Tuesday, July 25, 2006

SIASAH TANPA PRINSIP

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Kejayaan dakwah para anbiya ialah pada keikhlasan mereka dan istiqamah memegang dan mempertahankan prinsip. Kemenangan bukanlah suatu kemestian dalam dakwah. Ramai juga para anbiya yang tidak menang. Bahkan dalam hadith yang sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim baginda bersabda: “Ditunjukkan padaku berbagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua orang pengikut. Ada yang bersama sekumpulan (kurang daripada sepuluh orang). Adapula nabi yang tiada seorang pun bersamanya…”. Namun tiada seorang nabi pun yang mengubah prinsipnya kerana inginkan pengikut. Sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s. seperti yang dirakamkan oleh al-Quran dalam surah Nuh.



Pendekatan dan cara boleh berubah. Prinsip dan inti adalah tonggak yang kekal dalam seruan. Perjuangan para anbiya ialah perjuangan menegak aqidah tauhid yang tulus dan murni dari sebarang unsur kesyirikan. Syariat yang hendak ditegakkan ialah syariat yang bertunjangkan tauhid dan perlambangan kepada pengabdian diri kepada ALLAH. Berkembanglah dari situ asas-asas keadilan untuk manusia yang merupakan penjelmaan syariat yang bertunjangkan tauhid itu. Para pengikut manhaj anbiya dan salaf bagi umat ini seiras dan seiring dalam isu prinsip ini. Mereka tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas. Pendekatan mereka mungkin berbeza. Tetapi akidah dan prinsipnya sama.

Adalah malang, jika jamaah atau kumpulan atau individu yang tidak tahu apakah prinsip yang menjadi teras kepada perjuangannya. Maka kita lihat berpecah-pecah pendirian antara mereka dalam masalah prinsip. Mereka hanya bertemu dan seragam dalam isu-isu semasa. Seperti ada yang sokong akidah Syiah, ada Mu’tazilah, ada penyeru para wali dan yang pula berakidah ahli sunnah. Soal prinsip berbeza. Namun soal senjata nuklear, isu perundangan dan beberapa perkara semasa kelihatan sama. Ini bercanggahan dengan rupa bentuk dakwah anbiya dan generasi salaf. Mereka mungkin berbeza dalam sesuatu isu dan pendekatan, namun mereka tegas dan tegap dalam masalah prinsip.

Dalam Islam ada politik. Seperti mana adanya ekonomi, pendidikan dan selainnya. Namun teras kepada semua itu adalah akidah dan usul-usul yang menjadi prinsip Islam. Seseorang yang hendak menganut Islam, tidak boleh masuk melalui pintu siasah atau ekonomi. Dia mesti masuk melalui pintu tauhid dan mengenali prinsip-prinsip Islam.

Seorang muslim yang berdakwah hendaklah menyerukan kepada Islam sebagai al-din. Bukan Islam sebagai parti atau jemaah atau daulah. Seseorang mungkin tidak memiliki jamaah atau kumpulan atau daulah yang diidami, tetapi ia mesti memiliki akidah dan ibadah kepada ALLAH dalam wajah zahir dan batin pengabdian diri tanpa sebarang pencemaran. Pendakwah muslim gembira melihat seseorang berpegang dengan Islam, sekalipun tidak menyertai organisasinya atau menyumbang kepadanya. Dia menyeru rakyat dan pemerintah agar menerima akidah terhadap al-Quran dan al-Sunnah sebagai prinsip, kemudian diikuti dengan perlaksanaan syariat dalam diri dan masyarakat. Pendakwah muslim akan dukacita melihat seseorang meninggalkan prinsip-prinsip Islam, sekalipun orang itu adalah rakan organisasinya, atau mendakwa sealiran dengannya. Pendakwah muslim tidak mempunyai kepentingan yang mengatasi prinsip dalam dakwah. Gembira dan dukacitanya melihat orang menerima atau menolak dakwah adalah kerana soal tanggungjawab hidayah bukan kerana habuan siasah atau seumpamanya.

Hal ini berbeza dengan orang politik kepartian. Dia suka jika musuhnya buat kesalahan. Supaya ada isu yang boleh diperkatakan dan menguntungkan kerja buat politiknya. Dia tidak gembira jika musuhnya berbuat positif kerana itu merugikannya. Dia akan tafsirkan kebaikan itu dengan wajah kejahatan, atau sekurang-kurang dia akan kata ‘ada udang di sebalik batu’. Jika hal yang sama dilakukan olehnya, penafsirannya berbeza. Niat musuh selalunya busuk, niatnya didakwa selalu jujur. Bagaimana dia berfikir, demikian dia menyangka orang lain juga. Semua parti politik yang goyah prinsipnya hampir semazhab dalam hal ini. Maka dalam politik musuh sekelip mata boleh bertukar menjadi kawan. Kawan dalam sekelip mata boleh bertukar menjadi musuh. Sekalipun kawan ataupun musuh tadi belum pun menukar prinsipnya. Apa yang penting, sesiapa yang menguntungkan cita-cita politik ‘kerusi’ maka dia akan dianggap kawan. Sekalipun dasar dan pegangannya berbeza. Sesiapa yang dirasakan tidak menguntungkan hasrat politiknya, maka dia musuh. Sekalipun prinsip dan pegangannya sama. Orang dakwah yang berprinsip tidak demikian. Mereka sebaliknya. Mereka bersatu atas prinsip. Lalu maaf dan memaafi perbezaaan. Mereka bercerai kerana prinsip. Sekalipun ada kepentingan luar yang sama.

Hal ini membezakan antara pendakwah dan ahli politik ala jahaliyyah. Maka orang dakwah mungkin berpolitik demi dakwah. Tetapi tidak akan berdakwah untuk kepentingan politik. Politik bagi mereka apa yang mendekatkan diri kepada Islam. Bukan mendekatkan diri kepada Islam untuk politik. Seperti tidak mungkin mendekatkan diri kepada ALLAH untuk bersolat. Namun, bersolat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Hal ini mesti difahami..

Saya seorang yang tidak pandai dalam politik kepartian. Namun saya sering menumpang dengar dan baca tentang hal ‘orang parti’. Parti apa pun sama. Hal mereka kadang-kadang lucu. Kadang-kadang pelik. Kadang-kadang menyebabkan kita marah. Dalam banyak keadaan, saya yang teramat-amat daif ini melihat kerenah mereka, rasa syukur kerana bukan ahli politik dan menyebut seperti firman ALLAH Surah al-A’raf ayat 43: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami. Tidak sekali-kali kami akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami”.

Saya ada sahabat yang kuat politiknya. Dia selalu emailkan kepada saya berbagai isu politik. Entah berapa banyak yang telah saya perolehi, jumlahnya tidak terhitung. Emailnya sebelum ini selalu mencerca dan mengutuk habis-habisan mantan perdana menteri. Baginya tidak ada nilai baik walaupun sedikit. Kadang kala dia semacam mengkafirkan. Atau sekurang-kurang dihukum kekal neraka sebelum keputusan Mahsyar. Namun ada perkembangan yang memeranjatkan. Saya pun hairan dan teramat pelik. Kebelakangan ini dia memuji kembali. Dia mengkritik PM sekarang kerana enggan mendengar nasihat bernas mantan perdana menteri berkenaan.

Namun apabila saya renungi, ini adalah cara hidupnya barangkali. Dahulu ketika mantan Timbalan Perdana (DSAI) berada dalam kerajaan, dia menuduh tokoh tersebut sebagai munafik, jual agama, ingin cuci najis dari dalam tong dan lain-lain. Pantang ada yang dia nampak silap melainkan dihentamnya. Apabila berlaku krisis, DSAI dibuang, dia marah-marah. Katanya; nampak sangat Dr M anti-Islam. Sebabnya, DSAI baginya adalah pejuang yang ingin menegak Islam dan memerangi rasuah. Apa sahaja perkataan yang boleh dicerca Dr M dicercanya Kutukan untuk DSAI sudah tidak kedengaran lagi. Bahkan gambar DSAI diletakkan di sana-sini. Apabila Tun Mahathir bersara, dia begitu marah PM sekarang. Dia katakan ‘Pak Lah’ boneka Tun dan hanya meneruskan dasar-dasar lama yang jahat. Apabila Tun tampil memberikan kritikan kepada PM sekarang, suatu lagi kejutan berlaku. Dalam email-emailnya dia menyokong Tun. Dia marah PM sekarang kerana tidak mendengar nasihat Tun. Tun lebih jujur dan berpengalaman, katanya. Sekarang dia kata ‘dosa lalu akan dimaafkan’. Bahkan Tun layak jadi ketua pembangkang sekarang. Saya tanya: kenapa berubah?. Dia kata : “yang penting kita bersatu lawan kerajaan”.

Dalam kebingungan itu, saya cuba mencari jawapan kepada fonomena ini. Setelah saya renung, maka fahamlah saya bahawa prinsip perjuangannya –walaupun dia agak pro Islam- ialah ayatnya: “yang penting kita bersatu lawan kerajaan”. Maka dia berubah-ubah berdasarkan pegangan itu. Apapun dapat digadaikan selagi memenuhi prinsip tersebut. Oleh kerana dia kuat parti tertentu, saya pernah bergurau dengannya: enta ni mana yang mazhab, mana yang agama? Islam tu mazhab, parti tu agama ke, atau macam mana?!. Dia jawab: enta tidak faham. Apa pun kena menang dulu, nanti kita bincang!. Saya senyum dan memohon perlindungan dari ALLAH yang Maha Memberi hidayah.

Walaupun wataknya itu sangat jelek, namun perkara seperti ini boleh menjadikan kita lebih faham nas-nas agama. Antaranya, mengapa ALLAH s.w.t menyebut dalam Surah al-‘Asr (maksudnya): Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian . Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula pesan memesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.

Pesan memesan kepada kebenaran diiringan dengan pesan memesan kepada kesabaran. Ini kerana, menegakkan kebenaran memerlukan kesabaran berpegang dengannya dan menghadapi kerenah penentangnya. Jika tidak, prinsip berubah kerana kebenaran yang sudah tidak dapat dipertahankan dek jiwa yang tidak sabar dan tamakkan kemenangan. Untuk apa menang, jika prinsip tergadai?!! Namun orang politik sentiasa rasa sempit dada. Ini seacuan dengan seruannya yang sempit dan kerusi yang sedikit lagi menjadi rebutan. Jika partinya tewas dan kerusinya hilang, maka dia seakan hilang segala-galanya. Penyeru kepada Islam yang lengkap tidak demikian. Bahkan dia selalu merasai tidak sempat masa untuk menyeru dan menyempurnakan keluasan itu. Bermula soal akidah, ibadah, pendidikan, muamalat kewangan, munakahat dan segala macam yang perlu diberikan penjelasan kepada umat dan masyarakat umum. Apatah lagi di era kabur dan keliru ini. Jika ada perkembangan penerimaan dalam mana-mana bahagian Islam, dia amat gembira dan merasai keberhasilannya. Sekalipun nama tidak disebut, habuan tidak dihulurkan. Pusat daftar dirinya di langit. Pemantauan langit tidak pernah silap. Janji pahala sentiasa menanti. Dia tidak memerlukan nama partinya disebut atau nama diukir. Sebaliknya, seperti riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. dalam surat-surat baginda kepada pembesar Rom dan Parsi menulis: “Islamlah nescaya kamu selamat. ALLAH berikan kamu dua pahala”. Bukan soal ingin kuasa. Tapi soal hidayah dan saluran menyampaikan al-Kitab dan al-Sunnah. Peperangan hanya tercetus pabila suasana ruang diplomasi sudah terhapus. Politik Nabi s.a.w tidak bermula dengan konfrantasi terhadap individu pemerintah. Konfrantasinya hanya terhadap sistem yang dianuti. Jika demikian untuk pemerintah yang kafir, apatah lagi untuk pemerintah muslim dalam iklim hari ini. Dunia Barat selalu inginkan kita porak peranda. Namun mengampu pemerintah adalah dilarang sama sekali. Itu adalah kejahatan dan pengkhianatan terhadap negara dan rakyat. Demikian juga sentiasa kontra dengan pemerintah dalam semua perkara, bukanlah ajaran Islam. Bahkan itu adalah golongan sesat yang berjiwa khawarij.

Lagipun sikap melampau dalam membenci dan suka amat dilarang oleh agama. Orang politik suka orang lain taksub kepadanya. Demikian dek masa depan kuasanya. Tidak begitu RasululLah s.a.w. Baginda membantah orang yang melampau memujinya kerana dibimbangi syirik.

Al-Quran melarang kebencian yang melampau. Firman ALLAH dalam Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”

Hinanya kita umat ini apabila kita menjadi tidak berprinsip. Demikian ajaran al-Quran. ALLAH menyebut dalam Surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Nabi mengingatkan kita perkara ini. Daripada Thauban, katanya: Sabda RasululLah s.a.w.: “Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan (menjamah hidangan makanan) . Seorang sahabat bertanya "apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?" Baginda menjawab "bahkan bilangan kamu diwaktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha` (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn." Seorang sahabt bertanya pulak " Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?" Jawab Rasulullah "cinta dunia dan takut mati" (Riwayat Abu Daud. Al-Albani mensahihkannya ( Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. 2/647 Riyadh: Maktabah al-Ma`arif).

Jumlah banyak tanpa prinsip tidak memberi manfaat dan faedah kepada umat. Bagaikan buih yang boleh dipukul ke sana ke mari. Seperti yang saya sebutkan, saya bukan pandai politik kepartian ini. Namun saya ingin berkongsi perasaan yang dirasai oleh kebanyakan orang awam seperti saya. Janganlah kita hairan jika suatu hari kumpulan-kumpulan yang berlebelkan Islam ini dipinggirkan dek kerana kepercayaan yang hilang. Alangkah baiknya, jika bersederhana dalam semua hal. Jujur terhadap prinsip dan pegangan. Jika tidak, nanti kelihatan seperti apa yang disifatkan ALLAH dalam Surah al-Nahl ayat 92: (maksudnya) “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya”.

Jika ada rakan politik yang terasa, dipohon kemaafan. Saya bukan pesaing mereka di medan tersebut. Jangan bimbang, anda tidak tergugat kerana tulisan ini. Namun yang menggugat anda ialah pendirian yang berbolak-balik mengikut arus tanpa paksi yang teguh. Kembalilah kepada Islam tulen. Tulisan ini hanya lontaran seorang insan awam yang tidak pandai sepak terajang orang politik. Namun sedikit sebanyak pengetahuan Islam yang pernah dipelajari menjadikan saya yakin jalan yang anda tempuhi wajar dibetulkan.

Apakah ertinya kemenangan, jika kita tiada prinsip sejak perjuangan dilancarkan?!! Kemudian, dalam kesibukan kita ke sana dan ke sini dengan segala macam aktivitinya, mungkin kita lupa bertanya, kerana siapa kita berjuang?! untuk siapa pula perjuangan ini?!! Dan atas manhaj siapa kita lusuri perjuangan ini?!

Justeru baginda Nabi s.a.w selalu menyebut: “Wahai Yang Membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agamaMu” (Sahih, Riwayat al-Tirmizi). Jika demikian baginda, betapa insan lain memerlukan lebih lagi doa istiqamah. Sebelum hendak beristiqamah dia perlu memahami dengan jelas, apakah prinsip yang dipegang untuk dia beristiqamah dengannya?! Jika tidak istiqamah hanya menjadi slogan kosong tanpa erti. Ada orang selalu sebut “saya istiqamah dengan perjuangan”. Namun apabila ditanya: apa yang anda perjuangkan?! Jawabnya: Islam. Ditanya:Islam yang bagaimana yang anda perjuangkan. Hari ini semua menyebut slogan yang sama. Dia tergamam untuk menghuraikan. Atau dia mungkin terkeliru, antara maksud istiqamah di atas Islam yang tulen, dengan aktif dalam sesebuah organisasi!.

Kejelasan prinsip yang bertunjangkan Islam tulen akan menjadikan wajah Islam jelas di hadapan mata, berlapang dada demi prinsip, dapat membezakan setiap isu dengan ukuran prinsip, nampak hala tuju, tidak berputar-putar pendiriannya, sedia mengakui kesilapan demi prinsip, mengenal dengan baik antara sahabat dan bukan, amanah terhadap ilmu dan berbagai lagi. Kita mungkin tersilap dalam tindakan, amalan dan akhlak. Tetapi kita tidak boleh tersilap hingga menggadaikan akidah dan prinsip. Terhoyong-hayang tanpa panduan.

Kita pasti pulang kepada ALLAH. Justeru, jadikanlah segala percaturan yang mengundang keletihan dan kepenatan ini mendapat pahala. Untuk saya, jika mampu saya ingin jadi pendakwah kepada Islam yang tulen. Ingin mempelajari bagaimana berpegang dengan prinsip. Saya masih berusaha.

Adapun siasah, jika berubah-ubah pegangan manusia kerananya, pohon perlindungan dengan ALLAH dari siasah yang seperti itu. Tidak mengapalah jika tidak pandai siasah kepartian selagi tiada menjual pendirian dan hilang panduan. Orang politik! saya pohon kemaafan..

9 comments:

Al-Bakistani said...

PRINSIP TANPA SIASAH

Apabila orang yang bukan ahli bercakap sesuatu yang bukan bidangnya, maka akan dapat dilihat kepincangan pemikirannya.

Ulama-ulama usul fiqh adalah menyatakan kaedah;

الحكم على شئ فرع عن تصوره

Maksudnya;
“hukum atas sesuatu, satu furuk dari gambarannya”.

Kisah seorang ulama yang dilahirkan buta sejak kecil lagi telah ditanya berkenaan hukum menonton television. Bagi menjatuhkan sesuatu hukum, maka ulama buta tersebut telah meminta orang yang bertanya, agar menceritakan kepadanya rupa bentuk TV tersebut.

Si bertanya tersebut telah mendatangkan TV kepada ulama tersebut dan Dia pun meraba-raba dan bertanya, “apa yang ada pada kotak ini?”. Mendengar pertanyaan tersebut, si bertanya tersebut telah memasang siaran bacaan Al-Quran dan didengari oleh ulama buta itu.

Mendengar sahaja bacaan al-Quran dari TV tersebut, Ulama buta itu terus menyatakan bahawa hukum melihat tv mendapat pahala, kerana mengandungi bacaan Al-Quran.

Melihat kepada kisah ini, jelas kepada kita bahawa ulama buta itu telah melakukan kesilapan didalam fatwa, kerana, beliau tidak memahami gambaran sesuatu yang hendak di hukumkan.

Hukum TV tidak jatuh kepada sunat semata-mata, bahkan kadangkala ianya menjadi dosa, seperti melihat kepada siaran-siaran yang berunsur maksiat, membuka aurat dan sebagainya.

Begitujuga hakikat, apabila seseorang yang mengaku dirinya tidak memahami politik kepartian, tetapi ingin juga melakukan komentar terhadap situasi politik yang berlaku.

APAKAH HUKUM BERPOLITIK?

Politik adalah satu kalimah melayu yang berasal dari bahasa Inggeris.

Didalam bahasa Arab, politik dikenali dengan “siasah” yang berasal dari kalimah ساس , يسوس , سياسة .

Mukjam Al-Arabi Al-Asasi mendefinisikan siasah seperti berikut;

“mentadbir dan mengawasi kepimpinan dan perkara yang meliputinya”

Kamus dewan bahasa pula mendefinisikan siasah sebagai “pengetahuan yang bersangkutan dengan hal hal kenegaraan (pemerintahan dll), politik”

Difahami dari definisi ini, menunjukan siasah adalah kalimah yang mengandungi kefahaman selok belok kenegaraan, politik dan sebagainya.

ADAKAH NABI BERPOLITIK?

Membaca dari hadis-hadis dan sirah-sirah Rasulullah SAW, antara tugas dan gerak kerja yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah menjadi seseorang pemimpin negara.

Kerajaan Islam yang pertama dibina oleh Rasulullah SAW ialah Madinah Munawwarah. Kepimpinan tersebut tidak dinafikan dan diterima oleh seluruh ulama sehinggakan ianya sudah menjadi sesuatu yang telah diijmakkan oleh ulama.

Tugas melaksanakan hukum-hukum Islam tidaklah dibataskan kepada system ibadat sahaja, bahkan ada hukum-hukum Islam yang tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan terhasilnya kekuatan kenegaraan.

Perlaksanaan hukum hudud dan qisas adalah antara contoh perlaksaan yang memerlukan kepada kekuatan kenegaraan.

Tidak logic dikatakan, kuat kuasa undang-undang dapat dilaksanakan tanpa mempunyai kekuatan kenegaraan.

Menjadi pemimpin negara merupakan tugas yang penting, ini kerana, dengannya banyak hukum-hukum islam dapat dilaksanakan disamping menjaga kemaslahatan umat itu merupakan sesuatu yang wajib ditunaikan.

Melihat kepada dalil-dalil, banyak yang menyatakan kewajipan bernegara tersebut. Antaranya adalah seperti berikut;

Firman Allah;

يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. (surah an-nisa’ : 59)

Ulil Amri, seperti yang didefinisikan ulama adalah pemimpin-pemimpin yang melaksanakan ketaatan terhadap Allah.

Telah mewaridkan oleh At-Tabari bahawa daripada Abu Hurairah RA katanya ;

أن أولى الأمر هم الأمراء

Maksudnya;
“sesungguhnya ‘ulil amri’ itu adalah pemimpin-pemimpin”

Berkata Imam At-Tabari lagi, Umara’ (pemimpin-pemimpin) adalah orang yang mentadbir kemaslahatan orang Islam berdasarkan ketaatan terhadap Allah.

Sabda Rasulullah SAW;

لينقض عرى الاسلام عروة عروة , فكلما انتقضت عروة تشبث الناس بالتى تليها , وأولهن نقضا الحكم , و أخرهن الصلاة

Maksudnya;
“akan terungkai ikatan islam itu satu demi satu. Ketika terungkai satu ikatan, mengekorilah manusia dengan selanjutnya, yang pertamanya adalah “al-hukm” atau pemerintahan dan yang akhirnya adalah solat”

Berkata Abdul Karim Zaidan, “Yang dimaksudkan dengan “al-Hukm” adalah kerajaan yang berasaskan manhaj Islam. Termasuk didalamnya kemestian wujud kepimpinan dalam melaksanakan manhaj Islam itu”.

Dan telah ijmak seluruh ulama atas kemestian membina sesebuah negara dan melantik pemimpin yang melaksana manhaj islam didalam negera tersebut.

Perlantikan Abu Bakar menjadi Khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW merupakan antara contoh kewajipan pemerintahan negara itu diijmakkan oleh seluruh sahabat, tanpa di ingkari seorang pun.

Melihat kepada dalil-dalil yang tersebut, membuktikan kepada kita bahawa Rasulullah SAW, bukanlah sekadar seorang nabi, bahkan beliau merupakan seorang ahli politik yang telah berjaya memimpin negara madinah dengan melaksanakan undang-undang Islam dan mendaulatkannya.

BAGAIMANA NABI BERPOLITIK?

Rasulullah SAW adalah seorang Nabi yang merupakan manusia seperti manusia-manusia yang lain juga. Perbezaan antara nabi dengan manusia-manusia lain hanya wahyu yang telah diberikan Allah kepada Baginda SAW;

Firman Allah;


Maksudnya;
“Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahwa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa." Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya." (surah Al-Kahfi : 110)

Melihat nabi adalah seorang manusia yang telah diberikan oleh Allah SWT wahyu, maka segala pergerakan nabi SAW berasaskan dan dipandu oleh wahyu ilahi.

Begitujuga, dalam menghadapi situasi politik. Politik Rasulullah SAW adalah politik yang berasaskan kepada wahyu ilahi. Maka dengan demikian, bagi menjadikan politik ini seperti politik Rasulullah SAW, sewajibnya dilihat kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Inilah yang dikatakan berperinsip didalam bersiasah. Rasulullah SAW seorang ahli siasah yang menjaga perinsip-perinsip Islam.

SULUH HUDAIBIYYAH : ANTARA PERINSIP DAN SIASAH

Membaca sirah, kita mendengar juga kisah tentang suluh hudaibiyyah yang mana kisah ini melibatkan diri Rasulullah SAW sendiri.

Didalam kisah tersebut, Rasulullah bermimpi bahawa kaum muslimin akan melaksanakan haji di Masjidil haram. Baginda SAW menyampaikan hal ini kepada para sahabat.

Didalam pemusafiran menuju ke Makkah, Rasulullah SAW mengarahkan kepada para sahabat bersiap sedia dan mengajak juga golongan-golongan badwi-badwi arab yang masih belum Islam supaya bersama-sama pergi ke Makkah .

Begitujuga, Rasulullah SAW mengarahkan kepada para pemusafir agar tidak membawa senjata, melainkan pedang permusafiran sahaja.

Dari sini, kita dapat melihat bagaimana siasah Rasulullah SAW dalam menarik perhatian golongan dunia agar beranggapan bahawa Islam adalah satu agama yang tidak suka kepada permusuhan dan dapat memberi gambaran kezaliman golongan quraish yang dilakukan terhadap orang-orang Islam.

Dengan kisah suluh hudaibiyyah ini juga, sebagai jawapan kepada tuduhan yang dilemparkan oleh golongan kuffar qurash atas perjuangan Islam.

Jika dilihat dari sudut perinsip, tidak selayaknya Rasulullah SAW bermusafir ke Makkah tanpa membawa senjata dan membawa orang-orang badwi yang masih tidak islam lagi. Ini kerana, seakan-akan Rasulullah SAW sudah menggadaikan perinsipnya yang menjelaskan tentang larangan berkompromi dengan golongan kuffar. Juga, seakan-akan menidakkan firman Allah;


Maksudnya;
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya” (surah al-anfal : 60)

Walaupunbegitu, Rasulullah SAW tetap menyuruh para sahabat agar tidak membawa senjata-senjata perang, dengan tujuan hendak membuka mata dunia supaya mereka mendapat jawapan atas tuduhan golongan kuffar yang menyatakan Islam adalah agama yang ganas dan mengajak kepada permusuhan.

Inilah yang dikatakan siasah Rasulullah SAW, yang selayaknya perlu diambil perhatian untuk dilaksanakan didalam kehidupan kini.

APABILA PERINSIP TIDAK BERSIASAH DAN TIADA PERINSIP, TIADA SIASAH.

Perinsip adalah sesuatu yang mesti, ini kerana, Rasulullah SAW membina generasi sahabat yang berperinsip.

Dianggap mandul, bagi orang yang berperinsip tanpa siasah, ini kerana, kadangkala perinsip terpaksa digadaikan ekoran tindak tanduk yang tidak bersiasah.

kenyataan menyatakan serban adalah salah satu adat arab yang dipakai oleh Rasulullah SAW, tanpa dihubungkan dengan pahala, dikala golongan kuffar dan secular berusaha hendak menghancurkan islam adalah tindakan yang dibawah kategori “berperinsip tetapi tidak bersiasah”.

Bagi orang yang bersiasah, selayaknya dia mengetahui kaedah fiqh yang berbunyi;

الارتكاب أخف الضررين

Maksudnya;
“melaksanakan mudharat yang paling ringan”

Juga dia mengetahui juga kaedah fiqh yang berbunyi;

ما أدى الى الحرام فهو حرام

Maksudnya;
“perkara yang membawa kepada Haram, maka ia pun adalah haram”

Ekoran tidak memahami kaedah ini, menyebabkan ada orang yang mengeluarkan kenyataan “hakim Abdul Hamid Muhammed mempunyai roh Islam kerana serban adalah pakaian adat bukan ibadat”, sedangkan kenyataan ini adalah kenyataan yang banyak memberi keuntungan kepada kuffar dan secular.

tidak dinafikan, ada ulama menyatakan memakai serban adalah pakaian adat yang tidak dihubungkan dengan pahala, dikala memakainya. Tetapi selayaknya tidak dinafikan juga, bahawa disana ada ulama yang menyatakan, berserban mendapat pahala.

Mengeluarkan kenyataan yang menguntungkan golongan kuffar dan secular adalah tindakan orang yang tidak memahami fiqh awlawiyyat.

Menyatakan hukum berserban adalah wajib, tetapi menjaga kemaslahatan umat Islam didalam perlembagaan juga adalah sesuatu yang wajib juga. Maka apabila berhimpun antara dua perkara wajib, maka hendaklah ditimbang, yang manakah perlu diutamakan.

Juga, tindakan menyatakan hukum berserban adalah wajib, tetapi mengeluarkan kenyataan tersebut dikala keuntungannya berpehak kepada golongan kuffar dan secular, msks itu jugs adalah haram, ini kerana, kaedah fiqh menyatakan;

ما أدى الى الحرام فهو حرام

Maksudnya;
“perkara yang membawa kepada haram, maka ia adalah haram”

Membincangkan perkara khilafiyyah dikala orang islam di serang tsunami murtad adalah tindakan orang yang tidak berperinsip dan tidak bersiasah.

Mengadakan program “seminar gerakan tajdid” yang dirasmikan oleh bapa secular perlis, Syahidan Kasim, dikala umat Islam berkumpul di Masjid wilayah, Jalan Duta untuk road show penerangan isu murtad adalah tindakan orang yang tidak berperinsip dan tidak bersiasah.

Di Malaysia, tindakan orang yang tidak berperinsip dan tidak bersiasah ini adalah tindakan yang mandul dan tindakan itu seakan-akan menyerupai “agen kuffar” yang mahu merosakan perpaduan umat Islam, seperti yang dilakukan oleh perancangan zionis selepas kekalahan solibiyyiin ketika berperang dengan Salahuddin Al-Ayyubi dahulu.

Wallahu ‘Alam.

ONE_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

Anonymous said...

Artikel yang diberikan oleh Dr Asri tidak pernah menafikan keperluan siasah dalam Islam . Isu yang dibincangkan al-bakistani tidak parallel dengan isu yang ingin di tonjolkan oleh Dr Asri.

Berkenaan dengan isu mengadakan forum serentak dgn perhimpunan itu telah di nyatakan oleh DR . Asri sendiri semasa di forum tersebut 'forum ini bukanlah sengaja di lakukan pada waktu y

Anonymous said...

Artikel yang diberikan oleh Dr Asri tidak pernah menafikan keperluan siasah dalam Islam . Isu yang dibincangkan al-bakistani tidak parallel dengan isu yang ingin di tonjolkan oleh Dr Asri.

Berkenaan dengan isu mengadakan forum serentak dgn perhimpunan itu telah di nyatakan oleh DR . Asri sendiri semasa di forum tersebut 'forum ini bukanlah sengaja di lakukan pada waktu yang sama kerana forum ini telah dirancang sebelum perhimpunan di Masjid Wilayah diadakan, andaikata tiada forum ini maka pasti kita akan bersama dengan perhimpunan tersebut ....

harap segelitir permasalahan dapat diterangkan, wallahualam

Al-Bakistani said...

PRINSIP YANG TERJAGA, SIASAH YANG MATANG

Agama Islam yang diwahyukan Allah kepada Muhammad supaya disebarkan ke seluruh alam ini merupakan agama yang paling syumul dan merangkumi didalam semua kontek kehidupan.

Islam tidak dibataskan kepada perkara ibadat sahaja, bahkan Islam merupakan agama yang merangkumi segala cara hidup manusia, samada dari sudut pendidikan, politik, ekonomi, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Justeru islam adalah agama yang syumul, sewajibnya penganutnya masuk kedalam Islam secara menyeluruh.

Firman Allah;

يا أيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كافة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (surah al-Baqarah : 208)

Juga Allah melarang manusia mengambil Islam sebahagian dan mengkufuri sebahagian yang lain. Hal ini dinyatakan oleh Allah didalam firmannya;

أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون إلى أشد العذاب وما الله بغافل عما تعملون

Maksudnya;
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat” (surah al-Baqarah : 85)

Siasah merupakan antara perkara yang diajar oleh Islam. Rasulullah SAW merupakan tauladan contoh dalam menentukan kebaikan dalam menuju kejayaan bersiasah.

AQIDAH ADALAH DASAR

Aqidah merupakan dasar utama yang perlu ditanam kepada penganut-penganut Islam. Melihat kepada sirah Rasulullah SAW, dimasa marhalah makkiyyah, Rasulullah SAW mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah. Menunjukan kepada kita, aqidah merupakan sesuatu asas yang utama perlu diserapkan kepada jiwa penganut-penganut Islam.

Tugas meresapkan tauhid dan aqidah tidaklah dibataskan kepada diri-diri individu manusia sahaja, bahkan perlunya kepada penyerapan kepada system dan organisasi, agar ianya tidak tersasar dari kehendak Allah.

Walaupun aqidah menjadi dasar, tidak semestinya kita berdakwah dengan mengemukakan aqidah terlebih dahulu, bahkan kadangkala, manusia boleh terpaut dengan Islam dengan penglihatan dan penghayatan mereka kepada keadilan Islam didalam menguruskan siasah, ekonomi, kemasyarakatan dan sebagainya.

Kita mendengar kisah berkenaan tentang kemasukan beberapa individu kepada Islam, ekoran dari melihat akhlak mulia Rasulullah SAW, Saidina Omar dan sebagainya.

Ini menunjukan, tidak semestinya, mengajak manusia itu mesti bermula dengan pintu aqidah, tetapi boleh juga dakwah islam itu dimulakan dengan pintu ekonomi Islam, politik Islam dan sebagainya. Lanjutan dari itu, penerapan aqidah perlu di laksanakan kepada individu-individu tersebut agar ia menjadi sebagai muslim yang hakiki.

PERJUANGKAN ISLAM MELALUI SIASAH HIZBIYYAH

Kejatuhan Daulah Othmaniyyah merupakan kejatuhan kuasa Islam didalam bersiasah dan mentadbir alam ini dengan islam.

Pemikiran secular merupakan dalang dalam usaha untuk menjatuhkan kekuatan khilafah Islamiyyah yang terakhir itu.

Bermula dari situ, umat Islam yang berfikir dan berjiwa islam mula melancarkan beberapa tindakan agar Daulah Islamiyyah itu dapat dibina semula.

Ada dari mereka menubuhkan gerakan-gerakan Islam di negara-negara mereka, ada meneruskan dengan agenda individunya dan berbagai-bagai lagi.

Kelahiran Jamaat Islami yang berada di Benua India, Ikhwan Muslimin di Semenanjung Tanah Arab, Hizbul Muslimin di Malaysia dan sebagainya adalah selepas kejatuhan Daulah Islamiyyah ketika itu.

Kelahiran gerakan-gerakan Islam ini, bukanlah untuk mengaut keuntungan dunia dan pengaruh individu-individu tertentu sahaja, bahkan kelahiran gerakan Islam ini bertujuan untuk mengembalikan semula kekuatan khilafah Islamiyyah yang telah jatuh semenjak dahulu lagi.

PAS adalah salah satu gerakan islam yang muncul bagi berusaha kearah tersebut. Melihat Malaysia adalah sebuah negara yang dipimpin oleh muslim tetapi berfikiran dan bertindak secular, maka PAS telah menubuhkan partinya, bagi berusaha hendak melaksanakan Islam mengikut kadar yang termampu dilaksanakan.

Perlaksanaan hukum-hukum dan undang-undang Islam adalah sesuatu yang telah sabit dengan nas dan telah diijmakkan oleh ulama, maka berusaha kearah perlaksanaannya adalah sesuatu yang wajib.

Berusaha kearah perlaksanaan tersebut tidak dapat direalitikan melainkan dengan menubuh parti dan masuk bertanding dalam pilihanraya, maka PAS telah mengambil cara menubuhkan parti dan masuk kedalam pilihanraya bagi merialisasikan kewajipan tersebut.

Tindakan PAS itu, bukan semata-mata pemikiran dan teori, bahkan tindakan PAS berasaskan kepada kaedah fiqh;

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب

Maksudnya;
“tidak akan sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengannya, maka melaksanakannya adalah wajib”

PAS juga bersifat membenci kezaliman dan menjauhkan diri dari bersekongkol dengan kezaliman tersebut. Ini menujukan PAS percaya dengan firman Allah;

ولا تركنوا الى الذين ظلموا فتمسكم النار , وما لكم من دون الله من أولياء , ثم لا تنصرون

Maksudnya
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” (surah hud : 113)

Maka ekoran dari itu, PAS tidaklah mengajak manusia menuju kepada ketaasuban kepartiannya, tetapi PAS mengajak manusia kepada penghayatan dan perlaksanaan Islam secara menyeluruh, samada dari sudut ibadatnya, muamalatnya, ekonominya dan sebagainya.

PAS amat bergembira sekiranya UMNO menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya. PAS mengangap UMNO sebagai musuh kerana UMNO meneruskan agenda nasionalis kebangsaan melayu yang menyesatkan itu. PAS lawan UMNO, bukanlah kerana UMNOnya, tetapi PAS lawan UMNO kerana UMNO penerus kepada agenda yang menyalahi Islam.

Mursyid Al-‘Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat beberapa kali telah mengeluarkan kenyataan, bahawa PAS akan dibubarkan, sekiranya UMNO tukar dasar perjuangannya dari secular nasionalis kepada Islam yang sempurna.

Melihat kepada inilah perjuangan PAS, maka PAS tidak akan melayan mana-mana fikrah pergerakan yang mendakwa Islam, tetapi hakikatnya, tindakan mereka merugikan Islam dan menguntungkan secular dan perjuangan nasionalis, seperti Ummah Centric dan sebagainya.

SELAGI UMNO DENGAN SEKULAR, SELAGI ITU UMNO DIRAGUI

Diketahui UMNO adalah sebuah parti secular yang memperjuangkan nasionalis melayu, maka kelahiran PAS antara tugasnya adalah hendak membaiki pemikiran manusia akan kesesatan perjuangan nasionalis itu.

Selagi UMNO tidak menukar dasar perjuangan sekularnya, maka apa perlunya mempercayai dengan kata-kata manis yang ingin memaut perhatian manusia itu.

Perkataan Islam Hadhari yang diperkatakan oleh Abdullah Ahmad Badawi merupakan tindakan “ada udang disebalik batu”, kearah mencari keuntungan politik secular yang menyesatkan.

Setelah dikaji dan diselidiki, sememangnya kehadiran Islam Hadhari itu meragukan dan mengandungi udang disebalik batu.

Antara bukti keraguan yang ada pada Islam Hadhari adalah dari buku “Islam Hadhari dan pembangunan Umat” sebuah buku keluaran Hal Ehwal Khas, Kementeriaan Penerangan Malaysia, karangan Prof Madya Dr Idris Zakaria yang menjelaskan seperti berikut;

“Menjelang pilihanraya umum 2004 yang lalu, kita mendengar satu gagasan politik Negara yang dinamakannya sebagai Islam Hadhari. Gagasan ini telah terbukti yang ia adalah kekuatan. Kerajaan Barisan Nasional dengan UMNO sebagai tulang belakang telah menunjukan prestasi dan kejayaan yang besar dan mengejutkan ramai pemerhati politik dalam dan luar Negara. Negeri terengganu yang dikuasai parti PAS telah dirampas semula dengan kekuatan “Islam Hadhari Terengganu Bestari”. UMNO telah memenangi 28 dari 32 kerusi DUN dan 8 kerusi Parlimen. UMNO juga hampir menawan negeri Kelantan dengan menguasai 21 kerusi DUN dan PAS 24. Namun, dilihat secara umum, gagasan Islam Hadhari ini telah berjaya mematahkan kekuatan Pasti PAS”
Buku ini jelas menbuktikan bahawa Islam hadhari merupakan gagasan untuk mengalahkan PAS didalam pilihanraya, bukan untuk memberi penghayatan dan perlaksanaan Islam.

Begitujuga, Shahidan Kassim yang mula memperkatakan tentang salafi. Apa yang memelikkan, beliau merupakan menteri Besar Perlis yang menang dalam pilihanraya berpartikan Barisan Nasional yang sememangnya berwadahkan secular nasionalis. Apakah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat itu hendak memenangkan secular?

Setelah dilihat dan diselidiki, ekoran ramai dari rakyat-rakyat perlis mula memperkatakan tentang salafi, maka Shahidan Kassim sudah mula memperkatakan tentang salafi bagi mengekalkan pengaruhnya sebagai Menteri Besar di masa akan datang.

Meletakkan keraguan terhadap UMNO yang sudah mula memperkatakan tentang Islam adalah sesuatu kemestian, ini kerana firman Allah;

يا أيها الذين أمنوا , ان جاءكم فاسق بنباء فتبينوا , أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (surah al-Hujurat : 6)

ADAKAH PAS MEMENTINGKAN KERUSI BERBANDING PERLAKSANAAN DAKWAH?

Dalam system pilihanraya demokrasi, mendapat kerusi yang banyak menjanjikan kuasa memerintah, maka PAS berusaha hendak mendapat kerusi agar kuasa memerintah berasaskan kepada Al-Quran dan Hadis dapat dilaksanakan.

Perlu difahami, PAS bukanlah sebuah parti politik semata-mata, bahkan PAS adalah sebuah gerakan Islam yang menjadikan parti sebagai wasilah untuk melaksanakan tugas dakwah.

Dakwah PAS tidak dibataskan kepada dakwah lisan, tetapi dakwah PAS sampai kepada tahap dakwah dengan perbuatan.

Sabda Rasulullah ;

من رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بيده فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya;
“barangsiapa melihat akan kemungkaran, maka hendaklah dia tukarnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, maka dengan lisan (bercakap), sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya (benci kepada mungkar), dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”

Jika ada orang yang mendakwa PAS lebih mementingkan kerusi berbanding tugas dakwah, maka perlu difahamkan kepadanya, bahawa PAS mementingkan kerusi dengan tujuan Islam dapat dihayati dan dilaksanakan, iaitu PAS menjadikan kerusi sebagai cara untuk berdakwah.

SALAHKAH ISU DIJADIKAN SEBAGAI BAHAN DAKWAH?

Isu adalah sesuatu yang sentiasa berlaku. Ada isu yang melibatkan umat, dan ada isu yang melibatkan kepada individu-individu tertentu, tetapi melibatkan kepada umat menyeluruh.

Kehadiran Islam, antara tugasnya adalah hendak menyelesaikan permasalahan manusia, lebih-lebih lagi permasalahan itu melibatkan kepada umat keseluruhan.

Jika diperhatikan kepada isu kenaikan harga minyak, sudah memadai untuk menjawab persoalan monopoli gula yang berlaku di negara ini.

Semuanya berpunca apabila manusia lebih mengutamakan system ekonomi yang berteraskan kapitalis berbanding islam.

Isu tsunami dan gempa bumi yang menimpa Indonesia juga sudah memadai diperhatikan apabila manusia di sana masih mengamalkan budaya liberalisma dan pluralisma dalam beragama berbanding mengambil Islam sebagai cara hidup yang sempurna.

Firman Allah;

ظهر الفساد فى البر و البحر بما كسبت أيدى الناس

Maksudnya;
“Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusi” (surah ar-rum : 41)

Mengambil tahu isu yang berlaku, lalu dikaitkan penyelesaiannya berlandaskan Islam merupakan tindakan yang dapat mengaut keuntungan dalam melaksanakan tugas dakwah.

Kita mengetahui kisah kekalahan tentera rum ketika berperang dengan farsi yang beragama majusi. Ekoran Al-Quran adalah Hakim iaitu bijaksana, maka Al-Quran merakamkan bahawa kekalahan rum yang dibanggakan oleh golongan quraish, bahawa rom akan menerima kemenangan tidak lama kemudian dari itu. Hal itu benar-benar terjadi. Beberapa tahun kemudian, apa yang dinyatakan oleh Al-Quran itu benar-benar terjadi, maka dengan itu dapat menjawab bahawa benarnya kenabian Muhammad SAW.

Firman Allah;

غلبت الروم * فى أدنى الأرض وهم من بعد غلبهم سيغلبون * فى بضع سنين , لله الأمر من قبل و من بعد , ويومئذ يفرح المؤمنون

Maksudnya;
“Telah dikalahkan bangsa Rumawi * di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang * dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman” (surah Ar-Rum : 2-4)

Dari ayat Al-Quran ini menggambarkan bacaan politik wahyu ilahi terhadap sesuatu itu yang berlaku, lalu penjelasan tersebut berasaskan kepada wahyu sebagai tanda untuk menarik manusia kepada Islam.

ISU MAHADHIR DAN ANUAR IBRAHIM

Dahulu PAS berjaya mengaut keuntungan dalam pilihanraya dikala kezaliman yang dilakukan oleh UMNO terhadap seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang bernama Anuar Ibrahim.

Keuntungan tersebut, PAS berjaya mengekalkan kemenangannya di Kelantan dan dapat mengambil Terengganu untuk diperintah berasaskan kepada Islam.

Didalam pemerintahan di dua buah negeri tersebut, banyak keuntungan dakwah dapat didedahkan kepada masyarakat, samada kepada muslim atau non muslim.

Manusia dahulunya tidak mengerti dan mengetahui akan undang-undang hudud, qisas, ta’zir, kharaj dan sebagainya, sekarang mereka sudah memahaminya setelah kemenangan PAS di dua negeri tersebut.

Golongan non muslim yang dahulunya memandang benci kepada Islam, menjadi golongan yang sudah memahami keindangan Islam dan sudah mahu membantu kemenangan PAS didalam pilihanraya lepas.

Ini menunjukan bahawa, kemenangan yang PAS kaut hasil dari isu Anuar Ibrahim merupakan salah satu cara PAS menyampai dakwahnya kepada manusia.

Dan kini, berlaku isu kritikan bekas Perdana Menteri, Dr Mahadhir terhadap kepimpinan kerajaan sekarang merupakan satu isu yang sebenarnya PAS dapat menyampai usaha dakwah melaluinya.

Kehadiran beberapa pimpinan PAS didalam majlis dialog bersama Mahadhir merupakan satu isu yang sedang hangat dibincangkan. Ekoran dari itu, ramai dari kalangan manusia yang mengungkap beberapa pandangan mereka terhadap tindakan PAS terhadap Dr Mahadhir.

Ada dari kalangan manusia mengatakan, mana mungkin kita memaafi kesalahan Dr Mahadhir itu, kerana dosanya bersangatan besar berbanding dengan kebaikan yang dilakukan kepada Islam dan PAS.

Walaubagaimanapun, PAS tetap mahu memaafkan Dr mahadhir, sekiranya Dr Mahadhir bersedia mengaku kesalahan yang telah dilakukannya.

Firman Allah;

لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين

Maksudnya;

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (surah al-mumtahinah : 8)

Ada yang mengatakan PAS tidak berprinsip, kerana menjemput Mahadhir menjadi ketua Pembangkang. Walaupun begitu, jemputan itu tidak bermakna menggadaikan prinsip kerana Rasulullah SAW ada bersabda;

وَإِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هذا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya Allah akan mengkuatkan agama ini dengan lelaki yang jahat”

KESIMPULAN

Dari segala ulasan ini, tidak selayaknya kita mengatakan PAS telah menggadaikan prinsipnya demi mendapat keuntungan siasah. Bahkan tindakan PAS itu merupakan tindakan berprinsip disamping mempunyai kekuatan siasah dalam menghadapi situasi politik yang berlaku kini.


Wallahu ‘alam

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

Rockerz said...

Hai, Anda mempunyai blog yang hebat! Saya akan bookmark blog anda!

Saya ada website kaya dengan cepat. Peluang kaya dengan cepat di sini.

Lawatilah website saya bila ada masa lapang :-)

Anonymous said...

Benarkah PAS berjuang untuk menegakkan kerajaan Islam di MALAYSIA melalui saluran politik yg ada sekarang...?

Lihat. Sejarah politik tanahair, untuk membentuk kerajaan yang layak memerintah sesebuah parti perlu menang sekurang-kurangnya simple majority dlm pilihanraya - seperti kerajaan negeri Kelantan sekarang - persoalan - sepanjang sejarah pilihanraya - PAS tidak bersungguh-sungguh untuk membentuk kerajaan di Malaysia - jika dibilang kesemua kerusi yang mereka tandingi - sekiranya mereka menang kesemuanya - belum cukup bagi mereka untuk membentuk sesebuah kerajaan. Sebelum pilihanraya lagi sudah kalah, bagaimana nak memerintah? Satu lagi, PAS tidak pernah bertanding di kawasan minoriti Melayu - adakah PAS boleh memerintah tanpa bertanding di sana?

Sekadar menjenguk strategi siyasah PAS menggunakan ilmu statistik yang dipelajari. Camana ni?

Tambahan pula, PAS cenderung dengan siyasah Syi'ah kebelakangan ini. Bukankah ini ancaman yang sangat merbahaya kepada Ahl al-Sunnah? Siapa yang sanggup menggadaikan prinsip semata-mata untuk mendapatkan kuasa? Kekalahan di Terengganu sepatutnya jadi pengajaran bernilai buat PAS. Adakah orang Terengganu tidak mahu kepada Islam? Atau mungkin ada kekurangan teruk sepanjang pemerintahan PAS di Terengganu sehingga mereka terjejas teruk. Mungkin PAS lalai dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Terengganu - sehingga mereka berpaling tadah. Kalah teruk, bukan kalah sikit-sikit... Memerintah negeri bukan seperti menyusun strategi parti...

Anonymous said...

Siasah tanpa prinsip amat bahaya sedangkan xde orang dpt terima yang dimaksudkan siasah hanyalah pnyrtaan dalam pilihan raya melalui parti..apakah dia tidak berparti maka dia tidak bersiasah, kalau begitu apakah parti rasulullah?

Kerana kepentingan siasah, prinsip sanggup digadaikan sedangkan dengan prinsip yang kukuh siasah pasti menunduk patuh..Wallahua'lam

jefriharris said...

Mungkin sheikh bakistani boleh bagi takhrij hadith ttg llaki jahat yang akan menguatkan islam?

jefriharris.blogspot.com

jefriharris said...

saya harap kita boleh lapangkan dada dan fikiran apabila mengemukakan hujah dan menerima kritikan...konsep jemaah yang digunapakai oleh PAS adalah satu konsep yang telah diselewengkan. begitu juga istilah wala', bara'. Satu contoh nyata ialah haadith ttg siapa yg keluar dari jemaah walau sejengkal....mati dalam jahiliyyah..tak pernah kita dengar bahagian hadith sebelumnya yang sangat self-explanatory.

TIDAK BOLEH MENGHINA PEMIMPIN DI KHALAYAK RAMAI....INI SUNNAH!!SILA LIHAT JEFRIHARRIS.BLOGSPOT.COM UTK HADITH2NYA YANG JELAS.

Ada nas yg bersifat umum dan ada yg khusus...kalau kita guna yg umum semata2, maka akan ada org bunuh org kafir mana2 sahaja dia jumpa (ikut satu ayat quran).

perbetulkan saya dengan al-quran dan hadith, demi Allah, saya akan ikut apa yang saudara da'wahkan.Tapi kalau saudara mahu berbicara ttg pemikiran seseorang tokoh, maka saya tidak ada komen.