Wednesday, August 31, 2005

ANTARA LETUPAN DI LONDON DAN DENTUMAN DI BAGHDAD


Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin


Letupan di London mendapat perhatian antarabangsa. Dunia bersimpati dan mengutuk perbuatan tersebut. Seperti biasa, tanpa bukti yang kukuh, orang Islam akan di‘kambing hitam’kan. Walaupun letupan di London itu tidak sekuat dentuman bom dan peluru yang saban hari merobek tubuh dan nyawa bayi-bayi yang tidak berdosa, anak-anak kecil yang belum memahami apa-apa, kaum wanita yang rebah dan lemah, juga golongan uzur dan tersungkur di Baghdad, namun oleh kerana Kota London adalah milik kuasa besar dan Barat, kesakitan yang sedikit lebih diberikan perhatian daripada lautan derita darah dan airmata yang memburu rakyat Iraq setiap dek angkara pencerobohan Amerika dan Britain. Dua juta kanak-kanak Iraq terkorban dan ratus ribu orang dewasa yang dibunuh tanpa sebab hanya semata kerana ingin mencari ‘Saddam Hussain’ dan senjatanya. Dunia membisu. Kalau adapun kritikan, ia terpadam dengan isu-isu yang ditimbulkan selepas itu. Apa nak kata, media massa milik mereka. Tidak pulak mereka menyatakan pembunuhan jutaan kanak-kanak dan ratusan ribu orang dewasa itu adalah ajaran Kristian. Mereka sebut “itu suatu kesilapan tentera Amerika”, “itu kesilapan tentera Britain”. Jika ada letupan di Kota London, atau New York, atau Paris, mereka kata itu “itu pengganas Islam”. Demikianlah Dunia hari ini yang tidak pernah adil terhadap Islam dan penganutnya.

[b]Sedikit kesakitan yang dirasai oleh Dunia Barat, diberikan perhatian dan pembelaan yang secukupnya. Daripada PBB hingga kepada kerajaan-kerajaan umat Islam sendiri. Lautan kepedihan dan derita Dunia Islam dan umatnya, hanya bagaikan kudis kecil bagi dunia hari ini.
Benarlah seperti yang didakwa, darah orang Islam adalah darah yang paling murah di zaman ini. Nyawa orang Islam adalah nyawa yang paling kurang harganya di dunia hari ini. Beruang panda di China lebih bernilai dari nyawa seorang muslim pada penilaian Barat. Justeru, mana mungkin untuk kita bandingkan antara nyawa orang Islam dengan nyawa orang Barat. Saya tidak menyokong Usamah jika benar dia yang mencetuskan 11 September, Madrid dan letupan di London baru-baru ini. Namun saya kadang-kala terfikir, ada benarnya ucapan beliau dalam satu satu rakaman yang disiarkan oleh Siaran al-Jazerah; “Wahai orang Barat! Atas apa pegangan yang menyebabkan kamu menganggap darah kamu bernilai darah, sedangkan darah kami bernilai air?!!”.

Sikap ‘double standard’ dalam berurusan hanya menambahkan lagi rasa benci dan dendam antara kedua blok ini. Britain tidak sepatutnya mengikut telunjuk Amerika. Britain dalam sejarahnya memiliki pengalaman yang panjang mengenai Dunia Islam dan selainnya. Dalam tempoh penjajahan Britain ke atas Dunia Islam dan selainnya, sepatutnya menjadikan Britain lebih faham tentang tabiat bangsa-bangsa di dunia ini. Walaupun penjajah itu tetap penjajah, namun secara perbandingan kaedah dan cara British berurusan dengan negeri jajahannya adalah lebih lunak dibandingkan kuasa-kuasa lain, seperti Itali dan Belanda. Sehingga ke hari ini, negara-negara bekas jajahan British lebih menghormati penjajah mereka dibandingkan negara-negara di bekas jajahan kuasa lain. Sepatutnya pengalaman yang berharga dijadikan kayu pengukur dalam mengenali serta menilai hati budi bangsa-bangsa lain. Setiap bangsa mempunyai nilai, harga diri dan maruahnya. Jika harga diri, nilai dan maruahnya dicemari, marahnya akan bangkit dan bertindak. Tony Blair dalam ucapannya -sebaik sahaja letupan itu berlaku- berkata bahawa Britain akan terus mempertahan nilai dan cara hidupnya. Sepatutnya beliau sedar, demikianlah juga perasaan bangsa lain apabila mereka dijajah seperti Iraq sekarang. Mereka juga ingin mempertahankan nilai mereka. Britain sepatutnya menjadi guru atau sifu kepada ‘budak samseng’ yang ego dan sombong yang memiliki kekuatan yang kononnya tidak dapat dikalahkan. Malangnya Amerika pula yang mempengaruhi Britain sehingga tunduk di bawah kelangkang Amerika. Pendirian Tony Blair dalam isu Iraq sebenarnya telah menjatuhkan nilai ketinggian yang sedikit-sebanyak dimiliki oleh Bangsa British dalam tempoh yang agak panjang.

Isu Palestin dan sikap berat sebelah Amerika kepada Israel bukan baru. Namun umat Islam tidak pernah bertindak balas dengan mengancam keselamatan Barat. Bukan kerana mereka takut, tetapi kerana ajaran Islam itu sendiri melarang sebarang tindakan yang mengorbankan orang awam yang tidak bersalah dan tidak terlibat di medan peperangan. Islam adalah agama yang bertamadun. Ia adalah agama Allah Tuhan sekelian manusia dan alam ini. Sebelum Perjanjian Geneva wujud lagi, Islam 1400 tahun yang lalu telah pun meletakkan berbagai disiplin dan peraturan dalam peperangan. Jika Perjanjian Geneva tidak wujud pun, umat Islam tetap wajib mematuhi peraturan-peraturan perang. Bukan sekadar menjaga nama baik kerajaan, bahkan ia adalah tanggungjawab agama. Hari ini, peperangan di Iraq dan kes tahanan Afghanistan sahaja, entah berapa banyak dilanggar Perjanjian Geneva. Malangnya, dunia mendiamkan diri kerana Amerika dan Britian adalah kuasa besar.

Islam telah menetap disiplin di medan perang adalah tanggungjawab para pejuang Islam. Peperangan bukan untuk membanyakkan penumpahan darah, sebaliknya untuk membela kebenaran. Dalam hadith yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim baginda Nabi s.a.w menyebut:

“Wahai manusia! Jangan kamu bercita-cita bertembung dengan musuh, mintalah daripada Allah keselamatan. Namun jika kamu bertembung dengan mereka juga, kamu hendaklah sabar (tetap jangan berganjak)”.

Untuk itu Islam menetapkan agar pembunuhan hanyalah di medan perang dan tidak boleh direbakkan ke luar medan. Hanya dibunuh mereka yang terlibat dengan peperangan. Adapun golongan musuh yang tidak menyertai peperangan, mereka tidak dibunuh selagi mereka tidak menzahirkan permusuhan dan penentangan bersenjata. Secara terperincinya, mereka ialah:

Pertama: Wanita dan kanak-kanak. Antara dalilnya, hadith daripada Ibn Umar r.a., katanya: “Sesungguhnya seorang wanita di dapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi s.a.w) maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak”. (Riwayat al-Bukhariy dan Muslim).

Kata al-Imam al-Syafi`iy (wafat 204H): “Tidak diharuskan sesiapapun di kalangan muslimin untuk sengaja membunuh wanita dan kanak-kanak (dalam peperangan), kerana Rasulullah s.a.w. melarang membunuh mereka”. (rujukan: al-Umm, jilid 4, m.s. 239, cetakan: Dar al-Ma’rifah, Beirut).

Kata Ibn Rusyd (wafat 595H): “Demikian juga tiada khilaf di kalangan ulama mengenai tidak harus membunuh kanak-kanak dan wanita selagi mereka tidak terlibat berperang. Apabila wanita turut berperang, maka dia boleh dibunuh. Ini semua berdasarkan apa yang pasti daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda melarang wanita dan kanak-kanak dibunuh” (rujukan: Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, jilid 1, m.s. 280, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Kedua: Orang tua dan orang yang uzur. Mereka ini tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri tindakan dan perancangan mereka dalam peperangan. Dalilnya firman Allah di atas: “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas” (Surah al-Baqarah: ayat 190). Begitu juga hadith daripada Anas bin Malik, sabda Nabi s.a.w.: “Pergilah kamu (ke medan perang) dengan nama Allah, dengan Allah dan di atas agama Rasullulah!. Jangan kamu membunuh orang tua yang lemah, kanak-kanak, wanita. Jangan kamu mengkhianati harta rampasan, himpunkan harta peperangan kamu, buatlah yang elok dan baik, sesungguhnya Allah sukakan mereka yang berbuat baik” (Riwayat Abu Daud, sanadnya dhaif). Sekalipun hadith ini sanadnya dhaif, namun golongan tua yang tidak membantu peperangan sama ada dari segi tenaga atau buah fikiran, tetap tidak wajar dibunuh. Ini dapat diqiaskan dengan wanita yang tidak membantu peperangan. Kata Ibn Daqiq al-`Id (wafat 702H): “Hukum asalnya ialah tidak boleh membunuh. Hanya dibolehkan membunuh demi mengelakkan kemerbahayaan. Sesiapa yang pada kebiasaan tidak berperang (menentang tentera Islam) dan tidak berkemampuan untuk berperang maka dia tidak mendatang mudarat seperti mana mereka yang berperang. Maka hukumnya kembali kepada asal iaitu mereka itu tidak boleh dibunuh”. (Ibn Daqiq al-`Id, Ihkam al-Ahkam, juz. 4, m.s. 184, cetakan:Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)

Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah-rumah ibadat. Dalilnya ialah riwayat Ibn `Abbas, katanya: "Apabila Rasulullah s.a.w. mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: “Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kafir dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir ketika mentahqiqkan musnad Ahmad, hadith ke-2728: “Sanad hadith ini hasan”)

Kata al-Syaukaniy (wafat 1250H): “Pada hadith ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan kuffar yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum muslimin”. (rujukan: Al-Syaukaniy, Nail al-Autar, jld 8, m.s. 74, cetakan: Dar al-Jil, Beirut)

Keempat: Para pekerja dan petani. Jumhur ulama menyatakan mereka tidak dibunuh. Dalilnya hadith Hanzalah al-Katib r.a., katanya: “Kami berperang bersama dengan Rasulullah s.a.w. , lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda (untuk melihatnya). Baginda bersabda: “Dia ini (wanita tersebut) tidak turut berperang”. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki sambil bersabda: “Pergilah kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan `asif (pengambil upah)”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Sanad Ibn Majah adalah sanad yang sahih. Al-Albaniy juga di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (hadith ke-701) menyatakan sahih (lihat: jld 2, m.s. 314, cetakan: Maktabah al-Ma`arf li al-Nasyr, Riyadh)
Kata al-Sindiy (wafat 1138H): “Maksud pengambil upah di sini ialah yang mengambil upah menjaga tunggangan atau seumpamanya, bukan pengambil upah berperang”. (rujukan: al-Sindiy, Syarah Sunan Ibn Majah, jld. 3, m.s. 380, cetakan: Dar al-Ma’rifah, Beirut).
Antara tanda pengambil upah ialah mereka tidak bersenjata (lihat: `Aun al-Ma’bud, jld 7,m.s 236)

Mungkin termasuk juga di dalam pengambil upah ini ialah mereka yang hanya bertugas menyediakan makanan, atau yang membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak bertindak membantu peperangan, maka mereka tidak dibunuh.

Kelima: Para perwakilan dan diplomat. Ini berdasarkan hadith Abdullah bin Mas`ud, katanya: "Ibn al-Nawahah dan Ibn Uthal datang kepada Nabi s.a.w sebagai perwakilan Musailamah (al-Khazzab). Baginda bertanya: “Apakah kamu berdua mengakui bahawa aku ini Rasulullah”. Kata mereka berdua: “Kami menyaksikan bahawa Musailamah rasulullah”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku beriman dengan Allah dan para RasulNya. Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku bunuh kamu berdua”. Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: “Telah menjadi suatu sunnah bahawa para perwakilan tidak dibunuh”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la kata al-Haithamiy (wafat 807H):Sanad-sanad mereka adalah hasan (rujukan: al-Hathaimiy, Majma’ al-Zawaid, jld 5, m.s. 314, cetakan: Dar al-Rayyan, Beirut)

Kata Syams al-Haq al-Abadi: “Pada hadith ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh para perwakilan”. (rujukan: `Aun al-Ma’bud, jld. 7, m.s. 314)

Demikian tingginya nilai tamadun yang dipegang oleh Islam sejak 1400 tahun lebih yang lalu. Ketika dunia belum lagi celik dan mengenali batasan-batasan peraturan dan hak asasi, Islam telah menggariskan peraturan dan hak dalam persoalan peperangan dan hubungan antarabangsa. Bukan sekadar atas nama kemanusiaan dan ketamadunan, bahkan atas nama agama yang membabitkan persoalan halal dan haram serta perhitungan pada hari kiamat. Ini semua adalah bukti bahawa tuduhan Islam sebagai agama ganas dan tidak berperikemanusiaan adalah palsu dan bohong. Tuduhan yang tidak berpijak atas teks Islam yang sebenar. Islam sebenarnya telah mendahului tamadun dan peradaban yang wujud pada hari ini.

Jika benar yang membuat angkara letupan terhadap orang awam di Kota London itu militan Islam, mereka itu bukan pejuang Islam sebenar. Ini kerana mereka tidak mematuhi peraturan peperangan yang ditetapkan oleh Islam. Membunuh orang awam bukan dari ajaran Islam. Rakyat London ramai juga yang membantah tindakan Blair menjajah dan mengganas di Iraq. Mereka tidak patut dijadikan korban. Jika tindakan itu dibuat di atas nama Islam, itu adalah pengkhianatan terhadap Islam. Bahkan ia menconteng arang ke atas wajah murni Islam. Menjadikan yang salah faham terhadap Islam bertambah salah. Memberikan ruang kepada pihak yang bersiap sedia ingin memperburukkan Islam untuk melakukan angkara mereka.

Setelah Barat faham hakikat Islam yang menentang keganasan melulu ini, Barat patut bertanya, jika benar orang Islam yang melakukan, mengapakah mereka sudah tidak mampu mengawal diri dengan disiplin Islam?!!. Saya katakan sekali lagi, Islam memang tidak bertanggungjwab terhadap pembunuhan awam. Apa yang berlaku ialah tindakan luar kawalan. Ini berlaku apabila emosi menguasai akal dan kefahaman yang betul. Emosi yang berlebihan dan meluap-luap tanpa kawalan ini datang tidak lain disebabkan sikap buruk dan ganas yang ditunjukkan oleh sesetengah kuasa Barat terhadap Dunia Islam terutamanya Iraq dan Palestin.

Dengan itu saya katakan, jika benar letupan itu perbuatan orang Islam, ia sebenarnya bukan ‘bom Islam’ yang diletupkan di Kota London, tetapi ia adalah ‘bom Britain yang diledakkan atas kepala rakyat Baghdad, serpihannya meletup di Kota London.

1 comment:

  1. Anonymous11:04 PM

    This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete