Saturday, January 06, 2007

HADITH PALSU: HAJI AKHBAR!!!!



Jasa bakti yang dicurahkan secara ikhlas selama ini oleh sebilangan besar para alim ulama’, guru-guru, ustaz-ustaz dan sebagainya di dalam menyampaikan risalah agama, amatlah dihargai dan disanjung tinggi. Saya memohon kepada Allah semoga usaha mereka diberikan ganjaran yang sewajarnya dan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosa mereka.

Kita sedar, sebagai manusia biasa mereka sentiasa terdedah kepada salah dan silap kerana yang maksum hanyalah para Nabi dan Rasul Allah. Segala kebenaran yang menepati al-Qur’an dan al-Hadith kita terima dan amalkan dan segala apa yang menyalahi keduanya perlu untuk kita jauhi.

Alim ulama’ yang hebat bukanlah mereka yang tidak pernah melakukan kesalahan tetapi adalah mereka yang memperbetulkannya apabila ternyata ianya bertentangan dengan fakta yang sahih.

Para alim ulama’ juga seharusnya sentiasa mencontohi imam-imam terdahulu yang selalu memerintahkan untuk menolak pendapat mereka sekiranya ia menyalahi kesahihan dari al-Qur’an dan al-Hadith.

Antaranya seperti mana pesanan dari imam kita yang mulia, al-Imam as-Syafi’e

1. “Setiap orang harus bermazhab kepada Rasulullah SAW dan mengikutinya. Apa pun pendapat yang aku katakan atau sesuatu yang aku katakan itu berasal dari Rasulullah SAW, tetapi ternyata berlawanan dengan pendapatku, apa yang disabdakan itulah menjadi pendapatku” (disebut di dalam Kitab Tarikh Damsyiq karya Ibnu Asakir, I’lam Al-Muwaqqi’in dan Al-Iqazh)
2. “Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadith Rasulullah, peganglah hadith Rasulullah itu dan tinggallah pendapatku itu” (disebut oleh Harawi di dalam Kitab Dzamm al-Kalam, al-Khatib dalam Ihtijaj Bi As-Syafi’e, Ibnu Asakir, an-Nawawi dalam al-Majmu dan lain-lain)
3. “Bila suatu masalah ada hadithnya yang sah dari Rasulullah SAW menurut kalangan ahli hadith, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya baik ketika aku masih hidup mahupun setelah kematianku” (disebut oleh Abu Nu’aim dalam al-Hilyah, al-Harawi, Ibnu Qayyim dalam al-I’lam dan al-Filani)
4. “Bila kalian mengetahui aku mengatakan suatu pendapat yang ternyata menyalahi hadith Nabi yang sahih, ketahuilah bahawa pendapatku tidak berguna” (disebut oleh Ibnu al-Hatim dalam Adabu As-Syafi’e, Abul Qasim Samarqandi dalam Al-Amali dan lainnya)

Bertitik-tolak untuk melihat agama Allah sentiasa berada di atas landasan kebenaran dan jauh dari segala penyelewengan, dengan rasa penuh keinsafan dan memahami akan kelemahan diri, saya ingin menegur kepada satu perkara yang difahamkan bahawa ianya telah menyalahi kebenaran dari al-Qur’an dan al-Hadith.

Ini adalah perkara yang sering dikatakan yang berkaitan dengan “Haji Akhbar", iaitu hari wukuf yang jatuh pada hari Jumaat adalah melebihi 70 kali dari haji yang wukuf pada hari biasa”. Fadhilat ini sepertimana yang juga disebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji merangkap ketua pakar rujuk ibadah haji 1427 Hijrah, Datuk Haji Hassan Ahmad yang disiarkan di TV3 bertarikh 22-Disember-2006 dan juga sepertimana yang disiarkan oleh BERNAMA pada 23-Disember-2006 dan juga kenyataan oleh Mufti Negeri Johor Dato’ Noh Gadut di akhbar Berita Harian bertarikh 31-Disember-2006.

Sebenarnya fadhilat ini dibina di atas hadith yang palsu, sepertimana yang disebut oleh para ulama hadith. Hadith palsu yang dipegang tersebut ialah yang bermaksud :

"Seutama-utama hari-hari 'Arafah, apabila ia bersamaan dengan hari Jumaat. Ia lebih utama daripada 70 haji yang bukan (wuquf) pada hari Jumaat."

Beberapa ulama telah menghukumkan hadith ini sebagai palsu, antaranya ialah :

1. Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Maad berkata : "Adapun apa-apa yang diperkatakan oleh lidah-lidah orang awam bahawasanya ianya (wuquf pada hari Jumaat) menyamai 72 haji : adalah hadith yang batil, tidak ada asal baginya dari Rasul saw, tidak juga dari salah seorang sahabat baginda dan tabi'ien." (Zaad al-Maad : 1/65)

2. Syeikh Nasiruddin al-Albani berkata di dalam al-Silsilah al-Dhoiefah (207) menghukumkan hadith di atas sebagai BATIL yang tidak ada asal baginya

3. Al-Hafidz Ibn Nasiruddin al-Dimasqi berkata : "Hadith yang (menyebut); bertepatannya hari Jumaat dengan hari Arafah, ianya menyamai 72 haji adalah hadith yang BATIL, TIDAK SAHIH. Demikian juga tidak thabit apa yang diriwayatkan daripada Zurr bin Hubaysh : bahawasanya ia lebih utama dari 70 haji pada selain hari Jumaat"

4. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang haji pada hari Jumaat menjawab :
"Tidak warid dari Nabi saw tentang kelebihan hari Jumaat apabila bertepatan dengan hari 'Arafah. (Ilqa' al-Sahri : 34/soalan no 18)

5. Ulama al-Lujnah al-Da-imah pula apabila ditanya : Sebahagian manusia berkata : “Apabila hari Arafah bersamaan dengan hari Jumaat pada tahun itu, maka siapa yang melakukan haji, bersamaan dengan 70 kali haji, apakah ada dalil dari sunnah dalam perkara ini.?"
Al-Lujnah al-Daimah menjawab : "Tidak ada dalam perkara itu dalil yang sahih, Sebahagian manusia menyangka ia menyamai 70 haji atau 72 haji, ini juga tidak sahih." (Fatawa al-Lujnah al-Daimah : 11/210,211)

Umat Islam wajib memelihara ketulenan sumber agama agar tidak bercampur di antara rekaan manusia dan perintah Allah dan RasulNya. Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama. Ramai yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadith maka pastinya sahih dan wajib diimani. Ingatlah kepada amaran yang diberikan oleh Baginda Nabi s.a.w. dalam hadith sahih yang mutawatir:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain mereka)

Menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya. Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram.

Kata al-Imam Ibn al-Salah: “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98)

Saya yakin, tokoh-tokoh agama yang menyatakan tentang fadhilat wukuf pada hari Jummat ini melebihi 70 kali haji yang wukuf pada hari lain bukanlah bermaksud untuk sengaja berdusta di atas nama Baginda Rasulullah SAW atau sengaja untuk menyelewengkan fakta agama. Mungkin ianya disebabkan oleh ketidak telitian mereka di dalam memetik hadith-hadith Baginda atau belum sampainya pengetahuan tentang kepalsuannya ke sisi mereka. Semoga Allah mengampun dosa-dosa mereka dan saya juga.

Saya bimbang, jika umat Islam terus berpegang dengan kepalsuan hadith ini maka akan timbul beberapa perkara. Antaranya

1. Mengharapkan sesuatu ganjaran yang besar sedangkan agama tidak pernah menjanjikan demikian.
2. Menimbulkan rasa ketaksuban kepada mereka yang wukuf pada hari Jumaat dengan andaian mereka telah memperolehi kelebihan melebihi saudara mereka yang menunaikan haji pada tahun-tahun yang lain
3. Mereka yang berkesempatan untuk wukuf pada hari Jumaat akan memandang rendah ibadat haji mereka yang wukuf pada hari selainnya
4. Akan ada umat Islam yang menangguh-nagguhkan ibadat haji dengan harapan untuk menanti satu tahun yang wukufnya akan jatuh pada hari Jumaat

Harapan saya, umat Islam tanpa mengira orang awam atau para mufti hendaklah sentiasa meneliti kesahihan sesuatu hadith yang sampai ke telinga mereka sebelum disebarkan ke tengah-tengah masyarakat agar ketulenan agama akan sentiasa terpelihara.

Kepada orang awam, teliti dahulu sesuatu hadith yang didengari kerana bukan semua yang diucapkan dari mulut para ulama’ itu mesti semuanya benar walaupun ianya bergelar mufti. Manusia boleh diterima dan ditolak cakapnya melainkan Rasul SAW

ABUSYAKIR
01-Jan-2007

No comments:

Post a Comment