Wednesday, November 08, 2006

Takut kepada perbuatan Syirik (menyekutukan Allah)

Setiap orang yang telah memahami makna tauhid dengan sebenar-benarnya serta melaksanakan tuntutan-tuntutannya hendaklah dia takut kepada Syirik. Nabi Muhammad SAW sendiri memperbanyakkan doa supaya dijauhkan dari kesyirikan, begitu juga Nabi Ibrahim memperbanyakkan doa supaya tidak termasuk dalam kesyirikan atau meyembah berhala.

Allah I berfirman di dalam surah al-Nisa’: 48 dan 116

]إنَّ اللهَ لا يَغْفِرُ أنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ ماَ دُوْنَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ، ومَنْ يُشْرِكْ بِاللهِ فَقَدِ افْتَرَى إثْماً عَظِيماً [

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh ia telah melakukan dosa yang besar. Di dalam ayat 116: Barangsiapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh ia telah tersesat sejauh-jauhnya.

Al-Imam Ibn Kathir berkata: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni hambanya yang berjumpa dengan-Nya dalam keadaan syirik. Dan Allah mengampuni dosa-dosa yang selain dari syirik kepada sesiapa yang dikehendakinya

Jelas dari ayat ini bahawa dosa yang paling besar ialah syirik kepada Allah. Ini disebabkan Allah tidak akan mengampuni dosa syirik itu kepada mereka yang tidak bertaubat kepada-Nya. Adapun dosa-dosa yang lain tertakluk kepada kehendak Allah, sekiranya Dia kehendaki, Dia akan mengampuninya, dan sekiranya Dia kehendaki, Dia akan mengazabnya. Oleh kerana itulah seorang hamba itu wajib merasa sangat takut kepada dosa syirik ini.

Berlaku perselisihan ulamak pada perkataan syirik, adakah ianya umum kepada semua jenis syirik atau ianya khusus kepada syirik besar sahaja. Sebahagian berpendapat bahawa perkataan ‘Syirik’ umum kepada semua jenis syirik, syirik besar, kecil, dan khafi (tersembunyi). Maka kesemua jenis syirik ini tidak akan diampun dosanya oleh Allah. Ini kerana besarnya dosa syirik itu. Inilah pendapat yang dipilih oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah serta kebanyakan ulamak dakwah.

Sebahagian ulamak berpendapat bahawa perkataan syirik ini bermaksud Syirik besar. Ini kerana kebiasaannya apabila al-Quran menggunakan lafaz syirik ini, ia bermaksud syirik besar. Contohnya dalam ayat ini Allah berfirman:

] وقال المسيحُ يابَنِي إسرَائيلَ اعبُدُوا اللهَ ربِّي وَرَبَّكُمْ إنهُو من يُشْرِكْ باللهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللهُ عليه الجنَّةَ ومأوَاهُ الناَّر وما للظالمينَ من أنصارٍ[

Maksudnya:

“Berkata al-Masih: Hai Bani Israil sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu, sesungguhnya orang yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang–orang zalim itu seorang penolongpun”. (al-Maidah:72)

Dalam ayat ini perkataan syirik tidak termasuk syirik kecil dan syirik khafi menurut kesepakatan ulamak. Ini disebabkan pengharaman syurga, masuk ke neraka serta kekal di dalamnya ialah bagi mereka yang melakukan syirik besar.

Perasaan takut kepada syirik akan membuatkan seseorang itu:

Ø Mempelajari perkaraperkara yang berkaitan dengan syirik serta jenis-jenisnya supaya tidak terjerumus kedalamnya.

Ø Mempelajari serta memahami tauhid yang sebenar serta pembahagiannya supaya melahirkan perasaan takut kepada syirik.

Ø Beristiqamah iaitu berterusan dalam mentaati Allah, mengharap keampunan dan keredhaannya.

Allah berfirman dalam surah Ibrahim: 35

] وإذ قال إبراهيمُ ربِّ اجْعَلْ هذا الْبَلَدَ ءاَمِناً وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أن نَعْبُدَ الأَصْناَمَ[

Maksudnya:

“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.”

Allah berfirman lagi pada ayat seterusnya:36

] ربِّ إنَّهُنَّ أضْلَلْنَ كثيراً مِّنَ النَّاسِ [

Maksudnya:

“Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia”.

Di dalam sebuah hadis Nabi Rasulullah SAW:

"أخوف ما أخاف عليكم الشرك الأصغر، فسئل عنه قال: الرياء".

Maksudnya: “Perkara yang paling aku takuti ke atas kamu ialah syirik kecil, maka ditanya kepada Nabi, maka Nabi menjawab ‘Riak’

وعن ابن مسعود t أن رسول الله r قال: "من مات وهو يدعو من دون الله نداً، دخل النار".

Maksudnya: daripada ibn Mas’ud bahawasanya Rasulullah bersabda: Siapa yang mati sedang dia meminta selain Allah akan masuk neraka.

وعن جابر t أن رسول الله r قال: "من لقي الله لا يشرك به شيئاً دخل الجنة، ومن لقيه يشرك به شيئاً دخل النار".

Maksudnya: daripada Jabir bahawasanya Nabi bersabda: siapa yang bertemu Allah dengan tidak mensyirikkannya dengan sesuatupun akan masuk ke syurga, dan siapa yang bertemu Allah dalam keadaan bersyirik kepada Allah dengan sesuatu akan masuk ke neraka.

Disini disenaraikan secara ringkas perkara-perkara yang membatalkan Iman.

1- Syirik di dalam beribadah kepada Allah, termasuk dalam kategori ini berdoa memohon kepada orang yang telah mati, memohon pertolongan dengannya, nazar, sembelihan bagi mereka.

2- Menjadikan perantaraan untuk berdoa dan memohon syafaat serta bertawakkal kepada mereka.

3- Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang-orang musyrik atau syak pada kekufuran mereka atau membenarkan mazhab(orang kafir) mereka adalah kafir.

4- Sesiapa yang beri’tiqad ada petunjuk atau hukum yang lebih sempurna atau baik selain dari petunjuk atau hukum Nabi r kafir. Termasuk juga dalam kategori ini ialah sesiapa yang beri’tiqad bahawa undang-undang yang dibuat oleh manusia lebih baik dari syariat Allah, atau sama atau undang-undang Islam tidak sesuai diamalkan dizaman ini atau undang-undang Islam terkebelakang. Termasuk juga mereka yang menyatakan hudud tidak sesuai di zaman ini.

5- Sesiapa yang membenci dengan apa yang dibawa oleh Nabi adalah kafir.

6- Sesiapa yang menghina atau memainkan apa yang dibawa oleh Rasul adalah kafir.

7- Sihir, sesiapa yang mengamalkannya atau meredhainya adalah kafir.

8- Membantu golongan kafir dalam memerangi agama Islam adalah kafir.

9- Sesiapa yang beri’tiqad bolehnya keluar dari syariat Muhammad adalah kafir.

10- Berpaling dari agama Allah, tidak mempelajarinya dan tidak beramal dengannya.

No comments: