Thursday, May 08, 2008

KEM REMAJA TAJDID


Perhatian!!

INTIS Consultant & Training atau INTIS akan mengadakan satu program yang sama di DUA tempat yang berbeza. KEM REMAJA TAJDID 2008 akan diadakan pada 23-25 Mei 2008 di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur dan Masjid Aleyah, Kg Kuala Ina, Melaka.

Berteraskan solat sebagai motivasi kepada remaja, program ini diadakan khusus kepada remaja berumur 13-17 tahun dengan hasrat memberikan kepada para remaja motivasi berdasarkan al-Quran dan juga as-Sunnah. Dan dalam waktu yang sama, mendidik para remaja untuk memperelokkan Solat mereka dengan menggunakan modul khas yang disusun berdasarkan Sunnah Rasulullah SAW yang shahih serta pendapat ulama' yang muktabar.

Bagi ibu bapa yang berhasrat untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke KEM REMAJA TAJDID di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur boleh berbuat demikian dengan menghubungi Encik Norman bin Yahya 019-2723960 atau Saudara Yasir bin Ramlee 013-2229683 dan kemudian memuat turun borang KEM REMAJA TAJDID AL-MUHAJIRIN di sini.

Dan bagi ibu bapa yang berhasrat untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke KEM REMAJA TAJDID di Masjid Aleyah, Kg Kuala Ina, Melaka boleh berbuat demikian dengan menghubungi Saudara Masri bin Ramli 013-2506391

TERHAD KEPADA 60 ORANG PESERTA SAHAJA DI SETIAP TEMPAT!

PENDAFTARAN:

SURAU AL-MUHAJIRIN

En Norman Yahya019-2723960

atau

Sdr Yasir Ramlee 013-2229683

------------------

MASJID ALEYAH

Sdr Masri Ramli013-2506391

Wednesday, May 07, 2008

Akibat nafsu Aqidah digadaikan - Percaya tilikan BOMOH


Laporan metro muka depan hari ini selasa 6 Mei 2008 yang bertajuk Lelaki dibelasah 4 abang ipar sendiri- mangsa tilik bomoh. Kejadian ini berlaku di KUANTAN PAHANG

“Akibat percaya tilikan bomoh, 4 beradik membelasah adik ipar mereka kerana mengesyaki mangsa mencuri wang hantaran dan barang kemas seorang anggota keluarga yang bakal berkahwin tidak lama lagi”

Saya amat terkilan dan berasa marah membaca laporan ini. dan saya rasa tidak keterlaluan kalau saya gunakan perkataan AMAT BODOHnya si pelaku perbuatan ini…Marah ini bukan kerana nafsu, tetapi marah ini kerana anda telah berlaku zalim kepada diri anda sendiri dengan membelakangkan Aqidah Tauhid anda.

Metro menyatakan “Ini kes kedua berturut-turut membabitkan orang awam membelakangi undang-undang dengan membelasah orang yang disyaki tanpa usul periksa”

Saya katakan membelakangi undang-undang yang disebutkan tidaklah lebih besar daripada membelakangi perintah ALLAH dan Rasul-NYA. Membelakangi undang-undang Negara anda akan dihukum denda atau penjara tetapi membelakangi undang-undang ALLAH anda akan rugi di akhirat dan buruk tempat kembalinya..

Dimanakah Anda meletakkan Aqidah anda? Walaupun telah sering disebut dan diterangkan oleh ustaz-ustaz yang ada di Malaysia ini tetapi lihatlah masih berlaku lagi perkara-perkara yang merosakkan aqidah masyarakat kita. Mengapa ini berlaku? bukan kerana mereka tidak pernah mendengarnya, bukan kerana ustaz-ustaz tidak menerangkannya, tetapi kerana mendahulukan nafsu dari Syariat

ALLAH s.w.t. berfirman di dalam al-Hujurat: 1

يأيُّهَا الذِينَ آمنُوا لا تُقَدِّموا بينَ يَدَيِ اللهِ وَرَسُولِه وَاتَقُوا اللهَ إن اللهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu mendahului kata-katamu daripada Allah dan Rasul-Nya. Takutlah kamu kepada Allah, kerana Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Lihatlah keadaan masyarakat kita yang masih rendah pemahaman aqidahnya, atau sebenarnya mereka itu percaya bahawa tindakan sedemikian akan merosakkan aqidah tetapi apabila bertuhankan hawa nafsu mereka masih berani membelakangkan ALLAH Jalla wa ‘Ala.

Ada setengah orang menyatakan “ustaz tu tak de tajuk lain ke, balik-balik tauhid rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ was Sifat”

Saya menegaskan bahawa selagi nyawa dikandung badan kita akan bercakap dan mengulang-ulang perkara yang bersangkutan dengan Aqidah ini

العقيدة أولاً ودائماً وأبداً

Aqidah itu yang pertama, sentiasa dan selama-lamanya

Telah berjayalah sang syaitan untuk menimbulkan permusuhan sesama islam, ALLAH telah menyatakan di dalam al-Quran

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ

Maksudnya: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran daripada arak dan judi, dan menghalangi kamu dari mengingat ALLAH dan solat

Begitulah juga yang dilakukan syaitan melalui bomoh. Kemungkinan sudah ada sebelumnya rasa tidak puas hati kepada seseorang, apabila berjumpa si bomoh Qatalahumullah, bomoh pula menyatakan dengan ayat yang masyhurnya seperti “sebenarnya orang yang melakukan benda ini ialah dikalangan ahli keluarga kamu sendiri” apabila bomoh dah kata begitu maka orang yang jumpa bomoh itu tadi mula mengesyaki salah seorang ahli keluarganya yang sebelum ini memang sudah ada masalah dengannya…maka tanpa usul periksa dan percayakan si bomoh yang karut itu maka berlakulah pergaduhan sehingga ke tahap berbunuhan sesama keluarga…nauzubillah min zalik


عن عَائِشَةُ-رضي الله عنها- سَأَلَ أُنَاسٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكُهَّانِ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسُوا بِشَيْءٍ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَإِنَّهُمْ يُحَدِّثُونَ أَحْيَانًا بِالشَّيْءِ يَكُونُ حَقًّا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ الْكَلِمَةُ مِنْ الْحَقِّ يَخْطَفُهَا الْجِنِّيُّ فَيَقُرُّهَا فِي أُذُنِ وَلِيِّهِ فَيَخْلِطُونَ معهَا مِائَةِ كَذْبَةٍ

Daripada Aisyah r.ha, dia berkata: Orang-orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang para dukun atau bomoh, maka baginda menjawab: mereka itu tidak berguna sedikitpun,. Mereka berkata: Wahai Rasulullah kadang-kadang mereka berbicara tentang sesuatu dan ternyata benar-benar terjadi. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: kebenaran itu ialah suatu yang dicuri oleh satu jin, lalu ia lontarkan pada telinga kekasihnya (di kalangan manusia) dan mereka mencampur-adukkan dengan seratus pembohongan. (al-Bukhari dan Muslim)


عَنْ صَفِيَّةَ عَنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ يوماً. رواه مسلم

Daripada Sofiyyah daripada sebahagian isteri-isteri Nabi s.a.w. bahawa baginda bersbada: Sesiapa yang datang kepada peramal/tukang tilik lalu dia bertanya sesuatu kepadanya dan mempercayainya maka tidak akan diterima solatnya selama 40 hari

Cukuplah hanya mendengar 2 hadis ini, kita boleh memahami bahawa perbuatan bertemu dengan bomoh bertanya dan membenarkan apa yang dikata sesungguhnya ia boleh menjadi masalah kepada amalan Agama harian anda, di dalam hadis yang lain dinyatakan sekiranya anda membenarkannya sesungguhnya telah KAFIR..

Bertaubatlah kepada ALLAH s.w.t. tidakkah terfikir tindakan anda itu memecahbelahkan hubungan kekeluargaan di tambah pula hubungan sesama islam?

Wahai saudara-saudaraku FAHAMILAH AQIDAH MU…

Fikir-fikirkanlah

Abu Syuaib Mohd Khairil Anwar bin Abdul Latiff
Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
http://abusyuaib.blogspot.com

Friday, May 02, 2008

Jom Heboh di Perlis, Mufti hantar surat bantahan

Azamin Amin
Wed | Apr 30, 08 | 7:17:53 am MYT

KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Mufti Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis.

Kata Dr Asri, surat tersebut telah dihantar seminggu yang lalu menyarankan supaya kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut.

"Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan," katanya yang berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut.

"Tetapi jika ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Dalam pada itu beliau menjelaskan bantahan tersebut bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan seperti konsert yang ada antaranya mengajak masyarakat berhibur secara matang dan bukannya menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat.

"Kita suka hiburan yang matang dan bukan bermakna kita 'banned' semua hiburan atau hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata.

"Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang.

Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja.

Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap agar kerajaan baru ini dapat menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama.

"Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini dan beri peluang untuk mereka menanganinya," katanya.

Sebelum ini Dr Asri turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri bagi melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun.

Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi.

Penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan menyebabkan pesta Songkran sering dianggap sebagai 'Pesta Air' lebih-lebih lagi anak muda akan menggunakan peluang pada hari tersebut untuk menyimbah air kepada rakan-rakan untuk berseronok. - mks.


HarakahDaily.net


Faizal sah tak ke Perlis

2 Mei 2008

Oleh Zainuri Misfar dan Adha Ghazali

TV3 akur selepas terima surat larangan ditandatangani MB

KUALA LUMPUR: Faizal Tahir disahkan tidak akan membuat persembahan pada Program Jom Heboh 2008 (Jom Heboh) anjuran stesen televisyen TV3 di sini pada Ahad ini berikutan tentangan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut sumber, keputusan itu dibuat selepas TV3 menerima surat yang ditandatangani Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu yang meminta stesen itu tidak membenarkan Faizal membuat persembahan.

Bagaimanapun, surat satu perenggan itu tidak menyatakan sebab atau alasan sebenar penyanyi itu tidak boleh membuat persembahan di negeri ini.


Sementara itu, ahli Lembaga Pengarah Media Prima dikatakan akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu larangan Faizal daripada membuat persembahan di Perlis hari ini.

"Ketika ini kita tidak mahu mengulas lanjut berhubung arahan kerajaan Perlis yang tidak membenarkan Faizal Tahir membuat persembahan di sana. Ahli lembaga pengarah syarikat akan bermesyuarat untuk membincangkan perkara ini sebelum sebarang keputusan dibuat," kata sumber itu semalam.

Semalam media melaporkan alasan Dr Mohd Asri tidak bersetuju Faizal membuat persembahan di negeri itu ialah kerana dia berambut panjang, sering meraung dan melompat-lompat ketika persembahan yang tidak sesuai untuk tontonan rakyat Perlis.

"Saya secara peribadi (apabila) menyebut nama Faizal selaku antara artis yang paling patut tidak dibenarkan hadir membuat persembahan di negeri ini selain artis aliran dangdut serta rock," kata Dr Mohd Asri.

Beliau juga mendakwa penyanyi itu sebenarnya tidak mengetahui siapa dirinya sebenar kerana 'sekejap mahu jadi manusia, sekejap mahu jadi Superman' dan menyifatkan Faizal masih berada pada tahap krisis identiti kerana tidak mengetahui hala tuju sendiri. .

Dr Mohd Asri menulis surat kepada Pejabat Menteri Besar meminta penganjur Jom Heboh menilai semula konsert yang diadakan, termasuk menghalang kemunculan Faizal di Perlis

Di KANGAR, Dr Md Isa berkata kerajaan negeri tidak menghalang kemasukan program Jom Heboh ke Perlis dengan syarat penganjur sedia mengikuti garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, satu mesyuarat khas membabitkan kerajaan negeri dan penganjur diadakan yang antara lain turut membincangkan secara terperinci garis panduan seperti yang disarankan Jabatan Mufti Perlis.

Md Isa berkata kerajaan negeri serta Jabatan Mufti Perlis tidak pernah bersikap anti atau menghalang hiburan, tetapi ia mesti berlangsung dalam keadaan terkawal serta tidak menyimpang daripada budaya dan ajaran Islam.

Beliau berkata, apa yang disuarakan Dr Mohd Asri adalah teguran membina yang patut dipandang serius kerana ia bertujuan menjaga keharmonian serta kepentingan agama dan rakyat.

"Saya sendiri sudah berbincang dengan mufti petang semalam (kelmarin), ketika beliau menemui saya untuk menyerahkan garis panduan penganjuran Jom Heboh di Perlis yang akan turut digunakan sebagai panduan, syarat serta ketetapan bagi sebarang bentuk program hiburan yang bakal dibawa ke Perlis," katanya.

Berita Harian

P/S - Khutbah Khas Kerajaaan Negeri Perlis telah ditarik barik kerana pihak kerajaan negeri Perlis Darul Sunnah telah akur mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis. Maka menghormati keputusan kerajaan negeri pihak INTIS menarik balik khutbah tersebut dari Web ini .Harap Maklum.