Islam meletakkan lelaki dan wanita pada kedudukan yang sama. Sebab itu, ia juga meletakkan beban hukum (taklif) yang sama antara lelaki dan wanita dalam bab solat, puasa, haji dan sebagainya.
Bagaimanapun, sebagai agama yang sempurna, Islam menetapkan takhsis (pengkhususan) daripada hukum yang bersifat umum jika terdapat dalil yang mengkhususkan sesuatu hukum itu untuk lelaki atau wanita sahaja.
Bagaimanapun, ada aktivis gerakan feminisme terutama yang diperjuangkan oleh Dr. Fatima Mernissi mendakwa terdapat beberapa hadis meletakkan kaum wanita pada martabat yang rendah.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SAZALI CHE DIN menemu bual pensyarah Jabatan Bahasa Asing (Arab), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, ANZARUDDIN AHMAD bagi mengupas isu ini.
MEGA: Bagaimanakah lahirnya gerakan feminisme ini?
ANZARUDDIN: Istilah feminisme diperkenalkan di Perancis di sekitar abad ke-19 iaitu pada tahun 1880-an oleh Hubertine Auclert dalam jurnalnya La Citoyenneun.
Tujuan utama beliau ialah mengkritik dominasi lelaki dan menuntut hak kebebasan wanita seperti yang dijanjikan oleh Revolusi Perancis.
Agenda golongan mainstream gerakan ini ialah bagaimana mewujudkan keserataan gender secara kuantitatif. Maknanya, lelaki dan wanita mesti bersama-sama memainkan peranan di dalam atau di luar rumah.
Menurut Ratna Megawangi dalam bukunya Membiarkan Berbeda (1999), mereka percaya perbezaan peranan berdasarkan gender adalah semata-mata kerana budaya bukan perbezaan biologi.
Idea ini dikatakan bersumber daripada ideologi Marxis yang meletakkan wanita sebagai kelas tertindas dan lelaki sebagai kelas penindas.
MEGA:Bilakah pula munculnya feminisme Islam dan siapakah personaliti yang terlibat?
ANZARUDDIN: Perjuangan feminisme Islam berakar umbi sejak awal kurun ke-20. Pemikirannya mula diperkenalkan di Mesir pada awal tahun 1920-an. Dalam bahasa Arab ia dikenali sebagai al-nisa’iyyah.
Bagaimanapun, ia kembali popular pada tahun 1990-an apabila istilah Islamic feminism pertama kali digunakan secara meluas.
Antara personaliti terkenal dalam gerakan ini ialah Dr. Amina Wadud (pengkritik al-Quran) di Amerika Syarikat (AS) dan Dr. Fatima Mernissi (pengkritik hadis).
Apakah tumpuan gerakan feminisme Islam ini?
ANZARUDDIN: Mereka menumpukan perhatian kepada tafsiran ayat al-Quran dan hadis berkaitan wanita. Persoalan yang sering ditimbulkan ialah al-Quran menetapkan prinsip keserataan di kalangan semua manusia.
Namun, mereka mendakwa, prinsip ini disabotaj oleh golongan ulama yang menafsir agama berdasarkan perspektif budaya masyarakat Arab yang bersifat cauvinis lelaki.
Dengan kata lain, ulama Islam dituduh penyebab berlakunya ketidakadilan terhadap wanita. Sebab itulah, mereka mahu wahyu Allah itu ditafsir semula berdasarkan perspektif semasa yang kononnya lebih mesra gender agar fikah Islam menjadi lebih adil dan seimbang.
MEGA:Adakah dakwaan itu berasas atau ia dipengaruhi oleh keadaan persekitaran mereka dibesarkan?
ANZARUDDIN: Kalau diteliti, tokoh-tokoh feminis muslimat ini terpengaruh dengan metod penafsiran ala feminisme yang sememangnya telah lama berkembang di kalangan penganut Kristian.
Mereka tidak berpuas hati dengan teks-teks kitab Injil yang diterjemah dan ditafsir dalam budaya yang didominasi lelaki. Budaya ini menyebabkan wanita terpinggir dan diperlakukan sebagai warganegara kelas kedua.
Dakwaan mereka ini sebenarnya tidak berasas. Yang jelas, keserataan gender ini bersumber daripada pengalaman dan pandangan hidup sekular-liberal Barat.
Dalam kes Fatima, saya melihat karya-karyanya dipenuhi dengan pengalaman peribadinya ketika berinteraksi dengan masyarakat. Antara karyanya ialah The Veil and Male Elite yang kemudiannya disemak semula menjadi Women and Islam: An Historical and Theological Enquiry (1991).
Karyanya yang lain ialah The Forgotten Queen in Islam (1994) dan Islam and Democracy (1994).
Apakah latar belakang Fatima sehingga dia banyak mengkritik dan mempertikai hadis-hadis sahih Rasulullah s.a.w?
ANZARUDDIN: Fatima lahir di Fez, Maghribi pada tahun 1940 dan memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sosiologi dari Universiti Brandels, AS pada tahun 1973.
Sekarang bertugas sebagai profesor sosiologi di Universiti Mohamad ke-V, Rabat, Maghribi.
Sewaktu kelahirannya, para nasionalis Maghribi berjaya merebut kekuasaan pemerintahan negara daripada tangan kolonial Perancis. Pejuang nasionalis ini kemudiannya menjanjikan kewujudan negara Maghribi yang baru, dengan persamaan untuk semua. Dengan kata lain, wanita mempunyai hak mendapat pendidikan yang sama dengan lelaki.
Bagaimanapun, pengalamannya membesar menyaksikan suasana yang nyata berbeza. Dalam bukunya, Fatima menceritakan penindasan yang berlaku di dalam harem (tempat khas untuk wanita). Harem ini dikawal ketat oleh penjaga pintu agar wanita yang tinggal di situ tidak dapat keluar.
Dia mengungkapkan bagaimana kaum wanita hanya boleh melihat ke langit dari lingkungan harem dan mengimpikan peluang melangkah bebas seperti di Barat. Diceritakan juga bagaimana Fatima melihat dunia luar dengan cara mengintip dari lubang pintu. Ini menyebabkan dia sering bertanya kenapa hanya wanita yang harus dibatasi dan dihadkan pergerakan mereka.
Fatima dibesarkan dalam harem bersama ibu, nenek-neneknya serta saudara perempuan yang lain. Neneknya, Yasmina pula adalah salah seorang daripada sembilan isteri datuknya.
Di sekolah, al-Quran diajar dengan cara yang keras. Setiap hari dia harus menghafal ayat al-Quran. Jika salah menyebut, dia akan dibentak atau dipukul.
MEGA: Hadis manakah yang dikritik oleh Fatima?
ANZARUDDIN: Antara hadisnya ialah: Anjing, keldai dan wanita akan membatalkan solat seseorang apabila ia melintas di depannya. (riwayat Al-Bukhari). Fatima mendakwa wanita disamakan kedudukannya dengan anjing dan keldai sehingga ke peringkat membatalkan solat seseorang.
Oleh sebab itu, dia cuba menafsir semula kerana ia tidak seiring dengan fahaman feminisme.
Hadis kedua ialah: Tidak akan sejahtera suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada wanita. (riwayat Al-Bukhari). Fatima mengkritik sanad (jalur riwayat) hadis ini iaitu terhadap perawinya, Abi Bakrah.
MEGA:Apakah jawapan kepada polemik ini?
ANZARUDDIN: Bagi hadis pertama walaupun ada ulama yang mengatakan solat itu terbatal tetapi majoriti ulama menidakkannya. Ini dijelaskan dalam kitab Aun al-Ma’bud Fi Syarh Sunan Abi Dawud (al-Abadiy, 1410 H, hadis ke 602).
Al-Imam Al- Syafie, Malik, Abu Hanifah dan majoriti ulama salaf serta khalaf berkata, solat tidak batal disebabkan melintasnya ketiga-tiga perkara tadi. Solat juga tidak batal kerana melintasnya selain ketiga-tiga perkara itu.
Mereka mentakwil hadis ini dengan menyatakan maksud memutuskan solat itu ialah mengurangkan kekhusyukan solat kerana hati disibukkan dengan ketiga-tiga perkara itu.
Walaupun hadis ini menghimpunkan wanita, keldai dan anjing hitam bukanlah bermakna ketiga-tiganya setaraf. Ia disebut sekali gus kerana masing-masing berkemungkinan mengganggu kesempurnaan solat. Wanita kerana daya tarikannya, keldai kerana biasanya membawa muatan dagang dan anjing hitam kerana ia mungkin jelmaan syaitan.
Bagi hadis kedua pula, walaupun sebahagian besar ulama menerima sanad hadis kerana kredibiliti al-Bukhari, segelintir ulama melihat kejanggalan pada perawinya iaitu Abi Bakrah.
Sebabnya, pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, Abi Bakrah pernah disebat 80 kali kerana menuduh al-Mughirah bin Syu’bah berzina tanpa mendatangkan empat saksi.
Allah menegaskan dalam surah An-Nur: 4 agar mereka yang menuduh orang berzina tanpa bukti kesaksiannya tidak diterima selama-lamanya, sekalipun dia bertaubat.
Adalah amat tidak wajar dengan berdalilkan beberapa hadis Nabawi yang belum dilihat interpretasinya secara keseluruhan, Fatima menyimpulkan ulama bias gender dan menafikan prinsip keadilan Islam.
Jika dia membuat kajian terperinci, sudah pasti tidak akan membuat kesimpulan yang jauh tersasar.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
No comments:
Post a Comment