Thursday, February 21, 2008

Transaksi Judi Melalui Mengundi?

Menjadi lumrah peniaga dan pengeluar untuk mendapatkan keuntungan apabila memasarkan produk mereka. Dan mereka sanggup menggunakan berbagai cara untuk menarik perhatian para pelanggan. Antara cara tarikan yang digunakan ialah undian berhadiah, perkara ini bukan sahaja melibatkan produk-produk orang dewasa malah tidak terlepas kepada produk kanak-kanak. Apa yang menyedihkan ialah ramai kaum muslimin yang merupakan pengeluar dan peniaga terjerumus dengan pola ekonomi orang kafir antaranya; matlamat menghalalkan cara, mendapat hasil yang lumayan dengan dengan segera melalui usaha yang kecil, menarik perhatian pelanggan dengan cara mengaburi dan menipu mereka, menjatuhkan pesaing dengan licik dan sebagainya.


Islam merupakan agama yang sempurna dan pencipta kita yakni Allah S.W.T tidak hanya mengatur ritual ibadah manusia sahaja. Bahkan Islam agama yang menyentuh semua aspek kehidupan manusia termasuk masalah mencari rezeki dengan cara yang halal dan menjauhi cara yang haram.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُواْ لِلّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ


“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.“ [Al-Baqarah 2:172]

Allah juga melarang kiata memakan harta-harta manusia dengan cara yang bathil:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلاَ تَقْتُلُواْ أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا


“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. dan janganlah kamu membunuh dirimu; Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.” [ An-Nisa 4:29]

Dalam era globalisasi ini, para peniaga menggunakan berbagai cara untuk mempromosi barang jualan mereka, tersepit dalam persaingan sesama mereka ada yang sanggup menggunakan cara yang haram baik dengan pengetahuan ataupun kerana kejahilan mereka.Ada yang menyembunyikan kerosakan barangan jualan, ada yang memberi diskaun besar-besaran, ada yang memberi hadiah sampingan dan antara yang paling popular ialah undian berhadiah.



Apa itu undian?



Undian dalam bahasa arab
قُرْعَةٌ yang ertinya secara bahasa adalah nasib atau bahagian.[1]Secara istilah pula ia membawa maksud menentukan salah seorang daripada beberapa orang yang sama-sama berhak terhadap sesuatu yang tidak mungkin diberi sama rata dan masing-masing tidak mempunyai keistimewaan.[2] Daripada definisi ini jelas dapat kita fahami bahawa undian boleh diadakan apabila semua pihak berhak dalam sesuatu masalah.Ianya tidak boleh dipraktikkan apabila ada pihak yang berhak ke atas masalah tersebut atau ianya boleh diberi sama rata.


Sememangnya kita tidak nafikan termaktubnya sistem undian baik dalam Al-Quran maupun As-Sunnah. Dalam Al-Quran diberitakan kepada kita kisah Nabi Yunus A.S yang terlibat dengan undian yang diadakan. Undian itu diadakan kerana muatan kapal itu sangat penuh dan kalau tidak dikurangi mungkin akan tenggelam, oleh sebab itu undian diadakan dan siapa yang kalah dalam undian itu dilemparkan kelaut. Yunus a.s. termasuk orang-orang yang kalah dalam undian tersebut sehingga ia dilemparkan ke laut.

فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنْ الْمُدْحَضِينَ


“Kemudian ia ikut berundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian.” [Ash-Shaffat 37:141] [3]


Dalam As-Sunnah pula Rasulullah S.A.W pernah bersabda dalam suatu hadith

“Seandainya manusia tahu (keutamaan) azan dan saf pertama,kemudian mereka tidak dapat memperolehinya (azan dan saf pertama) kecuali dengan mengundi,maka mereka pasti akan mengundi” [4]


Apa itu hadiah?


Definisi hadiah adalah berbeza-beza menurut sesetengah pihak. Jika para fuqaha menganggap hadiah itu ialah pemberian untuk memuliakan, menjalinkan rasa suka, mengeratkan tali persahabatan atau untuk keperluan yang lain[5], berlainan dengan pemahaman pengeluar dan peniaga yakni hadiah adalah sesuatu yang diberikan kepada pelanggan dengan maksud melariskan barang dagangannya.


Kita semua sedia maklum bahawa pemberian hadiah adalah dianjurkan berdasarkan hukum asal pemberian hadiah seperti mana sabda Nabi s.a.w:-


“Saling memberilah hadiah kalian,sehingga kalian saling dicintai” [6]

Hadiah Promosi


i) Hadiah sebagai kenang-kenangan


Hadiah seperti ini biasa diberikan kepada pelanggan sebagai tanda penghargaan atas pembelian, sebagai contoh kalender tahunan, cawan, ‘key chain’ dan sebagainya.Hadiah sebegini adalah dibenarkan memandangkan ianya termasuk dalam hukum hibah atau pemberian selagi mana harga barangan tersebut adalah harga standard [7] dan tidak mempunyai unsur-unsur haram atau kezaliman.


Yang dimaksudkan selagi mana tidak mempunyai unsur-unsur haram atau kezaliman ialah apabila hadiah tersebut adalah key-chain yang berupa patung atau kalender tahunan yang diberikan percuma mempunyai gambar porno dan sebagainya.Hal ini dilarang kerana ia melibatkan maksiat dan menerimanya adalah umpama membantu dalam hal-hal maksiat.


ii) Hadiah yang disertakan bersama dengan barang jualan



Hadiah yang disertakan bersama dengan produk jualan oleh pengeluar produk sebagai promosi adalah dibolehkan kecuali dengan dua syarat.


(A) Produk tersebut dijual dengan harga standard
Ini adalah kerana jika barang tersebut hanya disertakan di dalam sesetengah produk manakala yang lainnya tidak mempunyai hadiah tersebut maka ia memiliki unsur judi yakni pengundian nasib antara untung rugi diantara penjual dan pembeli.

(B) Produk tersebut dibeli bukan kerana hadiahnya semata
Pembeli atau pelanggan bermaksud untuk membeli produk tersebut dan bukannya kerana mengingini hadiah tersebut semata.Ini bertujuan untuk mengelakkan pembaziran daripada berlaku maka sikap kita sebagai pembeli haruslah mempunyai disiplin supaya tidak terjerumus dalam pembaziran.Sebagai contoh promosi hadiah wang tunai dinyatakan terdapat dalam bungkusan-bungkusan mee segera menyebabkan berbondong-bondong orang membelinya dengan jumlah yang banyak.Apabila pembeli membuka satu persatu mee segera yang dibelinya dengan harapan memperolehi hadiah yang diwar-warkan, dia tidak menjumpai hadiah tersebut dan mee segera yang banyak itu disia-siakan. Dalam kes ini pembeli telah menyia-nyiakan wangnya dan terlibat dalam pembaziran.


iii) Hadiah hasil daripada undian


Cara undian untuk mendapatkan hadiah selepas membeli sesetengah produk amat laris digunakan peniaga-peniaga kini.Baik dengan pengumpulan kupon hasil setiap pembelian,sehinggalah memperolehi kupon walaupun tanpa membeli apa-apa produk.Perkara ini dapat kita kategorikan kepada beberapa cara:-


(A)Peserta yang mengundi diisyaratkan membuat sesuatu.
Perkara ini adalah satu musabaqah atau perlumbaan yang terdapat hadiah di dalamnya dan ia adalah dibenarkan. Terdapat perbahasan di kalangan ulama berkenaan perlumbaan yang dibenarkan pemberian hadiah kepada pemenangnya. Ada yang berpendapat hanya perlumbaan yang disebutkan oleh Nabi s.a.w sahaja berdasarkan hadith:


“Tidak ada hadiah perlumbaan kecuali dalam pacuan unta,memanah atau pacuan kuda” [8]


Ada juga yang berpendapat jika perlumbaan itu membawa manfaat walupun tidak semakna dengan ucapan Rasulullah s.a.w ianya dibolehkan dengan syarat hadiah tersebut bukan datangnya daripada peserta yang bertanding untuk mengelakkan unsur perjudian dalam perlumbaan atau pertandingan tersebut.Jika terdapat dua atau lebih pemenang dalam perlumbaan atau pertandingan tersebut dan kesemuanya berhak menerima hadiah maka dibolehkan mengundi untuk menentukan pemenangnya.

(B)Peserta yang mengundi tidak perlu berbuat sesuatu
Kupon undian sebegini terbahagi kepada dua kategori yakni:-


[1] Peserta mendapat kupon hasil daripada pembelian produk tetapi kupon undian itu tidak mengkehendaki pembeli berbuat apa-apa selain mengundi. Dalam kes ini pendapat yang kuat adalah ianya dibolehkan tetapi dengan syarat harga barang tersebut adalah harga standard dan peserta tidak membeli produk tersebut kerana hadiah semata untuk mengelakkan pembaziran.


[2] Peserta mendapat kupon secara percuma tanpa membeli apa-apa produk.Kupon undian percuma tidak mengkehendaki peserta berbuat apa-apa dan sekadar mengundi untuk ditentukan pemenangnya. . Dalam kes ini pendapat yang kuat adalah ianya dibolehkan kerana tidak ada dalil yang melarangnya.


iv) Hadiah hasil daripada pertandingan undian SMS



Hadiah seperti ini sangat popular di kalangan masyarakat kita walaupun telah wujudnya fatwa tidak lama dahulu mengharamkan apa jua bentuk pertandingan atau kuiz SMS baik di dalam televisyen mahupun radio kerana ia melibatkan unsur perjudian dan eksploitasi terhadap peserta yang menyertai pertandingan.[9]Ini kerana para penonton dan pendengar tidak sedar di sebalik transaksi yang dilakukan melalui telefon bimbit.Pertandingan sedemikian rupa mempunyai unsur judi yang nyata.Peserta yang menghantar SMS untuk menyertai pertandingan atau kuiz SMS akan di caj dengan harga yang luar dari harga biasa dan pembayaran daripada kredit telefon bimbit itu jelas menunjukkan terdapatnya unsur judi di dalamnya.Pengiriman SMS belum tentu mendapat hadiah yang dipertandingkan tetapi wang daripada kredit telefin bimbit telahpun dicaj oleh penganjur pertandingan atau kuiz.Dapat disimpulkan bahawa pertandingan atau kuiz SMS ini tidak ada bezanya dengan pertandingan-pertandingan judi yang lain seperti di Fun Fair,kedai-kedai loteri dan sebagainya.


Perkara ini harus dibezakan dengan caj perkhidmatan kerana caj yang dikenakan adalah lebih tinggi berbanding harga biasa dengan sekali pengiriman SMS.Perkara ini sama seperti apa yang telah dijelaskan umpama pengirim SMS membeli kupon dengan wang ringgit kemudian mengundi untuk mendapat hadiah yang ditawarkan, perkara yang berbeza hanyalah wang ringgit yang digunakan adalah dalam bentuk kredit telefon bimbit.


Sebagai maklumat tambahan,seperti mana fatwa Al-Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi[10] dalam menerangkan hukum pertandingan yang menggunkan telefon sebagai medium penyertaan.Beliau menyatakan operasi judi itu bukan dihitung melalui kerugian yang dialami peserta,tetapi operasi judi itu apabila seseorang itu mengharapkan keuntungan dan menjadi jutawan dalam masa yang singkat hasil penyertaan daripada pertandingan yang dimasuki.[11]

Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada tulisan ini ialah:-

1) Undian boleh dilakukan jika masing-masing berhak ke atas sesuatu yang tidak dapat diberi sama rata,dan salah satu dari semua pihak tidak mempunyai keistimewaan hak atas yang lain.(semua pihak layak untuk memperolehinya-pen.)

2) Hadiah dalam perlumbaan atau pertandingan perlu diperincikan sama ada ianya selaras denagn hadith nabi seperti berkuda,pacuan unta,memanah maka hadiah dibolehkan dalam pertandingan seperti ini. Begitu juga pertandingan yang semakna dengannya seperti lumba lari,bergusti,pertandingan seni bela diri dan sebagainya.Apabila perlumbaan atau pertandingan tersebut tidak semakna dengan hadith nabi maka tidak boleh ada pemberian hadiah atasnya tetapi sebahagian ulama membenarkannya sebagai motivasi kepada peserta selagi mana hadiah tersebut bukan daripada peserta yang bertanding.


3) Hadiah yang disertakan dengan produk dibolehkan dengan syarat pembeli membelinya dengan harga standard dan peserta membeli produk kerana keperluannya bukan kerana hadiah semata untuk mengelakkan pembaziran.

4) Undian atau pertandingan yang melibatkan pembayaran (sama ada pembelinya perlu membeli kupon atau menggunakn kredit telefon bimbit untuk menyertai pertandingan) adalah
diharamkan kerana mempunyai unsur-unsur judi di dalamnya.

Diharapkan para pembaca dapat memahami perbincangan dan perbahasan yang dikeutarakan dalam artikel yang terbatas ini kerana ia hanya melibatkan perbahasan dalam sesetengah transaksi sedia ada dan tidak mencakupi semua jenis-jenis transaksi.Semoga Allah menjadikannya bermanfaat.


Wallahua’lam.

Ibn Yusof

18 November 2007/ 8 Zulkaedah 1428

4:36a.m





No comments:

Post a Comment