, Dr. al-Qaradawi menggambarkan gambaran terhadap al-Fiqh al-Hadari yang dimaksudkannya. Namun saya di sini akan memberikan satu gambaran bagaimana masyarakat secara khususnya, dalam beberapa keadaan kehilangan al-Fiqh al-Hadari ini.

Ramai pelajar melayu yang lemah serta ketinggalan dalam pelajaran dan ilmu pengetahuan. Hinggakan dalam persoalan ilmu-ilmu Islam, orang melayu tidak berminat dengan ilmu Islam yang tulen. Mereka lebih minat cerita-cerita Israiliyyat, cerita dongeng, petua-petua yang tidak bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka lebih suka maklumat yang diperolehi secara mudah tanpa fikir dan kaji. Perpustakaan-perpustakaan awam dan buku-buku, nisbah orang melayu yang mengguna dan membaca masih lagi nipis. Di bandingkan dengan bangsa lain, mereka kurang berusaha dan cuai dalam pelajaran. Namun begitu apabila hampir kepada tarikh peperiksaan sesetengah ibubapa melayu akan mencari kismis jampi atau air jampi ustaz untuk menghasilkan keputusan yang cemerlangan. Hasilnya, apabila keputusan peperiksaan keluar, pelajar yang berusaha tentu lebih cemerlang daripada yang hanya bergantung dengan air atau kismis jampi. Kalau orang cina yang belum Islam tersalah faham tentang Islam dengan menganggap perbuatan pelajar melayu yang bergantung dengan air yang dianggapnya agama Islam, lalu mendapat keputusan yang kurang baik daripadanya, tentu dia menolak Islam.

Islam tidak mengajar hanya berjampi untuk menjadi cerdik. Dalam hadith ada beberapa orang sahabah yang dido`akan oleh Nabi s.a.w. agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabah yang masih muda Ibn ‘Abbas r.a.huma yang baginda doakan untuknya :

اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْكِتَابَ
[b](29)


“Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran)”
[/b]

Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, penafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek, sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperolehi ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda s.a.w selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas tiga belas tahun. Beliau terus mengambil hadith daripada para sahabah seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu’az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Abu Sufyan, Abu Zar, Ubai bin Ka’b, Zaid bin Thabit dan lain. Berguru al-Quran dengan Ubai bin Ka’b dan Zaid bin Thabit (30)

Ertinya terlaksananya kehendak Allah dengan peraturan yang Allah tentukan untuk alam ini, iaitu sebab musabab. Ilmu datang dengan usaha dan kesungguhan. Para ulama seperti al-Imam al-Bukhari (w. 256H), al-Imam al-Syafi‘I (w. 204H), Ibn Taimiyyah (w. 728H) dan seumpama mereka mereka menjadi jaguh ilmu setelah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Ditanya al-Imam al-Syafi‘i. Dalam Tawali al-Ta`nis bi Ma‘ali Muhammad bin Idris karangan Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H); kata Ibn Abi Hatim: “Aku mendengar al-Muzani (murid besar al-Imam al-Syafi‘i) berkata: “Ditanya kepada al-Syafi‘i: Bagaimana perasaan inginanmu terhadap ilmu?. Jawabnya: “Apabila aku mendengar satu perkataan yang belum pernah aku dengar, maka seluruh anggota inginkan jika mereka memiliki pendengaran agar dapat menikmati apa yang dinikmati oleh kedua telinga”. Bagaimanakah halobamu terhadap ilmu?. Jawabnya: “Seperti haloba pengumpul harta yang begitu menjaganya dalam mencapai kelazatan hartanya”. Bagaimanakah keadaan engkau mencari ilmu?. Jawabnya : “Seperti pencarian seorang wanita yang kehilangan anak tunggal”. Demikianlah juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang disebut oleh muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim (w. 751H) bahawa karangan gurunya mencapai 350 buku. Beliau dikatakan sentiasa mendampingi ilmu. Hidupnya dengan ilmu. Dalam Raudah al-Muhibbin Ibn al-Qayyim menyebut : “Syeikh kami (Ibn Taimiyyah) menceritakan kepadaku: “Apabila aku sakit, tabib menyatakan kepadaku : “Sesungguhnya mentelaahmu dan cakapmu dalam ilmu pengetahuan menambahkan sakitmu”. Jawabku: “Sesungguhnya aku tidak sabar untuk itu. Aku ingin menilai pandanganmu dengan ilmu perubatanmu; tidakkah jiwa apabila ia gembira dan suka maka tabiatnya menjadi kuat dan menolak penyakit?”. Jawab dia: “Ya”. Aku berkata: “Sesungguhnya diriku bergembira dengan ilmu, maka tabiatnya menjadi kuat, lalu aku mendapati kerehatan”.

Demikianlah para ulama yang cemerlang. Mereka tidak bergantung kepada air jampi atau pensel dan pemadam jampi sebelum memasuki peperiksaan. Generasi lalu cemerlang kerana mementingkan ilmu dan ikhlas kepada Allah dalam menuntutnya. Bukan hanya mementingkan sijil. Sikap mereka yang ikhlas terhadap ilmu dan berusaha agar benar-benar cemerlang dalam bidang yang diceburi membawa Islam gemilang dan terbina tamadun ilmunya.

Ramai anak melayu yang hanya mementingkan sijil tetapi tidak kualiti ilmunya. Akhirnya ramai yang mendapat sijil, namun tidak tertonjol kualitinya. Maka lahirlah golongan yang tiada sijil dan ada ilmu, dalam masa yang sama yang lebih malu ialah golongan yang ada sijil, tiada ilmu. Ini kerana mungkin mereka membaca sekadar untuk menjawab peperiksaan, apabila tamat peperiksaan ilmu pun hilang. Kalaulah air jampi benar-benar berfungsi tanpa perlukan kesungguhan ilmu tetapi akan betul dalam peperiksaan, maka itu tentu akan melahirkan lebih ramai pelajar lulus atau berjaya tanpa ilmu.

Islam agama yang hebat. Agama yang mengajar penganutnya amanah, dan tepat janji. Kalau seorang berniaga dia amanah dan tepat. Islam pentingkan kebersihan sehingga mensyaratkan kesucian dan kebersihan di dalam solat seorang muslim. Diharamkan perkara yang keji atau jelik. Diharamkan mendatangi isteri ketika haid. Diharamkan bangkai dan kekotoran. Ini semua membimbing seorang hidup muslim. Dalam perniagaan jika ruh dan semangat Islam dibawa bersama, tentu orang melayu yang beragama Islam akan maju. Kedai atau perniagaannya tentunya bersih, barangannya terjamin halal, janjinya tepat, dan penampilannya di hadapan pelanggan memuaskan hati. Ini membawa keberkatan dan sekaligus dengan izin Allah kemajuan dalam perniagaannya. Malangnya, ramai melayu yang tidak mengambil ruh Islam dalam usahanya, sebaliknya ada yang percayakan kemunduran perniagaannya hanya kerana “buatan orang” atau “angkara dibomohkan”. Saya tidak menolak wujudnya sihirnya. Al-Quran dan al-Sunnah mengakui kewujudannya dengan izin Allah. Namun setiap kali seseorang itu tidak laris atau bermasalah, dikaitkan dengan sihir yang sebahagian besarnya adalah dogengan bomoh, lalu dituduh orang itu dan ini. Beratus, mungkin beribu ringgit pulak terpaksa dibelanjakan untuk menaja jampi penangkis daripada bomoh-bomoh yang dianggap handal. Kalau benar ada bomoh yang hebat sehingga membangkrapkan peniagaan orang lain, suruh sahaja dia membangkrap barangan Amerika, tidak susah-susah kita nak boikot.

Kebelakangan ini sudah agak ramai orang melayu yang terlibat dengan perniagaan dan menghasilkan keluaran sendiri. Namun jika kita perhatikan ianya masih dalam lingkungan yang sama. Kebanyakannya keluaran orang melayu masih berkaitan dengan ubat. Paling tidak dilupai ubat tenaga batin. Ada yang jual kismis jampi, kononnya dengan memakan akan jadi jadi cerdik dan bijak. Sebenarnya tiada satu hadith yang sahih pun yang menyebut demikian. Namun apa yang saya bimbang, orang akan menganggap orang melayu kebelakangan ini penuh dengan berbagai penyakit badan dan kelemahan akal. Dimanakah tanggungjawab fardu kifayah untuk memenuhi keperluan umat jika perniagaan kita masih sekitar “tenaga batin?!!”. Demikianlah adanya, kita dalam banyak hal kehilangan al-Fiqh al-Hadari.

iv. Generasi Yang Ukhuwwahnya Membina Hadharah

Setelah kekuatan akidah dan syariah dimiliki, maka kekuatan kebendaan mestilah dibina. Pada zaman ini, keteguhan dan kekuatan ekonomi adalah senjata yang paling ampuh. Umat yang bergantung kepada belas ihsan orang lain tidak akan mampu bangun dan menghadapi cabaran zaman kini.bantu-membantu membangun umat adalah tuntutan syarak. Justeru itu, Nabi s.a.w memuji puak asy‘ariyyin dengan sabdanya :

إِنَّ الْأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ اقْتَسَمُوهُ بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُمْ
(31)


(maksudnya)“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka."

Baginda S.A.W. memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin mnejamin kebajikan sesama mereka. Maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.

Tolong menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas : “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan(32)

Kalaulah tolong menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasululuh S.A.W. demi kebajikan terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuh dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. Sabda Nabi S.A.W. :


عَنْ أَبِي مُوسَى عَنِ النَّبِيِّ rقَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
[b](33)


“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”.

Seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim.

Di samping itu kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara umat Islam masih lagi bergantung kepada dunia Barat. Inilah adalah salah satu faktor menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mengujudkan kesatuan dagang dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan : “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”(34)

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi pula: “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidakmenggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita...jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun”(35)

Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Bagi peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan kerajaan-kerajaan umat Islam yang ada.

Ini salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat.. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Al-Syeikh Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith : “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain” di atas, menyebut : "Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, ianya semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa(36)

Cadangan:

·
Meningkatkan kempen di peringkat tempatan dan antarabangsa tentang keperluan pengeluaran produk muslim.

·
Meningkatkan kempen di peringkat tempatan dan antarabangsa tentang keperluan membeli barangan muslim.

Penutup

Inilah beberapa pandangan dan langkah yang dicadangkan oleh pembentang dalam sebuah kertas kerja yang ditulis dalam keadaan segera dan tergesa. Semoga Allah membimbing kita semua ke arah membangunkan umat Islam Hadhari.

-------------Nota Kaki----------------------------------------

(1) Perkataan asal yang sepatutnya ialah al-Islam al-Hadari ÇáÅÓáÇã ÇáÍÖÇÑí yang membawa maksud Islam (iaitu agama yang kita anuti) yang bersifat tamadun. Sebutan Islam Hadari kurang tepat dari segi tarkib ‘arabi, namun boleh diterima jika kita menganggap itu adalah sebutan dalam versi Bahasa Malaysia sebagai terjemahan kepada al-Islam al-Hadari.

(2) ‘Ali Tantawi, Mauqifuna min al-Hadarah al-Gharbiyyah, m.s. 45, cetakan: Dar al-Manarah, Jeddah..

(3)Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir..
(4) Mahmud Syakir, Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-Islamiy, m.s. 3-4, cetakan: Dar al-Maktab al-Islamiy, Lubnan..
(5) Riwayat ini sanadnya disahihkan oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi. Lihat: Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut.

(6) Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India..

/color][/b] (7)Hadith ini diriwayatkan oleh Al-Hakim, al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, dan al-Kharaiti. Demikian juga Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari :sanadnya baik. (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 14/593, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut..

(icon_cool.gifRiwayat Muslim dalam muqaddimah sahihnya.

(9) Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, ÇáãäÇÑ ÇáãíÝ Ýí ÇáÕÍíÍ æÇáÖÚíÝ , m.s. 78, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Halab, Syria.

(10) Abu Syahbah, op. cit. m.s 305..

(11)Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir/ ÇáÅÓÑÇÆíáíÇÊ æÇáãæÖæÚÇÊ Ýí ßÊÈ ÇáÊÝÇÓíÑ m.s. 302, certakan:Maktabah al-Sunnah, Kaherah.
(12)lihat: Ibn `Adi al-Jurjani, al-Kamil fi Du`afa al-Rijal/ÇáßÇãá Ýí ÖÚÝÇÁ ÇáÑÌÇá, 4/270, cetakan Dar al-Fikr, Beirut.
(13) Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir, m.s 218.
(14) Sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. samada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ianya disebut sebagai al-hadith. Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah dengan perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq ãÎÊáÞ iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah: “Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi `Ulum al-Hadith, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)

(15) Riwayatkan al-Bukhari dalam kitab al-Janaiz dan Muslim dalam muqaddimah sahihnya.

(16) lihat: Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s. 239, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut.

(17) Riwayat Muslim dalam muqaddimah sahihnya.

(1icon_cool.gif . Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98, Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut..

(19) Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, ÇáÓíÑÉ ÇáäÈæíÉ Ýí ÖæÁ ÇáÞÑÂä æÇáÓäÉ, 1/14, cetakan Dar al-Qalam, Syria..

(20) Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi ÊÏÑíÈ ÇáÑÇæí, m.s. 182, cetakan Dar al-Fikr, Beirut.

(21) Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi ÊÏÑíÈ ÇáÑÇæí, m.s. 182, cetakan Dar al-Fikr, Beirut. Maksudnya percanggahan tersebut tidak dapat dibuat sebarang tafsiran yang memboleh untuk kita menerimanya sebagai satu kemungkinan..

(22) Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi ÊÏÑíÈ ÇáÑÇæí, m.s. 182, cetakan Dar al-Fikr, Beirut. Maksudnya percanggahan tersebut tidak dapat dibuat sebarang tafsiran yang memboleh untuk kita menerimanya sebagai satu kemungkinan.. Abu Syahbah, Difa ‘ an al-Sunnah, cetakan: Kaherah, Maktabah al-Sunnah (1989), m.s 31..

(23) .. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah : “Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila sebahagian daripada penyeru-penyeru kepada sistem Barat yang ada di tanahair Arab dan umat Islam mengambil kesempatan apa yang berlaku pada sesetengah muslimin yang menyeleweng. Lalu mereka ini bangkit menyuarakan agar ditutup pintu poligami sama sekali. Mereka ini pagi dan petangnya hanya membicarakan mengenai keburukan poligami. Padahal dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri seperti diamnya orang di dalam kubur mengenai keburukan zina, yang dengan dukacitanya diharuskan oleh sistem perundangan manusia yang menghukum negara-negara umat Islam hari ini." (m.s 31 cetakan Maktabah Wahbah, Mesir). Katanya juga : “Adapun pendapat yang menyatakan bahawa berpoligami membawa keburukan kepada keluarga dan masyarakat ianya adalah pendapat yang mengandungi kekeliruan yang nyata. Kita katakan kepada mereka yang keliru ini: Sesungguhnya syariat Islam tidak mungkin menghalalkan untuk manusia sesuatu yang memudaratkan mereka, seperti mana ianya tidak mungkin mengharamkan manusia sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka. Bahkan telah dipastikan menerusi nas (al-Quran dan al-Sunnah) dan kajian bahawa syariat Islam tidak menghalalkan melainkan perkara yang baik lagi manfaat. Juga ianya tidak mengharamkan melainkan yang keji lagi mudarat…Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ianya telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudianya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya) : “Jika kamu takut tidak berlakua adil maka hanya seorang isteri." (m.s 133-134)

(24) Takhrij bermaksud semakan terhadap sesuatu hadith dengan menyebut sumber hadith tersebut daripada imam-imam hadith dan menerangkan kedudukannya disudut diterima atau ditolak. Inilah kerja takhrij yang sempurna. (lihat: Muhammad Abul Laits al-Khair Abadi, Takhrij al-Hadith m.s. 9, cetakan Dar al-Syakir, Malaysia)

(25) Lihat: Dr. Muhammad Na‘im Yasin, Al-Iman, m.s. 24-27, cetakan Jordan.

(26) Ibid, m.s. 22.

(27)Lihat perbahasan persoalan ini oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam karya ÊíÓíÑ ÇáÝÞå ááãÓáã ÇáãÚÇÕÑ cetakan Dar al-Risalah, Beirut.

(2icon_cool.gif Al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifah wa al-Hadarah, m.s. 205..

(29) Al-Bukhari dan Muslim.

(30) Lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 3/332-337, cetakan: Maktabah al-Risalah, Beirut..

(31) Riwayat al-Bukhari dan Muslim

(32) Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, mabadik wa qawa`id `ammah, m.s. 134, Dar al-Fikr, Beirut.

(33) Riwayat al-Bukhari dan Muslim

(34) R Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, cetakan: Maktab al-Sunnah, Kaherah.

(35) Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut..

(36) Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, 1/ 199,cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut.