Wednesday, January 30, 2008

Peluang Memantapkan Ilmu Islam di Timur Tengah

Assalamulaikum,

Sukacitanya dimaklumkan bahawa pihak YAYASAN KEBAJIKKAN NUSANTARA (YAKIN) kini sekali lagi Menawarkan peluang belajar bersama para Masyeikh dan Ulama’ di Makkah Al-Mukkarammah dan Yaman , kursus yang ditawarkan adalah:-

1. Kursus Imam di Rabitah Alam Islami , Makkah – 9 Bulan (Lelaki Sahaja)

- Dijangka berangkat pada bulan Oktober 2008

- Segala Kos akan Ditanggung Rabitah sewaktu tiba di Makkah

2. Pengajian Pemantapan Bahasa Arab di Maktab Jaliat, Makkah -1 Bulan (Lelaki Sahaja)

-Dijangka berangkat pada bulan April 2008

-Kos Penerbangan sendiri, Penginapan adalah ditanggung

3. Kursus Pengajian Di Yaman.- 2 Bulan (Perempuan sahaja)

-Dijangka berangkat pada bulan April 2008

-Kos Penerbangan sendiri, Penginapan adalah ditanggung

Pra-Kelayakan:

a) Pemohon hendaklah sekurang-kurangnya mampu memahami, membaca dan bertutur dalam Bahasa Arab.(Untuk Program di Maktab Jaliat Dan Yaman Syarat adalah Minimum kerana fokus adalah untuk memberi pendedahan pada Pelajar)

b) Pemohon bukan dari lepasan Pusat Pengajian di mana-mana Negara Timur Tengah.

c) Pemohon mempunyai berkemampuan untuk menyumbang kepada pihak Yayasan Kebajikan Nusantara apabila diperlukan kemudian.

d) Pemohonan ini terbuka kepada semua individu muslim di Asia Tenggara.

e) Pemohon adalah pendokong Ahl Sunnah Wal Jamaah berdasarkan Manhaj Salafus Soleh.

Info Penting:

1) Tarikh tutup Pemohonan untuk temuduga adalam pada hari:

Selasa, 5 Februari 2008.

2) Untuk Pendaftaran sila Nyatakan (Kesemuanya):

a. NAMA

b. ALAMAT

c. WARGANEGARA

d. NO. MYKAD / PASSPORT

e. JURUSAN

f. PUSAT PENGAJIAN

a. Primary

b. Secondary

c. Tertiary

d. Etc

g. BEKERJA/TIDAK BERKERJA

h. BERKAHWIN/BUJANG

i. UMUR

j. NO TEL

a. Rumah

b. Bimbit

c. Pejabat(jika ada)

k. EMAIL

l. NAMA BAPA

m. NAMA IBU

n. NGO (jika ada)

- Sila Emailkan kepada: intisurus@gmail.com (Sila hubungi kami setelah Email untuk kepastian penerimaan)

3) Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran sila hubungi ditalian yang ditol : Urusetia - 019-3827525

4) Temuduga Akan diadakan pada :

Tarikh : 16 Februari 2008,Sabtu

Masa : 9 pagi – 3 Ptg

Tempat: Sekolah Kiblah, Lot 3690-15A, Jalan Tok Dagang,

Sungai Merab Jaya, 43000 Bangi, Selangor Darul

Ehsan.

-Semua maklumat lanjut akan diberitahu sewaktu temuduga.


Tuesday, January 29, 2008

Takziah..............


Dato' Ishak Baharom meninggal dunia

Harakahdaily

Wed | Jan 30, 08 | 12:07:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh)


- Bekas Mufti Selangor, Dato' Ishak Baharom meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh tengah hari ini selepas tidak sedarkan diri dan koma akibat masalah tekanan darah dan dimasukkan ke hospital pagi semalam.


Menurut seorang anggota keluarganya, jenazah Allahyarham kini dibawa ke rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang.

Katanya, jenazah berkemungkinan akan dibawa ke Masjid Lipat Kajang, Taman Sri Andalas untuk disolatkan jam 9.30 pagi esok.

Menurut beliau, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, selepas itu.

Menurut jirannya, Zaitun yang dihubungi Harakahdaily, Ishak sebelum itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, kemudian telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh setelah tidak sedarkan diri sewaktu dikejutkan bangun untuk menunaikan solat Subuh pagi semalam.

Sebelum ini, laporan menyebut, pihak doktor yang merawat Ishak telah meminta ahli keluarga beliau untuk membawanya pulang setelah beliau tidak dapat diselamatkan.

Berdasarkan sumber, ia adalah disebabkan saluran darahnya yang pecah mengakibatkan beliau koma serta tidak sedarkan diri. - mns/lanh


P/S - Maka kita sebagai umat Islam digalakkan membaca Doa dari Sunnah Rasulullah SAW apabila mendengar berita kematian Muslim yang lain (sila Klik untuk besarkan):

Menyoal Siasat Orang Lain dalam Hal Aqidah

| Sheikh Muhammad Ahmad Abd al-Rahmân|

Sesetengah Muslim hari ini, telah terjerumus kepada sikap interogatif terhadap saudara mereka tentang masalah Aqidah dan Fiqh. Mereka akan bertanya tentang perkara-perkara tentang Aqidah atau perkara detil tentang hukum fiqh, Walhal niat mereka bukan untuk belajar apa-apapun kerana, mereka sudah tahu jawapannya. Apa yang mereka mahu ialahadalah semata-mata melihat orang yang ditanya itu mempunyai pandangan yang betul tentang perkara dalam agama atau sikap yang dianggap betul terhadap beberapa isu agama.

Contoh soalan klasik ialah “Di mana Allah?” Ya, memang Rasulullah SAW pernah bertanya tentang itu kepada seorang hamba wanita. Akan tetapi, orang yang sibuk meletakkan soalan ini di bibir-bibir mereka , dilihat memaksa persoalan ini pada setiap orang yang mereka jumpai , mereka telah lupa Rasulullah pada ketika itu mempunyai sebab yang tertentu untuk menimbulkan persoalan tersebut. Rasulullah ketika itu sedang memastikan apakah agama hamba wanita tersebut kerana tuannya ingin melepaskannya jika terbukti wanita itu adalah seorang muslim.


Menyoal siasat orang tentang hal-hal kepercayaan adalah amalan yang buruk yang mana orang Islam perlu tinggalkan.Allah tidak pernah mengarahkan kita untuk menyiasat Aqidah setiap orang . Tambahan, perbuatan demikian boleh membawa kepada kesan yang buruk kepada umat Islam. Sebagai contoh, apabila seorang dijalanan di tanya tentang perkara agama, samada perkara Aqidah atau hukum Fiqh, kemungkinan besar dia tidak tahu jawapannya. Kemungkinan seorang itu tidak pernah terfikir tentang persoalan tersebut sebelum ini . Akan tetapi, kebiasaanyanya seseorang itu akan malu untuk mengaku mereka tidak tahu sesuatu jawapan ‘asas’ agama. Berkemungkinan besar orang yang ditanya akan mereka jawapan dan memberi jawapan yang salah.

Maka, adakah betul untuk kita untuk memberi hukuman pada orang yang jahil – dan menuduh beliau sebagai sesat atau berdosa ?

Sesungguhnya Allah tidak melantik kita sebagai hakim kepada Manusia (dalam perkara yang tersembunyi). Kita hanya perlu membicarakan pada orang yang mengaku secara terang-terangan pada kita. Apa didalam dada mereka adalah diantara Allah.

Sebagai Muslim, kita sepatutnya mengaggap yang terbaik(Husn Zh’an) tentang orang lain. Kita tidak sepatutnya menyimpan perasaan syak didalam hati kita. Kita tidak sepatutnya pergi mengintai kesalahan orang lain.

Allah berkata “. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan pra-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain..” [Sûrah a-Hujurât: 12]

Janganlah kita cuba meletakkan saudara Muslim kita dalam kesalahan supaya kita dapat “menangkap mereka” . Kita sepatutnya mengaggap terbaik untuk mereka dan meninggalkan hal dalaman diri mereka untuk di tentukan oleh Allah SAW.

Apa yang kita boleh buat adalah mendidik orang ramai - tanpa menyoal siasat apa yang merekatelah percayai . kita perlu memberikan nasihat yang berhikmah, memberi tunjuk ajar kepada mereka apa yang betul, dan buat yang terbaik supaya menjadi conto yang positif dalam hidup mereka. Kita perlu berusaha menyebarkan kebaikan dan menjauhi kejahatan dan menjadi contoh yang betul. Apabila kita bertindak sedemikian, kita akan melakukan kebaikan kepada diri sendiri dan juga orang lain .

Rasulullah SAW berkata “Agama itu Keikhlasan(Nasihah)” beliau mengulanginya 3 kali. Orang bertanya “Kepada siapa?”

Beliau menjawab : Kepada Allah, Rasulnya dan kepada pemimpin umat islam dan pada muslim yang lain. [Sahîh Muslim]

Ayat yang diterjemahkan dari bahasa Arab adalah nasîhah, yang mempunyai dua makna iaitu keikhlasan dan nasihat yang benar. Kepada Allah ia hanya bermakna Ikhlas. Tetapi kepada menusia, sebahagian daripada keikhlasan itu adalah keikhlasan menasihati mereka – dengan niat yang benar didalam hati kita yang mereka akan memperoleh kebaikan darinya.

Wallahu’alam

Di terjemaahkan Oleh:

FAZH

ISLAM TODAY

Saturday, January 26, 2008

Tazkirah: 'Perlukah saya buat kenduri arwah?'

Azamin Amin


Fri | Jan 25, 08 | 2:51:32 pm MYT

"Perlukah saya sediakan makanan dan buat kenduri arwah kepada orang kampung sedangkan keluarga saya tengah sedih sangat sebab baru sahaja kehilangan ayah tersayang?" tanya seorang remaja kepada saya yang baru kehilangan ayahnya yang tercinta kerana sakit kronik.

Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan saya di bidang agama saya diamkan sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang terbit daripada anak muda belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang susah.

Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang banyak pihak.

Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada anak muda yang bertanya itu sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa sebarang jawapan sebelum ini.(segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan maafkan)

Amalan membebankan keluarga si mati

Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.

Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda: "Persiapkan makanan untuk keluarga Ja'far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)." - Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.

Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.

Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.

"Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut

Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.

Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah

Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.

Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.

Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya."

"Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.

"Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.

"Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.

"Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, " kata Nik Aziz.

Kenyataan pahit dan mengejutkan

Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.

"Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah," katanya

"Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian," katanya lagi

Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.

"Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya membangkitkan persoalan. Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.

"Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya," katanya.

Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa' 4:59 :"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." - mks.

HarakahDaily.Net

Tuesday, January 22, 2008

Angkara dusta dan fitnah, keharmonian akan musnah

Angkara dusta dan fitnah, keharmonian akan musnah

Oleh:

Abd al-Razzaq A. Muthalib

Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.

Fitnah ialah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak lain. Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah saw menjawab: ((Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya)). Sahabat bertanya: “Bagaimana jika perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”. Rasulullah saw menjawab: ((Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya)). (Hadis hasan sahih, riwayat al-Tirmizi).

Syaikh Muhammad ibn Soleh al-‘Uthaimin di dalam Syarh Riyadh al-Salihin telah membahagikan dusta ini kepada dua bahagian:

Pertama: Dusta terhadap Allah dan RasulNya. Inilah jenayah yang paling besar dan suatu kezaliman. Firman Allah swt (bermaksud): ((Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim)) (al-An’am:144).

Dusta terhadap Allah dan Rasul ini berlaku dalam dua keadaan iaitu:

(1) Menyandarkan kepada Allah atau kepada Rasulullah saw sesuatu yang BUKAN daripada firmanNya atau pun sabda Baginda saw. -Pencipta hadis palsu termasuk dalam golongan ini-.

(2) Menafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau hadis Nabi dengan tafsiran yang SALAH lagi menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.

Sebagai contoh, suatu pihak yang menggunakan firman Allah di dalam surah Quraish, ayat 4 (bermaksud): ((Yang memberi makan kepada mereka daripada kelaparan, dan yang mengamankan mereka daripada ketakutan)) dengan mendakwa merekalah yang menjamin rezeki dan keamanan orang ramai. Maka dakwaan ini dengan menggunakan ayat tersebut ternyata salah. Ini kerana ayat tersebut perlu dibaca bersama ayat sebelumnya (bermaksud): ((Maka sembahlah Tuhan rumah ini (Kaabah). (Iaitu Tuhan) yang memberi makan kepada mereka daripada kelaparan, dan yang mengamankan mereka daripada ketakutan)).

Malang sekali, perkara sebegini pernah berlaku. Sehinggakan ada pihak –demi kepentingan sendiri- menjadikan ayat ini sebagai salah satu modal dalam kempen mereka.

Rasulullah s.a.w. memberikan suatu peringatan dan ancaman yang berat terhadap sesiapa yang melakukan pendustaan ke atasnya dengan sabda yang bermaksud: ((Sesiapa yang melakukan dusta keatasku siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka)). (Muttafaqun’alaihi). Cukuplah amaran Allah dan Rasul-Nya ini sebagai peringatan kepada kita.

Waspadalah dalam berbicara, apatah lagi lagi jika ia membabitkan hal agama. Suasana hari ini mempamerkan kepada kita bahawa sesetengah umat Islam yang tidak memahami secara jelas tentang sesuatu hal yang berkaitan dengan Islam, tetapi berminat untuk mengambil bahagian dalam mengulas dan menyampaikan pendapat mereka. Natijahnya, maka muncullah pendapat-pendapat pelik yang lari jauh dari landasan yang sebenar.

(Pengasas Kumpulan Ahbasy yang menghidupkan budaya Mengkafir tokoh-tokoh Islam dan menghidupkan ajaran Sufi yang sesat .)

Bahkan sebahagian daripada kalam-kalam mereka itu jika diamati boleh menjejaskan kesahihan akidah mereka. Contohnya seperti fitnah yang dilemparkan oleh puak Ahbash yang mengkafirkan ramai para ulamak seperti Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim, Dr.Yusof al-Qaradawi, Dr. Ramadhan al-Buti, Syed Qutb, Syaikh Mutawali Sha’rawi dan lain-lain lagi. Jika di Malaysia pula, pengikut Ahbash ini telah mengkafirkan SS Mufti Perlis sekarang. Oleh itu, api fitnah yang dinyalakan oleh pengasas Ahbash iaitu Abdullah al-Harari di Lubnan, kemudian ditiup pula oleh pengikut-pengikutnya di Malaysia ini, perlu dipadamkan segera. Jika tidak ianya akan merebak membakar keamanan dan memusnahkan keharmonian umat Islam, khususnya di Malaysia yang tercinta ini.

Ramai juga yang menjadikan hadis-hadis Nabi s.a.w. sebagai hujah untuk membenarkan kata mereka. Perkara ini jika dilihat secara kasar adalah amat baik, malahan sangat dituntut. Tetapi, malangnya mereka mengambil sikap cuai dan lewa dalam menyampaikan hadis-hadis tersebut dengan tidak mempastikan terlebih dahulu tahap kesahihannya. Maka, digunakan hadis-hadis dhai’f dan palsu sebagai hujah dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang dipentingkan adalah pendapat mereka diterima, barangan mereka laris, sokongan terhadap mereka bertambah, kedudukan mereka tidak tergugat, periuk nasi mereka selamat.

Malah, lebih malang lagi, perkara ini dilakukan oleh mereka yang berpendidikan khusus dalam bidang agama. Mereka mengerti hakikat sebenar, tetapi sengaja menyembunyikan kebenaran. Mereka mengetahui hukum-hakam yang tepat, tetapi sengaja memutar belitkan kenyataan. Mereka memahami hakikat sesuatu ilmu, tetapi sengaja mengkhianati ilmu yang mereka pelajari. Asalkan mereka mendapat restu dan sokongan, dari rakyat jelata dan pimpinan atasan.

Dr. Nur al-Din al-‘Itr di dalam kitabnya Manhaj al-Naqd fi ‘Ilmi al-Hadith telah menggariskan lima sebab dan golongan yang menyebabkan muncul dan tersebarnya hadis-hadis palsu ini dikalangan masyarakat. Dua daripada sebab-sebab dan golongan tersebut ialah:

1. Untuk menggalakkan manusia kearah kebaikan dan memberi amaran daripada melakukan kemungkaran (al-taghrib wa al-tarhib). Termasuk di dalam golongan ini adalah mereka yang jahil yang beranggapan zuhud dan ingin melakukan tazkiyat al-nafs. Tetapi amalan mereka ini dilakukan dalam keadaan mereka jahil dengan asas agama yang sebenar. Maka mereka mencipta hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat zikir dan solat-solat sunat yang melampaui prinsip-prinsip agama, lalu disebarkan untuk menggalakkan masyarakat ke arah kebaikkan. Mereka pula mencipta dan menyebarkan hadis-hadis tentang azab dan balasan dosa terhadap kesalahan-kesalahan tertentu yang keterlaluan dan menyimpang jauh daripada asas agama dengan tujuan menjauhkan manusia daripada melakukan kemungkaran. Tetapi tanpa disedari mereka telah melakukan pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w.

2. Untuk mendapat habuan keduniaan. Termasuk di dalam golongan ini adalah golongan yang ingin menghampiri diri kepada pemerintah dan juga para penyampai dan pencerita yang bertujuan mendapat habuan masing-masing. (Al-Itr, Nur al-Din, Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith (Beirut; Dar al-Fikr al-Muasir,cet.3,1997), hal.304).

Kedua: Dusta terhadap manusia. Dusta terhadap manusia ini juga boleh belaku dalam dua keadaan. Pertama; seseorang yang berpura-pura menzahirkan dirinya sebagai seorang yang beriman, beramal soleh dan melakukan kebaikan, sedangkan hakikatnya dia adalah kafir yang tidak bersikap sedemikian. Golongan inilah yang digelar sebagai munafik. Allah s.w.t. menyifatkan golongan ini melalui firman-Nya: ((Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat, padahal mereka sebenarnya tidak beriman)).(Al-Baqarah:8) Kedua, pendustaan terhadap manusia boleh berlaku apabila seseorang itu mengatakan sesuatu yang tidak benar atau menyebarkan sesuatu berita palsu di kalangan masyarakat.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As, Rasulullah s.a.w. menerangkan tentang empat perkara jika terdapat pada seseorang, maka dia tergolong dalam golongan munafik (munafik amalan). Diantara empat sifat tersebut adalah apabila bercakap dia berbohong.

Sesungguhnya perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu ini merupakan suatu sifat yang terkeji lagi terkutuk. Perbuatan ini merupakan punca berlakunya perselisihan pendapat yang tidak diizinkan, pertelingkahan, terputusnya hubungan silaturrahim, malahan boleh membawa kepada pembunuhan. Fitnah dan dusta ini ditaburkan kepada masyarakat samaada melalui percakapan, ceramah, media massa (akhbar & tv), tulisan (buku, artikel, laman web) dan sebagainya. Sedangkan orang mukmin ini keseluruhannya disifatkan oleh Allah sebagai bersaudara. Allah s.w.t. berfirman: ((Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara)). (Al-Hujurat: 10)

Tetapi fenomena yang berlaku hari ini, seolah-olah menghalalkan sikap berdusta dan menabur fitnah ini. Fitnah dan dusta ditaburkan kepada masyarakat samaada melalui percakapan, ceramah, media massa (akhbar & tv), tulisan (buku, artikel, laman web) dan sebagainya. Ia dilakukan sama ada oleh individu tertentu demi kepentingan peribadi atau oleh kumpulan-kumpulan tertentu demi meraih sokongan dan mendapat kemenangan. Maka disebarkanlah berita-berita palsu dan fitnah-fitnah yang memburukkan pihak lain. Harapannya supaya kepercayaan terhadap pihak tersebut akan terhakis. Kedudukannya akan tergugat. Dakwahnya tersekat. Perjuangannya akan singkat.

Selain itu, sikap menabur fitnah dan menyebarkan berita palsu ini merupakan sikap yang boleh menyakiti hati sesama Muslim dan menyebabkan hubungan ukhuwah akan menjadi retak. Sebab itulah Islam amat melarang perbuatan menyakiti hati seorang Muslim yang lain dan menjanjikan balasan dosa terhadap mereka yang melakukan sedemikian. Firman Allah s.w.t.(bermaksud): ((Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata)).(Al-Ahzab: 58)

Al-Imam Ibn Kathir (w 773 H), ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ”Mereka telah menyandarkan kepada orang beriman ini sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh mereka (orang beriman), maka inilah fitnah dan dusta yang besar iaitu menyatakan sesuatu perkara tentang orang yang beriman apa yang tidak dilakukan oleh mereka dengan tujuan untuk memalukan dan menjatuhkan martabat mereka.” (Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran al-‘ Azim (Beirut: Dar al-Turath al-Arabi, Ctk. 1,2000), m/s 524).

Oleh itu, wahai seluruh kaum Muslimin, berhati-hatilah dalam berbicara, berwaspadalah dalam bertindak. Ini kerana segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan di dunia, sedikit pun tidak akan terlepas daripada pandangan dan perhitungan-Nya. Allah s.w.t. berfirman (bermaksud): ((Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau pebuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)). (Qaaf: 18)

Semoga kita semua digolongkan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang bercakap benar dan selamat dari sebarang fitnah.

Thursday, January 17, 2008

Jejak Risalah Nusantara I - Bedah Buku Siri 1

~siri bedah buku~
Satu Penilaian Semula Kesan Kedatangan Islam di Nusantara
Jejak Risalah Di Nusantara I
Zaman Pra Islam Hingga Era Pelayaran Muhammad Cheng Ho
.

Penulis : Dr. Hafidzi Mohd Noori
- PhD, University of Aberdeen, Scotland, UKii
- Bertugas di Fakulti Pertanian, UPMiii
- aktivis JIM

Prakata

"Buku ini wajib dibaca oleh mereka yang mahu akar umbi pembangunan emosi-kognisi, sosio-ekonomi, dan politik-akidah umat Islam kukuh serta cemerlang khususnya apabila berdepan dengan pelbagai jenis cabaran. Saya yakin penulisnya berjaya mematangkan konsep dan kefahaman kita tentang perkembangan Islam di Nusantara"
- Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom -
.
.

Sekapur Sireh Dari Penulis
.
Sejarah merupakan satu disiplin ilmu yang sangat signifikan dalam pembentukan jati diri bangsa. Episod utama sejarah kita adalah membabitkan kedatangan Islam itu sendiri yang menjadi acuan asas kepada mega-perubahan identiti rumpun melayu Nusantara. Tetapi, kronologi sejarah yang berada di arus perdana kini telah diputar belit dan kelihatan menumpu hanya kepada babak-babak warisan yang bersifat estetika, metos dan lagenda turun-temurun. Bertujuan menimbulkan rasa 'inferiority complex' terhadap barat atas kekurangan yang dimiliki setelah mereka memisahkan hakikat sejarah yang gemilang pada plot kedatangan islam ke Nusantara.
.
Jasa-jasa yang dikenang dari tokoh ilmuwan Nusantara seperti Buya HAMKA, Prof. Syed Naquib al-Attas dan lain-lain telah membongkar jenayah lipatan sejarah oleh pihak penjajah dan membuka ruang kesedaran yang lebih luas dalam menilai peradaban nusantara.
.
Buku ini pada dasarnya memberi tumpuan kepada sejarah awal kedatangan Islam dari perspektif dakwah dan jihad. Ini sebagai inspirasi dan pedoman buat du'at demi merealisasikan usaha dakwah dengan dasar sivik yang jelas hasil pengajaran sejarah sebaran risalah islam di nusantara.
.
.
Pendahuluan
.
'Nusantara' adalah istilah kebudayaan gugusan kepulauan melayu, merangkumi lebih 200 juta manusia berbeza adat dan bahasa. Ianya merangkumi Malaysia ( termasuk Selatan Thai ), Indonesia, Singapura dan Filipina.
.
Kesan tapak arkeologi membuktikan kewujudan tamadun seawal zaman batu. Ia juga menjadi titik persenyawaan budaya dan pelabuhan semula jadi. Maka, berkembanglah pemikiran, budaya dan agama yang awalnya terdedah kepada animisme, Hindu dan Buddha. Namun demikian, Islam bertindak hebat mengubah persepsi hidup pada paradigma yang berbeza; menggoyahkan kepercayaan asal yang lama mengakar. Dan kini jumlah penganutnya mencecah 250 juta manusia.
.
Persoalan timbul akan faktor-faktor yang mendorong kepada revolusi tersebut. Bagaimana, Siapa, Kenapa dan banyak lagi yang perlu dirungkai. Sejauh manakah juga silap faham penjajah akan sifat kedatangan islam ke rantau ini?
.
.
Umat Islam Nusantara Mewarisi Tamadun Hindu/Buddha?
.
Tumpuan utama diberikan kepada bagaimana proses pengislaman berlaku dan kesannya kepada Melayu Nusantara. Namun, menjadi halangan apabila karya orientalis banyak mengabui kita dengan lapisan tebal sejarah pra-islam berkisar zaman animisme-Hindu-Buddha. Manakala kupasan kedatangan islam dan kesannya dipandang ringan dengan perbahasan yang sangat sedikit. Seolah-olah asas budaya nusantara adalah sumbangan besar hanya dari zaman pra-islam.
.
Demikianlah kisah-kisah kerajaan melayu lama disampaikan dan kerajaan-kerajaan islam dibisukan. Bukti-bukti sejarah yang ditinggalkan hanyalah candi dan kuil. Tokoh-tokoh yang diagungkan hanya dari pra-islam tapi yang lainnya disembunyikan ketokohan mereka. Namun demikian, akhirnya terbongkar jua segala kebenaran hasil usaha ilmuwan bidang sejarah di Nusantara ini sendiri.
.
Proses penjajahan minda ini tersusun baik buat umat islam. Jauhnya sejarah islam menatijahkan kekosongan pada kegemilangan nusantara. Hasilnya, rasa 'inferiority complex' berleluasa. Melihat gah di sudut barat sementara timur dipandang penuh igauan indah yang menyesatkan. Betapa hebatnya kesan sejarah menjadikan ianya kunci pembentukan identiti sebuah bangsa.
.
Zaman pra-Islam menyaksikan pengaruh Hindu-Buddha dibatasi golongan aristokrat dan sekitar istana tanpa meresap di kalangan rakyat. Ini berbeza dari Islam asli yang tidak membezakan di antara penganutnya biar siapapun mereka. Masing-masing mendapatkan hak kesama-rataan seadanya tanpa ada sisihan dan sebagainya.
.
Ini didasari dengan sifat islam yang dihayati dengan ilmu dan kefahaman, dan akhirnya sifat itu kekal sebati mengubah lanskap sosio-budaya penduduk nusantara. Prof al-Attas juga menegaskan tentang hakikat al-Quran sebagai kunci tamadun Melayu. Membersihkan segala bentuk kongkongan hasil kekolotan pemikiran yang sebati dengan gaya hidup mereka sebelumnya.
.
Ini telah membongkar kesilapan sarjana barat kerana meletakkan nilai seni pada ukiran, tarian dan wayang sebagai signifikasi simbol ketamadunan. Hakikatnya, Islam yang telah membentuk pola pemikiran orang Melayu dan membangunkan tamadun mereka berpaksikan kepada kemurnian aqidah.
.
.

Islam Tersebar Oleh Dakwah.
.
Telahan orientalis memberikan gambaran bahawa Islam tersebar di Nusantara secara semulajadi. Mereke menganggap, hasil dari komunikasi antara penganut Islam (pedagang-pedagang) dan penduduk setempat menyebabkan mereka tertarik dan memeluk Islam. B.H.M. Vlekke turut menafikan Islam tersebar melalui mubaligh kerana tiadanya jawatan khusus mubaligh dalam Islam seperti paderi dalam Kristian.
.
Terdapat beberapa teori yang dikembangkan tentang penyebaran Islam. Pertama, ianya tersebar secara tidak langsung daripada para pedagang dan penduduk tempatan kerana tertarik dengan akhlaq dan agama itu sendiri. Kedua, teori melalui lorong politik, iaitu apabila raja-raja tempatan tertarik dan memeluk Islam dengan harapan dapat mengukuhkan kedudukan politik. Lalu para bangsawan pun menurut dan diikuti oleh rakyat. Teori ketiga, melalui perkahwinan yang akhirnya membawa kepada tersebarnya Islam melalui keturunan. Seterusnya, dikatakan juga bahawa berlakunya penyebaran Islam secara bersungguh-sungguh adalah untuk bersaing dengan misi kristianisasi seiring kedatangan penjajah.
.
Kesemua teori sarjana barat tersebut cuba menutup hakikat peranan dakwah dengan memaparkan aspek sampingan yang tidak dominan. Sedangkan asimilasi dakwah itu yang membawa kepada sajian akhlaq, berlakunya perkahwinan, dan seruan islam secara terang kepada raja-raja dan rakyat.
.
Tokoh-tokoh yang tercatit dalam lembaran sejarah yang terlibat menyebarkan Islam ternyata ramai. Antaranya, Faqir Muhammad (Pasai), Maulana Malik Ibrahim (Jawa Timur), Syarif Muhammad (Mindanao), Syeikh Jana Khatib (Temasik - syahid) dan ramai lagi. Orientalis A.H. John menyokong kenyataan ini dan menganggap pelik dengan kenyataan tersebarnya Islam secara tipikal melalui perdagangan. Malah dia akur akan peranan dakwah dari kalangan peniaga-peniaga tersebut yang terlibat dengan kumpulan-kumpulan sufi (mubaligh) dan mengikut syeikh-syeikh tertentu.
..
Dari Jurusan Mana Datangnya Islam ke Nusantara?
.
Seperti biasa pihak orientalis lebih awal membuat justifikasi dengan menyebut Islam datang dari India. Pelbagai bukti yang dibawa bagi membenarkan kenyataan mereka, antaranya:-i. Batu-batu nisan di Pasai, Sumatera dan Jawa yang menyerupai batu Nisan di Gujerat, Selatan India (penemuan oleh J.P. Moquette, D.G.E. Hall).ii. Penguasaan Islam di bandar-bandar pelabuhan India yang kemudiannya tersebar ke Alam Melayu. (teori oleh Snouck Hurgronge).iii. Persamaan mazhab dari benua India – Mazhab Syafi’e (teori oleh T.W. Arnold).iv. Penyebaran Islam ke Samudera Pasai berasal dari Coromandel kerana itu satu-satunya daerah yang dikuasai Islam pada abad ke-13 (teori oleh G.E. Morrison).
.
Dari mana Islam datang sebenarnya tidak begitu mustahak untuk dibincangkan. Kerana tanggungjawab dakwah tidak eksklusif kepada mana-mana kumpulan atau bangsa. Ianya didasari rasa MAHU yang timbul setelah mengeTAHUi akan urgensi dakwah dalam hakikat kehidupan. Kemudian, timbullah keMAMPUan untuk merealisasikan agenda dakwah tanpa mengira batas waktu dan faktor lokasi.
.
Tapi, kita tertanya, kenapa para sarjana barat beria-ia mengatakan Islam berasal dari India. Ini adalah hasil tanggapan melalui beberapa karya sejarah yang menjustifikasi Asia Tenggara hanyalah sebagai lanjutan benua kecil India. Datangnya Islam hanyalah bagaikan tempelan mudah setelah sekian lama umat nusantara dipengaruhi budaya Hindu yang juga berasal dari India. Ini sebagai alasan untuk memgatakan bahawa Islam tidak membawa sebarang perubahan kepada sistem kehidupan alam Melayu.
.
Fakta sejarah menjelaskan, arus dakwah bermula dari jazirah Arab sendiri. Senarai kes pengislaman raja-raja oleh pendakwah dari Arab telah disusun oleh Buya HAMKA. Malah, banyak bahan rujukan yang tersebar di Nusantara berasal dari Timur Tengah sebagaimana yang dinyatakan Prof al-Attas. Terdapat sebilangan tokoh-tokoh sarjana seperti Keyzers, John Crawford dan Marsden menyebelahi teori kedatangan Islam adalah berasal dari Timur Tengah.
.
(bersambung..)

Wednesday, January 16, 2008

Bila Patut Puasa Asyura?

Soalan:

Saya tahu bahawa saya dituntut untuk berpuasa sebanyak dua hari ketika Puasa Asyura. Tetapi, adakah betul jika saya hanya berpuasa pada hari Asyura sahaja ?

Jawapan:

oleh Sheikh Nâyif al-Hamad , Hakim yang bersidang di daerah Rimah ,KSA.


Hari Asyura adalah pada hari (10) kesepuluh pada bulan Muharram. Melakukan Ibdah puasa pada hari tersebut adalah amalan Sunnah yang amat di tuntut.(
sunnah mu’akkadah). Ia tidaklah diwajibkan untuk berpuasa pada hari tersebut.


Rasulullah SAW berkata : Asyura adalah satu hari-hari Allah, Jadi sesiapa ingin berpuasa pada hari itu buatlah sedemikian, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa bolehlah berbuat demikian.” [Sahîh Muslim (1136)]


Abû Qatâdah meriwayatkan dari Rasulullah SAW berkata : “Aku berharap dari Allah dengan berpuasa pada hari Asyura akan membatalkan dosa dari tahun sebelumnya”.[Sahîh Muslim (1163)]

Hadith-hadith ini menunjukkan berpuasa pada hari Asyura adalah benar dan satu amalan yang mulia.

Ia juga adalah Sunnah untuk berpuasa hari sebelum Asyura atau hari selepasnya. Rasulullah SAW berkata: Berpuasalah pada hari Asyura, tetapi lakukan berlainan dengan puak Yahudi iaitu dengan berpuasa pada hari sebelumnya atau hari selepasnya” [Musnad Ahmad (1/241) and Sahîh Ibn Khuzaymah (2095)]

Ibn al-Qayyim menulis dalam Zâd al-Ma`âd (2/75):

Terdapat 3 cara untuk melakukan Puasa Asyura. Terbaik adalah berpuasa sebelum atau selepasnya. Cara terbaik seterusnya adalah berpuasa pada hari (9) kesembilan dan (10) kesepuluh, cara ini merupakan yang paling banyak ditunjukkan dalam Hadith-hadith Rasulullah SAW. Cara seterusnya ialah berpuasa pada hari yang (10) kesepuluh sahaja.

Wallahua’lam

Allah Maha Mengetahui

Diterjemaahkan Oleh

FAZH

Dari :

http://www.islamtoday.com/show_detail_section.cfm?q_id=1255&main_cat_9

SAKSIKAN SIARAN LANGSUNG FORUM PERDANA

SAKSIKAN SIARAN LANGSUNG

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM
DI TV 1

(Sila Gunakan URL ini bagi Ikhwah yang tidak mempunyai kemudahan siaran TV 1- http://bkj-station2.jaring.my/rtm1 )

HARI: KHAMIS.(17/1/2008)

WAKTU: (9.30 MALAM)

TAJUK: ANGKARA DURJANA

TEMPAT: DEWAN WAWASAN KANGAR

PANEL FORUM:

Y.BHG S.S DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
MUFTI KERAJAAN
NEGERI PERLIS


Y.BHG DR. ABDULLAH YASIN
PENSYARAH INSTITUT PENGAJIAN TINGGI
ISLAM PERLIS


Y.BHG DR. YUSUF HUSSIN
BEKAS MUFTI WILAYAH

Friday, January 11, 2008

MANHAJ PENERIMAAN ILMU DAN PENGHAYATANNYA DI DALAM AQIDAH DAN IBADAH

Oleh: Ustaz Abd Rasyid bin Idris (Presiden IQ)

Pendahuluan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam, selawat dan salam buat rasul-Nya yang amanah Nabi Muhammad juga buat keluarganya dan para sahabatnya serta orang-orang yang menuruti jejaknya hingga Hari Qiamat.

Nota ringkas ini diharapkan dapat memberikan gambaran asas terhadap beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh seorang muslim; supaya dia dapat mengambil pendirian yang terbaik dan melaksanakan titah perintah Allah 'azza wajalla dalam bentuk yang paling baik.

Untuk itu nota ringkas ini dibahagikan kepada beberapa topik iaitu:

1. kategori manusia

2. kejumudan pemikiran: sebab dan kesan

3. manhaj penerimaan ilmu

4. penyelesaian

1- Kategori manusia

Di antara fakta asas yang perlu disedari ialah manusia diciptakan oleh Allah berbeza di antara satu sama lain samada di sudut rupa, gaya, taraf hidup, kemampuan akal dan lain-lain. Justeru itu boleh dikategorikan manusia itu kepada beberapa jenis iaitu:

i- Ada kemampuan akal dan kemampuan mendalami ilmu, lalu apabila Allah mentaufiqkannya untuk itu jadilah dia seorang yang alim

ii- Ada kemampuan akal tetapi tidak ditaufiqkan memperolehi ilmu yang mendalam, dia tidak jadi orang alim tetapi mudah memahami apabila diterangkan tentang sesuatu fakta.

iii- Kurang kemampuan akal tetapi diberi kemudahan memperolehi ilmu, orang ini boleh jadi orang alim (walaupun mungkin tidak sama dengan yang pertama) tetapi boleh jadi juga hanya sekadar penuntut ilmu yang menurut.

iv- Kurang kemampuan akal dan tiada kesempatan belajar. Orang ini biasanya jahil.

Selain kategori ini, ada satu lagi pembahagian penting untuk diketahui iaitu:

i- Orang yang mengetahui bahawa dia orang yang berilmu lalu mengamalkan ilmunya dan menyebarkannya.

ii- Orang yang tidak mengetahui bahawa dia orang berilmu. Orang ini barangkali tidak beramal dengan ilmunya, jauh sekali untuk menyebarkannya. Jenis ini kurang boleh dimanfaatkan oleh umat.

iii- Orang yang mengetahui bahawa dia jahil atau kurang ilmu. Ia dipanggil al-jahl al-basit. Biasanya di kalangan orang beriman jenis ini masih akan berusaha mendalami pengatahuan agama buat bekal hari kemudian.

iv- Orang yang tidak mengetahui atau sengaja buat tahu bahawa dia bukan orang berilmu. Ini dipanggil al-jahl al-murakkab. Orang ini sukar menerima tunjuk ajar, mungkin degil dan sukar berubah.

2. Kejumudan pemikiran

Bagi setiap orang yang meneliti perkembangan ilmu di dalam sejarah ketamadunan Islam akan mendapati bahawa terdapat pasang surut di dalam pemikiran umat. Ini memberi kesan kepada bentuk penulisan dan hasil karya para sarjana Islam. Antara sebab berlaku yang sedemikian ialah:

i- Tanggapan bahawa pintu ijtihad telah tertutup

ii- Memusuhi mereka yang melakukan ijtihad dan mengeluarkan pandangan berbeza daripada imam-imam mazhab

iii- Berleluasanya taksub mazhab dan permusuhan dengan ahli mazhab lain

iv- Mengenepikan keilmuan dan kelebihan pemikiran ahli ilmu

v- Menyempitkan pegangan hanya pada satu mazhab tertentu

vi- Menyibukkan diri dalam membincangkan perkara-perkara andaian

vii- Banyaknya kejahilan dan kurangnya ilmu

3. Manhaj Penerimaan Ilmu

Berikut adalah asas yang wajib ada pada setiap manusia beriman:

3.1) Sumber ilmu hakiki ialah Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya

i- Islam satu-satunya agama yang benar di sisi Allah

ii- Syariat yang diturunkan adalah untuk kepentingan dan kebahagian manusia dunia dan akhirat

iii- Syariat itu telah sempurna

iv- Tidak boleh mendahului Allah dan Rasul

v- Setiap ketetapan Allah dan Rasul dijunjung tinggi dan diterima sepenuh hati

vi- Kembali kepada Allah dan Rasul apabila berlaku perselisihan

3.2) Sunnah Rasul adalah panduan untuk kesejahteraan

i- Rasulullah adalah hamba dan pesuruh Allah (iaitu satu-satunya manusia yang menerima wahyu sejak zaman baginda)

ii- Baginda adalah orang yang paling mengerti tentang maksud dan kehendak Allah

iii- Allah telah menetapkan bahawa panduan Rasul adalah yang terbaik

iv- Rasul telah menyampaikan risalah Allah sejelas-jelasnya secara amanah dan tanpa menyembunyikan sesuatupun

3.3) Al-Salaf al-Soleh adalah generasi terbaik

i- Mereka terdiri daripada para sahabat nabi, tabi'in dan atba' al-tabi'in serta orang-orang yang mengikut jejak mereka secara baik

ii- Para sahabat paling mengerti tentang perlakuan nabi kerana mereka adalah anak didik rasulullah dan ada yang menyaksikan sendiri penurunan ayat-ayat al-Quran serta mengetahui kisah di sebaliknya (sebab turun ayat)

iii- Para sahabat golongan paling kuat ilmu dan iman hasil didikan Rasulullah S.A.W, tabi'in adalah anak-anak dan murid-murid mereka begitu juga atba' al-tabi'in. Mereka ini diiktiraf oleh nabi S.A.W sebagai generasi yang terbaik

iv- Mereka akan segera bertanya Rasul apabila timbul persoalan tentang agama atau menunggu bersama nabi hingga wahyu turun.

v- Mereka yakin segala yang bertentangan dengan syarak hendaklah ditolak dan ditentang. Oleh itu mereka tegas menolak bid'ah dalam agama dan sentiasa melakukan amar ma'ruf nahi munkar.

4. Penyelesaian

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa persoalan ilmu yang tidak dihayati secari Islami dan tidak ditangani secara imani adalah antara punca kelemahan dan perpecahan umat Islam. Amalan yang dilakukan semakin jauh daripada nilai keIslamannya. Ini boleh mengakibatkan aqidah tercalar dan akhlak juga terjejas. Untuk itu suatu bentuk pengahayatan terhadap amalan dicadangkan di sini.

i- Berpegang teguh kepada apa yang warid daripada nas, tanpa sebarang tokok tambah. الاتباع الصحيح، هو الوقوف عند الوارد

ii- Maksud nas akan diambil secara zahir terlebih dahulu selagi tiada petanda yang ia membawa maksud sebaliknya. الأصل في الكلام الحقيقة

iii- Nas yang sahih tidak akan dibatali oleh nas yang tidak sahih, apatah lagi jika ia cuma cakap-cakap orang biasa atau kisah dongeng dahulu kala.

iv- Di dalam keadaan tidak mengetahui darjat sesuatu hadith itu sahih atau sebagainya, wajar bagi penuntut ilmu berpegang kepada pandangan ulama yang berkemampuan tentangnya. Cuma apabila wujud perbezaan pandangan ulama dalam hal itu, sepatutnya yang dinilai ialah hujah mereka.

v- Apabila perselisihan itu timbul dalam keadaan dalilnya sama-sama kuat perlulah ditarjih berdasarkan kriteria-kriteria tertentu. Biasanya ia membabitkan persoalan am dan khas, nasikh dan mansukh atau seumpamanya. قضية التعارض والترجيح

vi- Apabila tidak dapat dikenalpasti pendapat yang paling kukuh berdasarkan dalil; kerana tiada murajjih yang jelas, wajar bagi penuntut ilmu memilih pendapat yang paling ahwat (berhati-hati). الخروج من الخلاف مستحب

Adakalanya pendapat yang paling mudah lebih utama diambil.

vii- Bagi orang awam (iaitu yang tidak mampu menilai hujah dan dalil), pendirian yang patut diambil ialah pendirian orang yang dia Tanya tentang hukum/isu tersebut. مذهب العوام مذهب مفتيه

Peringatan

1- Tiada satu dalilpun yang mewajibkan berpegang dengan hanya satu mazhab, begitu juga dengan perkataan imam-imam mazhab itu sendiri.

2- Setiap orang wajib menuntut ilmu dan bertanya kepada ahli ilmu jika tidak mengetahui.

3- Setiap orang akan dipersoalkan berdasarkan kemampuan ilmunya.

4- Amalan yang direka-reka bukan ibadah, tetapi amalan yang disangka ibadah sedangkan hakikatnya bukan tidak menjadi dosa, cuma sia-sia.

Penutup

Semoga nota ringkas ini dapat membantu orang-orang yang cintakan agamanya dan mengambil berat tentang bekalan hari akhirat. Mudah-mudahan Allah sentiasa mentaufiqkan kita semua untuk kebenaran.