Thursday, September 13, 2007

Laporan Seminar Ulama Nusantara: Analisis Antara Nas dan Mazhab

Alhamdulillah, pada 8 dan 9 September baru-baru ini penulis dan rakan-rakan berpeluang untuk menemani Ustaz Arif bin Nazri mengikuti Seminar Ulama Nusantara: Analisis antara Nas dan Mazhab yang diadakan di Hotel Vistana, Pulau Pinang. Seminar yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perlis bersama-sama Pejabat Mufti Perlis ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Dr Shahidan bin Kassim. Antara penceramah yang terlibat adalah Dr Mohd Radhi bin Othman, Dr Azwira bin Abd Aziz, Ustaz Abdul Rasyid bin Idris, Ustaz Arif bin Nazri, Ustaz Hisham bin Mohd Radhi, Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman, dan Dr Juanda bin Jaya. Turut sama terlibat adalah Ustaz Abd al-Razzaq Abdul Muthalib Ahmad, Ustaz Mohd Khairil Anwar bin Abdul Latif, Ustaz Fadhlan bin Othman, dan Ustaz Muhammad Abdul Kadir bin Sahak sebagai perantara.


Keterlewatan penulis dan rakan-rakan tiba di Pulau Pinang menyebabkan kami terlepas untuk mengikuti pembentangan kertas kerja pertama dan kedua oleh Dr Mohd Radhi bin Othman dan Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman. Kertas kerja ketiga yang bertajuk Fiqh Munakahat Masyarakat Nusantara: Antara Nas dan Mazhab dibentangkan oleh Dr Juanda bin Jaya. Pembentang menekankan bahawa fiqh munakahat yang diamalkan oleh masyarakat melayu Nusantara terutamanya dari Malaysia, Singapura dan sebahagian besar tempat di Indonesia sebenarnya 60 hingga 70 peratus dipengaruhi oleh mazhab selain mazhab Syafi’e. Namun sifat taqlid mazhab menghalang masyarakat Nusantara daripada menyedari hakikat ini. Selain itu, upacara perkahwinan masyarakat Nusantara banyak dipengaruhi oleh amalan-amalan-amalan dan kepercayaan karut. Kertas kerja yang disediakan adalah berbentuk akademik dan nota kaki banyak menyenaraikan rujukan dan perbandingan daripada enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia. Sesi ketiga ini berakhir pada jam 12 malam.


Hari kedua seminar menyaksikan empat kertas kerja dibentangkan. Sesi keempat bermula hampir satu jam lewat daripada jadual asal. Kertas kerja yang keempat yang bertajuk Fiqh Taharah Maysarakat Nusantara: Antara Nas dan Mazhab dibentangkan oleh Dr Azwira Abdul Aziz. Pembentang banyak membincangkan mengenai ketaksuban masyarakat Nusantara terhadap kitab-kitab jawi lama seperti Sayr as-Salikin, Sabil al-Muhtadin dan Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain yang tidak disertakan dengan nas dan dalil. Juga, pembentang membicarakan mengenai hakikat bahawa kitab-kitab jawi lama tersebut disusun berdasarkan maklumat yang diambil daripada kitab fiqh Mazhab Syafi’e yang ringkas seperti al-Wasit oleh al-Ghazali dan Raudah at-Talibin oleh an-Nawawi. Kitab-kitab ini adalah kitab yang ringkas dan tidak turut disertakan dengan dalil, berlainan dengan kitab-kitab fiqh Syafi’e yang padat dengan dalil seperti al-Umm oleh asy-Syafi’e dan al-Majmu’ oleh an-Nawawi. Antara fenomena yang timbul akibat tidak menyandarkan pendapat-pendapat pada dalil adalah; pendapat tersebut itu didapati bercanggah dengan dalil yang shahih atau ianya disandarkan kepada dalil yang daif atau ia punya unsur takalluf. Sesi soal jawab berlangsung dalam keadaan yang agak tegang akibat salah faham seorang peserta yang beranggapan bahawa Dr Azwira telah menghalalkan khinzir dan anjing.

Ustaz Hisham bin Mohd Radhi menjadi pembentang pada sesi kelima dengan kertas kerja bertajuk Fiqh Puasa Masyarakat Nusantara: Antara Nas dan Mazhab. Beliau menerangkan bahawa banyak amalan-amalan masyarakat Nusantara dalam berpuasa bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW. Fenomena-fenomena seperti lafaz niat dan waktu imsak adalah suatu amalan yang tidak tsabit daripada Rasulullah SAW. Juga mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa. Masyarakat di Nusantara kononnya amat berhati-hati dalam hal yang membatalkan puasa. Para fuqaha’ telah membincangkan isu ini secara meluas sehingga menyebabkan muncul banyak perkara yang membatalkan puasa. Namun penting untuk kita tahu bahawa hanya perkara-perkara yang membatalkan puasa yang berdalilkan dengan nas dari al-Quran dan as-Sunnah sahaja yang perlu diguna-pakai. Bukan sebaliknya.

Kertas kerja bertajuk Fiqh Solat Masyarakat Nusantara: Antara Nas dan Tanggapan Umum telah dibentangkan oleh Ustaz Abdul Rasyid bin Idris. Pembentang mengajak kita berfikir mengenai peri-pentingnya untuk bersolat seperti mana solat yang diajari oleh Rasulullah SAW. Dan di dalam kertas kerja yang sama juga, dibincangkan mengenai elemen-elemen yang bertentangan dengan sunnah di dalam solat seperti kepercayaan untuk mengusap mata ketika mendengar azan agar tidak menjadi rabun atau buta dan juga perbuatan melafazkan zikir secara berlagu sebelum azan oleh muazzin. Turut sama dikupas adalah beberapa persoalan mengenai perbuatan-perbuatan dalam solat dan juga analisa di antara nas dan mazhab.

Ustaz Arif bin Nazri dengan kertas kerja bertajuk Fiqh Jenazah Masyarakat Nusantara: Antara Nas dan Mazhab mengisi slot terakhir sesi pembentangan kertas kerja. Beliau mengupas mengenai praktikal pengurusan jenazah yang selari dengan sunnah. Praktis-praktis yang selari dengan sunnah banyak sekali dipandang ringan atau tidak disedari oleh masyarakat Nusantara. Antaranya dalam hal pengurusan jenazah, adalah perlu untuk menyegerakan pengurusan sesuatu jenazah seperti mana hadith Rasulullah SAW di dalam Shahihain yang bermaksud, “Segerakan dalam urusan jenazah.” Juga dalam aspek memandikan jenazah, terdapat hadith Umm ‘Atiyyah yang mana jika disimpulkan terdapat 10 urusan yang sunnah dilakukan ketika memandikan jenazah. Turut dibincangkan adalah mengenai kehadiran amalan dan kepercayaan karut dalam masyarakat Melayu Nusantara, yang mana jika diperhatikan adalah bertentangan dengan nas-nas yang jelas daripada al-Quran dan as-Sunnah. Bahkan lebih teruk, perkara-perkara itu disandarkan kepada mazhab asy-Syafi’e. Perbuatan meratapi kematian atau an-Niyahah, majlis tahlil, menutup kedua-dua mata si mati dan meletakkan mushaf al-Quran ke atas perut si mati, serta kepercayaan bahawa jika terdapat perubahan pada bentuk tubuh mayat, maka ianya adalah tanda bahawa si mati pernah melakukan maksiat kepada Allah dan meninggal dalam keadaan Su’ul Khatimah. Juga kepercayaan-kepercayaan karut lain yang banyak berlangsung dalam aspek pengurusan jenazah sedari awal kematian sehingga kepada selepas pengkebumian jenazah. Dan kesimpulan daripada pembentangan kertas kerja ini adalah mengenai kepentingan untuk meninggalkan urusan baru; yakni bida’ah serta amalan-amalan karut dalam pengurusan jenazah.

Sebaik sahaja tamat sesi pembentangan kertas kerja, majlis diteruskan dengan acara penyampaian cenderamata. Cenderamata kepada para pembentang dan perantara disampaikan oleh Yang Berhormat AMMK Agama Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Abu Bakar bin Ismail. Majlis berakhir pada jam 5 petang. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri Perlis, Jabatan Mufti Negeri Perlis dan semua yang terlibat dalam menjayakan seminar yang sangat bermanfaat ini. Dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pembentang dan perantara yang telah melakukan tugas sebaik mungkin dalam memberi kefahaman kepada para peserta.

Sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Penulis dan rakan-rakan bersama Ustaz Arif bin Nazri berkesempatan untuk menziarahi pengasas laman al-ahkam.net, Ustaz Zainuddin Yusro atau Zain.YS di Pulau Pinang. Alhamdulillah, pertemuan kami lewat petang itu berjalan dalam suasana yang cukup harmoni. Syukur kepada Allah, dan semoga Allah merahmati usaha Ustaz Zain.YS dalam usahanya memberikan khidmat yang terbaik kepada al-ahkam.net.

Allahua’lam.

Wassalam ‘Alaikum WBT.


Abu Fadhl Muhammad Ariffuddin bin Arifin

Mahallah Zubair al-Awwam

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

9/13/2007 8:46:15 AM

1 Ramadan 1428

1 comment:

Anonymous said...

salam syeikh... salinan kertas kerja tak disediakan utk download ker????