Thursday, December 22, 2005

Pemikiran Lapuk Yg Perlu Diubah

oleh: Ustaz Maszlee Malik

Ketika saya pernah ditanyakan oleh salah seorang siswa, "Ustaz ni jemaah JIM ke?". Saya segera membalas, "Tidak, saya ahli jemaah Muslimin". Dia bertanya, "Jemaah baru ke tu?". Saya katakan kepadanya, "Tidak, ia telah wujud semenjak zaman Rasulullah S.A.W lagi". Beliau tidak berpuas hati, "Itu saya tahu, tapi kan ustaz ahli JIM". Saya membalas sambil tersenyum, "Ya, saya ahli JIM, ahli Darul Fitrah, ahli Persatuan Ulama Malaysia, ahli Muslim Profesional Forum, ahli Pertubuhan al-Nidaa, rakan kepada ABIM, Ricoi, Hunafa, Accin, US, PAS, keADILan, UMNO dan macam-macam lagi "jemaah".

Siswa tersebut menggaru kepalanya kebingungan, terus dia bertanya lagi, "Jadi ustaz tidak berpendirianlah...atas pagar lah ye?". Soalannya kali ini benar-benar membuatkan saya tergelak besar. Saya sekali lagi mengatakan kepadanya, "Anda masih lagi hidup di zaman 70'an, 80'an dan 90'an...masih lagi di takuk pemikiran Jemaah Centrid"


Jemaah Centric


Ya, sememangnya pemikiran jemaah centric yang mendominasi pemikiran pencinta dakwah dan juga pejuang gerakan Islam di Malaysia selama lebih tiga dekad lalu. Impaknya amat ketara, selain daripada kesan positif yang mendorong kepada banyak perubahan di Malaysia, pemikiran jemaah centric juga menimbulkan banyak kesan negatif. Perbalahan, perpecahan, pergeseran hati, malah di sesetengah tempat membawa kepada pergaduhan.

'Jemaah ana lebih tua!', 'jemaah ana lebih tarbiah', 'jemaah ana lebih memperjuangkan sunnah', 'jemaah aku lebih agresif", 'jemaah saya lebih memperjuangkan khilafah', 'jemaah saya ada Imam Mahdi!' . Itulah di antara slogan-slogan yang sering berkumandang selama lebih tiga dekad di Malaysia di kalangan ahli pelbagai pertubuhan Islam. Akhirnya masing-masing tenggelam di dalam menegakkan jemaah masing-masing yang dianggap lebih utama, lebih awla, lebih "asalah" (tulen), lebih hebat dan lebih segala-galanya daripada jemaah-jemaah yang lain. Kesimpulannya, jemaah centric adalah satu pola pemikiran yang lebih banyak membawa kepada perpecahan daripada penyatuan!

Lebih menyayat hati lagi ialah apabila para pendukung jemaah-jemaah yang berjuang demi nama jemaah masing-masing ini menggunakan dalil-dalil yang dipengaruhi oleh tafsiran nafsu mereka untuk menegakkan kebenaran "yang mereka dakwa". Contohnya dalil-dalil yang menyeru supaya umat Islam bersatu ditafsirkan agar bersatu di bawah satu jemaah, iaitu jemaah yang mereka perjuangkan sahaja. Begitu juga hadis-hadis yang menyeru agar umat Islam melazimi jemaah (iaitu kaum Muslimin) sering ditafsirkan sebagai bersatu di bawah "jemaahnya" sahaja dan bukannya jemaah lain. Hadis yang menghalalkan darah golongan yang meninggalkan jemaah Muslimin (meninggalkan agama Islam) juga ditafsirkan oleh sesetengah golongan yang taasub jemaah sebagai dalil untuk menghalalkan darah mereka yang bukan dari jemaah mereka.

Tidak hairanlah di zaman 90'an, antara buku-buku "Haraki" yang timbul adalah berkaitan usaha menonjolkan "kebenaran" jemaah masing-masing. 'Haram ta'adud jamaah' (haram wujudnya lebih dari satu jemaah) dan 'wajib hanya ada satu jemaah di bumi Malaysia' menjadi slogan yang suci bagi sesetengah golongan seolah-olah menafikan kebaikan jemaah lain. Gejala takfir, menyesatkan, memulaukan dan juga memperkecil-kecilkan kumpulan lain juga menjadi satu "sunnah" sesetengah golongan pelampau pendukung pemikiran jemaah centric. Keadaan yang lebih parah dapat disaksikan di IPT yang menjadi gelanggang tarik menarik pelajar-pelajar baru oleh jemaah-jemaah ini. Di luar Timur Tengah keadaan semakin serius sehingga ada insiden tumbuk menumbuk dan juga pergaduhan demi mempertahankan jemaah masing-masing. Begitulah impak buruk pemikiran jemaah centric ini yang telah menjadi satu fitnah yang melanda umat Islam.


Kebangkitan Tahun 1998


Jika tidak kerana reformasi 1998, nescaya pemikiran jemaah centric akan terus kekal. Di sebalik kepahitan ada rahmat, itulah hikmah yang boleh diambil daripada peristiwa reformasi 1998. Kebanyakan pendukung jemaah centric telah mula bersatu dan boleh menerima kewujudan jemaah yang berbeza. Mereka mula sedar bahawa jemaah mereka sahaja tidak akan dapat membawa perubahan kepada masyarakat Malaysia. Antara impak yang paling ketara terhadap perubahan ini ialah terbentuknya "Barisan Alternatif" yang digagaskan oleh unsur-unsur jemaah centric. Sayangnya, selepas perubahan tersebut tidak kekal. Bukan hanya sekadar perpecahan berlaku dalaman "Barisan Alternatif", malah kejayaan menawan negeri Terengganu menggelap mata sesetengah golongan untuk memonopoli kejayaan walaupun hakikatnya usaha itu hasil kolektif pelbagai pihak. Terbukti pemikiran jemaah centric masih mempengaruhi sesetengah pihak sehingga membawa kepada perpecahan.

Maka, apakah penyelesaiannya? Apakah jemaah-jemaah yang wujud perlu dileburkan menjadi satu jemaah yang unggul sahaja? Dengan itu umat Islam semua akan bersatu di bawah satu panji "ummah" sahaja tanpa khilaf dan perpecahan!

Bunyinya begitu indah, hakikatnya slogan-slogan tersebutlah yang akhirnya membawa kepada perpecahan yang lebih teruk. Slogan "kembali kepada satu jemaahlah yang telah menyebabkan krisis di antara jemaah berterusan, dari dulu, kini dan selamanya. Mengapa? Ini kerana tabiat manusia itu berbeza, gaya pemikirannya berlainan, tahap pemikiran tidak sama, dan manusia itu sendiri secara fizikalnya berbeza-beza. Perkara inilah yang telah disentuh oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya "al-Sahwah al-lslamiyyah baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa tafarruq al-mazmum"


Pemikiran "Ummah Centric"


Tiada salahnya kewujudan jemaah-jemaah selagi mereka berpaksikan pemikiran "Ummah Centric" dan bukannya "Jemaah Centric". Tidak salah wujudnya jemaah-jemaah selagi ia wujud sebagai organisasi untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah dan perubahan secara kolektif, dan tidak lebih daripada organisasi yang menghimpunkan ahli-ahli yang mempunyai persamaan dan keserasian untuk mencapai objektif yang sama. Tiada salah juga berjemaah selagi ia membawa kepada penyatuan tenaga untuk melakukan kerja-kerja Islam di bawah satu organisasi yang tersusun kemas selaras dengan seruan Allah SWT: "Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berperang di jalan-Nya di dalam satu barisan, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang kukuh"(al-Saff: ayat 3).

Jangan lebih daripada itu hendaknya. Jika adanya unsur 'jemaah saya yang utama', 'Jemaah saya yang paling hebat', 'jemaah saya yang paling hebat tarbiah', 'jemaah saya yang paling sunnah", 'jemaah saya yang paling ulama' dan lain-lain kredibiliti yang mengatasi kesatuan ummah, maka perpecahan akan segera timbul.

Pemikiran 'Ummah Centric' perlu dihayati oleh seniua umat Islam seperti mana ia dihayati oleh umat terdahulu. Bukankah Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah aku." (al-Anbiya: ayat 92), dan juga firman Allah SWT, "Sesungguhnya mukmin tu bersaudara, maka damaikanlah dua saudaramu (yang bertelagah)." (al-Hujuraat: ayat 10).

Begitu juga dengan hadis-hadis yang menekankan kepentingan ukhuwah dan kesatuan umat. Pemikiran ummatik inilah yang semestinya mencorakkan cara berfikir, cara berukhuwah, cara bertindak dan juga cara menilai sesuatu. Janganlah ada pilih bulu dalam berukhuwah, jika seseorang itu satu jemaah, maka itulah "sahabat", "ikhwah", "puak" atau golongan kita. Orang dari jemaah lain pula diberikan layanan kelas kedua, hanya kerana mereka bukan "ahli jemaah" kita.

Dalam menuntut ilmu juga begitu juga hendaknya, dan bukannya sikap mengikuti atau mendengar atau menghadiri hanya kuliah-kuliah dan kelas-kelas pengajian "oghe-oghe kito" sahaja dan menutup telinga dan pintu hati pada orang-orang dari jemaah lain. Dalam membaca begitu juga, Janganlah hanya membaca literasi "harakah" yang versi "fikrah kita" sahaja dan memandang sepi literasi hasil tulisan orang-orang dari kumpulan lain, walhal kemungkinan apa yang ada pada orang lain itu lebih bermanfaat dan lebih baik.

Pemikiran ummatik ini perlu disemadikan di dalam hati para pencinta Islam dan pejuang-pejuang syariat Islam agar segala usaha dirasakan sebagai tanggungjawab bersama.

Jika beroleh kemenangan, ia tidak akan dimonopoli oleh golongan-golongan tertentu sahaja, tetapi dirasakan sebagai milik semua. Jika ada kelemahan terhadap usaha orang lain, pihak yang nampak kelemahan tersebut, walaupun dari jemaah lain, akan segera membantu untuk memperbaikinya dan bukan menghentam atau menjadikannya sebagai hujah untuk menjatuhkannya. Pemikiran ummatik juga akan membuatkan semua jemaah melihat jemaah-jemaah lain sebagai rakan setugas, rakan sepasukan dan juga rakan seperjuangan, yang walaupun lain gaya bekerja, tetapi tetap di bawah satu majikan yang sama.

Pemikiran ummatik juga akan menguatkan lagi usaha-usaha untuk tajdid, islah dan dakwah. Sinergi di antara jemaah di atas usaha-usaha bersama akan lebih banyak dan lebih memberikan impak. Tanpa prejudis, tanpa kebencian, tanpa hasad,tanpa fitnah memfitnah, tanpa jatuh menjatuhkan, tanpa hentam menghentam, dan yang penting lagi tanpa merasakan orang di luar jemaah kita adalah "orang lain". Jika semua pendukung jemaah-jemaah yang wujud dapat merasakan bahawa semua jemaah-jemaah dan juga orang-orang lain yang mungkin tidak berjemaah sebagai saudara seummah mereka, di waktu itu, insya-Allah keberkatan dan bantuan Allah akan turun. Hal ini perlu dimulakan segera, bermula dengan pemikiran dan juga hati!


Fiqh Ikhtilaf


Selain daripada berfikiran ummah centric, para pencinta Islam juga wajib menghayati flqh dan juga adab berikhtilaf. Kata-kata Imam al-Syafi'i yang berbunyi : "Pandanganku adalah benar menurut pendapatku, tetapi berkemungkinan silap, dan pendapat lawanku adalah silap pada pandanganku, tetapi berkemungkinan mengandungi kebenaran". Kata-kata al-Marhum Rashid Redha yang kemudiannya dipopularkan oleh Hassan al-Banna juga merupakan satu kaedah emas yang boleh dijadikan penawar di dalam menangani masalah perpecahan disebabkan pemikiran jemaah centric.

Beliau berkata: "Kita bekerjasama di dalam perkara yang kita sepakati dan kita berlapang dada di dalam apa yang kita perselisihkan"

Di dalam berikhtilaf semua pihak perlulah ikhlas dan benar-benar meletakkan Islam sebagai matlamat mereka dan bukannya jemaah atau fikrah.


Bunyinya seperti mudah, namun pelaksanaannya tidak semudah diucapkan. Sekali lagi ia perlu bermula dari hati, dari pemikiran dan juga dari roh" ummah centric".


* Centric membawa maksud : paksi, jemaah centric membawa maksud pemikiran berpaksikan jemaah, manakala ummah centric pula membawa maksud, pemikiran berpaksikan konsep satu ummah.

1 comment:

  1. Anonymous11:18 PM

    http://alhakim.noonhost.com/wahhabismislamic-extremism-vt144.html

    Jenayah penganut ajaran sesat Wahabi 1925 terhadap khazanah dan warisan Islam
    Tiada ahli sejarah mahupun ahli langit dan bumi dapat terima kenyataan ini; mengaku umat Muhammad tetapi menghancurkan khazanah dan warisan agama yang dibawa Muhammad

    Permakaman Baqi sebelum dihancurkan oleh penganut ajaran sesat Wahabi


    Sejarah permakaman Jannatul Al-Baqi:

    Pada 8 Shawal, Rabu 1345 H (21 April, 1925), permakaman di Jannatul Baqi (Madinah) telah dimusnahkan oleh Raja Ibnu Saud. Dalam tahun yang sama baginda turut memusnahkan beberapa makam suci beberapa tokoh Islam di Jannatul Ma'la di Mekah iaitu makam bunda Rasulullah, Isteri, datuk dan nenek moyang baginda. Perbuatan memusnahkan tempat-tempat suci ini di Hijaz masih diteruskan hingga kini.

    Asal-usul Jannatul Baqi
    "Al-Baqi" bermaksudkan taman tumbuh-tumbuhan. Dikenali juga sebagai "Jannatul Baqi'" atas kesuciannya setelah dipusarakan ramai keluarga Rasulullah dan para sahabatnya.
    Sahabat Rasulullah pertama di makamkan di Baqi adalah Usman bin Madhun yang meninggal pada 3 Syaban, 3 Hijrah. Rasulullah mengarahkan beberapa pohon ditumbangkan dan shabatnya dikebumikan. Dua ketul batu diletakkan baginda di atas makam tersebut.
    Tahun berikutnya, putera Baginda bernama Ibrahim meninggal ketika masih bayi juga dimakamkan di al-Baqi sambil baginda mencucuri sedikit air mata. Penduduk Madinah mulai mengunakan permakaman tersebut sebagai tanah perkuburan setelah Rasulullah memberikan salam kepada makam-makam di al-Baqi dengan bersabda "Salam sejahtera ke atasmu wahai wahai penghuni keimanan! Insyaallah, kami turut menyertaimu kelak. Ya Allah ampunilah penghuni al-Baqi"
    Tanah permakaman Al-Baqi lama-kelamaan diperbesarkan. Hampir tujuh ribu sahabat Rasulullah dimakamkan di situ tetapi jarang disebut makam daripada kalangan Ahlul Bait antaranya adalah makam Hassan bin Ali, Ali bin Hussain, Muhammad bin Ali dan makam Ja'far bin Muhammad telah dimakamkan di sana.
    Daripada kalangan keluarga baginda pula adalah: ibu saudaranya Safiyah dan Atiqah, ibu saudaranya dan bunda Ali, Fatimah binti Asad. Khalifah ke-tiga, Usman juga dikebumikan di luar kawasan Al-Baqi', namun pembesaran kawasan telah termasuk ke dalam Al-Baqi'. Tahun-tahun berikutnya ulama-ulama seperti Malik bin Anas dan ramai lagi. Demikian itu Al-Baqi' menjadi tempat terkenal sebagai bersejarah bagi umat Islam.


    Jannatul Baqi' dalam pandangan sejarawan.
    Umar bin Jubair menceritakan Al-Baqi saat lawatan beliau ke Madinah sebagai: "Al-Baqi' terletak di timur Madinah. Jika kamu memasuki melalui gerbang Al-Baqi makam yang pertama kamu lihat adalah ibu saudara Rasulullah iaitu Safiya, seterusnya makam Malik bin Anas dengan berkubah kecil. Berhadan dengannya pula makam Ibrahim, putera Rasulullah (s.a.w.) dengan kubah putih di atasnya. Berada di sebelah kanannya pula adalah makam Abdul Rahman, putera Umar al-Khattab yang mashur dengan panggilan Abu Shahma yang ayahnya menjatuhkan hukuman hinga mati ke atasnya. Hadapannya pula adalah makam Aqil bin Abi Talib dan Abdullah bin Jaafar Al-Tayyar. Mengadap makam-makam tersebut pula ialah isteri Rasullullah bermakam kecil dan diikuti dengan makam Abbas bin Abdul Mutallib.
    Makam Hasan bin Ali terletak di sebelah kanan dengan sebuah kubah terangkat di

    atasnya. Kepalanya terbaring di kaki Abbas bin Abdul Mutallib. Kedua-dua makam di tinggikan dari tanah. Dindingnya dijaringkan dengan logam kuning dan dipaku dengan paku berbentuk bintang yang cantik. Demikian juga makam Ibrahim putera Rasullullah di jalin. Di belakang makam Abbas, terletak rumah kenangan kepada Fatimah puteri Rasulullah (s.a.w.) yang dikenali sebagai Baitul Ahzan (Rumah Kedukaan) kerana rumah ini digunakan Fatimah selalu untuk untuk bersedih atas kemangkatan ayahndanya. Paling jauh dari situ adalah makam khalifah Usman bersama kubah kecil di atasnya. Kemudian dari situ adalah makam Fatimah binti Asad, bunda Ali bin Abi Talib
    Selepas 150 tahun kemudian pengembara terkenal Ibnu Batutta tiba dan menceritakan tentang makam Al-Baqi yang jalan ceritanya tidak jauh daripada cerita Ibnu Jubair. Beliau menambah "Di permakaman Al-Baqi terdapat banyak pusara Muhajirin dan Ansar serta ramai para sahabat kebanyakan makam mereka tidak dikenali nama makam mereka."
    Rumah Fatimah, Madinah

    Demikianlah beberapa abad berlalu, Al-Baqi menjadi tempat suci yang telah diubah suai mengikut keperluan hinggalah Wahabi mulai berkuasa pada awal abad ke-19. Mereka telah mencemari dan menghina makam para syuhada dan sahabat nabi. Muslim yang tidak bersetuju dengan tindakan ini akan dicap sebagai kafir dan kemudian dibunuh.

    RUMAH FATIMAH DI MADINAH


    Pemusnahan pertama di Jannatul Baqi
    Puak Wahabi percaya bahawa menziarahi pusara-pusara dan makam-makam adalah memakmurkan berhala dan perbuatan yang terkeluar dari Islam. Barangsiapa yang tidak beriman dengan fahaman mereka akan dibunuh dan harta mereka akan dirampas. Semenjak pencerobohan mereka terhadap Iraq dan hingga kini Wahabi dikenali sebagai pemerintah negeri teluk telah menghasilkan bencana pembunuhan ramai korban yang tiada seorang pun Muslim terlepaskan jika tidak setuju dengan fahaman mereka.
    Sejak 1205 Hijrah hingga 1217 Hijrah, gerakan Wahabi beberapa kali cuba menceroboh Hijaz namun gagal. Bagaimana pun pada 1217 Hijrah mencapai banyak kemenangan di Taif dengan berjaya menumpahkan ramai umat Islam yang tidak berdosa. Dalam tahun 1218 Hijrah mereka memasuki Mekah dan memusnahkan semua tempat suci dan kubah di sana termasuk tenda di atas telaga Zam Zam.
    Dalam tahun 1221 Hijrah, Wahabi memasuki Madinah untuk mencemarkan Al-Baqi, begitu

    Tempat kelahiran nabi Muhammad (saw)


    juga setiap masjid yang mereka lintasi. Hasrat mereka untuk menghancurkan makam Rasulullah ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu dan mereka berputus asa. Pada tahun berikutnya, umat Islam dari Iraq, Syria dan Mesir enggan memasuki Mekah untuk menunaikan Haji. Raja Arab Saudi meletakkan syarat sesiapa pun yang hendak menunaikan Haji hendaklah menerima ajaran Wahabi atau dilabel sebagai orang kafir seterusnya tidak layak memasuki Mekah.
    Al-Baqi musnah hingga ke tanahnya tanpa tanda mana-mana makam atau batu nisan. Tetapi regim Saudi masih belum berpuas hati. Lantas Raja Al-Saud menitahkan tiga pembantu makam memberitahu tempat harta beharga hadiah para pengunjung makam tersimpan. Harta tersebut telah rampas .
    Beribu-ribu umat Islam meninggalkan Mekah dan Madinah kerana ingin melepaskan diri dari tekanan dan juga menyelamatkan nyawa mereka sendiri serta penyeksaan yang dilakukan oleh puak Wahabi.

    Makam Khadijah isteri Rasulullah, Mekah


    Umat Islam seluruh dunia mengutuk kekejaman pemerintah Al-Saud dan menggesa Khalifah Empayar Usmaniyah menyelamatkan semua makam-makam suci dari kemusnahan. Seperti yang diketahui umum Muhammad Ali Basha menyerang Hijaz bersama sokongan penduduk tempatan lantas puak Wahabi berjaya ditewaskan dan diusir keluar. Undang-undang baru ditegakkan di Mekah dan Madinah dan umat Islam seluruh dunia menyambut girang kemenangan ini. Di Kaherah kemenangan ini disambut selama lima hari. Jemaah Haji pula dapat meneruskan ibadah Haji dengan bebas dan tempat-tempat makam suci kembali dipelihara.
    Pada tahun 1818 masihi, khalifah empayar Usmaniayah Abdul Majid dan pewaris takhtanya yang lain pernah melanjutkan pemuliharaan semua tempat-tempat suci, memelihara harta pusaka Islam ditempat-tempat suci. Dalam tahun 1848 dan 1860 masihi beberapa pembinaan tambahan yang tingi belanjanya iaitu hampir tujuh ratus ribu Pounds dilaksanakan. Kesemua dana diperolehi daripada

    Makam Abu Talib, bapa saudara Rasulullah, Mekah
    kumpulan derma di makam Rasulullah (s.a.w.).


    Rompakan kedua oleh puak Wahabi.
    Beberapa binaan Islam yang sangat indah dan tinggi nilai arkiteknya yang dibina Empayar Usmaniyah juga telah dirompak oleh puak Wahabi. Pada tahun 1853, Richard Burton yang menyamar sebagai muslim Afghan dengan memakai nama Abdullah dalam lawatannya ke Mekah dan Madinah melaporkan Madinah luas dengan terdapat 55 buah masjid dan makam suci. Pengembara Inggeris yang lain yang melawat Madinah pada 1877-1878 masihi, menceritakan sebuah kota yang besar dan keindahannya seperti Istanbul. Dia menulis tentangnya iaitu dinidng putih, menara emas tinggi lampai dan padang hijau.
    Puak Wahabi memasuki Hijaz buat kali kedua pad tahun 1924 masihi dengan menumpahkan darah di sepanjang jalan, merompak tanpa belas dan rumah-rumah diranapkan. Perempuan dan kanak-kanak tidak terlepas daripada kekejaman mereka.

    Makam Bibi Halimah, Madinah

    Awn bin Hashim (Syarif Mekah) menulis: "Sebelum saya, lembah muncul dengan diturap mayat-mayat. Darah kering berlumuran atas mana-mana tanah. Sukar menemui sepohon pokok yang tiada dua mayat di perdunya."
    1925 Madinah tersungkur kepada serangan hebat puak Wahabi. Seluruh warisan Islam telah musnah. Hanya yang tinggal adalah Makam Rasulullah (s.a.w.).
    Ibnu Jabhan telah berkata: "Kami tahu bahawa binaan yang didirikan di atas makam Rasulullah bertentangan dengan fahaman kami dan meletakkan makamnya di dalam masjid adalah dosa yang keji.
    Makam Hamzah dan para syuhada dimusnahkan di Uhud. Masjid Nabi telah dibom. Oleh kerana mendapat bantahan daripada umat Islam, jaminan dijanjikan oleh Ibnu Saud bahawa Hijaz akan diperintah oleh Kerajaan Islam Antarabangsa tetapi janji ini telah dimungkirinya.
    Tahun 1925 juga menyaksikan permakaman Jannatul Ma'la di Mekah

