Friday, March 23, 2007

Layakkah PAS Menjadi 'Kerajaan Menunggu'?


Oleh: Amin Idris

Sebelum ini, UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946, dan kemudian ditubuhkan semula pada tahun 1988, merupakan satu-satunya parti yang terbukti telah menghina dan memperkecil-kecilkan institusi ulama'. Pernah berlaku di mana terdapat mufti yang dipecat ekoran pendirian yang tidak selari dengan kerajaan.

Umpamanya pada 31 Oktober 1997, Mufti Selangor al-Fadhil Ustaz Ishak Baharom yang telah dipecat gara-gara teguran dan tindakannya ke atas dua orang Melayu Muslim Malaysia yang menyertai pertandingan ratu cantik.

Begitu juga dalam isu bekalan jarum dan kondom percuma oleh kerajaan pada tahun 2005 (rujuk kenyataan media Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan 27 Jun 2005, Malaysia-today.net), Pak Lah membuat pengumuman keputusan kerajaan dan pelaksanaannya serta merta sebelum merujuk kepada Majlis Fatwa dan para ulama'.

Malah pada tahun 2004, Mufti Perak, al-Fadhil Ustaz Harussani Zakaria pernah mengeluarkan fatwa haram ke atas program Sure Heboh (rujuk laporan Malaysia-Today.net bertarikh 21 Ogos 2004). Namun, ia tidak dipeduli kerana program tersebut dikekalkan dan ditukar nama kepada Jom Heboh.

Dalam kesemua isu di atas, PAS merupakan juara dan konsisten dalam memperjuangkan institusi ulama' malah menuntut agar institusi mufti dihormati akan pandangan dan teguran mereka. Penulis juga pernah menghadiri dan mendengar ceramah Tok Guru yang menegur agar para ulama' khasnya mufti-mufti lantang dalam menyuarakan pandangannya berlandaskan displin ilmu Qur'an dan Sunnah, bukannya pasif dan redha dengan apa sahaja yang berlaku dalam negara.

Penulis kesal apabila PAS melenting hanya kerana beberapa kerat kenyataan Mufti Perlis yang mengkritik parti tersebut. Bukankah yang menegur itu adalah mufti yang sudah pasti termasuk di kalangan ulama' tanah air? Sudah pasti jawapannya 'ya'. Namun, mengapa hampir kesemua laporan di dalam laman Harakah Daily semacam menghentam Mufti Perlis?

Penulis bukanlah penyokong tegar mahupun pembela Mufti Perlis, malah penulis mula mengisi borang PAS seawal usia 17 tahun. Tetapi atas rasa keyakinan dan kepercayaan terhadap perjuangan PAS, maka ada yang melontarkan beberapa pandangan untuk difikirkan bersama;

1. Jika benar PAS menghormati dan menyanjung tinggi insitusi ulama', mengapa PAS tidak menerima secara positif teguran yang diutarakan oleh Mufti Perlis? Malah secara pertimbangan politik, maka ada yang yakin dan percaya, jika PAS menerimanya maka ia

menampilkan sikap keterbukaan dan demokratik PAS.

2. Alangkah malangnya jika selama ini apa yang diperjuangkan di bawah agenda mempertahankan institusi ulama' hanya berdasarkan pertimbangan politik semata. Jika begitu, PAS tiada bezanya dengan UMNO.

3. PAS sewajarnya memikirkan 'mengapa' Mufti Perlis menyatakan "Ya, kita perlu menumpukan kepada menghapuskan maksiat yang terbuka termasuk merompak, mencuri dan berjudi. Jangan tanya pembangkang. Saya tidak tahu bagaimana negara Islam yang mereka hendak bentuk..." daripada terus menghentamnya.

Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah menegaskan di dalam salah satu muktamar tahunan PAS bahawa PAS dan ahli-ahli mesti berfikir dan bergerak sebagai The Waiting Government.

4. Justeru, apakah model pemerintahan yang telah ditonjolkan oleh PAS bagi meyakinkan rakyat bahawa PAS layak bergelar The Waiting Government? Bersediakah PAS mencorakkan bentuk hiburan tatkala rakyat memberi mandat memerintah Malaysia suatu hari nanti? Adakah radio Era.fm, Hot.fm dan sebagainya diharamkan dari menyiarkan lagu-lagu bukan nasyid? Adakah Siti Nurhaliza tidak dibenarkan lagi muncul di kaca tv?

Bagaimana pula dengan sistem diplomatik antarabangsa? Ekonomi global? Sistem kehakiman? Sistem pendidikan dan sebagainya? Inilah lapangan-lapangan yang mesti difikirkan oleh PAS daripada menunggu untuk menonjolkan kelemahan orang sana-sini. Khusus dalam teguran Mufti Perlis, bagaimanakah corak pemerintahan PAS agar bukan hanya berlegar pada kerangka slogan Membangun Bersama Islam.

Namun, setakat ini tiada mana-mana pimpinan PAS khususnya Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hj. Hadi ada mengeluarkan sebarang kenyataan rentetan dari teguran Mufti Perlis. Justeru, ada yang membuat kesimpulan awalan bahawa segala laporan adalah bukan pendirian rasmi parti. Tetapi, dalam satu aspek lain, massa sudah melihat sikap 'tertutup' PAS dalam menangani kritikan Mufti Perlis.

Penulis pernah berbual dengan seorang pensyarah dan juga seorang ketua jabatan dari UPSI. Dia menyatakan bahawa jika PAS terus dengan sikap dan gaya orientasi gerakannya sepertimana sekarang, sampai kiamat pun PAS takkan dapat memerintah! Adakah telahan ini benar? Hanya PAS sendiri mampu menjawab.

1 comment:

mazlan_md66 said...

ini adalah institut wahabi...