Wednesday, November 08, 2006

Mendepani cabaran umat akhir zaman dengan tiga prinsip asas

Oleh:
Abu Syu’aib Mohd Khairil Anwar b. Abdul Latif

بسـم الله الـرحمن الـرحيم

إن الحمدَ لله, نحمدُه ونستعينُه ونستغفرُه، ونعوذُ بالله من شرورِ أنفسِنا ومن سيئاتِ أعماِلنا، من يَهْدِهِ اللهُ فلا مُضِلَّلَة، ومن يُضْلِلْ فلا هاَدِيَ لَه، أشهدُ أن لا إله إلا الله وحدَه لا شريك له، وأشهدُ أن محمداً عبدُه ورسولُه. أما بعد

فإنَّ أصْدَقَ الحَدِيْثِ كِتَابُ اللهِ، وَخَيْرَ الهَدِي هَدْيُ مُحَمَّدٍ، وَشَرَّ الأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدعةٌ، وكلَّ بدعةٍ ضلالةٌ، وكلَّ ضلالةٍ في النار.


PENDAHULUAN


Sejak bermulanya dakwah Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW pasti di sana adanya penentangan dan percubaan yang ingin menjatuhkannya. Kaum Kafir Quraisy yang sentiasa ingin memerangi perjuangan baginda, puak-puak munafiq yang sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan Islam di atas nama Islam. Kesemua penentangan ini hanya disebabkan ungkapan kalimah syahadah yang diperjuangkan oleh Nabi SAW, “La ilaha illallah”.

Begitulah rentetan sejarah umat Islam yang sentiasa diuji dengan pelbagai jenis ujian yang besar. Pada zaman pemerintahan khulafa’ al-Rasyidin telah berlaku fitnah yang besar iaitu peperangan Jamal selepas pembunuhan Uthman r.a kemudiannya peperangan Siffin. Lahirnya kumpulan-kumpulan seperti khawarij, Syiah, Muktazilah, Murjiah dan sebagainya.

Seterusnya tidak kurang hebatnya fitnah atau ujian yang sedang kita hadapi pada zaman ini, tidak cukup dengan apa yang ada muncul pula fahaman-fahaman yang cuba merosakkan kesucian Aqidah umat Islam yang sememangnya sudah parah dan kritikal. Fahaman-fahaman yang sesat ini seperti liberalisme, pluralisme dan sebagainya. Fahaman-fahaman ini merosakkan Aqidah umat Islam seperti yang kita dengari sekarang ini semua agama adalah sama, kesemuanya menuju ke syurga dan bolehnya berkongsi raya, kumpulan artikel 11 yang ingin membatalkan kekuasaan mahkamah syariah dan tidak kurang hebatnya isu murtad yang melanda sekarang ini di negara kita.

Rasulullah saw bersabda dalam hadis yang sahih:

إن من أشراط الساعة ثلاثاً: إحداهُنَّ : أن يُلْتَمَسَ العلم عند الأصاغير...

Maksudnya: Antara tanda-tanda kiyamat itu tiga: salah satunya ilmu itu diambil atau dipelajari daripada ‘al-Asaghir’ (budak-budak kecil).

Imam Abdullah ibn al-Mubarak ditanya siapakah mereka yang digelar al-Asaghir itu? Maka beliau menjawab: al-Asaghir itu ialah mereka yang hanya menggunakan akal fikiran semata-mata. Sebahagian menafsirkan sebagai ahli bid’ah.[1]

Nabi SAW bersabda dalam hadis yang lain bermaksud “Akan datang ke atas umatku di akhir zaman tahun-tahun yang menipu, di mana seorang pendusta dikatakan benar, orang yang benar dikatakan penipu, pengkhianat dianggap amanah, orang yang amanah dianggap khianat. Tatkala itu akan berkata-kata golongan Ruwaibidoh. Ditanya kepada Nabi SAW siapakah Ruwaibidoh, Nabi SAW bersabda: Seorang yang lekeh bercakap dalam perkara yang besar atau agama.[2]

Inilah kelompok manusia yang sedang kita hadapi sekarang ini, mereka yang tidak diketahui latar belakang agamanya yang berlagak pandai menimbulkan perkara-perkara yang mengundang ke arah meruntuhkan aqidah umat Islam kini.

