Sunday, November 04, 2007

Menyemai Cinta dan Kasih Kepada Rasulullah S.A.W

Muqadimah

Dua perkara asas yang mesti diberi perhatian di dalam membicarakan hubungan Muslim terhadap Rasulullah S.A.W adalah al-mahabbah (cinta) dan al-ittiba' (ikut). Kedua-dua elemen ini mesti wujud secara beriringan di dalam diri Muslim. Tidak cukup untuk seseorang menyatakan perasaan cintanya terhadap Rasulullah SAW tanpa mengikuti sunnah Baginda SAW. Begitu juga sebaliknya jika seseorang itu mengikuti ajaran Nabi saw tanpa ada perasaan kasih dan sayang kepada Baginda. Sejarah Islam telah membuktikan kewujudan dua golongan ini.

Pertama: Abu Talib yang merupakan bapa saudara Rasulullah saw adalah antara mereka yang paling mencintai Muhammad saw . Abu Talib pernah memelihara Nabi saw setelah kematian ibu bapa Baginda saw. Dialah juga antara peribadi penting yang telah mempertahankan Baginda saw daripada ancaman kafir Quraish semasa menyebarkan dakwah Islam. Namun, sayang sekali, walau begitu tinggi kasih sayang Abu Talib kepada anak saudaranya, namun ianya tidak diiringi dengan mengikuti ajaran yang dibawa olehnya.. Maka natijahnya, Abu Talib tetap termasuk di dalam golongan mereka yang tidak beriman.

Kedua: Abdullah bin Ubai bin Salul yang merupakan ketua golongan munafiq. Secara zahir, dia adalah pengikut Nabi saw. Namun, ikutannya ini tidak disertai dengan perasaan kasih dan sayang kepada Baginda saw. Sebaliknya mempunyai muslihat jahat dalam menghancurkan dakwah Nabi saw. Tindakan munafiq ini adalah natijah daripada tiadanya perasaan kasih sayang di dalam diri terhadap Rasulullah saw.

Justeru, al-mahabbah dan al-ittiba' ini mesti digandingkan dan wujud selari demi memastikan kesempurnaan iman kita terhadap Rasulullah saw.

Al-Mahabbah

Al-Qadhi I'yadh telah mentakrifkan al-mahabbah ini sebagai kecenderungan insan terhadap apa yang disukainya seperti menyukai gambar yang cantik, suara yang merdu, makanan yang sedap dan sebagainya yang manusia secara fitrah akan sukakannya. Atau ia juga berlaku dengan menyukai orang-orang yang soleh dan para ulamak dan mereka yang membuat baik, yang mana hati manusia berkeinginan untuk mencontohi mereka. Atau ia boleh berlaku dalam bentuk seseorang itu menyukai orang yang telah melakukan kebaikan terhadapnya.

Maka paksi kepada perasaan al-mahabbah ini adalah hati. Maka apa-apa yang bertepatan dengan kehendak hati, maka manusia akan cenderung ke arah itu dan menyukainya. Setiap perkara yang tidak bertepatan dengan kehendak hati, manusia akan menjauhkan diri daripadanya dan membencinya.

Al-Imam al-Nawawi di dalam merumuskan pendapat al-Qadhi I'yadh tentang al-Mahabbah ini menyatakan bahawa:

((Maka asal al-mahabbah ini adalah kecenderungan insan kepada apa yang bertepatan dengan kehendaknya, dan ianya berlaku terhadap perkara yang disukai dan dianggap baik oleh manusia seperti gambar cantik, suara merdu, makanan sedap dan sebagainya, dan ianya juga berlaku melalui aqal bagi perkara yang bukan secara zahir seperti mencintai orang soleh dan para ulamak dan mereka yang mempunyai kelebihan, dan ia juga berlaku disebabkan kebaikan yang telah dilakukan kepadanya, menolak kemudharatan dan perkara yang dibenci daripadanya. Semua unsur-unsur ini wujud pada diri Rasulullah saw, bila mana pada diri Baginda saw itu terhimpun kecantikan zahir dan batin, dan kesempurnaan segala kebaikan dan kelebihan, serta kebaikan yang dilakukannya kepada seluruh umat Islam dengan memberikan petunjuk hidayah ke jalan yang benar, nikmat yang berterusan dan menjauhkan mereka daripada al-Jahim (neraka)).

(Rujuk: Abd al-Rauf Muhamad Uthman, Mahabat al-rasul baina al-Ittiba' wa al-ibtida' (al-Riyadh: Ria'sah Idarah al-Buhuth al-Ilmiah, Cet. 2, 1414 h), hal. 32)

Maka kecintaan kepada Rasulullah saw ini adalah kecenderungan hati mukmin kepada Rasulullah saw dengan menampakkan kecintaan pada Baginda melebihi kecintaan kepada manusia lain. Ia merupakan perkara asas dalam menentukan kesempurnaan iman. Terdapat banyak dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang membicarakan tentang persoalan cinta kepada Rasulullah saw.

Antaranya ialah:

Maksudnya:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "JIka bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq" . (al-Taubah: 24)

Di dalam ayat yang lain, Allah swt berfirman yang bermaksud:

"Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri". (al-Ahzab:6)

Melalui ayat ini dijelaskan tentang kedudukan Rasulullah saw di antara golongan mukmin. Ia juga menjelaskan tentang kewajipan yang sepatutnya dilakukan oleh orang beriman terhadap Rasulullah dengan meletakkan kecintaan kepada Baginda sebagai kecintaan utama yang melebihi kecintaan kepada diri mereka sendiri. Kata al-Imam Ibn al-Qayyim bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang tidak menjadikan Rasul sebagai yang lebih diutamakan melebihi dirinya sendiri, maka bukan dari golongan orang yang beriman (tidak sempurna imannya).

Selain itu, terdapat banyak hadith-hadith yang menguatkan lagi perkara ini.

Antaranya ialah:

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud:

"Demi yang diriku ditangan-Nya, tidak beriman (sempurna iman) dikalangan kamu sehingga Aku lebih dicintainya melebihi ayah dan anaknya"

(Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Hub al-Rasul min al-Iman, no. 14)

Dalam hadith lain yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Tidak beriman dikalangan kamu sehinggalah aku lebih dicintainya melebihi ayahnya, anaknya dan manusia sekeliannya"

(Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Hub al-Rasul min al-Iman & Muslim, Kitab al-Iman, Bab: Wujub Mahabat al-Rasul)

Dua hadith ini jelas menunjukkan kewajipan mencintai Rasulullah saw dan seseorang itu tidak akan sempurna imannya kecuali dengan mencintai Baginda melebihi cinta kepada orang lain. Ia juga menggambarkan bagaimana hubungan yang erat diantara iman dan al-mahabbah kepada Rasulullah saw. Inilah hakikat keimanan yang sebenar. Dijelaskan pula di dalam hadith lain yang bermaksud:

Daripada Anas bahawa Nabi saw bersabda:

"Tiga perkara yang sesiapa memilikinya akan mendapat kemanisan iman: menjadikan Allah dan rasul-Nya lebih dicintainya melebihi yang lain…"

(Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Halawat al-Iman & Muslim, KItab al-Iman, Bab: Bayan Khisal man ittasafa bihinna wajada halawat al-iman).

Bagaimana menambahkan cinta kepada Rasulullah saw

Perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah saw boleh disemai dengan melakukan beberapa perkara dibawah:

1) Mengenali dan mengingati peribadi Rasulullah saw

Dari sudut ini, maka benarlah pepatah Melayu yang menyebut bahawa "Tak kenal maka tak cinta". Seseorang Muslim yang ingin menambahkan kecintaannya kepada Rasulullah saw mestilah mengenali peribadi Baginda secara lebih mendalam. Semakin dalam kita mengenali Rasulullah saw dari segi akhlaknya, cara hidupnya, cabaran yang dihadapinya, perjuangannya dan segala-galanya yang berkaitan dengan Baginda, maka semakin bertambahlah cinta dan kasih kita kepada Rasulullah saw. Untuk tujuan ini, bacaan dan kajian terhadap sirah hidup Baginda perlu dilakukan melalui sumber-sumber bacaan sirah yang sahih.

2) Berdiri di atas petunjuk Nabi saw dan mengamalkan sunnah-sunnah Baginda.

Setiap Muslim mestilah menjadikan petunjuk yang dibawa oleh Nabi saw sebagai panduan dalam hidupnya. Dalam setiap apa jua perkara dalam urusan agama, maka panduan dan petunjuk yang dibawa oleh Nabi saw mestilah diletakkan di hadapan. Seterusnya, senantiasa berusaha untuk mengikuti sunnah Baginda saw dalam segala tingkah laku dan perkataan. Jika tidak dapat diamalkan semua, maka janganlah ditinggalkan semuanya.

3) Mengetahui nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita melalui pengutusan Rasulullah saw.

Antara pengurnian nikmat Allah yang terbesar ialah pengutusan Rasulullah saw itu sendiri kepada umat ini. Rasulullah saw yang diutuskan ini diberikan panduan wahyu kepadanya. Maka dengan pengutusan Rasul yang dibekalkan dengan wahyu, umat Islam dapat menerima hidayah Islam yang sebenar, seterusnya dengan hidayah ini kita dapat mebezakan antara yang haq dan batil dan sekaligus dapat menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat; jika petunjuk ini ditaati.

Firman Allah swt bermaksud:

" Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad saw) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum) yang telah kamu sembunyikan dari kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus". (al-Maidah: 15-16)

3) Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah saw.

Selawat merupakan antara amalan yang paling berkesan yang dapat mengikat hati individu Muslim dengan Rasulullah saw.

Firman Allah swt bermaksud:

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman selawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (al-Ahzab: 56)

Penganjuran berselawat ini juga disuruh dan digalakkan melalui hadith-hadith Rasulullah saw, antaranya:

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi saw bersabda:

"Barangsiapa yang berselawat ke atas ku satu selawat, maka Allah swt akan berselawat ke atasnya sepuluh kali"

(Riwayat Muslim, Kitab al-solat, Bab: al-salat 'ala al-Nabiy ba'da al-tasyahud).


No comments: