Wednesday, August 22, 2007

Laporan - Seminar Pendekatan Ahl Sunnah Wal Jamaah (Aqidah & Syariah)

Alhamdulillah, pada 10 hingga13 Ogos 2007 yang lalu, penulis telah dijemput bersama-sama untuk menyertai Seminar Pendekatan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah –Aqidah & Syariah- yang berlangsung di Hotel Garuda, Medan, Indonesia. Seminar ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Universiti Muhammadiah Sumatera Utara.

Rombongan dari Perlis tiba di Medan pada 10 Ogos 07. Rombongan ini terdiri daripada DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, YAB Menteri Besar Perlis, barisan EXCO kerajaan negeri, SS Dr.Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Kerajaan Negeri), Dato’ Alim Panglima Mat Jahya Hussain (Penasihat Agama), staf-staf dari beberapa jabatan kerajaan negeri, para imam, AJK masjid, JKKK dan penulis bersama tiga rakan lain yang mewakili mahasiswa.

Seminar ini telah menggabungkan para tokoh ilmuan dari dua negera; Malaysia dan Indonesia. Seramai 20 tokoh-tokoh ilmuan telah dijemput sebagai pembentang kertas kerja dan moderator. Mereka terdiri daripada:

Malaysia:

1. YBhg S.S Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

2. Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid

3. Prof. Madya Dr. Mohd Radzi Othman.

4. Datuk Hj.Mohd Nakhaie Ahmad

5. Dato’ Prof Madya Ahmad Jusoh

6. Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

7. Dr. Azwira Abd Aziz

8. Ustaz Rasul Dahri

9. Dr. Juanda Jaya

10. Dr. Abdullah Yaasin

11. Ustaz Abd Rashid Idris

Indonesia:

  1. Dr. Abd Fatah Wibisono
  2. Prof. Dr. Elhamuddin Nasution
  3. Prof.Dr. Asmuni
  4. Dr. Lahmuddin Lubis
  5. Prof. Dr. Elyasa Abu Bakar
  6. Prof. Dr. Syamsul Anuar
  7. Dr. Yuhanar Ilyas
  8. Dr. Faisar Ananda
  9. Dr. Ali Emran Senaga.

Kehadiran para peserta untuk seminar kali ini dianggarkan lebih kurang 700 orang yang terdiri daripada rombongan dari negeri Perlis dan peserta dari Indonesia sendiri.

Majlis Perasmian Pembukaan seminar ini berlangsung pada 10 Julai 2007, jam 8.30 malam. DYTM Tuanku Raja Muda Perlis telah berkenan untuk menyempurnakan perasmian pembukaan ini. Turut berucap pada majlis perasmian ini ialah YAB Menteri Besar Perlis dan wakil Menteri Agama Republik Indonesia.

Selesainya majlis perasmian ini, seminar dimulakan dengan sessi pembentangan kertas kerja 1 yang disampaikan oleh Datuk Hj. Nakhaie bin Ahmad dan Dr. Abd Fatah Wibisono pula bertindak selaku moderator. Kertas kerja pertama ini bertajuk “Pemikiran Fiqh Imam al-Syafie”.

Sessi pertama ini tamat lebih kurang pukul 10.30 malam. Kemudian seminar ditangguhkan sehingga ke esok hari.

Hari kedua

Prof Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abd Majid telah membuka tirai pembentangan pada hari kedua ini dan moderatornya pula ialah Prof Dr. Hj. Elhamudin Nasution. Kertas kerja ke-2 ini bertajuk “Pemikiran Fiqh Abu Hanifah”.

Kemudian, seminar diteruskan dengan pembentangan kertas kerja ke-3 yang bertajuk “Peranan Imam Malik Dalam Mempertahankan Sunnah”. Kertas kerja ini telah disampaikan oleh Ust. Fathul Bari Mat Jahya dan Prof Dr Hj. Asmuni pula ditugaskan sebagai moderator.

Selepas berhenti rehat untuk minum pagi, seminar semakin rancak dengan pembentangan kertas kerja ke-4 yang disampaikan oleh YBhg. SS Dr.Mohd Asri Zainul Abidin. Dr. Hj. Lahmudin Lubis telah diamanahkan sebagai moderator. Kertas kerja ini menyentuh tentang “Imam al-Ghazali dan beberapa kritikan ulamak terhadap karya-karyanya”.

Selesai sahaja pembentangan oleh YBhg SS Dr.Mohd Asri, seminar diteruskan lagi dengan sidang yang kelima. Pada sidang ini, seramai 3 orang pembentang telah digandingkan bersama. Mereka ialah Dr. Azwira Abd Aziz yang membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Pemikiran Sunnah Imam al-Bukhari”, Ustaz Rasul Dahri yang membentangkan tajuk “Fikrah Fiqh Ibn Hanbal” dan Prof Dr. Elyasa Abu Bakar dengan kertas kerjanya yang bertajuk “Peranan Ibn Taimiyah Dalam Membina Agama”. Moderator untuk siding pembentangan ini pula ialah Prof Madya Dr. Mohd Radzi Othman.

Selesai sahaja pembentangan daripada ketiga-ketiga pembentang dan disusuli dengan sessi soal jawab, seminar ditangguhkan sementara waktu untuk berehat,makan tengah hari dan solat.

Sidang sebelah petang yang sepatutnya disambung pada jam 2.30 petang terpaksa dilewatkan kerana menunggu kehadiran para peserta. Namun, suasana dewan pada sessi petang ini agak menyedihkan sedikit kerana kelihatan agak lengang. Pada pandangan penulis, mungkin ramai yang mengambil kesempatan untuk keluar membeli belah atau bagi peserta dari Indonesia, mereka terus pulang ke rumah. Walaubagaimanapun pembentangan kertas kerja yang ke-8 tetap berjalan dengan lancar. Kertas kerja ke-8 ini bertajuk “Pemikiran Fiqh Ibn al-Qayyim al-Jauziah” dan ianya telah disampaikan oleh Prof. Dr. Shamsul Anuar. Manakala Dr. Juanda Jaya pula telah dilantik sebagai moderator. Kemudian, seminar diteruskan dengan pembentangan oleh Dr. Yunahar Ilyas. Kertas kerja ke-9 ini pula berkisar tentang “Pemikiran Tajdid Muhammad bin Abd Wahab”. Moderator untuk sessi ini pula ditugaskan kepada Dr. Abdullah Yaasin.

Selepas seminar berhenti rehat untuk minum petang, sepatutnya seminar akan diteruskan dengan pembentangan kertas kerja yang seterusnya. Tetapi, dengan meraikan beberapa faktor seperti jumlah peserta yang sedikit dan keadaan peserta yang dilihat keletihan setelah sehari suntuk mengikuti pembentangan, pihak penganjur telah mengambilkan keputusan untuk menangguhkan sidang pembentangan ini ke sebelah malam. Di samping itu, ia juga bertujuan memberi peluang kepada para peserta untuk bersiar-siar dan membeli ole-ole dan cenderamata kenangan. Keputusan yang dibuat ini telah disambut baik oleh para peserta yang ada. Penulis juga turut tidak melepaskan peluang ini.

Sidang pembentang pada sebelah malam disambung semula pada jam 8.00 malam. Sidang yang terakhir ini telah menggabungkan dua orang pembentang sekali gus. Dato’ Prof Madya Ahmad Jusoh telah membentangkan tajuk “Pemikiran Abu Hassan al-Ash ‘ari dan Dr. Faisar Ananda selaku moderator. Selepas itu, seminar diteruskan dengan pembentangan kertas kerja terakhir yang telah disampaikan oleh Ustaz Abd Rashid Idris dan moderatornya ialah Dr. Ali Emran Senaga. Kertas kerja ini bertajuk “Pemikiran Imam al-Nawawi”.

Setelah selesai pembentangan semua kertas kerja, majlis diteruskan lagi dengan upacara penutup. Pada majlis penutup ini, YBhg SS Dr. Mohd Asri, Mufti Kerajaan Negeri Perlis, sekali lagi telah dijemput untuk memberikan ulasan dan kesimpulan perdana terhadap seminar kali ini. Turut menyampaikan ucapan ialah wakil daripada Universitas Muhammadiyah sebagai wakil tuan rumah. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan penutup yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perlis. Dengan berakhirnya ucapan ini, maka Seminar Pendekatan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah –Aqidah & Syari ‘ah- secara rasminya telah tamat.

Sebagai tambahan, antara yang menarik -pada pandangan penulis- di seminar kali ini ialah, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis telah mengikuti semua pembentangan kertas kerja yang disampaikan dari hari pertama hingga hari kedua. Seharusnya sikap yang ditunjukkan ini dicontohi oleh pemimpin-pemimpin yang lain. Baginda bukan sekadar datang untuk merasmikan sahaja, tetapi sanggup meluangkan masa untuk menuntut ilmu dengan mendengar pembentangan-pembentangan yang disampaikan oleh para tokoh ilmuan Islam.

Sebaik saja tamatnya seminar, satu rumusan dan ringkasan kertas kerja juga telah berjaya disiapkan. Ringkasan dan rumusan ini telah disiapkan oleh tiga orang panel. Mereka ialah: Prof Madya Mardzuki (UiTM, Perlis), Ust. Sirajudin (Pejabat Mufti Perlis) dan Abd Razak A.Muthalib (Institut Imam al-Syafie (INTIS), Kuala Lumpur).

Hari ketiga

Para peserta dari Malaysia mula berangkat pulang mulai hari secara berperingkat. Terdapat juga sesetengah peserta yang terpaksa pulang keesokan harinya kerana masalah tiket penerbangan. Rombongan penulis sendiri dijadualkan bertolak pulang pada sebelah malam. Jadi, ruang waktu yang ada di sebelah siang ini telah diisi oleh pihak penganjur dengan aktiviti lawatan ke beberapa tempat menarik di sekitar Medan ini.

Tepat jam 10.30 malam, penulis dan rombongan berangkat pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, semestinya seminar kali ini telah memberikan banyak manfaat serta menambahkan ilmu dan pengalaman. Nantikan seminar seterusnya, yang khabarnya akan diadakan di Singapura pula.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan salinan kertas kerja seminar ini, sila muat turun dari link ini:-

http://www.megashare.net/5102860


Yang melaporkan,

Abd al-Razzaq A.Muthalib Ahmad

abdulhaq_alqadahi@yahoo.com

019-266 7025

SHAS Mosque, IIUM.

15 Ogos 2007, 5.30 pm.

No comments: