Dalam kepercayaan
Apa yang dimaksudkan dengan "kepercayaan" dalam tajuk ini ialah: setiap perkara yang wajib diimani, tanpa mengira adakah orang yang mengengkarinya dianggap kafir ataupun tidak.
Orang-orang yang mengengkari perkara-perkara ini tidak dihukum kafir jika terdapat unsur: perbezaan menilai standard penghujahan dalil, atau kerana salah takwilan[1]. Namun mereka tetap dikira bersalah dan menyalahi manhaj al-salaf al-soleh serta wajib bagi pihak berkuasa menegakkan hujah di atas kesesatan mereka ini. Jika keengkaran itu selepas mengakui kebenaran dalil itu benar-benar dari Allah atau rasul, ia merupakan penentangan terhadap agama. Orang yang begini dihukum kafir, keluar dari agama. Namun tidak dinafikan bahawa terdapat juga perbezaan yang lebih berbentuk teknikal dan tidak menyentuh dasar aqidah. Oleh itu, khilaf seperti ini tidak menyebabkan hukum kafir atau fasiq. Ia Cuma dinilai di sudut rajih atau marjuh sahaja. Berikut adalah perbandingannya:
Perkara yang pasti | Perkara yang tidak pasti |
Iman manusia boleh jadi meningkat dan boleh jadi berkurang[2]. | Takrif iman: adakah merangkumi amal soleh, atau ia hanya pelengkap kepadanya sahaja[3]. |
Kewujudan dan keesaan Allah dengan segala sifat-sifat kesempurnaan-Nya. Juga hak Allah untuk ditauhidkan oleh manusia di dalam amalan. | Beberapa takwilan tentang ayat-ayat dan hadith-hadith yang mutasyabihat berhubung sifat-sifat Allah dan perbuatannya, misalnya: istiwa', tangan dan mata Allah dan lain-lain[4]. |
Kejadian malaikat daripada cahaya dan mereka adalah hamba-hamba Allah yang taat. Jibril bertugas menyampaikan wahyu kepada nabi Muhammad S.A.W.[5] | Adakah para malaikat yang turun semasa perang Badar, turut berperang dan membunuh bersama tentera Islam atau hanya bertugas membisikkan semangat kepada tentera Islam dan menimbulkan rasa takut pada diri tentera kuffar[6]. |
Allah telah mengutus para rasul bagi setiap umat, ada yang diterangkan nama dan kisahnya dan ada pula yang tidak diceritakan. | Bilangan rasul yang disebut namanya di dalam al-Quran 25 orang, tetapi susunan lengkap tidak diketahui melainkan sekadar beberapa nama yang termaktub dalam al-Quran sahaja. |
Setiap orang yang mati akan disoal oleh malaikat di alam kubur, diberi nikmat kepada yang soleh dan diazab orang jahat[7]. | Adakah manusia di alam barzakh terdiri daripada roh sahaja atau bersama jasad.[8] |
Di akhir zaman, Allah akan menurunkan Isa a.s[9]. | Berapa lamakah Isa akan berada di muka bumi[10]. |
Dalam amalan
Hukum hakam yang bersifat tetap dan berterusan tanpa dipengaruhi oleh sebarang bentuk perubahan atau perkembangan dipanggil thawabit. Hukum hakam yang mungkin menerima pengubahsuaian mengikut perubahan situasi dan keperluan serta kebiasaan setempat dipanggil al-mutaghayyirat wa mawarid al-ijtihad.
Contohnya:
a) Hukum-hakam ibadat yang merangkumi rukun-rukun Islam.
Perkara yang tetap / pasti | Perkara yang mungkin berubah / tidak pasti |
Solat fardu 5 waktu wajib ditunaikan dalam apa jua keadaan melainkan jika gugur syarat wajib | Solat dilakukan dalam waktunya masing-masing, tetapi adakalanya ia boleh dihimpunkan (jama'). Adakalanya ia dilakukan berdiri, duduk[11] atau sebagainya. |
Membaca al-Fatihah adalah wajib bagi yang mampu | Membaca basmalah wajib bagi jumhur, tidak bagi Maliki. Begitu juga Syafie menjelaskan bacaan basmalah sedang yang lain membacanya dengan suara perlahan |
Doa qunut adalah disyariatkan dalam solat[12] | Perbezaan pendapat adalah pada: menentukan solat apakah yang disunatkan membaca doa qunut, sebelum atau selepas rukuk, doa apakah yang afdal? |
| Jenis manakah yang paling afdal: Ifrad atau Tamattu' atau Qiran? |
Tawaf Ifadhah adalah rukun haji | Wanita yang haid boleh melakukan tawaf jika didapati selamat daripada mengotori masjid (jika terpaksa)[13]. |
Jemaah haji boleh mendahulu atau mengkemudiankan perkara-perkara berikut: melontar jamrah 'aqabah, bercukur atau tawaf ifadah. | Al-Albani menyatakan bagi mereka yang sudah menanggalkan ihram, tetapi tidak melakukan tawaf sebelum terbenam matahari perlu memakai ihramnya semula. Jumhur menyatakan tidak perlu[14] |
b. Undang-undang kekeluargaan dan urusan muamalat
Perkara yang tetap / pasti | Perkara yang mungkin berubah / tidak pasti |
Talaq dibenarkan oleh syara'. Ia pernah terjadi ke atas Nabi Ismail a.s dan ramai sahabat r.a | Talaq 3 adakah jatuh 1 atau jatuh 3 sekaligus? |
Poligami dibenarkan oleh syara' sekiranya boleh berlaku adil | Penilaian adil adalah bergantung kepada individu atau mungkin pihak berkuasa |
Akad adalah persetujuan urus niaga di antara dua belah pihak | Adakalanya akad sekadar memerlukan isyarat atau ungkapan lisan atau mungkin memerlukan dokumentasi |
Jual beli adalah halal dan riba adalah haram | Bentuk berlakunya riba mungkin berbeza dengan yang berlaku di zaman nabi |
d. Peraturan-peraturan akhlak dan perilaku
Perkara yang tetap / pasti | Perkara yang mungkin berubah / tidak pasti |
Islam mewajibkan berlaku adil sesama manusia | Takrifan adil adakalanya berbeza mengikut keadaan dan keperluan individu |
Berbohong adalah perkara yang dilarang dalam syara' | Adakalanya berbohong dituntut umpamanya untuk menyelamatkan nyawa orang tidak bersalah atau untuk meleraikan persengketaan |
Mencegah kemungkaran adalah suatu kewajipan | Kewajipan mencegah itu boleh berubah mengikut kemampuan orang yang melihatnya. Selain itu, mungkin juga ada kemungkaran yang tidak dicegah demi kepentingan agama yang lebih besar[15]. |
Contoh penerimaan salaf terhadap perkara-perkara yang khilaf[16]
1. Abu Hanifah dan pengikutnya, Al-Syafi'e serta imam-imam yang bersepakat dengan mereka tentang kewajipan membaca basmalah pada surah al-Fatihah di dalam solat masih menunaikan solat di belakang imam-imam solat di Madinah yang bermazhab Maliki, sedangkan mereka tidak mewajibkannya sama ada secara sirr atau jahar.
2. Khalifah Harun al-Rasyid solat sebagai imam selepas beliau berbekam, al-Qadi Abu Yusuf (murid Abi Hanifah) solat di belakangnya sebagai makmum. Abu Yusuf tidak mengulangi solatnya sekalipun beliau berpandangan bahawa berbekam membatalkan wuduk.
Perkara yang pasti tidak benar
i. Kisah Asiah (isteri Firaun) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s) bersama wanita-wanita suci (bidadari syurga) menziarahi Aminah pada malam beliau melahirkan Nabi Muhammad S.A.W[17].
ii. Kisah nabi Muhammad S.A.W dilindungi oleh awan semasa perjalanan untuk berniaga barangan Khadijah r.a sebelum kerasulan baginda[18].
iii. Hadith: "Rejab bulan Allah, Sya'ban bulanku dan Ramadan bulan umatku"[19].
iv. Hadith-hadith tentang kelebihan serban, antaranya: "Solat memakai serban menyamai 25 solat, solat Jumaat memakai serban menyamai 70 solat Jumaat"[20].
v. Hadith tentang kelebihan solat tarawih pada malam pertama hingga ke malam ketiga puluh.
Janji nabi S.A.W ke atas orang-orang yang mendustakan baginda ialah: disiapkan tempat di dalam neraka. Ini berdasarkan sabda rasulullah S.A.W:
من كذب عليّ متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Ertinya; "Barangsiapa yang berdusta ke atasku, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka"
Hadith ini mutawatir.
Penutup
Pengetahuan tentang isu al-qat'iyyat dan al-dzanniyyat dapat membantu umat Islam memahami beberapa perkara:
1. Terdapat batas-batas di dalam menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana individu atau jamaah yang mengengkari satu-satu fakta dalam agama.
2. Menjadi kewajipan kepada umat untuk menerima dengan sepenuh hati setiap perkhabaran yang sahih dari Nabi Muhammad S.A.W sama ada dalam perkara aqidah, ibadah ataupun akhlak.
3. Di antara faktor berlakunya perbezaan pendirian di kalangan ulama ialah tentang cara memahami nas-nas yang dzanniy. Oleh itu umat patut berlapang dada jika khilaf yang berlaku itu mengikut disiplin ilmu yang benar. Tetapi jika khilaf itu tidak muktabar, amar ma'ruf nahi munkar dan nasihat yang baik perlu dilaksanakan untuk membawa setiap manusia ke jalan yang diredhai.
4. Ulama yang mengeluarkan pandangan perlu peka terhadap fakta-fakta yang qat'iy dan dzanniy.
Semoga perkara-perkara yang dibentang ini dapat membantu kita memahami kenapa berlakunya khilaf. Juga agar kita sedar manusia memiliki keupayaan yang berbeza-beza serta pandangan-pandangan yang tersendiri dalam menangani satu-satu masalah. Justeru itu, slogan untuk menyelaraskan umat dalam semua perkara adalah suatu yang tidak realistik. Namun apa yang penting adalah agar umat berpegang teguh kepada al-Quran dan alSunnah dengan disiplin ilmu yang benar, bukan secara taqlid membuta tuli.
والله أعلم
[1] Pendekatan ini digunakan oleh sarjana ahl al-Sunnah dalam menghukum golongan Muktazilah, Khawarij dan seumpamanya yang menafikan beberapa doktrin dalam aqidah Islam.
[2] Dalil bertambah iman: Al-Fath:4, Al-Mudaththir:31 dan lain-lain, manakala dalil berkurang iman ialah hadith tentang mencegah kemungkaran: "….yang demikian adalah selemah-lemah iman" H.R Muslim dan banyak lagi hadith yang lain.
[3] Rujuk: Abi al-'Izzi, Ali Bin Ali. Syarh al-'Aqidah al-Tahawiyyah. Damsyiq:Muassasah al-Risalah, ctk 4 1992, (2/462 dan seterusnya).
[4] Manhaj yang benar dan bijaksana di dalam bab ini tetap manhaj al-salaf al-soleh, namun firqah-firqah yang berbeza tidak dikufurkan jika takwilan itu dalam lingkungan yang diterima oleh Bahasa Arab
[5] Di antara dalilnya: Al-Tahrim:6
[6] Rujuk: Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad. Tafsir al-Qurtubi. Kaherah:Dar al-Sya'b, ctk 2 thn.1372H, (8/101).
[7] Hadith-hadith tentang soal kubur, nikmat dan azab kubur adalah mutawatir. Lihat: Abi al-'Izzi. Ibid (2/578).
[8] Di antara sarjana Islam yang menyatakan azab dengan roh sahaja ialah: Ibn Hazm al-Zohiri. Rujuk: Ibid (2/579-580)
[9] Al-'Adzim Abadi, Muhammad Syams al-Haq. 'Awn al-Ma'bud fi Syarh Sunan Abi Daud.
[10] ibid
[11] Apa yang pasti dari sudut syarak ialah: dibolehkan duduk bagi orang yang tidak berupaya, namun ulama berbeza pandangan tentang dudk bentuk manakah yang afdhal.
[12] Seluruh mazhab Islam menyatakan kesyariatan doa qunut, oleh itu dakwaan bahawa golongan yang dituduh Wahabi tidak berdoa qunut adalah bercanggah dengan fakta ilmu
[13] Ibn Taimiyyah, Ahmad Bin Abd. Al-Halim. Kutub wa Rasail wa Fatawi Ibn Taimiyyah fi al-Fiqh. Maktabah Ibn Taimiyyah, ctk t.t, (26/198,206,208)
[14] Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din. Manasik al-Hajj.
[15] Perbahasan perkara seumpama ini didalami di dalam ilmu Fiqh Muwazanah dan Fiqh Awlawiyyat (Fiqh Pertimbangan dan Keutamaan)
[16] Al-Ulwani, Dr. Toha Jabir. Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam.
[17] Lihat: Al-Barzanji, Abu Ja'far. Majmu'ah Maulud Syaraf al-Anam. Pulau Pinang:Maktabah wa Matba'ah al-Ma'arif, ctk. tanpa tarikh, (m.s 79)
[18] Riwayat yang sahih daripada Muslim, Abu Daud dan al-Nasai menunjukkan baginda S.A.W berlindung dengan bajunya daripada panas mentari semasa ihram.
[19] Lihat: Al-Syawkani, Muhammad Bin Ali. Al-Fawa'id al-Majmu'ah fi al-Ahadith al-Mawdhu'ah.
[20] ibid (m.s 203)
No comments:
Post a Comment