Thursday, January 17, 2008

Jejak Risalah Nusantara I - Bedah Buku Siri 1

~siri bedah buku~
Satu Penilaian Semula Kesan Kedatangan Islam di Nusantara
Jejak Risalah Di Nusantara I
Zaman Pra Islam Hingga Era Pelayaran Muhammad Cheng Ho
.

Penulis : Dr. Hafidzi Mohd Noori
- PhD, University of Aberdeen, Scotland, UKii
- Bertugas di Fakulti Pertanian, UPMiii
- aktivis JIM

Prakata

"Buku ini wajib dibaca oleh mereka yang mahu akar umbi pembangunan emosi-kognisi, sosio-ekonomi, dan politik-akidah umat Islam kukuh serta cemerlang khususnya apabila berdepan dengan pelbagai jenis cabaran. Saya yakin penulisnya berjaya mematangkan konsep dan kefahaman kita tentang perkembangan Islam di Nusantara"
- Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom -
.
.

Sekapur Sireh Dari Penulis
.
Sejarah merupakan satu disiplin ilmu yang sangat signifikan dalam pembentukan jati diri bangsa. Episod utama sejarah kita adalah membabitkan kedatangan Islam itu sendiri yang menjadi acuan asas kepada mega-perubahan identiti rumpun melayu Nusantara. Tetapi, kronologi sejarah yang berada di arus perdana kini telah diputar belit dan kelihatan menumpu hanya kepada babak-babak warisan yang bersifat estetika, metos dan lagenda turun-temurun. Bertujuan menimbulkan rasa 'inferiority complex' terhadap barat atas kekurangan yang dimiliki setelah mereka memisahkan hakikat sejarah yang gemilang pada plot kedatangan islam ke Nusantara.
.
Jasa-jasa yang dikenang dari tokoh ilmuwan Nusantara seperti Buya HAMKA, Prof. Syed Naquib al-Attas dan lain-lain telah membongkar jenayah lipatan sejarah oleh pihak penjajah dan membuka ruang kesedaran yang lebih luas dalam menilai peradaban nusantara.
.
Buku ini pada dasarnya memberi tumpuan kepada sejarah awal kedatangan Islam dari perspektif dakwah dan jihad. Ini sebagai inspirasi dan pedoman buat du'at demi merealisasikan usaha dakwah dengan dasar sivik yang jelas hasil pengajaran sejarah sebaran risalah islam di nusantara.
.
.
Pendahuluan
.
'Nusantara' adalah istilah kebudayaan gugusan kepulauan melayu, merangkumi lebih 200 juta manusia berbeza adat dan bahasa. Ianya merangkumi Malaysia ( termasuk Selatan Thai ), Indonesia, Singapura dan Filipina.
.
Kesan tapak arkeologi membuktikan kewujudan tamadun seawal zaman batu. Ia juga menjadi titik persenyawaan budaya dan pelabuhan semula jadi. Maka, berkembanglah pemikiran, budaya dan agama yang awalnya terdedah kepada animisme, Hindu dan Buddha. Namun demikian, Islam bertindak hebat mengubah persepsi hidup pada paradigma yang berbeza; menggoyahkan kepercayaan asal yang lama mengakar. Dan kini jumlah penganutnya mencecah 250 juta manusia.
.
Persoalan timbul akan faktor-faktor yang mendorong kepada revolusi tersebut. Bagaimana, Siapa, Kenapa dan banyak lagi yang perlu dirungkai. Sejauh manakah juga silap faham penjajah akan sifat kedatangan islam ke rantau ini?
.
.
Umat Islam Nusantara Mewarisi Tamadun Hindu/Buddha?
.
Tumpuan utama diberikan kepada bagaimana proses pengislaman berlaku dan kesannya kepada Melayu Nusantara. Namun, menjadi halangan apabila karya orientalis banyak mengabui kita dengan lapisan tebal sejarah pra-islam berkisar zaman animisme-Hindu-Buddha. Manakala kupasan kedatangan islam dan kesannya dipandang ringan dengan perbahasan yang sangat sedikit. Seolah-olah asas budaya nusantara adalah sumbangan besar hanya dari zaman pra-islam.
.
Demikianlah kisah-kisah kerajaan melayu lama disampaikan dan kerajaan-kerajaan islam dibisukan. Bukti-bukti sejarah yang ditinggalkan hanyalah candi dan kuil. Tokoh-tokoh yang diagungkan hanya dari pra-islam tapi yang lainnya disembunyikan ketokohan mereka. Namun demikian, akhirnya terbongkar jua segala kebenaran hasil usaha ilmuwan bidang sejarah di Nusantara ini sendiri.
.
Proses penjajahan minda ini tersusun baik buat umat islam. Jauhnya sejarah islam menatijahkan kekosongan pada kegemilangan nusantara. Hasilnya, rasa 'inferiority complex' berleluasa. Melihat gah di sudut barat sementara timur dipandang penuh igauan indah yang menyesatkan. Betapa hebatnya kesan sejarah menjadikan ianya kunci pembentukan identiti sebuah bangsa.
.
Zaman pra-Islam menyaksikan pengaruh Hindu-Buddha dibatasi golongan aristokrat dan sekitar istana tanpa meresap di kalangan rakyat. Ini berbeza dari Islam asli yang tidak membezakan di antara penganutnya biar siapapun mereka. Masing-masing mendapatkan hak kesama-rataan seadanya tanpa ada sisihan dan sebagainya.
.
Ini didasari dengan sifat islam yang dihayati dengan ilmu dan kefahaman, dan akhirnya sifat itu kekal sebati mengubah lanskap sosio-budaya penduduk nusantara. Prof al-Attas juga menegaskan tentang hakikat al-Quran sebagai kunci tamadun Melayu. Membersihkan segala bentuk kongkongan hasil kekolotan pemikiran yang sebati dengan gaya hidup mereka sebelumnya.
.
Ini telah membongkar kesilapan sarjana barat kerana meletakkan nilai seni pada ukiran, tarian dan wayang sebagai signifikasi simbol ketamadunan. Hakikatnya, Islam yang telah membentuk pola pemikiran orang Melayu dan membangunkan tamadun mereka berpaksikan kepada kemurnian aqidah.
.
.

