Tuesday, December 12, 2006

Sanggahan Terhadap “Berzikir Beramai-ramai Tak Salah”


Prof Madya Dr Ahmad Farouk Musa

Firman Allah:
“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain
Allah yang mensyariatkan kepada mereka agama yang
tidak diizinkan oleh Allah?” [42:21]

Sabda arRasul:
“Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan
melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah
kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah Khulafa’
arRasyidin yang mendapat petunjuk. Berpeganglah
dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah
kamu perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana
setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap
bid’ah adalah sesat”
[Riwayat Abu Dawud dan at-Tarmizi. Kata at-Tarmizi:
Hadith ini hasan sahih. Diriwayatkan juga oleh Ibnu
Hibban dan al-Hakim di dalam al Mustadrak dengan
mengatakan hadith ini sahih. Hal ini dipersetujui oleh
az-Zahabi di dalam Tahqiq al-Mustadrak 1/288]

Marilah kita melihat secara adil dan saksama tentang
permasalahan berzikir secara jahar (kuat) yang
dilakukan secara berjamaah sepertimana yang telah
dinukilkan daripada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu
Abbas. Apa yang jelas, penulis (Dr Asmadi Mohamed
Naim, bekas tenaga penggerak al-Arqam) telah cuba
untuk membela perbuatan yang diamalkan oleh jama’ah
yang pernah beliau anuti dan juga yang dilakukan oleh
ramai umat Islam di Malaysia ini yang mengkhatamkan
solat dengan berzikir dan berdo’a beramai-ramai.
Penulis telah dengan sengaja melakukan jenayah ilmiah,
dengan melupakan perbicaraan upacara berdo’a setiap
habis solat yang mengiringi zikir tersebut. Sedangkan
perbuatan tersebut dilakukan secara beriringan.
Tujuannya tidak lain melainkan untuk menyembunyikan
as-Sunnah yang sebenarnya. Di zaman siber ini, manusia
tidak dapat bersembunyi disebalik jubah atau serban,
celak atau janggut, mahupun ijazah Azhar atau Jordan,
kerana setiap rujukan yang dikemukakan boleh diperiksa
kesohihannya. Penulis beranggapan bahawa sekiranya
beliau dapat mendatangkan hadith Ibnu Abbas tersebut,
maka tiada yang akan mempersoalkan tentang upacara
berdo’a beramai-ramai dan menganggap bahawa perbuatan
tersebut juga sebahagian daripada as-Sunnah.

Ketika mengulas hadith Ibnu Abbas tersebut, yakni
"Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai
selesai daripada solat fardu sudah pun berlaku pada
zaman Nabi"; al-Imam asy-Syafie berkata: “Pendapatku
untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir
setelah selesai solat. Hendaklah mereka mengisrarkan
(memperlahankan) zikir kecuali jika imam mahu
dipelajari daripadanya, maka ketika itu dijaharkan
zikir. Sehinggalah apabila didapati telah dipelajari
daripadanya, maka sesudah itu hendaklah ia
israrkan.[Mausu’ at al-Imam asy-Syafie: al-Umm, jilid 1
ms353]

Adapun hadith Ibnu Abbas tersebut, Imam asy-Syafie
menjelaskan: “Aku berpendapat Baginda menjaharkan
zikir hanya untuk seketika untuk orang ramai
mempelajari daripada Baginda. Hal ini kerana
kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini
atau selainnya tidak menyebut selepas salam terdapat
tahlil dan takbir. (Maksud Imam asy-Syafie ialah apa
yang beliau tulis dalam al-Umm tersebut dalam bab
kalam al-Imam wajulusihi ba’dassalam yang mana beliau
telah mengemukakan beberapa hadith yang menunjukkan
Baginda tidak menjaharkan suara ketika zikir sesudah
solat.) Kadangkala riwayat menyebut Baginda berzikir
selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadangkala
disebut Baginda pergi tanpa zikir. Ummu Salamah pula
menyebut duduknya Baginda (sesudah solat) tetapi tidak
menyebut Baginda berzikir secara jahar. Aku
berpendapat Baginda tidak duduk melainkan untuk
berzikir secara sirr (perlahan).”

Maksud al-Imam asy-Syafie di sini ialah hadith riwayat
Ummu Salamah : “Adalah Rasulullah apabila telah
memberi salam, bangunlah para wanita dikala Nabi
selesai memberi salam itu. Sedang Nabi duduk sejenak
ditempatnya sebelum berdiri. Kami berfikir; Nabi
berbuat demikian untuk memberi kesempatan kepada
wanita keluar lebih dahulu agar tidak berdesakan
dengan para lelaki.” [Riwayat Ahmad dan Bukhari; al-
Muntaqa 1:473]

Selanjutnya al-Imam asy-Syafie berkata: “Jika
seseorang berkata: Seperti apa? (yakni apakah contoh
yang Baginda lakukan hanya seketika kemudian setelah
orang ramai mempelajarinya, Baginda tinggalkan) Aku
katakan: Sepertimana Baginda pernah bersolat di atas
mimbar, yang mana Baginda berdiri dan ruku’ di
atasnya, kemudian Baginda undur ke belakang untuk
sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, Baginda
tidak solat di atasnya (mimbar). Akan tetapi aku
berpendapat, Baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang
tidak melihat Baginda dapat mengetahui bagaimana
berdiri (di dalam solat), ruku’ dan bangun daripada
sujud. Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam
itu semua.”

Sambungnya lagi: “Aku suka sekiranya imam berzikir
nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar
yang seketika sehingga kaum wanita pergi. Hal ini
seperti yang dikatakan oleh Ummu Salamah. Kemudian
Imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum daripada
itu, atau duduk lebih lama daripada itu, tidak
mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai
memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan
sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku
sukai untuknya.”

Demikianlah huraian Imam asy-Syafie berhubung hadith
Ibnu Abbas tersebut. Apa yang jelas Imam asy-Syafie
yang dikenali sebagai ‘nasirus-sunnah’ tidak pernah
menyebutkan bahawa Nabi dan para sahabatnya berkekalan
berbuat sedemikian yakni menjaharkan zikir sesudah
solat sepertimana yang dilakukan oleh umat Islam yang
mengaku bermazhab Syafie di negara kita ini. Sekiranya
para sahabat yang terdahulu senantiasa menjaharkan
zikir sesudah solat, sudah tentulah telah diriwayatkan
dengan berbagai jalan dan berlaku ijma’ para sahabat
dalam hal yang sedemikian itu. Akan tetapi kita tidak
menjumpai perkara yang sedemikan rupa. Jelaslah sudah
bahawa perbuatan menjaharkan zikir beramai-ramai
menyanggahi apa yang telah di fatwakan oleh Imam
asy-Syafie sendiri dan apa yang diwarisi daripada
as-sunnah. Mereka memandang sunnah perbuatan yang
sedemikian itu sehingga mereka merasakan orang yang
meninggalkan perkara tersebut seakan-akan telah
meninggalkan sunnah ar-Rasul.

Selanjutnya al-Baihaqi dan selainnya berhujjah untuk
mengisrarkan zikir sesudah solat dengan hadith Abu
Musa al-Asya’ari ujarnya: “ Kami telah menyertai Nabi
di dalam satu perjalanan. Kami apabila turun ke suatu
lembah, kami bertahlil dan bertakbir sehingga bergema
suara kami. Maka Nabi bersabda: Wahai manusia,
berlemah-lembutlah kamu terhadap dirimu, kerana kamu
bukan menyeru kepada Dia yang pekak dan bukan pula
menyeru kepada Dia yang jauh, tetapi Dia yang
senantiasa dekat dengan dirimu”

Apa yang lebih jelek ialah mereka mengadakan suatu
bid’ah yang tidak dikenali dizaman Rasulullah dan para
sahabatnya iaitu berterus-terusan berdo’a
beramai-ramai sesudah solat. Manakah nas daripada
as-sunnah yang dapat menjadi dalil bagi perbuatan yang
sedemikian ini? Bukankah perbuatan berzikir dan berdoa
beramai-ramai sesudah solat ini dilakukan serentak?
Mengapakan perbincangan tentang perkara ini sengaja
dilupakan? Adakah kerana tidak ada satu nas pun
daripada as-sunnah yang boleh di kemukakan untuk
menjadi dalil, lantas merasa cukup untuk membawa nas
yang mengizinkan menjaharkan zikir dengan harapan
manusia akan terpedaya dan menganggap perbuatan ini
juga sebahagian daripada as-sunnah?

Al-Imam an-Nawawi berkata dalam hal ini: “Tidaklah ada
khilaf tentang kesunnatan adanya zikir sesudah solat,
bagi imam, bagi makmum, dan bagi yang bersolat
bersendirian. Masing-masing berzikir sendiri-sendiri.
Adat yang diadakan manusia, iaitu imam menentukan doa
buat solat subuh dan asar, tiada berasal sama sekali.
Berjabat tangan sesudah solat subuh dan asar adalah
suatu bid’ah” [al-Majmu’ III: 484,492]

Berkata al-Imam Ibnul Qayyim: “Imam berdoa sesudah
salam daripada solat sambil menghadap qiblat, atau
menghadap makmum tidak pernah dikerjakan Nabi, yang
senantiasa bertindak sebagai imam, dan tidak ada pula
riwayat yang menyuruh kita mengerjakan yang sedemikian
itu.” [Zadul Ma’ad I:93]

Berkata pula al-Ustaz Ali Mahfuz di dalam al-Ibda’:
“Nabi tidak pernah duduk sambil menghadap makmum untuk
membaca doa sesudah solat dengan suara yang keras
serta terus menerus melakukan yang sedemikian itu.
Lantaran itu, orang awam menyangka bahawa begitulah
seharusnya mengkhatamkan solat, padahal yang disukai
ialah berdoa secara sendiri-sendiri. Dan mengapa harus
kita mengeraskan suara waktu berdoa, padahal Allah
telah berfirman: Serulah Tuhanmu dengan tadarru’ dan
khufyah, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
yang melampaui batas.” [7:55] Tadarru’ ialah berlaku
khusyu’, tenang, dan merasa rendah diri berhadapan
dengan Allah. Khufyah ialah menyebut sesuatu dengan
menghaluskan suara.” [al Ibda’: 272-273]

Hadith Nabi yang memberi amaran kepada pengamal dan
pembuat bid’ah sangat banyak jumlahnya. Cukuplah
sekiranya kami mendatangkan satu athar untuk
membuktikan betapa prihatinnya para sahabat Nabi dalam
perkara yang berhubung dengan ibadah ini. Mereka
senantiasa mengingkari sesuatu ibadah yang tidak ada
contoh daripada Nabi walaupun dipandang baik oleh mata
manusia. Daripada ‘Amr bin Salamah (murid kepada
Abdullah bin Mas’ud) katanya: Suatu ketika kami duduk
di pintu Abdullah bin Mas’ud sebelum solat subuh.
Apabila beliau keluar, kami akan berjalan bersamanya
ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa
al-Asy’ari lalu bertanya: Apakah Abu Abdul Rahman
(gelaran Abdullah bin Mas’ud) telah keluar kepada
kamu? Kami jawab: Tidak. Maka beliau duduk bersama
kami sehingga Abdullah bin Mas’ud keluar. Apabila
beliau keluar, kami semua bangun kepadanya.

Lalu Abu Musa al-Asy’ari berkata: Wahai Abu Abdul
Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara
yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak melihat,
alhamdulillah, melainkan ianya baik. Beliau bertanya:
Apakah dia? Kata Abu Musa: Jika umur kamu panjang kamu
akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk
dalam lingkungan menunggu solat. Bagi setiap
lingkungan ada seorang lelaki (ketua), sementara di
tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila
lelaki itu berkata: Takbir seratus kali, merekapun
bertakbir. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali,
merekapun bertahlil. Apabila dia berkata: Tasbih
seratus kali, merekapun bertasbih. Tanya Abdullah bin
Mas’ud: Apa yang telah kamu katakan kepada mereka.
Jawabnya: Aku tidak berkata apa-apapun kerana menanti
pandangan dan perintahmu.”

Berkata Abdullah bin Mas’ud: Mengapa engkau tidak
menyuruh mereka mengira dosa-dosa mereka dan memberi
jaminan pahala mereka tidak akan hilang sedikitpun?
Lalu beliau berjalan dan kamipun berjalan bersama.
Sehinggalah beliau tiba di salah satu lingkungan
tersebut. Beliau berdiri lantas berkata: Apa yang aku
lihat kamu sedang lakukan ini? Jawab mereka: Wahai Abu
Abdul Rahman, batu yang dengannya kami menghitung
takbir, tahlil dan tasbih. Jawab beliau: Hitunglah
dosa-dosa kamu, aku jamin pahala kamu tidak hilang
sedikitpun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah
cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi
ramai, baju Baginda belum lagi buruk, bekas makanan
dan minuman Baginda belum lagi pecah. Demi jiwaku yang
berada ditanganNya, apakah kamu berada di atas agama
yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad,
atau kamu semua pembuka pintu kesesatan.

Jawab mereka: Demi Allah wahai Abu Abdul Rahman, kami
hanya bertujuan baik. Jawab beliau: Betapa ramai yang
bertujuan baik tetapi tidak menepatinya. Sesungguhnya
Rasulullah telah menceritakan kepada kami satu kaum
yang membaca al-Qur’an namun tidak lebih daripada
kerongkong mereka. Demi Allah, aku tidak tahu,
barangkali kebanyakan mereka daripada kalangan kamu.
Kemudian beliau pergi.

Berkata ‘Amr bin Salamah: Kami melihat kebanyakan puak
tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari
Nahrawan. [Riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya dengan
sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani di dalam
Silsilah al-Ahadith as-Sohihah V:11]

Lihatlah betapa Abdullah bin Mas’ud membantah
perbuatan ibadah berzikir beramai-ramai yang diamalkan
kumpulan tersebut walaupun mereka pada asalnya
memiliki niat dan pandangan yang baik. Pada zahirnya
tiada yang buruk pada perbuatan mereka. Namun kerana
ia merupakan ibadah yang tidak ada contoh daripada
Nabi, maka ia ditolak. Bahkan Abdullah bin Mas’ud
memberi amaran betapa perbuatan bid’ah yang kecil akan
mengheret seseorang kepada bid’ah yang lebih besar.

Akhir kata perhatikanlah apa yang telah disebut oleh
Syeikh Yusuf al-Qaradawi: “Hendaklah seorang Muslim
dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan
untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan
untuk keredaan Allah semata. Bahkan hendaklah ibadah
itu dilakukan dalam bentuk yang disyari’atkan Allah
dengan kaifiyyat (tatacara) yang diredaiNya. Janganlah
ibadah seorang Muslim itu berdasarkan apa yang direka
oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan.”

Selanjutnya beliau berkata: “Tidak boleh sesiapapun
daripada imam-imam kaum muslimin betapa tinggi
sekalipun darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh
mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya,
demikian juga bagi mana-mana institusi ilmu, atau
golongan daripada kaum muslimin samada kecil atau
besar, untuk mencipta ibadah yang baru dalam agama
Allah atau menokok-nambah ibadah yang ada dalam agama
atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman
Rasulullah. Hal ini memandangkan pembuat syari’at
hanyalah Allah manakala ar-Rasul adalah penyampainya,
sedangkan kita hanyalah pengikutnya. Segala kebaikan
itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan
Allah dan rasulNya). [Al-Ibadah fil-Islam: 165-167]

No comments: