Monday, August 07, 2006

Asaari , Arqam, Rufaqa dan Kasyaf

Asaari mendakwa dirinya memiliki kasyaf yang berupaya membaca perkara-perkara ghaib. Sehubungan itu, menerusi keupayaan Asaari yang memiliki kasyaf, dia boleh melihat alam roh, alam barzakh dan membaca hati manusia. Tidak terkecuali, hal-hal yang berlaku pada masa akan datang.


Dalam buku Pendidikan Rapat dengan Rohaniah Manusia, Asaari menulis berkaitan kasyaf sebagaimana berikut;

a. …
Mungkin dapat melihat alam roh atau alam jin atau alam malaikat, alam barzakh atau dapat membaca hati manusia atau diperlihatkan hal-hal masa depan yang akan berlaku dengan izin Allah. Itulah yang dikatakan kasyaf.
[para. 2; hlm. 57]

b. Apa itu kasyaf? Kasyaf ertinya ‘singkap’ yakni tabir-tabir yang jadi penghalang atau jadi hijab pada mata batin untuk melihat alam ghaib atau rohaniah itu, Allah singkapkan. Allah buka dan perlihatkan. [para. 2; hlm. 422]

Sepanjang sejarah Jemaah Aurad Muhammadiah ini, kasyaf merupakan antara agenda utama jemaah terutamanya ketika dalam era kerohanian. Suatu ketika, para pemimpin al-Arqam mencari individu-individu dalam jemaah tersebut yang mempunyai kelebihan kasyaf. Sehingga kini, kasyaf masih merupakan sumber utama pegangan Asaari, malah dia mendakwa memiliki kasyaf sesuai dengan tarafnya sebagai ketua wali. Ini kerana, dengan kasyaf; Asaari akan dapat membaca hati pengikutnya juga dapat mengetahui perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Kami sudah membincangkan perkara ini dalam beberapa artikel berkaitan dengan perkara ghaib sebelum ini.

Seterusnya, bagi meyakinkan pengikutnya, Asaari telah mengemukakan beberapa dalil dalam buku di atas untuk membenarkan penggunaan kasyaf. Kami ingin menegaskan bahawa, semua dalil yang dibawa oleh Asaari dalam buku terbarunya, telah lebih awal dibidas oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya yang menyentuh perkara ilham, kasyaf dan mimpi. Al-Qaradhawi menegaskan bahawa dalil-dalil yang menjadi sandaran golongan sufi walaupun betul penggunaannya tetapi tidak boleh diterima semua natijahnya.

Kasyaf adalah sesuatu yang dicari-cari dan diusahakan oleh Asaari dan para pengikutnya. Kami menyanggah tindakan sedemikian. Ini kerana jalan Asaari yang mengharapkan kasyaf adalah jalan yang tidak pernah dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. beribadah di gua Hira', baginda tidak pernahpun bertujuan untuk mencari kasyaf mahupun ilham, malah baginda s.a.w. tidak pernah mengharapkan turun sesuatu dari langit. Perkara ini tidak pernah terlintas di hatinya. Ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran.

Allah berfirman;

وَمَا كُنْتَ تَرْجُو أَنْ يُلْقَى إِلَيْكَ الْكِتَابُ إِلا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ فَلا تَكُونَنَّ ظَهِيرًا لِلْكَافِرِينَ

Dan engkau (Wahai Muhammad) tidak pernah berharap supaya Kitab Al-Qur`an ini diturunkan kepadamu, (tetapi ia diturunkan kepadamu) hanyalah sebagai rahmat dari Tuhanmu, oleh itu janganlah engkau menjadi orang-orang kafir.
(Surah al-Qasas: 86)

Ketika baginda didatangi wahyu, baginda dalam keadaan amat terkejut, lalu lekas-lekas pulang dengan hati yang gementar sambil berkata kepada isterinya; "Selimutkanlah aku, selimutkanlah aku." Baginda juga berkata; "Sesungguhnya aku takut diriku didatangi oleh perkara yang bukan-bukan”.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata:

“Kami tidak bersetuju dengan pendapat yang menganggap kasyaf merupakan suatu perkara yang dituntut. Ia hanya merupakan anugerah Allah sahaja. Kita sebagai orang Islam tidak pernah diperintah supaya mencari kasyaf. Kita hanya dituntut mencari ilmu. Keterangan-keterangan dari hadith menjelaskan, menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap muslim. Sesiapa yang melalui satu jalan menuntut ilmu, Allah akan memudahkan kepadanya jalan ke Syurga. Para malaikat pula merendahkan sayapnya kepada penuntut ilmu, kerana redha dengan apa yang mereka lakukan. Keistimewaan ini sedikitpun tidak terdapat pada pencari kasyaf.”


Selain itu, dalam Jemaah Aurad Muhammadiah, terdapat amalan dan wirid tertentu yang dibaca yang kononnya akan menjadikan seseorang itu kasyaf. Dr. Yusuf al-Qardhawi menjelaskan golongan seperti ini telah lari daripada matlamat ibadah yang sebenar dan tidak ikhlas kepada Allah. Petikannya sebagaimana berikut:

“…orang yang menjadikan matlamat ibadahnya supaya tersingkap atau terkasyaf kepadanya benda-benda yang tersembunyi dan dipandu oleh ilham dalam menilai segala sesuatu, maka dia pada hakikatnya tidak ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Tuhan-Nya, sebaliknya lebih berbentuk memenuhi keperluan nafsu semata-mata.”

Hujah berikut telah dilontarkan oleh al-Qaradhawi kepada golongan yang berpegang dengan kasyaf;

a. Apabila hati manusia kosong dari sebarang lintasan, dari mana pula dia mengetahui bahawa perkara yang terhasil pada hatinya itu satu kebenaran? Sudah tentu dia mengetahuinya melalui akal atau pendengaran sedangkan keduanya tidak boleh membawa seseorang kepada kebenaran.

b. Apabila hati orang yang mengetahui melalui pendengaran dan akal, kosong dari segala sesuatu, syaitan mengambil kesempatan bersemadi di dalamnya seterusnya menguasainya, sebagaimana ia menguasai tukang-tukang nujum. Hanya satu sahaja yang boleh menghalang hati dari memasuki syaitan iaitu zikrullah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Apabila hati kosong daripada zikir ini, ia akan dikuasai oleh syaitan.

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ / وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
Surah al-Zukhruf: 36-37.

Orang yang ikhlas ialah orang yang mengabdikan dirinya hanya kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Mengabdikan diri kepada Allah hendaklah didasarkan kepada apa yang diperintahkan oleh-Nya melalui lisan-lisan para Rasul-Nya. Orang yang tidak mengikuti jalan ini akan dikuasai oleh syaitan. Inilah pintu yang padanya banyak terdapat golongan tarekat dan ahli ibadah terjebak di dalamnya. Mereka menghadapi kesukaran dalam membezakan antara al-ahwal al-Syaithan (hal keadaan yang berpunca daripada syaitan) dan al-Ahwal al-rahmaniyah (hal keadaan yang bersumberkan dari Allah, al-Rahman) berlaku kepada mereka perkara-perkara yang pernah berlaku kepada tukang-tukang nujum dan ahli sihir. Mereka menyangka ia dari karamah para wali Allah yang muttaqin sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini.

3. Andaikata jalan ini (kasyaf) benar, ia hanya untuk orang yang tidak didatangi oleh rasul sahaja. Sebaliknya bagi mereka yang didatangi oleh Rasul, kemudian Rasul ini menyuruhnya mengikuti satu jalan, maka orang yang mencanggahi perintah rasul ini, maka itulah jalan yang sesat. Penutup segala Rasul; Muhammad s.a.w. telah memerintahkan umatnya supaya melakukan ibadah-ibadah yang disyariatkan seperti solat, zikir, doa dan bacaan al-Quran. Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyuruh mereka mengosongkan hati dari segala lintasan, kemudian menunggu kasyaf atau ilham yang bakal turun.

Apa yang dijelaskan oleh al-Qaradhawi ini, jelas membuktikan bahawa ramai orang yang tertipu dengan bisikan syaitan, lalu mendakwa itu adalah satu kasyaf dari Allah. Bisikan syaitan ini akan berlaku pada orang yang telah tersesat aqidahnya dan mereka yang telah terkeluar daripada jalan yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.

Sehingga kini, Asaari tidak pernah membuktikan bahawa apa yang dia perolehi benar-benar kasyaf. Ia hanya dakwaan kosong dan melampaui batas. Ini ditambah lagi, dengan semua perkara yang dia kasyafkan akan meleset dan tidak tepat.

Lalu, apalah hebatnya Asaari?…

No comments:

Post a Comment