Azamin Amin Wed | Apr 30, 08 | 7:17:53 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Mufti Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis. Kata Dr Asri, surat tersebut telah dihantar seminggu yang lalu menyarankan supaya kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut. "Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan," katanya yang berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut. "Tetapi jika ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily semalam. Dalam pada itu beliau menjelaskan bantahan tersebut bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan seperti konsert yang ada antaranya mengajak masyarakat berhibur secara matang dan bukannya menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat. "Kita suka hiburan yang matang dan bukan bermakna kita 'banned' semua hiburan atau hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata. "Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang. Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja. Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap agar kerajaan baru ini dapat menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama. "Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini dan beri peluang untuk mereka menanganinya," katanya. Sebelum ini Dr Asri turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri bagi melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun. Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi. Penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan menyebabkan pesta Songkran sering dianggap sebagai 'Pesta Air' lebih-lebih lagi anak muda akan menggunakan peluang pada hari tersebut untuk menyimbah air kepada rakan-rakan untuk berseronok. - mks. |
Faizal sah tak ke Perlis
2 Mei 2008
Oleh Zainuri Misfar dan Adha Ghazali
TV3 akur selepas terima surat larangan ditandatangani MB
KUALA LUMPUR: Faizal Tahir disahkan tidak akan membuat persembahan pada Program Jom Heboh 2008 (Jom Heboh) anjuran stesen televisyen TV3 di sini pada Ahad ini berikutan tentangan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menurut sumber, keputusan itu dibuat selepas TV3 menerima surat yang ditandatangani Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu yang meminta stesen itu tidak membenarkan Faizal membuat persembahan.
Bagaimanapun, surat satu perenggan itu tidak menyatakan sebab atau alasan sebenar penyanyi itu tidak boleh membuat persembahan di negeri ini.
Sementara itu, ahli Lembaga Pengarah Media Prima dikatakan akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu larangan Faizal daripada membuat persembahan di Perlis hari ini.
"Ketika ini kita tidak mahu mengulas lanjut berhubung arahan kerajaan Perlis yang tidak membenarkan Faizal Tahir membuat persembahan di sana. Ahli lembaga pengarah syarikat akan bermesyuarat untuk membincangkan perkara ini sebelum sebarang keputusan dibuat," kata sumber itu semalam.
Semalam media melaporkan alasan Dr Mohd Asri tidak bersetuju Faizal membuat persembahan di negeri itu ialah kerana dia berambut panjang, sering meraung dan melompat-lompat ketika persembahan yang tidak sesuai untuk tontonan rakyat Perlis.
"Saya secara peribadi (apabila) menyebut nama Faizal selaku antara artis yang paling patut tidak dibenarkan hadir membuat persembahan di negeri ini selain artis aliran dangdut serta rock," kata Dr Mohd Asri.
Beliau juga mendakwa penyanyi itu sebenarnya tidak mengetahui siapa dirinya sebenar kerana 'sekejap mahu jadi manusia, sekejap mahu jadi Superman' dan menyifatkan Faizal masih berada pada tahap krisis identiti kerana tidak mengetahui hala tuju sendiri. .
Dr Mohd Asri menulis surat kepada Pejabat Menteri Besar meminta penganjur Jom Heboh menilai semula konsert yang diadakan, termasuk menghalang kemunculan Faizal di Perlis
Di KANGAR, Dr Md Isa berkata kerajaan negeri tidak menghalang kemasukan program Jom Heboh ke Perlis dengan syarat penganjur sedia mengikuti garis panduan yang ditetapkan.
Katanya, satu mesyuarat khas membabitkan kerajaan negeri dan penganjur diadakan yang antara lain turut membincangkan secara terperinci garis panduan seperti yang disarankan Jabatan Mufti Perlis.
Md Isa berkata kerajaan negeri serta Jabatan Mufti Perlis tidak pernah bersikap anti atau menghalang hiburan, tetapi ia mesti berlangsung dalam keadaan terkawal serta tidak menyimpang daripada budaya dan ajaran Islam.
Beliau berkata, apa yang disuarakan Dr Mohd Asri adalah teguran membina yang patut dipandang serius kerana ia bertujuan menjaga keharmonian serta kepentingan agama dan rakyat.
"Saya sendiri sudah berbincang dengan mufti petang semalam (kelmarin), ketika beliau menemui saya untuk menyerahkan garis panduan penganjuran Jom Heboh di Perlis yang akan turut digunakan sebagai panduan, syarat serta ketetapan bagi sebarang bentuk program hiburan yang bakal dibawa ke Perlis," katanya.
P/S - Khutbah Khas Kerajaaan Negeri Perlis telah ditarik barik kerana pihak kerajaan negeri Perlis Darul Sunnah telah akur mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis. Maka menghormati keputusan kerajaan negeri pihak INTIS menarik balik khutbah tersebut dari Web ini .Harap Maklum.
No comments:
Post a Comment