Thursday, August 21, 2008

Ta'lim Sunnah Siri II - Golongan Menyimpang Dari Sunnah



Peta Lokasi(Sila klik pada gambar):




TENTATIF PROGRAM

20hb September 2008, Sabtu

08.30 am : Pendaftaran peserta & taklimat aturcara program

09.00 am : Ceramah 1 : Ahlus Sunnah wa Al-Jama’ah: Cabaran Dan Penerimaan Masyarakat (Ustaz Fadlan Mohd Othman)

10.45 am : Rehat

11.00 am : Ceramah 2 : Bahaya Syi’ah kepada Ummat (Kapten Hafiz Firdaus)

12.45 pm : Qoilulah & solat Zohor

02.00 pm : Ceramah 3 : Khawarij Moden (Dr Azwira Abd Aziz)

03.45 pm : Perbincangan & Resolusi

05.00 pm : Rehat

05.30 pm : Tadarrus dan Tadabbur al-Quran

07.00 pm : Ifthar & solat Maghrib

07.35 pm : Makan Malam

08.30 pm : Solat ‘Isya dan Tarawih

p/s: Program berakhir dengan makan malam selepas Maghrib (BUKAN jam 10 mlm seperti dalam iklan) dan peserta tidak tertakluk untuk mengikuti Isya' dan Tarawih di situ.

Thursday, August 07, 2008

Tawaran Istimewa Bulan Sya'ban

Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku".
(al-Zaariyat: 56).

Satu perkara yang penting dan perlu diberi perhatian ialah segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan serta menepati cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, tidak akan diterima oleh Allah, apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah Azza wa Jalla berfirman:

Maksudnya: “Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya” (al-Kahfi: 110).

Al-Imam Ibn Kathir (w 774) ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Sesiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah dia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)).
(Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cet.1, 2000), jil. 3, hal. 111)

Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, diantaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh: ((Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tetapi tidak tepat, maka ia tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, ia juga tidak akan diterima, sehinggalah ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tepat. Dan ikhlas itu ialah apabila ia dilakukan hanya kerana Allah Azza wa Jalla, dan tepat itu pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw)).

(Rujuk: Ibn Rejab, Jami’ al-ulum wa al-hikam (Beirut: Al-Maktabah al-‘Asriyah, cet. 3, 2000), hal. 15)

Bersempena dengan kedatangan bulan Sya’ban ini marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk meningkatkan ibadah kita. Namun, dalam keghairahan beribadah ini, dua syarat utama yang telah disebutkan di atas tidak harus diabaikan begitu saja. Mencontohi Rasulullah saw dalam melakukan ibadah dan dilakukan hanya semata-mata kerana Allah merupakan jalan selamat bagi memastikan ibadah yang diamalkan itu tidak sia-sia begitu saja.


Petunjuk

Berdasarkan petunjuk Rasulullah saw melalui hadith-hadithnya yang sahih, Baginda saw memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Sya’ban ini. Hal ini berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih, di antaranya (yang bermaksud):

- Daripada Usamah bin Zaid r.a berkata: Aku berkata kepada Rasulullah saw: Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa (sunat) di dalam bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Lalu Rasulullah saw bersabda: ((Bulan ini adalah bulan yang sering diabaikan oleh manusia iaitu bulan di antara Rejab dan Ramadhan, dan ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat mengadap Tuhan semesta alam dan aku suka amalanku diangkat ketika aku berpuasa)).

(Hadis riwayat Ahmad, Nasaa‘i dan disahihkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya, al-Munziri di dalam Sahih al-Jami’ dan Al-Albani di dalam Silsilah al-Sahihah)

- Daripada Aisyah ra berkata: ((Adalah Rasulullah saw apabila berpuasa, sehingga kita menganggap Baginda tidak akan berbuka, dan apabila Baginda berbuka, seolah-olah kita akan menganggap Baginda tidak akan berpuasa, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda memperbanyakkan puasanya (selain bulan Ramadhan) melainkan pada bulan Sya’ban)).
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dua hadith di atas adalah hadith-hadtih sahih dalam memperkatakan tentang kelebihan bulan Sya’ban dan menjelaskan kepada kita bahawa Nabi saw memperbanyakkan puasa (sunat) pada bulan ini. Oleh itu, memperbanyakkan amalan berpuasa sunat pada bulan ini berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw adalah amat dituntut dan digalakkan tanpa mengkhususkan hari-hari tertentu seperti pada hari Nisfu Sya’ban sahaja dan sebagainya.

Tidak Tepat

Sebaliknya amalan sesetengah orang yang mengkhususkan hari-hari tertentu pada bulan Sya’ban (contohnya Nisfu Sya’ban) untuk berpuasa adalah tidak tepat dan tidak ada sumbernya yang sahih. Begitu juga mereka yang mengamalkan puasa tiga bulan berturut-turut iaitu Rejab, Sya’ban dan Ramadhan; dengan alasan ia adalah sunnah, maka tidak ada dalil sahih yang boleh menyokong amalan ini. Malah ianya hanya berdasarkan hadith-hadith yang dhaif lagi maudhu’. Perbincangan dan penjelasan mengenai hadith-hadith dhaif tentang bulan Sya’ban ini boleh diikuti melalui artikel yang akan datang. Semoga kita semua diberikan petunjuk dan kekuatan dalam mencontohi dan menegakkan sunnah Rasulullah saw.
Oleh:
Abd al-Razzaq bin A.Muthalib