Monday, December 24, 2007

Cara Mendapat Ilmu

Oleh: Abdul Hakim bin Abdul Adzim

من حفظ المتون حاز الفنون

“Sesiapa yang menghafal matan-matan, dia memperolehi ilmu-ilmu.”

Kata-kata di atas sering didengar penulis sejak kebelakangan ini dalam perbualan penulis dengan pelajar-pelajar peringkat Sarjana dari Timur Tengah. Tidak tahu siapa yang melafazkan lima patah perkataan yang mempunyai makna yang mendalam itu. Mungkin para pembaca lebih mengetahui.

Penghafalan adalah satu perkara yang amat penting. Jika seseorang itu mengaku dia mempunyai ilmu maka ilmu itu di dadanya dan bukan di dada buku-bukunya. Ilmu yang tidak diingat adalah bukan ilmu. Menghafal matan bukanlah satu-satunya cara utuk mendapat ilmu tetapi salah satu cara.

Sheikh Muhammad bin Saalih al-Uthaimeen mewajibkan ke atas murid-muridnya menghafal matan-matan seperti Alfiyah Ibnu Malik dan Kitab at-Tauhid. Selepas muridnya menghafal dengan lancar, beliau akan menerangkan atau memberi syarahan kepada matan-matan tersebut.

Hendaklah diingat menghafal kata-kata Allah iaitu al-Qur'an adalah yang terbaik. Hendaklah seorang penuntut ilmu menghafal al-Qur'an. Jangan ghairah menghafal matan-matan sehingga terlupa al-Qur'an. Hendaklah seorang penuntut ilmu menghafal al-Qur'an dan di samping itu hadith-hadith nabi sallallahu alaihi wasallam dan matan-matan ilmu.

Menghafal adalah satu perkara yang bukan senang. Ia memerlukan kesungguhan dan pengorbanan dari segi masa, tenaga dan keseronokan. Selepas sesuatu matan dihafal, hendaklah seorang penuntut ilmu memahami apa yang dihafal dengan mencari penerangan untuk apa yang dihafal. Penerangan itu datang sama ada dalam bentuk buku atau penerangan dari seorang alim. Misalan penerangan untuk Alfiyah ibnu Malik iaitu matan ilmu Nahu terdapat dalam bentuk buku Sharh ibnu Aqil. Juga terdapat penerangan dalam bentuk audio atau suara yang boleh dicari di Internet. Untuk Alfiyah ibnu Malik terdapat penerangan dari Sheikh Muhammad bin Saalih al-Uthaimeen dan beberapa sheikh yang lain. Penerangan yang terbaik ialah dengan berguru dengan seorang alim atau seorang sheikh. Itu yang terbaik.

Inilah cara para ulama' terdahulu menguasai ilmu-ilmu. Associate Professor Dr. Abdur Razzaq as-Sa'di, seorang pensyarah di fakulti bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa menceritakan bahawa dia menghabiskan masa tiga tahun menghafal matan-matan ilmu. Setelah tempoh tiga tahun baru dia mempelajari syarah atau penerangan kepada apa yang dihafalnya. Ilmunya boleh disimpulkan dengan menyebut masha-Allah.

Diceritakan bahawa lautan ilmu, al-'Allamah Muhammad al-Amin ash-Shinqiti rahimahullah, yang mana di zamannya tiada yang setanding dengannya dalam ilmu bahasa Arab dan Tafsir, bahawa ilmunya berada dengannya ke mana saja beliau pergi kerana dia mengingati ilmunya. Jika dia di pasar maka ilmunya berada dengannya di pasar, jika dia di masjid ilmunya bersamanya di masjid. Hafalan juga membantu seseorang itu dalam menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya tanpa memerlukan rujukan.

Penulis sendiri menghafal matan dan apa yang penulis dapati cara ini sangat berkesan dalam usaha untuk mendapat ilmu. Penulis menghafal matan pendek Manzoomah al-Baiquniah,matan dalam ilmu mustolah hadith. Setelah menghafal dengan lengkap, penulis mendengar syarah audio Sheikh Muhammad bin Saalih al-Uthaimeen yang dimuat turun dari Internet. Alhamdulillah, penulis mendapat sedikit sebanyak ilmu dalam mustolah hadith. Benarlah kata-kata:

من حفظ المتون, حاز الفنون

Mungkin ada yang mengadu ingatan mereka lemah dan apakah penawar baginya. Jawapannya ialah menjauhi maksiat. Imam Shafi'i rahimahullah pernah mengadu kepada gurunya, Wakii' tentang lemah ingatan dan Wakii' menjawab yang ilmu adalah cahaya dan cahaya tidak akan menyinari hati yang selalu membuat maksiat. Penawar bagi ingatan lemah ialah menjauhi maksiat.

Begitulah apa yang dapat dikongsi penulis dengan para pembaca. Sebelum terlupa, mungkin penulis dapat menyarankan beberapa matan yang boleh dihafal oleh para pembaca. Para pembaca boleh hafal selain dari al-Qur'an, al-Arbain an-Nawawiyah, al-Ajrumiyah, al-Manzoomah al-Baiqoniah dan matan-matan mudah yang lain. Setelah meghafal yang mudah baru berpindah ke matan yang lebih panjang seperti Bulughul Maram, Alfiyah Ibnu Malik dan Alfiyah Iraqi. Begitu juga dengan Qur'an hendaklah seorang yang mula menghafal Qur'an menghafal bermula dengan surah pendek. Salah satu kesilapan ialah bermula dengan surah yang panjang yang sukar untuk dihafal seperti surah al-Baqarah. Mula dengan yang mudah kemudian berpindah ke sesuatu yang lebih sukar.

Matan-matan ilmu ini terdapat dalam bentuk buku kecil yang boleh dimuatkan dalam poket baju. Senang untuk dibawa ke mana-mana. Bila ada masa lapang, seseorang boleh mengisi masa itu dengan menghafal matan-matan tersebut yang dibawa bersamanya.

Setelah menghafal sesuatu dengan sempurna, pembaca hendaklah kembali mengulangkaji hafalan matan tersebut agar tidak lupa. Sama seperti seorang yang mengingati al-Qur'an, harus sentiasa mengulangkaji hafalannya.

Penulis berharap agar apa yang dikongsi dapat memberi manfaat kepada para pembaca. Penulis meminta maaf jika terdapat kesalahan dalam artikel ini. Niat penulis hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah dan berkongsi ilmu dengan para pembaca. Semoga kita semua ditambah ilmu dan dikurniakan kefahaman.

Wallahu a'alam.

3 comments:

Abu Al-Yasr said...

Jazaakallah khair...
Betul tu..

Ariff Arifin said...

tabarakallah!

abdul hakim akhirnya keluarkan sesuatu yang bernas sebagai tatapan umum.

:]

Anonymous said...

Ya, mungkin kerana itu