Tuesday, November 15, 2005

DI MANA KESAN DIDIKAN RAMADHAN?

DI MANA KESAN DIDIKAN RAMADHAN?

Oleh:

Abd al-Razzaq A.Muthalib

Jika diibaratkan Ramadhan seperti sebuah sekolah atau universiti, maka kita adalah pelajarnya. Bagaimana seorang pelajar yang akan mendaftar di sekolah atau universiti membuat persediaan yang rapi, maka begitulah kita yang ingin memasuki sekolah/universiti Ramadhan ini. Sepatutnya persediaan telah kita lakukan sejak bulan Sya’ban lagi dengan diperbanyakkan puasa sunat. Kalau di sekolah atau universiti diadakan minggu suai kenal, maka puasa sunat di bulan Sya’ban ini juga boleh diibaratkan seperti minggu suai kenal sebelum kita menjalani proses pendidikan yang sebenar di sekolah atau universiti Ramadhan nanti.

Selepas melalui minggu suai kenal, maka tibalah hari pengajian yang ditunggu-tunggu. Mereka yang telah membiasakan diri dengan keadaan dan persekitaran di bulan Sya’ban, tidak akan terasa sesuatu yang membebankan malah mereka lebih gembira kerana itulah tujuan dan harapan yang mereka nanti-nantikan. Tetapi bagi mereka yang tidak memanfaatkan sepenuhnya minggu suai kenal tersebut, kemungkinan masih belum bersedia sepenuhnya dan terasa sedikit kesusahan dalam dirinya. Namun, apakan daya, pembelajaran di sekolah atau universiti Ramadhan perlu diteruskan, kerana ini adalah arahan, kecuali bagi mereka yang keuzuran. Arahan ini telah termaktub di dalam buku panduan: ((Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu puasa, seperti mana telah diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa. Ianya beberapa hari yang ditentukan, maka barangsiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir maka boleh diganti pada hari yang lain…)) (Al-Baqarah: 183)

Seseorang yang telah mendaftar untuk belajar di sekolah atau universiti Ramadhan ini perlu untuk menghabiskan silibus yang telah ditetapkan. Silibusnya terbahagi kepada dua; silibus wajib dan silibus pilihan (sunat). Silibus yang wajib ialah setiap pelajar mesti menahan diri daripada makan dan minum serta dari perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbitnya fajar sehinggalah terbenamnya matahari. Silibus yang wajib ini hanya satu, tetapi ada pecahan di bawahnya iaitu tidak boleh bercakap perkara yang lucah, kotor, kasar, dusta dan yang melalaikan. Mana-mana pelajar yang hanya tidak makan dan tidak minum sahaja, tetapi masih mengucapkan kata-kata yang keji, lucah, dusta, melalaikan dan sebagainya akan terjejas markahnya. Inilah peraturan yang perlu dipatuhi: Daripada Abu Hurairah ra katanya, Nabi saw bersabda: ((Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya, maka Allah swt langsung tidak berhajatnya daripadanya untuk dia meninggalkan makan dan minumnya)). (Riwayat al-Bukhari).

Bagi silibus pilihan pula, seseorang itu tidak diwajibkan untuk mengambilnya. Tetapi ianya amat digalakkan kerana ia dapat menampung markah puasa yang mungkin terjejas tanpa disedari. Di samping itu, ia juga merupakan satu peluang yang ditawarkan untuk setiap pelajar mencari markah tambahan supaya dia dapat tamatkan pengajiannya di sekolah Ramadhan ini dengan penuh cemerlang. Antara silibus pilihan yang ditawarkan dan amat digalakkan ialah:

1- Solat terawih

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasululullah saw bersabda (maksudnya): ((Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan malam) Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan , diampunkan segala dosa yang telah lalu)) (Muttafaqun ‘alaihi)

2- Bersahur

Daripada Amru bin Al-‘As, bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Yang menjadi beza di antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur)). (Riwayat Muslim)

3- Tadarus al-Quran

Daripada Ibn Abbas ra berkata: ((Nabi saw adalah seorang yang pemurah, dan Baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan, ketika mana Jibril berjumpa dengan Baginda, mereka saling bertadarus al-Quran, dan Jibril berjumpa dengan Baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan, maka mereka saling bertadarus al-Quran…)) (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Menurut Ibn Rejab, hadis ini menunjukkan galakan bertadarus al-Quran dan memperbanyakkan bacaannya pada bulan Ramadhan.

4- Menjamu orang berbuka puasa.

Daripada Zaid bin Khalid ra, Nabi saw bersabda (maksudnya): ((Sesiapa yang menjamu orang berbuka puasa, maka baginya pahala sama seperti pahala orang yang dijamu itu, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa itu)). (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban. Al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih al-Jami’)

5- I’tikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan

Daripada ‘Aisyah ra berkata: ((Nabi saw selalu beri’tikaf pada sepuluh akhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian, isteri-isteri baginda pula beri’tikaf selepas kewafatan baginda)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Bagi pelajar yang terpilih dan bernasib baik pula, sekolah atau universiti Ramadhan ini menyediakan satu anugerah istimewa sebelum dia menamatkan pembelajaran iaitu anugerah Lailat al-Qadr. Anugerah ini merupakan anugerah yang terulung dan siapa yang terpilih telah dijanjikan dengan ganjaran yang istimewa. Firman Allah swt bermaksud: ((Lailat al-qadr itu lebih baik daripada seribu bulan)) (Surah al-Qadr: 3). Nabi saw juga memberikan jaminannya: ((Sesiapa yang menghidupkan Lailat al-qadr (dengan ibadah) dengan punuh keimanan dan keikhlasan serta mengharapkan ganjarannya, diampunkan segala dosanya yang telah lalu)). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kebiasaannya anugerah ini akan diberikan pada sepuluh hari terakhir sebelum tamatnya sesi pengajian. Sebab itulah ‘Aisyah ra menyatakan: Rasulullah saw beri’tikaf pada sepuluh terakhir Ramadhan dan Baginda berpesan: ((Intailah lailat al-qadr pada sepuluh terakhir daripada Ramadhan)). (Muttafaqun ‘alaihi).

Setelah sebulan melalui proses pembelajaran di sekolah atau universiti Ramadhan ini, maka tibalah hari yang dinantikan iaitu hari konvokesyen atau hari anugerah cemerlang pada 1 Syawal. Setelah berjaya melalui segala ujian dan peperiksaan dengan cemerlang, maka diadakan hari konvokesyen ini sebagai tanda penghargaan dan ucapan tahniah untuk mereka yang telah berjaya. Pada hari ini semua pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sewaktu Ramadhan pasti berasa gembira dan bersih dari segala dosa seakan-akan bayi yang baru lahir. Prestasi yang cemerlang ini mesti berdasarkan keimanan dan keikhlasan kepada Allah swt. Nabi saw bersabda (bermaksud): ((Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu)) (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Mereka yang telah mendapat ijazah daripada sekolah atau universiti Ramadhan ini juga sebenarnya telah menempah tiket al-Rayyan untuk menuju ke satu destinasi yang menjadi idaman setiap insan mukmin. Daripada Sahl bin Said r.a, bahawa Nabi saw bersabda (bermaksud): ((Sesungguhnya di dalam syurga itu ada satu pintu yang dinamakan al-Rayyan, orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, tidak akan masuk seorang pun selain daripada mereka (yang berpuasa), apabila telah masuk orang yang berpuasa, pintu ini akan ditutup, maka tidak dapat masuk seorang pun yang lain melalui pintu ini)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Ini adalah antara beberapa ganjaran dan anugerah yang telah diumumkan. Namun begitu, masih ada lagi anugerah atau ganjaran yang tidak terhitung jumlahnya dan tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali oleh pihak Pentadbir, Yang Maha Mengetahui segala yang zahir dan tersembunyi. Allah Azza wa Jalla berfirman di dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah ra berkata: telah bersabda Rasulullah saw: ((Allah swt telah berfirman: Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada hadnya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya…)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Walaupun asyik bergembira dengan hari konvokesyen pada 1 Syawal ini, sepatutnya setiap pelajar harus bermuhasabah kembali apakah dia telah mencapai segala misi dan visi daripada kursus yang diambil ini seperti mana yang telah ditetapkan oleh pihak Pentadbir: ((Wahai orang-orang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan juga ke atas mereka yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa)). (Al-Baqarah:183).

Sekarang tamatlah proses pembelajaran atau kursus di sebuah sekolah atau universiti yang dinamakan Ramadhan. Jadi, apa pula selepas Ramadhan? Bagaimana pula amalan kita di bulan Syawal, Zulqaedah, Zulhijjah, Muharam, Safar dan bulan-bulan yang lain? Bagaimana juga akhlak kita di bulan-bulan yang lain? Apakah kesannya setelah sebulan kita mendapat latihan pada bulan Ramadhan? Adakah semuanya terhenti apabila tibanya 1 Syawal? Justeru, di depan kita adalah beberapa persoalan yang tidak cukup jika hanya dijawab dengan lisan tanpa dibuktikan dengan tindakan.

Solat berjemaah & Imarahkan masjid

Kalau di bulan Ramadhan, kita dapat lihat fenomena kebanjiran manusia di kebanyakan masjid-masjid. Masing-masing dengan penuh semangat berpusu-pusu menuju ke masjid kerana tidak mahu melepaskan peluang solat terawih berjemaah. Kadang-kadang terdapat juga sesetengah masjid dan surau yang terpaksa mendirikan khemah sementara diluar masjid bagi manampung jumlah para jamaah yang begitu ramai. Terlintas juga di benak fikiran Pengerusi Jawatankuasa Masjid dan AJKnya bahawa masjid kita ini perlu diperbesarkan sebab ramai sangat penduduk kariah yang datang. Tempat letak kenderaan juga tidak cukup sampai ada yang terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing jauh di bahu-bahu jalan raya. Kadangkala sampai berlaku gangguan lalu lintas. Cukup indah suasana pada malam-malam Ramadhan ini. Si suami mengajak isteri sambil memimpin anak-anak untuk sama-sama ke masjid bagi menunaikan solat sunat terawih. Tidak kurang juga yang menumpangkan kenderaannya yang besar kepada jiran-jirannya. Sampai di masjid atau surau, masing-masing mengambil kesempatan untuk bersalam-salaman sesama muslim sambil bertanya khabar. Malah ramai juga yang mendapat kenalan baru pada malam-malam Ramadhan ini. Yang lebih lucunya, ada yang baru tahu rupanya mereka tingal di satu taman, satu flet atau kawasan perumahan yang sama. Alangkah harmoninya suasana ini. Tua, muda, miskin dan kaya masing-masing berhimpun di rumah Ilahi dengan satu tujuan yang sama dan niat suci di hati.

Persoalannya, kenapa keadaan ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan? Kenapa pada hari-hari lain –kecuali hari Jumaat- dan malam-malam lain fenomena ini tidak dapat dilihat. Malah sesetengah masjid ibarat hidup segan mati tak mahu dek kerana tidak dihidupkan dengan solat jemaah atau terlalu sikit jumlah penduduk yang mengunjunginya. Ada juga masjid-masjid yang dikunci pada siang harinya kecuali hari Jumaat kerana tidak hidupnya amalan solat jemaah Zohor dan Asar di situ. Program-program kuliah pula hanya didengari oleh beberapa orang sahaja yang setia dengan masjid. Itu pun mereka yang telah berumur dan kadang-kadang kurang pendengaran dan penglihatannya. Tiada lagi aktiviti yang boleh mereka lakukan, kecuali menghabiskan saki baki umur tua sambil menanti janji Ilahi yang pasti akan ditemui nanti.

Apakah kita hanya dituntut untuk berjemaah semasa solat terawih sahaja? Bagaimana dengan solat-solat fardhu yang lain? Kalau kita boleh luangkan masa dan berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat SUNAT terawih, kenapa hal sedemikian tidak kita lakukan untuk solat-solat FARDHU yang lain pada bulan-bulan yang lain? Apakah Allah swt hanya akan memberi ganjaran pahala untuk mereka yang berjemaah di masjid pada bulan Ramadhan sahaja? Apakah masjid dibina hanya untuk solat terawih pada bulan Ramadhan sahaja? Kalau kita merasa rugi jika terlepas solat terawih kerana fadhilatnya yang banyak, kenapa kita tidak merasa rugi apabila kita tidak solat fardhu yang lain secara berjemaah? Kalau kita begitu mengambil berat dan memberi perhatian kepada amalan sunat ini, sepatutnya perhatian yang lebih lagi patut diberikan kepada amalan yang fardhu. Tidakkah kita pernah mendengar saranan dan pesanan yang diberikan oleh Allah dan juga rasul-Nya tentang kelebihan-kelebihan mereka yang memakmurkan masjid dan solat berjemaah? Cuba renung beberapa pernyataan ini:

Firman Allah swt bermaksud: ((Hanyasanya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah adalah dari kalangan mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka itulah yang akan tergolong dari kalangan mereka yang mendapat petunjuk)). (Al-Taubah: 18)

Sabda Rasulullah saw bermaksud: ((Sesiapa yang bersuci (mengambil wudhuk) di rumahnya, kemudian berjalan ke salah satu rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan kefardhuan (solat) daripada fardhu-fardhu yang telah ditetapkan oleh Allah, maka setiap langkahnya akan dihapuskan dosa (yang kecil) dan satu langkah lagi akan dinaikkan darjatnya (di sisi Allah)). (Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah saw lagi bermaksud: ((Solat berjemaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda)). (Muttafaqun ‘alaihi)).

Justeru, ayuhlah wahai umat Islam sekelian! Ayuh kita imarahkan rumah-rumah Allah pada setiap masa. Ikatlah hati-hati kita dengan masjid mudahan kita akan mendapat naungan Allah pada hari akhirat yang tiada lagi naungan kecuali naungan Ilahi. Hidupkan kembali masjid dengan solat-solat fardhu berjemaah. Kembalikan semula fungsi dan peranan institusi masjid seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat pada era kegemilangan mereka. Ajak dan ajarlah ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga kita untuk mencintai dan merindui rumah-rumah Allah dengan memakmurkannya. Jadikan suasana pada malam-malam Ramadhan berlaku juga pada malam-malam yang lain.

Solat fardhu & Solat sunat

Kita juga dapat melihat kebanyakkan umat Islam mampu dan bersungguh-sungguh menunaikan solat sunat terawih dan witir samada 11 rakaat atau 23 rakaat. Waduh! Walaupun terasa sedikit keletihan, namun digagahkan juga diri, dipujuk juga hati supaya tetap meneruskan solat sunat terawih ini semata-mata mahu merebut pahala sunat yang dijanjikan. Ada juga yang sengaja mencari masjid-masjid yang imamnya membaca satu malam satu juzuk. Walaupun lama, tetapi kepuasan hatinya yang lebih diutama. Sembahyang sunat terawih dan witir ini yang sebanyak 11 atau 23 rakaat ini bukan dilakukan satu dua malam sahaja, tetapi selama sebulan. Kuat sungguh umat Islam kita mengejar pahala sunat. Rupa-rupanya masing-masing berkemampuan untuk mendirikan solat sunat.

Persoalannya, apakah amalan solat sunat hanya dituntut pada bulan Ramadhan sahaja. Apabila berakhirnya Ramadhan, terus kita menjadi lemah dan tidak mampu walaupun untuk menunaikan solat sunat rawatib yang hanya dua rakaat. Kenapa begitu? Kalau solat sunat yang sebanyak 11 atau 23 rakaat itu kita mampu lakukan, kenapa yang hanya 2 rakaat ini kita abaikan. Ya, memang ianya hanya sunat. Tetapi tidak merasa rugikah kita jika kita tidak merebut pahala sunat ini sepertimana kita merasa rugi apabila kita terlepas solat terawih. Atau adakah kita hanya mendengar kelebihan solat sunat terawih sahaja, dan tidak pula pernah diberitahu tentang kelebihan solat sunat rawatib yang lain. Nah! Renungilah wahai insan mukmin, beberapa fadhilat solat sunat yang akan disebutkan ini dengan harapan kita juga akan terus bersemangat untuk merebut ganjarannya:

Rasulullah saw bersabda bermaksud: ((Tidaklah seorang hamba muslim yang bersembahyang sunat kerana Allah Taala pada setiap hari sebanyak 12 rakaat, selain daripada yang fardhu, kecuali Allah akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga- atau akan dibina baginya sebuah rumah di dalam syurga)). (Riwayat Muslim).

Daripada ‘Aisyah ra, Nabi saw bersabda bermaksud: ((Dua rakaat sebelum fajar (solat sunat sebelum Subuh) adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya)). (Riwayat Muslim).

Daripada Ummu Habibah ra katanya: Rasulullah saw bersabda: ((Sesiapa yang memelihara (solat sunat) empat rakaat sebelum zohor dan empat rakaat selepasnya, Allah akan mengharamkannya daripada api neraka)). (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dan al-Tirmizi menyatakan: hadis hasan sahih).

Lebih malang dan menyedihkan lagi, apabila ada juga yang begitu bersungguh-sungguh menunaikan solat terawih pada bulan Ramadhan, tetapi mengabaikan solat fardhu yang lain. Yang sunat dilakukan, yang wajib ditinggalkan. Ada yang berpuasa, tetapi tidak sembahyang. Kenapa mereka berpuasa? Kalau jawapannya kerana puasa itu salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan, apakah mereka lupa solat juga merupakan salah satu daripada rukun Islam, malah merupakan tiang asas agama yang menjadi garis pemisah di antara keimanan dan kekufuran. Ini belum lagi kita persoalkan, kenapa mereka berpuasa, tetapi aurat masih dibuka. Kita dapat lihat anak-anak gadis yang berseluar ketat, berbaju singkat hingga nampak pusat, kadang-kadang berambut coklat, juga turut sama menunaikan kewajipan rukun Islam yang ketiga ini. Malah merekalah di antara golongan yang membanjiri bazar-bazar Ramadan sibuk membeli juadah untuk berbuka puasa. Tidak kurang juga yang keluar berpegangan tangan dengan teman lelaki masing-masing, menuju ke restoran-restoran mewah atau gerai di jalanan dengan tujuan untuk berbuka puasa bersama-sama setelah sehari suntuk menunaikan ibadah puasa yang merupakan kefardhuan agama. Bagi mereka yang meninggalkan solat, membuka aurat dan bercampur lelaki perempuan melebihi had, apakah mereka tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan maksiat dalam mereka beribadat? Kalau mereka berpuasa kerana ia wajib, maka ketahuilah sesungguhnya solat juga wajib, menutup aurat juga wajib.

Membaca al-Quran

Semasa di musim Ramadhan, akan wujud juga satu suasana yang amat baik dan mesti diteruskan iaitu amalan membaca al-Quran. Kedengaran di masjid-masjid, surau-surau malah di pejabat-pejabat gema suara-suara umat Islam mengalunkan Kalamullah. Tidak kurang juga yang turut serta dalam program tadarus al-Quran yang dianjurkan oleh masjid-masjid. Ada juga yang secara individu bersungguh-sungguh untuk menghabiskan 30 juzuk al-Quran dalam bulan Ramadhan. Kalau sebelum ini, apabila waktu rehat masing–masing akan menyerbu kantin-kantin atau restoran-restoran untuk makan sekejap dan berborak-borak begitu lama. Tetapi Ramadhan telah mengubah suasana ini. Ramai yang membuat pilihan untuk terus ke masjid atau surau-surau dan diisi waktu ini dengan membaca al-Quran. Sesetengahnya pula, kesempatan bulan Ramadhan inilah digunakan untuk membuka semula al-Quran yang telah ditutupnya sekian lama semenjak khatam al-Quran dahulu. Ada pula yang merangkak-rangkak dan tergagap-gagap membaca al-Quran akibat tidak membacanya terlalu lama. Kadangkala apabila tibanya Ramadhan masing-masing akan membuka almari dan rak-rak mencari semula al-Quran yang pernah disimpan dahulu pada Ramadhan tahun lepas. Ada al-Quran yang telah “dibaca” oleh lipas dan anai-anai disebabkan manusia hanya asyik menyimpannya sahaja tanpa dibaca. Ada yang telah diselimuti oleh debu-debu. Mungkin inilah yang dikata “suci dalam debu”.

Persoalan seterusnya, kenapa suasana ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan? Adakah al-Quran ini diturunkan hanya untuk dibaca pada bulan Ramadhan? Apakah fadhilat membaca al-Quran terdapat pada bulan Ramadhan sahaja? Kenapa di bulan Ramadhan kita boleh mencari masa untuk membaca al-Quran? Apakah perjuangan Rasulullah saw, para sahabat dan generasi yang selepas mereka yang begitu bertungkus lumus untuk menegakkan al-Quran, disambut oleh genarasi kita hanya dengan membacanya pada bulan Ramadhan? Apakah kita telah memahami atau cuba untuk untuk memahami segala isi kandungan al-Quran untuk diamalkan di dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah sekeliannya? Tepuklah dada, tanyalah hati yang dipandu oleh iman dan wahyu Ilahi.

Oleh itu, marilah wahai umat Muhammad! Generasi penyambung perjuangan Rasulullah saw dan para salaf al-salih. Ayuh! Dengan daya upaya dan segala kudrat yang ada, kita tegakkan tuntutan al-Quran dan jadikannya bacaan rutin kita seharian. Usah biarkan al-Quran terus tersimpan di dalam almari atau rak-rak samada di masjid-masjid atau di rumah. Mana-mana rumah yang masih belum ada Al-Quran, dapatkannya sekarang juga. Bagi mereka yang masih belum lancar al-Quran, jangan malu dan segan untuk terus belajar dan belajar, lagi dan lagi. Marilah kita membaca al-Quran dengan cuba untuk memahami isi kandungannya. Sampai bila kita hanya ingin menjadi tuan rumah dan penonton kepada majlis musabaqah al-Quran sahaja, sedangkan isi kandungan dan tuntutan al-Quran tidak diamalkan sepenuhnya. Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dipertandingkan, tetapi sebagai kitab hidayah untuk memandu kita hidup di dunia ini supaya kita mengetahui yang mana satu jalan yang betul dan jalan yang sesat. Untuk renungan, perhatilah dengan mata hati ganjaran yang dijanjikan untuk mereka yang sering membaca al-Quran:

Daripada Abu Umamah ra berkata, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud: ((Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat sebagai syafaat kepada tuannya)). (Riwayat Muslim)

Daripada Ibn Mas ‘ud ra berkata, telah bersabda Rasulullah saw maksudnya: ((Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu akan diganda dengan sepuluh ganjaran. Aku tidak katakan bahawa Alif, Lam, Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf)). (Riwayat al-Tirmizi dan dia menyatakan hadis hasan sahih).

Nasib fakir miskin dan anak yatim

Bulan Ramadhan juga bulan rahmat dan bulan melimpah ruahnya rezeki bagi sesetengah golongan seperti anak-anak yatim dan fakir miskin. Para korporat, usahawan, syarikat-syarikat, menteri-menteri, wakil rakyat, pengusaha hotel dan restoran masing-masing berebut untuk melakukan kebaikan untuk menjamu orang berbuka puasa. Lalu dijemputlah semua anak-anak yatim yang menghuni asrama anak yatim. Kadang-kadang ada asrama anak yatim yang mendapat dua tiga jemputan pada hari yang sama. Begitu juga dengan nasib golongan fakir miskin. Ramai yang menghantar juadah untuk berbuka puasa kepada mereka yang kadang-kadang lebih daripada cukup sehingga berlakunya pembaziran. Betapa gembiranya hati-hati anak-anak yatim dan fakir miskin tatkala tibanya Ramadhan begini. Mereka tidak lagi menangis kesunyian akibat tiada siapa yang pedulikan mereka sebelum ini. Mereka tidak lagi mengikat perut menahan kelaparan akibat tidak cukupnya makanan sebelum ini. Terpancar sinar keceriaan dan kesyukuran dari wajah-wajah mereka kerana masih ada lagi sekelumit ingatan kepada mereka di dalam hati masyarakat lain yang kaya raya, bersenang-lenang dan bermewah-mewahan.

Tetapi malang sekali bagi sesetengah mereka. Kegembiraan yang diharapkan berpanjangan ini rupa-rupanya pergi lenyap dengan perginya Ramadhan. Diharapkan panas hingga ke petang, tetapi hujan di tengah hari hingga ke malam. Di susuli pula dengan ribut petir dan angin kencang. Mereka kembali dilupakan dan tidak dipedulikan.

Jika mereka masih diberi perhatian, kenapa masih ada yang hanya makan nasi sehari sekali, berlaukkan pucuk kayu, berkuahkan air garam. Lebih menyedihkan, kita pernah disiarkan bahawa ada mereka yang terpaksa menjadikan siput babi sebagai sesuap makanan bagi meneruskan hidup di dalam sebuah negara maju dan makmur ini. Walau apa pun yang dihadapi, mereka mengerti bahawa hidup ini tetap perlu diteruskan walau pun masa depan tidak menjanjikan kesenangan dan kebahagiaan. Ada juga yang terpaksa memberhentikan persekolahan anak-anak kerana tidak mampu lagi untuk menanggung kos persekolahan. Lalu umur muda anak-anak yang sepatutnya sibuk dengan tugas menuntut ilmu tergadai begitu sahaja. Mereka pula terpaksa bekerja bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga. Ada pula yang menderita menanggung kesakitan akibat tidak mampu untuk menampung kos perubatan yang mahal. Kadang-kadang si suami yang selama ini tempat isteri dan anak-anak bergantung harap, jatuh sakit yang menghalangnya dari terus bekerja mencari rezeki. Si isteri pulalah dengan kudrat yang ada terpaksa menggantikan tugas suami mencari rezeki untuk menyara kehidupan suami dan anak-anak.

Ini hanyalah sebahagian daripada warna-warni kehidupan manusia yang penuh dengan duka derita di atas pentas dunia yang penuh dengan sandiwara. Sedar atau pun tidak, semua ini wujud di dalam masyarakat yang ada anggotanya hidup dengan penuh senang lenang dan kaya raya. Hidup seharian hanya difikirkan bagaimana lagi untuk menambahkan harta kekayaan yang sudah sekian banyak. Makannya tidak layak lagi di warung-warung kecil, tetapi di hotel-hotel atau restoran yang mewah. Pakainya tidak layak lagi baju-baju yang dijual di pasar malam, tetapi mesti yang berjenama hebat-hebat dan mahal. Malah ada yang sanggup pergi ke luar negara semata-mata untuk membeli belah dan salon rambut. Kenderaan pula yang mahal-mahal dan tidak cukup sebuah. Malah ada yang memiliki kenderaan berbelas-belas dan berpuluh-puluh buah. Kediamannya pula bagaikan istana raja yang dipenuhi dengan segala perabot dan perhiasan import dari luar negara. Ini belum dikira lagi yang sanggup menipu, menindas orang lain dan mengamalkan rasuah demi mengautkan kekayaan dunia yang sementara. Kesannya, jadilah yang kaya terus kaya, dan yang miskin terus miskin.

Mereka yang berkempen dan melaungkan untuk berjuang membenteras kemiskinan habis-habisan pula, hanya tinggal kempen dan laungan. Itu pun lima tahun sekali. Ada sesetengah mereka yang menang, dengan sekelip mata kehidupannya berubah. Terus menjadi kaya. Kereta baru, rumah dibesarkan, kaum keluarga dan sahabat rapat juga turut merasai tempiasnya. Ada pula yang sebelum menang, sanggup masuk kampung, jelajahi ceruk rantau bertemu dengan golongan miskin ini. Tidak hirau becak dan lumpur demi untuk meraih sokongan dan kemenangan. Tetapi selepas menang, ke mana mereka? Lupakah mereka dengan janji-janji yang telah ditaburkan? Ada juga yang tunaikan janji dengan dibela taraf hidup mereka yang susah ini, tetapi hanya untuk mereka yang telah mengisi borang ahli dan memberi sokongan undi.

Terfikir pula kita ke mana perginya duit zakat? Bukankah berpuluh-puluh juta duit zakat telah dapat dikutip. Bukankah juga fakir miskin merupakan salah satu golongan yang berhak menerima zakat? Kalaulah jumlah pungutan zakat berpuluh-puluh juta seperti yang dilaporkan, apakah ia masih tidak cukup untuk membantu fakir miskin, yang sakit dan para pelajar bagi meringankan beban mereka? Di mana fungsi dan peranan pusat pungutan zakat? Walaupun namanya “pusat pungutan zakat”, ia bukan sekadar tahu untuk “pungut” sahaja, tetapi mesti tahu juga untuk diagihkan. Apalah yang hendak dibanggakan sangat dengan pencapaian berjaya meningkatkan hasil kutipan zakat dari tahun ke tahun, tetapi ia tidak diuruskan sebaik mungkin. Oleh itu, inilah peringatan untuk semua pihak yang terlibat dalam menguruskan harta zakat ini: Takutlah kamu kepada Allah dalam menguruskan harta zakat kerana ia adalah amanah dari umat Islam!

Justeru, wahai para usahawan, ahli korporat, jutawawan, menteri, wakil rakyat dan mereka yang kaya raya! Marilah kita mengambil ruh Ramadhan yang mengajar kita erti kasih sayang, merasai kesusahan, mengambil peduli sesama insan dan berkongsi kesenangan untuk kita teruskan semangat ini pada bulan-bulan yang lain juga. Cuba lihat di sekeliling. Tatkala kita bersenang lenang, perut sentiasa kenyang, bergurau senda bersama insan yang disayang masih ada insan-insan yang pipinya senantiasa dibasahi air mata kesedihan dan penderitaan dek kemiskinan dan ujian yang dihadapi mereka. Bukankah mereka juga sebahagian dari kita? Apakah tidak boleh harta kekayaan yang Allah kurniakan, untuk mereka juga turut merasainya. Ke mana segala khazanah kekayaan itu akan membawa kita? Adakah jaminan untuk kita ke syurga? Kepada para hartawan dan jutawan yang telah mendahului orang lain dalam melakukan amal kebajikan ini, kita doakan semoga Allah murahkan lagi rezeki mereka. Kita berdoa dan berharap semoga semakin ramai lagi “Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari” yang akan muncul nanti. Kewujudan yang dirasai, kekayaan yang boleh dikongsi.

Inilah yang dikatakan tarbiyyah Ramadhan. Ia bukan sekadar hanya tidak makan dan tidak minum di siang hari, tetapi lebih daripada itu. Ramadhan hanya datang sekali dalam setahun. Namun biarlah kita jadikan kesan didikan Ramadhan ini berkekalan di sepanjang tahun. Sebagaimana matlamat yang ingin dicapai ialah taqwa, maka mereka yang telah menjalani ibadah puasa ini seharusnya bersifat dengan sifat orang-orang yang bertaqwa. Marilah kita doakan semoga Allah Azza wa Jalla menerima ibadah puasa yang telah kita lakukan dan semoga kita diizinkan lagi untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Amin!

2 comments:

Anonymous said...

http://alhakim.noonhost.com/wahhabismislamic-extremism-vt144.html

MUFTI MESIR DR. SYEIKH ALI JUM'AH MENJELASKAN PERIHAL WAHHABI MENGKAFIRKAN PEMIMPIN ISLAM DAN UMAT ISLAM.(audio suara)

MUFTI MESIR DR. SYEIKH ALI JUM'AH MENJELASKAN PERIHAL WAHHABI MENGKAFIRKAN PEMIMPIN ISLAM DAN UMAT ISLAM.(audio suara)

oleh Abu Syafiq

Assalamu'alaikum.

Setelah seluruh ulama islam bangun menentang ajaran Wahhabiyah yang mengkafirkan umat islam, kita dapati ramai dikalangan Wahhabi di malaysia kini mengkambinghitamkan jabatan-jabatan agama termasuk mengunakan nama mufti di sebelah utara.

Oleh itu perlulah satu penerangan jelas mengenai ajaran Wahhabiyah ini yang cepat mengkafirkan ulama islam dan umatnya.

Mufti Mesir terkini Syeikh Dr. Ali Jum'ah mengarang kitab yang cukup berakademik dan ilmiah menyanggah ajaran yang dibawa oleh Wahhabiyah, buku beliau tersebut berjudul
AL-BAYAN LIMA YASGHULUL AZHAN.
Kitab tersebut boleh dijadikan rujukan yang baik bagi ahli jawatankuasa fatwa negeri-negeri di malaysia dan jabatan-jabatan agama negeri termasuk JAKIM kerana Mufti Mesir tersebut merupakan antara ulama Universiti Al-Azhar dan beliau lebih mengenali ajaran Wahhabiyah daripada kita di tanahair ini.

AUDIO MUFTI MESIR MENYATAKAN AJARAN WAHHABI MENGKAFIRKAN UMAT ISLAM :

http://www.islamchina.net/arabic/Mufti_Misr_talk_about_wahhabi.htm

Dalam kenyatann Mufti Mesir dalam audio tersebut beliau menjelaskan seperti berikut (terjemahan) :

" Ditanya kepadaku, adakah harus solat di dalam masjid yang ada (dhorih) kubur?.

Ya! sememang solat di dalam masjid wujudnya kubur adalah harus dalilnya kerana solat di dalam masjid Rasulullah adalah harus (wujud didalamnya 3 kubur). Maka fatwa mengenai solat di dalam masjid dalamnya ada kubur adalah harus kerana hukum solat di dalam masjid Rasulullah telahpun menjadi ijmak muslimun bahawa hukumnya adalah harus. Sekiranya dikatakan hukum itu khas bagi nabi sahaja, itu tidak sohih kerana didalam masjid nabawi terdapat kubur selain nabi Muhammad iaitu kubur saidina Umar dan Saidina Abu Bakar.
Maka jawapan dari soalan adakah harus solat di dalam masjid yang ada (dhorih) kubur?. maka jawapannya solat di dalamnya adalah harus, masjid juga dibina diatasnya adalah harus dan kubur tersebut adalah harus dan di zaman Rasulullah pernah dibina masjid didalamnya terdapat kubur Abu Basir.
Manakala erti hadith dalam sohih Bukhari yang menyatakan ' Allah melaknat Yahudi dan Nasaro yang menjadikan kubur para nabi dan wali sebagai masjid'. Hadith tersebut bererti yahudi sujud kepada kubur dan bukan sujud kepada Allah, mereka menganggap uzair itu adalah anak Allah dan begitu juga kristian mereka sujud kepada kubur dan beranggapan bahawa Isa itu anak Allah, inilah erti hadith tersebut.
Sekiranya kita pergi ke Batikan ( nama tempat Yahudi ) kita akan dapati bahawa mereka berlumba-lumba sujud kepada kubur-kubur tersebut kemudia mereka tinggalkan.

Makala hukum membina masjid atas kubur (menjadikan didalamnya ada kubur) maka hukumnya adalah harus. Iman Baidhowi menyatakan demikian adalah antara qurubat iaitu kebaikan mendekatkan diri kepada Allah. Ada beza antara masjid yang diertikan seseorang itu sujud kepada kubur dan dibina di atasnya masjid.

Ada kelompok bernama Wahhabiyah, satu ketika Wahhabiyah mahu keluar dari pemerintahan Khalifah Uthmaniyah, tapi Nabi menyatakan ' Tiada sesiapa boleh keluar dari Khalifah' (makna Hadith). Wahhabiyah pun merancang untuk keluar dari khalifah dan meraka dapati caranya adalah dengan mengkafirkan khalifah islam tersebut dan mereka merancang bagaimana nak dihukumkan khalifah tersebut sebagai kafir supaya akhirnya dia dibunuh, perancangan Wahhabiyah mengkafirkan dan menjatuhkan daulah Uthmaniyah berjaya dilakukan dan khalifah terbunuh. Kemudia Wahhabiyah menjatuhkan Daulah Uthmaniyah dan Wahhabiyah saling tolong menolonag dengan negara kafir Barat dan France, kemudia berlakulah fitnah kucar kacir sehingga kini disebabkan perbuatan Wahhabiyah tersebut.
Kami menyatakan wahai seluruh orang muslimin. Lihat lah apa ulama-ulama islam katakan, lihat kata-kata Imam Baidhowi, lihat kata-kata Imam Ibnu Hajar , lihat kata-kata Imam Syaukani! Ditangan-tangan kita bukti jelas dari kitab-kitab! ". (tamat terjemahan, harap sesiapa yg boleh betulkan lagi terjemahan amatlah dialu-alukan)

* SEKIRANYA ULAMA DAN MUFTI S\YANG MUKTABAR SENDIRI MENYANGGAH WAHHABIYAH BILA PULA JABATAN-JATABATAN AGAMA NEGERI MAHU BERSUARA?

Anonymous said...

Ibn Saud si Pemberontak(Mari Berkenalan Dengan Saudian ni)

suka hati tok-nenek dia aje nak ubah nama negara yg pernah dipimpin oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Rasulullah saw sendiri pun tak bubuh nama dia. apatah lagi para sahabat yg pernah jadi khalifah!

mari kita berkenalan dgn Ibnu Saud..



Abd al-Aziz as-Saud (c. 1880 - November 9, 1953) (Arab: عبدالعزيز آل سعود) ialah Raja Arab Saudi yang pertama. Dia juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya ialah Ibnu Saud. Beliau dilahirkan di Riyadh dan berasal daripada Keluarga Diraja Saudi yang memerintah sebahagian daripada Semenanjung Arab.

Ibnu Saudi dilahirkan di Riyadh dan merupakan anak kepada Abdul Rahman bin Faisal dan Sara binti Ahmad al-Kabir Sudayri. Pada tahun 1890, semasa berusia sepuluh tahun, Ibnu Saud mengikut ahli keluarganya diusir keluar ke Kuwait selepas penguasaan tanah keluarganya oleh golongan Rashidi. Beliau menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Kuwait dalam keadaan tidak berduit dan berharta.

Pada tahun 1901 semasa berusia 22 tahun, Ibnu Saud menggantikan ayahandanya, Abdul Rahman bin Faisal sebagai ketua keluarga dinasti Saud dengan gelaran Sultan Nejd. Beliau kemudiannya memulakan kempen untuk menakluk semula tanah keluarganya daripada golongan Rashidi di mana sekarang merupakan Arab Saudi. Pada tahun 1902, beliau bersama-sama dengan sekumpulan hamba dan saudaranya berjaya menakluk Riyadh dengan hanya bersama-sama 22 orang dengan membunuh gabenor Rashidi di situ.

Dalam masa dua tahun selepas berjaya menawan Riyadh, Ibnu Saud berjaya menguasai separuh daripada Nejd. Bagaimanapun pada tahun 1904, golongan Rashidi meminta bantuan daripada Empayar Turki Uthmaniyyah untuk mengalahkan golongan Saud (Keluarga Diraja Saudi). Empayar Uthmaniyyah menghantar tentera ke Tanah Arab dan ini menyebabkan kekalahan golongan Saud pada 15 Jun 1904. Tetapi setelah tentera Uthmaniyyah berundur kerana masalah tertentu, golongan Saud berjaya mengumpul kembali kekuatannya.

Pada tahun 1912, Ibnu Saud berjaya menguasai Nejd dengan bantuan golongan Wahabbi. Semasa Perang Dunia I, Ibnu Saud memihak kepada British memandangkan golongan Rashidi merupakan sekutu Empayar Uthmaniyyah yang merupakan musuh British. Pada tahun 1922 golongan Saud berjaya menewaskan golongan Rashidi dan ini menamatkan penguasaan golongan Rashidi di Tanah Arab.

Pada tahun 1925, golongan Saud berjaya menawan Kota Suci Makkah daripada Shariff Hussein ibn Ali. Pada 10 Januari 1926, Ibnu Saud ditabalkan menjadi Raja Hijaz di Masjidil Haram, Makkah.

Pada tahun 1932, setelah menguasai sebahagian besar Semenanjung Arab daripada musuh-musuhnya, Ibnu Saud menamakan tanah gabungan Hijaz dan Nejd sebagai Arab Saudi. Beliau kemudiannya menabalkan dirinya sebagai Raja Arab Saudi dengan sokongan pihak British.

Petroleum di Arab Saudi ditemui pada tahun 1938, Ibnu Saud kemudiannya memberi kebenaran kepada syarikat-syarikat Barat untuk mencarigali minyak di sana. Segala keuntungan hasil penjualan minyak diberikan kepada keluarga Saud. Keuntungan hasil jualan minyak semakin bertambah menyebabkan Ibnu Saud mula membelanjakan wang itu untuk memperbaiki kehidupan rakyatnya.

Beliau menggesa puak-puak nomad supaya tinggal secara tetap di sesuatu tempat. Beliau juga memulakan usaha untuk membanteras jenayah terutamanya jenayah di Makkah dan Madinah.

Semasa Perang Dunia II, Arab Saudi ialah sebuah negara yang neutral dan berkecuali tetapi lebih memihak kepada tentera bersekutu (Amerika Syarikat, Britain dan sebagainya).

Pada tahun 1948 semasa Perang Arab-Israel 1948 tercetus, Ibnu Saud menyertai peperangan itu tetapi sumbangan Arab Saudi hanya sedikit. Ibnu Saud meninggal dunia di Taif.

Bilangan anak Ibnu Saud tidak diketahui tetapi dianggarkan berjumlah 50 hingga 200 orang. Mereka terdiri daripada: (nama yang menjadi Raja dihitamkan)

1. Dengan Wadhba binti Muhammad al-Hazzam
1. Saud (12 Januari, 1902 - 23 Februari, 1969); memerintah 1953-1964
2. Turki (1917-1919)
2. Dengan Tarfah binti Abdullah al-Shaykh Abdul-Wahab
1. Khalid (lahir 1903, meninggal dunia semasa masih bayi)
2. Faisal (April 1904 - 25 Mac, 1975); memerintah 1964-1975
3. Dengan Jauhara binti Musa'd Al Saud
1. Muhammad (1910-1988)
2. Khalid (1913 - 13 Jun, 1982); memerintah 1975-1982
3. Jauhara
4. Anud (lahir 1917)
4. Dengan Bazza
1. Nasser (lahir 1919)
2. Bandar (lahir 1923)
3. Fawwaz (lahir 1934)
5. Dengan Jauhara binti Sa'ad al-Sudairy
1. Saad (1920 - 1990-an)
2. Musaid (lahir 1923)
3. Abdalmohsen (1925-1985)
6. Dengan Hussah binti Ahmad al-Sudairy
1. Fahd (1923 - 1 Ogos, 2005); memerintah 1982-2005
2. Sultan (lahir 5 Januari, 1928); putera mahkota terkini
3. Abdul-Rahman (lahir 1931)
4. Turki (lahir 1932)
5. Nayef (lahir 1934)
6. Salman (lahir 1936)
7. Ahmed (lahir 1940)
8. Sa'ad (lahir 1914, mati 1919)
7. Dengan Shahida
1. Mansur (1922 - 2 Mei, 1951)
2. Mishal (lahir 1926)
3. Qumasha (lahir 1927)
4. Muteb (lahir 1931)
8. Dengan Fahda binti Asi al-Shuraim
1. Abdullah (lahir Ogos 1924); raja terkini, sejak 2005
2. Nuf
3. Sita
9. Dengan Haya binti Sa'ad al-Sudairy (1913 - 18 April, 2003)
1. Nura (mati 1930)
2. Badr (lahir 1933)
3. Hassa
4. Abdalillah (lahir 1935)
5. Abdalmajid (lahir 1940)
6. Mashael
10. Dengan Munaiyir
1. Talal (lahir 1931)
2. Badr (1931-1932)
3. Mishari (1932 - 23 Mei, 2000)
4. Nawwaf (lahir 1933)
11. Dengan Mudhi
1. Majed (19 Oktober, 1938 - 12 April, 2003)
2. Sattam (lahir 21 Januari, 1941)
12. Dengan Nouf binti al-Shalan
1. Thamir (1937 - 27 Jun, 1959)
2. Mamduh (lahir 1940)
3. Mashhur (lahir 1942)
13. Dengan Saida al-Yamaniyah
1. Hidhlul (lahir 1941)
14. Dengan Baraka al-Yamaniyah
1. Muqren (lahir 15 September, 1945)
15. Dengan Futayma
1. Hamud (lahir 1947)
16. Dengan ?? (tidak diketahui)
1. Fahd (1905-1919)
2. Sara (c. 1916 - Jun 2000)
3. Shaikha (lahir 1922)
4. Talal (1930-1931)
5. Abdalsalam (1941)
6. Jiluwi (1942-1944)