Saturday, February 10, 2007

Kerajaan negeri Perlis mempermudahkan lagi prosedur perkahwinan



KANGAR 8 Feb. – Kerajaan negeri Perlis mempermudahkan lagi prosedur perkahwinan sebagai langkah membanteras gejala sosial dan amalan seks bebas di kalangan masyarakat terutama golongan remaja.

Anggota Exco kerajaan negeri, Azihani Ali berkata, antara prosedur yang dipermudahkan ialah mereka yang ingin berkahwin di negeri ini tidak perlu lagi menukar alamat mereka ke alamat tetap di mana-mana tempat di negeri Perlis.

Katanya, proses menukar alamat ini memakan masa seminggu dan mengikut undang-undang sebelum ini, mana-mana pasangan yang tidak menukar alamat akan dikenakan denda RM2,000.

Kerajaan negeri turut menyediakan insentif antara RM1,000 hingga RM3,000 kepada bakal pengantin yang kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

“Bagi pasangan yang pertama kali berkahwin, insentif ini membantu mereka untuk membina penghidupan baru. Bagi perkahwinan kedua atau ketiga, kita akan rujuk pada kes tertentu seperti kematian atau berlaku perceraian dan mereka ingin berkahwin tetapi tidak berkemampuan dari segi kewangan,” katanya.

Azihani berkata, kerajaan negeri akan menambah bilangan jurunikah kepada 50 orang yang terdiri daripada imam yang bertauliah.

Mengenai poligami, beliau berkata, perkara itu tidak dapat dielak kerana ia tercatat jelas dalam al-Quran yang membolehkan lelaki berkahwin lebih daripada satu tetapi berdasarkan kepada kemampuan.

– Bernama

Cerai
KUALA LUMPUR 8 Feb. – Adalah tidak bertanggungjawab bagi media untuk melaporkan dan menerbitkan berita mengenai perceraian kerana ia bukan untuk tatapan umum, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas hari ini.

Beliau berkata, pengamal media tidak patut membenarkan pasaran untuk menentukan etika dan moral tetapi mereka perlu mendefinisikan etika dan moral untuk pasaran.

“(Dalam melaporkan kes perceraian) semuanya didedahkan. Semua butiran intim didedahkan untuk tatapan umum hanya kerana mereka mahu menjual surat khabar mereka,” katanya semasa menyampaikan ceramah bertajuk Kebebasan Media dan Kebebasan Bersuara Dalam Islam anjuran Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, berita mengenai perceraian hanya untuk anggota keluarga dan bukannya untuk tatapan umum.

“Pada pendapat saya, kita tidak boleh bercakap mengenai penceraian secara terbuka. Ia memalukan. Suami kata lain dan isteri kata lain.

Tergamak anda (media) laporkan dalam akhbar sewenang-wenangnya?” katanya.

Mengenai kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara menurut pandangan Islam, Syed Ali Tawfik berkata, tanggungjawab adalah lebih penting daripada kebebasan.

Oleh itu, pengamal media perlu sentiasa menitikberatkan tanggungjawab kepada awam terlebih dahulu sebelum mereka memutuskan untuk menerbitkan sebuah berita itu, katanya.

“Bagi industri media, tanggungjawab amat penting. Anda patut ramalkan akibat daripada berita itu. Adakah ia baik untuk masyarakat?

“Adalah tidak memudaratkan untuk merahsiakan maklumat tertentu bergantung kepada keadaan,” katanya.

– Bernama

----------------

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

2 comments:

Unknown said...

tahniah perlis..langkah yg negeri lain patut ikut...terutama kl dan selangor..

satu lg..memandangkan Valentine's Day dh dekat bole x saya mintak di bincangkan kenapa ia haram dgn dalil2 yg menyokong.juga kalo bole dicadangkan aktiviti sbg alternatif kita bole cadangkan kat remaja2 lain pada hari tu..

trimas.

YAPIS_ADMIN said...

insyaallah kami akan try update isu nih... jazakallah khairan katsira