Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
ISLAM adalah gabungan kekuatan kerohanian dan kebendaan. Ia bukan agama kerahiban yang hanya duduk bersila berzikir dan melupakan tanggungjawab menjadi khalifah di muka bumi ini. Juga, bukan agama yang memisahkan dunia dan akhirat, sehingga kegiatan dunia dibicara atau dilaksanakan dalam rupa yang berasingan dengan akhirat. Tidak sama sekali.
Masjid adalah pusat umat Islam. Ia mesti melambangkan kesyumulan atau keluasan Islam, berfungsi membangunkan umat di sudut kerohanian dan fizikalnya. Memasuki masjid bererti melangkah ke kawasan yang melambangkan ketulusan, kemesraan, kerahmatan dan kesyumulan agama.
Sebab itu, dalam kesibukan urusan kehidupan, umat Islam diperintahkan singgah lima kali saban hari di masjid demi mengambil tenaga meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah yang memimpin dunia. Maka muncullah dalam diri setiap individu muslim kekuatan yang luar biasa, gabungan antara unsur langit dan bumi, atau kerohanian dan kebendaan.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: ‘‘Dengan menunaikan solat berjemaah di masjid sebanyak lima kali sehari, menjadikan masjid suatu tempat yang penting dalam Islam dan kehidupan muslimin.’’ Masjid bukan tempat bertapa untuk pendeta (hanya menumpukan ibadah khusus) atau sudut golongan menganggur, bukan tempat ibadat.” golongan darwis (ahli pertapaan). Dalam Islam tiada pendetaan atau pertapaan.
Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abu Zar: Kewajiban kepadamu adalah jihad kerana itulah adalah pertapaan umatku. (riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim-hadis hasan). Al-Qaradawi juga menyebut: “Masjid Nabi itu madrasah dakwah, juga pejabat negara Islam. Padanya Nabi memberikan kerja bagi yang menganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita penting untuk umat, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, menghantar pendakwah, perwakilan perdamaian.” (Al-Qaradawi, Al-‘Ibadah fi al-Islam, m.s. 233, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Tokoh Islam terkenal di masa ini, Dr. ‘Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi al-Sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang diasaskan oleh Rasulullah berkata, ‘‘Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencakupi berbagai- bagai sudut al-din, politik dan kemasyarakatan.’’ (m.s. 149 Beirut: Dar al-Nafais)
Malangnya, masjid-masjid kita kebanyakannya gagal berfungsi sedemikian rupa. Banyak masjid tidak mesra remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang masjid, takut dimarahi jika tersilap. Mereka kurang diberi layanan sewajarnya.
Lebih teruk, ada masjid menyediakan tempat khas kanak-kanak ketika solat. Mereka dijarak jauhkan dari saf orang dewasa. Kadangkala, diselang beberapa saf. Ditulis pula papan tanda ‘saf kanak-kanak’. Ini semua berpunca dari ‘khurafat’ yang disandar kepada fikah kononnya jika kanak-kanak belum berkhatan bersentuhan dengan orang dewasa maka batallah solat. Sebabnya di bawah ‘kulit’ kanak-kanak itu ada najis kerana belum bersunat.
Cuba tanya mereka yang mengajar sedemikian rupa, apakah dalam perut orang dewasa tidak ada najis? Apakah jika seseorang ada nanah di bawah kulitnya, solatnya tidak sah? Lebih lucu, ada yang menyatakan boleh menyebabkan terbatalnya keseluruhan saf. Fatwa ini tidak dinilai dengan hujah dalil dan kewarasan akal.
Ketika Ibn Abbas masih kanak-kanak, Rasulullah bersolat dan memegang telinga atau kepala Ibn Abbas agar bersolat di tepi baginda. Kata Ibn Abbas: “Rasulullah bangun bersolat malam. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda.” (Riwayat al-Bukhari). Dalam hadis Anas: … “Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami.” (Riwayat al-Bukhari).
Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak- kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya. Kata al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani: “Adapun menjadikan saf kanak-kanak di belakang lelaki, aku tidak dapati melainkan hadis yang daif ini sahaja. Ia tidak dapat dijadikan hujah. Tidak mengapa kanak-kanak berdiri dalam saf sebelah lelaki dewasa jika saf masih luas. Solat anak yatim bersama Anas di belakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini.” (Al-Albani, Tamam al-Minah, 284, Riyadh: Dar al-Rayah).
Hasil lain dari kecelaruan ini, ada orang dewasa sanggup menarik kanak-kanak yang sedang bersolat keluar dari saf kerana dia nak masuk saf. Disuruh budak itu ke saf belakang. Akhlak buruk ini menjadikan kanak-kanak berjiwa lemah ketika di masjid. Orang yang lewat datang dan menarik kanak-kanak keluar itu terbiasa dengan sikap buruknya yang datang lewat lalu merampas tempat orang yang lebih awal.
Ada juga pihak tidak suka kanak- kanak terlalu ramai ke masjid. Bimbang mengganggu keheningan jemaah. Sesetengah kita lebih ingin menjaga warna karpet baru dari kempen mendapat jemaah baru.
Dalam hadis Nabi, baginda bersabda: Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya. (Riwayat al-Bukhari). Lihatlah sikap mesra pelanggan baginda. Tidak hairan, masjid di zaman baginda menjadi tempat terpautnya hati setiap generasi. Hadis ini juga bermaksud imam mesti meringankan solatnya, jika makmum ramai yang bertugas di belakangnya. Demikianlah Nabi menjaga perasaan jemaahnya.
Adapun kita, jika ada anak menangis, ibunya pasti dipandang sinis. Maka jangan hairan jika kanak-kanak atau remaja merasai lebih diberi layanan mesra ketika di pusat-pusat hiburan, dibandingkan dengan masjid. Kemudian kita ‘bising’ apabila generasi muda tidak minat dengan masjid.
Di sudut kesyumulan Islam, pemikiran ‘sekular’ masih terpalit baunya dalam gaya fikir kebanyakan kita. Pengajaran di masjid terikat dengan beberapa mata pelajaran tertentu, yang dianggap hanya itulah yang berkait dengan agama. Hanya tauhid, fikah, tafsir, tasauf dan seumpamanya diajar. Itu pun sebahagiannya masih menggunakan pendekatan lama seakan pendengarnya datang dari beberapa kurun yang lepas.
Persoalannya, mengapa tidak mata pelajaran akademik moden seperti sains, matematik, geografi diajar dalam masjid? Tidakkah agama itu merangkumi dunia dan akhirat. Jika ustaz fikah boleh mengajar dalam masjid, mengapa ‘ustaz’ sains tidak boleh? Fikah berkhidmat untuk umat dalam amalan mereka. Tanpa mengetahui sains juga, banyak fatwa moden tidak dapat dirumuskan! Tidakkah generasi kita yang mempelajari sains dengan penuh keimanan boleh menjadi benteng kepada umat?
Fungsi masjid sepatutnya lebih luas. Kata Aisyah r.a: “Suatu hari Rasulullah s.a.w. berada di pintu bilikku, ketika itu orang- orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan selindangnya, aku pula melihat kepada permainan mereka.” (Riwayat al-Bukhari). Dalam riwayat lain disebut permainan tersebut ialah permainan senjata. Sikap tidak membantah Nabi terhadap permainan mereka menunjukkan perbuatan Habsyah mengadakan permainan senjata dalam masjid adalah sesuatu yang diizinkan.
Demikian juga baginda tidak membantah Aisyah melihat mereka, menunjukkan wanita boleh melihat permainan yang dilakukan oleh lelaki. Ini menunjukkan, masjid pada zaman Nabi tidak kaku.
Justeru, jika masjid memperuntukkan kelas-kelas akademik percuma, maka para pelajar akan terasa kesyumulan agama ini. Di samping untuk peperiksaan, ia mendidik mereka lebih berdisiplin dan ingatkan Allah mengenai ilmu yang dipelajari. Ia mampu menjadikan guru yang mengajar lebih mengingati Allah mengenai tanggungjawab dan kaitannya dengan Islam.
Jika kelas-kelas tambahan percuma dalam pelajaran-pelajaran tersebut diberikan oleh masjid dan di dalam masjid, maka anak-anak akan dihantar oleh ibu bapa ke masjid. Lalu hati mereka dan ibu bapa akan dekat dengan masjid. Maka makmurlah masjid dan berfungsilah peranannya.
Jika tiada ruang antara maghrib dan isyak kerana kuliah-kuliah agama yang formal, masjid kita masih banyak waktu kosong antara zuhur dan asar dan antara asar dan maghrib. Duit masjid yang ditabungkan orang itu, bukan sekadar untuk dipaparkan di papan kenyataan tentang jumlahnya. Sebaliknya untuk dibuktikan fungsinya dalam membangunkan Islam.
Banyak aktiviti masyarakat muslim sepatutnya berpusat di masjid. Kempen penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, pembinaan ekonomi muslim dan sebagainya. Selagi tidak bercanggah dengan syarak, masjid boleh dijadikan penggerak aktiviti membangunkan tamadun umat.
Ahli jawatankuasa masjid pula jangan jadikan masjid sebagai syarikat sendirian berhad. Masjid untuk semua. Dr. Mustafa as-Siba’i dalam menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid berkata:
“Apabila Rasulullah sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan kerohanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin.
‘‘Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermulanya benih ketamadunan Islam.
‘‘Tidaklah Abu Bakr, ‘Umar, Uthman, ‘Ali, Khalid, Sa‘ad, Abu ‘Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiah (sekolah Rasulullah) yang bertempat di Masjid Nabawi.
‘‘Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina masyarakat atas asas takwa dan keredaan Allah.” (Al-Siba‘i, Al- Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa ‘Ibar, m.s. 74-75 Jordan: al-Maktab al-Islami).
Kuliah-kuliah di masjid mesti ditingkatkan ke tahap yang sesuai dengan perkembangan masyarakat. Fikah yang payah dan menyusah hendaklah dihindari. Jadikanlah Islam itu mudah dan praktikal. Bersesuaian dengan nas-nas Islam.
Demikian pengajaran dalam masjid mesti memberi kesan kepada kehidupan insan. Jangan asyik membahaskan tentang bermacam pembahagian air dengan pelbagai pecahannya sehingga berbulan masih tajuk air itu dan ini. Malangnya pada masa yang sama tandas atau bilik air masjid dipenuhi bau dan kekotoran yang tidak melambangkan kebersihan dalam Islam.
Demikian juga isi pengajaran hendaklah mampu menarik generasi baru. Untuk itu, pihak yang diamanahkan memantau dan membina kekuatan masjid mesti segar-megar. Jika tidak mampu, mungkin mereka perlu ditukar. Jika tidak, kita secara tidak langsung menghalang orang ke masjid.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114 (maksudnya): Dan siapakah yang lebih zalim dari mereka yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebutkan nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
Kita mungkin tidak menghalang manusia mendekati masjid. Namun tindakan yang tidak seimbang dengan fungsi masjid menjadikan manusia terhalang secara tidak langsung. Generasi muda pelapis pembinaan tamadun umat. Jumlah mereka mesti lebih ramai di masjid dari di pusat-pusat ‘lamunan’. Jangan masjid hanya jadi kelab orang pencen sedangkan orang muda berkelab di tempat lain.
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
No comments:
Post a Comment