Panduan dan adab korban
Oleh: Mohd Khairil Anwar bin Abdul Latif
Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis
Korban di dalam istilah feqahnya disebut al-udhiyyah (الأضحية) yang ditakrifkan oleh ahli Feqah ialah:
مَا يُذْبَحُ فِي أيَّامِ الأَضْحَى مِنَ الإبِلِ وَالبَقَرِ وَالغَنَمِ تَقَرُّباً إلَى اللهِ تَعَالَى
Binatang yang disembelih pada hari raya Adha terdiri daripada unta, lembu dan kambing bertujuan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah
Hukum menyembelih korban
Para ulamak bersepakat bahawa berkorban ialah amalan yang disyariatkan bagi mereka yang mampu melakukannya juga mereka yang mempunyai binatang untuk berkorban. Tetapi mereka tidak bersepakat di dalam menentukan hukum berkorban.
Pendapat pertama:
Sunat Muakkad, iaitu amalan berkorban sangat dituntut oleh Islam. Inilah pendapat yang dipegang oleh Jumhur (sebahagian besar) para ulamak antaranya mazhab Syafi’e, Maliki, dan pendapat yang masyhur dari mazhab Imam Ahmad bin Hanbal.
Dalilnya:
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ r قَالَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأخُذُ مِنْ شَعْرِهِ وَلاَ مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئاً حَتَّى يُضَحِّيَ.
Dari Ummu Salamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Apabila masuk sepuluh hari (awal bulan Zulhijjah) dan sekiranya salah seorang kamu hendak melakukan korban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah telah selesai berkorban. -Muslim-
Di dalam hadis ini menunjukkan hukum berkorban tidaklah wajib kerana Nabi bersabda yang bermaksud “sesiapa yang hendak melakukan korban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah telah selesai berkorban. ” difahami dari perkataan sesiapa yang hendak melakukan korban ialah membawa pengertian keharusan untuk berkorban bukan suatu perintah untuk berkorban. Oleh itu kepada mereka yang tidak berkeinginan untuk berkorban maka tidaklah ditegah dari memotong rambut dan kukunya.
Pendapat kedua:
Wajib menurut mazhab Hanafi dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad
Dalilnya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ، قَالَ النَّبِي r مَن كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاناَ
Dari Abu Hurairah r.h. beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang mempunyai keluasan rezeki tetapi tidak berkorban, maka janganlah dia sekali-kali mendekati tempat solat kami. -Ibn Majah, disahihkan oleh al-Albani-
Maksud jangan mendekati tempat solat kami ialah kepada mereka yang berkemampuan tetapi tidak melakukan korban maka Nabi s.a.w. menegah mereka untuk menghadiri solat hari raya Adha kerana meninggalkan suatu kewajipan iaitu berkorban seolah-olah solat hari raya tidak berfaedah baginya.
Hadis ini menunjukkan kewajipan melakukan korban, ini disebabkan sekiranya korban itu tidak diwajibkan, mengapakah Nabi melarang untuk datang bersolat hari raya bersamanya kepada mereka yang tidak melakukannya sedangkan mampu untuk berbuat demikian.
ياَأَيُّهَا النَّاسُ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَةٌ
Wahai manusia,, ketahuilah wajib atas setiap keluarga berkorban setiap tahun
-Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibn Majah juga disahihkan oleh al-Albani-
Hadis ini menunjukkan kewajipan melakukan ibadah korban bagi setiap keluarga dan ianya dilakukan setiap tahun bagi mereka yang berkemampuan. Baginda s.a.w. juga tidak pernah meninggalkan syariat berkorban pada setiap tahun selama 10 tahun baginda hidup di Madinah.
Walau bagaimanapun, kedua-dua pendapat para ulamak ini sama ada yang mewajibkannya atau yang berpendapat ianya sunat muakkad, memberi faedah bahawasanya ibadat korban ini sangat disuruh dan digalakkan oleh Islam kepada mereka yang mampu untuk melakukannya.
Waktu menyembelih korban
Waktu menyembelih haiwan korban ialah setelah melaksanakan solat hari raya Adha (raya haji) sehingga ke akhir hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah. (hari raya haji, sehingga hari raya ke 4)
Nabi s.a.w. bersabda:
مَنْ كَانَ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيَذْبَحْ أُخْرَى مَكَانَهَا وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ بِاسْمِ اللهِ
Sesiapa yang menyembelih korban sebelum Solat Idul Adha maka hendaklah dia mengulangi semula sebagai gantinya, dan sesiapa yang belum menyembelih maka hendaklah dia menyembelih dengan bismillah (menyebut nama Allah) -Al-Bukhari dan Muslim-
Hadis ini menjelaskan waktu untuk menyembelih haiwan korban ialah setelah selesai solat hari raya. Sekiranya sesiapa yang melakukan penyembelihan sebelum dari solat hari raya ianya tidak dikira sebagai daging korban, tetapi hanya dikira sebagai daging biasa sahaja.
Ini seperti yang terjadi kepada salah seorang sahabat nabi s.a.w. yang bernama Abu Burdah ketika beliau menyembelih kambingnya sebelum solat hari raya, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:
شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ
Bermaksud: Kambingmu (yang telah disembelih) ialah daging biasa (bukan daging korban. -Al-Bukhari dan Muslim-
Rasulullah s.a.w. bersabda:
كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيْقِ ذَبْحٌ
Maksudnya: Kesemua hari Tasyriq itu ialah (waktu) menyembelih (korban)
-Ahmad, Ibn Hibban, al-Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani-
Disunatkan untuk memakan sebahagian daging sembelihan korban tersebut dan disedekahkan sebahagiannya kepada fakir miskin.
Syarat haiwan korban
1- Haiwan yang disyaratkan untuk berkorban ialah haiwan ternakan yang terdiri dari unta, lembu/kerbau dan kambing.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Haj:34.
]وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْناَ مَنسَكاً لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِّن بَهِيْمَةِ الأَنْعَامِ[
Maksudnya: Dan tiap-tiap umat kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka mengingat nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan kepada mereka.
Perkataan al-An’am yang bermaksud haiwan ternakan di dalam bahasa arab merujuk kepada unta, lembu/kerbau dan kambing. Adapun haiwan-haiwan seperti kuda, rusa dan selainnya tidak termasuk di dalam pengertian al-An’am.
2- Haiwan yang hendak dikorban hendaklah mencapai umur yang ditentukan oleh syarak. Nabi s.a.w. bersabda:
لاَ تَذْبَحُوا إلا مُسِنَّةً إِلا أَنْ يَعْسُرَ عَلَيْكُمْ فَتَذْبَحُوا جَذْعَةً مِنَ الضَّأْنِ
Bermaksud: Jangan kamu menyembelih korban kecuali musinnah, kecuali sekiranya kamu menghadapi kesusahan (untuk mendapatkannya) maka boleh kamu menyembelih kambing yang Jazaah. -Hadis Muslim-
Jazaah bermaksud: kambing yang umurnya belum cukup 1 tahun.
Perkataan musinnah di dalam hadis ini ialah haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing yang telah gugur salah satu daripada empat gigi hadapannya (dua di atas dan dua di bawah)
Maka disimpulkan di sini haiwan yang sah untuk dijadikan korban ialah:
ü Unta yang musinnah ialah unta yang telah cukup umur 5 tahun
ü Lembu/kerbau yang musinnah ialah lembu yang berumur cukup 2 tahun
ü Kambing yang musinnah ialah kambing yang cukup 1 tahun.
Sekiranya susah untuk mendapati haiwan yang berumur seperti yang dinyatakan (musinnah) maka bolehlah dia menyembelih haiwan yang di bawah umur musinnah
3- Hendaklah haiwan yang dijadikan untuk korban tidak cacat dan berpenyakit. Yang lebih utama dan baik (afdhal) ialah yang gemuk dan banyak dagingnya diriwayatkan daripada sahabat Bara’ bin ‘Azib:
أنَّ رَسُوْلَ اللهِ rسُئِلَ مَاذَا يُتَّقَى مِنَ الضَّحَاياَ؟ فَأَشَارَ بِيَدِهِ فَقَالَ أَرْبَعاً، العَرْجَاءُ البَيِّنُ ظَلْعُهَا وَالعَوْرَاءُ البَيِّنُ عَوْرُهَا وَالْمَرِيْضَةُ البَيِّنُ مَرَضُهَا وَالعَجْفَاءُ التِّي لا تَنْقِي
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. ditanya berkenaan haiwan yang tidak harus dijadikan korban, maka baginda mengisyaratkan tangannya sambil berkata ada empat jenis. Haiwan yang cacat dan kecacatannya yang amat jelas kelihatan, yang buta sebelah matanya dan kebutaanya amat jelas kelihatan, yang sakit dan kesakitannya amat jelas kelihatan, dan yang akhir haiwan yang lemah atau yang kurus.
-Abu Dawud, Tirmizi, Nasa’ie, disahihkan oleh al-Albani-
Perkara yang ditegah bagi mereka yang hendak berkorban
Bagi sesiapa yang hendak melakukan ibadah korban janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehingga dia telah menyembelih haiwan korbannya. Dalilnya seperti di dalam hadis yang telah disebutkan sebelum ini
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ r قَالَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأخُذُ مِنْ شَعْرِهِ وَلاَ مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئاً حَتَّى يُضَحِّيَ.
Dari Ummu Salamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Apabila masuk sepuluh hari (awal bulan Zulhijjah) dan sekiranya salah seorang kamu hendak melakukan korban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah telah selesai berkorban. -Muslim-
Majlis Fatwa tetap Arab Saudi yang diketuai oleh syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah, berpendapat bahawa hadis membawa pengertian tegahan iaitu haram kepada mereka yang berniat melakukan korban untuk memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia selesai melakukan ibadat tersebut. -Fatawa Lajnah Daimah lil Buhuth al-Ilmiyyah wal Ifta’ jilid 11, fatwa no. 1407-
Tetapi tidak ada kaffarah (denda) dikenakan bagi sesiapa yang tidak sengaja memotong rambut dan kukunya sebelum melakukan korban.
Cara menyembelih
Hendaklah sembelihan dilakukan dengan menggunakan pisau yang tajam. Ucapkanlah “Bismillah wallahu akbar" (dengan nama Allah dan Allah Maha Besar), membaringkan haiwan tersebut pada sisi kirinya karena yang demikian mudah bagi si penyembelih memegang pisau dengan tangan kanannya, dan menahan lehernya dengan tangan kiri.
Daripada Anas bin Malik beliau berkata:
ضَحَّى النَّبِي r بِكَبْشَيْنِ، أَمْلَحَيْنِ، أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صَفَاحِهِمَا
Maksudnya: Nabi s.a.w. menyembelih sendiri dua ekor kibasnya yang bagus dan bertanduk. Beliau mengucapkan basmallah dan takbir dan meletakkan kakinya di samping lehernya." -Al-Bukhari, dan Muslim-
Disunnahkan bagi yang berkorban, menyembelih sendiri sembelihannya. Tetapi sekiranya dia tidak mahir melakukannya bolehlah baginya mewakilkan kepada orang lain untuk menyembelih korbannya.
Membahagikan daging korban
Bagi yang menyembelih disunnahkan untuk memakan daging korbannya, menghadiahkan kepada saudara kaum kerabatnya, bersedekah kepada fakir miskin, dan menyimpannya untuk perbekalan lebih dari 3 hari.
Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Hajj:28
]فَكُلُواْ مِنْهَا وَأَطْعِمُواْ ٱلْبَائِسَ ٱلْفَقِيرَ[
Maksudnya: Makanlah kamu dari daging binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah (yang fakir miskin)
Nabi s.a.w. bersabda:
وَعَنْ سَلَمَةَ بن الأكْوَع رَضِيَ اللهُ عَنْه أنَّ النَّبِيَّ r قال: كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا
Maksudnya: Daripada Salamah bin Akwa’ bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda: "Makanlah, dan beri makanlah serta simpanlah untuk bekalan”. -Al-Bukhari-
وَعَن عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا أنَّ النَّبِيَّ r قَالَ:كُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا.
Maksudnya: Daripada Aisyah r.ha. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Makanlah dan simpanlah juga bersedekahlah”.
Memberi makan termasuk menghadiahkan kepada orang yang kaya, adapun bersedekah adalah pemberian yang diberikan kepada orang yang miskin. Para ulamak berselesih pendapat kadar yang dimakan oleh orang yang berkorban dan juga kadar hadiah serta sedekah.
Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin menyatakan syarak memberikan keluasan atau kelonggaran terhadap kadar daging korban yang hendak dimakan atau disedekahkan, tetapi pendapat yang terpilih ialah 1/3 untuk dimakan, 1/3 dihadiahkan dan 1/3 lagi disedekahkan.
Diharamkan untuk menjual sesuatu pun daripada korban tersebut sama ada daging sehinggalah kulitnya.
Tukang sembelih tidak boleh diberikan daging korban tersebut atas dasar upah kepada pekerjaannya . diriwayatkan dari sahabat Nabi s.a.w. iaitu Ali bin Abi Talib bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ r أنْ لاَ أُعْطِيَ الجَازِرَ مِنْهَا شَيْئاً
Maksudnya: Rasulullah s.a.w. memerintahkan dan tidak memberi tukang potong sedikitpun dari korban tersebut." -Al-Bukhari dan Muslim-
Ini kerana sekiranya diberikan daging korban di atas upah pekerjaannya maka perbuatan seperti ini seolah-olah menjual daging korban untuk membeli tenaga kerja yang telah dilakukan oleh tukang sembelih tersebut, sedangkan daging korban tidak boleh dijual beli.
Maka tukang sembelih diberi upah selain daging korban seperti wang ringgit dan sebagainya oleh orang yang berkorban. Walau bagaimanapun tukang sembelih boleh mendapatkan daging korban seperti orang lain mendapatkannya daripada pemberian dan sedekah yang diagih-agihkan kepada orang ramai.
Berhubung pemberian daging korban kepada bukan Islam Majlis Fatwa tetap Arab Saudi memfatwakan harus diberikan kepada kafir kerana kemiskinan atau kerana berjiran dan juga untuk mendekatkan mereka kepada Islam. Tetapi tidak diberi kepada kafir yang memerangi Islam. -Fatawa Lajnah Daimah, jilid 11, fatwa no.1997-
Adab-adab korban
Menyembelih korban mempunyai adab yang sepatutnya di ambil perhatian:
1- Menghadap ke arah kiblat ketika menyembelih.
2- Berlaku Ihsan kepada haiwan yang hendak disembelih, iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam dan dilakukan dengan kuat dan cepat. Sebahagian ulamak mengharamkan penggunaan pisau yang tumpul.
3- Memastikan terputusnya halkum (saluran pernafasan) dan urat mari’.
4- Tidak mengasah pisau dihadapan haiwan yang akan disembelih, juga tidak menyembelih di hadapan haiwan yang lain yang menunggu giliran seterusnya.
5- Melakukan sesuatu yang menyakitkan haiwan yang sudah disembelih sebelum haiwan tersebut benar-benar mati. Seperti memotong mana-mana anggota haiwan tersebut sebelum haiwan benar-benar mati.
6- Bertakbir selepas membaca basmalah
Wallahu Ta’ala A’lam.
No comments:
Post a Comment