Showing posts with label manhaj. Show all posts
Showing posts with label manhaj. Show all posts

Sunday, April 06, 2008

Antara Kebenaran & Penipuan



Tertipu: Kokka tidak wujud!

KUALA LUMPUR: Sepuluh tahun, RM8.1 juta. Secara purata, itulah nilai wang penduduk negara ini yang ‘lebur’ gara-gara memiliki kayu kokka — kayu yang selayaknya diubah nama kepada ‘kayu kokak’ (tidak berguna) kerana satu kajian terperinci mendapati kayu kokka sebenarnya tidak wujud dan sengaja diperkenalkan semata-mata untuk tujuan perniagaan.


Anggaran jumlah berkenaan diperoleh hasil maklumat daripada sumber yang rapat serta pernah menjalin urus niaga dengan beberapa ‘tauke besar’ atau pembekal utama kayu itu.

Begitupun, jumlah itu dipercayai lebih besar kerana ia tidak termasuk jumlah jualan diperoleh peniaga kayu kokka di seluruh negara. Ia juga tidak termasuk jumlah pembelian terus di luar negara, terutama di Makkah.

Peniaga kayu kokka yang mahu dikenali sebagai Abdul Jasman Ahmad, 38, berkata berdasarkan pengalamannya, kayu kokka mula dibawa masuk ke negara ini menerusi seorang warga Turki pada 1998.

Katanya, rakannya terpengaruh dengan keistimewaan yang diuar-uarkan mengenai kayu itu sehingga sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.

“Ketika itu nilainya sangat mahal. Sebagai contoh, satu tasbih yang mempunyai 33 biji kayu boleh dijual dengan harga sehingga RM1,800, manakala tasbih 100 biji kayu kokka boleh dijual sehingga RM2,500. Jualan memang menggalakkan.

“Rakan saya memperoleh untung sehingga 300 peratus kerana mengambilnya dengan harga lebih murah,” katanya.

Abdul Jasman berkata, pada 2003, sambutan terhadap kayu kokka sangat luar biasa sehingga muncul seorang lagi pembekal dari Sudan menawarkan kayu kokka dalam kuantiti lebih besar.

Katanya, buah, tasbih, cincin, gelang, minyak dan tongkat daripada kayu kokka laris jualannya.

“Rakan saya tidak mampu mengambil stok dalam jumlah banyak kerana harga ditawarkan terlalu tinggi. Ketika itu juga pelajar Malaysia yang menuntut di Timur Tengah turut membawa pulang kayu berkenaan untuk dijual, menyebabkan saya terpaksa mengehadkan penjualan.

“Begitupun, dia tetap membekalkan kayu itu kepada peniaga di seluruh Malaysia dan memperoleh untung besar. Jika diikutkan, jualan kayu itu sehingga hari ini mencecah RM1 juta,” katanya yang mengakui kemunculan sebuah buku terbitan sebuah syarikat mengenai keistimewaan dan khasiat kayu kokka melariskan lagi kayu itu.

Dalam pada itu, satu lagi pembekal yang lebih besar modalnya dianggarkan membuat jualan mencecah jutaan ringgit sehingga hari ini.

Seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Asfar Kasim, 40, berkata pembekal itu kini bergelar usahawan dan bertambah mewah apabila menjadi pembekal kayu kokka di seluruh Malaysia.

“Dia (pembekal itu) memperoleh bekalan daripada pembekal warga Turki dan Sudan. Dia membeli dalam jumlah besar. Saya diberitahu, untuk tasbih saja, dari 1998 hingga hari ini sudah 100 ribu berjaya dijualnya.

“Secara purata, setiap tasbih dijual dengan harga RM200 dan apabila dijumlahkan, jualan produk itu mencecah RM2 juta,” katanya.

Menurut Asfar, itu belum lagi termasuk buah, cincin dan gelang yang turut mendapat sambutan hangat daripada pembeli.

Katanya, buah kayu kokka memang banyak dijual kerana sekurang-kurangnya 250,000 berjaya dijual dengan harga kira-kira RM100 sebiji sehingga jumlah jualan mencecah RM2.5 juta dalam tempoh sama.

“Untuk gelang pula, dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 100,000 berjaya dijual. Harga ditawarkan sekitar RM100 dan ia menyaksikan jualan sehingga RM1 juta.

“Cincin juga mencatat jualan mencecah 200,000 untuk tempoh 10 tahun. Setiap cincin dijual dengan harga sekurang-kurangnya RM80, sekali gus menyaksikan jualan mencecah RM1.6 juta,” katanya.

Asfar berkata, pembekal terbabit mencatat jumlah jualan mencecah RM7.1 juta dan ia belum ditambah dengan produk sampingan lain seperti minyak dan tongkat.

Kepalsuan kayu kokka dibongkar seorang Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa.

Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.

Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok Palma.

Abdul Manan berkata, penyelidikan dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu mengesan asal usul kayu kokka dan mengesan pokok yang dikatakan menghasilkan kayu kokka.

“Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan yang menggunakan nama kokka di dunia. Jika ada sekalipun, nama panggilan di Jepun, ‘kokua’ iaitu sejenis pokok berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk sejenis upacara keagamaan dipanggil Shinto.

“Ada juga sejenis tumbuhan palma yang sebutannya hampir dengan ‘kokka’, iaitu sebutan bagi orang Turki, ‘kuka’ daripada asal perkataan ‘Coco De Mer’ atau ‘Melanococa’ digunakan untuk menghasilkan minyak,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma ‘Attalea Funifera’.

Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan.

“Penyelidikan kami mendapati pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang seluas antara 20 hingga 2,000 hektar.

“Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan Malaysia,” katanya.

Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan.

“Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada keistimewaan dan khasiat tertentu.

“Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan bahtera Nabi Nuh as seperti diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok berkenaan tidak sesuai dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan di atas air,” katanya.

Abdul Manan berkata, pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’ yang diperoleh di pergunungan Ararat, Turki.

Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian dibuat terhadap satu fosil bongkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis yang mendakwa dirinya keturunan ke-1750 Nabi Nuh.

“Kandungan kimia dalam bongkah kayu berkenaan ialah Alpha Cellulose, Hemi Cellulose dan Holo Cellulose iaitu asid asal Alpinene.

“Kandungan itu bersesuaian dengan hasil kajian dilakukan Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah pada 10 Oktober 2007 di Mesir yang menemui hasil sama dengan spesies ‘Pine Cypress’.

“Daripada 19 jenis pokok Pine dikaji, spesies ‘Pine Cypress’ mengandungi kandungan kimia paling tepat sama dengan kandungan kimia serpihan lama bongkah kayu itu yang dikatakan serpihan bahtera Nabi Nuh.

“Malah, hasil kajian itu juga sama dengan hasil kajian diperoleh kumpulan pengkaji Inggeris dari 1884 hingga 1954,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kajian dilakukan Ronald Eldon Wyat pada 1954 menyatakan pokok ‘Pine Cypress’ tumbuh di pergunungan Chaldea hingga pergunungan tengah Armenia di sempadan Rusia hingga ke pergunungan Ararat, tempat bahtera Nabi Nuh dikatakan tersadai mengukuhkan lagi dakwaan itu.

“Hasil penyelidikan Ronald memperkukuhkan bukti pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera agung baginda ialah ‘Pine Cypress’, bukan kokka,” katanya yang akan menerbitkan buku khusus untuk memperjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap kayu kokka.

Abdul Manan berkata, fosil yang ditemui juga diuji Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan ia disahkan spesies Pine Cypress yang masih aktif kandungan kimianya.

Katanya, dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak tertipu dan terpedaya dengan keistimewaan dan kelebihan yang diuar-uarkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Info

> Kajian mendapati nama kokka tidak pernah wujud

> Apa yang didakwa kayu kokka sebenarnya spesies pokok Palma

> Tiada bukti mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka ada keistimewaan tertentu

> Mengaitkan kokka sebagai bahan membuat bahtera Nabi Nuh as sangat diragui kerana pokok berkenaan tidak mampu bertahan di atas air

> Pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’

Petikan: harianmetro.com.my

Awasi unsur syirik jika guna kayu koka

Dato' Dr Haron Din

Thu | Jun 14, 07 | 1:09:13 pm MYT

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka.

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,

Damansara, Selangor

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam bersabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen yang pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian."

Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."

Wallahua'lam. - lanh

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=8137&Itemid=28&limit=1&limitstart=1

P/S - Sesungguhnya kebenaran itu senantiasa akan menjelmakan dirinya walau ia ditohmah dengan kekalutan dan pembohongan . Wallahualam


HarakahDaily.Net

P/S - Sesungguhnya kebenaran itu senantiasa akan menjelmakan dirinya walau ia ditohmah dengan kekalutan dan pembohongan . Wallahualam


Friday, March 28, 2008

Tuan Guru Nik Aziz - Maulid Nabi Adalah Dari Kristian




Istiadat menyambut maulud baru timbul lepas pada 300 tahun atau 400 tahun lepas Nabi kita wafat, zaman Nabi tidak ada Maulud, zaman sahabat tidak ada maulud, zaman Tabiin tidak ada Maulud, kita buat Maulid ni pertamanya kerana kita nak bertanding dengan orang kristian

Kristian setiap 25 Disember mereka mengadakan Cristmas sambut hari lahir Nabi Isa. Betulke ? ada manfaat buat maulud, atau ada benda lain yang lebih manfaat.......

Monday, March 17, 2008

‘MAULIDURRASUL DENGAN DALIL-DALIL YANG NYATA’

SANGGAHAN

TERHADAP RISALAH PELAJAR PONDOK YANG BERTAJUK

Disediakan oleh: Ibnu Umar, Kota Bharu, Kelantan.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Segala puja dan puji bagi Allah Tuhan yang mengutus Nabi Muhammad untuk rahmat seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi yang terakhir Muhammad s.a.w. dan ke atas keluarganya serta para sahabatnya.

Merujuk kepada risalah pelajar pondok Pasir Tumbuh yang bertajuk ‘Maulidurrasul Dengan Dalil-Dalil Yang Nyata', maka kami kemukakan risalah ini untuk memberi penjelasan kepada masyarakat, bahawa 'SEBENARNYA TIDAK ADA SATU PUN DALIL YANG NYATA SAMADA AL-QURAN, AS-SUNNAH, IJMA' MAUPUN QlAS, BERKENAAN DENGAN AMALAN MERAYAKAN HARl KELAHIRAN NABI MUHAMMAD S.A.W.'

Dalil-dalil yang dikemukakan oleh pelajar pondok itu bukannya dalil ulamak Ahlissunnah, tetapi dalilnya sendiri semata-mata. Ini kerana tidak ada seorang pun di kalangan ulamak Ahlissunnah Waljamaah yang dahulu (salaf), bermula dengan para sahabat Rasulullah s.a.w., kemudian diikuti oleh para ulamak di kalangan tabien yang mengadakan sambutan maulidurrasul. Para Imam Mazhab Empat, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal tidak pernah mengadakan sambutan maulidurrasul. Demikianlah juga keadaannya, para Imam Hadis yang terkenal seperti Bukhari, Muslim, Tarmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, Nasai dan lain-lain tidak pernah kedengaran di telinga kita mereka ini telah mengadakan sambutan maulidurrasul sebagaimana yang diadakan sekarang.

Ulamak dan Para Imam yang tersebut di atas adalah sudah diterima dan disepakati oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia sebagai muktabar, pandangan dan mazhab mereka dipegang dan diamal oleh umat Islam sehingga kini. Jadi, kenapa kita yang mengaku bermazhab Syafie tidak mahu mengikut dan beramal dengan amalan Syafie dalam hal ini? Mungkinkah kita hanya mengaku bermazhab Syafie tetapi pegangannya tidak kita ikuti! Agaknya kitab karangan Imam Syafie yang terkenal iaitu al-Umm pun tidak baca.

Oleh itu, jangan marah kalau kita katakan ' Hanya Orang-Orang Sesat Sahaja Yang Suka Melakukan Amalan Bidaah'.

CUBA KITA LIHAT SATU PERSATU

HUJJAH DAN DALIL YANG DIKEMUKAKAN OLEH PELAJAR PONDOK PASIR TUMBUH ITU.

1. Firman Allah yang bermaksud: “Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikut cahaya (al-Quran) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.” (Surah al-A’raf, Ayat:157)

Kita jawab:- Kalimah 'membesarkan Nabi' dalam ayat ini tidak ada kaitan dengan sambutan maulid yang diadakan. Tidak ada seorang pun Ulamak Salaf dan para mufassir yang muktabar mentafsirkan ayat ini dengan mengadakan maulid. Dan setakat ini kita belum pernah terbaca dalam mana-mana kitab tafsir yang menghubungkan ayat ini dengan maulidurrasul. Mungkin pelajar pondok yang berkenaan sahajalah yang mentafsir begitu.

2. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya.” (al-Haj : 32)

Kita jawab:- Ada sedikit perbedaan antara terjemahan yang dibawa oleh pelajar pondok dengan terjemahan yang terdapat di dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran yang ditulis oleh Shaikh Abdullah bin Muhammad Basmih, cetakan keenam 1983, yang berbunyi :

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

Di sini kita tidak hendak bincang tentang perbedaan terjemahan itu, yang perlu dilihat apakah maksud 'Syiar-Syiar Agama Allah.’ Cuba kita lihat nota kaki (hasyiah) yang terdapat di dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman itu sendiri yang berbunyi:

Syiar artinya : Lambang. Syiar agama Allah atau Syiar Islam ialah: Amal ibadat yang zahir dan benda-benda yang berhubung dengan ugama, yang melambangkan ugama Allah. Misalnya di dalam ibadat haji ialah tawaf, saie, berwuquf di Arafah dan sebagainya. Demikian juga binatang ternakan yang dijadikan qurban atau yang dijadikan hadyah kepada faqir miskin yang ada di Mekah.

Di dalam huraian yang dibawa oleh penulis tafsir tersebut, kita tidak dapati syiar Agama Allah dimaksudkan dengan maulid, bahkan dimaksudkan dengan amalan ibadat haji itu sendiri iaitu Tawaf, Saie dan Wuquf. Untuk keterangan lebih lanjut sila rujuk tafsir al-Azhar yang di tulis oleh Prof. Dr. Hamka. Saya mencadangkan buku ini kerana ianya boleh dibaca oleh semua orang samada yang berkemampuan dalam bahasa Arab atau tidak. Kalau anda berkemampuan dalam bahasa Arab, masih banyak lagi buku-buku tafsir yang boleh anda rujuk contohnya, Tafsir Ibnu Kasir, Qurtubi, al-Munir, al-Asas fi at-Tafsir tulisan Said Hawa dan lain-lain, kesemuanya tidak mentafsir 'SYIAR-SYIAR ALLAH DENGAN MENGADAKAN MAULIDURRASUL.’ Hanya pelajar pondok berkenaan sahaja yang mentafsir begitu.

3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sohihnya, begitu juga Imam Ismail dan Abdul Razak :

“Bahawa diringankan azab Abi Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan Thuaibah iaitu hamba yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w.”

Kita jawab:- Dakwaan penulis pondok berkenaan bahawa hadis ini terdapat dalam Sohih Bukhari itu adalah palsu semata-mata dan satu fitnah terhadap Imam Bukhari. Begitu juga ianya tidak terdapat di dalam riwayat Ismaieli dan Abdul Razak. Cuma Suhaifi ada mengemukakan cerita ini tanpa menyebut sanad. Sila lihat Umdatul Qari, karangan Badruddin Aini, juz. 20, halaman 95. Fathulbari, juzu’ 19, halaman 174 - 175. Karangan al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani. Raudhul Unuf, juzu’ 5, halaman 191. Karangan as-Suhaili.

Yang ada dalam Sohih Bukhari hanyalah kata-kata Urwah berkenaan dengan Thuaibah pernah menyusukan Nabi s.a.w. setelah dimerdekakan oleh Abu Lahab. Di sana ada satu riwayat lain yang mengatakan Thuaibah tidak dimerdekakan pada hari kelahiran Nabi s.a.w. bahkan ianya dimerdekakan selepas hijrah Nabi s.a.w. ( Ibid, juzu’ 5, halaman 191). Dan juga tidak terdapat kata-kata “Diringankan azab Abu Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan Thuaibah” di dalam kata-kata Urwah itu. Untuk keterangan lanjut, sila lihat Sohih Bukhari, Kitabun Nikah, Bab Wa Ummahatukumullati Ardha'nakum.

Apa yang menghairankan kita, tidak ada seorang pun di kalangan pensyarah hadis ketika menghuraikan kata-kata Urwah ini membuat kesimpulan bahawa dengan menyambut maulidurrasul, seseorang muslim akan diringankan azabnya di dalam neraka sebagaimana yang berlaku terhadap Abu Lahab. Jelaslah idea kelebihan menyambut maulidurrasul berasaskan kata-kata Urwah itu tidak berpandukan pendapat ulamak muktabar.

Berdasarkan kenyataan di atas, dapatlah kita ringkaskan seperti berikut:

1. Bahawa kata-kata tersebut adalah semata-mata kala-kata Urwah. Bukannya hadis Nabi. Lagi pun Urwah meriwayatkannya secara Mursal. Beliau tidak menceritakan daripada siapa beliau mengambil kata-kata ini. Riwayat yang mursal tidak boleh dijadikan hujjah syari'yyah.

II. Peristiwa diringankan azab Abu Lahab pada hari Isnin ini hanya mimpi Abbas sewaktu belum memeluk Islam. Kenyataan ini juga tidak terdapat dalam Bukhari. Ulamak sudah sepakat (ijma’) bahawa mimpi seseorang apalagi seorang kafir tidak boleh dijadikan hujjah syar'iyyah, biar bagaimana tinggi keimanan, keilmuan dan ketaqwaannya. Kecuali mimpi para Nabi, kerana mimpi para Nabi adalah wahyu dan wahyu adalah benar. Mengikut pendapat ulamak salaf dan khalaf, bahawasanya orang kafir tidak diberi pahala di atas amalan baik yang dikerjakannya apabila mati di dalam kekufurannya itu. Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala yang bermaksud:

" Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan." (al-Furqaan, ayat: 23)

4. Diriwayatkan daripada Qatadah al-Ansori, Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari Isnin, berkata Nabi s.a.w: “Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku.”

Kita jawab :- Hadis ini tiada kaitan langsung dengan 'Maulid' bahkan ianya berkaitan dengan berpuasa sunat hari Isnin. Inilah sikap kita, sudah terbalik, mana amalan yang terdapat dalam hadis jarang kita amalkan, iaitu seperti berpuasa sunat hari Isnin tetapi amalan yang tiada nas seperti 'Maulid' itu kita amalkan dan kita pertahankannya mati-matian. Sudah terbalik nampaknya seperti kata orang “Burung punai kena kail, ikan sepat kena getah pemikat.” “Hujan ke langit, Air sungai deras ke hulu.”

5. Orang yang pertama merayakan maulid adalah sultan yang dikatakan seorang raja yang adil, warak, zuhud dan alim – Sultan Ibnu Malik al-Muzaffar – sehinggakan ulamak-ulamak yang muktabar didakwa telah menghadiri majlis maulidnya. Malah ulamak besar Syeikh Abu Khattab Ibnu Dihyah telah mengarang kitab Al-Tanwir yang membicarakan amalan maulid.

Kita jawab:-

Raja ini (wafat 630 H) bukanlah seperti yang didakwa itu bahkan dia seorang yang pemboros, pembazir harta rakyat dan zalim. Dialah raja yang pertama mengada-adakan (bid’ah) perayaan maulid nabi sehingga terbantut segala kegiatan ekonomi masyarakat, kerana perayaan ini dilakukan secara besar-besaran bermula dari bulan Safar lagi. Sambutan ini disertakan dengan nyanyian, permainan, dan berbagai-bagai bentuk hiburan. Lihat Mu’jamul Buldan jilid 1 ms 87 karangan Yaaqut al-Hamawi, Al-Qaulul Muktamad karangan Imam Ahmad b Muhammad Misri al-Maliki, Wafayatul A’yan karangan Ibnu Khallikan dan Duwalul Islam karangan Imam Zahabi.

Kalau Suyuti memuji raja ini bagaimana pula dengan ulamak-ulamak lain terutamanya Yaqut yang hidup sezaman dengan Raja Muzaffar itu sendiri. Siapakah agaknya lebih tahu tentang raja itu; Yaqut atau Suyuti?

Berkenaan Syeikh Abu Khattab Ibnu Dihyah – Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menulis di dalam Lisanul Mizan jilid 4 ms 296. Dia seorang yang suka memburuk-burukkan imam-imam dan ulamak-ulamak salaf (bermulut hodoh), dungu, sangat sombong, dangkal dan alpa dalam hal-hal agama. Hafiz Ibnu Hajar menulis lagi tentangnya; Ibnu Najjar berkata:

“Saya melihat ulamak bersepakat tentang dusta dan kelemahannya.” (Ibid ms 295)

Besar sungguh ulamak ini sehingga semua ulamak sepakat mengatakan dia pendusta dan lemah! Ulamak-ulamak seperti inilah yang sentiasa bersedia menjadi pengampu dan pembodek raja yang zalim!!