Walaubagaimanapun keyakinan kita terhadap hadis Nabi SAW yang menyejukkan hati para pendokong sunnah ialah jaminan bahawa akan ada sekumpulan dari kalangan umat ini yang akan memperjuangkan kebenaran sehingga hari kiyamat. Nabi SAW bersabda:

"لا تزال طائفة من أمتي يقاتلون على الحق إلى يوم القيامة."

Maksudnya: Akan sentiasa ada sekumpulan manusia dari kalangan umatku yang berjuang di atas kebenaran sehinggalah datangnya hari Kiyamat.[3]

Seterusnya artikel ini akan membincangkan tiga asas utama di dalam dakwah ahli Sunnah wal Jamaah di mana sekiranya seorang muslim gagal memahami, menghayati serta melaksanakannya di dalam kehidupan akan mudah menjerumuskannya ke dalam kancah kesyirikan dan kemaksiatan kepada ALLAH U iaitulah:

ü Al-Tauhid

ü Al-Ittiba’ (mengikut petunjuk Nabi)

ü Al-Tazkiyyah (penyucian jiwa)


TAUHID

Tidaklah yang dimaksudkan dengan Al-Tauhid itu seperti mana yang diimani dan difahami kebanyakan orang semata-mata bermaksud “tidak ada pencipta melainkan Allah” tetapi lebih dari itu para salaf dan mereka yang mengikuti manhajnya memahami pengertian Al-Tauhid dengan sebenar-benar pengertian, menjadikannya sebagai usul atau asas yang besar dan penting dimana sekiranya berlaku kecacatan di dalam memahami isu-isu yang terkandung di dalamnya akan menyebabkan seseorang itu jatuh ke dalam Kesyirikan kepada ALLAH SWT.

Kebanyakan umat Islam sangat jahil di dalam perkara-perkara asas ini yang menyebabkan mereka mensyirikkan ALLAH SWT dalam masa yang sama mereka menyangka mereka beriman dan mentauhidkan ALLAH walhal mereka Mulhid di dalam perkara yang berkaitan dengan sifat Allah dan Asma’ (nama-nama) ALLAH, mereka beriman dengan cara yang lain atau mereka telah mensyirikkan ALLAH dengan beribadat kepada selain ALLAH SWT

Asas Tauhid di dalam aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Tauhid terbahagi kepada 3 bahagian:

ü Al-Tauhid al-Rububiyyah

ü Al-Tauhid al-Uluhiyyah

ü Al-Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat

Al-Tauhid al-Rububiyyah

Perkataan Rububiyyah berasal dari perkataan Rabb, di dalam bahasa melayu Rabb diterjemahkan sebagai tuhan tetapi di dalam bahasa arab Rabb membawa pengertian pencipta, pentadbir, pemilik, ketua dan yang seumpamanya.

Oleh itu maksud Tauhid Rububiyyah ialah:

Beriman dan beri’tiqad bahawa ALLAH SWT sahaja yang menciptakan segala sesuatu, mentadbir serta pemilik alam ini.

Dalil-dali tauhid Rububiyyah sangat banyak di dalam al-Quran antaranya:

ALLAH berfirman dalam surah al-A’raf: 54:

] أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ العالَمِيْنَ[

Maksudnya:

Ingatlah, mencipta dan memerintah hanyalah hak ALLAH, Maha Suci ALLAH Tuhan semesta alam.

ALLAH berfirman dalam surah Ali Imram: 189

] وَللهِ مُلْكُ السَّمَاواتِ وَالأَرْضِ وَاللهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ[

Maksudnya:

Kepunyaan ALLAH lah kerajaan langit dan bumi, dan ALLAH Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Ini juga diakui oleh orang-orang musyrik bahawa ALLAH lah yang menciptakan segala sesuatu.

ALLAH berfirman dalam surah al-Zukhruf: 87

] وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُوْلُنَّ اللهُ [

Maksudnya:

Sekiranya ditanya kepada mereka (musyrik)siapa yang menciptakan mereka, mereka akan mengatakan ALLAH.

