Friday, January 11, 2008

MANHAJ PENERIMAAN ILMU DAN PENGHAYATANNYA DI DALAM AQIDAH DAN IBADAH

Oleh: Ustaz Abd Rasyid bin Idris (Presiden IQ)

Pendahuluan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam, selawat dan salam buat rasul-Nya yang amanah Nabi Muhammad juga buat keluarganya dan para sahabatnya serta orang-orang yang menuruti jejaknya hingga Hari Qiamat.

Nota ringkas ini diharapkan dapat memberikan gambaran asas terhadap beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh seorang muslim; supaya dia dapat mengambil pendirian yang terbaik dan melaksanakan titah perintah Allah 'azza wajalla dalam bentuk yang paling baik.

Untuk itu nota ringkas ini dibahagikan kepada beberapa topik iaitu:

1. kategori manusia

2. kejumudan pemikiran: sebab dan kesan

3. manhaj penerimaan ilmu

4. penyelesaian

1- Kategori manusia

Di antara fakta asas yang perlu disedari ialah manusia diciptakan oleh Allah berbeza di antara satu sama lain samada di sudut rupa, gaya, taraf hidup, kemampuan akal dan lain-lain. Justeru itu boleh dikategorikan manusia itu kepada beberapa jenis iaitu:

i- Ada kemampuan akal dan kemampuan mendalami ilmu, lalu apabila Allah mentaufiqkannya untuk itu jadilah dia seorang yang alim

ii- Ada kemampuan akal tetapi tidak ditaufiqkan memperolehi ilmu yang mendalam, dia tidak jadi orang alim tetapi mudah memahami apabila diterangkan tentang sesuatu fakta.

iii- Kurang kemampuan akal tetapi diberi kemudahan memperolehi ilmu, orang ini boleh jadi orang alim (walaupun mungkin tidak sama dengan yang pertama) tetapi boleh jadi juga hanya sekadar penuntut ilmu yang menurut.

iv- Kurang kemampuan akal dan tiada kesempatan belajar. Orang ini biasanya jahil.

Selain kategori ini, ada satu lagi pembahagian penting untuk diketahui iaitu:

i- Orang yang mengetahui bahawa dia orang yang berilmu lalu mengamalkan ilmunya dan menyebarkannya.

ii- Orang yang tidak mengetahui bahawa dia orang berilmu. Orang ini barangkali tidak beramal dengan ilmunya, jauh sekali untuk menyebarkannya. Jenis ini kurang boleh dimanfaatkan oleh umat.

iii- Orang yang mengetahui bahawa dia jahil atau kurang ilmu. Ia dipanggil al-jahl al-basit. Biasanya di kalangan orang beriman jenis ini masih akan berusaha mendalami pengatahuan agama buat bekal hari kemudian.

iv- Orang yang tidak mengetahui atau sengaja buat tahu bahawa dia bukan orang berilmu. Ini dipanggil al-jahl al-murakkab. Orang ini sukar menerima tunjuk ajar, mungkin degil dan sukar berubah.

2. Kejumudan pemikiran

Bagi setiap orang yang meneliti perkembangan ilmu di dalam sejarah ketamadunan Islam akan mendapati bahawa terdapat pasang surut di dalam pemikiran umat. Ini memberi kesan kepada bentuk penulisan dan hasil karya para sarjana Islam. Antara sebab berlaku yang sedemikian ialah:

i- Tanggapan bahawa pintu ijtihad telah tertutup

ii- Memusuhi mereka yang melakukan ijtihad dan mengeluarkan pandangan berbeza daripada imam-imam mazhab

iii- Berleluasanya taksub mazhab dan permusuhan dengan ahli mazhab lain

iv- Mengenepikan keilmuan dan kelebihan pemikiran ahli ilmu

v- Menyempitkan pegangan hanya pada satu mazhab tertentu

vi- Menyibukkan diri dalam membincangkan perkara-perkara andaian

vii- Banyaknya kejahilan dan kurangnya ilmu

3. Manhaj Penerimaan Ilmu

Berikut adalah asas yang wajib ada pada setiap manusia beriman:

3.1) Sumber ilmu hakiki ialah Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya

i- Islam satu-satunya agama yang benar di sisi Allah

ii- Syariat yang diturunkan adalah untuk kepentingan dan kebahagian manusia dunia dan akhirat

iii- Syariat itu telah sempurna

iv- Tidak boleh mendahului Allah dan Rasul

v- Setiap ketetapan Allah dan Rasul dijunjung tinggi dan diterima sepenuh hati

vi- Kembali kepada Allah dan Rasul apabila berlaku perselisihan

3.2) Sunnah Rasul adalah panduan untuk kesejahteraan

i- Rasulullah adalah hamba dan pesuruh Allah (iaitu satu-satunya manusia yang menerima wahyu sejak zaman baginda)

ii- Baginda adalah orang yang paling mengerti tentang maksud dan kehendak Allah

iii- Allah telah menetapkan bahawa panduan Rasul adalah yang terbaik

iv- Rasul telah menyampaikan risalah Allah sejelas-jelasnya secara amanah dan tanpa menyembunyikan sesuatupun

3.3) Al-Salaf al-Soleh adalah generasi terbaik

i- Mereka terdiri daripada para sahabat nabi, tabi'in dan atba' al-tabi'in serta orang-orang yang mengikut jejak mereka secara baik

ii- Para sahabat paling mengerti tentang perlakuan nabi kerana mereka adalah anak didik rasulullah dan ada yang menyaksikan sendiri penurunan ayat-ayat al-Quran serta mengetahui kisah di sebaliknya (sebab turun ayat)

iii- Para sahabat golongan paling kuat ilmu dan iman hasil didikan Rasulullah S.A.W, tabi'in adalah anak-anak dan murid-murid mereka begitu juga atba' al-tabi'in. Mereka ini diiktiraf oleh nabi S.A.W sebagai generasi yang terbaik

iv- Mereka akan segera bertanya Rasul apabila timbul persoalan tentang agama atau menunggu bersama nabi hingga wahyu turun.

v- Mereka yakin segala yang bertentangan dengan syarak hendaklah ditolak dan ditentang. Oleh itu mereka tegas menolak bid'ah dalam agama dan sentiasa melakukan amar ma'ruf nahi munkar.

4. Penyelesaian

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa persoalan ilmu yang tidak dihayati secari Islami dan tidak ditangani secara imani adalah antara punca kelemahan dan perpecahan umat Islam. Amalan yang dilakukan semakin jauh daripada nilai keIslamannya. Ini boleh mengakibatkan aqidah tercalar dan akhlak juga terjejas. Untuk itu suatu bentuk pengahayatan terhadap amalan dicadangkan di sini.

i- Berpegang teguh kepada apa yang warid daripada nas, tanpa sebarang tokok tambah. الاتباع الصحيح، هو الوقوف عند الوارد

ii- Maksud nas akan diambil secara zahir terlebih dahulu selagi tiada petanda yang ia membawa maksud sebaliknya. الأصل في الكلام الحقيقة

iii- Nas yang sahih tidak akan dibatali oleh nas yang tidak sahih, apatah lagi jika ia cuma cakap-cakap orang biasa atau kisah dongeng dahulu kala.

iv- Di dalam keadaan tidak mengetahui darjat sesuatu hadith itu sahih atau sebagainya, wajar bagi penuntut ilmu berpegang kepada pandangan ulama yang berkemampuan tentangnya. Cuma apabila wujud perbezaan pandangan ulama dalam hal itu, sepatutnya yang dinilai ialah hujah mereka.

v- Apabila perselisihan itu timbul dalam keadaan dalilnya sama-sama kuat perlulah ditarjih berdasarkan kriteria-kriteria tertentu. Biasanya ia membabitkan persoalan am dan khas, nasikh dan mansukh atau seumpamanya. قضية التعارض والترجيح

vi- Apabila tidak dapat dikenalpasti pendapat yang paling kukuh berdasarkan dalil; kerana tiada murajjih yang jelas, wajar bagi penuntut ilmu memilih pendapat yang paling ahwat (berhati-hati). الخروج من الخلاف مستحب

Adakalanya pendapat yang paling mudah lebih utama diambil.

vii- Bagi orang awam (iaitu yang tidak mampu menilai hujah dan dalil), pendirian yang patut diambil ialah pendirian orang yang dia Tanya tentang hukum/isu tersebut. مذهب العوام مذهب مفتيه

Peringatan

1- Tiada satu dalilpun yang mewajibkan berpegang dengan hanya satu mazhab, begitu juga dengan perkataan imam-imam mazhab itu sendiri.

2- Setiap orang wajib menuntut ilmu dan bertanya kepada ahli ilmu jika tidak mengetahui.

3- Setiap orang akan dipersoalkan berdasarkan kemampuan ilmunya.

4- Amalan yang direka-reka bukan ibadah, tetapi amalan yang disangka ibadah sedangkan hakikatnya bukan tidak menjadi dosa, cuma sia-sia.

Penutup

Semoga nota ringkas ini dapat membantu orang-orang yang cintakan agamanya dan mengambil berat tentang bekalan hari akhirat. Mudah-mudahan Allah sentiasa mentaufiqkan kita semua untuk kebenaran.

No comments: