Thursday, June 08, 2006

Jawapan kepada Jamaah centric!!!

Maszlee Malik

(Jawapan ini panjang. Harap para pembaca dapat bersabar membacanya !)

Ketika mengilhamkan artikel ini saya sedang menghirup kopi putih pahit di salah sebuah Kopitiam di Petaling Jaya. Kopitiam membawa kenangan lebih 20 tahun lalu di JB bersama arwah datuk saya. Dia penggemar kopi, saya pula telah ditarbiyyah oleh beliau untuk menggemari roti bakar dan telur separuh masak kopitiam. Itu semua kini adalah nostalgia, mungkin puteri-puteri saya kurang menggemari kopitiam seperti saya. Mereka hanya hanya akan teruja jika saya membawa mereka ke kopitiam milik Cina muslim di Uptown, Village Park. Empunya kopitiam tersebut telah memeluk Islam bersama isterinya pada tahun lepas. Kenangan mengislamkan mereka amat manis buat diri saya yang masih mentah dalam aktiviti berdakwah kepada bukan Islam.

Sebelum ke kopitiam, saya sempat menziarahi satu gerai buku-buku milik missionary Kristian di Wisma Atria, Damansara Utama, PJ. Banyak juga buku-buku gospel berbahasa Melayu di sana, kebanyakannya berbahasa Indonesia. Apa yang pasti, kebanyakan bahan-bahan dakwah atau dakyah mereka amat menarik. Kebanyakannya user friendly, up to date dan juga bergitu menarik perhatian. Samada button bagde, reminder cards, t-shirt, buku-buku, CD, VCD, kalendar dan juga bahan-bahan lain. Kebanyakan pengunjungnya adalah kaum Tionghua yang baru pulang dari gereja. Gerai tersebut milik seorang Kristian Protestant. Isterinya dan beliau silih berganti menjaga gerai tersebut. Saya sempat berkenalan dengan isterinya kerana saya berhajatkan VCD berkaitan Holy Land (Palestin). Dia mengatakan "Israel", saya mengatakan "Aliyah", dia tersenyum. Ya, bagi golongan Protestant, Israel amat penting untuk menyambut kedatangan Jesus buat kali kedua. Aliyah pula lebih merupakan nama Kristian bagi Jerusalem, tetapi jarang digunakan oleh golongan Protestant. Hanya golongan Ortodoks dan Katolik sahaja sukakan istilah "Aliyah", Apa yang pasti, beliau tersenyum sinis dengan pembetulan tersebut. Saya hanya memperkenalkan diri saya sebagai Ustaz Lee..

Di sebelah gerai tersebut, ada gerai menjual barang-barang keagamaan kaum Tao. Berhadapan dengan gerai Tao tersebut, ada gerai badan kebajikan Hindu Rama. Di pintu masuk pula, berdiri beberapa sukarelawan pertubuhan Buddhist Tzu Chi mengutip derma untuk rumah orang cacat mereka. Begitu harmoni kepelbagaian agama di Malaysia. Hati saya bergetus di pagi minggu ini, "Ke manakah pertubuhan Islam?". Sehingga saat saya mencoretkan artikel ini, saya terimbau usaha gagal yang pernah saya inisiatifkan pada tahun 2003 yang lalu. Ketika itu, saya telah berjaya mengumpulkan Fong, Khai, Ravi, Sharil dan beberapa rakan yang lain untuk melakukan usaha dakwah kepada non-muslim di PJ. Sibuk, tidak istiqamah dan mungkin juga kurangnya komitmen sepenuh hati, usaha kami terbengkalai. Sudut yang menarik, ide untuk menubuhkan gerai menjual bahan-bahan Islam yang user friendly di wisma Atria pernah dimasukkan ke dalam minit mesyuarat kami yang kedua. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kami untuk menghidupkannya semula. Pesanan Dr Fuad Yeoh, timbalan presiden MACMA (Pertubuhan Cina Muslim, Malaysia) kepada saya, tidak akan dilupakan. Kata beliau, "Jika anta nak buat kerja dakwah kepada non-muslim, anta kena full time!". Benarlah kata-kata beliau itu. Terjawablah kegusaran saya, mengapa beliau aktif bersama MACMA.

DDMM (Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk)

Usaha berdakwah kepada non-muslim di Malaysia masih lagi tidak begitu agresif. Mengikut statistik ACCIN, bilangan yang memeluk Islam dari tahun 1957 sehingga 2005, hanya 50,000 orang. Bilangan ini jauh lebih kecil daripada bilangan mereka yang menghuni pusat Serenti. Usaha bersepadu perlu dilakukan demi menyelamatkan Islam dan survival umat Islam di bumi Malaysia. Fenomena rakyat Malaysia memeluk Islam beramai-ramai era Tun Datu Mustapha dan Tun Rahman Yaakob suatu masa dahulu hanya tinggal kenangan. Di mana silapnya?, jangan salahkan orang lain, walaupun itu perkara yang paling mudah untuk dilakukan. Tanyakan kepada diri kita, apakah yang telah kita lakukan, dan apakah yang akan kita lakukan...

Saya sentiasa memberikan tabik hormat kepada Jamaah IIS (Islamic Information Service) dalam hal ini. Kerja dan usaha tak jemu Kak Sabariah, bersama-sama aktivis mereka seperti Shah Kirit, Lim Jui Soon, Engku Fauzi dan lain-lain mempunyai impak mereka yang tersendiri. Jamaah tersebut adalah sebahagian daripada usaha jamaah mereka yang lebih besar untuk berdakwah kepada non-muslim di seluruh Malaysia. Nama-nama seperti Hj Ayob, Daniel Boi, Muhammad Fitri, Nicholas Sylvester dan lain-lain merupakan di antara aktivis jamaah tersebut. ACCIN juga merupakan inisiatif jamaah ini. Sayangnya, jamaah ini tidak begitu berkembang di IPT-IPT berbanding jamaah-jamaah yang berorientasikan gerakan Islam ala-haraki. Mungkin tugas berdakwah kepada non-muslim terlalu berat dan mencabar berbanding dengan menghadiri usrah-usrah, tamren, mukhayyam, kolokium, seminar dan juga wacana-wacana harakiyah. Saya sentiasa mendoakan agar ada satu momentum akan dihasilkan di kalangan siswa-siswi IPT untuk usaha ini, Kita perlukan lebih dari seorang Shah, kita lebih daripada seorang Lim, dan kita perlukan 1000 lagi pelapis Ahmad Deedat untuk melawan arus Kristianisasi di Malaysia ini.

Remaja oh Remaja

Semalamnya saya telah berkesempatan untuk menjadi panelis satu forum mengenai remaja. Saya bukan orang yang pakar memahami remaja. Saya juga bukan seorang motivator "by profession" ataupun "by default ". Buku "300 persoalan remaja" yang kini menjadi bahan tazkirah di segelintir sekolah-sekolah menengah itupun dihasilkan kerana kegeraman saya terhadap situasi remaja kini yang semakin teruk. Saya seorang yang naif di dalam usaha dakwah kepada remaja, terutamanya dakwah kepada remaja yang bermasalah. Alhamdulillah, panelis yang seorang lagi, Puan Rosmawati seorang yang begitu berpengalaman dalam persoalan ini. Moderator, Cik Roha, aktivis dakwah remaja juga dapat menampung kelemahan saya. Mungkin saya hanya boleh berteori, tetapi mereka berdua begitu berpengalaman. Sebagai pengurus rumah bimbingan remaja tersasar, Puan Rosmawati ataupun yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ros telah memaparkan statistik-statistik yang amat mengejutkan para hadirin. Beliau juga tidak lupa berkongsi pengalaman menguruskan para remaja yang tersasar.

Walau bagaimanapun, perkongsian yang lebih menarik ialah ceritanya mengenai pengalaman beliau bersama aktivis dakwah remaja yang lain berdakwah di tempat-tempat umum. Mereka telah menemui para remaja secara berdepan di KLCC, stesen-stesen LRT, dan lain-lain hot spot. Mereka juga sedang mengaktifkan dakwah dengan mengedarkan booklet secara percuma kepada para remaja bepeleseran di Lembah Klang. Saya kagumi, dan saya akui kelemahan saya dan betapa hebatnya usaha mereka ini. Apa yang menariknya, mereka memerlukan penglibatan lebih ramai pihak, termasuk para siswa dan siswi dari IPTA dan IPTS di seluruh negara. Rupanya masih banyak kerja di luar sana...

Novel Islami

Saya bukan penggemar novel. Novel terakhir yang saya pernah habiskan pembacaannya adalah novel "The Profits of War" karangan Ari Ben Menashe pada 13 tahun yang lalu. Sikap buruk saya ini berkemungkinan ada kaitannya dengan sikap " hyper active" saya semenjak kecil lagi. Sungguhpun begitu saya amat mengkagumi usaha para penggiat seni sastera Islam di tanah air. Nama-nama seperti Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Abu Hassan Morad, Azizi Abdullah, Shanon Ahmad dan lain-lain lagi, adalah nama-nama yang patut diberikan pujian. Jihad mereka melalui seni sastera adalah satu usaha yang amat-amat diperlukan di bumi Malaysia ini. Seni sastera mempunyai kuasa mereka yang tersendiri. Kebanjiran bumi ini dengan novel-novel picisan dan juga cinta nafsu perlu diseimbangkan. Oleh kerana seni sastera itu tiada sempadan, satu arus Islami diperlukan untuk mengimbanginya. Semoga apa yang mereka lakukan akan dapat diteruskan oleh bakat-bakat muda yang lain. Saya yakin di luar sana, ramai lagi para penulis prolifik di dalam genre ini akan muncul. Ianya perlu disemarakkan, jamaah mereka ini perlu dipopularkan demi menyelamatkan aqidah umat Islam yang diselewengkan melalui sastera murahan dan novel-novel barat yang sarat dengan agenda masing-masing.

Para penulis novel Islami di Indonesia amat kreatif dan lebih maju ke hadapan di dalam hal ini. Jika anda berpeluang untuk ke Jakarta, kunjungilah toko-toko buku Islami. Berdozen-dozen novel Islami, antologi cerpen Islami dan lain-lain perisian Islam dari genre ini boleh didapati. Mungkin populasi mereka yang ramai itu memberikan kesan juga terhadap produksi bahan-bahan tersebut. Walau bagaimanapun, kita juga berhak untuk lebih maju ke hadapan dalam perkara ini. Sekali lagi ruang dakwah dalam genre ini memerlukan para mujahid untuk menyertainya. Masih banyak kerja di luar sana tu...

Filem Islam

"Cinta Madinah" merupakan satu drama yang amat istimewa bagi saya. Bukan kerana pencetus ilhamnya, Abu Hassan Morad a.k.a Cikgu Abu itu sepupu isteri saya. Bukan juga kerana sesetengah penggambaran itu dilakukan di rumah kakak ipar saya. Bukan juga keistimewaannya kerana ada Wardina. Ianya amat istimewa bagi saya, kerana drama tersebut merupakan satu percubaan mewarnai seni perfileman tanah air dengan isi kandungan Islam. Mungkin ramai yang memberikan komentar, drama tersebut begitu kaku, lembap dan juga tidak begitu menarik. Sekurang-kurangnya, kehadirannya akan menjadi pencetus untuk drama-drama Islamik yang lain. Kelemahan adalah perkara yang lazim bagi sebarang percubaan pertama. Insha Allah, di masa-masa akan datang kebanyakan kelemahan akan berjaya diatasi. Apa yang pasti, bumi Malaysia dahagakan filem-filem dan drama-drama Islamik.

Al-Qaradawi di dalam banyak penulisannya telah menyentuh persoalan ini. Di dalam buku terkini beliau, "Fiqh al-Lahwi", beliau sekali lagi menekankan kepentingan membanjirkan dunia perfileman dengan perisian Islam. Jikalaulah kita berasa marah dan geram terhadap filem Sepet, Gubra dan Ahmad's Dream, mengapa kita tidak melawannya kembali?

Dari dahulu lagi, kata-kata Muhammad Ahmad Rashid di dalam bukunya "Sina'at al-Hayat" menjadi kegemaran saya. Beliau menggalakkan para duat memberikan alternatif kepada kemaksiatan dan kerosakan yang melanda umat Islam. Beliau telah memetik pepatah Arab yang berbunyi: "Daripada anda memarahkan kegelapan, lebih baik anda menyalakan lilin! (untuk menghilangkan kegelapan)". Sekarang ini, di dalam menyikapi arus perfileman yang dikabusi dengan kabus jahiliyah, kita memerlukan lebih ramai para penyala lilin.

Cikgu Abu dan jamaah "Layar Consult" mereka memerlukan jamaah-jamaah perfileman lain untuk turut merancakkan jihad mereka. Qaradawi juga pernah menyarankan komedi-komedi Islam sebagai wadah dakwah. Saya pernah menonton satu komedi terbitan OVA (Odio Video Arqam) lebih 15 tahun yang lalu. Sekarang ini ianya mungkin tiada lagi di dalam koleksi mantan aktivis-aktivis OVA. Sekarang ini juga, kita mungkin memerlukannya sekali lagi. Kita amat-amat memerlukan komedi Islam yang dapat menggantikan lawak-lawak murahan Senario dan juga Phua Chu Kang. Komedi yang bermesejkan Islam akan lebih mudah diingati oleh masyarakat berbanding ceramah-ceramah di surau dan masjid. Sekali lagi, saya semakin menyedari, kerja di luar sana masih banyak...

Palestin dan al-Aqsa

Ada orang yang memanggil saya Ustaz Maszlee Palestin, ada pula yang memanggil saya Ustaz Maszlee HAMAS, dan tidak kurang juga yang melabelkan saya sebagai Ustaz al-Aqsa. Saya senang dengan label-label tersebut. Saya berdoa agar label-label tersebut akan menjadi doa bagi dri saya yang amat lemah dan kurang bertaqwa ini. Semoga label-label tersebut juga akan menjadi tazkirah dan peringatan bagi diri saya sentiasa, di kala iman saya menurun. Semoga label-label tersebut juga akan menjadi picu untuk menginggatkan saya kepada bai'ah (sumpah) saya kepada Allah SWT untuk mewaqafkan diri saya demi perjuangan memerdekakan al-Aqsa.

Pesanan Syaikh Ata' Ayyash, aktivis dakwah di Mafraq, Jordan dan juga bapa saudara "The Engineer" Yahya Ayyash sentiasa bermain di koklea saya. "Apabila anda pulang, pastikan anda menjadi wakil rakyat Palestin untuk meletakkan al-Aqsa di dalam jiwa rakyat Malaysia". Terkadang, apabila saya terlupakan isu Palestin, ataupun sibuk dengan isu lain, saya terasa seolah-olah telah mengkhianati masjid al-Aqsa. Saya rasa seperti ingin memaki diri saya dengan sumpah Herzl apabila dituduh ingin melupakan bumi Palestin. " Curse upon my right hand, if I ever forget you Jerusalem!!!".

Di dalam buku "al-Aqsa Dalam Bahaya", saya telah cuba menjadikannya sebagai wadah untuk saya menjayakan bai'ah saya itu. Majalah-majalah dan laman-laman web yang dulunya hanya menceritakan tentang palestin apabila perlu, telah saya cuba warnakan dengan penulisan-penulisan mengenai isu tersebut. Laman web palestinkini juga merupakan salah satu daripada inisiatif saya untuk menunaikan bai'ah berkenaan. Saya yakin, di luar sana ramai lagi yang mempunyai kelayakan, kemampuan dan juga usaha di dalam jihad yang murni ini. Saya memerlukan mereka, Palestin memerlukan mereka, al-Aqsa memerlukan mereka. Tampillah untuk kita bersama-sama meletakkan nama kita di dalam cacatan para syuhada al-Aqsa melalui kemampuan dan bidang masing-masing.

Keadaan rakyat palestin semakin tertekan. AS dan EU telah bersepakat dengan rejim Zionis untuk memulaukan kerajaan palestin pimpinan HAMAS. Menteri-menteri kabinat dan anggota majlis legaslatif sudah dua bulan tidak bergaji. Makanan mula kehabisan di Gaza. Kajian terakhir yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, mereka meramalkan ekonomi Palestin akan merudum sebanyak 27% pada penghujung tahun 2006. Pengangguran pula akan meningkat sebanyak 39.6%. Bilangan mereka yang hidup dibawah tahap kemiskinan akan meningkat kepada 50%, dan ini merupakan 67% daripada jumlah keseluruhan penduduk Palestin di Gaza dan di Tebing Barat. Statistik ini telah dikeluarkan oleh Herald Tribune pada bulan Mac yang lepas.

Masjid al-Aqsa pula bila-bila masa sahaja akan roboh dan digantikan dengan kuil Yahudi.

Di dalam mesyuarat al-Quds Institute (QI) pada bulan Disember yang lalu, cawangan-cawangan QI di seluruh dunia berjaya mengutip USD 10 juta di dalam mensyuarat berkenaan. Salah seorang peserta dalam nada yang sedih telah menyuarakan kekesalannya. Menurut beliau, fakta terkini menunjukkan kerajaan Zionis menerima bantuan sebanyak USD 900 juta setahun dari Zionis AS sahaja. Bantuan itu hanya untuk membantu usaha mereka menYahudikan Baitul Maqdis yang diisytiharkan sebagai "ibu kota abadi" mereka. Apakah pula sumbangan kita di Malaysia?

Usaha kutipan derma bagi Palestin di Malaysia tidak begitu rancak. Jika ada pun hanya bermusim. Usaha penerangan, dan kempen kesedaran juga belum mencapai tahap yang maksima, yang ada hanyalah di tahap memuaskan sahaja. Banyak kerja yang perlu dilakukan. Saya terus insaf, berhubung isu Palestin dan Masjid al-Aqsa ini, masih banyak yang perlu dilakukan. Perkembangan terkini, laman web www.palestinkini.info yang menjadi satu-satunya laman web berbahasa Melayu di Malaysia membekalkan isu Palestin setiap hari telah digodam. Bukan kali pertama ianya digodam, setakat ini, sudah lima kali ianya digodam. Penggodamnya tidak lain dan tidak bukan adalah golongan Zionis. Jangan terkejut jika laman web yang serba dhaif ini telah disenaraikan sebagai laman web pro pengganas oleh pihak Mossad. Ternyata jihad untuk Palestin dan al-Aqsa memerlukan ketabahan dan kesabaran. Apa yang pasti ia memerlukan lebih ramai lagi aktivis-aktivis untuk melakukan sesuatu di Malaysia.

Jawapan kepada Jamaah Centric

Ketika saya diminta untuk menjawab dan membalas artikel-artikel yang mengkritik isu Ummah centric yang saya bawa, saya menolaknya. Sesuatu yang baru pastinya akan menerima reaksi yang pelbagai. Walaupun saya melihat kebanyakan yang mengkritik ide tersebut sebenarnya salah mentafsirkan ide tersebut. Adalah tidak benar mengatakan saya menolak jamaah-jamaah yang wujud. Adalah tidak benar juga bagi mereka yang beranggapan saya mengajak orang kepada jamaah yang baru bernama " ummah centric". Adalah tidak tepat juga mereka yang menuduh saya menyeru agar semua orang tidak perlu taat kepada organisasi masing-masing. Apa yang saya serukan adalah sikap terbuka fikiran, berlapang dada, menghargai kerja-kerja orang lain, bekerjasama, bantu membantu, bahu membahu tanpa mengira jamaah. Saya juga menolak ide menjadikan jamaah sebagai benteng kita untuk bermesra dengan orang lain, hatta dengan musuh politik kita sekalipun selagi mana mereka itu muslim. Hakikatnya, bukan mudah untuk membina keterbukaan dan perasaan berlapang dada di dalam hati manusia. Lebih sukar lagi untuk mengajak manusia untuk tidak bersikap taksub dan mendahulukan husnul zan (berbaik sangka) berbanding dengan bersikap prasangka. Walau bagaimanapun saya tetap meyakini bahawa waktu akan menjadi penawarnya.

Saya yakin, para penulis tersebut tidak akan menulis kecuali untuk tujuan yang ikhlas dan mulia. Samada Ustaz Nasarudin Tantawi, Ust Hasrizal mahupun Ustaz Idris Ahmad, saya yakin mereka semua merupakan orang yang gigih berjihad dan berdakwah dengan cara yang mereka yakini. Cuma mereka semua tersilap faham ataupun masih awal lagi untuk mereka menerima pendekatan drastik pemikiran saya. Saya yakin Ust Tantawi dan Ust Idris Ahmad akan menjadi pemimpin PAS yang karismatik di masa akan datang. Begitu juga Ust Hasrizal yang saya yakin akan menjadi motivator yang terkenal satu hari nanti. Buku-buku dan tulisan-tulisan Ustaz Nasarudin begitu saya kagumi, begitu juga dengan tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal. Mereka berdua merupakan penulis prolifik dan mempunyai masa depan yang amat cerah untuk perjuangan Islam di bumi Malaysia. Saya akan sentiasa mendoakan agar Allah akan menghimpunkan saya bersama mereka di syurga nanti. Jika ada pendapatan kami yang berbeza, itu adalah sifat tabi'i manusia. Saya yakin, walaupun dalam isu ummah centric ini kami berbeza pendapat, tetapi 99.999% perkara lain, kami bersama. Anggaplah teguran dan kritikan mereka itu sebagai pandangan ikhlas mereka dan teguran buat diri saya yang lemah ini. Itulah indahnya ummah ini.

Jika anda inginkan saya menjawab juga penulisan-penulisan yang mengkritik ummah centric serta meneruskan polemik ini. Cukuplah saya katakan kepada anda: "Kerja dakwah masih lagi banyak di luar sana, saya belum mempunyai masa untuk menjawabnya...."

Bagaimana pula anda ?

Selamat berjuang untuk semua!

3 comments:

Anonymous said...

Ustaz Maszlee,

Kalau diizinkan Allah bertemu di Muar nanti boleh pekena kopi 434 di kopitiam sana.

Abu Nafisah

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

[url=http://bigbrainwolf.com/Forum/members/difference-between-prozac-and-fluoxetine-35/default.aspx]difference between prozac and fluoxetine[/url] [url=http://community.myprosoft.com/members/viagra-telephone-us-60/default.aspx]viagra telephone us[/url]
elavil is used for zoloft canada
http://dotnet.lv/itpro/members/Drinking-while-taking-celexa-37/default.aspx blood pressure cuff with viagra logo
[url=http://203.200.1.38:81/members/las-vegas-casino-jobs-86/default.aspx]las vegas casino jobs[/url] [url=http://203.200.1.38:81/members/british-pharmacy-society-63/default.aspx]british pharmacy society[/url]
new jersey pharmacy law does zoloft help premature ejaculation
http://novinewcomers.com/members/celexa-withdrawal-umaxppc-47.aspx book guest online shop viagra
zithromax tri pak google4534553453322