Thursday, January 18, 2007

Golongan Eksklusif Dari Kalangan Agamawan

Sudah menjadi lumrah perjuangan menegakkan agama Allah akan mendapat tentangan dari pelbagai pihak. Tidak hairan jika pihak agama sendiri yang memberi tentangan. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Nabi 'Isa 'alayhissalam - bukankah autoriti agama dari kalangan pendeta Yahudi yang menentang dakwah baginda? Bukankah musyrikin Makkah yang menentang Nabi Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam terdiri dari bangsawan Quraisy yang menjaga Ka'abah dan al-Masjid al-Haram? Golongan agama yang telah terpengaruh dengan keduniaan akhirnya merasa terancam dengan dakwah yang dibawa oleh nabi-nabi utusan Allah, sehingga menyebabkan mereka yang sepatutnya menjadi manusia pertama menyahut seruan dakwah bertukar menjadi seteru utama. Inilah golongan yang dimurkai Allah kerana mereka mengetahui kebenaran namun tetap menentangnya.

Ada juga golongan agama yang menentang dakwah disebabkan kejahilan mereka sendiri. Mereka telah sesat dalam kefahaman mereka mengenai agama, lantas tidak beroleh ilmu yang mampu membawa mereka kepada kebenaran. Mereka hidup dalam bayang-bayang, mereka menyangka bahawa kebenaran di pihak mereka sedangkan kebenaran berada bersama dakwah yang dibawa nabi-nabi utusan Allah.

Tidak kurang pula sebahagian manusia yang merasa kebenaran adalah hak milik eksklusif mereka. Hanya pendapat mereka yang benar, semua yang bertentangan dengan mereka salah. Seolah-olah agama kebenaran yang diajar oleh nabi-nabi utusan Allah adalah hak mereka. Mereka adalah manusia terpilih. Seboleh-bolehnya mereka akan menghalang manusia lain dari meneguk air kebenaran dari telaga wahyu yang dikurniakan Allah kepada nabi-nabi utusan-Nya. Seolah-olah mereka adalah penunggu pintu syurga dan neraka, hanya mereka berhak menentukan siapa yang layak untuk syurga dan siapa yang layak untuk neraka. Boleh jadi mereka lakukan perkara ini disebabkan mereka tahu kebenaran namun enggan menerimanya seperti golongan pertama tadi, atau boleh jadi mereka jahil lantas menyangka mereka benar sedangkan mereka salah seperti golongan kedua.

Bukanlah mudah bagi sesiapa pun untuk menghukum seseorang itu benar atau sesat, melainkan jika wujud bukti-bukti kukuh dan terang yang menyokong hukuman tersebut.

Sudah sampai masanya bagi kita, umat Islam, sama-sama berkongsi kebenaran Islam dengan manusia keseluruhannya. Bawalah mereka kepada kebenaran. Buktikan Islam yang kita anuti dan hayati menyebabkan kita menjadi manusia yang memberi manfaat dan menghalang mudarat. Janganlah masa kita dihabiskan dengan meletakkan label, bukankah Allah penentu segala di Akhirat nanti? Kenapa kita menyibukkan diri kita dengan sesuatu yang menjadi hak Allah, dan kemudian melupakan pula tugas yang lebih utama buat kita?

Ingat, menghukum sesuatu doktrin atau amalan sebagai sesat berbeza dengan menghukum individu sebagai sesat.

No comments:

Post a Comment