Friday, February 16, 2007

Nik Aziz saran polis baca khutbah pakai seragam, senjata

KOTA BHARU 15 Feb. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengalu-alukan kesediaan pimpinan polis Kelantan untuk membaca khutbah Jumaat menyarankan mereka berdiri di mimbar dengan pakaian seragam dan bersenjata.

Beliau berkata, pada zaman Rasulullah dalam keadaan tertentu, adakalanya baginda memegang senjata ketika membaca khutbah.

Katanya, penggunaan tongkat ketika khatib membaca khutbah hanya merupakan satu tradisi.

Nik Abdul Aziz percaya kesediaan polis menyahut seruan berkhutbah akan membolehkan mereka berperanan lebih berkesan dalam menyedarkan masyarakat supaya bersama-sama membanteras jenayah.

“Pengalaman pihak polis juga boleh disampaikan melalui khutbah bagi menimbulkan kegerunan di kalangan orang yang cuba melakukan jenayah atau terlibat dalam gejala sosial,” kata Nik Aziz ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, khutbah itu dapat digunakan untuk mengingatkan umat Islam tentang bahaya penagihan dadah yang bakal memusnahkan kehidupan dan menghancurkan kebahagiaan keluarga.

‘‘Pegawai-pegawai polis sesuai menyampaikan khutbah dengan pakaian seragam dan lengkap bersenjata,” ujarnya.

Nik Aziz menyatakan demikian ketika diminta mengulas kesediaan polis untuk membaca khutbah iaitu langkah yang akan dirintis pada bulan Mac depan sempena sambutan ke-200 ulang tahun penubuhan pasukan polis.


http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm

No comments: