|     Azamin   Amin 
  |   
|     "Perlukah saya sediakan makanan   dan buat kenduri arwah kepada orang kampung sedangkan keluarga saya tengah   sedih sangat sebab baru sahaja kehilangan ayah tersayang?" tanya seorang   remaja kepada saya yang baru kehilangan ayahnya yang tercinta kerana sakit   kronik.  Terkedu dan pernah juga terfikir   dalam benak hati, namun kerana kenaifan saya di bidang agama saya diamkan   sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang terbit daripada anak muda   belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang susah.  Lantaran itu, walaupun sedikit   kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin   atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang   banyak pihak.  Namun atas landasan mencari ilmu   termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip beberapa pendapat yang boleh   dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada anak muda yang bertanya itu   sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa sebarang jawapan sebelum   ini.(segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan maafkan)  Amalan membebankan keluarga si mati  Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis)   seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam   Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan   kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi   bersedih dengan kehilangan orang tersayang.  Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar   berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda: "Persiapkan   makanan untuk keluarga Ja'far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi   dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)." - Hadith riwayat   al-Tirmidhi & Abu Dawud.  Keluarga si mati yang baru ditimpa   musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.  Amalan di sesetengah tempat ini   adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi   dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah   orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.  "Budaya mengadakan kenduri arwah   bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam   ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam   Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut  Amalan itu membawa kepada pembaziran   jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan   membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947   memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.  Ulama mazhab Syafie melarang kenduri   arwah    Rujukan katanya boleh dibuat terhadap   Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram   bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa   Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.  Katanya lagi Ulama mazhab Syafie   melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie,   al-Fiqh al-Manhaji.  Antara petikan kitab tersebut yang   berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan   mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya   40 hari dan seumpamanya."  "Sekiranya perbelanjaan makanan   itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum   baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.  "Ini kerana ia memakan harta   benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu.   Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan   memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).  Dalam pada itu pada Jun 2005 blog   tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah   Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang   merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu   kenduri arwah.  "Dengan jelas mengatakan bahawa   diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai   diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain   bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati,   disebut orang sebagai kenduri Arwah.  "Dengan jelas perbuatan itu   tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi   ikutan, " kata Nik Aziz.  Kenyataan pahit dan mengejutkan  Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin   agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan   terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan   dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.  "Tetapi inilah hakikat Islam   yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan   Sunnah," katanya  "Tidak dapat dinafikan bahawa   amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga   sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan   amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian," katanya   lagi  Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi   terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang   sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak   pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang   mati.  "Orang yang paling sayang   terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi   siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir   dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya membangkitkan persoalan.   Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat   maka dari manakah punca amalan itu diambil.  "Apa yang paling mendukacitakan,   mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal   Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam   sunnahnya," katanya.  Bagi umat Islam marilah berlapang   dada dalam menghadpi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada   surah An-Nisaa' 4:59 :"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan   taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan   pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan   Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari   kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik   akibatnya." - mks.   |   
"MAKA BERPEGANGLAH DENGAN SUNNAHKU(RASULULLAH S.A.W) DAN SUNNAH KHULAFA AR-RASYIDIN AL-MAHDIYYIN.BERPEGANGLAH DENGANNYA DAN GIGITLAH IA DENGAN GIGI GERAHAM . JAUHILAH KAMU DARI PERKARA-PERKARA YANG DIADA-ADAKAN(DALAM AGAMA) , KERANA SETIAP YANG DIADA-ADAKAN DALAM AGAMA ITU BIDAAH DAN SETIAP YANG BIDAAH ITU SESAT"(SUNAN ABU DAUD)
No comments:
Post a Comment