Friday, September 02, 2005

KHUTBAH JUMAAT KITA LESU DAN HAMBAR


Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Hari ini, serangan terhadap Islam menerusi ucapan, tulisan dan tindakan begitu banyak sekali. Gejala yang memusnahkan muda-mudi dan umat keseluruhannya begitu aktif bergerak. Mereka ini dibantu oleh media yang berbagai. Luar dan dalam negara. Paparan-paparan isu yang dilambung oleh media untuk dijadikan perbahasan atau tarikan begitu hebat dan menarik. Ramai yang terfitnah dan tertarik dengannya. Lihat sahaja iklan-iklan yang menghebahkan siaran-siaran hiburan yang merugikan umat. Hebat dan menarik hati kebanyakan muda-mudi.

Ramai yang cintakan Islam mengeluh; macamana boleh diatasi perkara ini?!!. Kata mereka: “Kita tidak ada media yang kuat dan berpengaruh untuk membuat penerangan balas yang menarik dan dapat didengar oleh muda-mudi”. Kuliah di masjid? , kata mereka: “Mana ada muda-mudi yang mahu dengar sangat kuliah-kuliah di masjid?!!”.

Saya katakan, ini kurang tepat. Saya banyak juga beri kuliah di masjid-masjid. Saya lihat sambutan golongan muda begitu baik. Bahkan jumlah mereka kebiasaannya melebihi golongan berumur. Mereka begitu tekun dan bersemangat. Soalan-soalan mereka dalam kuliah juga ‘canggih-canggih’. Soalan-soalan itu biasanya mewakili cara fikir generasi baru dan menggambarkan keluasan pembacaan dan pengetahuan mereka tentang berbagai fakta. Saya rasa sangat dekat dengan mereka. Mungkin kerana umur saya yang hampir sebaya dengan mereka, atau kerana berbicara dengan bahasa yang mewakili generasi kini dan kehidupan hari ini, Alhamduli Allah. Tiada sebarang kelebihan pada saya. Cuma saya ada hasrat ingin berjalan menuju hidayah bersama mereka. Mereka mengingatkan saya apa yang tersilap dan tersalah dan demikian sebaliknya. Saya mungkin sedikit sebanyak memahami dalil, tetapi belum tentu betul-betul memahami realiti semasa. Mereka datang dari berbagai latarbelakang dan bidang. Mungkin mereka lebih memahami apa yang saya tidak faham. Mereka membantu saya di sudut itu. Saya wajar bertanya khabar dari mereka. Ini kerana hujah dan dalil syarak kadang-kala wajar diambil kira percaturan semasa. Agar Islam dapat menyelesaikan kekusutan hari ini.
Justeru itu, saya ingin mengajak agar kuliah-kuliah agama hendaklah bersifat ilmiah dan menghuraikan keperluan semasa. Wajarkah kita yang memberi kuliah untuk generasi yang serba canggih ini dengan cerita-cerita kartun tentang wali-wali yang kebanyakannya karut dan khurafat, isu-isu yang tidak wujud di zaman ini dan menggunakan pula bahasa melayu lama sanskrit seperti yang digunakan dalam bahasa jawi lama??!!. Generasi muda bukan menolak agama, tetapi menolak pendekatan yang digunakan lalu melarikan diri. Bahkan ada pengajian di masjid yang berbau khurafat dan fiqh yang membebankan.

Apa yang ingin saya fokuskan dalam tulisan ini ialah, sebenarnya kita masih mempunyai saluran yang sangat kuat dan berpengaruh jika digunakan dengan baik. Saluran itu ialah Khutbah Jumaat. Khutbah Jumaat adalah suatu kesempatan yang baik. Ada orang yang tidak solat lima waktu, tetapi hadir juga solat Jumaat. Mungkin malu kepada kawan-kawan. Apabila mereka hadir solat Jumaat, mahu tidak mahu mereka terpaksa dengar khutbah. Dengan itu, Khutbah Jumaat didengari oleh kebanyakan orang. Kaki mengaji, bukan kaki mengaji, yang rajin bersolat, yang solat ‘celup-celup’ dan kaki ponteng solat turut mendengarnya. Khutbah Jumaat adalah saluran utama yang dengannya boleh disampaikan banyak perkara.

Malangnya, banyak khutbah di Malaysia yang tidak berkualiti, hambar dan tidak menyentuh keperluan umat. Di sesetengah negeri, semua masjidnya membaca khutbah yang sama. Khutbah-khutbah itu telah siap disediakan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Khatib-khatib bagaikan ‘VCD player’ yang memainkan semula perkara yang sudah siap tanpa sebarang penambahan. Jika ada bunyian tambahan, ia dianggap rosak dan ‘pihak berkenaan’ akan datang baiki, atau tukar yang baru. Macam juga inti khutbah yang disediakan. Jika ditambah dianggap salah. Jika dibuat yang baru, lebih dianggap salah kerana cuba menyaingi pasaran. Maka khatib tidak dapat menegur dan mengulas isu tempatan, padahal ia perlu diingatkan jamaah di sekitarnya.

Jika inti khutbah itu menyentuh keperluan umat tidak mengapa. Apa yang mendukacitakan apabila ia terbabas dari keperluan umat. Sedangkan waktu tersebut adalah peluang terbesar untuk membaiki umat, khususnya muda-mudi. Apa tidaknya, di sebuah negeri, ketika umat Iraq dibom secara ganas dan dunia membantah kekejaman Amerika, khutbah yang dibaca pada Jumaat tersebut mengenai ‘tanggungjawab terhadap warga emas’. Ketika kemarahan umat Islam membuak-buak dalam isu pembunuhan Ahmad Yasin, khutbah membicarakan tentang fadilat-fadilat tertentu yang disokong oleh hadith-hadith palsu. Seketika khutbah Jumaat di sebuah negeri membicarakan tentang ‘tanggungjawab menjaga kebersihan sungai’. Lebih menarik, oleh kerana khutbah diselaraskan, di kawasan industri dibaca mengenai ‘tanggungjawab tanaman padi’. Sedangkan masalah umat bertimbun. Jiwa mereka yang lemah perlu dibangunkan. Semangat dakwah kepada Islam perlu dihidupkan. Isu-isu semasa umat Islam seperti Palestin, Iraq, bahaya Islam Liberal, hiburan tanpa sempadan, media yang merosakkan dan berbagai-bagai lagi perlu diperkatakan. Tidakkah mereka pernah mendengar hadith RasululLah s.a.w yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim dalam Kitab al-Jumu‘ah daripada Jabir bin ‘Abd Allah: “RasululLah itu ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, tegas marahnya seakan dia memberi amaran kepada suatu pasukan tentera”.

Khutbah mesti dibaca dengan semangat yang bersesuaian dengan inti kandungan khutbah. Jika tidak, khutbah menjadi waktu ‘rehat sambil duduk’ untuk melelapkan mata sementara menunggu iqamah. Apatah lagi waktu itu memang sedap kalau mahu tidur. Dengan khutbah yang tidak bernas dan tidak bermaya itu, maka para hadirin Jumaat bagaikan ‘orang mengantuk disurungkan bantal’. Khutbah yang longlai itu bagaikan bantal empuk untuk tidur sekejap menunggu solat. Inilah yang banyak berlaku sekarang. Golongan muda, bahkan orang berumur pun kurang memberi perhatian kepada isi khutbah yang ada. Ini kerana isinya yang tidak menarik perhatian pendengar dan kurang menyentuh keperluan umat. Ditambah dengan sesetengah masjid suara khatibnya pun antara tenggelam dan timbul. Lebih buruk lagi, ada yang tergagap-gagap dengan berbagai kesalahan bacaan.

Saya kadang-kala membayangkan ‘mungkin penulis-penulis khutbah ini berada di suatu kawasan pergunungan yang terputus hubungan dengan umat, lalu diperintahkan pula mereka menulis khutbah. Dari sana mereka mengirimkan kepada sesiapa yang turun ke bawah untuk diposkan ke pejabat yang memerlukan khutbah-khutbah itu. Dengan pos biasa, barang kali sebulan kemudian khutbah itupun sampai. Pegawai yang asyik membaca akhbar dan minum kopi bersama kawan sehingga banyak kes talak tertangguh, membukanya lima hari kemudian. Untuk ditaip dan disampaikan ke masjid-masjid, barangkali mengambil masa lagi sebulan. Kalau pun ada sedikit isi khutbah yang menyentuh umat melalui khabar yang dibawa oleh angin ke gunung, barangkali yang sedikit itu sudah luput tarikhnya..

Saban minggu kita telah menghilangkan peluang keemasan membentuk remaja, golongan muda dan umat keseluruhannya. Secara tidak langsung kita membunuh fungsi masjid. Ketika menafsirkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114: (bermaksud) “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan orang yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar”, al-Qadhi Abu Bakr Ibn al-`Arabi dalam tafsirnya, Ahkam al-Quran : “Merobohkan masjid ialah menghilangkan fungsinya dan menghalang muslimin untuk melahirkan syiar dan kesatuan pendirian mereka” (jld. 1, m.s. 51).

Kata al-Imam as-Syaukani dalam Fath al-Qadir pula: “Yang dimaksudkan dengan menghalang masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah dalamnya ialah menghalang sesiapa mendatanginya untuk solat, tilawah, zikir dan pengajian. Sementara maksud berusaha merobohkannya ialah berusaha untuk membinasakannya dan merosakkan bangunannya. Ia boleh juga membawa maksud mematikan fungsinya berkaitan ketaatan kepada Allah yang ditetapkan untuknya...ia juga merangkumi setiap perkara yang menghalang tujuan pembinaan masjid, seperti mempelajari ilmu dan mengajarkannya, duduk iktikaf dan menunggu solat” (jld 1, m.s. 144, Beirut: Dar Khair).

Kita memang tidak merobohkan tiang masjid. Tidak juga merosakkan bangunannya. Namun cara kita menguruskan masjid menjadikan masjid tidak berfungsi sepenuhnya, lesu, dan tidak dicintai oleh generasi baru, bahkan generasi tua juga. Masjid akhirnya, ada yang hanya jadi sekadar kelab orang pencen berkumpul selepas maghrib. Lebih ‘hodoh’ ada masjid yang menyediakan bekas rokok untuk ‘perokok-perokok masjid’ merokok di kaki lima masjid, atau ‘balai menunggu’ masjid sementara menanti iqamat. Jika semua ‘tempat-tempat terhormat’ seperti pejabat kerajaan, airport dan lain-lain tidak diizinkan merokok, apakah masjid lebih rendah nilainya dari semua tempat-tempat itu sehingga boleh dihisap ‘benda haram’ tersebut dalam kawasannya?!! Begitulah jadinya jika yang menguruskannya bukan mereka yang benar-benar fungsi. Generasi muda makin menjauhkan diri. Allah berfirman dalam Surah al-Taubah, ayat 18: (bermaksud) “Hanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”.

Di dalam Al-Zilal disebut: “Dinyatakan mengenai ketakutan hanya kepada Allah semata tiada pada yang lain, selepas syarat iman yang batin dan amal yang zahir, bukanlah sekadar galakan. Sebaliknya, mestilah hanya menyerah diri kepada Allah semata. Mestilah melepaskan dari segala bayangan syirik dalam perasaan dan perbuatan. Takut selain dari Allah adalah sejenis syirik khafi (tersembunyi) yang di sini diperingatkan oleh nas demi menjadikan iktikad dan amal semua untuk Allah, ketika itu layaklah orang mukminin memakmurkan masjid-masjid Allah” (jld. 3 m.s 1614, Mesir, Dar as-Syuruq). Dalam al-Tafsir al-Munir pula disebut: “Tidak takut dalam perkataan dan perbuatannya selain Allah sahaja, tidak selainnya sama ada berhala dan para pembesar yang pada hakikatnya tidak memberi manfaat dan mudarat. Sesungguhnya manfaat dan mudarat itu hanya di tangan Allah” (jld 10, m.s. 128, cetakan Dar al-Fikr, Beirut ).

Pengurusan masjid yang takutkan Allah akan menghidupkan fungsi sebenar masjid. Al-syeikh Dr. Mustafa as-Siba`i dalam kitabnya menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid dengan katanya: “Apabila Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid di dalam Islam …apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan keruhanian yang besar kedudukan dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka. Sejarah masjid di dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Pada masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah s.a.w). yang bertempat di Masjid Nabawi. Keistimewaan lain bagi masjid di dalam Islam ialah setiap minggu dilaungkan kalimat yang benar menerusi lidah khatibnya, padanya dibantahi kemunkaran dan diseru yang makruf, atau seruan kepada kebaikan, atau mengingatkan yang lalai, atau dakwah kepada kesatuan, atau bantahan terhadap yang zalim dan amaran kepada yang thaghut…Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah” (Al-sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan, al-Maktab al-Islami).

Kata al-Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah: “Demikian itu Masjid Nabawi (di zaman Rasulullah s.a.w.), ia telah memberikan khidmat agama, ilmu, kemasyarakatan dan politik. Maka hendaklah diingati tentang kedudukan masjid di dalam Islam seperti mana yang kami sebutkan” (Abu Syahbah, al-sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-sunnah, jld 2, m.s. 3, Damsyik, Dar al-Qalam).

Dr. `Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi al-sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang di asaskan oleh Rasulullah s.a.w.: [b]“Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencukupi dalam berbagai sudut al-din, politik dan kemasyarakatan”
( Dirasah fi al-sirah m.s. 149 Beirut: Dar an-Nafais).

Begitulah sepatutnya masjid berfungsi. Begitu sepatutnya khutbah Jumaat berperanan. Demi kebaikan umat Islam, khutbah Jumaat dan masjid hendaklah kembali kepada fungsinya. Jika tidak, generasi baru akan lebih gemar ke tempat hiburan yang terlarang yang seluruh fungsi kemaksiatan dihidupkan, dari menuju ke masjid-masjid Allah yang dibunuh sebahagian fungsi ketakwaannya.

1 comment:

asri al wahhabi an najdi said...

Assalamu3alaykum

Ramai yang tidak mengkaji sejarah dan hanya menerima pendapat Ibnu Taimiah sekadar dari bacaan kitabnya sahaja tanpa merangkumkan fakta sejarah dan kebenaran dengan telus dan ikhlas. Dari sebab itu mereka (seperti Wahhabiyah) sekadar berpegang dengan akidah salah yang termaktub dalam tulisan Ibnu Taimiah khususnya dalam permasaalahan usul akidah berkaitan kewujudan Allah dan pemahaman ayat " Ar-Rahman ^alal Arasy Istawa". Dalam masa yang sama mereka jahil tentang khabar dan berita sebenar berdasarkan sejarah yang diakui oleh ulama dizaman atau yang lebih hampir dengan Ibnu Taimiah yang sudah pasti lebih mengenali Ibnu Taimiah daripada kita dan Wahhabiyah.

Dengan kajian ini dapatlah kita memahami bahawa sebenarnya akidah Wahhabiyah antaranya :
1-Allah duduk di atas kursi.
2-Allah duduk dan berada di atas arasy.
3-Tempat bagi Allah adalah di atas arasy.
4-Berpegang dengan zohir(duduk) pada ayat "Ar-Rahman ^alal Arasy Istawa".
5-Allah berada di langit.
6-Allah berada di tempat atas.
7-Allah bercakap dengan suara.
8-Allah turun naik dari tempat ke tempat
dan selainnya daripada akidah kufur sebenarnya Ibnu Taimiah telah bertaubat daripada akidah sesat tersebut dengan mengucap dua kalimah syahadah serta mengaku sebagai pengikut Asyairah dengan katanya "saya golongan Asy'ary".
(Malangnya Wahhabi mengkafirkan golongan Asyairah, lihat buktinya :http://abu-syafiq.blogspot.com/2007/05/hobi-wahhabi-kafirkan-umat-islam.html).

Syeikhul Islam Imam Al-Hafiz As-Syeikh Ibnu Hajar Al-Asqolany yang hebat dalam ilmu hadith dan merupakan ulama hadith yang siqah dan pakar dalam segala ilmu hadith dan merupakan pengarang kitab syarah kepada Sohih Bukhari berjudul Fathul Bari beliau telah menyatakan kisah ini serta tidak menafikan kesahihannya dan ianya diakui oleh para ulama seperti Imam Ibnu hajar Al-Asqolany dalam kitab beliau berjudul Ad-Durar Al-Kaminah Fi 'ayan Al-Miaah As-Saminah yang disahihkan kewujudan kitabnya oleh ulama-ulama Wahhabi juga termasuk kanak-kanak Wahhabi di Malaysia ( Mohd Asri Zainul Abidin).
Kenyatan bertaubatnya Ibnu Taimiah dari akidah sesat tersebut juga telah dinyatakan oleh seorang ulama sezaman dengan Ibnu Taimiah iaitu Imam As-Syeikh Syihabud Din An-Nuwairy .

Ini penjelasannya :
Berkata Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany dalam kitabnya berjudul Ad-Durar Al-Kaminah Fi "ayan Al-Miaah As-Saminah cetakan 1414H Dar Al-Jiel juzuk 1 m/s 148 dan Imam As-Syeikh Syihabuddin An-Nuwairy wafat 733H cetakan Dar Al-Kutub Al-Misriyyah juzuk 32 m/s 115-116 dalam kitab berjudul Nihayah Al-Arab Fi Funun Al-Adab nasnya:

وأما تقي الدين فإنه استمر في الجب بقلعة الجبل إلى أن وصل الأمير حسام الدين مهنا إلى الأبواب السلطانية في شهر ربيع الأول سنة سبع وسبعمائة ، فسأل السلطان في أمره وشفع فيه ، فأمر بإخراجه ، فأخرج في يوم الجمعة الثالث والعشرين من الشهر وأحضر إلى دار النيابة بقلعة الجبل ، وحصل بحث مع الفقهاء ، ثم اجتمع جماعة من أعيان العلماء ولم تحضره القضاة ، وذلك لمرض قاضي القضاة زين الدين المالكي ، ولم يحضر غيره من القضاة ، وحصل البحث ، وكتب خطه ووقع الإشهاد عليه وكتب بصورة المجلس مكتوب مضمونه : بسم الله الرحمن الرحيم شهد من يضع خطه آخره أنه لما عقد مجلس لتقي الدين أحمد بن تيمية الحراني الحنبلي بحضرة المقر الأشرف العالي المولوي الأميري الكبيري العالمي العادلي السيفي ملك الأمراء سلار الملكي الناصري نائب السلطنة المعظمة أسبغ الله ظله ، وحضر فيه جماعة من السادة العلماء الفضلاء أهل الفتيا بالديار المصرية بسبب ما نقل عنه ووجد بخطه الذي عرف به قبل ذلك من الأمور المتعلقة باعتقاده أن الله تعالى يتكلم بصوت ، وأن الاستواء على حقيقته ، وغير ذلك مما هو مخالف لأهل الحق ، انتهى المجلس بعد أن جرت فيه مباحث معه ليرجع عن اعتقاده في ذلك ، إلى أن قال بحضرة شهود : ( أنا أشعري ) ورفع كتاب الأشعرية على رأسه ، وأشهد عليه بما كتب خطا وصورته : (( الحمد لله ، الذي أعتقده أن القرآن معنى قائم بذات الله ، وهو صفة من صفات ذاته القديمة الأزلية ، وهو غير مخلوق ، وليس بحرف ولا صوت ، كتبه أحمد بن تيمية . والذي أعتقده من قوله : ( الرحمن على العرش استوى ) أنه على ما قاله الجماعة ، أنه ليس على حقيقته وظاهره ، ولا أعلم كنه المراد منه ، بل لا يعلم ذلك إلا الله تعالى ، كتبه أحمد بن تيمية . والقول في النزول كالقول في الاستواء ، أقول فيه ما أقول فيه ، ولا أعلم كنه المراد به بل لا يعلم ذلك إلا الله تعالى ، وليس على حقيقته وظاهره ، كتبه أحمد بن تيمية ، وذلك في يوم الأحد خامس عشرين شهر ربيع الأول سنة سبع وسبعمائة )) هذا صورة ما كتبه بخطه ، وأشهد عليه أيضا أنه تاب إلى الله تعالى مما ينافي هذا الاعتقاد في المسائل الأربع المذكورة بخطه ، وتلفظ بالشهادتين المعظمتين ، وأشهد عليه بالطواعية والاختيار في ذلك كله بقلعة الجبل المحروسة من الديار المصرية حرسها الله تعالى بتاريخ يوم الأحد الخامس والعشرين من شهر ربيع الأول سنة سبع وسبعمائة ، وشهد عليه في هذا المحضر جماعة من الأعيان المقنتين والعدول ، وأفرج عنه واستقر بالقاهرة

Saya terjemahkan beberapa yang penting dari nas dan kenyataan tersebut:

1-
ووجد بخطه الذي عرف به قبل ذلك من الأمور المتعلقة باعتقاده أن الله تعالى يتكلم بصوت ، وأن الاستواء على حقيقته ، وغير ذلك مما هو مخالف لأهل الحق
Terjemahannya: "Dan para ulama telah mendapati skrip yang telah ditulis oleh Ibnu Taimiah yang telahpun diakui akannya sebelum itu (akidah salah ibnu taimiah sebelum bertaubat) berkaitan dengan akidahnya bahawa Allah ta'ala berkata-kata dengan suara, dan Allah beristawa dengan erti yang hakiki (iaitu duduk) dan selain itu yang bertentangan dengan Ahl Haq (kebenaran)".

Saya mengatakan :
Ini adalah bukti dari para ulama islam di zaman Ibnu Taimiah bahawa dia berpegang dengan akidah yang salah sebelum bertaubat daripadanya antaranya Allah beristawa secara hakiki iaitu duduk. Golongan Wahhabiyah sehingga ke hari ini masih berakidah dengan akidah yang salah ini iaitu menganggap bahawa Istiwa Allah adalah hakiki. Sedangkan ibnu Taimiah telah bertaubat dari akidah tersebut.


2-
قال بحضرة شهود : ( أنا أشعري ) ورفع كتاب الأشعرية على رأسه
Terjemahannya: " Telah berkata Ibnu Taimiah dengan kehadiran saksi para ulama: ' Saya golongan Asy'ary' dan mengangkat kitab Al-Asy'ariyah di atas kepalanya ( mengakuinya)".

Saya mengatakan : Kepada Wahhabi yang mengkafirkan atau menghukum sesat terhadap Asya'irah, apakah mereka menghukum sesat juga terhadap Syeikhul islam mereka sendiri ini?!
Siapa lagi yang tinggal sebagai islam selepas syeikhul islam kamu pun kamu kafirkan dan sesatkan?! Ibnu Taimiah mengaku sebagai golongan Asy'ary malangnya Wahhabi mengkafirkan golongan Asya'ry pula, rujuk bukti Wahhabi kafirkan golongan As'y'ary :http://abu-syafiq.blogspot.com/2007/05/hobi-wahhabi-kafirkan-umat-islam.html.


3-
والذي أعتقده من قوله : ( الرحمن على العرش استوى ) أنه على ما قاله الجماعة ، أنه ليس على حقيقته وظاهره ، ولا أعلم كنه المراد منه ، بل لا يعلم ذلك إلا الله تعالى ، كتبه أحمد بن تيمية
Terjemahan khot tulisan Ibnu Taimiah dihadapan para ulama islam ketika itu dan mereka semua menjadi saksi kenyataan Ibnu Taimiah :
" Dan yang aku berpegang mengenai firman Allah 'Ar-Rahman diatas Arasy istawa' adalah sepertimana berpegangnya jemaah ulama islam, sesungguhnya ayat tersebut bukan bererti hakikatnya(duduk) dan bukan atas zohirnya dan aku tidak mengetahui maksud sebenar-benarnya dari ayat tersebut bahkan tidak diketahui makna sebenr-benarnya dari ayat tersebut kecuali Allah.Telah menulis perkara ini oleh Ahmad Ibnu Taimiah".

Saya mengatakan: Ibnu Taimiah telah bertaubat dan mengatakan Ayat tersebut bukan atas zohirnya dan bukan atas hakikinya iaitu bukan bererti Allah duduk mahupun bertempat atas arash. Malangnya kesemua tok guru Wahhabi sehingga sekarang termasuk Al-Bani, Soleh Uthaimien, Bin Baz dan kesemuanya berpegang ayat tersebut secara zohirnya dan hakikatnya (duduk dan bertempat atas arasy). Lihat saja buku-buku mereka jelas menyatakan sedemikian.
Maka siapakah syeikhul islam sekarang ini disisi Wahhabiyah atau adakah syeikhul islam anda wahai Wahhabi telah kafir disebabkan taubatnya?!

4-
وأشهد عليه أيضا أنه تاب إلى الله تعالى مما ينافي هذا الاعتقاد في المسائل الأربع المذكورة بخطه ، وتلفظ بالشهادتين المعظمتين
Terjemahannya berkata Imam Nuwairy seperti yang dinyatakan juga oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany : " Dan aku antara saksi bahawa Ibnu Taimiah telah bertaubat kepada Allah daripada akidah yang salah pada empat masaalah akidah yang telah dinyatakan, dan Ibnu Taimiah telah mengucap dua kalimah syahadah(bertaubat daripada akidah yang salah pernah dia pegangi terdahulu)".



Saya mengatakan: Ibnu Taimiah telah memeluk islam kembali dengan mengucap dua kalimah syahadah dan mengiktiraf akidahnya sebelum itu adalah salah dan kini akidah yang salahnya itu pula dipegang oleh golongan Wahhabiyah. Maka bilakah pula golongan Wahhabiyah yang berpegang dengan akidah yang salah tersebut akan memluk agama islam semula seperti yang dilakukan oleh rujukan utama mereka yang mereka sendiri namakan sebagai Syeikhul Islam?!.Jadikan qudwah dan ikutan Ibnu Taimiah dalam hal ini wahai Wahhabiyah!.Ayuh! bertaubatlah sesungguhnya kebenaran itu lebih tinggi dari segala kebatilan. Pintu taubat masih terbuka bagi Wahhabi yang belum dicabut nyawa.


ULAMA YANG MENYATAKAN DAN MENYAKSIKAN KISAH TAUBATNYA

IBNU TAIMIAH.

Selain Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany dalam kitabnya berjudul Ad-Durar Al-Kaminah Fi "ayan Al-Miaah As-Saminah cetakan 1414H Dar Al-Jiel juzuk 1 m/s 148

dan Imam As-Syeikh Syihabuddin An-Nuwairy wafat 733H cetakan Dar Al-Kutub Al-Misriyyah juzuk 32 m/s 115-116 dalam kitab berjudul Nihayah Al-Arab Fi Funun Al-Adab yang menyatakan kisah taubat Ibnu Taimiah ramai lagi ulama islam yang menyaksikan dan menceritakan kisah pengakuan tersebut antaranya lagi :


-As-Syeikh Ibnu Al-Mu'allim wafat tahun 725H dalam kitab Najmul Muhtadi Wa Rojmul Mu'tadi cetakan Paris nom 638.


-As-Syeikh Ad-Dawadai wafat selepas 736H dalam kitab Kanzu Ad-Durar - Al0Jam'-239.


-As-Syeikh Taghry Bardy Al-Hanafi bermazhab Hanafiyah wafat 874H dalam Al-Minha As-Sofi m/s576 dan beliau juga menyatakn sepertimana yang dinyatakan nasnya oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany dalam kitabnya yang lain berjudul An-Nujum Az-Zahirah Al-Jami' 580.


Merekalah dan selain mereka telah menyatakan taubat Ibnu Taimiah daripada akidah Allah Duduk dan bertempat di atas arasy.



Kata-kata akhirku dalam penerangan kajian ringkas berfakta ini..

Wahai Wahhabiyah yang berakidah Allah Duduk di atas arasy. Itu adalah akidah kristian kafir dan yahudi laknat (Rujuk bukti :http://abu-syafiq.blogspot.com/2007/05/penjelasan1-allah-duduk-atas-arasy.html .
Berpeganglah dengan akidah salaf sebenar dan khalaf serta akidah ahli hadith yang di namakan sebagai akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu Allah tidak memerlukan kepada mana-mana makhlukNya termasuk tempat dilangit mahupun tempat di atas arasy.

Semoga Allah merahmati hambaNya yang benar-benar mencari kebenaran.
Wassalam.