6 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah: Bersabda Rasulullah: “Tidak berhimpun satu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah, lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat di sisinya.” (Sohih Muslim).

Kita jawab :- Hadis ini langsung tidak menyentuh soal Maulidurrasul, bahkan hadis ini menyentuh soal membaca al-Quran. Ini telah disepakati bahawa ianya sabit dan tidak ada apa yang hendak dibantah lagi. Yang kita bantah laiah perayaan menyambut maulidurrasul bukannya membaca al-Quran.

7. Bersabda Nabi s.a.w: “Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat.”

Kita jawab :- Hadis inipun tidak ada kena mengena dengan maulidurrasul, dan tidak ada kena mengena dengan berdiri sewaktu berselawat.

8. Firman Allah Taala: “Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada kisah-kisah Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud : 120).

Kita jawab:- Ayat ini juga tiada kaitan langsung dengan maulidurrasul yang sedang kita bicarakan. Saya pun tidak faham kenapa Pelajar Pondok berkenaan itu membawa ayat ini dalam memberi hujjah tentang maulid. Nampaknya beliau tidak kena memasang sekeru pada nat. Kalau begini jadinya maka akan rusaklah ugama kita. Nauuzubilaah min zaalik..

9. Meriwayatkan Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda: “Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam.” Berkata al-lraqi hadis ini sahih sanadnya. Meriwayat Tirmizi: “Bahawa sahabat-sahabat Nabi tidak bersurai mereka daripada majlis bertilawah al-Quran dan berzikir, melainkan selepas menikmati jamuan.”

Kita jawab:- Hadis-Hadis ini juga tidak ada kena mengena dengan merayakan maulidurrasul. Kita nampak pelajar pondok berkenaan seolah-olah ingin menyatakan bahawa apa salahnya kita merayakan maulidurrasul kerana maulid itu pengisiannya ialah selawat, berzanji, baca rawi, berzikir, baca al-Quran dan makan minum. Semua perbuatan tersebut adalah ibadah dan boleh pahala. Jadi manakah yang dikatakan bidaah itu. Adakah baca al-Quran, berzikir, berselawat itu dikatakan bidaah? Mungkin pelajar pondok tersebut menjawab tidak bidaah sekali-kali! Bahkan mendapat pahala pula.

Kalau begitu keadaannya cuba pula jawab soalan ini iaitu: Kenapa kita menghukum Loteri Kebajikan Masyarakat itu sebagai judi? Tiket yang kita beli dengan harga satu ringgit itu adalah kita anggap sedekah semata-mata, kertas yang bertulis nombor itu adalah semata-mata kertas, tidak haram menyentuh kertas itu. Dan duit seratus ribu yang kita dapat itu ialah hadiah daripada Kebajikan Masyarakat semata-mata. Mana judinya, semua nampak halal belaka. Begitulah halnya maulid, kalau kila lihat pengisiannya memanglah baik-baik belaka. Sebab itulah ramai orang menjadi keliru. Yang kita persoal di sini ialah menyambut maulid itu sendiri, adakah ianya pernah dilakukan oleh sahabat, tabien dan para ulamak salafussoleh? Jawabnya tidak pernah.

Jadi, kenapa pula kita memandai-mandai menokok tambah ibadat yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w, sahabat, tabien dan ulamak yang terdahulu?

Dl ANTARA SEBAB MENGAPAKAH MASYARAKAT

KITA BEGITU GHAIRAH MENGADAKAN

SAMBUTAN MAULIDURRASUL

Di antara faktor yang menyebabkan masyarakat kita begitu ghairah mengadakan sambutan maulidurrasul, sehingga ada di kalangan mereka sanggup menyembelih beberapa ekor lembu dengan harapan akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. Hal ini disebabkan oleh tersebarnya hadis-hadis dan kata-kata sahabat yang palsu (maudhu’) berkenaan dengan kelebihan menyambut perayaan maulidurrasul.

Apa yang mendukacitakan kita, bukan sahaja pelajar-pelajar pondok yang terlibat dalam penyebaran perkara bid'ah ini bahkan Tok Guru pondok juga turut terlibat dalam penyebarannya. Sebagai contoh Haji Ghazali guru Pondok Tunjung mengemukakan beberapa kata-kata palsu yang disandarkan kepada Nabi s.a.w., Khulafa'ur Rasyidin dan Imam Syafie di dalam buku kecilnya yang bertajuk 'Hukum mengerjakan maulud dalam Islam'. Kata-kata itu ialah:

1) Kata Saidina Abu Bakar r.a. yang bermaksud:

“Barang siapa membelanja ia satu dirham pada perbuatan Maulud Nabi s.a.w. nescaya adalah ia menjadi taulan dalam syurga.”

2) Kata Saidina Umar r.a. yang bermaksud:

“Barang siapa membesar ia akan maulud Nabi s.a.w. maka sesungguhnya telah menghidup ia akan Islam.”

3) Kata Saidina Othman r.a. yang bermaksud:

“Barang siapa yang membelanja akan ia satu dirham atas membaca kisah Maulud Nabi s.a.w. maka seolah-olah hadir ia perang Badar dan Hunain.”

4) Kata Saidina Ali r.a. yang bermaksud:

“Barang siapa membesar ia akan Maulud Nabi s.a.w. nescaya tidak keluar ia daripada dunia melainkan dengan iman.”

5) Kata Imam Syafie r.a. yang bermaksud :

“Barang siapa menghimpun ia akan saudaranya yang muslimin kerana memperbuatkan Maulud Nabi s.a.w. dan menyediakan bagi mereka itu makanan dan minuman dan memperbuat ia akan kebajikan nescaya membangkit oleh Allah Taala akan dia pada hari kiamat berserta siddiqin dan syuhadat dan adalah ia dalam syurga Jannatunnaim.”

Sebenarnya di dalam Madarijussu'ud (rujukan utama pengamal maulid) terdapat sabda Nabi s.a.w. sebelum kata-kata Khulafa'ur Rasyidin yang dikemukakan oleh Hj. Ghazali. Sabdaan itu bermaksud :

"Siapa yang membesarkan maulidku aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat nanti dan siapa yang membelanjakan satu dirham kerana maulidku maka seolah-olah dia telah membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud di jalan Allah.”

Mengapa Hj. Ghazali tidak mengemukakan sabdaan ini di dalam buku kecilnya itu? Adakah dia merasakan berdusta di atas nama Nabi s.a.w. merupakan satu dosa besar yang dijanjikan tempat di dalam neraka tetapi tidak mengapa kalau di atas nama sahabat-sahabat Nabi s.a.w. terutamanya Khulafa'ur Rasyidin? Kalau begitulah, kaedah manakah yang digunakan oleh beliau?

Sebenarnya kesemua kata-kata tersebut adalah palsu semata-mata. Kalau benar kata-kata tersebut keluar daripada mulut sahabat, kenapa para sahabat tidak pernah membuat perayaan menyambut maulidurrasul. Sedangkan para sahabatlah orang yang paling dekat dan paling kuat mencintai Nabi s.a.w.. Kalau begitu keadaannya seolah-olah para sahabat itu hanya bercakap kosong sahaja, kerana mereka hanya menyuruh orang lain membuat perayaan maulid sedangkan mereka sendiri tidak membuatnya. Kalau begitu keadaannya maka jadilah sahabat Nabi s.a.w. termasuk di dalam firman Allah yang bermaksud :

“Patutkah kamu menyuruh orang membuat kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal.” (Surah al-Baqarah. ayat: 44)

Na'uzubillah....... Sekali-kali para sahabat tidak tergolong dalam ayat ini.

Sebenarnya pencinta-pencinta maulid ini, kesemuanya mengakui bahawa maulid ini adalah bid'ah, tetapi bid'ah hasanah. Kata mereka, walaupun tidak ada nas-nas al-Quran, al-Hadis atau Ijmak tetapi ada qias kata mereka. Kalau begitu apa perlunya kepada qias kalau sudah ada kata-kata sahabat seperti tersebut di atas tadi. Bukankah kata-kata sahabat tersebut (mengikut dakwaan mereka) sudah merupakan nas yang terang dan jelas. Tetapi bagaimana pula tokoh-tokoh ulamak Islam seperti Imam Suyuthi (rujukan utama pengamal maulid) pula menafikan adanya nas seperti ini, dan beliau cuba mensabitkan maulid dengan jalan qias! Bukankah ini satu pertentangan yang nyata? Untuk mensabitkan maulud dengan jalan qias mereka mengemukakan sebuah hadis sebagai rujukan qiasnya (maqis alaih).

Hadis itu bermaksud:

Bahawasanya Nabi s.a.w. datang ke Madinah maka baginda dapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram. Maka Nabi bertanya kepada orang Yahudi itu, “Kerana apa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka, “Itu adalah hari peringatan. Pada hari ini dikaramkan Fir’aun dan pada hari ini juga Musa dapat kelepasan. Dan kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan.” Maka Nabi menjawab, “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding daripada kamu.” Tetapi qias yang seperti ini dinamakan qias ma'al fariq (qias dengan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan apa yang didakwakan) kerana bukankah sebagai menyatakan kesyukuran Nabi s.a.w. berpuasa pada hari 10 Muharram itu sepertimana orang-orang Yahudi berpuasa tetapi adakah kita berpuasa untuk merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. itu dan kalau kita berpuasa pada hari itu apa ertinya berpuasa pada hari perayaan? Dan orang-orang Yahudi bersyukur kerana kelepasan Nabi Musa daripada bencana Fir’aun bukannya kerana menyambut hari kelahiran Nabi Musa a.s.

Daripada perbincangan yang lalu saudara/ri pembaca dapat melihat bagaimana untuk menegakkan perkara bid'ah itu, penyebar-penyebarnya terpaksa berdusta dan mengemukakan dalil-dalil serta hujah-hujah yang terdiri daripada nas-nas palsu bermula daripada pelajar pondok (yang berkenaan) sehinggalah kepada Tok Guru pondok (berkenaan).

Sebagai mengakhiri risalah ini kami berseru kepada muslimin muslimat supaya menjauhi amalan-amalan bid'ah seperti maulid ini kerana ia jelas tidak bersumberkan nas-nas yang terang dalam syariat dan marilah sama-sama kita mengikut Al-Quran, Sunnah Nabi dan juga Sunnah Para Sahabat sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya sesiapa yang akan hidup daripada kamu selepasku, dia pasti akan melihat banyak perselisihan. Oleh itu, mestilah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaurrasyidin yang terpimpin. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan geraham-geraham kamu. Hindarilah perkara-perkara baru (dalam urusan ugama) kerana semua perkara baru (dalam ugama) itu bid'ah dan semua bid'ah itu adalah sesat."

(Riwayat Tirmizi j.2 ms.92, Abu Daud j.2 ms.279 dan lain-lain)

Demikianlah sanggahan kami terhadap risalah pelajar pondok tersebut. Insya-Allah lain hari, di lain waktu kami akan kemukakan pula hujjah-hujjah para Ulamak Mu'tabar yang menentang amalan sambutan maulidurrasul ini. Sekian, wabillahittaufiq wal hidayah Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saturday, January 26, 2008

Tazkirah: 'Perlukah saya buat kenduri arwah?'

Azamin Amin


Fri | Jan 25, 08 | 2:51:32 pm MYT

"Perlukah saya sediakan makanan dan buat kenduri arwah kepada orang kampung sedangkan keluarga saya tengah sedih sangat sebab baru sahaja kehilangan ayah tersayang?" tanya seorang remaja kepada saya yang baru kehilangan ayahnya yang tercinta kerana sakit kronik.

Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan saya di bidang agama saya diamkan sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang terbit daripada anak muda belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang susah.

Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang banyak pihak.

Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada anak muda yang bertanya itu sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa sebarang jawapan sebelum ini.(segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan maafkan)

Amalan membebankan keluarga si mati

Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.

Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda: "Persiapkan makanan untuk keluarga Ja'far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)." - Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.

Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.

Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.

"Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut

Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.

Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah

Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.

Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.

Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya."

"Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.

"Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.

"Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.

"Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, " kata Nik Aziz.

Kenyataan pahit dan mengejutkan

Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.

"Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah," katanya

"Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian," katanya lagi

Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.

"Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya membangkitkan persoalan. Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.

"Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya," katanya.

Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa' 4:59 :"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." - mks.

HarakahDaily.Net