Wednesday, June 13, 2007

Memikirkan Kembali Slogan: “Islam Adalah Jawapan kepada Semua Masalah”

Pergerakan pembaharuan Islam semasa yang telah menambat hati sebahagian besar umat Islam di dalam masyarakat memperkenalkan pelbagai slogan yang menjadi tajuk perbualan yang popular. Salah satu slogan yang paling terkenal adalah “Islam adalah jawapan kepada semua masalah”.

Kenyataan ini sungguh indah didengari, namun makna dan implikasinya perlu diselidik dengan berhati-hati dan perlu dijelaskan dengan betul. Adakah kita memahami Islam sebagai sebuah manual yang boleh digunakan untuk secara terus menyelesaikan masalah politik, ekonomi dan sosial? Apa yang perlu kita lakukan hanyalah menurut manual ini dan semua matlamat kita akan tercapai?

Atau, adakah ia bermakna bahawa Islam membekalkan kita dengan prinsip etika yang luas memandu kita untuk menjalani kehidupan di dunia dan mencapai kebahagian di akhirat? Bagi isu spesifik di dalam hidup, kita mesti berusaha menangani masalah-masalah tersebut dan menggunakan kewarasan dan penilaian yang baik – dan semua dari kita terdedah kepada membuat kesilapan, seperti orang yang lain juga?

Apakah bidang yang Islam telah menyediakan penyelesaian yang boleh terus dilaksanakan? Apakah isu-isu yang memerlukan kita kembali terus kepada Quran dan Sunnah untuk mendapatkan jawapan?

Apakah bidang di mana kepakaran manusia mesti dicari? Dan di manakah ini semua membawa kita dengan persoalan di dalam bidang pengurusan, politik, polisi ekonomi dan sebagainya?

Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, kita perlu membezakan antara perkara yang Islam bekalkan kita dengan jawapan yang spesifik dengan yang tidak. Di dalam sesetengah perkara, Islam memberikan kita panduan-panduan yang spesifik, terperinci dan jelas. Ini termasuk masalah yang berkaitan dengan Ibadah, seperti bagaimana kita hendak solat. Juga terdapat beberapa bidang di dalam undang-undang awam di mana Islam memberikan panduan terperinci, seperti undang-undang pewarisan harta.

Kemudian terdapat perkara-perkara lain – dan ia lebih banyak – di mana Islam tidak memberikan kita dengan jawapan yang langsung dan spesifik, namun memberikan kebebasan kepada keintelektualan manusia untuk mendapatkan jalan-jalan penyelesaiannya. Secara umum, ia berkaitan dengan perkara yang bersangkut-paut dengan kehidupan seharian kita. Kisah di mana Rasulullah SAW memberi cadangan berkaitan pendebungaan-silang pokok kurma dan berkata “Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu” tidak tersasar jauh dari apa yang kita katakan.

Bahkan bila kita melihat kepada prinsip-prinsip yang Islam bekalkan kepada kita – seperti prinsip keadilan dan prinsip perbincangan (shura) dalam pemerintahan – kita lihat bahawa pemikiran yang serius diperlukan dari pihak kita jika mahu menjadikan prinsip-prinsip tersebut sesuatu yang praktikal dalam kehidupan.

Pertimbangkan, sebagai contoh, kepada prinsip shura di dalam pemerintahan. Ayat-ayat suci menyatakan prinsip ini secara umum. Allah menerangkan bahawa Muslim sebagai “... urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka (shura)” [Surah al-Shura: 38]

Bagi aplikasi praktikal prinsip ini, mekanisma bagi proses shura, jalan dan cara menterjemahkan prinsip ini kepada realiti di dalam kehidupan berpolitik, adalah perkara yang tidak diterangkan oleh Islam kepada kita. Ini adalah perkara yang terdedah kepada perubahan, bergantung kepada pelbagai keadaan hidup, pada masa dan tempat yang berlainan juga perubahan keperluan-keperluan manusia.

Sekiranya kita hendak berubah dari pengalaman “kebangkitan Islam” kepada kesedaran yang sepenuhnya, kita perlu mencari penyelesaian yang nyata, praktikal bagi masalah-masalah yang kita hadapi. Dan sekiranya penyelesaian-penyelesaian ini datangnya dari pemikiran dan kemampuan penyelesaian masalah diri kita, kita tidak boleh mendakwa bahawa ia adalah “penyelesaian Islam” seolah-olah apa yang kita usahakan adalah benar-benar seperti apa yang Islam mahukan berkaitan dengan masalah-masalah kita hari ini! Sepatutnya penyelesaian-penyelesaian tersebut adalah, samada baik atau buruk, apa yang telah diusahakan oleh umat Islam untuk menghadapi sesuatu isu.

Terdapat perbezaan yang jelas diantara dua kenyataan tersebut. Sekiranya terdapat dua orang pakar yang menjadikan prinsip-prinsip Islam sebagai rujukan, kemudian mereka diberikan masalah untuk diselesaikan, kita tidak akan terperanjat jika setiap mereka memperolehi jawapan yang berlainan. Juga tidak menghairankan jika salah satu jawapan tersebut adalah lebih baik. Apabila kita menimbang merit penyelesaian mereka, kita tidak menimbang keIslaman dua pakar tadi – kita menimbang kemampuan intelektual mereka. Tidak menjadi satu syarat bagi semua orang yang perspektif mereka berdasarkan kepada prinsip Islam boleh mencapai kepada satu penyelesaian yang wajar bagi permasalahan di zaman kita.

Apabila orang mendengar kita berkata “Islam adalah jawapan ...” mereka mempunyai hak untuk bertanya: “Jika Islamlah jawapannya, apakah jawapan bagi kegagalan organisasi-organisasi yang diasaskan oleh para Islamis. Jika Islamlah jawapannya, mengapa kita lihat usaha-usaha yang dilaksanakan tidak menyelesaikan masalah-masalah rumit yang kita hadapi? Adakah Islam menyediakan jawapan bagi perkara-perkara tersebut?

- Atau sebenarnya yang menjadi masalah adalah kemampuan pemikiran kita masih belum sempurna untuk menghadapi permasalahan kreatif yang kita hadapi?

Mereka mempunyai hak untuk bertanya: “Jika Islamlah jawapannya, mengapakah terdapat pelbagai masalah di dalam masyarakat umat Islam di mana usaha bersama sedang dilakukan? Tidakkah Islam mempunyai jawapannya? Jadi apakah jawapannya?

Jadi, adakah betul bagi kita untuk meletakkan kesalahan ke atas Islam? Ataupun kita sepatutnya meletakkan kesalahan terhadap kekurangan minda kita, kekurangan di dalam kreativiti dan kemampuan mencipta? Bagaimana kita harap untuk meyakinkan umat Islam bahawa Islam akan menyelesaikan masalah di dalam negara-negara mereka dan di peringkat antarabangsa, apabila mereka lihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa umat Islam tidak mampu menyediakan alternatif kepada masalah domestik meruncing yang mereka hadapi?

Jawapan kepada semua persoalan tersebut adalah masalah terletak kepada usaha-usaha mental kita. Islam bebas dari kesilapan yang kita lakukan. Islam, sebagai agama, tidak bertanggungjawab terhadap akibat dari jalan penyelesaian yang kita gunakan berdasarkan kepada penilaian-penilian yang kita buat selepas ia mengarahkan kita untuk berfikir dan menyelesaikan masalah kita sendiri.

Muslim perlu bangun dan sedar bahawa Islam, sebagai agama, mesti tidak dipaksa kepada perkara yang ia tidak jelaskan secara terperinci. Ini adalah penyalahgunaan Islam, dan ketidakadilan terhadap agama kita.

Kita mesti menyemak semula beberapa slogan sebelum kita menyebabkan satu generasi lagi memikirkan bahawa Islam sebagai satu manual yang siap digunakan memberikan penyelesaian segera bagi semua masalah.

Terjemahan: Perswis

Oleh: Dr. Jasim Sultan

Artikel asal: Rethinking the Slogan: “Islam is the Answer for Every Problem”

Url:http://www.islamtoday.com/showme2.cfm?cat_id=36&sub_cat_id=1120

No comments:

Post a Comment