Wednesday, August 29, 2007

Di mana hikmah di dalam dakwah???

Abd al-Razzaq Muthalib Ahmad

Peristiwa di depan Maktabah Makkah (Perpustakaan Mekah), berdekatan Masjid al-Haram, membuatkan penulis bertanya pada diri sendiri: Di manakah hikmah di dalam dakwah mereka ini?

Suatu petang penulis pergi ke Masjid al-Haram. Memandangkan waktu solat masih lama lagi, penulis terus pergi ke Maktabah Makkah (yang dikatakan tempat kelahiran Nabi saw). Di sana, ada beberapa orang teman dari Rabitah al-Alam Islami, Mekah (Muslim World League), yang ditugaskan sebagai penterjemah sempena dengan musim haji. Sementara ada di situ, penulis juga turut membantu mereka untuk memberi penerangan kepada orang ramai yang datang melihat tempat tersebut.

Diringkaskan cerita, dalam ramai-ramai orang yang datang melawat tempat tersebut, ada seorang lelaki -kalau tidak silap dari India- yang datang menghampiri bangunan maktabah ini lalu mengusap dindingnya dengan tangan dan terus menyapu di badannya. Kebetulan perbuatan lelaki ini dilihat oleh salah seorang pegawai dari Jabatan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar –jabatan ini mungkin seperti JAKIM atau jabatan agama Islam di Malaysia-.Tanpa memberi peluang, dengan perasaan penuh “tanggungjawab” untuk mencegah kemungkaran, pegawai ini terus datang dan bertanya kepada lelaki ini dengan suara yang tinggi (dan penulis rasakan yang bahasa pegawai ini tidak difahami oleh lelaki tersebut). Pegawai itu bertanya (dalam bahasa Arab pasar): “Eshh anta??!! Anta majnun??!!” (Apa kau buat ni?? Kau gila??). Kemudian pegawai ini terus menghalau dengan menolak lelaki tersebut supaya beredar dari situ (Rooh! Rooh! (Pergi! Pergi!)

Penulis yang menyaksikan adegan ini, menggelengkan kepala. Perasaan penulis bercampur-campur. Bingung, kecewa, geram dan luntur semangat. Lantas penulis bertanya kepada diri sendiri: Di manakah hikmah di dalam dakwah mereka ini??!

Apakah begini caranya mencegah kemungkaran? Apakah begini cara dakwah manhaj salaf al-soleh? Apakah tiada ruang langsung untuk berlembut di dalam mencegah kemungkaran? Apakah tidak boleh jika ditanya terlebih dahulu dan diterangkan dengan baik kesalahan lelaki tersebut. Sekurang-kurangnya dia akan tahu yang perbuatannya tidak betul dan tahu juga apakah sebab-sebabnya.

Penulis merasakan yang lelaki tadi pergi dengan tidak mendapat sebarang mesej pun dari pegawai tadi kecuali yang dia faham bahawa ustaz-ustaz atau pendakwah di Arab Saudi ini memang keras dan kasar cara dakwah mereka. Betullah khabar-khabar yang di dengar sebelum ini.

Tidak hairan jika ramai yang bersangka buruk dengan dakwah sebahagian daripada pendakwah di Arab Saudi. Bukan manhaj yang salah, tetapi sikap sesetengah mereka yang bercanggah. Terlalu bersemangat ingin mencegah kemungkaran, tetapi tidak melihat siapakah sasaran, apakah perkataan dan apakah cara yang berkesan. Di manakah hikmah dalam dakwah mereka?

Ramai orang asyik bercakap tentang hikmah. Entah berapa ribu kali perkataan ini telah diulang cakap oleh para penceramah dan pendakwah. Entah berapa banyak telah ditulis di dalam makalah. Tetapi apa itu hikmah???Mungkin tulisan ini dapat memberi sedikit gambaran dan menambah apa yang kurang.

Pengertian al-hikmah

Menurut Dr. Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam bukunya al-Madkhal ila Ilm al-Da’wah, hikmah itu ialah: “ketepatan di dalam percakapan dan perbuatan”. Syaikh Said bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani pula di dalam bukunya “Al-Hikmah fi al-Da’wah ila Allah”, memberikan takrifan berikut: “Betul dan tepat di dalam percakapan dan perbuatan, dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya”. Dr. Abd al-Muhaimeen al-Tahhan di dalam “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah” menyatakan bahawa hikmah itu ialah: “perkataan yang tepat dan tindakan yang betul”.

