Saturday, March 31, 2007

Islam Agama Kenang Jasa dan Hak Ibu Bapa


Isu Bin.................


Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN


APABILA isu nama bapa wajib dikekalkan dibincangkan oleh Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis, ramai yang cuba mengambil bahagian memperkatakannya. Sehingga orang yang telah lama sepi pun muncul membuat kenyataan di dada media. Emosi dan sentimen dengan aktif menempatkan diri. Ada yang menunggu ‘bola tanggung’ merasakan barangkali inilah peluang yang dinantikan. Saya katakan: sabar dulu.

Isu ini sebenarnya bukanlah fatwa saya secara individu. Sebaliknya keputusan sebulat suara ahli jawatankuasa yang terdiri daripada 12 anggota yang hadir. Sebahagian besar mereka adalah pensyarah universiti dalam bidang-bidang pengajian Islam yang pelbagai dan ramai yang memiliki Ph.D yang tersendiri. Alhamdulillah, Perlis mempunyai anggota fatwa yang teramai. Maka, tidak wajar untuk dianggap ia sesuatu yang dibincangkan sepintas lalu tanpa penelitian. Cuma keputusan itu belum disahkan lagi oleh mesyuarat Majlis Agama Islam Perlis.

Memang, isu ini agak unik dan istimewa. Antara yang paling menyebabkan ia istimewa, ialah penukaran nasab seseorang yang menganut Islam kepada Abdullah hanya berlaku di negara Melayu kita. Saya kurang pasti bagaimana di Brunei tetapi hal seperti ini tidak berlaku di negara-negara Arab atau Indonesia yang besar itu.

Justeru, di negara ini jika ada persatuan saudara baru yang ratusan anggota, maka kesemua mereka pasti ber’bin’ yang sama, iaitu Abdullah. Jika ada 10 yang bernama Ahmad, maka amatlah keliru untuk ditentukan Ahmad yang mana satu, kerana kesemua mereka ‘Ahmad bin Abdullah’. Maka – barangkali – terpaksalah pihak pengurus persatuan menghafal nombor kad pengenalan mereka. Begitu juga jika sepasang suami isteri menganut Islam, maka bertukarlah mereka menjadi insan-insan yang nama bapanya sama; Abdullah.

Pada zaman Nabi s.a.w., jika baginda amalkan hal ini, tentulah majoriti para sahabat akan ber’bin’kan Abdullah. Maka tidak adalah lagi disebut Umar bin al- Khattab, sebaliknya Umar bin Abdullah, tidaklah lagi Uthman bin Affan, sebaliknya Uthman bin Abdullah. Juga tidak adalah lagi Ali bin Abi Talib, sebaliknya Ali bin Abdullah. Sebab, kesemua bapa mereka tidak menganut Islam.

Namun apa yang berlaku tidak sedemikian rupa. Ya, baginda menukar nama-nama buruk individu yang menganut Islam tetapi mengekalkan hakikat ‘bin’ mereka. Sedangkan orang Arab begitu menjaga dan menyebut titis keturunan sehingga ke beberapa peringkat. Umpamanya, jika kita membuka kitab masyhur, Riyadh al-Salihin, karangan al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) hadis pertama yang beliau sebut daripada Umar bin al-Khattab. al- Imam Al-Nawawi menyebut: “Amir al- Mukminin, Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abd al-Uzza…. ‘Abd al-‘Uzza bermaksud hamba berhala al-‘Uzza. Jika dilihat nama datuk nabi ‘bin Kilab’. Kilab bermaksud anjing-anjing. Islam tidak mengubah sesuatu hakikat yang pasti.

Ada yang cuba mengaitkan isu ini akidah. Seakan Fatwa Perlis tidak fikir tentang akidah. Bimbang jika bapanya bernama dengan nama syirik maka akan menjejaskan akidah anaknya yang menganut Islam. Alangkah lemah cara berfikir seperti itu. Tidakkah dia tahu, bapanya itu bukan sahaja bernama dengan nama yang syirik, bahkan pengamal kesyirikan. Apakah jika Gopal a/l Subramaniam yang menganut Islam maka setelah nama Gopal ditukarkan kepada Marwan umpamanya, maka Subramaniam yang tidak meredai Islam ini juga hendak ditukar? Maka setiap kali kita berjumpa Subramaniam, kita kena panggil dia ‘Wahai Abdullah’, kerana bimbang jika dipanggil Subramaniam maka rosak akidah anaknya Marwan?

Kesyirikan tiada kaitan dengan semua itu! Kalau kerana nama Subramaniam menyebabkan akidah Marwan rosak, apakah jika Subramaniam ke kuil, anaknya yang masuk Islam menjadi kufur? Tidakkah itu lambang pemikiran yang langsung tidak faham konsep akidah!

Ada yang bertanya kenapa hendak ditimbulkan isu ini? Dah lama kita amalkan. Kita beritahu bahawa sesuatu perkara yang dibawa ke perbincangan fatwa negeri tentu ada sebab, sama ada kerana pertanyaan atau kekeliruan orang ramai mengenai hukum syarak. Maka ia dibahaskan.

Di sini saya sebutkan secara ringkas dua alasan utama keputusan tersebut dibuat. Pertama; Nas al-Quran dan al-sunah yang melarang hal tersebut. Firman Allah s.w.t. (bermaksud): Panggillah mereka itu (dengan ber’bin’kan) kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu seagama dan sebagai ‘maula-maula’ kamu. Kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu. Dan (ingatlah) Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani. (al-Ahzab: 5).

Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) dalam Tafsir al-Tabari: “Ayat ini adalah dalil bahawa tidak boleh menasabkan seseorang kepada bukan bapanya. Hadis-hadis juga begitu keras menegahnya.”

Dalam hadis-hadis Nabi, hal ini banyak disebut. Antaranya: “Sesiapa yang mengaku anak kepada bukan bapanya, maka syurga haram ke atasnya.” (Riwayat al-Bukhari). Juga sabda baginda: “Antara pendustaan terbesar ialah seseorang mengaku anak kepada bukan bapanya.” (Riwayat al-Bukhari).

Kenapa Islam melarang hal ini? Sebabnya kerana Islam ialah agama menghormati dan memelihara hak manusia. Islam ialah agama yang tidak pernah menipu hakikat. Seorang bapa, walau siapapun dia, dia tetap bapa. Sebab, benihnya yang sah itulah yang menghasilkan keturunannya. Bukan benih orang lain. Maka anak yang lahir itu berkait dengannya. Selepas itu adanya hukum berhubung dengan hak, perkahwinan dan harta. Menolak bapa yang hakiki, atau menidakkannya seakan dia tidak wujud boleh menyebabkan kekeliruan keturunan manusia, bercelaru dalam perkahwinan dan penafian tanggungjawab kekeluargaan. Sedangkan Islam adalah agama penegak keadilan hak dan penyebar kesejahteraan insan.

Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam karya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu: “Keadilan dan hak menuntut dan mewajibkan dinasabkan anak kepada bapanya yang hakiki. Bukan kepada bapa rekaan. Islam agama hak dan keadilan. Sesiapa yang ada bapa yang diketahui, maka nasabkan kepada bapanya. Sesiapa yang tidak diketahui bapanya, maka dipanggil maula atau saudara seagama. Ini semua demi mencegah pengubahan hakikat sebenar.” (7/674, Damsyik: Dar al-Fikr 1989).

Inilah agama yang lurus. Sehingga Abu Bakr al-Jazairi dengan lebih sinis dalam tafsirnya Aisar al-Tafasir menyebut: “Wajib membinkan anak-anak angkat kepada bapanya yang dikenali sekalipun bapanya seekor keldai.”

Justeru itu, baginda Nabi hanya mengubah nama individu yang menganut Islam, jika namanya mengandungi makna buruk, tetapi tidak mengubah bapanya. Umpamanya baginda mengubah nama sahabat Abd. al-Syams bin Sokhr kepada Abd. alRahman bin Sokhr. Ini kerana Abd. al- Syams bermaksud hamba matahari. Namun Sokhr, bermaksud batu dikekalkan. Bahkan baginda tidak mengubah bapa seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Abd. al-Asad. Bapanya bernama Abd. al- Asad yang bermaksud hamba singa.

Baginda tidak mengatakan diubah nama bapa kerana takut rosak akidah. Sesiapa yang mahu penjelasan lanjut boleh bertanya kepada ahli-ahli hadis yang menguasai Kutub al-Tarajim atau sendiri boleh merujuk buku-buku al-Tarajim yang membincangkan biodata tokoh-tokoh yang disebut dalam sejarah Islam. Ini seperti kitab al- Isobah fi Tamyiz al-Sahabah karangan al- Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, atau Siyar A’lam al-Nubala, karangan al-Hafiz al-Zahabi dan puluhan yang lain.

Jika demikian tindakan Nabi dan para sahabat, apakah kita lebih faham Islam dibandingkan baginda dan para sahabatnya? Apakah kita ingin katakan baginda tidak menjaga akidah sehingga membiarkan sahabatnya kekal berbinkan ‘hamba singa’? Aduhai para pengulas isu ini! Luaskan bacaan kita dan janganlah terlebih lajak dari lajunya.

Kedua; isu ini timbul kerana kita ingin memelihara nama baik Islam. Pada zaman ini, Islam diserang dengan pelbagai tuduhan. Sering disalah anggap kononnya Islam tidak menghormati hak. Di negara kita ramai bukan Islam menganggap Islam tidak adil kerana menghapuskan hubungan antara anak dan bapa. Ada bapa yang sebut kepada anaknya yang baru masuk Islam: “awak masuk Islam, saya yang berjasa pada awak pun awak buang. Nama saya pun sudah tidak ada lagi. Siapa itu Abdullah bapa baru awak?” Maka mereka bertambah anti kepada Islam dan takut jika anak-anak mereka menganut Islam. Ada yang ingin masuk Islam, tersekat disebabkan bantahan atau sayangkan keluarga. Lebih parahlah jika nama keluarganya disuruh buang!

Islam sebenarnya menyuruh anak melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa sekalipun keduanya tidak menganut Islam. Bahkan sekalipun keduanya berusaha agar anaknya keluar meninggalkan Islam. Namun perintah Allah agar seorang anak berbuat baik kepada ibu bapanya terus kekal. Cuma jangan taat dalam perkara syirik, kufur dan maksiat. Lihat firman Allah dalam surah Luqman ayat 16: (maksudnya) Dan jika kedua ibu bapa mendesakmu supaya engkau mensyirikkan denganku sesuatu yang engkau (dengan fikiran warasmu) tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada kedua; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.

Soalan yang wajar diajukan; apakah termasuk dalam bergaul dengan ibu bapa secara baik dalam urusan dunia ini – seperti yang diperintahkan – jika kita menanggalkan berbinkan mereka. Atau menukar nama mereka tanpa pengiktirafan mereka atau mereka menafikan ‘bin’ yang baru itu sebagai nama mereka. Tidakkah tindakan itu mengguris hati mereka tanpa sebab yang diizinkan. Sedangkan seseorang diperintahkan berbuat baik kepada ibu bapa sekalipun keduanya bukan muslim. Islam agama yang mengenang jasa dan hak.

Lebih dari itu, tidakkah tindakan itu boleh menjadikan mereka membenci dan bersangka buruk terhadap Islam? Bukankah menjadi kewajipan kita mempertahankan imej Islam? Maka, perbincangan Fatwa Perlis itu bagi saya mempunyai kemunasabahan yang kuat. Sekalipun amalan itu sudah lama, bukan bererti ia mesti dikekalkan dan tidak boleh diubah.

Kata tokoh Melayu yang disanjung, Pendita Za’aba, dalam bukunya yang hebat Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri yang ditulis pada tahun 30-an: Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir- hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulukala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-

mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulukala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulukala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi.

Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).

- Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

No comments: