Saturday, February 10, 2007

Konsep Tajassus Dalam Islam

Tafsiran Tajassus (Mengintip Mencari Kesalahan Orang Lain).

Firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”

Antara ulama tafsir yang memberikan tafsiran yang teliti tentang maksud al-Tajassus dalam ayat ini ialah al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya telah mengemukakann riwayat-riwayat yang memadai tentang larangan mengintai atau mengintip maksiat orang lain dengan tujuan untuk diambil tindakan. (Lihat: al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 16/333-334, Beirut : Dar al-Fikr t.t.)

Bahkan Syaikh al-Mufassirin, Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) sebelum itu telah menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini. Antaranya: wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya. Kata Ibn ‘Abbas: “ALLAH melarang orang mukmin daripada mencari keburukan-keburukan mukmin yang lain. Kata Mujahid: “Ambillah apa yang nyata, dan tinggalkan apa yang ALLAH tutup”. Kata Qatadah: Tahukah kamu apa itu tajassus? Iaitu kamu mencari-cari keaiban saudaramu untuk mengetahui rahsianya. Kata Ibn Zaid: “Tajassus itu kamu berkata: sehingga aku dapat lihat kesalahan itu, aku bertanya mengenainya untuk mengetahui adakah benar atau tidak”.( al-Tabari, Tafsir al-Tabari, tahzib: Dr Salah al-Khalidi, 7/40-41 Damsyik: Dar al-Qalam (1997)

Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Tajassus termasuk dalam dosa-dosa besar, iaitu mencari keaiban yang tersembunyi dan rahsia”.( Al-Zuhaili, Al-Tafsir al-Munir, 255, 263/26, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir 1991)

Sebagai penulis tafsir moden, Sayyid Qutb menyentuh ayat ini dengan begitu mendekati kehidupan muslimin di zaman kini. Antaranya beliau menyebut: “Namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan perlaksanaannya. Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun. Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi –atas apa alasan sekali pun- untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai. Hukum manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain. Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari mereka….demikianlah nas ini (larangan tajassus) menempatkan dirinya dalam sistem perlaksanaan dalam masyarakat islami. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama”.(rujukan: Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al-Syuruq 1992)

Dalam hadith lain daripada Mu’awiyah: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka. Kata Abu Darda: Itu adalah perkataan yang Muawiyah dengar daripada Rasulullah, ALLAH memberikan manfaat kepadanya dengan perkataan tersebut. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)

Jika Dururat Mendesak Tajassus

Timbul persoalan pada sesetengah pihak, terutamanya pasukan keselamatan; jika intipan dilarang sama sekali, ia boleh menimbulkan ancaman yang membahayakan negara atau keselamatan awam. Ini seperti rancangan pengedaran, senjata api dan seumpamanya.

Di sini perlu dijelaskan, tajassus adalah diharamkan untuk kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan. Namun jika terbukti di sana ada keburukan atau kemerbahayaan yang lebih besar yang mengancam keselamatan awam, maka ia diizinkan seperti mana diizinkan mengumpat untuk suatu tuntutan yang mendesak. Ini seperti firman ALLAH dalam Surah al-Nisa 148: (maksudnya) Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan.

Dalam keadaan terdesak, maka apa yang dijelaskan oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) amat bertepatan. Kata beliau: “Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan kerana ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemunkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”.( Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1405H)

Secara mudah saya bahagikan hal ini kepada dua bahagian:

Pertama: Maksiat atau kemungkaran peribadi yang membabitkan diri seorang insan dengan Tuhannya sahaja tanpa mengancam keselamatan awam. Maka maksiat seperti ini tidak boleh dilakukan tajassus. Ini berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan tadi.

Kedua: Maksiat atau kemungkaran yang mengancam keselamatan awam. Maksiat jenis boleh diintip disebabkan kemerbahayaan membiarkannya tanpa kawalan adalah lebih dahsyat dari keburukan tajassus.

Adapun pembahagian yang dibuat oleh al-Imam al-Mawardi dalam Al-Ahkam al-Sultaniyyah yang dikutip tanpa ulasan yang mendalam oleh beberapa penulisan segelintir ulama dahulu dan sekarang adalah pembahagian yang menarik dan mempunyai unsur persamaan dengan yang saya sebutkan. Namun sebutan zina sebagai contoh dalam pembahagian pertama yang membolehkan tajassus tidak mempunyai alasan atau sandaran yang kukuh. Bahkan bercanggah dengan kes-kes aduan zina pada zaman Nabi s.a.w yang mana baginda berusaha menolak aduan dan mengelakkan kes diproses.

No comments: