Monday, May 07, 2007

Menyokong Islam Hadhari Satu Kewajipan

Menyokong Islam Hadhari Satu Kewajipan.

Malaysia adalah mungkin menjadi negara umat Islam pertama yang membawa satu gagasan atau ideologi baru iaitu Islam Hadhari. Selain komunisme, sosialisme, dan isme-isme yang lain, Malaysia mencipta rekod sebagai penegak isme yang baru iaitu Islam Hadhari.

Ya benar! Jika dilihat pada apa yang dikatakan gagasan Islam Hadhari itu tiada unsure yang bertentangan dengan Islam. Tidak dinyatakan di dalam Islam Hadhari bahawa arak itu halal, berjoget sampai tengah malam itu halal, berzina itu halal, murtad itu halal dan lainlain hal yang bertentangan dengan syara’.

Akan tetapi ideology Islam Hadhari ini yang di sokong kuat tokoh-tokoh ‘Ilmuan Islam’ seperti Dr Mashitah Ibrahim dan ramai lagi, dan tidak kurang juga sedikit sokongan Mufti Perlis Ustaz Asri Zainul Abidin seperti mana yang beliau tulis di dalam Majalah I. Cuma bezanya ialah ada yang menyokong kerana bersetuju apa yang digariskan di dalam kandungan Islam Hadhari itu dan ada juga yang menyokong membuta tuli hatta membawa masuk unsure-unsur yang tidak terkandung di dalam Islam Hadhari sendiri. Mungkinkah unsur-unsur yang tidak bertulis di dalam Islam Hadhari itu merupakan sebenarnya antara asas-asas Islam Hadhari akan tetapi ia di ‘sirr’kan dari kalangan orang-orang awam yang belum sampai maqam. Sudah pasti insan yang palig mengetahui Islam Hadhari ini ialah Sheikhul Islam Hadhari al-Imam Abdullah Ahmad Badawi. Dan begitu juga hulubalang dan srikandi-srikandi Islam Hadhari itu seperti srikandi Islam Hadhari yang tersohor iaitu Dr Mashitah Ibrahim.

Dr. Mashitah Ibrahim, seorang agamawan terkenal, pembela Islam Hadhari yang hebat, telah mengeluarkan satu kenyataan yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam yang dibawa leh Nabi Muhammad. Akan tetapi saya tidak tahu sama ada ia bertentangan dengan Islam Hadhari ataupun tidak?

Dr. Mashitah di dalam suatu majlis, telah menyatakan daripada kita potong tangan pencuri, lebih elok kita bagi mereka pekerjaan. Dari segi akal, mungkin Dr Mashitah ini benar, tapi dari segi akal juga kata-kata Dr Mashitah ini bertentangan dengan akal yang sihat. Setahu saya, saya belum pernah terjumpa undang-undang di mana-mana negara yang menyatakan kalau pihak polis berjaya menangkap pencuri, maka bawalah dia ke mahkamah dan mahkamah akan menentukan pekerjaan apakah yang sesuai dengan pencuri itu. Jika pencuri itu mencuri tayar kereta, mungkin mahkamah perlu mencari mana-mana bengkel kereta yang mahu menerima seorang pencuri sebagai pekerja mereka. Ataupun mungkin pihak pemerintah perlu menyediakan sebuah akademi khas seperti sekolah teknik yang dikhususkan kepada pencuri-pencuri supaya mereka mendapat pekerjaan. Apakah logiknya idea ini! Di mana-mana negara pun pencuri mesti dihukum. Kalau Dr Mashitah berbicara tentang pencuri yang kelaparan yangmencuri setandan pisang, atau mencuri sebungkus nasi lemak di gerai, ataupun mencuri segelas air kopi di gerai, maka mungkin idea ini boleh dipertimbangkan. Tapi apa kejadahnya jika pencuri kereta-kereta mewah, pemecah rumah orang, penyamun yang meragut beg tangan makcik-makcik, perompak kedai emas dan bank diberi pekerjaan. Adakah mereka ini layak diberikan pekerjaan. Seronok sungguh menjadi pencuri, lepas mencuri dapatlah kerja ye.

Dan paling bahaya sekali, perkataan seumpama ini adalah perkataan yang boleh menyebabkan seseorang itu syirik dan kufur. Bahkan lebih parah boleh menyebabkan seseorang gugur akidahnya dan menjadi murtad.

Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab di dalam kitabnya “Nawaqidul Islam” menyatakan bahawa pembatal pertama keimanan ialah syirik dalam beribadah kepada Allah. Sheikh Sulaiman bin Nashir bin Abdullah al-Ulwan di dalam syarahnya kepada kitab ini iaitu kitab “At-Tibyan Syarhu Nawaqidil Islam” menyatakan bahawa antara jenis-jenis syirik itu ialah syirik di dalam ketaatan. Apakah itu syirik di dalam ketaatan. Syirik di dalam ketaatan ialah mentaati perintah yang bermaksiat kepada Allah. Allah SWT berfirman:

Mereka menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai rabb-rabb selain dari Allah, dan juga (Mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia. Maha suci Allah dari apa Yang mereka sekutukan. (at-Taubah:31)

Saya tidak tahu ilmuan atau ulama Islam manakah yang menyatakan bahawa hukuman kepada pencuri dengan memberinya pekerjaan itu lebih elok daripada hukum yang termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Seandainya wujud ulama yang berkata sedemikia, maka ingatlah bahawa mengikuti ulama dalam hal-hal maksiat menjadikan kita ini sebagai orang yang mempertuhankan ulama. Begitu juga mentaati mana-mana manusia di dalam hal-hal maksiat seolah-olah kita telah menyembah mereka.

Muhammad Ibn Abdul Wahab di dalam kitabnya yang masyhur Kitab at-Tauhid membuat satu tajuk khas di dalam bab ini iaitu “Mentaati Ulama Dan Umara Dalam Mengharamkan Yang Halal Dan Menghalalkan Yang Haram Bererti Mempertuhankan Mereka”. Nauzubillah! Semoga kita dijauhkan daripada najis syirik ini.

Di dalam Nawaqidul Islam, dinyatakan pembatal keislaman yang keempat ialah beri’tiqad bahawa ada petunjuk yang lebih baik daripada petunjuk Nabi Muhammad SAW, ataupun ada hukum yang lebih baik daripada hukumnya seperti orang meletakkan status hukum thoghut lebih tinggi daripada hukum Allah. Sheikh menerangkan bahawa orang yang sebegini maka dia telah menjadi kafir.

Sheikh Sulaiman bin Nashir al-Ulwan di dalam syarahnya menyatakan: “Orang seperti ini adalah kafir berdasarkan ijma’ ulama. Di antara orang-orang yang kafir itu ialah orang-orang yang lebih mengutamakan hukum-hakam buatan manusia di atas hukum Rasul Rabbil ‘Alamin yang telah diutus oleh Allah untuk meberi hidayah kepada alam semesta dan agar mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kekafiran) menuju kepada cahaya (keimanan).

Firman Allah:

“Alif, laam raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.” (Ibrahim:1)

Wajib bagi setiap muslim dan muslimah mengetahui bahawa hukum Allah dan RasulNya wajib didahulukan atas hukumnya yang lain. Tiada satu persoalan pun yang terjadi di antara sesama manusia melainkan wajib dikembalikan kepada hukum Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang berhukum selain dengan hukum Allah dan RasulNya, maka dia kafir. Hal ini seperti mana yang disebutrkan oleh Allah di dalam surah an-Nisa:

60. Tidakkah Engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang-orang (munafik) Yang mendakwa Bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran Yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) Yang telah diturunkan dahulu daripadamu? mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka Dengan kesesatan Yang amat jauh.

61. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya Engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) Dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.

62. Maka Bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) Yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: "Demi Allah, Kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak Yang berbalah)".

63. Mereka itulah orang-orang Yang diketahui oleh Allah akan apa Yang ada Dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah Engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta Katakanlah kepada mereka kata-kata Yang boleh memberi kesan pada hati mereka.

64. Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati Dengan izin Allah. dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (Wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

65. Maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim Dalam mana-mana perselisihan Yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa Yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu Dengan sepenuhnya.

Allah Jalla wa ‘ala sehingga bersumpah dengan diriNya bahawa mereka itu tidak beriman sehingga mereka memenuhi tiga perkara dengan sempurna:

1) Mereka wajib menjadikan rasul sebagai hakim di dalam segala urusan.

2) Mereka tidak merasa keberatan di dalam hati mereka di atas apa yang diputuskan oleh Nabi SAW.

3) Mereka wajib pasrah menerima secara penuh terhadap hukum Nabi saw.

Bagaimana seorang mukmin yang berakal dapat menerima dan rela jika yang diperlakukan ke atas dirinya ialah hukum-hakam buatan manusia yang merupakan hasil rekaan pemikiran dan sampah dari akal fikiran sebagai ganti kepada hukum Allah yang telah Dia turunkan kepada RasulNya agar Rasul itu mengeluarkan manusia daripada kegelapan menuju cahaya yang terang.

Perhatikanlah akibat yang telah menimpa sekian banyak negara tatkala bangsanya telah keluar daripada hukum Allah dan RasulNya serta rela dengan hukum-hakam buatan manusia. Kezaliman adalah amalan yang sudah biasa mereka lakukan, sementara kebathilan mahupun kecurangan telah menjadi budaya antara mereka. Semuanya dilakukan secara bebas baik oleh kalangan muda mahupun tua sehingga fithrah mereka telah berubah sedemikian rupa.

Mereka menjalani hidup seperti kehidupan binatang. Dan demikianlah kehidupan setiap orang yang keluar dari hukum Allah dan hukum RasulNya.” Allah berfirman:

Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. (al-Maidah:44)

Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim. (al-Maidah:45)

Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik (al-Maidah:47)

Terang sheikh Sulaiman al-Ulwan lagi: “ Berhukum dengan hukum yang dturunkan oleh Allah serta menyakini bahawa hukum Rasul itu lebih baik daripada hukum selainnya merupakan bahagian daripada tuntutan syahadat Lailahaillllah. Barangsiapa yang beranggapan bahawa selain hukum Rasul itu lebih baik daripada hukum Rasul, maka ini bererti orang itu tidak memahami makna Lailahaillallah, bahkan melakukan sesuatu yang menggugurkannya. Ini kerana, tunduk kepada Allah dan hukumnya merupakan salah satu syarat daripada sekian syarat kalimah yang agung ini. Dengan kalimah ini, tegaklah langit dan bumi, di dalam rangka kalimah ini diutuskan para rasul dan diturunkan kitab-kitab suci, demi kalimah ini disyariatkan jihad dan kerana kalimah ini manusia terbahagi menjadi manusia celaka dan manusia bahagia. Barangsiapa yang memahami kalimah ini lalu mengamalkannya dengan memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya, maka ia bererti dia telah bersih dari selian hukum Allah dan RasulNya.

Keadaan telah berubah lebih-lebih lagi pada zaman kini yang keadaannya telah serupa dengan keadaan zaman fatrah (zaman ketiadaan rasul), di mana umat-umat manusia telah meninggalkan firman-firman Allah dan sabda-sabda RasulNya dan menggantikan dengan pemikiran-pemikiran kaum Yahudi dan Nasrani- yang watak dasar mereka itu tidak mahu memelihara hubungan kekerabatan terhadap orang-orang mukmin dan tidak pula mengendahkan perjanjian.

Alangkah bagusnya Ibnul Qayyim ketika menyatakan di dalam syairnya:

Demi Allah, kekhuatiranku bukan terhadap dosa-dosa,

Kerana ada jalan maaf dan ampunan dari Yang Maha Kuasa,

Namun yang aku takuti adalah lepasnya hati dari berhukum dengan wahyu al-Quran ini,

Rela dengan fikiran dan kedustaan umat Insani yang tidak bersumber kepada kalam Ilahi.

Kepada Allahlah tempat mengadu dan hanya kepadanya kita bertawakkal,

Kepadanya kita berlindung.

Termasuk di dalam kategori kekufuran dan kezaliman di atas adalah orang yang menyatakan “Sesungguhnya melaksanakan hukum Allah di dalam masalah zina muhshan dan memotong tangan pencuri tidak lagi sesuai dengan zaman sekarang ini, ini kerana zaman kita telah mengalami perubahan dibandingkan dengan zaman Rasul sedangkan negara-negara barat mencela kami di dalam masalah ini.” Orang yang sesat ini telah menganggap bahawa hukum orang zaman sekarang ini lebih baik daripada hukum Nabi SAW dan lebih lurus jalannya.

Demikian juga termasuk di dalam ketegori ini ialah orang yang menyatakan “Sesungguhnya untuk zaman sekarang ini dibolehkan untuk berhukum kepada selain hukum yang telah diturunkan Allah.” Kalau ini yang diucapkan, bererti dia telah menghalalkan sesuatu yang diharaman dan telah disepakati keharamannya. Wallahu’alam”

Saya tidak tahu apakah kata-kata Dr. Mashitah tu bermaksud bahawa ideanya itu lebih bak daripada melaksanakan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Semoga bukan itu yang dimaksudkan oleh beliau.

PERINGATAN-

Saya ingin mengingatkan kepada saya dan saudara-saudara sekalian. Jangan pula menjadikan apa yang tertulis ini untuk dengan mudah mengkafirkan Dr. Mashitah dan saudara-saudara kita yang lain. Sesungguhnya untuk menyatakan kafir kepada seorang muslim adalah satu kalimah yang berat bahkan boleh menyebabkan diri kita sendiri menjadi kafir jika orang yang kita katakana kafir itu sebenarnya tidak kafir. Mari kita baca sejenak apa yang tertulis di dalam akhir buku “At-Tibyan Syarhu Nawaqidil Islam” oleh sheikh Sulaiman al-Ulwan:

Tidak setiap orang yang melakukan tindakan kekufuran itu dapat dihukumi kafir. Sesuatu perkataan atau perbuatan itu kadangkala memang merupakan kekufuran, akan tetapi kekufuran itu tidak dapat dimutlaqkan ke atas orang yang menyatakan atau untuk mengkafirkan seseorang kecuali wajib memenuhi syaratnya. Ini kerana untuk mengkafirkan seseorang wajib terlebih dahulu dapat dipastikan bahawa wujudnya syarat-syarat pengkafiran pada diri orang tersebut dan tiada penghalang-penghalang.

Kadang-kala ada orang yang baru memeluk Islam masih melakukan tindakan yang mengkufurkan sedangkan dia tidak tahu bahawa hal itu sesuatu yang mengkufurkan. Jika telah dijelaskan kepadanya, maka dia akan kembali kepada kebenaran daripada kekufuran atau kadang-kala dia hanya mengingkari sesuatu yang mempunyai unsure ta’wil kerana dia keliru dalam menta’wil. Nah, penghalang semacam ini atau penghalang-penghalang selainnya dapat menjadi penghalang terhadap pengkafiran seseorang.

Ini adalah prinsip yang sangat penting, yang wajib difahami dan diperhatikan. Ini kerana pengkafiran itu bukan merupakan hak bagi makhluk, seseorang itu tidak boleh mengkafirkan sesiapa yang dikehendakinya dengan kemahuannya. Akan tetapi hal ini wajib dikembalikan kepada Kitab dan Sunnah berdasarkan kefahaman as-Salaf ash-Shalih. Sesiapa sahaja yang dikafirkan oleh Allah dan RasulNya, dan telah ditegakkan hujjah ke atasnya, maka dia adalah kafir. Jika tidak demikian, maka dia tidaklah kafir.

Sekian Wassalam

Abu Usamah

Rujukan:

Kitab at-Tauhid, Sheik Muhammad ibn Abdul Wahab.

Nawaqidul Islam, Sheikh Muhammad ibn Abdul Wahab.

At-Tibyan Syarhu Nawaqidil Islam, Sheikh Sulaiman bin Nashir bin Abdullah al-Ulwan.

Video rakaman ucapan Dr Mashitah Ibrahim

No comments: