Perkara yang tidak pasti (al-Mutaghayyirat)
Apa yang dimaksudkan dengan "perkara yang tidak pasti" dalam perbincangan ini ialah: perkara-perkara yang hujahnya bukan berasaskan dalil yang yakin, pasti dan muktamad, iaitu nas yang sahih atau ijma' yang jelas.
Selain daripada al-Quran dan al-Sunnah, sarjana Islam tidak sepakat di dalam menentukan sumber mengeluarkan hukum. Adakalanya mereka juga berbeza di dalam menerima hadith-hadith tertentu. Justeru itu, riwayat hadith akan dinilai pada rangkaian periwayatnya (sanad) dan pada teksnya (matan). Di atas disiplin ini hadith dibahagikan kepada sahih, hasan, lemah (dhaif) dan palsu (maudhu')[1].
Hadith dhaif tidak dapat dipastikan ia betul-betul datang dari nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana terdapat keraguan-keraguan sama ada pada senarai perawinya (sanad) atau pada teks (matan) hadith itu sendiri. Islam tidak boleh dibina di atas keraguan. Oleh itu, fakta yang diperolehi dari hadith dhaif tidak boleh menyaingi apatah lagi mengatasi fakta atau hukum yang diperolehi daripada al-Quran atau hadith yang sahih atau hasan. Fakta ini disepakati.
Di samping itu, tidak semua nas syarak boleh difahami hanya dengan sekilas pandang.
"Perkara yang tidak pasti" ini meliputi :
1- Aqidah
Setiap dalil yang diyakini secara pasti ia datang dari Allah atau rasul-Nya, tidak boleh diragui kebenarannya. Tetapi adakalanya untuk memahami maksud nas tersebut memerlukan kepada sokongan fakta saintifik. Contohnya:
Firman Allah S.W.T:
إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَا أَبتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَباً وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ
Mafhumnya: "Ingatlah ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: Wahai ayahku! Sesungguhnya daku bermimpi melihat sebelas buah bintang, matahari dan bulan sujud kepadaku". (Yusuf 004)
Ayat ini qat'iyy namun lafaz kawkab yang terdapat di dalam ayat itu adakah merujuk kepada bintang seperti yang diterjemahkan oleh kebanyakan penterjemah atau ia bermaksud planet? Persoalan yang timbul ialah:
i. Mengapa diguna lafaz kawkab sedangkan dalam ayat-ayat lain bintang dirujuk kepada perkataan najm.
ii. Jika ia bermaksud bintang di langit, bilangannya lebih dari sebelas.
iii. Jika ia bermaksud planet, buku-buku teks di seluruh dunia hanya menyatakan ada 9 planet. Hanya baru-baru ini timbul berita penemuan planet yang kesepuluh, itupun masih dalam pertikaian para saintis lagi[2]. Mungkin juga selepas ini akan ditemui planet yang kesebelas?
iv. Mungkinkah ia tidak bermaksud bintang atau planet di angkasaraya, sebaliknya sekadar simbolik kepada adik beradik Nabi Yusuf yang sebelas orang?
Kata Ibn Taimiyyah: "Dakwaan bahawa bilangan planet di angkasaraya ini adalah sembilan, sebenarnya tidaklah dibuktikan secara ilmiah. Bahkan tiada dalil yang menafikan kemungkinan wujudnya sesuatu selain daripada sembilan planet. Oleh itu, boleh jadi planet yang wujud di cakerawala ini adalah lebih daripada bilangan itu.[3]
سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْماً بِالْغَيْبِ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاء ظَاهِراً وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَداً
Mafhumnya: "Mereka akan berkata: (bilangan kumpulan pemuda itu) tiga orang yang keempat anjing mereka, dan yang lain berkata:
- adakah peristiwa Isra' dan Mi'raj berlaku pada malam yang sama?
- dari manakah sebenarnya permulaan perjalanan baginda S.A.W?
- adakah ia hanya perjalanan roh atau ia adalah dengan roh dan jasad sekaligus?
- adakah baginda telah dibelah dadanya sebelum perjalanan?
- berapa kalikah nabi melalui peristiwa ini?
- Benarkah nabi dapat melihat wajah Allah semasa Mi'raj?
Dan banyak lagi persoalan serta pertikaian.
Al-Quran menyatakan bahawa terdapat banyak rasul yang telah diutus untuk umat manusia. Sebahagiannya diceritakan dalam al-Quran dan sebahagian yang lain tidak diceritakan.
i. Pengutusan Yusuf ialah selepas Ya'qub, Ya'qub selepas Ishaq dan Ishaq selepas Ismail, Lut dan Ibrahim.
ii. Sulaiman diutus selepas bapanya Daud.
iii. Selepas Zakaria ada Yahya dan Isa.
Namun susunan yang lengkap ke semua rasul itu tidak didapati dari mana-mana nas al-Quran atau al-hadith. Oleh itu ia termasuk dalam perkara yang tidak pasti.
a) nama 2 orang anak nabi Adam yang bertelagah
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَاناً فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللّهُ مِنَ الْمُتَّقِين
Mafhumnya: "Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua orang anak nabi Adam secara benar, ketika mana mereka berdua melakukan korban, lalu diterima korban salah seorang dari mereka dan tidak diterima dari seorang lagi" (Al-Maidah 027)
b) nama Ratu kerajaan
إِنِّي وَجَدتُّ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِن كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ
Mafhumnya: "Sesungguhnya aku dapati seorang wanita memerintah mereka, dan diberi kepadanya segala sesuatu, dan dia memiliki takhta yang sangat hebat"
(An-Naml 023)
c) Wanita bangsawan yang menggoda nabi Yusuf atau nama saudara-saudara nabi Yusuf dan lain-lain lagi.
Perselisihan tentang perincian-perincian seperti ini tidak menjejaskan usul aqidah. Tetapi berlebih-lebihan dalam membincangkan hal-hal seumpama ini hanya membuang waktu, mungkin melalaikan daripada urusan yang lebih perlu dan membuka ruang untuk khurafat dan bid'ah. Contohnya:
i) menjadikan nama-nama ashabul Kahfi sebagai jampi serapah
ii) munculnya amalan menjelmakan wajah "guru" untuk lebih khusyuk dalam ibadat.
2- Ibadah
Faktor "tidak pasti" dan "tidak muktamad" telah melahirkan pendirian, aliran pemikiran, fatwa dan pandangan Fiqh yang bermacam-macam. Apabila makna satu-satu hadith itu boleh ditakwil, difahami lebih dari satu maksud, boleh ditakhsis dan dinasakhkan, ia akan membawa kepada perbezaan pendapat. Perselisihan seperti ini tidak dapat dielakkan lagi, dan ia telah berlaku di kalangan sahabat di hadapan baginda nabi S.A.W. Contoh yang jelas ialah seperti arahan Rasulullah S.A.W kepada para sahabat yang hendak pergi memerangi Bani Quraizah. Sabdanya:
لا يصلين أحدكم العصر إلا في بني قريظة
Ertinya: "Janganlah sekali-kali seorang daripada kamu solat asar melainkan di perkampungan Bani Quraizah"[4].
Kisah ini masyhur tentang para sahabat yang berbeza cara faham terhadap arahan nabi S.A.W. Sebahagian mereka berpegang dengan zahir arahan iaitu mesti tunaikan solat di perkampungan Bani Quraizah. Sebahagian yang lain memahaminya sebagai gesaan untuk bersegera ke tempat tujuan, lalu mereka solat asar di perjalanan apabila tiba waktunya. Apa yang penting, apabila dibawa perkara ini kepada rasulillah S.A.W, baginda tidak menyalahkan mana-mana pihak.
Menyedari hakikat ini, imam-imam mazhab tidak pernah mendakwa pendapat merekalah hukum Allah yang sebenar. Sebaliknya mereka mengarahkan agar yang menjadi ikutan ialah sunnah nabi S.A.W. Kata al-imam Malik Bin Anas[5]:
"Aku hanyalah seorang manusia, adakalanya betul adakalanya salah, maka setiap (pandanganku) yang menepati al-Kitab dan al-Sunnah, ambillah ia dan apa yang tidak menepati al-Kitab dan al-Sunnah, tinggalkanlah ia".
Di antara contoh persoalan Fiqh yang diperselisihkan ialah:
a) Tempoh 'iddah wanita yang bercerai. Firman Allah:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاَثَةَ قُرُوَءٍ وَلاَ يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُواْ إِصْلاَحاً وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكُيمٌ
Mafhumnya: "dan wanita-wanita yang diceraikan hendaklah menahan diri (dari berkahwin semula) selama 3 quru' " (Al-Baqarah 228)
Lafaz quru' di dalam Bahasa Arab digunakan dalam dua keadaan iaitu: untuk haid dan untuk suci dari haid. Ayat ini menyatakan bahawa wanita yang bercerai 'iddahnya adalah tiga quru', oleh itu ia boleh difahami sebagai tiga kali haid ataupun tiga kali suci. Kedua-dua makna ini bukanlah suatu yang pasti dan muktamad, lantaran itu para sarjana Islam telah berbeza pandangan tentang tempoh wanita yang bercerai[6].
b) Perkara yang membatalkan wuduk. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُباً إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىَ تَغْتَسِلُواْ وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاء أَحَدٌ مِّنكُم مِّن الْغَآئِطِ أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء فَلَمْ تَجِدُواْ مَاء فَتَيَمَّمُواْ صَعِيداً طَيِّباً فَامْسَحُواْ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَفُوّاً غَفُوراً
Mafhumnya: ….atau kamu menyentuh wanita, lalu kamu tidak dapati air, maka bertayammumlah kamu dengan tanah yang baik" (An-Nisaa 043)
Lafaz لمستم di dalam ayat ini boleh membawa maksud sentuhan atau juga difahami sebagai simbolik (kinayah) bagi persetubuhan. Hal ini menyebabkan para sarjana Fiqh berbeza tentang apakah yang membatalkan wuduk, adakah jima' atau hanya sekadar sentuhan atau mungkin termasuk memandang dengan syahwat?
c) Larangan ke atas wanita semasa haidh. Firman Allah:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُواْ النِّسَاء فِي الْمَحِيضِ وَلاَ تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىَ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Mafhumnya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang wanita yang haid, katakanlah (hai Muhammad!) ia adalah kotoran, maka hendaklah kamu jauhi wanita-wanita yang sedang haid, dan janganlah kamu hampiri mereka hinggalah mereka itu suci"
(Al-Baqarah 222)
Lafaz المحيض merujuk kepada tempat keluar haid iaitu faraj. Oleh itu ia difahami oleh sebahagian fuqaha' sebagai larangan jima' sahaja sedangkan sebahagian yang lain memahaminya sebagai jima' dan bersentuhan pada bahagian badan yang lain[7]. Setiap pihak mengemukakan dalil-dalil sokongan dari hadith, namun yang sahih ialah: jima' sahaja. Ini berdasarkan hadith:
.....اصنعوا كل شيء إلا النكاح
Ertinya: "Buatlah apa sahaja kecuali nikah (bersetubuh)"[8].
d) Hukum menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadas. Sabda Rasulullah S.A.W:
لا يمس القرآن إلا الطاهر
Ertinya: "Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci"[9]
Lafaz Tohir (orang yang suci) itu membawa kepada beberapa makna[10], iaitu:
i) Orang Islam, ini berdasarkan firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ إِن شَاء إِنَّ اللّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Hanyasanya orang-orang musrik itu adalah najis….." (At-Tauba 028)
ii) Orang yang suci daripada najis, sepertimana sabda Nabi S.A.W berkenaan kucing:
إنها ليست بنجس
Ertinya: "Dia itu (kucing) bukan najis"[11].
iii) Orang yang suci daripada janabah (hadas besar). Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ali r.a:
كان النبي (ص) يقرئنا القرآن ما لم يكن جنبا
Ertinya: "Nabi S.A.W membacakan kepada kami al-Quran selagi baginda tidak berjunub"[12].
iv) Orang yang suci dari hadas kecil dan besar yakni dalam keadaan berwuduk. Ia berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W:
لا يقبل الله صلاة أحدكم إذا أحدث حتى يتوضأ
Ertinya: "Allah tidak menerima solat seorang daripada kamu jika dia berhadas, sehinggalah dia berwuduk"[13]. (H.R Al-Bukhari)
e) Cara turun untuk sujud di dalam solat. Sabda Rasulullah S.A.W:
إذا سجد أحدكم فلا يبرك كما يبرك البعير، وليضع يديه قبل ركبتيه
Ertinya: "Apabila seorang dari kamu sujud, janganlah dia sujud sepertimana unta turun, dan letakkanlah kedua tangannya sebelum kedua lututnya"[14].
Potongan hadith ini disahihkan oleh sarjana hadith, tetapi maksud bersalahan dengan cara turun unta itu difahami secara berbeza oleh mereka. Kenyataan ini disokong oleh beberapa riwayat yang lain.
i) Qaul pertama: Unta apabila ingin duduk akan menurunkan tangnnya dahulu sebelum kakinya, iaitu bahagian hadapan sebelum bahagian belakang. Adapun lafaz berikutnya dalam riwayat tersebut: "letakkanlah kedua tangannya sebelum kedua lututnya" dianggap oleh Ibn al-Qayyim sebagai terbalik (maqlub)[15]. Hadith Wail Bin Hujr juga menjelaskan tentang menurunkan lutut sebelum tangan. Oleh itu maksud arahan nabi ialah: "jangan turunkan tangan dulu, sebaliknya turunkan lutut dahulu untuk sujud".
ii) Qaul kedua: Lutut unta berada di tangannya oleh itu, untuk berbeza dengannya hendaklah turunkan tangan dahulu sebelum lutut ketika turun sujud. Ini diperjelaskan lagi dengan frasa berikutnya dalam hadith tersebut. Al-Albani menyatakan hadith itu tidak maqlub sebagaimana dakwaan Ibn al-Qayyim, selain beliau mendhaifkan hadith Wail Bin Hujr itu[16]. Ibn Hajar juga menyatakan hadith Abi Hurairah lebih kuat dari hadith Wail[17].
[1] Hadith palsu akan disentuh dalam tajuk: Perkara yang pasti tidak benar
[2] Berita Harian, Sabtu 6 Ogos 2005, Rencana (m.s 14)
[3] Ibn Taimiyyah, Ahmad Bin Abd. al-Halim. Al-Radd 'ala al-Mantiqiyyin.
[4] H.R al-Bukhari
[5] Rujuk: Ibn Hazm, Ali Bin Ahmad. Al-Ihkam. Kaherah:Dar al-Hadith, ctk 1, 1404H (6/294)
[6] Pendapat yang menyatakan bahawa quru' ialah suci adalah pandangan: Malik, al-Syafi'e dan salah satu riwayat pendapat Ahmad.
Pendapat yang menyatakan bahawa ia adalah haidh adalah pendapat Abu Hanifah dan rakan-rakannya serta riwayat yang paling sahih daripada pandangan Ahmad.
[7] Rujuk: Ibn al-'Arabi, Al-Qadi Abu Bakr. Ahkam al-Quran.
[8] H.R Muslim
[9] H.R Malik secara mursal, ia disahihkan oleh al-Hakim, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.
[10] Rujuk: Al-Bassam, Abdullah Bin Abd al-Rahman. Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram. Ctk 5 2003 (1/313-314)
[11] H.R Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah. Kata al-Tirmizi: sahih.
[12] H.R Abud Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan disahihkan oleh al-Tirmizi.
[13] H.R al-Bukhari
[14] H.R Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan disahihkan oleh al-Albani.
Rujuk: Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din. Sifat Solat al-Nabi. Riyad:Maktabah al-Ma'arif, ctk 1, 1991 (m.s 140-141)
[15] Al-Bassam. Opt.cit (2/259)
[16] Al-Albani. Opt.cit (m.s 141)
[17] Bulugh al-Maram ma'a Taudih al-Ahkam. Opt.cit (2/257)
*Di petik dari Artikel Ustaz Rasyid Idris(Presiden Institut Al-Qayyim) sempena daurah Pelajar INTIS.
Edited by FAZH
No comments:
Post a Comment