Thursday, May 18, 2006

Larangan Duduk Di Atas Kubur

Abd al-Razzaq A.Muthalib

Pada zaman permulaan Islam, syariat Islam telah melarang amalan menziarahi kubur. Ini bagi mengelakkan sebarang kepercayaan atau amalan-amalan karut yang diamalkan samasa zaman Jahiliyyah dilakukan semasa menziarahi kubur. Tetapi setelah asas pemahaman aqidah diterapkan oleh Rasulullah saw, larangan ini telah dihapuskan. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

-Dari Ali ra berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Sesungguhnya aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu akan akhirat)). (Hadis riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad).

-Dari Abu Said al-Khudri berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Sesungguhnya aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah ia kerana padanya ada pengajaran)). (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Jelaslah bahawa amalan menziarahi kubur ini dapat mengingatkan kita tentang kematian dan negeri akhirat yang padanya mempunyai pelbagai pengajaran dan menimbulkan keinsafan. Namun begitu, keizinan menziarahi kubur ini tetap juga tertakluk kepada beberapa adab dan peraturan lain yang perlu dipatuhi. Ini kerana menziarahi kubur ini merupakan ibadah dan sesuatu ibadah yang dilakukan mestilah bersih dari segala unsur-unsur syirik, khurafat dan bid’ah. Justeru, ia mesti dilakukan berpandukan peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat.

Di antara larangan yang perlu diberi perhatian semasa kita menziarahi kubur atau mengebumikan jenazah ialah tidak duduk di atas kubur. Larangan ini berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah saw. Antaranya ialah:

-Daripada Abu Hurairah ra berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (bermaksud): ((Sekiranya seseorang kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh dan menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur)). (Hadis Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’I, dan Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad)

-Daripada Abu Marthad al-Ghanawi berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda (bermaksud): ((Jangan kamu sembahyang mengadap ke arah kubur, dan jangan kamu duduk di atasnya)). (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’I, al-Tirmizi)

Al-Imam al-Nawawi (w 676) ketika menghuraikan hadis-hadis ini mengatakan bahawa haram untuk duduk di atas kubur. (Rujuk: al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz (Beirut: Dar al-Ma’rifah, cet. 7, 2000), jil.7, hal.41).

Al-Mubarakfuri (w 1353) pula dalam Tuhfat al-Ahwazi, semasa menghuraikan hadis Abu Marthad al-Ghanawi mengatakan bahawa: “Hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya duduk di atas kubur, dan inilah pendapat jumhur…dan ditegah segala sesuatu yang tidak terdapat panduannya daripada sunnah, dan sesungguhnya apa yang ditunjukkan oleh sunnah ialah menziarahi kubur dan berdoa disisinya secara berdiri”. (al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwazi, Kitab al-Janaiz (Madinah: Maktabah al-Salafiyah, cet.2, 1965), jil. 4, hal, 153).

Al-Imam al-Syawkani (w 1255), di dalam Nail al-Awtar, menyebut bahawa hadis Abu Hurairah ini merupakan dalil yang menegah daripada duduk di atas kubur, dan para jumhur berpendapat hukumnya adalah haram. (Rujuk: Al-Syawkani, Nail al-Awtar, Tahqiq: Anwar al-Baaz (al-Mansurah: Dar al-Wafa’, cet. 2, 2003), jil.3, hal.189)

Menurut al-Imam al-San ‘ani pula: “Di antara perkara yang menyakiti dan menggangu mayat ialah duduk di atas kuburnya, ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa sanadnya sahih, iaitu hadis daripada Amru bin Hazm al-Ansari bahawa beliau berkata: Rasulullah saw melihat aku duduk di atas kubur, lalu Baginda bersabda: ((Jangan kamu ganggu dan sakiti penghuni kubur ini)).

Kemudian al-San ‘ani mendatangkan pula hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Abu Marthad, lalu beliau memberikan pandapatnya: “Semua dalil-dalil ini membawa maksud haramnya duduk dan lalu di atas kubur, kerana hadis Nabi: ((Jangan kamu mengganggu penghuni kubir ini)) menunjukkan tegahan daripada mengganggu mayat orang mukmin dan menganggu dan menyakiti mukmin ini adalah haram berdasarkan nas al-Quran (bermaksud): ((Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata)) ( Surah al-Ahzab:58)

(Rujuk: Al-San ‘ani, Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, Tahqiq: Hazim Ali Bahjat al-Qadhi (Beirut: Dar al-Fikr, 2003), jil. 3, hal.573-574)

Syiekh Mohamad Soleh ibn al-Uthaimin ketika menghuraikan hadis tentang larangan duduk di atas kubur ini berkata: “Ini kerana di dalam kubur itu terdapat insan muslim yang perlu dihormati, dan perbuatan engkau duduk di atasnya merupakan suatu penghinaan baginya, maka sebab itulah Nabi saw bersabda: ((Sekiranya salah seorang diantara kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh serta menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur)), dan ini menunjukkan bahawa hukumnya adalah haram”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin, Tahqiq: Muhamad Muhamad Tamir (Kaherah: Dar al-A’nan, cet. 1, 2002), jil.4, hal. 320)

Kesimpulannya, amalan menziarahi kubur merupakan suatu yang dituntut dan dianjurkan oleh Islam kerana ianya dapat mengingatkan kita dengan kematian yang semestinya akan dihadapi oleh setiap insan. Namun begitu, adab-adab dan larangan ketika berada di kawasan perkuburan mestilah dijaga dan diberi perhatian agar ibadah yang kita lakukan ini tidak dicemari oleh perkara-perkara yang ditegah. Senantiasalah kita menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw ini sebagai panduan agar kehidupan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat di bawah rahmat dan naungan Tuhan.

2 comments:

  1. Anonymous1:01 AM

    Sejak Dr Asri Zainal Abidin dilantik sebagai Mufti Perlis yang baru saya tidak pernah mengambil masa untuk mengulas atau menyentuh berkenaan beliau di sini. Tetapi hari ini setelah membaca akhbar The Star saya rasa terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan.

    Akhbar berkenaan membawa tajuk:

    Men can watch if women atheletes decently clad: Mufti

    Dr Asri dilaporkan telah memberikan pandangan berkenaan usaha kerajaan PAS Kelantan menganjurkan Sukan Wanita atau Nisa Games 2007 bermula 17 Febuari ini.

    Menurut EXCO kerajaan Kelantan yang mempengeursikan Jawatankuasa Wanita, Belia dan Sukan Abdul Fatah Mahmood, kaum lelaki hanya dibenarkan hadir semasa upacara perasmian dan tidak dibenarkan hadir dan menyaksikan acara-acara sukan berkenaan yang hanya dikhaskan untuk kaum wanita.

    Menurut laporan akhbar berkenaan Dr Asri berkata kaum lelaki sepatutnya dibenarkan menyaksikan acara sukan seumpama ini dengan syarat para atlit yang mengambil bahagian itu DECENTLY CLAD atau berpakian sopan.

    Dari pemerhatian saya pertama Dr Asri telah mengulas satu isu yang jelas beliau sendiri tidak berapa arif atau memiliki maklumat menyeluruh berkenaannya. Beliau mungkin tidak dimaklumkan bahawa sukan itu terbuka kepada semua atlit wanita tanpa mengira kaum dan agama. Ianya dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 peserta.

    Kalau ianya terbuka bermakna besar kemungkinan bukan semua pesertanya mengenakan pakaian menutup aurat atau lebih selamat lagi meminjam istilah Dr Asri sendiri, DECENTLY CLAD.

    Lantas kerana itulah kerajaan Kelantan dan Nisa Malaysia menghadkan penonton, para pegawai dan kakitangannya hanya terdiri dari kaum wanita sahaja semasa acara berlangsung. Jadi dalam hal ini tidak perlulah Dr Asri menyebut:

    During Prophet Muhammads days, even his wife Aishah participated in horse racing in public but she was clad decently.

    Kedua, Kelantan bukan sekadar mempunyai Muftinya sendiri malah MB dan beberapa anggota EXCO nya tidak kurang juga tinggi ilmu mereka sebagaimana Dr Asri (mungkin lebih lagi). Mungkin dalam hal ini Dr Asri mahu EXCERCISE atau menjalankan kerja dakwah, tetapi tidakkah membetulkan rumah tangga sendiri itu lebih aula dari membetulkan rumah tangga orang lain. Bagaimana agaknya atlit di Perlis beraksi?

    Saya cadangkan Dr Asri menasihatkan kerajaan negeri Perlis agar memastikan semua atlit wanitanya DECENTLY CLAD untuk semua acara yang disertai oleh negeri itu samada di dalam Perlis atau ke luar. Nanti acar-acara sukan di Perlis boleh dibuka kepada penonton lelaki termasuk Dr Asri apabila semua atlitnya yang mengambil bahagian semuanya DECENTLY CLAD belaka.

    ReplyDelete
  2. Anonymous1:01 AM