Sunday, February 17, 2008

Soal Jawab Fiqh - Solat Jumaat 1

1. Hukum sembahyang Jumaat banduan yang berada di dalam bilik (sel) penjara mereka.

Soalan:

Apakah hukum sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah banduan-banduan yang berada di dalam penjara dengan mengikuti seorang imam yang menggunakan pembesar suara, dalam keadaan mereka berada di dalam bilik (sel) penjara mereka?

Jawapan:

Ahli Majlis Ulamak telah mengeluarkan fatwa tidak bersetuju dengan cara ini iaitu banduan-banduan yang berada di dalam bilik-bilik (sel) penjara mereka menunaikan sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah dengan mengikuti seorang imam yang menggunakan pembesar suara. Ini kerana hukum solat Jumaat adalah tidak wajib ke atas mereka disebabkan mereka tidak boleh keluar untuk menunaikan solat Jumaat dan di atas sebab-sebab yang lain.

Tetapi sekiranya mereka boleh untuk hadir menunaikan solat Jumaat di masjid yang berada di dalam kawasan penjara yang didirikan solat Jumaat, maka mereka boleh turut bersama-sama menunaikannya. Sekiranya tidak ada, maka gugurlah kewajipan ini dan mereka perlu menunaikan solat Zohor. Mereka boleh menunaikan solat fardhu yang lain secara berjamaah di dalam bilik-bilik penjara mereka sekiranya tidak mampu untuk menghimpunkan mereka di masjid atau di satu tempat yang khas.

(Kitab Majmu’ Fatawa wa al-Maqalat oleh al-Syiekh al-‘Allamah Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, jil. 12/ ms 345).

2. Sembahyang Jumaat di tempat kerja.

Soalan:

Majikan kami telah menyediakan satu bilik kecil di tempat kerja untuk sembahyang, dan kami seramai empat orang selalu menunaikan sembahyang Zohor dan Asar di dalam bilik tersebut. Soalannya, adakah kami dibolehkan oleh syara’ untuk menunaikan solat Jumaat di dalam bilik tersebut dengan anggapan bahawa kami tiada pilihan lain lagi dan tidak ada orang lain yang mendirikan sembahyang Jumaat di dalam bilik ini?

Jawapan:

Sekiranya terdapat masjid yang didirikan solat Jumaat di kawasan yang anda berada itu, maka adalah wajib untuk anda solat Jumaat bersama-sama dengan mereka dan tidak boleh untuk dibuat jamaah yang lain.

Tetapi sekiranya di kawasan tersebut tidak didirikan solat Jumaat, maka diwajibkan untuk anda mendirikan solat Jumaat di kawasan tersebut dan tidak boleh digantikan dengan solat Zohor. Hal ini kerana solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap orang Islam pada hari Jumaat untuk ditunaikan di tempat mereka, dan diantara syarat sahnya ialah ia ditunaikan secara berjamaah

Tidak terdapat dalil sahih yang menetapkan bilangan tertentu dalam syarat sah solat Jumaat ini. Maka adalah memadai ia ditunaikan dengan jumlah tiga orang dan lebih. Tidak boleh juga bagi sesiapa yang diwajibkan untuk solat Jumaat ini menggantikannya dengan solat Zohor disebabkan bilangan jamaah yang kurang daripada 40 orang. Inilah pendapat yang betul daripada pendapat-pendapat para ulamak.

(Fatwa Lajnah al-Daimah bil. 1793)

Di dalam fatwa bil. 957, disebutkan:

“Berkaitan dengan bilangan yang disyaratkan untuk mendirikan solat Jumaat: Kami tidak mengetahui satu nas pun yang menetapkan bilangan yang tertentu. Jadi disebabkan tidak ada nas atau pun dalil yang menentukan bilangan ini, maka para ulamak telah berbeza pendapat di dalam perkara ini. Di antara pendapat-pendapat tersebut ialah ia boleh didirikan dengan bilangan tiga orang lelaki yang bermastautin. Ini adalah riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal. Imam al-Auzai’e dan Syiekh Taqiyudin Ibn Taimiyah juga telah memilih pendapat ini berdasarkan firman Allah:

{ فاسعوا إلى ذكر الله }

Maksudnya: “Bersegeralah kamu mengingati Allah”.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah jama’ (plural) - فاسعوا,- maka minimumnya adalah tiga orang.

(Syiekh Muhammad Soleh al-Munjid)


3. Tidak ada solat sunat sebelum (qabliah) Jumaat.

Soalan:

Adakah ada solat sunat sebelum (qabliah) sembahyang Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah…

Pendapat yang paling tepat diantara dua pandangan di kalangan para ulamak ialah tidak ada solat sunat rawatib sebelum solat Jumaat (qabliah Jumaat). Tetapi dibolehkan kepada seseorang itu apabila dia datang ke masjid untuk solat sunat sebanyak mana yang dikehendakinya secara dua rakaat-dua rakaat. Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:

Solat (sunat) di waktu malam dan siang adalah secara dua rakaat-dua rakaat”. – (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan ahli sunan yang lain dengan sanad yang hasan, dan asalnya terdapat di dalam al-Sahih dengan tidak disebutkan perkataan “siang”).

Pendapat ini adalah berdasarkan apa yang disebutkan oleh Nabi saw di dalam hadis-hadis Baginda yang menyatakan bahawa apabila seseorang itu datang ke masjid pada hari Jumaat, maka dia boleh menunaikan sembahyang sunat sebelum keluarnya imam (untuk menyampaikan khutbah). Nabi saw pula tidak menetapkan jumlah rakaatnya samada dua atau empat atau pun lebih daripada itu. Maka semuanya adalah baik, dan sekurang-kurangnya ditunaikan dua rakaat solat tahiyat al-masjid.

Ada pun selepas daripada solat Jumaat, disunatkan untuk seseorang itu menunaikan solat sunat (ba’diah) sekurang-kurangnya dua rakaat dan paling banyak adalah empat rakaat. Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:

Sesiapa di kalangan kamu yang sembahyang (sunat) selepas daripada solat Jumaat, maka sembahyanglah sebanyak empat rakaat” – Hadis riwayat Muslim.

Nabi saw pula menunaikan solat dua rakaat di rumahnya selepas daripada solat Jumaat.

(Kitab Majmu’ Fatawa wa al-Maqalat oleh al-Syiekh al-‘Allamah Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, jil. 12, ms: 386)

4. Apa yang perlu dilakukan oleh seseorang yang hanya sempat bertasyahud di dalam solat Jumaat.

Soalan:

Apakah yang perlu dilakukan oleh seorang yang tidak sempat untuk solat Jumaat ( kerana datang lewat) kecuali hanya sempat bertasyahud sahaja?

Bagaimana pula keadaannya seorang yang tidak dapat hadir atau datang lewat ini disebabkan oleh sebab-sebab yang diluar batas kemampuannya seperti kenderaan yang dinaikinya rosak. Apakah dia berdosa atau tidak? Apakah juga dia akan terlepas dan tidak dapat segala ganjaran pahala dan waktu yang akan dimakbulkan doa dan sebagainya yang sepatutnya dia boleh perolehi?

Jawapan:

Alhamdulillah….

Seseorang itu dikira mendapat solat Jumaat sekiranya dia sempat sembahyang satu rakaat bersama-sama dengan imam, dan untuk mendapat satu rakaat tersebut dia mestilah sempat rukuk bersama-sama dengan imam. Maka apabila seseorang itu sempat bersama-sama dengan imam sebelum imam bangun daripada rukuk pada rakaat kedua, dia telah dikira mendapat solat Jumaat tersebut. Jesteru, apa yang perlu dilakukan ialah menyempurnakan solat Jumaat tersebut selepas daripada imam memberi salam dengan ditambah satu rakaat lagi.

Sekiranya seseorang itu hanya sempat bersama-sama dengan imam selepas imam bangun daripada rukuk pada rakaat kedua, dia dikira tidak mendapat solat Jumaat tersebut. Maka dia perlu menyempurnakan solatnya dengan menunaikan solat Zohor sebanyak empat rakaat, selepas daripada imam memberi salam.. Inilah pendapat jumhur para ulamak, Imam Malik, Imam al-Syafie, dan Imam Ahmad bin Hanbal.

(Rujuk Kitab al-Majmu’ karangan Imam al-Nawawi, 4/558).

Pendapat para ulamak ini bersandarkan kepada beberapa hadis, antaranya ialah:

(( من أدرك ركعة من الصلاة فقد أدرك الصلاة))1.

Maksudnya: “Sesiapa yang mendapat satu rakaat daripada solat. maka ia dikira telah mendapat solat tersebut”.

(Hadis riwayat al-Bukhari (580), Muslim (608).

2. (( من أدرك ركعة من الجمعة أو غيرها فليضف إليها أخرى وقد تمت صلاته)) .

Maksudnya: “Sesiapa yang mendapat satu rakaat daripada sembahyang Jumaat atau sembahyang yang lain, hendaklah ditambah rakaat yang selebihnya, bagi menyempurnakan sembahyang tersebut”.

(Hadis ini telah disahihkan oleh al-Albani di dalam kitab Irwa’ al-Ghalil (622).

Sekiranya seseorang itu tidak dapat solat Jumaat disebabkan oleh perkara-perkara yang diluar kemampuannya, seperti kenderaan rosak -seperti yang dinyatakan di dalam soalan- atau yang sebagainya seperti tidur atau lupa, maka dia dianggap tidak bersalah dan tidak berdosa. Ini berdasarkan firman Allah swt

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya”. (al-Ahzab: 5)

Jadi dalam masalah ini dia tidak sengaja untuk meninggalkan solat tersebut

Di dalam hadis pula disebutkan:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat daripada umatku (tidak dikira berdosa, perkara yang dilakukan dalam keadaan) tersalah, terlupa dan yang dipaksa melakukannya”.

(Hadis riwayat Ibn Majah dan disahihkan oleh al-Albani di dalam kitab Irwa’ al-Ghalil (82).

Dalam keadaan sebegini, jika seseorang itu memang benar-benar berniat untuk menunaikan solat sekiranya tidak terdapat sebarang keuzuran (halangan), maka dia akan mendapat ganjaran pahala yang sempurna berdasarkan hadis Nabi saw:

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat, dan bagi setiap seorang apa yang diniatkannya”. (Hadis riwayat al-Bukhari (1), Muslim (1907).

Dan juga hadis Nabi saw yang diucapkan kepada para sahabat Baginda ketika baru pulang daripada peperangan Tabuk:

Maksudnya: “Sesungguhnya di kota Madinah ada lelaki-lelaki yang apabila kamu menempuhi perjalanan dan merintangi lembah, mereka turut sama berkongsi (ganjaran) kebaikan dengan kamu, (mereka tidak dapat bersama-sama kamu kerana) mereka telah dihalangi oleh sakit yang menimpa mereka” (Hadis riwayat Muslim (1911).

4 comments:

miss syuhada :) said...

salam , sy ingin bertanya . wujudkah solat yg mempunyai 4 tahiyat dalam 1 takbir ? jika wujud , apakah jenis solat yg dimaksudkan? terima kasih .

LIZA HALIM said...

salam, apa hukumnya bekerja di tempat yang mana majikannya tidak membenarkan pekerja lelaki Muslim menunaikan solat jumaat?

Anonymous said...

asalamualaikum..sye nak tanya..apa hukum seorng wanita sembahyang solat sunat tasbih ketika..solat jumaat(di waktu).jazakallah..

Unknown said...

Assalaamualaikum...saya ada kemusykilan berkenaan solat jumaat,saya berkerja sebagai pengawal keselamatan,tempat saya bertugas berdua,saya hanya dapat solat jumaat secara bergilir pada hari jumaat berikutnya,jika solat jumaat bukan giliran saya,adakah perlu di ganti dengan solat zohor pada hari jumaat tersebut...mohon pencerahan dan terima kasih...