Oleh: Sahibus Samahah al-Syeikh Abdul Aziz ibn Baz -rahimahullah-
Segala Puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, dan ke atas ahli keluarganya dan para sahabatnya.
Tidak syak lagi bahawa sesungguhnya Isra' dan Mi'raj merupakan sebahagian dari tanda-tanda hebat dari Allah yang membuktikan kebenaran utusan-Nya, Muhammad s.a.w. Kejadian tersebut turut menunjukkan mulianya kedudukan baginda di sisi Allah. Ia juga merupakan sebahagian dari petanda hebatnya keupayaan Allah dan Maha Tinggi Allah mengatasi sekalian makhluk ciptaan-Nya. Firman Allah:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لِيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ اْلأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." [Surah al-Isra', 1].
Telah diriwayatkan secara mutawatir dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda telah naik ke langit, dan dibuka kepada baginda pintu-pintu langit sehingga ke langit yang ketujuh, dan baginda telah berbicara dengan Allah sebagaimana yang dikehendaki, dan telah difardhukan ke atas baginda solat lima waktu.
Pada mulanya Allah telah memfardhukan 50 solat, maka Nabi kita Muhammad s.a.w. berterusan merujuk kembali kepada-Nya dan memohon keringanan sehinggalah Dia menjadikan lima sahaja, maka ia menjadi lima solat fardhu dengan 50 ganjaran. Ini disebabkan satu kebaikan diberi ganjaran 10 kali ganda, maka segala pujian dan syukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya.
Adapun malam yang berlakunya Isra' dan Mi'raj tidak ada hadith-hadith sahih yang menyebut penentuan tarikhnya. Oleh itu, apa-apa sahaja riwayat yang menyebut akan penentuan malam Isra' dan Mi'raj tidak dapat dibuktikan yang ia datang dari Nabi s.a.w. pada sisi 'ulama hadith. Pada Allah terdapat hikmah yang mendalam apabila Dia menyebabkan manusia lupa akan tarikh penentuan malam tersebut. Jikalau tarikh berlakunya Isra' dan Mi'raj dapat ditentukan sekalipun, umat Islam tidak boleh mengkhususkan malam tersebut dengan apa-apa bentuk ibadah dan tidak boleh merayakannya, kerana Nabi s.a.w. dan para Sahabah r.anhum tidak merayakannya dan tidak pula mengkhususkan sesuatu amalan untuk malam tersebut. Jikalau perayaan malam tersebut merupakan sesuatu yang dianjurkan oleh syarak, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w. akan menerangkannya kepada umatnya, sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Jikalau terdapat apa-apa perkataan dan perbuatan baginda mengenai sambutan malam tersebut sudah tentu ia akan diketahui ramai dan tersohor, dan para Sahabah r. anhum akan meriwayatkannya kepada kita, kerana mereka telah meriwayatkan dari Nabi s.a.w. segala perkara yang diperlukan umat, dan mereka tidak pernah melampau dalam sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama. Bahkan mereka mendahului kita dalam mendapatkan semua kebaikan. Jikalau perayaan malam tersebut merupakan sesuatu yang disyariatkan nescaya mereka akan menjadi manusia yang mendahului dalam menyambutnya. Nabi s.a.w. pula merupakan manusia yang paling banyak memberi nasihat kepada manusia lain, dan baginda telah menyampaikan risalah dengan bersungguh-sungguh dan telah melaksanakan amanah baginda. Sekiranya perbuatan membesarkan malam tersebut dan merayakannya sebahagian dari agama Islam sudah tentu baginda s.a.w. tidak akan lalai mengenainya atau menyembunyikannya dari pengetahuan manusia. Apabila tidak ada satu pun riwayat mengenainya maka dapatlah diketahui bahawa merayakan malam tersebut dan membesarkannya bukan sebahagian dari Islam langsung. Sesungguhnya Allah telah melengkapkan agama buat umat ini dan menyempurnakan nikmat untuk mereka, dan Dia telah mengingkari sesiapa yang mensyariatkan sesuatu yang tidak diizinkan Allah dalam agama.
Firman Allah dalam kitab-Nya yang nyata dalam Surah al-Maa'idah:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلإِسْلاَمَ دِيْناً
"Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu." [Surah al-Maa'idah, 3].
Firman Allah dalam Surah al-Syura:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّيْنِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللهُ وَلَوْ لاَ كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِيْنَ لَهُمْ عَذَابُ أَلِيْمٌ
"Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyari'atkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menetukan (dari Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih." [Surah al-Syura, 21].
Terdapat hadith-hadith sahih yang boleh dibuktikan berasal dari Nabi s.a.w. yang mengandungi peringatan menjauhi perkara yang diada-adakan dalam agama dan penjelasan yang terang bahawa setiap perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah sesat. Hadith-hadith tersebut turut memberi peringatan buat umat betapa besarnya bahaya perkara yang diada-adakan dalam agama dan menyuruh mereka menjauhkan diri dari melakukannya. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan dalam dua kitab hadith sahih, iaitu Sahih al-Bukhariy dan Sahih Muslim, dari 'A'isyah r.anha bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِيْ أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
"Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) kami ini sesuatu yang bukan darinya maka ia tertolak."
Manakala dalam riwayat Muslim:
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
"Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang bukan dari urusan kami maka ia tertolak."
Dalam Sahih Muslim, daripada Jabir r.a. katanya: Adalah Nabi s.a.w. bersabda dalam khutbah baginda pada hari Jumaat:
أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خير الحديث كتاب الله وخير الهدي هديُ محمد صلى الله عليه وسلم وشرُّ الأمور محدثاتُها وكلُّ بدعة ضلالة
"Seterusnya, sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad s.a.w., dan seburuk-buruk perkara ialah perkara yang diada-adakan dalam agama, dan setiap perkara baru itu sesat."
Dalam kitab-kitab Sunan pula, daripada al-'Irbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah s.a.w. telah memberi nasihat kepada kami dengan suatu nasihat yang sebenar-benar, ia telah menggetarkan hati dan mengalirkan air mata, kami berkata: "Wahai Rasulullah, seakan-akan nasihat ini nasihat perpisahan maka berilah pesanan kepada kami!" Baginda bersabda:
أوصيكُم بتقوى الله والسَّمع والطاعة، وإن تأمَّر عليكم عبدٌ فإنه من يعش منكم فسيرى اختلافاً كثيراً كثيراً فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين من بعدي تمسَّكوا بها وعضُّوا عليها بالنَّواجذ وإيَّاكم ومحدثات الأمور فإنَّ كلَّ محدثة بدعة وكلَّ بدعة ضلالة
"Aku berpesan kepada kamu sekalian agar bertaqwa kepada Allah, patuh dan taat sekalipun yang memerintah kamu sekalian seorang hamba abdi, kerana sesungguhnya sesiapa di kalangan kamu yang hidup selepas (kewafatan) aku maka dia akan melihat banyak perkara yang diperselisihkan, maka hendaklah kamu sekalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah al-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepas aku, hendaklah kamu sekalian berpegang dengannya dan menggigitnya dengan gigi geraham (jangan sekali-kali melepaskannya), dan berwaspadalah kamu sekalian dengan perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana sesungguhnya setiap yang diada-adakan dalam agama adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat."
Banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang sama.
Telah terbukti daripada para Sahabat Rasulullah s.a.w. dan dari generasi Salafussoleh yang datang selepas mereka peringatan menjauhi perkara yang diada-adakan dalam agama dan larangan dari melakukannya. Ini tidak lain tidak bukan kerana ia merupakan tokok tambah dalam agama dan syari'at yang tidak diizinkan Allah. Perbuatan ini menyerupai perbuatan musuh-musuh Allah dari kalangan Yahudi dan Nasrani yang menokok tambah agama mereka dan mengada-adakan sesuatu yang baru padanya tanpa keizinan dari Allah. Perbuatan ini secara langsung menunjukkan masih terdapat kekurangan dalam agama Islam dan suatu pertuduhan setelah ia sempurna. Jelas bahawa perbuatan mengada-adakan sesuatu yang baru dalam agama menyebabkan berlakunya kerosakan besar, keingkaran yang buruk dan berlawanan dengan firman Allah: "Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu…" [Surah al-Maa'idah, 3]. Perbuatan tersebut juga jelas bertentangan dengan hadith-hadith Rasulullah - selawat dan salam ke atasnya - yang memberi peringatan agar menghindari bid'ah dan menjauhinya.
Aku berharap agar apa dalil-dalil yang telah kami kemukakan cukup dan memuaskan hati semua penuntut kebenaran agar mereka mengingkari perkara ini yang diada-adakan dalam agama - iaitu bid'ah merayakan malam Isra' dan Mi'raj - dan menghindarinya dan ia bukan sebahagian dari agama Islam.
Memandangkan Allah mewajibkan memberi nasihat kepada umat Islam dan menerangkan apa yang disyari'atkan Allah dalam agama serta haramnya menyembunyikan ilmu - aku berpendapat untuk memperingatkan saudara-saudaraku umat Islam agar berwaspada dengan bid'ah ini yang tersebar di kebanyakan tempat sehinggakan sebahagian orang menyangka ia sesuatu yang dituntut dalam agama. Kepada Allah tempat memohon agar diperbaiki hal ehwal umat Islam keseluruhannya, dan mengurniakan mereka dengan kefahaman dalam agama, dan menunjukkan kepada kita dan mereka agar berpegang dengan kebenaran dan tetap di atasnya dan meninggalkan semua perkara yang bertentangan dengannya, kerana sesungguhnya Dia lah yang menguasai segalanya dan mampu melakukannya.
Semoga Allah memberi selawat dan salam dan keberkatan ke atas hamba dan utusan-Nya, Nabi kita Muhammad dan juga ke atas ahli keluarganya dan para sahabatnya.
No comments:
Post a Comment