Islam Tersebar Oleh Dakwah.
.
Telahan orientalis memberikan gambaran bahawa Islam tersebar di Nusantara secara semulajadi. Mereke menganggap, hasil dari komunikasi antara penganut Islam (pedagang-pedagang) dan penduduk setempat menyebabkan mereka tertarik dan memeluk Islam. B.H.M. Vlekke turut menafikan Islam tersebar melalui mubaligh kerana tiadanya jawatan khusus mubaligh dalam Islam seperti paderi dalam Kristian.
.
Terdapat beberapa teori yang dikembangkan tentang penyebaran Islam. Pertama, ianya tersebar secara tidak langsung daripada para pedagang dan penduduk tempatan kerana tertarik dengan akhlaq dan agama itu sendiri. Kedua, teori melalui lorong politik, iaitu apabila raja-raja tempatan tertarik dan memeluk Islam dengan harapan dapat mengukuhkan kedudukan politik. Lalu para bangsawan pun menurut dan diikuti oleh rakyat. Teori ketiga, melalui perkahwinan yang akhirnya membawa kepada tersebarnya Islam melalui keturunan. Seterusnya, dikatakan juga bahawa berlakunya penyebaran Islam secara bersungguh-sungguh adalah untuk bersaing dengan misi kristianisasi seiring kedatangan penjajah.
.
Kesemua teori sarjana barat tersebut cuba menutup hakikat peranan dakwah dengan memaparkan aspek sampingan yang tidak dominan. Sedangkan asimilasi dakwah itu yang membawa kepada sajian akhlaq, berlakunya perkahwinan, dan seruan islam secara terang kepada raja-raja dan rakyat.
.
Tokoh-tokoh yang tercatit dalam lembaran sejarah yang terlibat menyebarkan Islam ternyata ramai. Antaranya, Faqir Muhammad (Pasai), Maulana Malik Ibrahim (Jawa Timur), Syarif Muhammad (Mindanao), Syeikh Jana Khatib (Temasik - syahid) dan ramai lagi. Orientalis A.H. John menyokong kenyataan ini dan menganggap pelik dengan kenyataan tersebarnya Islam secara tipikal melalui perdagangan. Malah dia akur akan peranan dakwah dari kalangan peniaga-peniaga tersebut yang terlibat dengan kumpulan-kumpulan sufi (mubaligh) dan mengikut syeikh-syeikh tertentu.
..
Dari Jurusan Mana Datangnya Islam ke Nusantara?
.
Seperti biasa pihak orientalis lebih awal membuat justifikasi dengan menyebut Islam datang dari India. Pelbagai bukti yang dibawa bagi membenarkan kenyataan mereka, antaranya:-i. Batu-batu nisan di Pasai, Sumatera dan Jawa yang menyerupai batu Nisan di Gujerat, Selatan India (penemuan oleh J.P. Moquette, D.G.E. Hall).ii. Penguasaan Islam di bandar-bandar pelabuhan India yang kemudiannya tersebar ke Alam Melayu. (teori oleh Snouck Hurgronge).iii. Persamaan mazhab dari benua India – Mazhab Syafi’e (teori oleh T.W. Arnold).iv. Penyebaran Islam ke Samudera Pasai berasal dari Coromandel kerana itu satu-satunya daerah yang dikuasai Islam pada abad ke-13 (teori oleh G.E. Morrison).
.
Dari mana Islam datang sebenarnya tidak begitu mustahak untuk dibincangkan. Kerana tanggungjawab dakwah tidak eksklusif kepada mana-mana kumpulan atau bangsa. Ianya didasari rasa MAHU yang timbul setelah mengeTAHUi akan urgensi dakwah dalam hakikat kehidupan. Kemudian, timbullah keMAMPUan untuk merealisasikan agenda dakwah tanpa mengira batas waktu dan faktor lokasi.
.
Tapi, kita tertanya, kenapa para sarjana barat beria-ia mengatakan Islam berasal dari India. Ini adalah hasil tanggapan melalui beberapa karya sejarah yang menjustifikasi Asia Tenggara hanyalah sebagai lanjutan benua kecil India. Datangnya Islam hanyalah bagaikan tempelan mudah setelah sekian lama umat nusantara dipengaruhi budaya Hindu yang juga berasal dari India. Ini sebagai alasan untuk memgatakan bahawa Islam tidak membawa sebarang perubahan kepada sistem kehidupan alam Melayu.
.
Fakta sejarah menjelaskan, arus dakwah bermula dari jazirah Arab sendiri. Senarai kes pengislaman raja-raja oleh pendakwah dari Arab telah disusun oleh Buya HAMKA. Malah, banyak bahan rujukan yang tersebar di Nusantara berasal dari Timur Tengah sebagaimana yang dinyatakan Prof al-Attas. Terdapat sebilangan tokoh-tokoh sarjana seperti Keyzers, John Crawford dan Marsden menyebelahi teori kedatangan Islam adalah berasal dari Timur Tengah.
.
(bersambung..)

No comments: