Wednesday, August 08, 2007

Kuliah Aqidah 1- Biografi sheikh al-Hakami dan tujuan penciptaan makhluk


Assalamualaikum WBT.

Ini ialah isi kandungan kuliah pertama akidah oleh Ustaz Fadhlan pada 23 Julai 2007. Untuk kuliah pertama ini kita membincangkan 5 soalan daripada buku 200 soal jawab aqidah oleh Shaikh Hafidz al-Hakami. Di bawah ini ialah 5 soalan yang dibincangkan di dalam kuliah aqidah yang pertama ini.

Selain daripada itu, Ustaz Fadhlan juga membincangkan tentang isu 3 kategori hamba yang beribadah kepada Allah swt. Di katakan bahawa ada 3 golongan iaitu:-

a) Ibadah peniaga-Mengharap pahala dan syurga daripada Allah SWT.

b) Ibadah Hamba- Mengharap dijauhi daripada dosa dan neraka.

c) Ibadah Yang Ikhlas- Melakukan ibadah kerana cinta dan redha Allah bukan kerana mahu syurga atau mahu lari daripada neraka.

Ustaz Fadhlah menghuraikan persoalan di atas dan menyebutkan bahawa pembahagian sebegini adalah tidak benar. Sila download audio kuliah ini untuk mendengar huraiannya sendiri.

Selain itu Ustaz Fadhlan turut menghurai tentang tujuan penciptaan manusia adalah untuk menyembah Allah SWT dan sekaligus menolak pegangan bahawa hal pertama yang manusia perlu buat ialah merasa ragu dengan segala-galanya.

Klik untuk download audio kuliah

Klik untuk tajuk dibawah untuk download buku tersebut sepenuhnya

BENDERA-BENDERA AL-SUNNAH YANG BERKIBARAN

DALAM MENERANGKAN

AQIDAH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

GOLONGAN TAULADAN

(200 SOAL JAWAB BERKENAAN AQIDAH ISLAM)

OLEH AL-SHAIKH HAFIZ BIN AHMAD AL-HAKAMI

1- Apakah perkara pertama yang wajib dilakukan oleh seseorang hamba?

Pertama sekali, seseorang hamba itu wajib mengetahui tujuan Allah mencipta makhlukNya, mengambil pengakuan mereka, menghantar para rasulNya dan menurunkan kitab-kitabNya kepada mereka. Perkara ini juga merupakan tujuan diciptanya dunia dan akhirat, syurga dan neraka, datangnya hari akhirat, diletakkan alat penghitung amalan dan berterbangannya lembaran-lembaran amalan. Perkara ini juga merupakan sebab kecelakaan atau kesejahteraan dan berdasarkan perkara inilah cahaya Allah diagihkan, sebagaimana firman Allah Ta‘ala (al-Nur 24:40):


Maksudnya: Dan barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.

2- Apakah sebenarnya tujuan Allah mencipta makhlukNya?

Firman Allah Ta‘ala (al-Dukhan 44:38-39):


Maksudnya: Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan bermain-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan haq, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Firman Allah Ta‘ala (Sad 38:27):


Maksudnya: Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir.

Firman Allah Ta‘ala (al-Jathiah 45:22):

Maksudnya: Dan Allah menciptakan langit dan bumi dengan tujuan yang benar dan agar dibalasi tiap-tiap diri terhadap apa yang dikerjakannya dan mereka tidak akan dirugikan.

Firman Allah Ta‘ala (al-Zariyat 51:56):

Maksudnya: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.

3- Apakah erti ‘abd (hamba)?

a. Perkataan ‘abd (hamba) boleh diertikan sebagai sesuatu yang ditundukkan. Dengan erti ini, perkataan ini merangkumi semua makhluk dari alam atas dan bawah, yang berakal dan tidak, yang basah dan kering, yang bergerak dan tetap, yang jelas dan tersembunyi, yang beriman dan kafir, yang baik dan jahat dan seterusnya. Kesemuanya adalah makhluk ciptaan Allah, dibawah asuhanNya, ditundukkan kepada arahanNya dan ditadbir dengan pentadbiranNya. Setiap satunya mempunyai jalannya yang tersendiri dan juga penghujung. Semuanya bergerak berlandaskan di dalam waktu yang terhad. firman Allah Ta‘ala ( Yasin 36:38):

Maksudnya: Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

b. Perkataan ‘abd juga boleh diertikan sebagai hamba yang mencintai dan merendah diri. Dengan erti ini, perkataan ini merangkumi orang yang beriman sahaja. Mereka adalah hamba yang dimuliakan, merekalah wali-wali Allah yang bertaqwa. Mereka tidak akan berasa takut mahupun bersedih di kemudian hari.

4- Apakah erti ibadah?

Ibadah ialah satu perkataan yang merangkumi semua yang Allah suka dan redha samada percakapan atau perbuatan yang zahir mahupun batin. Di samping suci daripada perkara yang bercanggahan dan berlawanan dengannya.

5- Bilakah perbuatan itu dikira ibadah?

Sekiranya terdapat di dalamnya dua perkara iaitu cinta dan rendah diri yang sempurna. Firman Allah Ta‘ala ( al-Baqarah 2:165):

Maksudnya: Adapun orang-orang yang beriman, mereka sangat cinta kepada Allah.

Firman Allah Ta‘ala ( al-Mukminun 23:57):

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka.

Allah Ta‘ala telah menyatakan kedua-dua sifat ini dalam firmanNya (al-Anbiya’ 21:90):

Maksudnya: Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas (takut). Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.

No comments:

Post a Comment