Kuliyyah Ilmu Wahyu, UIA.
Di dalam ayat yang lain, Allah swt berfirman yang bermaksud: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu, dan telah aku lengkapkan ke atas kamu nikmat-Ku, dan telah Aku redha Islam sebagai agamamu” (al-Maidah:3)
Tidak dapat dinafikan bahawa nikmat Islam yang dikecapi sekarang ini adalah hasil perjuangan gigih yang penuh cabaran dan ujian yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para golongan yang terdahulu. Jasa besar oleh insan mulia ini tidak sepatutnya dilupakan begitu sahaja. Apatah lagi oleh mereka yang mengaku sebagai umat Muhammad saw. Maka pelbagai cara dilakukan dan diamalkan dalam usaha untuk menterjemahkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah saw, terutamanya bersempena dengan bulan kelahiran Baginda ini. Tanggal 12 Rabi’ al-awal, pelbagai sambutan dan perayaan diadakan demi mengingati kembali tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw. Di sesetengah tempat, pada tanggal ini diadakan majlis secara besar-besaran, walau pun terdapat percanggahan pendapat di kalangan ulamak tentang tarikh yang tepat kelahiran Rasulullah saw. Yang mashur dan tersebar dikalangan umat Islam ialah pada 12 Rabi’ al-awal. Pendapat lain menyatakan bahawa tarikh yang tepat bagi kelahiran Rasulullah saw ialah pada 9 Rabi’ al-awal tahun gajah, hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau
Namun begitu, perbezaan tarikh ini bukanlah menjadi persoalan utama. Apa yang penting ialah masing-masing telah berusaha untuk menunjukkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah saw dan ianya diterjemahkan dengan cara mengadakan sambutan ini. Masing-masing melakukannya tidak dengan tujuan lain kecuali untuk tujuan kebaikan dan mendapat balasan daripada Allah swt.
Sesungguhnya tidak diragukan lagi bahawa perasaan kasih dan sayang kepada junjungan mulia Muhammad saw wujud di dalam sanubari setiap individu Muslim yang sempurna imannya. Namun, adakah ianya sama dengan perasaan kasih dan sayang seperti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Baginda. Tidak syak lagi, para sahabat r.a adalah golongan yang paling mencintai dan menyayangi Baginda saw. Kecintaan dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah saw telah dibuktikan. Mereka sangggup berkorban apa sahaja demi mentaati Rasulullah saw. Senang dan duka dikongsi bersama. Dugaan dan rintangan diharungi semua. Harta dan nyawa menjadi infaq utama. Golongan inilah yang telah diberi pengiktirafan oleh Rasulullah saw sebagai golongan yang terbaik. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Sebaik-baik manusia adalah yang berada di kurunku (para sahabat), kemudian yang menyusuli mereka (para tabiin), kemudian yang menyusuli mereka (tabi’ al-tabiin)”
(Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Syahadat, hadis no. 2652)
Golongan yang paling mengasihi dan menyayangi Rasulullah saw ini juga telah menunjukkan contoh teladan bagaimana mereka menterjemahkan kasih sayang mereka itu, samada ketika hayat Rasulullah saw mahu pun setelah Baginda saw wafat. Justeru, adalah menjadi tugas kita untuk menyemak kembali adakah amalan yang kita lakukan sekarang ini dengan tujuan menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah saw sama seperti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Baginda saw. Sekiranya ia bertepatan, maka teruskanlah dan sebarkanlah. Tetapi jika ia adalah sebaliknya, maka adalah lebih baik dan utama untuk diberhentikan. Jadikanlah para sahabat Baginda saw ini sebagai golongan teladan. Ianya akan pasti membawa kita ke jalan kebenaran.
Cinta dan ikuti Nabi saw (al-mahabbah wa al-ittiba’)
Dua perkara asas yang mesti diberi perhatian di dalam membicarakan hubungan Muslim terhadap Rasulullah saw adalah al-mahabbah (cinta) dan al-ittiba’ (ikut). Kedua-dua elemen ini mesti wujud secara beriringan di dalam diri Muslim. Tidak cukup untuk seseorang menyatakan perasaan cintanya terhadap Rasulullah saw tanpa mengikuti sunnah Baginda saw. Begitu juga sebaliknya jika seseorang itu mengikuti ajaran Nabi saw tanpa ada perasaan kasih dan sayang kepada Baginda. Sejarah Islam telah membuktikan kewujudan dua golongan ini. Pertama, Abu Talib yang merupakan bapa saudara Rasulullah saw adalah antara mereka yang paling mencintai Muhammad saw. Abu Talib pernah memelihara Nabi saw setelah kematian ibu bapa Baginda saw. Dialah juga antara peribadi penting yang telah mempertahankan Baginda saw daripada ancaman kafir Quraish semasa menyebarkan dakwah Islam. Namun, sayang sekali, walau begitu tinggi kasih sayang Abu Talib kepada anak saudaranya, namun ianya tidak diiringi dengan mengikuti ajaran yang dibawa olehnya. Maka natijahnya, Abu Talib tetap termasuk di dalam golongan mereka yang tidak beriman. Kedua: Abdullah bin Ubai bin Salul yang merupakan ketua golongan munafiq. Secara zahir, dia adalah pengikut Nabi saw. Namun, ikutannya ini tidak disertai dengan perasaan kasih dan sayang kepada Baginda saw. Sebaliknya mempunyai muslihat jahat dalam menghancurkan dakwah Nabi saw. Tindakan munafiq ini adalah natijah daripada tiadanya perasaan kasih sayang di dalam diri terhadap Rasulullah saw.
Justeru, al-mahabbah dan al-ittiba’ ini mesti digandingkan dan wujud selari demi memastikan kesempurnaan iman kita terhadap Rasulullah saw.
Al-Mahabbah
Al-Qadhi I’yadh telah mentakrifkan al-mahabbah ini sebagai kecenderungan insan terhadap apa yang disukainya seperti menyukai gambar yang cantik, suara yang merdu, makanan yang sedap dan sebagainya yang manusia secara fitrah akan sukakannya. Atau ia juga berlaku dengan menyukai orang-orang yang soleh dan para ulamak dan mereka yang membuat baik, yang mana hati manusia berkeinginan untuk mencontohi mereka. Atau ia boleh berlaku dalam bentuk seseorang itu menyukai orang yang telah melakukan kebaikan terhadapnya.
Maka paksi kepada perasaan al-mahabbah ini adalah hati. Maka apa-apa yang bertepatan dengan kehendak hati, maka manusia akan cenderung ke arah itu dan menyukainya. Setiap perkara yang tidak bertepatan dengan kehendak hati, manusia akan menjauhkan diri daripadanya dan membencinya.
Al-Imam al-Nawawi di dalam merumuskan pendapat al-Qadhi I’yadh tentang al-Mahabbah ini menyatakan bahawa: ((Maka asal al-mahabbah ini adalah kecenderungan insan kepada apa yang bertepatan dengan kehendaknya, dan ianya berlaku terhadap perkara yang disukai dan dianggap baik oleh manusia seperti gambar cantik, suara merdu, makanan sedap dan sebagainya, dan ianya juga berlaku melalui aqal bagi perkara yang bukan secara zahir seperti mencintai orang soleh dan para ulamak dan mereka yang mempunyai kelebihan, dan ia juga berlaku disebabkan kebaikan yang telah dilakukan kepadanya, menolak kemudharatan dan perkara yang dibenci daripadanya. Semua unsur-unsur ini wujud pada diri Rasulullah saw, bila mana pada diri Baginda saw itu terhimpun kecantikan zahir dan batin, dan kesempurnaan segala kebaikan dan kelebihan, serta kebaikan yang dilakukannya kepada seluruh umat Islam dengan memberikan petunjuk hidayah ke jalan yang benar, nikmat yang berterusan dan menjauhkan mereka daripada al-Jahim (neraka)).
(Rujuk: Abd al-Rauf Muhamad Uthman, Mahabat al-rasul baina al-Ittiba' wa al-ibtida' (al-Riyadh: Ria'sah Idarah al-Buhuth al-Ilmiah, Cet. 2, 1414 h), hal. 32)
Maka kecintaan kepada Rasulullah saw ini adalah kecenderungan hati mukmin kepada Rasulullah saw dengan menampakkan kecintaan kepada Baginda melebihi kecintaan kepada manusia lain. Ia merupakan perkara asas dalam menentukan kesempurnaan iman. Terdapat banyak dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang membicarakan tentang persoalan cinta kepada Rasulullah saw. Antaranya ialah:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “JIka bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara
yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq” . (Al-Taubah: 24)
Di dalam ayat yang lain, Allah swt berfirman yang bermaksud: “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri”. (al-Ahzab:6)
Melalui ayat ini dijelaskan tentang kedudukan Rasulullah saw di antara golongan mukmin. Ia juga menjelaskan tentang kewajipan yang sepatutnya dilakukan oleh orang beriman terhadap Rasulullah dengan meletakkan kecintaan kepada Baginda sebagai kecintaan utama yang melebihi kecintaan kepada diri mereka sendiri. Kata al-Imam Ibn al-Qayyim bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang tidak menjadikan Rasul sebagai yang lebih diutamakan melebihi dirinya sendiri, maka bukan dari golongan orang yang beriman (tidak sempurna imannya).
Selain itu, terdapat banyak hadith-hadith yang menguatkan lagi perkara ini. Antaranya ialah:
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Demi yang diriku ditangan-Nya, tidak beriman (sempurna iman) dikalangan kamu sehingga Aku lebih dicintainya melebihi ayah dan anaknya” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Hub al-Rasul min al-Iman, no. 14)
Dalam hadith lain yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman dikalangan kamu sehinggalah aku lebih dicintainya melebihi ayahnya, anaknya dan manusia sekeliannya” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Hub al-Rasul min al-Iman & Muslim, Kitab al-Iman, Bab: Wujub Mahabat al-Rasul)
Dua hadith ini jelas menunjukkan kewajipan mencintai Rasulullah saw dan seseorang itu tidak akan sempurna imannya kecuali dengan mencintai Baginda melebihi cinta kepada orang lain. Ia juga menggambarkan bagaimana hubungan yang erat diantara iman dan al-mahabbah kepada Rasulullah saw. Inilah hakikat keimanan yang sebenar. Dijelaskan pula di dalam hadith lain yang bermaksud:
Daripada Anas bahawa Nabi saw bersabda: “Tiga perkara yang sesiapa memilikinya akan mendapat kemanisan iman: menjadikan Allah dan rasul-Nya lebih dicintainya melebihi yang lain…” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Halawat al-Iman & Muslim, KItab al-Iman, Bab: Bayan Khisal man ittasafa bihinna wajada halawat al-iman).
Bagaimana menambahkan cinta kepada Rasulullah saw
Perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah saw boleh disemai dengan melakukan beberapa perkara dibawah:
1) Mengenali dan mengingati peribadi Rasulullah saw
Dari sudut ini, maka benarlah pepatah Melayu yang menyebut bahawa “Tak kenal maka tak cinta”. Seseorang Muslim yang ingin menambahkan kecintaannya kepada Rasulullah saw mestilah mengenali peribadi Baginda secara lebih mendalam. Semakin dalam kita mengenali Rasulullah saw dari segi akhlaknya, cara hidupnya, cabaran yang dihadapinya, perjuangannya dan segala-galanya yang berkaitan dengan Baginda, maka semakin bertambahlah cinta dan kasih kita kepada Rasulullah saw. Untuk tujuan ini, bacaan dan kajian terhadap sirah hidup Baginda perlu dilakukan melalui sumber-sumber bacaan sirah yang sahih.
2) Berdiri di atas petunjuk Nabi saw dan mengamalkan sunnah-sunnah Baginda.
Setiap Muslim mestilah menjadikan petunjuk yang dibawa oleh Nabi saw sebagai panduan dalam hidupnya. Dalam setiap apa jua perkara dalam urusan agama, maka panduan dan petunjuk yang dibawa oleh Nabi saw mestilah diletakkan di hadapan. Seterusnya, senantiasa berusaha untuk mengikuti sunnah Baginda saw dalam segala tingkah laku dan perkataan. Jika tidak dapat diamalkan semua, maka janganlah ditinggalkan semuanya.
3) Mengetahui nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita melalui pengutusan Rasulullah saw.
Antara pengurnian nikmat Allah yang terbesar ialah pengutusan Rasulullah saw itu sendiri kepada umat ini. Rasulullah saw yang diutuskan ini diberikan panduan wahyu kepadanya. Maka dengan pengutusan Rasul yang dibekalkan dengan wahyu, umat Islam dapat menerima hidayah Islam yang sebenar, seterusnya dengan hidayah ini kita dapat mebezakan antara yang haq dan batil dan sekaligus dapat menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat; jika petunjuk ini ditaati.
Firman Allah swt bermaksud: “Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad saw) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum) yang telah kamu sembunyikan dari kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (al-Maidah: 15-16)
3) Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah saw.
Selawat merupakan antara amalan yang paling berkesan yang dapat mengikat hati individu Muslim dengan Rasulullah saw. Firman Allah swt bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman selawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”. (al-Ahzab: 56)
Penganjuran berselawat ini juga disuruh dan digalakkan melalui hadith-hadith Rasulullah saw, antaranya: Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi saw bersabda: “Barangsiapa yang berselawat ke atas ku satu selawat, maka Allah swt akan berselawat ke atasnya sepuluh kali” (Riwayat Muslim, Kitab al-solat, Bab: al-salat ‘ala al-Nabiy ba’da al-tasyahud)
Tanda Cinta dan Kasih kepada Rasulullah saw.
Walaupun cinta dan kasih ini merupakan satu perasaan yang wujud di dalam hati, tetapi ianya mesti digambarkan dengan tingkah laku dan kata-kata. Menzahirkan perasaan kasih dan cinta terhadap Rasulullah saw ini adalah penting untuk membezakan antara mereka yang benar-benar cinta dan mereka yang hanya mendakwa bahawa mereka cintakan Nabi saw tetapi tidak dibuktikan dengan amalan zahir.
Maka antara tanda-tanda bahawa seseorang itu benar-benar mencintai Nabi saw adalah:
1) Taat dan ikuti Rasulullah saw.
Sesungguhnya tanda yang paling nyata dalam membuktikan kebenaran kasih dan cinta seseorang kepada Rasulullah saw adalah taat dan ikuti sunnah Baginda saw. Jika perkara ini tidak wujud, maka tiadalah mereka yang mendakwa cinta dan kasih kepada Rasulullah saw ini kecuali pendusta. Justeru, taat dan ikuti Rasulullah saw menjadi syarat utama dalam membenarkan dakwaan ini.
Allah swt juga telah menetapkan bahawa taat dan ikuti Rasulullah saw ini merupakan tanda taat dan patuh kepada-Nya, maka ia adalah lebih utama untuk membuktikan kecintaan kepada Baginda saw sendiri. Firman Allah swt bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) Sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya kamu akan dikasihi Allah dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu” (Ali Imran: 31)
Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Ayat ini merupakan kayu ukur kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah swt tetapi tidak berada di atas jalan Muhammad, bahawa sesungguhnya dia adalah dusta di dalam dakwaannya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad di dalam keseluruhan percakapan dan amalannya)) (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Damsyiq: Dar al-Fiha’, Cet. 2, 1998 ), 1/477)
2) Memuliakan Rasulullah saw dan beradab dengannya.
Memuliakan Rasulullah saw bersesuaian dengan kedudukan kenabian dan kerasulan Baginda. Memuliakan Nabi saw ini berlaku dalam tiga bentuk; melalui hati, lisan dan anggota. Maka memuliakannya dengan hati ialah dengan beri’tiqad bahawa Baginda adalah rasul yang telah dipilih oleh Allah swt dan telah dimuliakan Allah berbanding dengan manusia-manusia lain. Memuliakan Baginda dengan lisan pula mengandungi puji-pujian kepadanya samada pujian yang diberikan oleh Baginda saw sendiri atau segala bentuk pujian yang diberikan Allah swt kepada baginda tanpa ada sebarang pengurangan atau penambahan yang melampau. Termasuk dalam perkara ini adalah selawat dan salam ke atas Baginda saw. Memuliakan Baginda melalui anggota pula ialah dengan taat kepada perintahnya dan mengikuti sunnahnya. Maka apa yang disukai dan dianjurkan oleh Rasulullah saw, kita turut menyukainya. Apa-apa yang dibenci dan tidak dianjurkan oleh Baginda, maka kita turut membencinya dan meninggalkannya.
Kesimpulannya, memuliakan Rasulullah saw ini adalah dengan membenarkan apa yang disampaikan, mentaati apa yang diarah, menjauhi apa yang ditegah dan beribadah kepada Allah dengan apa yang disyariatkan.
Memuliakan Rasulullah saw dan beradab dengan Baginda juga merupakan arahan yang terkandung di dalam al-Quran. Antara adab-adab dengan Rasulullah saw yang mesti dipatuhi oleh setiap individu Muslim ialah seperti mana yang terkandung di dalam surah al-Hujurat. Boleh dikatakan bahawa antara isi kandungan utama surah al-Hujurat ini menyebut tentang bagaimana adab seseorang Muslim dengan Rasulullah saw.
Antara adab yang terkandung di dalam surah ini adalah seperti maksud ayat pertama: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya, dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (al-Hujurat: 1)
Adab yang dianjurkan di dalam ayat ini ialah tidak mendahului Allah dan Rasulullah saw di dalam perkataan mahupun perbuatan, samada semasa hayat Baginda mahupun sesudah Baginda wafat iaitu dengan tidak melanggari sunnahnya.
3) Senantiasa ingat kepada Baginda saw dan mempunyai pengharapan dan rindu yang mendalam untuk melihat dan berjumpa dengannya.
Sudah menjadi lumrah, seseorang itu akan sentiasa ingat kepada sesiapa yang dikasihinya. Perkara ini tidak akan wujud kecuali jika hati dan fikiran seseorang itu sentiasa didorong ke arah itu.
4) Mengasihi ahli keluarga, isteri-isteri dan para sahabat Rasulullah saw.
Diantara tanda kasih dan sayangnya kita kepada Rasulullah saw ialah mencintai dan mengasihi kaum keluarganya, isteri-isteri Baginda dan para sahabat r.a. Mencintai dan mengasihi mereka ini diiringi dengan mengetahui kelebihan dan kemuliaan yang telah dikurniakan kepada mereka. Seterusnya membersihkan segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada mereka.
5) Mencintai sunnah Rasulullah saw dan mereka yang menyeru ke arah menegakkan sunnah tersebut.
Termasuk di dalam tanda-tanda mencintai Rasulullah saw ialah mencintai sunnah Baginda saw dan mereka yang berusaha menyeru manusia ke arah mengamalkan sunnah. Maka golongan yang paling awal menjalankan tugas ini ialah para al-salaf al-soleh. Mereka telah berjuang dan mencurahkan segala tenaga demi mempertahankan sunnah Rasulullah saw. Seterusnya mengasihi para ulamak yang telah menyambung perjuangan menegakkan sunnah ini di atas manhaj yang telah ditunjukkan oleh al-salaf al-soleh.
Demikianlah diantara tanda-tanda yang sepatutnya dapat dilihat daripada mereka yang mengaku kasih dan cinta kepada Rasulullah saw. Semestinya perasaan cinta dan kasih kepada Baginda saw ini tidak akan dipersiakan malahan akan diberikan ganjaran yang menjadi impian setiap Muslim. Antara kelebihannya ialah seperti mana yang terdapat di dalam sebuah hadith:
Daripada Anas bin Malik ra berkata: Seorang lelaki bertanya kepada Nabi saw: Bilakah akan berlakunya Qiamat, wahai Rasulullah? Nabi saw bertanya kembali: ((Apakah persediaan yang telah kamu lakukan untuk itu?)). Lelaki itu menjawab: Aku tidak mempunyai banyak persediaan dari cintakan Allah dan Rasul-Nya. Nabi saw bersabda: ((Engkau bersama dengan yang engkau cintai)) (Riwayat al-Bukhari, kitab al-Adab, bab ‘Alamat Hubbullah Azza wa jalla)
Di dalam riwayat yang lain, Nabi saw bertanya: ((Apakah persediaan yang telah kamu lakukan untuk hari qiamat?)). Lelaki tersebut berkata: Tiada apa-apa persediaan kecuali aku cintakan Allah dan Rasul-Nya. Maka Nabi saw bersabda: ((Engkau bersama dengan yang engkau cintai)). Anas berkata: Tidaklah kami pernah gembira seperti gembiranya kami dengan kata-kata Nabi saw ((Engkau bersama dengan yang engkau cintai)). Anas berkata lagi: Maka aku cintakan Nabi saw, Abu Bakr dan Umar, dan aku berharap akan bersama dengan mereka disebabkab cintaku kepada mereka, walaupun aku tidak mempunyai amalan seperti amalan mereka. (Riwayat al-Bukhari, kitab Fadhail al-Sahabat, Bab Manaqib Umar al-Khattab)
Al-Ittiba’
Secara ringkasnya, al-ittiba’ yang dimaksudkan disini ialah mengikuti dan mencontohi Rasulullah saw dari segenap aspek. Abu al-Hussain al-Basri di dalam “al-Mu’tamad” telah menghuraikan tentang perkara ini dengan menyatakan: ((Adapun mencontohi Nabi saw berlaku samaada dalam bentuk melakukan atau meninggalkan.. Mencontohi Nabi saw dengan turut melakukannya ialah dengan kita melakukan sesuatu perkara itu sama seperti mana yang dilakukan oleh Nabi saw. Manakala mencontohi Baginda saw dengan meninggalkannya ialah kita meninggalkan apa-apa perkara seperti mana yang ditinggalkan oleh Nabi saw. Dan sesungguhnya kami mensyaratkan perbuatan itu berlaku dalam bentuk yang sama, kerana jika sekiranya Nabi saw berpuasa dan kita bersolat, maka ia tidak dinamakan mencontohi Baginda saw….Dan kami mengatakan bahawa mencontohi Baginda juga berlaku dalam bentuk meninggalkan sesuatu perkara, kerana jika sekiranya Baginda saw meninggalkan (tidak menunaikan) sembahyang ketika terbitnya matahari, maka kita juga turut meninggalkannya di atas dasar mencontohi Baginda saw.
….Adapun mengikuti Nabi saw berlaku dari segi perkataan, dan dalam bentuk perlakuan dan dalam bentuk peninggalan. Maka mengikuti perkataan Baginda saw ialah kita berusaha untuk melaksanakan kandungan perkataan tersebut sama ada dalam bentuk wajib, sunat atau sebagainya. Dan adapun mengikuti Baginda saw dalam bentuk turut melakukannya atau meninggalkannya ialah dengan kita melakukan sesuatu perkara atau meninggalkan sesuatu perkara sama seperti yang dilakukan oleh Baginda saw…dan sesungguhnya kami mensyaratkan di dalam mengikut ini sama dengan mencontohi, kerana jika sekiranya Baginda saw berpuasa dan kita bersembahyang, atau Baginda saw berpuasa fardhu tetapi kita berpuasa sunat, atau kita berpuasa bukan disebabkan Baginda berpuasa, maka kita tidak dinamakan sebagai orang yang mengikuti Nabi saw di dalam perkara ini))
(Rujuk: Abd al-Rauf Muhamad Uthman, Mahabat al-rasul baina al-Ittiba' wa al-ibtida' , hal. 103)
Maka daripada huraian di atas dapat dibuat kesimpulan ringkas bahawa yang dikatakan al-ittiba’ dengan Rasulullah saw dalam bentuk perbuatan ialah kita melaksanakan apa-apa yang dilakukan oleh Baginda saw dalam bentuk yang sama. Manakala al-ittiba’ dengan kata-kata Rasulullah saw ialah kita melaksanakan tuntutan yang terkandung di dalam perkataan Baginda saw tersebut. Segala amalan yang dilakukan ini mestilah berpaksikan di atas niat mahu mengikuti dan mencontohi Rasulullah saw.
Kewajipan mengikuti dan mentaati Rasulullah saw ini sebenarnya adalah perintah daripada Allah swt sendiri. Maka di antara tanda seseorang itu mentaati Allah swt ialah dia mentaati dan mencontohi pesuruh Allah, Muhammad saw. Di antara firman Allah swt yang mengandungi arahan ini ialah seperti maksud ayat berikut:
“Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, dan janganlah kamu batalkan amalan kamu” (Muhammad: 33)
“Taatilah Allah dan Rasul, mudah-mudahan kamu akan dirahmati” (Ali Imran: 132)
Tanda al-ittiba’.
Sesungguhnya perkara mencontohi dan mengikuti Rasulullah saw ini bukanlah suatu yang hanya menjadi sebutan di mulut sahaja. Tetapi seseorang yang mendakwa mencontohi dan mengikuti Nabi saw dengan sebenar-benar ikutan, pasti akan lahir daripadanya tanda-tanda dan kesan yang membuktikan dakwaan tersebut.
Maka antara tanda-tanda al-ittiba’ ini ialah:
1. Menjadikan Rasulullah saw sebagai contoh ikutan.
Seseorang yang mendakwa mencontohi dan mengikuti Nabi saw mestilah menjadikan Baginda saw sebagai panduan dan contoh ikutannya. Maka dia melakukan arahan dan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw sama seperti dia meninggalkan segala larangan dan perkara yang ditinggalkan oleh Baginda saw. Termasuk juga di dalam perkara ini ialah seseorang itu mestilah berakhlak dan beradab dengan akhlak yang dianjurkan oleh Baginda saw.
Allah swt berfirman yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredahaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat serta mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang)” . (al-Ahzab: 21)
Al-Hafiz Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan: ((Ayat ini merupakan asas yang utama di dalam mencontohi Nabi saw dari segi perkataannya, perbuatanya dan segala perkara yang berkaitan dengan Baginda. Dan untuk itu, Allah swt telah memerintahkan manusia di hari peperangan Ahzab supaya mencontohi Nabi saw dari segi kesabarannya, mujahadahnya, dan penantiannya kepada kelapangan (kemenangan) daripada Allah swt. Selawat dan salam ke atasnya yang berterusan hingga ke hari Akhirat. Dan disebabkan itu, Allah berkata kepada mereka-mereka yang gentar dan tidak tetap pendirian mereka pada hari peperangan Ahzab: ((Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh ikutan yang baik)) iaitu hendaklah kamu mencontohi Baginda saw dengan sepenuhnya))
(Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/626)
Justeru, bagi mereka yang ingin membuktikan kecintaan dan ikutan mereka kepada Rasulullah saw haruslah terlebih dahulu mengetahui dan mempelajari tentang petunjuk dan sunnah Rasulullah saw. Hal ini penting bagi mengelakkan kita terjerumus di dalam penyakit al-ghulu (melampaui batas) dan al-bid’ah di dalam mengagung-agungkan Rasulullah saw. Tanpa ilmu pengetahuan yang sahih, ramai manusia telah dijangkiti penyakit ini. Oleh itu kembalilah kita kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.
2.Menjadikan sunnah Rasulullah saw sebagai pemutus segala hukum.
Perkara ini merupakan di antara ciri-ciri penting bagi membuktikan keimanan seorang Muslim. Sunnah Baginda saw semestinya dijadikan sumber bagi penentuan segala hukum bagi segala masalah yang berlaku di kalangan manusia. Maka setiap pendapat atau keputusan yang bercanggah dengan penentuan sunnah Baginda saw, hendaklah ditolak, walau dari mana dan daripada sesiapa sekali pun munculnya pendapat itu.
Allah swt menegaskan di dalam firmannya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan uli al-amri (orang yang berkuasa) di kalangan kamu, maka sekira kamu berselisihan pendapat di dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah (rujuklah) ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat , maka yang demikian itu lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya” (al-Nisaa’: 59)
Sesiapa yang mengambil petunjuk daripada ayat ini iaitu dengan menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai tempat rujukan bagi segala permasalahan, maka ia akan sentiasa berada di atas jalan yang mustaqim, sekaligus membuktikan bahawa dia melalui landasan al-ittiba’ yang sebenar.
Di dalam ayat yang lain, Allah swt menyatakan yang bermaksud: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), tidaklah beriman mereka itu sehinggalah mereka menjadikan dirimu (wahai Muhammad) sebagai hakim di dalam (memutuskan) segala perselisihan yang berlegar di antara mereka, kemudian tidak pula timbul sebarang perasaan berat hati di dalam diri mereka terhadap apa yang telah kamu putuskan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya” (al-Nisaa’: 65)
Dalam perkara ini, maka para sahabatlah r.a yang merupakan contoh kita yang terbaik. Mereka telah menjadikan Rasulullah saw sebagai pemutus segala perkara yang berlaku di kalangan mereka. Hal ini berlaku sewaktu hayat Baginda saw. Selepas kewafatan Nabi saw, mereka menjadikan sunnah yang ditinggalkannya sebagai pengganti dan dijadikan sumber rujukan.
3. Redha dengan hukum dan syariat yang disampaikan oleh Rasulullah saw.
Di antara tanda seseorang taat kepada Rasul, dia mestilah redha dengan hukum dan syariat yang dibawa oleh Baginda saw. Ini juga sebenarnya merupakan tanda kepada ketaatan kepada Allah swt. Maka apabila seseorang itu redha dengan syariat dan peraturan yang dibawa oleh Rasulullah saw, dia akan menerimanya dengan hati yang terbuka tanpa ada sebarang syak dan ragu terhadap perkara tersebut. Jika wujud keraguan walau pun sedikit, ini bermakna dakwaan cinta dan ikutannya terhadap Nabi saw belum lagi sempurna.
Perkataan redha ini terkandung di dalamnya terima, tunduk, patuh dan melaksanakannya tanpa berpaling kepada petunjuk atau peraturan yang lain. Jika ia masih lagi cenderung kepada petunjuk yang lain maka ia bercanggah dengan maksud redha dan ianya membuka jalan kepada nifaq dan kufur.
4. Tidak melanggar sempadan syariat.
Ini merupakan natijah daripada redha. Sesiapa yang telah redha dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw, maka segala gerak geri amalannya akan berpandukan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syariat. Ini semua akan berlaku apabila wujudnya perasaan yakin bahawa syariat yang disampaikan oleh Nabi saw ini telah lengkap dan tidak lagi berhajat kepada sebarang penambahan mahu pun pengurangan. Rasulullah saw dengan sifat amanahnya pula telah menyampaikan ajaran syariat ini keseluruhanya tanpa disembunyi sedikit pun daripadanya.
Maka contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw itulah yang paling sempurna. Usahlah dicacatkan agama ini dengan sebarang pengurangan mahupun penambahan daripada manusia. Bergeraklah di dalam daerah yang telah ditetapkan oleh syariat dan jangan
Renungilah maksud daripada firman Allah ini:
“Itulah aturan-aturan hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarinya, dan sesiapa yang melanggar aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (al-Baqarah: 229)
Demikianlah beberapa panduan al-Quran dan al-hadith di dalam membicarakan tentang hubungan dan tanggungjawab kita terhadap Rasulullah saw. Setiap individu Muslim haruslah mengkoreksi dirinya sejauh mana perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah saw. Janganlah perasaan cinta kepada kebesaran dunia, kaum keluarga, harta benda, pangkat dan kedudukan mengatasi perasaan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Seterusnya, cinta ini perlulah diiringi dengan menuruti jejak langkah Baginda dan mengamalkan sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan kepada kita. Semoga dengan perasaan cinta dan ikutan kita kepada Rasulullah saw ini menjadi bukti untuk kita bersama-sama dengan Baginda di syurga kelak. Amin.