Kebanyakan pengertian hikmah yang diberikan oleh kebanyakan penulis adalah hampir sama dan ianya berlegar di sekitar tepat dan betul di dalam percakapan dan perbuatan serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Inilah takrif yang rajih dan ianya seperti yang dihuraikan oleh al-Imam Ibn Jarir al-Tabari di dalam tafsirnya, beliau menyebut bahawa hikmah itu ialah: tepat dan betul di dalam percakapan dan perbuatan.

Oleh itu, terdapat beberapa etika, prinsip dan disiplin yang perlu dititikberatkan oleh para pendakwah agar dakwahnya benar-benar memenuhi maksud hikmah ini. Antara ialah seperti yang telah dihuraikan di dalam buku “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah”:

Etika-etika al-hikmah di dalam dakwah

Pertama: Berikan khabar gembira (al-tabsyir) dan tidak melakukan sesuatu yang menyebabkan orang semakin menjauhi pendakwah (al-tanfir).

Sandaran penting di dalam prinsip yang pertama ini ialah nasihat Rasulullah saw kepada dua orang sahabat yang diutuskan untuk berdakwah di Yaman; Abu Musa al-Asy‘ari dan Muaz bin Jabal: ((Serulah manusia, hendaklah kamu berdua memberi khabar gembira dan jangan melakukan sesuatu yang menjauhkan manusia dari kamu, permudahkanlah dan janganlah kamu menyulitkan sesuatu perkara)).(al-Bukhari & Muslim).

Bagaimana untuk menggembirakan sasaran dakwah kita dan membuatkan mereka minat dengan dakwah yang kita sampaikan? Dua etika yang boleh diamalkan, iaitu:

1) Berlembut di dalam percakapan dan mesra di dalam pergaulan.

Tiada lagi yang lebih jelas di dalam menerangkan etika ini selain daripada saranan Allah swt kepada dua orang rasulNya; Musa dan Harun yang diutuskan bagi menyampaikan dakwah kepada Fir ‘aun: ((Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, berbicaralah dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut)) (surah Taaha: 43-44).

Galakan daripada Rasulullah saw juga banyak, antaranya seperti yang disampaikan oleh A’isyah bahawa Baginda bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya Allah menyukai sikap lemah lembut di dalam semua perkara)) (al-Bukhari & Muslim)

2) Jadikan hadiah pengikat mahabbah.

Hadiah merupakan sesuatu yang dapat menjalin ikatan kasih sayang, kemesraan dan menjauhkan perasaan benci dan buruk di dalam sangkaan. Sebab itulah Nabi saw menyarankan: ((Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana ianya akan menyebabkan kamu saling berkasih sayang)) (al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad).

Nabi saw sendiri ketika peperangan Hunain telah menghadiahkan Safwan bin Umayyah seratus ekor unta, kemudian seratus ekor lagi, kemudian seratus ekor lagi. Lalu Safwan berkata: Demi Allah, Rasulullah saw telah memberikan (hadiah ini) kepadaku dan sesungguhnya dia dahulu adalah manusia yang paling aku benci –sebelum keislaman Safwan-, tidaklah dengan pemberiannya ini sehingga dia menjadi manusia yang paling aku kasihi” (Riwayat Muslim).

Bagaimana pula untuk menjadikan orang ramai tidak menjauhi dakwah kita? Beberapa etika ini perlu diberi perhatian:

1) Elakkan berdepan dengan mereka dengan cara yang tidak disukai; seperti menyebut kesalahan dan menyandarkan kesalahan tersebut kepada mereka atau menyebut nama-nama mereka yang melakukan kesalahan.

Nabi saw jika ingin menegur sesuatu kesalahan atau maksiat, Baginda tidak akan menyebut nama mereka yang melakukan kesalahan tersebut. Perhatikan perkataan yang dipilih dan digunakan oleh Nabi saw: ((Apa kena dengan salah seorang dari kamu yang berdiri mengadap tuhannya, lalu meludah ke arah hadapannya (semasa solat)? Apakah ada di antara kamu semua yang suka jika ada seseorang yang berdiri mengadapnya lalu diludah ke arah mukanya? Jika ada diantara kamu yang ingin meludah, maka hendaklah dia ludah ke arah kirinya ke bawah kaki…)) (al-Bukhari & Muslim)

2) Bersabarlah menghadapi kelemahan dan kesalahan yang ada pada diri mereka, dan jangan suka menghukum di dalam semua perkara.

3) Jauhkan setiap perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan sangka buruk terhadap dakwah, walau pun perkara tersebut adalah harus untuk dilakukan.

Ikutikah contoh hikmah yang ditunjukkan seperti yang diceritakan oleh ‘Aisyah, bahawa Rasulullah saw bertanya kepadanya: ((Apakah kamu tidak tahu yang kaummu telah membina semula ka’bah tidak di atas tapak yang dibina oleh Ibrahim? ‘Aisyah menjawab: Ya Rasulullah, apakah kamu tidak mahu kembalikannya semula di atas tapak yang dibina Ibrahim? Baginda saw menjawab: ((Kalaulah tidak disebabkan kaummu yang masih di atas kekufuran, akan aku lakukannya)) (al-Bukhari & Muslim).

Ibn Hajar berkata: “…melalui hadis ini dapat diambil pengajaran bahawa perlunya untuk meninggalkan perkara yang maslahah (mendatangkan kebaikan) dengan tujuan mengelakkan jatuh ke dalam mafsadah (perkara yang buruk), dan juga tinggalkan urusan mencegah kemungkaran, takut akan jatuh ke dalam kemungkiran yang lebih dahsyat”. (Fath al-Bari 1/225)

Kedua: Permudahkan (al-taysir) dan jangan menyulitkan (al-ta’sir)

Konsep al-taysir ini merupakan prinsip penting di dalam agama. Dalil-dalil al-Quran dan hadis yang mengajak ke arah prinsip ini disebut berulang-ulang kali. Antaranya firman Allah (bermaksud): ((Allah mengkehendaki dari kamu untuk melakukan perkara yang mudah, dan Dia tidak mahu dari kamu perkara yang menyusahkan)) (al-Baqarah: 185). Di dalam ayat yang lain: ((Allah tidak mentaklifkan ke atas setiap diri kecuali apa yang mampu diusahakannya)) (al-baqarah: 286).

Nabi saw juga bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya agama ini mudah)) (al-Bukhari). A’isyah menyatakan bahawa: ((Tidaklah Rasulullah saw diberi pilihan di antara dua perkara kecuali Baginda akan memilih yang paling mudah…)) (al-Bukhari & Muslim).

Muaz bin Jabal pernah ditegur oleh Nabi saw apabila beliau membaca surah al-Baqarah atau al-Nisa’ ketika menjadi imam, kerana ini menyusahkan keadaan makmum. Sabda Nabi saw kepada Muaz: ((Apakah kamu mahu menimbulkan fitnah (diulangi sebanyak 3 kali), Kenapa tidak kamu solat dan membaca surah al-‘A’la, al-Syam dan al-Lail, kerana yang sembahyang di belakang kamu itu ada yang tua, yang lemah dan yang mempunyai urusan masing-masing)) (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Ketiga: Mengkaji dan mengambil kira kesan daripada setiap tindakan.

Kaji terlebih dahulu baik dan buruk setiap tindakan atau ucapan sebelum melakukannya. Bukan semua perkara yang betul itu perlu disegerakan dan bukan semua perkara yang tidak penting boleh ditangguhkan. Semua aspek perlu diambil kira agar wujudnya kesinambungan dakwah. Jangan kerana semangat semata-mata, tapi tiada hikmahnya, akhirnya dakwah tidak ke mana.

Nabi saw telah menunjukkan contoh yang paling baik. Perhatikan beberapa contoh peristiwa berikut yang menggambarkan hikmahnya Baginda saw di dalam dakwah:

1) Nabi saw ketika dalam peringkat dakwah di Mekah –zaman permulaan Islam- menghalang sahabat-sahabatnya daripada bertindak balas dan berperang dengan kaum kafir Quraish walaupun mereka dihina, diseksa dan sehingga diisytiharkan pemboikotan ke atas mereka. Keputusan ini diambil kerana jumlah umat Islam waktu itu masih sedikit dan mereka tidak punyai kekuatan yang cukup. Keburukannya akan lebih besar jika mereka mengambil keputusan untuk membuat serangan balas.

2) Di dalam perjanjian Hudaibiyah, Nabi saw menerima semua syarat yang ditetapkan walaupun pada zahirnya syarat-syarat tersebut seperti menindas umat Islam. Tetapi dengan melihat kesannya, Nabi saw bersetuju. Benar sekali, kesannya jumlah yang masuk Islam semakin ramai selepas itu dan diakhiri dengan kejayaan “Pembukaan Kota Mekah”.

3) Nabi saw amat bersabar dengan tindakan yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul (ketua munafik di Madinah) yang telah menghasut orang Islam dan menimbulkan keraguan terhadap Islam. Boleh sahaja jika Nabi saw mengarahkan supaya dia dibunuh, tetapi memikirkan kesan buruknya yang lebih banyak, maka ia tidak dilakukan. Antara kesan buruk yang Nabi saw ingin elakkan ialah seperti sabda Baginda sendiri: ((…supaya orang ramai tidak bercakap-cakap yang Muhammad membunuh sahabatnya sendiri)) (al-Bukhari).

Keempat: Utamakan prioriti dan yang lebih penting dari yang penting.

Di dalam Islam, bukan semua perkara yang disuruh atau yang menjadi kewajipan itu berada di tahap yang sama. Begitu juga dengan perkara yang dilarang. Maka termasuk di dalam hikmah, seorang pendakwah itu perlu menyusun prioriti dan mengutamakan yang lebih penting dari yang penting, mengikut kesesuaian masa, tempat dan golongan sasarannya. Kaji terlebih dahulu yang manakah perkara: 1) yang penting dan perlu disegerakan, 2)yang penting tetapi tidak perlu disegerakan, 3)yang tidak penting tapi perlu disegerakan, 4)dan yang tidak penting dan tidak perlu disegerakan.

Pertama: Mulakan dengan perkara usul (prinsip) sebelum perkara furu’ (pecahan-pecahan). Maka di dalam Islam, tiada lagi yang lebih utama selain daripada aqidah dan tauhid. Lihat saja dakwah Nabi saw. Selama 13 tahun di Mekah, fokus yang diberikan ialah untuk menanamkan tauhid di dalam jiwa dan menafikan kesyirikan.

Kedua: Beri perhatian yang lebih kepada golongan-golongan penting yang jika golongan ini menerima dakwah kita, kesannya akan lebih besar dan cepat. Tetapi ia tidak bermaksud mengabaikan golongan-golongan biasa. Nabi saw di dalam dakwahnya telah memberikan perhatian yang lebih di dalam dakwahnya terhadap pemimpin-pemimpin kaum Quraish. Nabi saw juga telah berdoa semoga Allah menguatkan Islam dengan Umar al-Khattab atau dengan Abu Jahal bin Hisyam. Allah swt telah memilih Umar al-Khattab. Kenapa Nabi saw berdoa khusus untuk Umar al-Khattab dan Abu Jahal? Ini kerana kedua-duanya merupakan orang penting waktu itu dan jika mereka menerima Islam, kesannya amat hebat sekali. Perkara ini telah terbukti dengan Islamnya Umar al-Khattab.

Kelima: Raikan keadaan golongan sasaran.

Pertama: Kaji dan fahami keadaan semasa dan keadaan sekeliling golongan sasaran.

Bagaimanakah keadaan masyarakat di tempat tersebut. Apakah tahap pendidikan mereka, bagaimana keadaan ekonomi, apakah kecenderongan mereka, apakah masalah yang dihadapi di situ, apakah mazhab yang dianuti, apakah tempat/pusat ajaran yang menyelewang yang wujud di situ dan sebagainya. Ini semua perlu diketahui terlebih dahulu sebelum memulakan dakwah, kerana sudah pasti, lain padang lain juga belalangnya. Lain lubuk lain juga ikannya.

Jadi, pendekatan pendakwah dengan orang kampung tidak sama dengan pendekatan bersama orang-orang bandar. Begitu juga antara orang Islam dengan yang bukan Islam, golongan terpelajar dengan orang-orang biasa. Sebab itu Nabi saw semasa mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman telah menyebutkan ciri-ciri khusus golongan yang akan beliau dakwah. Sabda Nabi saw : ((Sesungguhnya kamu akan berhadapan dengan satu kaum daripada ahli kitab)) (al-Bukhari & Muslim).


Kedua: Raikan perbezaan, minat atau ciri-ciri istimewa setiap individu.

Perkara ini penting kerana ia merupakan “pintu masuk” untuk anda memulakan dakwah, terutamanya dalam dakwah fardiyah (dakwah terhadap individu tertentu). Contohi bagaimana Rasulullah saw telah meraikan ciri-ciri khusus yang ada pada raja Najran yang merupakan seorang Nasrani. Baginda saw telah menulis di dalam suratnya kepada raja tersebut: “Dengan nama Tuhan Ibrahim, Ishak dan Ya’qub daripada Muhammad, pesuruh Allah kepada raja Najran, Islamlah kamu?...)) (Sirah ibn Kathir, 2/310).

Ketiga: Fleksibel di dalam meraikan semua kehendak golongan sasaran dakwah dan menyampaikan dakwah secara berperingkat.

Tetapi ini semua dengan syarat tidak mengabaikan perkara-perkara usul dan rukun di dalam agama. Sebagai contohnya, ketika Basyir bin al-Khusasiyah mengikat janji dengan Islam, beliau meminta kebenaran daripada Nabi saw supaya dia tidak dikenakan kewajipan zakat dan berjihad. Nabi saw menjawab: ((Kalau tidak ada zakat dan jihad, maka dengan apa kamu ingin masuk syurga…)) (Imam Ahmad dan al-Hakim, disahihkan dan dipersetujui oleh al-Zahabiy).

Manakala ketika datang rombongan dari Thaqif datang berjumpa Nabi saw untuk berbai’ah dengan Islam, mereka juga meminta supaya tidak dikenakan zakat dan jihad. Maka Nabi saw menerima permintaan mereka ini. Kemudian, selepas dari itu, Nabi saw menerangkan (kepada sahabat) tentang pendiriannya itu: ((Mereka akan mengeluarkan zakat dan berjihad apabila mereka telah Islam)). (Abu Daud).

Demikianlah sebahagian daripada etika-etika dan prinsip penting yang perlu diberikan perhatian oleh setiap pendakwah supaya dakwahnya memenuhi maksud dan tuntutan al-hikmah. Kadang-kadang manusia bukan tidak mahu menerima yang benar itu sebagai kebenaran, tetapi mereka tidak bersetuju bagaimana kebenaran itu disampaikan. Oleh itu, muhasabah semula dakwah kita selama ini. Semoga konsep al-hikmah ini menjadi salah satu resipi kejayaan dakwah kita.


7 Rabi’ al-Awal 1428,

5.40 pm,

Mekah.

2 comments:

ARISTIONO NUGROHO said...

Hati-hati ketika melihat fakta, perhatikan juga hal dibelakang (dibalik) fakta atau "behind the fact". Boleh jadi merupakan sesuatu yang tepat tindakan pegawai Arab Saudi tersebut, karena hampir tiap hari ia mendapatkan hal serupa.
Ulama di negara-negara Islam-lah yang seharusnya mengajarkan keutamaan Tauhid kepada umat Islam di negara-negara tersebut.
Kita juga perlu mengkritik para ulama di beberapa negara Islam yang sekarang jadi celebrity, hingga dakwahnya hanya sebatas menjual ayat-ayat Allah SWT dengan harga yang murah.
Untuk share silahkan klik http://sosiologidakwah.blogspot.com

PT ISY KARIMA said...

* Pustaka Digital Al Kubro ini terilhami dari beberapa software program Pustaka atau Mausu’ah Digital yang kami dapatkan saat kami menunaikan Ibadah haji tahun 2006 yang lalu. Alhamdulillah kami berkesempatan mengkoleksi berbagai macam software tersebut, baik dalam bentuk CD, DVD ataupun eksternal Hardis. Dengan koleksi tersebut sesampainya ditanah air kami coba pelajari dan cermati, dan kesimpulannya, kami sangat berbahagia sekali karena kami telah mendapatkan gudang samudera ilmu yang amat berharga. Impian untuk memiliki perpustakaan lengkap tercapai sudah. Kami sempat mengkalkulasi jumlah kitab yang ada dalam software tersebut mencapai lebih dari 2500 judul yang terdiri lebih dari 20.000 jilid, Jika judul kitab dalam jumlah tersebut kita beli dalam versi cetaknya, kita butuh dana sekurang kurang 1 Milyar Rupiah.

* Berangkat dari yang tersebut diatas kami berkeinginan kuat kiranya software tersebut bisa di nikmati oleh kaum Muslimin Indonesia, akan tetapi yang menjadi kendala adalah factor bahasa yang tidak semua orang bisa bahasa Arab atau mereka yang bisa bahasa Arabpun belum tentu paham bahasa istilah computer dalam bahasa Arab. Akhirnya kendala tersebut bisa kami atasi dengan cara mengolah ulang interface software ke dalam bahasa Indonesia dan kadang kadang dicampur dengan bahasa Inggris karena tidak memungkinkan di Indonesiakan.



* Software program Pustaka ini dirancang dengan mode opensource sehingga sangat memungkinkan untuk dikembangkan pengguna menjadi pustaka pribadi yang dinamis dan variatif. Oleh karena itu dalam pola distribusi kami paketkan dengan training penggunaan yang insya Allah dengan cara tersebut pengguna bisa memanfaatkan software secara optimal dan maksimal.



* Bagi mereka yang sama sekali tidak paham bahasa Arab kami masukkan program instant translator yang sementara bisa dimanfaatkan dengan cara online link via google/translate. Insya Allah pada versi berikutnya akan kami usahakan secara offline dengan software khusus. Mohon doanya.