Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Friday, March 28, 2008

Daurah Ilmiyyah ( Ditangguhkan)


Daurah Ilmiyyah


Tarikh:

14 April – 18 Mei 2008 selama 36 hari

(Ditangguhkan Sehingga diberitahu)


Tempat:

Putra Bukit Air Resort, Perlis


Terhad kepada :

50 orang peserta


Anjuran:

JABATAN MUFTI PERLIS DARUS SUNNAH


*Penginapan dan makanan disediakan oleh pihak penganjur.


Apa yang anda dapat dari Program Ini !!!

- Kitab untuk setiap bab telah di susun khas oleh para Masyeikh untuk memudahkan pembelajaran i.e. 8 kitab .

- Perbincangan ilmu Islam secara menyeluruh dalam semua aspek dan bidang

- Menghafaz al-Quran paling kurang 3 juzuk atau menghafaznya dalam tempoh daurah berjalan.

- Pembelajaran dalam Bahasa Melayu dan Arab bergantung kepada Tenaga Pengajar

- Semuanya adalah PERCUMA !!!!

Syarat penyertaan

1- Berumur tidak kurang dari 19 tahun

2- Peserta terdiri daripada lelaki sahaja

3- Bermanhaj salafus soleh

4- Memahami dan boleh menguasai bahasa arab

5- Mampu mengikuti subjek-subjek yang akan diajar

6- Terlibat di dalam medan dakwah atau berpotensi sebagai pendakwah

7- Boleh menyertai daurah dari mula sehingga selesai iaitu selama 36 hari

8-Terbuka kepada Rakyat Malaysia dan Penduduk Tetap Malaysia

Mata pelajaran yang akan diajar sepanjang daurah

1- Aqidah

2- Al-Firaq wal Adyan

3- Fiqh al-Ibadat

4- Fiqh al-Muamalat

5- Hadis

6- Sirah

7- Usul al-Tafsir

8- Usul al-Dakwah

Jadual pembelajaran

Setiap hari kecuali Jumaat

Pagi - Tengah hari

Muhadharah 1

8.00 – 8.50 pagi

Muhadharah 2

9.00 – 9.50 pagi

Rehat

10.00 – 10.30 pagi

Muhadharah 3

10.30 – 11.20 pagi

Muhadharah 4

11.30 – 12.20 tengah hari

Petang – Malam

Muhadharah 5 dan 6

Selepas solat asar sehingga maghrib

Muhadharah 7

Selepas solat maghrib sehingga Isyak

Pembahagian subjek dan tenaga pengajar


No

Mata pelajaran

Tenaga pengajar

Tarikh

Bil. Hari

1

Aqidah

Dr. Johari Mat

(KIAS)

14-17 April

4 hari

2

Al-Firaq wal Adyan

Ustaz Abdul Rashid Idris

(Institut al-Qayyim)

19-21 April

3 hari

3

Fiqh al-Ibadat

Ustaz Fadhlan Othman

Ustaz Arif Nazri

(UKM)

22-28 April

6 hari

4

Fiqh al-Muamalat

Dr. Azwira Abdul Aziz

(UKM)

Dr. Juanda Jaya

29 April-5 Mei

6 hari

5

Al-Hadis

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

(Mufti Perlis/USM)

6-10 Mei

4 hari

6

Al-Sirah

Ustaz Fathul Bari

11-13 Mei

3 hari

7

Usul al-Tafsir

Dr. Najib Abdullah

(KIAS)

14-17 Mei

3 hari

8

Usul al-Dakwah

Dr. Abdullah Yasin

(IPTIP)

18 Mei

1 hari

*Jadual ini tertakluk kepada sebarang pindaan oleh pihak pengurusan daurah.

*Tarikh Tutup Penyertaan 10 April 2008.

Untuk Penyertaan sila hubungi :

Ketua Penyelidik Jabatan Mufti Perlis : 019-2582874 / Asri: 013-4835119

Dowload Borang Pendaftaran Daurah di Sini



Thursday, January 17, 2008

Jejak Risalah Nusantara I - Bedah Buku Siri 1

~siri bedah buku~
Satu Penilaian Semula Kesan Kedatangan Islam di Nusantara
Jejak Risalah Di Nusantara I
Zaman Pra Islam Hingga Era Pelayaran Muhammad Cheng Ho
.

Penulis : Dr. Hafidzi Mohd Noori
- PhD, University of Aberdeen, Scotland, UKii
- Bertugas di Fakulti Pertanian, UPMiii
- aktivis JIM

Prakata

"Buku ini wajib dibaca oleh mereka yang mahu akar umbi pembangunan emosi-kognisi, sosio-ekonomi, dan politik-akidah umat Islam kukuh serta cemerlang khususnya apabila berdepan dengan pelbagai jenis cabaran. Saya yakin penulisnya berjaya mematangkan konsep dan kefahaman kita tentang perkembangan Islam di Nusantara"
- Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom -
.
.

Sekapur Sireh Dari Penulis
.
Sejarah merupakan satu disiplin ilmu yang sangat signifikan dalam pembentukan jati diri bangsa. Episod utama sejarah kita adalah membabitkan kedatangan Islam itu sendiri yang menjadi acuan asas kepada mega-perubahan identiti rumpun melayu Nusantara. Tetapi, kronologi sejarah yang berada di arus perdana kini telah diputar belit dan kelihatan menumpu hanya kepada babak-babak warisan yang bersifat estetika, metos dan lagenda turun-temurun. Bertujuan menimbulkan rasa 'inferiority complex' terhadap barat atas kekurangan yang dimiliki setelah mereka memisahkan hakikat sejarah yang gemilang pada plot kedatangan islam ke Nusantara.
.
Jasa-jasa yang dikenang dari tokoh ilmuwan Nusantara seperti Buya HAMKA, Prof. Syed Naquib al-Attas dan lain-lain telah membongkar jenayah lipatan sejarah oleh pihak penjajah dan membuka ruang kesedaran yang lebih luas dalam menilai peradaban nusantara.
.
Buku ini pada dasarnya memberi tumpuan kepada sejarah awal kedatangan Islam dari perspektif dakwah dan jihad. Ini sebagai inspirasi dan pedoman buat du'at demi merealisasikan usaha dakwah dengan dasar sivik yang jelas hasil pengajaran sejarah sebaran risalah islam di nusantara.
.
.
Pendahuluan
.
'Nusantara' adalah istilah kebudayaan gugusan kepulauan melayu, merangkumi lebih 200 juta manusia berbeza adat dan bahasa. Ianya merangkumi Malaysia ( termasuk Selatan Thai ), Indonesia, Singapura dan Filipina.
.
Kesan tapak arkeologi membuktikan kewujudan tamadun seawal zaman batu. Ia juga menjadi titik persenyawaan budaya dan pelabuhan semula jadi. Maka, berkembanglah pemikiran, budaya dan agama yang awalnya terdedah kepada animisme, Hindu dan Buddha. Namun demikian, Islam bertindak hebat mengubah persepsi hidup pada paradigma yang berbeza; menggoyahkan kepercayaan asal yang lama mengakar. Dan kini jumlah penganutnya mencecah 250 juta manusia.
.
Persoalan timbul akan faktor-faktor yang mendorong kepada revolusi tersebut. Bagaimana, Siapa, Kenapa dan banyak lagi yang perlu dirungkai. Sejauh manakah juga silap faham penjajah akan sifat kedatangan islam ke rantau ini?
.
.
Umat Islam Nusantara Mewarisi Tamadun Hindu/Buddha?
.
Tumpuan utama diberikan kepada bagaimana proses pengislaman berlaku dan kesannya kepada Melayu Nusantara. Namun, menjadi halangan apabila karya orientalis banyak mengabui kita dengan lapisan tebal sejarah pra-islam berkisar zaman animisme-Hindu-Buddha. Manakala kupasan kedatangan islam dan kesannya dipandang ringan dengan perbahasan yang sangat sedikit. Seolah-olah asas budaya nusantara adalah sumbangan besar hanya dari zaman pra-islam.
.
Demikianlah kisah-kisah kerajaan melayu lama disampaikan dan kerajaan-kerajaan islam dibisukan. Bukti-bukti sejarah yang ditinggalkan hanyalah candi dan kuil. Tokoh-tokoh yang diagungkan hanya dari pra-islam tapi yang lainnya disembunyikan ketokohan mereka. Namun demikian, akhirnya terbongkar jua segala kebenaran hasil usaha ilmuwan bidang sejarah di Nusantara ini sendiri.
.
Proses penjajahan minda ini tersusun baik buat umat islam. Jauhnya sejarah islam menatijahkan kekosongan pada kegemilangan nusantara. Hasilnya, rasa 'inferiority complex' berleluasa. Melihat gah di sudut barat sementara timur dipandang penuh igauan indah yang menyesatkan. Betapa hebatnya kesan sejarah menjadikan ianya kunci pembentukan identiti sebuah bangsa.
.
Zaman pra-Islam menyaksikan pengaruh Hindu-Buddha dibatasi golongan aristokrat dan sekitar istana tanpa meresap di kalangan rakyat. Ini berbeza dari Islam asli yang tidak membezakan di antara penganutnya biar siapapun mereka. Masing-masing mendapatkan hak kesama-rataan seadanya tanpa ada sisihan dan sebagainya.
.
Ini didasari dengan sifat islam yang dihayati dengan ilmu dan kefahaman, dan akhirnya sifat itu kekal sebati mengubah lanskap sosio-budaya penduduk nusantara. Prof al-Attas juga menegaskan tentang hakikat al-Quran sebagai kunci tamadun Melayu. Membersihkan segala bentuk kongkongan hasil kekolotan pemikiran yang sebati dengan gaya hidup mereka sebelumnya.
.
Ini telah membongkar kesilapan sarjana barat kerana meletakkan nilai seni pada ukiran, tarian dan wayang sebagai signifikasi simbol ketamadunan. Hakikatnya, Islam yang telah membentuk pola pemikiran orang Melayu dan membangunkan tamadun mereka berpaksikan kepada kemurnian aqidah.
.
.

Islam Tersebar Oleh Dakwah.
.
Telahan orientalis memberikan gambaran bahawa Islam tersebar di Nusantara secara semulajadi. Mereke menganggap, hasil dari komunikasi antara penganut Islam (pedagang-pedagang) dan penduduk setempat menyebabkan mereka tertarik dan memeluk Islam. B.H.M. Vlekke turut menafikan Islam tersebar melalui mubaligh kerana tiadanya jawatan khusus mubaligh dalam Islam seperti paderi dalam Kristian.
.
Terdapat beberapa teori yang dikembangkan tentang penyebaran Islam. Pertama, ianya tersebar secara tidak langsung daripada para pedagang dan penduduk tempatan kerana tertarik dengan akhlaq dan agama itu sendiri. Kedua, teori melalui lorong politik, iaitu apabila raja-raja tempatan tertarik dan memeluk Islam dengan harapan dapat mengukuhkan kedudukan politik. Lalu para bangsawan pun menurut dan diikuti oleh rakyat. Teori ketiga, melalui perkahwinan yang akhirnya membawa kepada tersebarnya Islam melalui keturunan. Seterusnya, dikatakan juga bahawa berlakunya penyebaran Islam secara bersungguh-sungguh adalah untuk bersaing dengan misi kristianisasi seiring kedatangan penjajah.
.
Kesemua teori sarjana barat tersebut cuba menutup hakikat peranan dakwah dengan memaparkan aspek sampingan yang tidak dominan. Sedangkan asimilasi dakwah itu yang membawa kepada sajian akhlaq, berlakunya perkahwinan, dan seruan islam secara terang kepada raja-raja dan rakyat.
.
Tokoh-tokoh yang tercatit dalam lembaran sejarah yang terlibat menyebarkan Islam ternyata ramai. Antaranya, Faqir Muhammad (Pasai), Maulana Malik Ibrahim (Jawa Timur), Syarif Muhammad (Mindanao), Syeikh Jana Khatib (Temasik - syahid) dan ramai lagi. Orientalis A.H. John menyokong kenyataan ini dan menganggap pelik dengan kenyataan tersebarnya Islam secara tipikal melalui perdagangan. Malah dia akur akan peranan dakwah dari kalangan peniaga-peniaga tersebut yang terlibat dengan kumpulan-kumpulan sufi (mubaligh) dan mengikut syeikh-syeikh tertentu.
..
Dari Jurusan Mana Datangnya Islam ke Nusantara?
.
Seperti biasa pihak orientalis lebih awal membuat justifikasi dengan menyebut Islam datang dari India. Pelbagai bukti yang dibawa bagi membenarkan kenyataan mereka, antaranya:-i. Batu-batu nisan di Pasai, Sumatera dan Jawa yang menyerupai batu Nisan di Gujerat, Selatan India (penemuan oleh J.P. Moquette, D.G.E. Hall).ii. Penguasaan Islam di bandar-bandar pelabuhan India yang kemudiannya tersebar ke Alam Melayu. (teori oleh Snouck Hurgronge).iii. Persamaan mazhab dari benua India – Mazhab Syafi’e (teori oleh T.W. Arnold).iv. Penyebaran Islam ke Samudera Pasai berasal dari Coromandel kerana itu satu-satunya daerah yang dikuasai Islam pada abad ke-13 (teori oleh G.E. Morrison).
.
Dari mana Islam datang sebenarnya tidak begitu mustahak untuk dibincangkan. Kerana tanggungjawab dakwah tidak eksklusif kepada mana-mana kumpulan atau bangsa. Ianya didasari rasa MAHU yang timbul setelah mengeTAHUi akan urgensi dakwah dalam hakikat kehidupan. Kemudian, timbullah keMAMPUan untuk merealisasikan agenda dakwah tanpa mengira batas waktu dan faktor lokasi.
.
Tapi, kita tertanya, kenapa para sarjana barat beria-ia mengatakan Islam berasal dari India. Ini adalah hasil tanggapan melalui beberapa karya sejarah yang menjustifikasi Asia Tenggara hanyalah sebagai lanjutan benua kecil India. Datangnya Islam hanyalah bagaikan tempelan mudah setelah sekian lama umat nusantara dipengaruhi budaya Hindu yang juga berasal dari India. Ini sebagai alasan untuk memgatakan bahawa Islam tidak membawa sebarang perubahan kepada sistem kehidupan alam Melayu.
.
Fakta sejarah menjelaskan, arus dakwah bermula dari jazirah Arab sendiri. Senarai kes pengislaman raja-raja oleh pendakwah dari Arab telah disusun oleh Buya HAMKA. Malah, banyak bahan rujukan yang tersebar di Nusantara berasal dari Timur Tengah sebagaimana yang dinyatakan Prof al-Attas. Terdapat sebilangan tokoh-tokoh sarjana seperti Keyzers, John Crawford dan Marsden menyebelahi teori kedatangan Islam adalah berasal dari Timur Tengah.
.
(bersambung..)

Wednesday, February 22, 2006

Kualiti Individu dan Organisasi Dakwah - Sesi Bersama Penasihat

Pemilihan sebagai Agen Dakwah Satu Anugerah, Satu Tanggungjawab

Setiap individu yang meluangkan masa dan tenaga untuk usaha dakwah sebenarnya menerima anugerah nikmat yang sangat besar dari Allah, di mana setiap mereka sepatutnya bersyukur kerana dipilih Allah sebagai pendakwah untuk menyebarkan agama-Nya dan meneruskan perjuangan Rasul-Nya. Anugerah ini datang dengan tanggungjawab yang besar, di mana kita memikul tugas mulia yang pernah disandang oleh Rasulullah dan para Sahabat dan generasi terdahulu yang dipilih Allah untuk menyebarkan agama-Nya di muka bumi.

Sungguhpun pemilihan sebagai pendakwah adalah satu nikmat dari Allah, janganlah kita lalai dan berasa bangga. Ini kerana sekiranya kita gagal melaksanakan tugas dakwah, nescaya Allah akan melemparkan kehinaan kepada kita dan memberikan tugas yang amat mulia ini kepada orang lain, seperti firman-Nya: “Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang memerlukan-Nya; dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti kamu dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan jadi seperti kamu.” [Surah Muhammad, 47: 38] Biarlah ayat ini menjadi peringatan keras buat setiap pendakwah agar mereka sentiasa waspada dengan diri mereka sendiri.

Merancang untuk Masa Depan dan Menilai Prestasi Masa Lalu

Dalam apa jua bentuk organisasi, kepentingan merancang masa depan dan menilai prestasi masa lalu mempunyai pengaruh besar dalam menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu organisasi. Sebagai gerkaan dakwah, kita sangat berhajat kepada penyusunan gerak kerja yang terancang di mana perbincangan perlu diadakan untuk merancang hala tuju dan aktiviti pada masa akan datang. Perancangan yang teliti akan memastikan segala matlamat yang ditetapkan berjaya dicapai. Begitu juga dengan prestasi masa lalu mestilah sentiasa dinilai semula, di manakah kegagalan dan kelemahan yang wujud agar dapat kita baiki. Prestasi masa lalu penting dalam menjadi kayu ukur yang dapat kita guna dalam menilai hasil kerja kita.

Setiap individu yang terlibat dalam gerakan dakwah mesti sentiasa saling memberi nasihat sesama mereka. Kita perlu sentiasa duduk berbincang mengenai prestasi kita pada masa lalu dan merancang strategi untuk masa depan. Kita bukan anti organisasi, bahkan gerak kerja dakwah sangat memerlukan kepada pentadbiran yang sistematik.

Dakwah Fardiyyah Faktor Utama Gerakan Dakwah

Dalam menyampaikan mesej Islam kepada orang lain, kita perlu sedar bahawa dakwah yang benar-benar meninggalkan kesan kepada manusia lain ialah dakwah fardiyyah, dakwah yang kebanyakan kita lakukan tanpa kita sedari, melalui perkataan dan perlakuan kita seharian yang menjadi contoh ikutan kepada orang lain. Sesungguhnya apabila Islam tegak di hati kita, nescaya segala amal perbuatan kita akan lahir dari asas-asas Islam yang kukuh. Contoh tauladan inilah yang akan mempengaruhi orang ramai agar menyahut seruan Islam. Maka adalah menjadi kemestian bagi kita untuk berakhlak dan beradab menurut lunas-lunas al-Quran dan al-Sunnah.
Setiap manusia yang kita temui setiap hari adalah peluang untuk kita sebarkan mesej Islam. Tidak kira sama ada rakan sebaya, rakan di tempat kerja, atau sesiapa sahaja yang berhubung dengan kita merupakan ladang yang subur untuk kita semai benih-benih Islam. Janganlah kita abaikan peluang yang besar ini, kerana para nabi-nabi dan pejuang-pejuang dakwah terdahulu tidak pernah melepaskan peluang walau sesaat dalam hidup mereka untuk menjadi agen penyampai mesej Islam kepada manusia di sekeliling mereka.

Kepentingan Ilmu sebagai Pemangkin Gerakan Dakwah

Setiap pendakwah mesti memandang diri mereka sebagai tentera yang bertanggungjawab untuk mempertahankan Islam. Sebagai agen dakwah, kita akan dilihat sebagai imej ajaran Islam. Jadi, kita perlu memastikan bahawa setiap kelakuan kita mencerminkan ajaran Islam yang sebenar tanpa melanggar garis panduan Islam. Andai kita berkelakuan buruk, akan tercalarlah imej Islam yang kita bawa bersama.

Dalam keghairahan menjaja tenaga untuk dakwah, setiap pendakwah perlu memastikan mereka sentiasa dalam proses menuntut ilmu. Ilmu memainkan peranan yang amat penting dalam dakwah. Tanpa ilmu, manusia akan mudah terperangkap dalam lembah kejahilan. Sehebat mana seseorang manusia, masih banyak ilmu yang perlu dipelajari. Janganlah ada antara pendakwah yang merasa ilmunya telah cukup, sebaliknya perasaan tidak cukup ilmu perlu sentiasa wujud di hati mereka agar mereka akan berusaha bersungguh-sungguh mengejar seberapa banyak ilmu yang dapat.

Pengorbanan dalam Dakwah dan Keperluan Individu

Dalam percaturan kehidupan pendakwah, tidak dapat tidak akan berlaku pertentangan antara usaha dakwah yang memerlukan pengorbanan besar dengan keperluan manusia memenuhi beberapa kepentingan hidupnya.

Sungguhpun masa merupakan sumber yang amat terhad terutama dalam kehidupan seorang penuntut universiti, pendakwah mestilah mempunyai keinginan untuk meluangkan masa di jalan Allah. Kita mesti pandai membahagikan masa. Kehadiran ke kuliah-kuliah ilmu dan perjumpaan-perjumpaan seperti ini, untuk membincangkan hala tuju dan aktiviti dakwah akan melatih kita komited dengan tugasan dakwah. Perjumpaan-perjumpaan untuk kebaikan agama sudah tentu akan diberkati Allah, dan masa kita tidak terbuang begitu sahaja. Tiada kurangnya jika kita meluangkan sekadar 30 minit atau sejam dalam masa sebulan untuk hadir ke perjumpaan seperti ini.

Hendaklah kita faham sepertimana para nabi-nabi dan pejuang-pejuang dakwah terdahulu, tatkala mereka meletakkan kepentingan Allah dan kepentingan dakwah mendahului segenap kepentingan lain dalam hidup mereka. Ini adalah hasil pemahaman yang jelas mengenai konsep al-wala’ wa al-baraa’ yang selama ini menjadi tonggak kemampanan Islam merentasi dimensi masa dan lokasi. Semoga Allah memberi kejayaan kepada kita dan merahmati kita semua.

*Ringkasan dan terjemahan ucapan Penasihat YAPIS-UIA, Sheikh Abu Huzayfah Aiman Yosof Al-Dakkak dalam Sesi Bersama Penasihat, 9 Muharram 1427 H / 8 Februari 2006, Masjid UIAM.