Tuesday, August 14, 2007

Keberanian Ilmiah Mufti Dituntut

KALAUPUN Muhammad Uthman el-Muhammady (Konspirasi Intelektual Serang Institusi Mufti, Berita Harian, 15 Julai 2007) mahu menobatkan dirinya sebagai pembela institusi mufti tidaklah perlu beliau membangkitkan teori konspirasi dan membuat tuduhan rambang ke Timur dan ke Barat.


Seharusnya dibezakan antara institusi dengan penjawat institusi berkenaan. Dalam
mempertahankan kemurnian dan keagungan sesuatu institusi itu kadangkala kita perlu menegur dan mengkritik penjawatnya.


Sehubungan dengan itu, sayugia dibezakan kritikan terhadap institusi mufti dengan kritikan terhadap penjawat institusi berkenaan.

Kritikan mungkin datang dalam pelbagai bentuk: pertanyaan, ulasan, bangkangan, bahkan pendedahan terhadap kelemahan, kepincangan dan penyelewengan. Namun semua itu tidak boleh sewenang-wenangnya disamakan dengan 'menyerang', yang mengandungi niat mahu merosak, memusnah dan menghapuskan sasaran yang diserang.


Hanya yang buta sejarah dan tamadun Islam saja mempertikaikan kesahihan dan kewajaran institusi mufti serta keperluan umat Islam kepadanya. Oleh itu kita tidak pernah mendengar sesiapapun yang menyeru supaya institusi ini dihapuskan atau dimusnahkan.

Namun, jangan pula kita lupa bahawa institusi yang wujud dalam sebarang tamadun manusia adalah jelmaan sejarah, hasil daripada interaksi manusia dengan persekitaran dan masalah yang timbul daripadanya.

Sebagai buah tangan manusia, sesuatu institusi itu boleh terdedah kepada penyelewengan. Institusi mufti juga tidak terlepas daripada kemungkinan ini. Bahkan Rasulullah SAW dari awal lagi mengingatkan kita mengenai kemungkinan itu ‘yakni apabila golongan yang tidak berkelayakan diamanahkan memimpin dan mentadbir hal ehwal umat Islam. Mereka mengeluarkan fatwa sewenang-wenangnya tanpa ilmu. Akibatnya mereka bukan saja sesat bahkan menyesatkan orang-ramai.’

Justeru, peringatan ini dibuat supaya tindakan sewajarnya diambil bagi mengelakkan keadaan ini daripada berlaku ataupun membetulkan keadaan apabila ia berlaku.

Masalahnya ialah sikap negatif terhadap teguran. Di satu pihak yang langsung tidak pedulikan teguran, manakala di pihak yang lain apabila ditegur sensitif melulu: mudah marah dan merajuk.

Yang mewajarkan kewujudan institusi mufti ialah keperluan kepada seseorang (yang digelar mufti) bagi menjawab persoalan dihadapi masyarakat agar mereka terpelihara daripada kesilapan, sama ada yang berbentuk pemikiran mahupun amalan.

Mufti, ringkasnya, bertanggungjawab memimpin masyarakat mengikuti jalan yang dianjurkan oleh syariat Islam. Menunjuk jalan kepada sekumpulan manusia tentulah tidak boleh disamakan dengan menunjuk jalan kepada haiwan ternakan.

Memimpin manusia memerlukan kebijaksanaan dan keberanian yang bukan kepalang kerana pada manusia juga terhimpun segala sifat kehaiwanan. Di kalangan mereka wujud yang dungu dan degil, ada yang bodoh tetapi patuh, ada yang cerdik tetapi sombong dan tidak boleh diajar, ada yang bijak tetapi salah asuhan, ada yang pandai tetapi keliru.

Satu-satunya unsur yang dikongsi oleh semua mereka ialah akal. Jika gerak-geri haiwan ternakan boleh dikawal dengan tali, gerak-geri manusia dikawal dengan akal-budi. Justeru, golongan mufti sebagai pemimpin masyarakat manusia haruslah terdiri daripada mereka yang tinggi akal budinya serta arif mengenai selok-belok pemikiran manusia.

Seorang mufti, pendek kata, mestilah seorang intelek. Akal adalah prasyarat ilmu dan akal yang sihat berfungsi mengikut lunas tertentu. Lunas inilah yang digariskan dalam disiplin ilmu yang dinamakan logik atau mantiq.

Oleh sebab itu al-Ghazali memulakan perbahasannya mengenai ilmu usul fiqh dengan perbahasan khusus mengenai ilmu ini. Beliau menegaskan sesiapa yang tidak menguasai kaedah berfikir yang betul (seperti digariskan dalam disiplin ilmu mantiq) tidak boleh dipercayai ilmunya kerana kesimpulan yang dibuatnya mungkin tersasar daripada kebenaran.

Kesimpulan mudahnya, seseorang ilmuwan, termasuklah ahli hukum (seperti mufti) hendaklah seseorang yang mahir memberikan takrifan tepat, berupaya berhujah mempertahankan pendapatnya, dan cekap menganalisis hujah dikemukakan terhadapnya.

Mufti boleh diibaratkan sebagai seorang pendekar handal lagi berani, yang sudah membuktikan kepahlawanannya dalam medan perang. Dia cekap membaca gerakan musuh, tangkas mempertahankan diri daripada serangan dan handal pula menyerang balas serta mengalahkan musuhnya.

Kalaulah benar institusi mufti diserang bukankah menjadi tanggungjawab golongan mufti berada di barisan hadapan mempertahankannya? Apa yang pasti ialah mufti bukan diserang secara fizikal tetapi secara intelektual. Sebab itu kita tidak memerlukan seorang ahli gusti sebagai mufti, tetapi seorang yang mempunyai keupayaan intelektual tinggi, serta keberanian yang bukan calang-calang.

Oleh kerana Uthman sudah melantik dirinya sebagai pembela mufti, kita ingin mengetahui apa sebenarnya yang ingin dibela dan daripada ancaman siapa.

Timbul masalah apabila Uthman menggelar golongan yang beliau anggap ‘berkonspirasi menyerang institusi mufti’ sebagai intelektual. Masalah pertama ialah membuktikan wujudnya konspirasi. Masalah kedua ialah berkaitan dengan label 'intelektual' yang digunakan.

Membangkitkan soal konspirasi dan menuduh pengkritik mufti secara rambang sebagai pengikut faham pasca moden tidak memberi apa-apa faedah. Ia adalah cara murahan mengelak daripada menghadapi isu sebenar.

Tuduhan sedemikian sebaliknya boleh memakan diri sendiri. Bagaimana kalau ditanya ‘kenapa pula faham itu yang diterima pengkritik bukan faham-faham yang dianjur oleh mufti? Adakah faham itu lebih benar dan meyakinkan daripada apa yang dianjurkan oleh mufti?

Ataupun sebenarnya mufti sendiri tidak pernah menganjurkan apa-apa faham yang luhur dan bermakna buat panduan masyarakat dalam menghadapi ancaman pemikiran semasa?

Kalau sekadar mahu label-melabel biasa saja mufti sekarang dilabel penguasa gereja zaman pertengahan, zaman yang dikenali sebagai zaman kegelapan. Label ini boleh saja digunakan sekiranya mufti, seperti penguasa gereja yang dimaksudkan itu, mengamalkan tabiat menyandarkan kebenaran kepada kuasa bukan kesahihan hujah.

Kalaupun benar institusi mufti perlukan pembela, ia tidak perlu dibela dengan menghamburkan tuduhan balas dan melabelkan pengkritik dengan gelaran itu dan ini. Ia seperti mengatakan ‘oleh kerana pengkritik adalah penganut faham pasca moden kritikannya terhadap institusi mufti adalah salah’. Ini tentunya tidak memadai dan tidak akan bertahan lama.

Isu sebenar yang tidak disentuh ialah soal keyakinan masyarakat yang semakin meluntur terhadap keupayaan mufti memimpin masyarakat Islam menghadapi tentangan semasa.

Masyarakat mahu mahu melihat mufti sendiri bersilat dalam gelanggang pertarungan ilmiah yang sebenar. Mereka mahu mendengar mufti menjelaskan secara berwibawa cabaran sebenar yang dihadapi pada hari ini, puncanya serta jalan keluar.

Mereka mahu melihat mufti terkehadapan memimpin wacana ilmiah perdana. Mereka mahu melihat keberanian ilmiah untuk dicontohi.

Justeru, mufti tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai pembaca doa pada majlis rasmi atau penceramah pada hari kebesaran Islam. Dan jika mereka menulis, hanyalah buku picisan seperti himpunan doa atau kaedah mengerjakan sembahyang.

Kalau kita benar-benar mahu mempertahankan institusi mufti, perkara pertama yang mesti diubah ialah sikap kita terhadap kritikan, cemuhan, bahkan maki hamun sekalipun. Pada zaman dunia tanpa sempadan ini tiada apa yang boleh dilakukan bagi menyekat penyebaran maklumat, sama ada yang benar mahupun yang palsu.

Tiada gunanya marah, bersedih, kecewa atau berkecil hati terhadap tuduhan dan kecaman yang dilemparkan. Cabaran sebenar zaman teknologi maklumat bukan sekadar bagaimana menggunakan teknologi berkenaan tetapi yang lebih utama ialah memahami kesannya terhadap pemikiran dan budaya hidup manusia.

Md Asham bin Ahmad

Penulis adalah Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

1 comment:

mfrstudio said...

elok renungkan keseluruhan mesej ustaz uthman..
konspirasi intelektual serang institusi mufti