ALLAH berfirman dalam surah al-Luqman: 25

] وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ لَيَقُوْلُنَّ اللهُ [

Maksudnya:

Sekiranya ditanya kepada mereka (musyrik)siapa yang menciptakan langit dan bumi, mereka akan mengatakan ALLAH.

Al-Tauhid al-Uluhiyyah

Uluhiyyah berasal dari perkataan Ilah. Ilah bermaksud yang berhak disembah, diagung dan didaulat. Makna inilah yang terkandung di dalam kalimah syahadah لا اله إلا الله yang bermaksud “Tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan ALLAH.”

Maksud Tauhid Uluhiyyah ialah:

Beriman dan mengesakan ALLAH Ta’ala dengan ibadah iaitu dengan hanya menyembahNya dan tidak menyembah selain dariNya sama ada Rasul, nabi, wali, pokok, batu, matahari, bulan atau sesiapa sahaja.

Ibadah tidak hanya solat, zakat, puasa dan haji sahaja bahkan ianya segala perbuatan yang membawa makna ibadah. Antara contoh lain yang bersangkutan dengan ibadah ialah doa dan ianya kepala segala ibadah. Maka tidak boleh seorang muslim berdoa memohon hajat kepada selain ALLAH.

Selain itu al-Hub (kecintaan), al-Ta’zim (pengagungan), al-Khauf (perasaan takut), al-Raja’ (mengharap). Begitu juga penyembelihan dan nazar. Kesemua perkara-perkara ini adalah hak ALLAH Ta’ala ke atas hamba-hambaNya dan hanya boleh dilakukan hanya keranaNya. Sebahagian perkara-perkara inilah atau kesemuanya sekali ramai orang-orang Islam yang melakukannya kepada selain ALLAH SWT, Nauzubillahi minzalik.

Cukuplah di sini sebagai contoh mereka yang pergi ke kuburan para alim ulama’ dan orang soleh dan meminta hajat kepada mayat yang berada di dalam kubur tersebut seperti memohon agar disembuhkan penyakit, memohon agar dikurniakan anak tidak cukup dengan itu sahaja bahkan melakukan penyembelihan, bertawaf dikubur serta bersujud kepadanya. Adakah perbuatan seperti ini tidak Syirik kepada ALLAH. perbuatan ini merupakan syirik besar yang mengeluarkannya dari agama Islam.

Amalan-amalan ini bukan hanya dilakukan oleh orang awam sahaja bahkan mereka yang konon-kononnya mengaku sebagai alim besar atau tok wali besar dari kalangan puak-puak sufi dan tarikat. Tindakan mereka sama seperti perbuatan para musyrik yang menyembah selain ALLAH dan mereka mengatakan :

] ما نَعْبُدُهُمْ إلا لِيُقَرِّبُوْناَ إِلَى اللهِ زُلْفَى[

Bermaksud: “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada ALLAH dengan sedekat-dekatnya”. Surah al-Zumar: 3

Inilah Tauhid yang dibawa oleh para Rasul, juga dinamakan sebagai tauhid ibadah. ALLAH berfirman dalam surah al-Nisa’: 36

] وَاعْبُدُوا اللهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِي شَيْئاً[

Maksudnya: “Sembahlah ALLAH dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun”.

ALLAH berfirman lagi dalam surah al-Anbia’: 25

] وَمَا أرْسَلْناَ مِنْ قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلاَّ نُوْحِى إِلَيْهِ أنَّهُو لاَ إِلَهَ إلاَّ أناْ فَاعْبُدُوْنِ[

Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya Bahawasanya tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali sembahlah olehmu sekalian akan Aku”.

Juga disebabkan tauhid inilah para musyrikin Quraisy menentang dakwah Nabi Muhammad r ini kerana mereka memahami tuntutan daripada kalimah syahadah itu ialah tidak ada sembahan yang berhak disembah melainkan ALLAH, dan keseluruhan pengabdian hanya untuk mendaulatkan ALLAH semata-mata.

Al-Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat

Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat ialah tauhid yang sangat penting untuk dipelajari dan difahami oleh meeka yang mengaku sebagai ahli sunnah wal jamaah.

Maksud tauhid ini ialah beriman dengan sifat-sifat ALLAH SWT beserta nama-namaNya dengan cara mengisbatkan atau menetapkan apa yang telah ALLAH tetapkan bagi diriNya dengan sifat-sifat dan nama-namaNya di dalam al-Quran dan melalui lidah RasulNya tanpa mengubah dan menafikannya serta tanpa menetapkan cara tertentu dan tanpa menyerupakan dengan makhluk.

ALLAH SWT telah mensifatkan diriNya di dalam al-Quran melalui ayat-ayat yang sangat banyak. Juga diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadisnya yang sahih melalui kitab-kitab hadis seperti al-Bukhari, Muslim, Musnad Imam Ahmad dan selainnya. Kewajipan umat Islam ialah membenarkan serta beriman dengannya.

Oleh itu di dalam menetapkan nama-nama dan sifat-sifat ALLAH beberapa kaedah perlu difahami:

v Tidak boleh menafikan apa jua sifat-sifat atau nama-nama yang telah ditetapkan sendiri oleh ALLAH SWT .

v Tidak boleh menamakan ALLAH SWT atau mensifatkanNya dengan nama dan sifat yang tidak terdapat di dalam al-Quran dan sunnah.

v Tidak boleh menyamakan sifat dan nama ALLAH dengan makhluk (tamsil).

v Tidak boleh menetapkan cara tertentu atau membagaimanakan sifat-sifat dan nama-nama ALLAH. (Takyif).

Al-Ittiba’


Selepas memahami pengertian tauhid dan tuntutannya maka kewajipan ke atas seorang muslim itu ialah beriman bahawa hanya petunjuk Rasulullah SAW sahaja wajib diikuti. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan al-Ittiba’. Ini merealisasikan ungkapan syahadah محمد رسول الله yang membawa maksud “Tidak ada ikutan yang sebenar-benarnya kecuali Rasulullah”.

Maka setiap orang Islam mestilah beriman bahawa Nabi Muhammad SAW ialah sebagai penyampai atau utusan dari ALLAH SWT dengan diberikan dua bentuk wahyu iaitu Kitabullah dan sunnahnya SAW. Baginda bersabda:

"ألا وإني أوتيت القرآن ومثله معه"

Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya aku diberikan al-Quran dan yang sepertinya bersama (sunnah)”.[4]

Oleh yang demikian sesiapa yang mengingkari hadis baginda di dalam perkara-perkara seperti jual-beli, perkahwinan, talak dan sebagainya sama seperti dia menginkari perkara-perkara ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji.

ALLAH berfirman dalam surah al-Nisa’:59

] يَأيُّهَااْلَّـذِيْنَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وأطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِى الأمْرِ مِنْكُمْ فَإن تَنَازَعْتُم فِي شَيءٍ فَرُدُّوْهُ إلَى اللهِ وَالرَّسُوْلِ إن كُنْتُم تُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ وَاليَوْمِ الأَخِرِ ذَلِكَ خَيرٌ وأحْسَنُ تأوِيلاً[

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri di antara kamu kemudian jika kamu berselisih pendapatmaka kembalikanlah ia kepada Allah dan rasul jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhiratyang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SWT. bersabda:

"كُلُّ أمَّتِي يَدخلونَ الجنَّةَ إلا من أَبَى. قيل: ومن يَأبَى يا رسولَ اللهِ؟ قال: من أَطَاعَنِي دخل الجنَّةَ ومن عَصَانِي فقد أَبَى".[5]

Maksudnya:

“Semua umatku akan memasuki syurga kecuali mereka yang enggan. Ditanya kepada nabi: Siapakah mereka yang enggan itu wahai Rasulullah. Nabi SWT bersabda sesiapa yang taat kepadaku akan memasuki syurga dan sesiapa yang bermaksiat (perbuatan ingkar) kepadaku maka itulah orang-orang yang enggan”

Tanggungjawab seorang muslim terhadap Rasulullah SWT perlu memenuhi dua syarat:

ü Cinta الحب : mencintai baginda SWT sebagai pilihan ALLAH dan bertanggungjawab menyampaikan agama.

ü Ikut الاتباع : mengikut dan mematuhi petunjuk baginda.

Perasaan cinta semata-mata kepada Nabi SWT tidak mencukupi, ia mesti disertakan dengan ittiba’ mengikut dan mematuhinya. Sekiranya seseorang hanya menyintai baginda tetapi tidak mahu untuk mengikutnya jadilah seperti Abu Thalib yang menyintai nabi serta melindunginya tetapi tidak mengikut dan beriman dengan baginda.

Sekiranya seseorang itu hanya mengikut tetapi tidak menyintai baginda jadilah seperti Abdullah bin Ubai bin Salul seorang munafiq. Hanya mengikut tetapi di dalam hati cukup membenci dan memusuhi baginda SWT.

Ittiba’ bukan Ibtida’ (mengikut bukan mengada-adakan perkara baru).

Firman ALLAH SWT :

]اليَوْمَ أكْمَلْتُ لَكُم دِيْنَكُم وَأتْمَمْتُُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ الإسْلاَمَ دِيْناً [

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan untukmu agamamu dan Aku cukupkan atasmu nikmat-Ku serta Aku redha Islam sebagai agamamu.”[6]

Ayat ini menunjukkan bahawa ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi SAW telah lengkap, sempurna dan tidak perlu ditokok tambah. Kewajipan umat Islam mengikut apa yang telah disyariatkan dan haram bagi umat Islam itu menokok tambah dalam urusan agama. Dan ini telah dijelaskan oleh nabi SAW dalam hadisnya:

فإنَّ أصْدَقَ الحَدِيْثِ كِتَابُ اللهِ, وَخَيْرَ الهَدي هَدْيُ مُحَمَّدٍ, وَشَرَّ الأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا, وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدعةٌ, وكلَّ بدعةٍ ضلالةٌ, وكلَّ ضلالةٍ في النار.

Maksudnya:

“Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW dan seburuk-buruk perkara ialah perkara yang baru diada-adakan di dalam agama, dan setiap yang baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat dan setiap kesesatan tempatnya di neraka”.

Rasulullah SAW pernah mewasiatkan umatnya:

"فإنه مَنْ يَعِشْ مِنكُم بعدِ فَسَيَرَى اختِلاَفاً كَثِيراً فَعَلَيْكُم بِسُنَّتِي وسُنَّةِ الخُلفاءِ الراشِدِينَ المهدِيِّين تَمَسَّكُوا بِها وعَضُّوا عليها بالنَّوَاجِذِ وإيَّاكُم وَمُحْدَثَاتِ الأمُور فإنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ"

Maksudnya:

Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas daripadaku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham (dengan sungguh-sungguh). Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.”

Dr. Abdul Karim Zaidan berkata:

“Amalan yang soleh ialah selagi mana ia sahih (betul) dan ikhlas kepada Allah. Pengertian sahih (betul) ialah apa yang selari dengan tuntutan syarak. Oleh itu, tidak boleh sama sekali mengada-adakan bid’ah dalam agama serta menokok tambah atau menguranginya. Ini kerana, tidak ada pahala bagi pembuatnya walaupun dengan niat beribadah kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW:

"مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ"

Maksudnya:

Sesiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami apa-apa yang kami tidak ajarkannya, perbuatan itu tidak diterima.”[7]

Di dalam lafaz yang lain nabi bersabda:

"من عَمِلَ عَمَلاً ليسَ علَيهِ أمْرُنا فهُو رَدٌّ".[8]

Maksudnya:

“Barangsiapa yang melakukan satu amalan yang bukan berasal dari urusan kami maka ianya tertolak”.

Bid’ah merupakan seburuk-buruk maksiat kerana bid’ah itu mengubah agama serta hukam-hakam syarak. Bidaah juga merupakan suatu dakwaan bahawa bahawa agama ini masih ada kekurangannya dan memerlukan penambahan agar lebih sempurna. Perkara seperti ini merupakan dosa paling besar. Tidak boleh beri’tiqad serta beramal dengannya.[9] Maka syarat yang harus dipenuhi di dalam ibadah ialah:

ü Ikhlas tidak mensyirikkan ALLAH.

ü Mengikut petunjuk baginda SAW

Sesungguhnya sedikit ibadah yang menepati Sunnah lebih baik daripada banyak beribadah tetapi ditolak oleh Allah kerana bercampur dengan unsur-unsur bid’ah.



Al-Tazkiyyah


Al-Tazkiyyah bermaksud penyucian, pembersihan. Yang dimaksudkan dengan al-Tazkiyyah disini ialah al-Tazkiyyatu al-nafs, penyucian jiwa. Maka Tazkiyyah ini salah satu perkara yang sangat penting dan oleh kerananya diutuskan Rasulullah SAW bahkan ianya merupakan kemuncak serta hasil dari risalah yang dibawa oleh baginda SAW.

ALLAH I berfirman di dalam surah al-Jumu’ah :2

] هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّـيِّيْنَ رَسُوْلاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آياَتـِهِ وَيُزَكِّيْـهِمْ وَيُعَلِّـمُهُمُ الكِتاَبَ وَالحِكْمَةَ وَإِنْ كَـانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُّبِيْنٍ[

Maksudnya:

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah, dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”.

ALLAH SWT berfirman di dalam surah Ali Imran : 164

] لَقَدْ مَنَّ اللهُ عَلَى الْمُؤمِنِيْنَ إذْ بَعَثَ فِيْهِمْ رَسُوْلاً مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آياَتـِهِ وَيُزَكِّيْـهِمْ وَيُعَلِّـمُهُمُ الكِتاَبَ وَالحِكْمَةَ وَإِنْ كَـانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُّبِيْنٍ[

Maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika ALLAH mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah, dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”.

ALLAH SWT memberitahu kepada kita di dalam dua ayat di atas bahawa tujuan utama diutuskan Nabi SAW ialah membacakan ayat-ayat ALLAH. Ini merupakan suatu nikmat yang besar di mana kita dapat mendengar ayat-ayat ALLAH dari lidah seorang rasul dari kalangan manusia. Kemudian selepas itu membersih atau menyucikan umat ini dari kegelapan kejahilan dengan mengajarkan kitab dan hikmah. Kitab bermaksud al-Quran dan hikmah ialah sunnah dan ilmu yang bermanfaat.

Tazkiyyah pembersihan jiwa atau penyucian dari kekotoran. Msks jiwa yang bersih ialah jauh dari sifat-sifat yang tercela seperti menipu, hasad dengki, zalim dan lain-lain lagi.

ALLAH berfirman dalam surah al-Syams: 7-10

] وَنَفْسٍ وَماَ سَوَّاهاَ، فَأَلْهَمَهَا فُجُوْرَهاَ وَتَقْوَاهاَ، قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكاَّهاَ، وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهاَ[

Maksudnya:

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), Maka ALLAH mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan, Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya”.

Pasti ada yang bertanya apakah cara yang telah ALLAH syariatkan dan yang telah diterangkan oleh Nabi untuk mencapai tujuan ini? Atau bagaimanakah cara untuk membersihkan jiwa supaya ia menjadi jiwa yang baik?

Jawapan kepada soalan ini ialah menjadi kewajipan umat Islam itu melihat kepada keseluruhan syariat Islam sendiri dan dihayati bermula dari aqidah, ibadat dan muamalat. Seterusnya melihat hubungkaitnya dengan pentazkiyahan dan pembersihan jiwa.

Pertama: Tauhid itu Tazkiyyah.

Tauhid merupakan suatu bentuk pentazkiyahn jiwa. Kerana tauhid ialah mengi’tiraf dan mengikrar keesaan ALLAH SWT tiada tuhan melainkannya. Maka pengi’tirafan dan penyaksian ini ialah pentazkiyahan, ini kerana mengi’tiraf suatu kebenaran ialah suatu sifat yang mulia sedangkan menentang suatu kebenaran itu sifat yang tercela. Lawan kepada tauhid ialah syirik dan ia merupakan sebesar-besar sifat yang tercela, sebab itu ALLAH berfirman dalam surah al-Taubah:28

] إنَّماَ المُشْرِكُوْنِ نَجَسٌ [

Maksudnya: “sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis

Maksud ayat ini orang-orang yang musyrik itu najis ialah kerana kekotoran jiwa mereka dari syirik iaitu mempersekutukan ALLAH, bukan kerana najisnya badan mereka. Selagi mana mereka tidak membersihkan diri dari kenajisan syirik itu maka selagi itulah jiwa mereka kotor.

Kedua: Ibadah keseluruhanya sebagai pentazkiyahan jiwa

Ibadah di dalam Islam sama ada ibadah yang berbentuk badaniyyah (badan) atau maliyah (harta) tidak lain dan tidak bukan merupakan amalan-amalan pentazkiyahan jiwa. Amalan-amalan ibadah ini mengikat seorang hamba itu dengan penciptanya. Hasilnya melahirkan ketaqwaan di dalam hati. Ketaqwaan itu ialah perasan takut dan mengharap kepada ALLAH SWT, dan barangsiapa yang merasakan takut kepada ALLAH SWT ia akan menjauhkan dirinya dari melakukan perkara-perkara yang telah diharamkan oleh ALLAH SWT.

Solat merupakan jalan atau cara yang paling berjaya untuk mentazkiyyah diri dan mendidik jiwa. Ianya dilakukan lima kali sehari semalam, dengannya kita mengingati ALLAH, dengan pergerakan-pergerakan yang dilakukan akan menghubungkannya dengan penciptanya. ALLAH berfirman di dalam surah al-Ankabut: 45

] إن الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر [

Maksudnya: “Sesungguhnya solatitu mencegah dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar”.

ALLAH SWT juga sering membandingkan sesuatu amalan itu dengan hasil yang akan didapati dari melakukannya. Seperti Firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah: 183

] كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ [

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”.

Di dalam surah al-Baqarah: 21 ALLAH berfirman

] ياَ أيُّهاَ النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِيْ خَلَقَكُمْ وَالَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ [

Maksudnya: “Hai manusia, Sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu agar kamu bertaqwa”.

Dalam surah al-Baqarah: 179 juga ALLAH berfirman

] وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُوْلِي الأَلْباَبِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ [

Maksudnya: “Dan dalam Qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang beraqal supaya kamu bertaqwa”.

Difahami dari ayat-ayat ini ialah kemuncak segala jenis ibadah ialah mencapai ketaqwaan. Maka kesimpulan yang dicapai ialah kesemua syariat di dalam Islam yang terdiri daripada aqidah, ibadah, solat, puasa, zakat, haji, berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturahim, larangan dari melakukan fawahish (perkara keji) dan mungkar, muamalat, dan sebagainya merupakan egen pentazkiyahan diri dan jiwa.

Selepas kita memahami bahawa Islam ialah agama yang mentazkiyah diri dan jiwa dan tidak diutuskan Rasulullah SAW kecuali untuk merealisasikan makna tazkiyyah ini, maka telah lengkaplah agama Islam ini dari segi manhajnya dan amalannya. Kerana ALLAH SWT telah menyempurnakan agamanya dan nikmatnya ke atas Rasul dan seluruh hamba-hambaNya dengan firmannya:

]اليَوْمَ أكْمَلْتُ لَكُم دِيْنَكُم وَأتْمَمْتُُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ الإسْلاَمَ دِيْناً [

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan untukmu agamamu dan Aku cukupkan atasmu nikmat-Ku serta Aku redha Islam sebagai agamamu.”

Maknanya tidak boleh lagi selepas kewafatan Rasulullah SAW mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam perkara ibadah (taqarrub) kerana mengada-adakan tokok tambah dalam ibadah akan membawa kepada kefasadan dan penyelewengan. Bahkan ianya ditolak disisi ALLAH SWT.

والله تعالى أعلم



[1] Asyratu al-Sa’ah, Hal. 183.

[2] Sahih Ibn Majah, rujuk juga di dalam al-Jami’ al-Saghir.

[3] Hadis riwayat Muslim no: 1923

[4] Diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya dengan sanad yang sahih

[5] Al-Bukhari no. 7280.

[6] Al-Maidah: 3

[7] Bukhari dan Muslim

[8] Muslim

[9] Usul al-Dakwah, Dr Abdul Karim Zaidan, ms: 41

No comments:

Post a Comment