    Makam Fatimah binti Asad, bunda Saidina Ali, Madinah

    dimusnahkan bersama rumah kelahiran nabi Muhammad s.a.w. Semenjak itu hari kejadian tersebut menjadi hari kesedihan buat seluruh umat Islam.
    Tidak hairanlah puak Wahabi rasa berdosa serta arlegik jika melihat makam yang bernisan, punyai binaan di atasnya dan makam-makam bersejarah dijaga, sedangkan semua ini untuk raja Saudi dipelihara dengan berjuta dolar mahalnya.




    1926, bantahan dilangsungkan oleh umat Islam yang terkejut di seluruh dunia. Resolusi dikirim dan kenyataan bantahan diumum berhubung isu jenayah puak Wahabi ialah:
    1. Jenayah meruntuh dan menghina tempat suci iaitu tempat lahir nabi Muhammad (saw), permakaman Bani Hashim di Mekah dan Jannatul Baqi (Madinah), jenayah melarang umat Islam membaca doa ziarah atau surah fatihah untuk makam-makam tersebut.
    2. Jenayah meruntuhkan rumah ibadah, seperti Masjid Hamzah, Masjid Abu Rashid, antara sasaran lain nisan-nisan keluarga Rasul dan Sahabat.
    3. Jenayah masuk campur urusan umat Islam menunaikan ibadah Haji.
    4. Jenayah memaksa umat Islam supaya menuruti ajaran Wahabi dan jalan-jalan mereka seperti mana yang ditunjuki oleh pimpinan Wahabi.
    5. Jenayah membunuh keturunan Sayid habis-habisan di Taif, Madinah, Ahsa dan Qatif.
    6. Jenayah menghancurkan permakaman para Imam Syiah dan pengikut mazhab Syiah di Baqi.

    Bantahan dari negara-negara lain.
    Keseluruhannya bantahan umat Islam dilangsungkan oleh umat Islam di Iran, Iraq, Mesir, Indonesia dan Turki. Kesemuanya melaknati regim Saudi Wahabi atas tindakan barbarian tersebut. Sesetengah ulama menulis pandangan dan kitab untuk mendedahkan kepada dunia apa yang sebenarnya berlaku di Hijaz sebenarnya konspirasi ejen-ejen Israel untuk menentang Islam yang kononnya atas nama Tauhid. Ajaran sesat Wahabi ini juga secara rasminya telah memusnahkan habis-habisan tinggalan dan warisan Islam walaupun sedikit kesan-kesan sejarah. Generasi umat Islam hari ini tidak dapat lagi melihat sejarah mereka sendiri.

    Daftar sebahagian makam-makam dan kubah-kubah yang dimusnahkan oleh puak Wahabi.
    · Permakaman suci Al-Mualla di Mekah, termasuk makam Sayyidah Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah (saw), makam Aminah bunda Rasulullah (saw), dan makam Abdul Mutallib, datuk Rasulullah (saw).
    · Permakaman Hawa di Jeddah.
    · Permakaman bapa Rasulullah (saw) di Madinah.
    · Rumah kedukaan (Baitul Ahzan) Fatimah binti Muhammad Rasulullah (saw).
    · Masjid Salman Alfarisi di Madinah.
    · Masjid Raj’at ash-sham di Madinah.
    · Rumah Rasulullah di Madinah, selepas peristiwa Hijrah dari Mekah.
    · Rumah Imam Jaafar As-Sadiq di Madinah.
    · Kompleks Mahalla Bani Hasyim di Madinah.
    · Rumah Ali bin Abi Talib; rumah kelahiran Saiyyidina Hasan dan Husein
    · Rumah Hamzah dan makam syuhada di Uhud.

    ReplyDelete