Sunday, May 15, 2005
UPACARA TALQIN MAYAT SESUDAH DIKEBUMIKAN
Analisa dalil dan alasan menurut pertimbangan ilmiah
Oleh: Abd. Rasyid Bin Idris
Dewan Pengajian al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah
SIRI 1
PENDAHULUAN:
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين. وبعد
Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam.Selawat dan salam buat junjungan besar, nabi Muhammad S.A.W.
Topik upacara talqin sesudah pengkebumian adalah suatu isu yang telah mendapat perhatian umat Islam yang prihatin tentang agamanya sejak zaman berzaman. Persoalan yang ditimbulkan ialah: Adakah ia perlu dilakukan? Apakah hukumnya? Kenapa ada seruan supaya meninggalkan amalan ini? Apa akan terjadi kalau ia ditinggalkan?
Telah banyak penulisan berhubung hal ini, sebahagiannya dalam bentuk ilmiah dan banyak juga yang tidak lebih dari lontaran emosi dan permainan sentimen yang sudah tentu membawa kepada terkeluar dari manhaj yang mustaqim. Demikian juga telah disusun buku tentang perjalanan atau kaifiatnya di dalam Bahasa Melayu agar orang ramai -khasnya di
Berhubung isu ini, terdapat dua qaul yang masyhur di kalangan ulama Islam :
i- Mengamalkannya adalah sebahagian daripada sunnah, ia adalah ibadah dan mendapat pahala.
ii- Melakukannya adalah bid'ah (mengada-adakan di dalam urusan agama), ia tertolak bahkan amalan itu termasuk di dalam perkara yang dicela oleh syarak.
Membahaskan isu ini secara terbuka pasti mendapat tentangan dari pelbagai pihak; lantaran ia sudah menjadi amalan yang sebati dalam sebahagian mayarakat Islam di Malaysia. Ia didakwa sebagai amalan yang dipegang oleh al-imam al-Syafi'e dan kononnya beliau telah membahaskan panjang lebar demi mempertahankan amalan ini. Justeru itu, sesiapa yang mempersoalkannya secara terbuka akan ditohmah keluar dari mazhab al-Syafi'e, bahkan terkeluar dari fahaman ahli Sunnah. Selain itu dia juga akan ditohmah menjadi punca perbalahan dan perpecahan di dalam masyarakat.
Tanpa sebarang penjelasan yang konkrit, isu ini akan terus menjadi perbahasan dan bahan perselisihan (selain banyak lagi isu lain seperti: politik kepartian).
Tergamakkah kita membiarkan isu ini berterusan menjadi perbalahan sedangkan Allah telah mengarahkan kita untuk merujuk kepada petunjuk-Nya dan rasulullah S.A.W apabila berlaku perselisihan di kalangan umat. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ُ
Mafhumnya: "maka sekiranya kamu berselisih pendapat dalam sesuatu urusan maka kembalikanlah ia kepada Allah dan ar-rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat" (an-Nisa':59)
Setelah merujuk kepada kedua-dua sumber agung itu, apa yang perlu dilakukan ialah menjunjung tinggi titah perintah dan panduan yang terkandung di dalamnya. Tidak wajar selepas merujuk kepada tunjuk ajar nabi S.A.W, tetapi masih berpegang kepada hawa nafsu dan akal fikiran semata-mata. Justeru itu, Allah S.W.T telah mensyaratkan bahawa ketundukan dan kepatuhan kepada keputusan Nabi S.A.W merupakan syarat keimanan. Firman Allah:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Mafhumnya: "dan tidaklah demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hinggalah mereka berhukum denganmu (Muhammad) di dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak mendapati kesempitan dalam diri mereka dari apa yang telah engkau putuskan, dan mereka menyerah dengan sebenar-benar penyerahan" (an-Nisa':65)
Jadi, apakah panduan syarak berhubung hal ini? Apakah sebenarnya pendirian para ulama muktabar berhubung isu talqin ini? Benarkah dakwaan yang menyatakan bahawa al-Imam al-Syafi'e telah menerangkannya dengan panjang lebar atau benarkah dakwaan bahawa isu ini hanyalah perkara khilafiah yang tidak perlu diperbesarkan? Justeru itu, tulisan ini
KAIFIAT TALQIN DAN PERLAKSANAANNYA:
Sebelum kita mencapai keputusan terhadap upacara ini wajar diteliti kaifiat dan perlaksanaan talqin sesudah pengkebumian. Di
i- Talqin Melayu oleh Hj. Abdul Hadi Kamil. Cetakan tanpa tarikh.
ii- Mastika Hadith (jilid 2) oleh: Syeikh Abdullah Bin Muhammad Ba Samieh. Cetakan Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri,
iii- Pengalaman-pengalaman peribadi ketika menghadiri beberapa pengkebumian sebilangan ahli keluarga.
Berdasarkan sumber-sumber tadi bolehlah dibahagikan upacara tersebut kepada 4 bahagian, 2 adalah isi talqin dan yang baki pelengkapnya:
i- Bacaan beberapa surah daripada al-Quran. Antara yang sering dibaca ialah surah Yasin, al-Insan, al-Waqi'ah dan al-Mulk.
ii- Khutbah dan dan tazkirah. Terkandung di dalamnya pujian-pujian kepada Allah dan peringatan daripada ayat-ayat al-Quran bahawa hanya Allah sahaja yang kekal sedangkan setiap jiwa pasti merasai mati. Selain itu yang paling penting terdapat seruan kepada si mati agar tetap teguh berpegang dengan tauhid dan sentiasa tenang ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh malaikat Munkar dan Nakir. Justeru itu diajarkan kepadanya soalan-soalan seperti: Siapa tuhanmu? Siapa nabimu? Apa agamamu? Apa kiblatmu? Siapa saudaramu? dan lain-lain yang bakal dikemukakan oleh malaikat tersebut beserta dengan jawapannya sekali.
iii- Doa yang panjang. Diucapkan selamat tinggal kepada si mati. Dipohonkan daripada Allah agar diberi rahmat kepadanya, diringankan daripada cubaan alam kubur dan sebagainya.
iv- Sebelum bersurai, biasanya hadirin akan membaca al-Quran (al-Fatihah dan lain-lain) secara berjemaah, bertahlil arwah dan diakhiri dengan doa semoga si mati, muslimin dan muslimat (yang hidup atau yang sudah meninggal) mendapat keselamatan dan kesejahteraan. (Rujuk: Abdullah Bin Muhammad Ba Samieh. Mastika Hadith (2/387), ctk. Bahagian Agama JPM:
HUJAH DAN ALASAN TERHADAP AMALAN INI:
Tidak keterlaluan kalau dikatakan, ramai di kalangan mereka yang mengamalkan talqin ini tidak mengetahui asal-usul apatah lagi dalil dan hujah yang menyokong dakwaan: talqin adalah sunnah dan ibadah yang terpuji, ia amalan mazhab kita Syafi'e. Sebaliknya mereka benar-benar berpandukan kepada apa yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat dan orang-orang yang terdahulu. Ia sekadar dakwaan, cakap-cakap orang dan amalan 'orang tua-tua' yang tidak boleh ditegur.
Untuk itu, di sini dikemukakan dalil-dalil yang menjadi sandaran kepada amalan ini supaya mereka yang mengamalkannya tidak lagi meraba-raba di dalam kegelapan:
1- Daripada Abi Umamah al-Bahili r.a, dia berkata:
إذا متّ فاصنعوا بي كما أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نصنع بموتانا، أمرنا رسول الله فقال: "إذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب على قبره فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل يا فلان بن فلانة فإنه يسمعه ولا يجيب، ثم يقول يا فلان ابن فلانة فإنه يستوي قاعدا، ثم يقول يا فلان بن فلانة فإنه يقول: أرشدنا يرحمك الله، ولكن لا تشعرون. فليقل اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا عبده ورسوله، وأنك رضيت بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد نبيا وبالقرآن إماما، فإن منكرا ونكيرا يأخذ واحد منهم بيد صاحبه ويقول: انطلق بنا ما نقعد عند من قد لقن حجته، فيكون الله حجيجه دونهما"، فقال رجل: يا رسول الله فإن لم يعرف أمه؟ قال: "فينسبه إلى حواء، يا فلان بن حواء!"
"Apabila aku mati, buatlah kepadaku seperti yang telah diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita (umat Islam) supaya kita lakukan kepada orang-orang kita yang mati. Rasulullah S.A.W mengarahkan kita, sabdanya: ( Apabila salah seorang dari saudara-saudaramu mati, lalu kamu ratakan tanah di atas kuburnya (kebumikan dia), maka hendaklah salah seorang dari kamu berdiri di kepala kuburnya, kemudian serulah: Wahai fulan Bin fulanah (sebut nama ibunya), maka si mati akan mendengar seruan itu tetapi ia tidak menjawab. Kemudian hendaklah diserukan sekali lagi dengan berkata: Wahai fulan Bin Fulanah, maka pada saat itu si mati akan bangun (dari perbaringan untuk) duduk. Kemudian hendaklah diserukan lagi (buat kali ke 3), maka si mati akan menyahut seraya berkata: "berilah daku peringatan semoga Allah merahmatimu". Si mati akan berkata demikian tetapi kamu tidak menyedari. Kemudian hendaklah orang yang menyeru itu berkata: "Ingatlah saudaraku akan i'tikad tauhid yang menjadi peganganmu di dunia dahulu iaitu dua kalimah syahadah: bahwasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahwasanya Nabi Muhammad S.A.W ialah hamba dan pesuruh-Nya, dan bahawa engkau telah reda Allah sebagai tuhanmu, Islam sebagai agamamu, Muhammad sebagai nabimu dan al-Quran sebagai imammu (petunjukmu)". Lantaran itu Munkar dan Nakir saling memegang tangan satu sama lain lantas berkata: "Marilah kita pergi dari orang yang telah diajarkan hujah-hujahnya", maka Allah yang menjadi hujahnya terhadap dua malaikat itu. Seorang lelaki bertanya: "Ya Rasulullah! Jika tidak diketahui nama ibunya (untuk dibinkan)? Jawab baginda S.A.W: "Nasabkanlah dia kepada Hawa (isteri nabi Adam a.s), wahai Fulan Bin Hawa!" (H.R al-Tabrani di dalam al-Mu'jam al-Kabir)
Al-Haithami memberikan komentar dengan katanya: Di dalam isnadnya terdapat sekumpulan orang yang aku tidak kenali) (Lihat: al-Haithami. Majma' al-Zawa'id wa Manba' al-Fawa'id. (3/42), Bab: Talqin mayat selepas pengkebumian. Kaherah: Dar al-Rayyan li al-Turath, tanpa tarikh.)
2- Daripada Dhamrah Bin Habib -seorang daripada tabi'in- katanya:
كانوا يستحبون إذا سوي على الميت قبره، وانصرف الناس عنه، أن يقال: يا فلان! قل: لا إله إلا الله -ثلاث مرات-، يا فلان! قل: ربي الله وديني الإسلام، ونبيي محمد.
Mereka (para sahabat nabi S.A.W) r.a menyukai supaya apabila mayat dikebumikan dan orang ramai (hendak) beredar, diserukan di sisi kuburnya: "Wahai fulan! Sebutlah: La ilaha illaLlah (tiga kali), wahai fulan! Sebutlah: tuhanku ialah Allah, agamaku ialah Islam dan nabiku ialah Muhammad". (H.R. Said Bin Mansur secara mauquf). (Rujuk: al-Bassam, Abdullah Abd. Al-Rahman. Tawdih al-Ahkam min Bulugh al-Maram. (3/252-253), Makkah al-Mukarramah: Maktabah al-Asadi, ctk 5, 2003M)
3- Daripada 'Uthman Bin 'Affan, ia berkata:
كان رسول الله (ص) إذا فرغ من دفن الميت وقف عليه وقال: "استغفروا لأخيكم، واسألوا له التثبيت، فإنه الآن يسأل
Adapun Rasulullah S.A.W apabila selesai daripada mengkebumikan mayat, baginda akan berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda: "mohonlah keampunan untuk saudara kamu sekelian dan mohonlah agar dia tetap teguh; sesungguhnya sekarang ini dia sedang disoal". (H.R Abu Daud dan disahihkan oleh al-Hakim). (Lihat: al-San'ani, Muhammad Bin Ismail. Subul al-Salam (2/178),
4- Hadith al-Bara' Bin 'Azib yang panjang di mana beliau telah mengikuti nabi S.A.W menghadiri pengkebumian, lalu baginda mengarahkan hadirin agar memohon perlindungan Allah daripada azab kubur. Seterusnya baginda menerangkan kepada hadirin tentang kedatangan dua malaikat yang akan menanyakan beberapa soalan. Baginda juga menerangkan tentang keadaan orang soleh yang akan dapat menjawabnya sedangkan orang jahat amalannya akan gagal menjawab soalan-soalan tersebut. (H.R Ahmad)
Kata al-Haithami: rijalnya adalah rijal al-sahih. Hadith yang hampir serupa menerangkan tentang soalan kubur turut diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bazzar daripada Abi Sa'id al-Khudri. Kata al-Haithami : rijalnya rijal al-sahih. (Lihat: Majma' al-Zawaid (3/49 dan 47))
5- Terdapat satu lagi hadith yang turut disandarkan hujah sedangkan ia tiada kena-mengena dengan topik, iaitu: daripada: Talqinkanlah (Ajarkanlah) orang hampir mati di kalangan kamu: La ilaha illaLlah. Hadith ini langsung tidak menyentuh perbuatan selepas pengkebumian sebaliknya cuma mengarahkan agar diajar orang sedang menghadapi maut mengucapkan kalimah tauhid tersebut. Tujuannya ialah supaya akhir perkataan yang dilafazkan sebelum menghembus nafas ialah kalimah itu sendiri.
6- Ia merupakan amalan ahli Syam. (Al-Nawawi. Fatawa al-Nawawi (m.s 4,
7- Firman Allah S.W.T:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Mafhumnya: " dan bertolong-tolonglah kamu di dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan". (al-Maidah:2)
Ayat itu menjelaskan arahan Allah untuk bertolong-tolongan, namun ia tidak menghadkan hanya kepada orang yang hidup. Oleh demikian, ia juga boleh dilakukan terhadap orang yang sudah mati. Peringatan kepada sesama manusia adalah sebahagian daripada perbuatan tolong menolong yang dituntut. Apatah lagi dalam keadaan genting seumpama itu -menanti masa untuk disoal- bantuan sangat diperlukan oleh si mati. Apakah lagi yang lebih diperlukan oleh orang yang menunggu soalan-soalan Munkar dan Nakir? Sudah tentu tunjuk ajar dan panduan terhadap bagaimana menangani soalan kedua malaikat itu yang paling sesuai dan diharapkan.
TUJUAN TALQIN:
Berdasarkan pengamatan dan hujah-hujah yang dikemukakan dapat disimpul bahawa tujuan si mati itu ditalqinkan adalah seperti berikut:
1- Perbuatan talqin tersebut adalah di antara usaha yang terakhir yang boleh dilakukan oleh mereka yang masih hidup untuk membantu yang telah mati. Ini sudah tentu termasuk di dalam bab: 'bertolong-tolonglah kamu di dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan'. Oleh itu soalan-soalan dan jawapan diperdengarkan kepada si mati mudah-mudahan dapat membantunya menjawab pertanyaan malaikat dengan tenang.
2- Selain itu, ia juga merupakan tazkirah kepada mereka yang menghadiri upacara pengkebumian itu. Justeru itu, amat wajar bacaan talqin itu dilangsungkan di dalam Bahasa Melayu atau bahasa yang difahami oleh hadirin. Tujuan ini sering diungkapkan khususnya apabila persoalan: Adakah mayat mendengar? Bagi mengelakkan perbahasan panjang tentang isu ini, lalu mungkin mengakibatkan tujuan pertama dipertikaikan sekaligus menggugat amalan talqin itu sendiri, maka tujuan kedua ini diutarakan.
3- Berdasarkan hadith 'Uthman, jelas menunjukkan bahawa di antara tujuan utama talqin ialah untuk mendoakan si mati. Justeru di dalam upacara talqin ia sarat dengan doa memohon rahmat dan keampunan Allah bagi si mati. Adapun doa bermanafaat untuk si mati adalah suatu perkara yang diijmakkan oleh para ulama. Ia dituntut oleh syarak. Ayat al-Quran dan hadith-hadith yang sahih banyak menyatakan hal ini. Oleh kerana ia suatu yang disepakati, penulis tidak menurunkan dalil-dalilnya bagi mengelakkan risalah ini menjadi lebih panjang. Sementelah pula ia bukan tujuan risalah ini.
[b]HUKUMNYA:
Berasaskan kepada dalil-dalil dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka sebilangan ulama khususnya di kalangan mazhab as-Syafi'e (ulama al-Syafi'iyyah) menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat. Sungguhpun begitu ia hanya sunat kepada mayat yang sudah mukallaf atau baligh. Ia tidak disunatkan bagi kanak-kanak kerana ia tidak disoal oleh malaikat Munkar dan Nakir. (Rujuk: al-Khatib al-Syarbini. Al-Iqna' fi Hill Lafz Abi Syuja' (1/183),
ULASAN DAN JAWAPAN TERHADAP HUJAH DAN TUJUANNYA:
Selepas mengemukakan dalil dan hujah serta tujuan talqin ini dilakukan bahkan dipertahankan bermati-matian. Wajar untuk kita mengetahui sejauhmanakah kukuhnya perkara-perkara tersebut menurut pertimbangan syara' dan secara ilmiah. Perkara asas yang perlu ditegaskan ialah apabila membahaskan soal hadith, tentu sahaja ulasan ulama hadith yang lebih diambil berat. Apabila ia melibatkan sumber istinbat hukum, maka perkataan ulama Usul Fiqh yang akan diutarakan. Tidak ada tempat untuk sentimen atau hujah emosi, mimpi atau seumpamanya.
Ulasan Pertama:
Hadith Abi Umamah itu telah diberi komen oleh para muhaddithin, di antaranya:
i- Kata al-Nawawi: "ia adalah sebuah hadith dha'if, tetapi diterima." (Fatawi al-Imam al-Nawawi, (m.s 4.)
ii- Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula: "maka ia adalah sebuah hadith yang tidak sahih marfu'nya". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Zad al-Ma'ad fi Hadyi Khayri al-'Ibad (1/523).
Al-San'ani turut menukilkan perkataan Ibn al-Qayyim dalam memberikan komentar terhadap hadith ini dengan katanya: "Sesungguhnya hadith talqin ini, tidak syak bagi seorang yang mengetahui (ilmu) hadith, tentang kepalsuannya." (Subul al-Salam (2/180).)
iii- Ibn Hajar al-'Asqalani berkata: إسناده صالح "isnadnya (sandarannya) soleh (baik) dan ia dikuatkan oleh al-Dhiya' dalam (kitab) Ahkamnya". (Al-'Asqalani, Ibn Hajar. Talkhis al-Habir.Madinah Munawwarah ctk. 1964M.)
Namun beliau sekali lagi mengulas hadith ini dengan katanya: "…sebuah hadith yang gharib, manakala sanad hadith dari kedua-dua tariq (jalan periwayatan) sangat lemah." (Ibn Hajar al-'Asqalani. Amali al-Azkar. Dinukilkan daripada nota kaki Zad al-Ma'ad oleh pentahqiqnya- Syu'aib al-Arnaut- (1/523).)
iv- Al-Syaukani mengatakan bahawa: "di dalam isnadnya terdapat 'Asim Bin Abdullah, dia dha'if". (Al-Syaukani. Naili al-Autar. (4/139),
v- Al-Albani memberikan komen, katanya: "ia (hadith) munkar di sisiku, kalaupun tidak palsu." (Al-Albani. Silsilah al-Ahadith al-Dha'ifah wa al-Maudhu'ah. (2/64).
Persoalan yang timbul ialah:
i- Hadith ini disebut oleh Ibn Hajar sebagai إسناده صالح "sandarannya elok". Ini menimbulkan sangkaan bahawa hadith ini sahih dan boleh dibuat hujah.
ii- Hadith ini terangkat menjadi حسن لغيره hasan lighairihi lantaran ada hadith-hadith lain yang menguatkannya.
iii- Sekalipun hadith ini pada kedudukan dha'if, namun ia boleh digunakan dalam urusan فضائل الأعمال Fadhail al-A'mal (kelebihan amalan).
iv- Di antara usul mazhab Ahmad Bin Hanbal ialah mengambil riwayat mursal dan dha'if serta mengutamakannya daripada qias manusia.
Di sini dihuraikan satu persatu persoalan-persoalan tersebut.
Pertama:
Menghukum sesuatu hadith itu sebagai sahih bukan sekadar bergantung kepada sanadnya sahaja. Matan hadith turut dinilai bagi menentukan kesahihannya.
Dalam hal ini, apabila muhaddithin (termasuk Ibn Hajar) menyatakan sesuatu hadith itu sebagai صحيح الإسناد "sahih sandarannya atau sanadnya" atau حسن الإسناد "sanadnya hasan", tanpa menyatakan hadith itu sahih atau hasan, menunjukkan bahawa kemungkinan terdapat 'illah (kecacatan) atau syaz (keganjilan) pada matannya atau mungkin juga pada sanad itu sendiri. Ini kerana seorang muhaddith itu tidak akan mengenepikan istilah : sahih atau hasan kepada istilah : sanadnya sahih atau seumpamanya melainkan dia melihat terdapat sesuatu padanya." (Ibn Hajar al-'Asqalani, dinukilkan daripada Tohir al-Jaza'iri. Taujih al-Nazar ila Usul al-Athar. (1/376),
Berhubung sanad hadith Abi Umamah ini telah dinyatakan ulasan al-Haithami bahawa di dalamnya terdapat sebilangan yang tidak beliau kenali. Ibn Hajar juga turut menegaskan bahawa kedua-dua jalan hadith ini lemah. Justeru itu, ia memberikan lebih penjelasan terhadap pendirian sebenar beliau.
Di sudut matannya jelas terdapat frasa yang sangat meragukan bahawa ia datang dari nabi S.A.W. Bagaimana mungkin Munkar dan Nakir mengambil tindakan tidak menyoal orang yang mati semata-mata kerana ia telah diajarkan soalan dan jawapan bocor! Kalau ini berlaku, nescaya tiada siapa yang akan disoal oleh mereka di
يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Mafhumnya: " Mereka (para malaikat) takutkan Tuhan mereka dari atas mereka, dan mereka melaksanankan apa yang diperintahkan kepada mereka". (an-Nahl:50)
Hadith 'Uthman Bin 'Affan jelas menunjukkan keadaan sebaliknya. Mayat itu disoal sedangkan nabi masih di perkuburan. Kalau mayat tidak disoal dek kerana talqin tentu lebih baik nabi S.A.W ajarkan sahaja soalan dan jawapan bocor itu. Tetapi yang didapati dari hadith 'Uthman itu ialah nabi S.A.W hanya mengarahkan para sahabat berdoa untuk si mati. Melengahkan pengajaran di waktu keperluan adalah suatu yang mustahil bagi sifat risalah rasulullah.
Selain itu, dalam hadith ini menjelaskan bahawa nabi S.A.W mengarahkan agar si mati itu dinasabkan kepada ibunya. Jika tidak diketahui namanya, hendaklah dinisbahkan kepada Hawa (isteri nabi Adam a.s). Ini jelas bertentangan dengan hadith yang lebih kuat iaitu daripada Ibn 'Umar r.a dari nabi S.A.W sabdanya:
size=18]الغادر يرفع له لواء يوم القيامة يقال له هذه غدرة فلان بن فلان[/size]
"Pembelot akan diangkat baginya panji-panji pada hari Kiamat, dikatakan kepadanya: ini adalah pembelotan Fulan Bin Fulan (bapanya)". (H.R al-Bukhari)
Al-Bukhari meletakkan hadith ini di bawah bab: Manusia diseru dengan dinasab kepada bapanya. Justeru itu Ibn al-Qayyim menolak pendapat yang menyatakan bahawa manusia akan dibinkan kepada ibunya. Beliau menyatakan bahawa hadith Abi Umamah itu disepakati akan kedha'ifannya, jadi tidak boleh didirikan hujah dengannya. Sementelah pula ia menyanggahi hadith yang lebih sahih (hadith Ibn 'Umar tadi). (Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Hasyiah Ibn al-Qayyim (13/199),
Justeru itu, hadith ini mengandungi 2 percanggahan yang ketara dengan nas yang lebih kukuh iaitu: tentang malaikat yang tidak menyoal si mati dan mayat dipanggil dengan nama ibunya selepas mati. Disebabkan percanggahan di antara kata-kata itu dengan fakta yang thabit dari nas al-Quran dan hadith yang sahih ditambah pula sanadnya yang lemah; para muhaddithin menghukum hadith Abi Umamah ini sebagai munkar, gharib, sangat lemah bahkan palsu.
Kedua:
Hadith ini tidak mungkin boleh naik ke martabat hasan lighairihi. Ini kerana beberapa sebab:
i- Syarat untuk hadith dha'if dinaikkan menjadi hasan lighairihi mestilah tidak terlalu dha'if dan tiada kecacatan ataupun keganjilan (tidak meyalahi nas yang lebih kukuh).Sedangkan hadith ini ada keganjilan pada matannya, bahkan ia lebih sesuai dihukum palsu. Hadith palsu tidak mungkin terangkat menjadi hasan.
ii- Hadith-hadith lain yang kononnya mengukuhkan hadith ini tidak lebih daripada riwayat-riwayat maqtu'at (terputus) dan mauqufat (terhenti setakat sahabat). Sedangkan hadith yang sahih seperti hadith 'Uthman tidak menggambarkan apa yang terkandung di dalamnya. Hadith 'Uthman tentang doa. Begitu juga hadith al-Bara' Bin 'Azib hanya menggambarkan tentang beberapa soalan (termasuk soalan-soalan itu) dan kemampuan mayat menjawabnya adalah berdasarkan keadaannya di dunia. Sedangkan hadith Abi Umamah adalah tentang soalan dan jawapan ramalan. Ia berbeza dari hadith 'Uthman dan al-Bara' . Justeru itu Ahmad Bin Hanbal menyatakan: "Aku tidak melihat sesiapapun melakukannya melainkan ahli Syam ketika kematian Abu al-Mughirah.(Subul al-Salam (2/180).)
Ketiga:
Pandangan pertama:
Ia tidak diamalkan secara mutlak. Tidak dalam hukum hakam dan tidak juga dalam Fadha'il (kelebihan). Ini adalah pegangan Yahya Bin Ma'in, al-Bukhari, Muslim dan Ibn Hazm.
Pandangan kedua:
Ia boleh diamalkan secara mutlak. Kata al-Suyuti: Ini pendapat Abu Daud dan Ahmad; kerana mereka melihat bahawa ia lebih kuat daripada pendapat manusia. Menisbahkan pegangan ini kepada al-Imam Ahmad Bin Hanbal adalah tidak tepat, ia akan dibincangkan pada tempatnya.
Pandangan ketiga:
Ia boleh diamalkan dalam bab fadha'il dengan syarat ia tidak membabitkan soal mengithbat hukum seperti halal atau haram, wajib, sunat, makruh atau seumpamanya. Jika ia berkaitan dengan galakan dan ancaman, dosa dan pahala, maka dilonggarkan syarat periwayatannya.
Sebilangan muhaddithin memperincikan lagi syarat-syarat mengambil hadith dha'if iaitu: (Rujuk: Tohir al-Jazairi. Taujih al-Nazar. (1/653) dan Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan. Thaqafah al-Da'iyah. (m.s 43),Kaherah: Dar al-Salam, ctk 4, 1993M.)
i- ia tidak terlalu dha'if atau hampir kepada palsu.
ii- Ia berjalan di atas sesuatu yang syar'ie yang diamalkan berdasarkan nas al-Quran atau al-sunnah yang sahih.
iii- Hendaklah tidak beri'tiqad ketika bersandar kepadanya (hadith dha'if) bahawa thabit dari nabi S.A.W.
Dalam hal hadith Abi Umamah ini, ia langsung tidak mengenai mana-mana satu daripada syarat yang dinyatakan. Justeru itu kita dapati al-Muti'ie ketika memberi komentar terhadap perkataan al-Nawawi berkata:
" ولا يقوم الضعيف حجة لثبوت الأحكام فضلا عن أمر تعم به البلوى…مثل هذه الأحاديث التي تبلغ في وهنها حد الوضع، وسؤال التثبيت ليس من قبل التلقين، وإنما هو من قبيل الدعاء له بالثبات واليقين
" dan hadith dha'if tidak boleh menjadi hujah bagi mengithbatkan hukum hakam apatah lagi suatu perkara yang menjadi umum al-balwa (sepatutnya menjadi pengetahuan umum)…seperti hadith-hadith ini (bab talqin mayat) yang mana kelemahannya mencapai tahap palsu. Adapun doa (supaya) tetap teguh -dalam hadith 'Uthman- bukan talqin, ia adalah doa agar si mati tetap dan yakin". (Lihat: Al-Muti'ie, komentar kepada Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab. (5/274-275))
Keempat:
Sangkaan bahawa al-Imam Ahmad mengutamakan hadith dha'if daripada pendapat manusia, adalah tidak tepat. Beliau sama sekali tidak memaksudkannya dengan hadith al-dhaif al-matruk (lemah lagi ditinggalkan). Ini kerana hadith dha'if di sisinya terdapat beberapa peringkat. Justeru yang beliau maksudkan ialah hadith hasan seperti hadith 'Amru Bin Syu'aib dari bapanya dari datuknya dan seumpamanya.
Ini jelas lantaran di zaman Ahmad Bin Hanbal istilah hadith hasan yang mertabatnya kurang sedikit daripada hadith sahih (namun kedua-dua kategori ini dijadikan hujah syara') belum diperkenalkan. Ia hanya muncul selepas kemunculan al-Tirmizi. Sedangkan dha'if itu pula dibahagikan kepada dha'if yang ditinggalkan (ditolak dan tidak diriwayatkan) dan dha'if yang tidak ditolak. (Lihat: Ibn Taimiyyah, Ahmad Bin Abd. Al-Halim. Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, (4/341), Muassasah Qurtubah, ctk 1, 1406H dan Al-Asyqar, Dr. Umar Sulaiman. Al-Madkhal ila Dirasah al-Madaris wa al-Mazahib al-Fiqhiyyah, (m.s 155), Jordan: Dar al-Nafa'is, ctk 1, 1996M.)
Malangnya orang yang tidak mengetahui perkara ini menyangka bahawa Ahmad Bin Hanbal menggunakan hadith yang didha'ifkan oleh muhaddithin seperti al-Tirmizi dan lainnya sebagai hujah syarak.
…bersambung ke SIRI 2
UPACARA TALQIN MAYAT SESUDAH DIKEBUMIKAN
Analisa dalil dan alasan menurut pertimbangan ilmiah
Oleh: Abd. Rasyid Bin Idris
Dewan Pengajian al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah
SIRI 2
…sambungan dari SIRI 1
Ulasan kedua:
Hadith atau athar Dhamrah Bin Habib itu adalah maqtu' (terputus sanad) dan terhenti setakat beliau sahaja. Kata al-Iraqi dan al-Nawawi: Isnadnya dha'if. Kata Ibn al-Qayyim: tidak sahih. Kata al-Bassam: Athar ini dha'if, tidak boleh didirikan hujah dengannya, ia kembar kepada hadith Abi Umamah pada maknanya dan pada kedha'ifannya. (Rujuk: al-Bassam. Tawdih al-Ahkam min Bulugh al-Maram. (3/252-253))
Sekali lagi ditekankan bahawa hadith dha'if tidak dijadikan hujah untuk syariat juga tidak untuk mengithbatkan sesuatu amalan. Bahkan beramal dengannya boleh dikategorikan sebagai bid'ah yang tercela.
Ulasan ketiga:
Hadith 'Uthman Bin 'Affan itu sahih. Oleh demikian, berdoa kepada si mati selepas dikebumikan adalah lanjutan daripada doa untuknya di dalam solat janazah. Doa untuk mayat thabit melalui kitab, sunnah dan ijma'. Bahkan ia juga amalan dibezakan di antara kubur seorang muslim dengan seorang munafiq. Firman Allah S.W.T tentang golongan munafiqin:
Mafhumnya: "Jangan sekali-kali kamu solat ke atas seorangpun yang mati dari kalangan merekan jangan kamu berdiri di sisi kuburnya…" (al-Taubah:9)
Kata al-Sabuni: :"…jangan berdiri di kuburnya: untuk mengkebumikannya atau untuk menziarahi dan mendoakannya". (Al-Sobuni, Muhammad 'Ali. Sofwat al-Tafasir, (1/515),
Sebenarnya menyamakan perbuatan berdoa untuk si mati dengan upacara talqin yang diamalkan masyarakat kita adalah tidak benar. Nabi hanya mengarahkan berdoa tanpa sebarang upacara tambahan dan ia dilakukan secara fardi (masing-masing). Baginda tidak menyuruh dan tidak mengajar untuk berdoa secara berjamaah di situ seperti yang diamalkan.
Begitu juga tindakan menyandarkan atau menisbahkan amalan ini kepada ulama-ulama tertentu atau kepada mazhab Syafi'e adalah tidak tepat. Tiada perkataan al-Imam al-Syafi'e yang menyeru kepada amalan ini. Begitu juga Syeikh Zakaria al-Ansari umpamanya hanya menyatakan sunat supaya sebilangan manusia berdiri di sisi kubur, lalu mendoakannya (Zakaria al-Ansari. Fath al-Wahhab. (1/100), Dar al-Fikr, tanpa tarikh). Beliau tidak pula menyatakan upacara seperti mana yang diamalkan di
Ulasan keempat:
Hadith al-Bara' Bin 'Azib juga sahih. Tetapi ia juga seperti hadith 'Uthman sama sekali tidak menunjukkan kepada kaifiat talqin yang diamalkan. Nabi menerangkan tentang soalan yang bakal disoal tetapi baginda juga menjelaskan keadaan si mati berdasarkan iman dan taatnya. Tidak diajarkan jawapan kepadanya kerana ia tidak bermanafaat. Selain itu boleh difahami bahawa nabi S.A.W mengingatkan para sahabat yang hadir agar menginsafi suasana pengkebumian. Ia adalah waktu untuk rasa gerun terhadap hidup di alam barzakh dan khusyuk membuat persediaan yang rapi menghadapi soal Munkar dan Nakir. Ia hanya tazkirah untuk orang hidup bukan ajaran untuk si mati.
Di sini ia seolah-olah mengiyakan dakwaan bahawa talqin dilakukan untuk menginsafkan yang hidup. Malangnya, secara jujur bila diteliti kandungan khutbah talqin, kalimah-kalimah yang digunakan jelas ditujukan untuk si mati. Hanya sebahagian sahaja yang diserukan kepada hadirin. Jadi sebenarnya ia untuk siapa? Lisan al-hal menjelaskan bahawa ia memang ditujukan kepada si mati. Peringatan untuk yang hidup hanya tempelan sahaja.
Ulasan kelima:
Tidak terdapat di dalam mana-mana aliran mazhab Fiqh atau Usul Fiqh yang menyatakan bahawa amalan ahli Syam menjadi hujah syara'. Apa yang ada dalam perbahasan para Fuqaha' ialah tentang amalan ahli Madinah, bukan ahli Makkah atau Yaman atau Syam atau yang lain-lain. Ini kerana orang Madinah hidup bersama-sama para sahabat r.a yang menerima ajaran langsung dari baginda S.A.W. Baginda sendiri wafat di situ dan kebanyakan hidup baginda sebagai rasul adalah di
Justeru kita dapati al-Imam Malik Bin Anas meletakkan amal ahli Madinah di tangga ke empat di dalam sumber istinbat hukum mazhabnya. Terdapat juga kecenderungan kalangan ulama di luar mazhab Maliki untuk menyokong hal ini. Namun jumhur ulama tidak meletakkannya sebagai hujah bahkan mengengkarinya. Kalau ini berlaku kepada amal ahli Madinah, tentu sahaja amal ahli Syam lebih tidak boleh dijadikan rujukan dan ukuran kebenaran.
Jadi, menyandarkan kesyar'ian sesuatu urusan berdasarkan kepada amalan penduduk tempat-tempat tertentu (dikecualikan Madinah yang khilaf di kalangan ulama) adalah bercanggah dengan manhaj yang mustaqim.
Ulasan keenam:
Hadith ini langsung tidak menyentuh perbuatan talqin selepas pengkebumian. Sebaliknya bagi mereka yang mempunyai secebis pengetahuan tentang hadith ini tentu memahami bahawa ia cuma mengarahkan agar orang yang sedang menghadapi maut diajar mengucapkan kalimah tauhid. Ia suatu tuntutan syarak kepada orang yang menemani atau menziarahi orang yang sedang menanti ajal. Tujuannya ialah supaya akhir perkataan yang dilafazkan sebelum menghembus nafas ialah: La ilaha illaLah. Inilah yang disebut oleh para ulama seperti al-Nawawi, Ibn Hajar, al-San'ani dan lain-lain lagi.
Ulasan ketujuh:
Di atas tanggapan bahawa si mati perlu diberi bantuan maka talqin dibacakan untuknya. Dalam situasi itu, pertolongan yang paling sesuai tentulah menerangkan terlebih dahulu soalan-soalan yang dijangka akan ditanya oleh Munkar dan Nakir. Tidak cukup dengan itu, jawapan-jawapan juga siap diberikan semoga tidak perlu tercari-cari lagi. Bahkan si mati dinasihati agar tetap tenang dan tidak gementar menghadapi temuduga malaikat itu, bimbang terlupa jawapan barangkali.
Menggunakan ayat 2 surah al-Maidah itu sebagai dalil di sini adalah tidak tepat. Ini kerana persoalan tentang mayat boleh mendengar perkataan orang hidup adalah suatu yang diperselisihkan oleh ulama. Namun jika diandaikan mayat memang boleh mendengar sekalipun, tiada dalil syar'ie yang membuktikan mereka beroleh manafaat daripada soalan-soalan dan jawapan-jawapan bocor itu. Tiada dalil yang boleh mempastikan bahwa si mati mampu menjawab soalan-soalan itu tanpa gagal selepas diajar. Hadith yang menerangkannya pun sangat lemah sebagaimana yang diterangkan terdahulu. Begitu juga bagaimana dapat dipastikan bahawa malaikat-malaikat itu hanya akan sampai dan bertanya si mati selepas dia diajar? Atau mungkinkah sewaktu pengajaran berlangsung si mati sudahpun bersenang lenang di alam barzakh atau sebaliknya?
Oleh itu, sangkaan memberi pertolongan itu tidak betul dan perbuatan itu (memberi soalan dan jawapan bocor) adalah tidak bermanafaat kepada si mati. Bukankah kalau ia berfaedah, para sahabat dan al-salaf al-soleh akan berlumba-lumba membacakan talqin kepada sanak saudara mereka yang meninggal dunia. Kenapa tiada suatu riwayat yang kuatpun tentangnya. Ia sepatutnya termasuk di dalam perkara: 'umum al-balwa (sesuatu yang dimaklumi ramai). Sebaliknya, riwayat yang kuat hanya menyebut tentang tazkirah dan doa untuk si mati, tiada yang lain.
Ulasan kelapan:
Menggunakan hadith Abi Umamah sebagai dalil atau sokongan kepada pendapat yang mengatakan mayat dapat mendengar dan mengetahui perihal orang hidup juga tidak betul. (Topik ini perlu dibahaskan lebih panjang lebar di ruangan lain). Ini kerana hadith itu sendiri terlalu rapuh untuk dipegang, ia sangat lemah kalaupun tidak sampai tahap palsu. Jadi tidak benar dakwaan: "…hadith yang berhubung dengan talqin (Abi Umamah dan Dhamrah) menjadi dalil syar'ie bahawa si mati mendengar seruan orang yang hidup…" (Mastika Hadith, lihat: (2/384))
Ulasan kesembilan:
HASIL DARIPADA AMALAN TALQIN DAN KEPERCAYAANNYA:
Berdasarkan apa yang dikemukakan, dapat diringkaskan beberapa isu yang timbul hasil amalan talqin ini dan sandarannya. Isu-isu tersebut ialah:
1- Beramal dengan hadith dha'if, bahkan dalam kes ini ia boleh dihukum maudhu' (palsu). Di antara yang keras berhubung periwayatan hadith dhaif dan maudhu' ialah al-Imam Abu Syamah. Beliau menegaskan terkandung di dalam makna: 'berdusta ke atas nabi S.A.W' yang telah dijanjikan oleh baginda dengan tempat duduk di dalam neraka. (Abu Syamah. al-Ba'ith 'ala Inkar al-Bida' wa al-Hawadith. Dinukilkan daripada al-Jazairi. Taujih al-Nazar (1/657-658).) Jika meriwayatkannyapun dicela beramal dengannya tentu lebih besar kesalahannya. Oleh kerana nabi S.A.W tidak melakukannya dan ia telah dilakukan oleh orang ramai sebagai suatu bentuk ibadat, maka ia termasuk di dalam ciri bid'ah idhofiyyah (tambahan). (Lihat: Al-Ghamidi, Sa'id Bin Nasir. Haqiqat al-Bid'ah wa Ahkamuha (m.s 2-12),
2- Mengithbatkan bahawa mayat mendengar percakapan orang hidup.
Dalam hal ini, para ulama dari pelbagai mazhab dan aliran telah berselisih pandangan antara satu sama lain. Sebahagian mereka mengithbatkannya seperti: Ibn al-Qayyim, Ibn Abi al-Dunya, al-Subki al-Ibn, al-Suyuti dan lain-lain lagi. Sebahagian yang lain pula menafikannya. Mereka ialah: Ibn al-Jauzi, al-Qadhi Abu Ya'la, Nu'man al-Alusi, al-Albani dan lain-lain khususnya di kalangan mazhab Hanafi. (Al-'Ammusy, Bassam 'Ali Salamah. Muqaddimah Tahqiq Kitab al-Ruh Ibn Qayyim al-Jauziyyah, (m.s 111 dan 112), Zarqa': Maktabah al-Manar, ctk 1, 1990M)
Al-Albani sendiri sangat menentang fikrah ini dengan alasan: ia adalah sebab utama yang menjerumuskan ramai umat Islam hari ini ke dalam syirik; iaitu berdoa kepada wali-wali dan orang-orang soleh. (Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din. Muqaddimah al-Ayat al-Bayyinat fi 'Adami Sima' al-Amwat 'inda al-Hanafiyyat al-Sadat, oleh Nu'man al-Alusi (m.s 10),
Dalil-dalil yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak terdiri daripada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang panjang. Oleh kerana isu ini mengundang polemik yang berpanjangan, ia tidak dibincangkan terperinci di sini. Cuma apa yang rajih ialah: Mayat tidak mendengar perbualan orang hidup. Namun tidak mustahil untuk dia mendengarnya jika Allah S.W.T mengkehendaki begitu. Inilah yang terjadi kepada qalib Badr (pembesar-pembesar Quraisy yang terbunuh dalam perang Badr), mereka diperdengarkan oleh Allah tempelakan rasulullah S.A.W terhadap mereka. Peristiwa ini thabit melalui hadith sahih. Sungguhpun begitu untuk mendakwa bahawa setiap mayat boleh mendengar seperti itu, ia memerlukan dalil yang kukuh. Malangnya tiada dalil yang sahih untuk menyokongnya.
3- Mayat mendapat manafaat daripada amalan orang yang hidup. Berhubung perkara ini telah dijelaskan bahawa ulama tidak khilaf tentang mayat mendapat manafaat daripada doa orang yang hidup. Menolak amalan talqin seperti yang diamalkan sekarang, tidak sekali-kali bererti menolak amalan doa untuk orang mati. Di sudut ini terdapat di kalangan pendokong-pendokong talqin yang terkeliru (atau sengaja mengelirukan?).
4- Bacaan al-Quran di perkuburan. Tiada satu dalilpun yang sahih yang menunjukkan nabi S.A.W mengarahkan atau mengajarkan bacaan-bacaan tertentu di kawasan perkuburan. Beberapa hadith yang dikemukakan antaranya:
Nabi S.A.W (kononnya) telah bersabda:
من دخل المقابر ثم قرأ فاتحة الكتاب وقل هو الله أحد وألهكم التكاثر، ثم قال: اللهم إني قد جعلت ثواب ما قرأت من كلامك لأهل المقابر من المؤمنين والمؤمنات، كانوا شفعاء له إلى الله
"Barangsiapa yang masuk ke kawasan perkuburan lalu membaca al-Fatihah, Qul Huwallah (al-Ikhlas) dan Alhakumut Takathur (al-Takathur), kemudian berkata: Ya Allah! Aku jadikan pahala apa yang kubaca dari perkataan-Mu untuk ahli kubur dari kalangan mukminin dan mukminat, nescaya mereka akan menjadi pemberi syafaat kepadanya kepada Allah".
Konon sabda baginda lagi:
من مرّ بالمقابر فقرأ قل هو الله أحد إحدى عشرة مرة، ثمّ وهب أجره للأموات، أعطي من الأجر بعدد الأموات
"Barangsiapa yang melalui perkuburan lalu membaca al-Ikhlas 10 kali, kemudian memberikan pahalanya kepada orang-orang yang mati itu, nescaya diberi ganjaran sebanyak bilangan orang-orang mati itu".
Selain daripada hadith-hadith itu palsu, hadith-hadith yang sahih pula bercanggah dengannya. Di antaranya:
لا تجعلوا بيوتكم مقابر، وإن البيت الذي تقرأ البقرة فيه لا يدخله الشيطان
i- Sabda rasulullah S.A.W: "Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu seperti perkuburan. Sesungguhnya rumah yang dibaca padanya al-Baqarah tidak akan dimasuki oleh syaitan". (H.R al-Tirmizi, dan kata beliau: hasan sahih)
Hadith ini selalu difahami sebagai galakan bacaan al-Quran di rumah dan tidak membiarkannya sunyi sepi tanpa ibadah seperti di perkuburan. Namun selain itu, ia juga bermaksud bahawa perkuburan bukan tempat untuk membaca al-Quran. Syarak menggalakkan bacaan di rumah dan melarang dari menjadikannya seperti kubur; kerana kubur bukan tempat bacaan al-Quran.
ii- Apabila baginda S.A.W mengetahui berita kematian al-Najasyi (pemerintah Yaman yang memeluk Islam), baginda bersabda kepada para sahabat:
"استغفروا لأخيكم"
"mohonlah keampunan bagi saudaramu". (H.R Muslim)
Dalam hadith ini jelas nabi S.A.W hanya mengarahkan sahabat memohon keampunan Allah bagi al-Najasyi. Baginda tidak mengarahkan agar disedekahkan al-Fatihah atau dibacakan ayat-ayat tertentu untuknya. Kalau ia amal yang soleh mana mungkin nabi tidak arahkan para sahabat melakukannya!
iii- Sewaktu ingin menziarahi perkuburan, A'isyah r.a telah bertanya kepada rasulullah S.A.W :
كيف أقول لهم يا رسول الله؟ قال: "قولي: السلام على أهل الديار من المؤمنين والمسلمين، ويرحم الله المستقدمين والمستأخرين، وإنا إن شاء الله بكم للاحقون"
"Bagaimana aku perlu katakan kepada mereka wahai rasulullah? Jawab baginda: "Sebutlah: salam sejahtera ke atas ahli al-Diyar (perkuburan ini) dari kalangan mukminin dan muslimin, dan semoga Allah merahmati yang terdahulu dan terkemudian, dan sesungguhnya kami –dengan kehendak Allah- akan mengikuti kalian". (H.R Muslim)
Dalam hadith ini, Aisyah meminta panduan nabi S.A.W supaya dia boleh melakukan yang terbaik ketika menziarahi perkuburan. Adakah mungkin nabi menyembunyikan suatu amalan yang baik darinya? Iaitu baginda tidak mengajarkan bacaan ayat-ayat al-Quran di perkuburan, surah Yasin umpamanya yang menjadi amalan masyarakat. Mengapa baginda hanya mengajarkan kepada beliau doa? Ini tidak lain menunjukkan bahawa doa sahaja yang disyariatkan.
Oleh kerana dalil-dalil yang menunjukkan bacaan al-Quran di perkuburan tidak disyariatkan, Abu al-'Izzi al-Hanafi di dalam Syarah 'Aqidah al-Tahawiyyah menjelaskan bahawa ramai ulama yang berpendapat bahawa ia adalah makruh, sebahagian pula mengharamkannya –melainkan satu qaul dari Ahmad tentang bacaan al-Quran ketika memasukkan mayat ke dalam liang-. Namun, riwayat qaul Ahmad itu dipertikaikan ke sahihannya oleh sebahagian ulama. ( Lihat: Al-Albani. Ahkam al-Janaiz (m.s 192).)
5- Duduk di atas kubur. Amalan talqin memerlukan hadirin duduk di kawasan perkuburan sedangkan kebanyakannya sudah tidak teratur. Ini menyebabkan para hadirin terpaksa duduk di atas kubur-kubur yang sedia ada. Ini jelas bersalahan dengan larangan nabi S.A.W, sabdanya:
لأن يجلس أحدكم على جمرة فتحرق ثيابه فتخلص إلى جلده خير له من أن يجلس على قبر
"Jika seorang daripada kamu duduk di atas bara api lalu terbakar bajunya dan sampai kepada kulitnya lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur". (H.R Muslim)
Upacara talqin yang diamalkan sekarang banyak yang bercanggah dengan petunjuk hadith; lantaran susunan kubur-kubur yang tidak teratur. Hanya tanah perkuburan yang bersistematik sahaja yang mungkin terlepas daripada kesalahan ini. Oleh itu, ia sebenarnya mengundang perbuatan yang diharam syarak.
Jika duduk di atas kubur dilarang, bagaimana untuk berdoa seperti yang disebut dalam hadith Uthman Bin 'Affan? Jawapannya jelas di sebutkan dalam hadith tersebut, iaitu nabi berdiri. Mungkin ada yang mendakwa ia menyerupai perbuatan Nasara. Ini tidak menjadi masalah kerana selagi mana ia adalah dari petunjuk nabi, persamaan dengan umat lain tidak menjadi kesalahan.
APA SEBENARNYA YANG DITUNJUKKAN OLEH SUNNAH?
1- Tazkirah kepada hadirin.
Hadith Al-Bara' Bin 'Azib menunjukkan boleh diadakan tazkirah untuk mereka yang menghadiri pengkebumian itu. Justeru, khutbah talqin yang ditujukan kepada orang hidup masih boleh dikekalkan jika mahu. Namun ia tidak terikat dengan khutbah itu sahaja, malahan setiap tok imam boleh memberi tazkirah mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing.
2- Doa kepada si mati tetapi secara fardi (sendiri-sendiri).
Hadith 'Uthman Bin 'Affan, hadith 'Aisyah dan lain-lain menunjukkan dituntut berdoa secara fardi untuk si mati. Nabi tidak mengepalai bacaan doa dan sahabat tidak mengaminkan doa satu sama lain. Jadi, sebaik-baik petunjuk ialah: petunjuk nabi S.A.W.
PENUTUP
Sebenarnya selepas apa yang dikemukakan ini, cukuplah bagi orang yang beriman berpegang dengan apa yang ditunjukkan oleh nabi S.A.W tanpa sebarang tokok tambah. Allah mengancam orang yang enggan mengikut ajaran nabi-Nya. Firman Allah:
Mafhumnya: "maka berwaspadalah orang-orang yang menyanggahi arahannya (Muhammad), nanti ditimpakan ke atas mereka fitnah dan ditimpakan ke atas mereka azab yang pedih" (an-Nur:63)
Mengengkari amalan talqin bukan bertujuan mengkucar-kacirkan masyarakat, jauh sekali menghina para ulama. Ia juga bukan tanda ajaran puak Wahhabiyyah sebagaimana yang didakwa oleh orang-orang jahil.
Isunya ialah: amalan itu tidak thabit datang dari Nabi S.A.W, ia juga tidak diamalkan oleh para sahabat dan generasi al-salaf al-soleh. Siapalah kita jika dibandingkan dengan mereka dalam merebut kebaikan dan berlumba untuk beribadah. Oleh demikian, fikirkanlah: kalau ia amalan yang baik, nescaya mereka itu telah lama mendahului kita. Di mana Abu Bakar, di mana Umar dan lain-lain dalam hal ini? Apakah yang lebih buruk daripada menyanggahi petunjuk nabi S.A.W lalu mendakwa ia adalah suatu ibadat yang dituntut? Menyandarkan amalan ini kepada al-imam al-Syafi'e sama sekali tidak membuktikan ia boleh diamalkan selepas dibentangkan hujah yang menolaknya. Bahkan ia adalah suatu pendustaan dan menzalimi imam yang agung itu.
Mudah-mudahan dengan penjelasan ini kita dapat memilih yang terbaik untuk akhirat kita.
RUJUKAN
Abdullah Bin Muhammad Ba Samieh. Mastika Hadith. Cetakan Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri,
Abu Syamah. al-Ba'ith 'ala Inkar al-Bida' wa al-Hawadith. Dinukilkan daripada al-Jazairi. Taujih al-Nazar.
Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din. Muqaddimah al-Ayat al-Bayyinat fi 'Adami Sima' al-Amwat 'inda al-Hanafiyyat al-Sadat, oleh Nu'man al-Alusi.
Al-Albani. Muhammad Nasir al-Din. Ahkam al-Janaiz,
Al-Albani. Silsilah al-Ahadith al-Dha'ifah wa al-Maudhu'ah.
Al-'Ammusy, Bassam 'Ali Salamah. Muqaddimah Tahqiq Kitab al-Ruh Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Zarqa': Maktabah al-Manar, ctk 1, (1990M).
Al-Ansari, Zakaria. Fath al-Wahhab. Dar al-Fikr, tanpa tarikh.
Al-'Asqalani, Ibn Hajar. Amali al-Azkar. Dinukilkan daripada nota kaki Zad al-Ma'ad oleh pentahqiqnya- Syu'aib al-Arnaut-.
Al-'Asqalani, Ibn Hajar. Talkhis al-Habir.Madinah Munawwarah ctk (1964M).
Al-Asyqar, Dr. Umar Sulaiman. Al-Madkhal ila Dirasah al-Madaris wa al-Mazahib al-Fiqhiyyah.
Al-Bassam, Abdullah Abd. Al-Rahman. Tawdih al-Ahkam min Bulugh al-Maram. Makkah al-Mukarramah: Maktabah al-Asadi, ctk 5, (2003M).
Al-Ghamidi, Sa'id Bin Nasir. Haqiqat al-Bid'ah wa Ahkamuha,
Al-Haithami. Majma' al-Zawa'id wa Manba' al-Fawa'id. Kaherah: Dar al-Rayyan li al-Turath, tanpa tarikh.
Al-Jaza'iri, Tohir. Taujih al-Nazar ila Usul al-Athar.
Al-Khatib al-Syarbini. Al-Iqna' fi Hill Lafz Abi Syuja'.
Al-Nawawi. Fatawi al-Imam al-Nawawi.
Al-Nawawi. Al-Majmu' Syarh al-Muhazzabi. Kaherah: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi, ctk (1995M).
Al-Qasimi, Muhammad Jamal al-Din. Qawa'id al-Tahdith min Funun Mustalah al-Hadith.
Al-San'ani, Muhammad Bin Ismail. Subul al-Salam.
Al-Sobuni, Muhammad 'Ali. Sofwat al-Tafasir.
Al-Syaukani. Naili al-Autar.
Al-Zuhaili, Wahbah. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (2/540-551), Damsyiq: Dar al-Fikr, ctk 3, (1989M).
Ibn Kathir. Ikhtisar 'Ulum al-Hadith.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Hasyiah Ibn al-Qayyim.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Zad al-Ma'ad fi Hadyi Khayri al-'Ibad.
Ibn Taimiyyah, Ahmad Bin Abd. Al-Halim. Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah. Muassasah Qurtubah, ctk 1, (1406H)
'Ulwan, Dr. Abdullah Nasih. Thaqafah al-Da'iyah. Kaherah: Dar al-Salam, ctk 4, (1993M).
PRO-KONTRA ISLAM HADHARI
Dr. Mohd Asri b. Zainul Abidin
moasriza@yahoo.com.
(Penyelaras Sekretariat Falsafah Dan Sains Islam USM)
Islam adalah agama yang bertamadun. Sama ada ditambah perkataan hadhari atau tidak, tidak akan menjejaskan nilaian ketamadunan yang telah diletakkan oleh Allah dan RasulNya di dalam ajaran yang mulia ini. Islam yang sempurna seperti yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah merangkumi seluruh aspek kehidupan dan hajat manusia; sama ada di sudut tamadun kebendaan atau keruhanian. Penambahan perkataan al-hadhari selepas perkataan al-Islam bertujuan menggambarkan betapa Islam itu bertamadun. Sekalipun perkataan al-Islam sudah memadai, namun barangkali penambahan perkataan hadhari dirasakan mampu menyedarkan umat yang lalai bahawa Islam yang dianuti menuntut mereka membangun. Islam tidak mengajar umatnya mundur dan menjadi mangsa orang lain. Sebaliknya umat Islam mestilah bersifat memimpin manusia dan membimbing mereka ke arah tamadun yang sebenar, yang diredhai Allah kerana Islam itu bersifat hadhari.
Pada asalnya, seperti yang dijelaskan di atas, kalimah al-Islam itu sudah memadai tanpa perlu kepada sebarang penambahan. Ini kerana Allah menamakan agamaNya sebagai al-Islam tanpa sebarang penambahan. Sekalipun disedari al-Islam yang diturunkan Allah sememangnya bersifat hadhari, seperti mana ia bersifat ruhi.
Namun dalam beberapa keadaan sifat hadhariyyah itu wajar untuk ditonjolkan, sebagai satu usaha dan ijtihad bagi menjaga nama Islam. Penambahan ini hanyalah sekadar taukid iaitu bagi lebih menjelaskan. Seperti kita menyebut “Muhammad s.a.w dia al-rasul yang mulia”. Perkataan Rasul sememang sudah terkandung makna atau maksud mulia. Ini kerana tidak mungkin seorang rasul tidak bersifat mulia.Namun penambahan perkataan mulia dibuat bagi memperkukuhkan perkara atau tajuk yang sedang diceritakan.
Saya melihat ada kewajaran penjelasan perkataan al-Hadhari bagi kalimah al-Islam dalam beberapa keadaan konteks tertentu. Keadaan-keadaan tersebut, saya rumuskan seperti berikut :
pertama: Apabila Islam sedang ditohmah oleh pihak musuh sebagai agama yang tidak bertamadun dan mundur. Perkataan al-Hadhari ditambah bagi menafikan dakwaan tersebut.
Kedua: Apabila berlakunya salah sangka non-muslim terhadap sifat Islam dengan menganggap Islam tidak membawa kemajuan dan ketamadunan, atau mereka menyangka Islam sama seperti sifat agama-agama lain. Pernambahan perkataan hadhari mungkin boleh membantu mereka memahami kedudukan sebenar Islam.
Ketiga: Apabila umat Islam lalai dan cuai dalam menghayati Islam yang syumul seperti yang diajar oleh Allah dan RasulNya sehingga kelihatan mereka tidak lagi menjadi umat yang berdaulat dan megah. Sebaliknya mereka tertindas, terpengaruh dengan kehebatan orang lain sehingga melupai Islam yang bersifat tamadun yang dianuti oleh mereka. Ketika itu perkataan al-Hadhari ditambah bagi mengingat umat bahawa Islam yang sebenar bersifat tamadun.
Keempat: Ketika umat Islam gagal memperlihatkan kepada dunia ciri-ciri ketamadunan diri yang bersesuaian dengan Islam yang bersifat hadhari. Kemunduran umat menjadi fitnah kepada Islam. Ketika itu, dunia mesti dijelaskan bahawa telah berlaku perbezaaan antara sikap penganut Islam dengan Islam yang hadhari. Kemunduran tidak boleh dikaitkan dengan Islam, justeru kerana Islam itu bersifat hadhari.
Kelima: Ketika kita sedang melancarkan kempen kesedaran agar umat Islam kembali bangkit membina kegemilangan lampau. Seruan yang mengingatkan tentang tamadun yang menjadi sifat Islam akan mampu menjadikan umat lebih tertumpu dan fokus kepada objektif yang hendak dituju iaitu mereka mesti bergerak membina semula kecemerlangan tamadun.
Sebelum perkataan Islam Hadhari kedengaran di Malaysia, sebenarnya sudah ada beberapa penulis muslim Arab yang menggunakan perkataan yang sama dalam tulisan mereka merujuk kepada konteks perbincangan tertentu. Antaranya Mamduh al-Syeikh dalam tulisannya “Ab‘ad al-Hadharah: Maza ‘Ata al-Islam li al-Basyariyyah”. Tulisan ini disiarkan di internet (www.arabworldbooks.com)
Buku Konsep Islam Hadhari: Satu Pendekatan
Namun dalam keadaan biasa atau percakapan biasa yang tidak berhadapan dengan kemelut yang dinyatakan, tidak wajar sengaja diganti nama Islam dengan Islam Hadhari. Melainkan jika perkataan itu bukan bermaksud menggantikan Islam itu sendiri, sebaliknya satu projek pembangunan umat yang bernama sedemikian. Inilah yang saya lihat tujuan bertulis pihak pemerintah sekarang. Projek pembangunan umat yang sedang ditaja itu dinamakan Islam Hadhari. Setelah saya baca buku konsep “Islam Hadhari: Satu Penjelasan” yang dikeluarkan oleh JAKIM, saya kira, sebagai ahli akademik saya patut menilainya dengan adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana unsur. Di situ ditakrifkan Islam Hadhari sebagai “Suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara
Dari sini dapat difahami bahawa Islam Hadhari bukanlah satu agama baru, sebaliknya suatu pendekatan. Namun barangkali perkataan Islam yang digunakan itu menjadi saingan di fikiran sesetengah masyarakat, seakan terasa oleh mereka perkataan itu ingin mengambil alih Islam yang asal. Sekalipun kita tahu bukan itu hasrat penajanya. Bahkan dalam buku tersebut dinyatakan “Pendekatan Islam Hadhari bukanlah ajaran baru atau mazhab baru, tetapi merupakan usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas menurut al-Quran dan as-Sunnah sebagai teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari merupakan satu pendekatan anjakan paradigma untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam, sebagaimana yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Islam Hadhari tidak sedikitpun mengurangkan prinsip-prinsip akidah dan syariah dalam ajaran Islam, malah menekan penghayatan Islam yang syumul, menyeluruh dan realistik bagi menterjemahkan agama dalam kehidupan”. (m.s. 6).
Ternyata hasrat Islam Hadhari begitu murni. Namun jika perkara ini masih di peringkat mencari nama, saya tentu ingin mencadangkan ditambah perkataan lain seperti “Masyarakat Islam Hadhari” atau “Pendekatan Islam Hadhari” dan seumpamanya. Agar perkataan hadhari itu dikembalikan kepada perkara lain. Dengan itu dapat difahami bahawa pendekatan itu yang ingin ditamadunkan, atau masyarakat itu yang ingin ditamadunkan dan sebagainya, bukan Islam yang asal belum cukup hadhari lalu diganti dengan Islam yang baru.
Namun isu nama ini seakan telah menjadi ketetapan. Maka kita terima seadanya. Apa yang penting sekarang adalah isi dan agenda.
Saya fikir, tidak wajar dipersalahkan masyarakat yang tersalah faham jika mereka pula bukan kaki mencari kesalahan orang lain. Tindak balas negatif masyarakat pada peringkat awal adalah disebabkan sayangnya mereka terhadap Islam yang tulen. Mereka tidak mahu sebarang gantian bagi Islam. Islam adalah yang pertama dan terakhir sebagai agama bagi mereka. Sekalipun disudut amalan mungkin banyak kelemahannya. Namun cinta hati mereka tetap kukuh. Tindakbalas negatif terhadap Islam Hadhari mungkin tanda peka dan cintakan Islam yang asal. Apatah lagi pada peringkat awal tiada penjelasan yang memuaskan.
Apa tidaknya, orang akademik pun jika tidak dijelaskan maksud perkataan ini akan pelik dan keliru. Saya difahamkan oleh seorang tokoh bahawa Dr Yusuf al-Qaradawi ingin menemui Y.A.B PM untuk mengetahui maksud Islam Hadhari. Lihatlah, kalau ilmuan muslim seperti dia pun terpaksa mendapat penjelasan dari penaja, apatah lagi orang awam. Ini kerana, istilah ini baru digembar-gemburkan.
Bagi saya yang penting isi kandungan Islam Hadhari seperti yang tercatat dalam buku tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Berbahagialah negara dan umat jika isi kandungannya dapat benar-benar dilaksanakan. Janganlah pula hanya tinggal slogan semata.
Salah Faham Terhadap Islam Hadhari
Salah faham ini saya lihat datang datang dari dua pihak. Pertama pihak yang anti rancangan ini dengan tidak menilai secara terbuka dan adil. Mereka mungkin mengetahui kebaikan projek ini, tetapi mungkin perkara ini tidak menguntungkan mereka. Maka mereka gambarkannya dengan wajah yang sangat negatif tanpa penilaian seimbang. Kedua, dari penyokong-penyokong Islam Hadhari itu sendiri, yang menafsirkan Islam Hadhari lain dari apa yang diterangkan oleh JAKIM.
Saya lihat ada kecenderungan sesetengah pihak menggunakan nama Islam Hadhari untuk menghalalkan perkara-perkara munkar. Apabila dikatakan kepada mereka perbuatan atau tindakan tertentu bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, mereka katakan “kita berpegang kepada Islam Hadhari”. Islam Hadhari bagi mereka seakan-akan agama baru yang tidak perlu berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Sedangkan dalam buku Islam Hadhari keluaran JAKIM disebut: “Bagi orang Islam pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sebagai teras utamanya. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai teras pegangan dan rujukannya” (m.s.19).
Saya tidak pasti apakah mereka mempunyai tafsiran sendiri terhadap Islam Hadhari lain dari apa yang dinyatakan oleh JAKIM, atau mereka ingin menjadikan Islam Hadhari ini sebagai benteng ajaran-ajaran salah mereka. Kelihatan sekarang golongan ‘Islam Liberal’
Ketua Anti-Hadith Negara dalam tulisannya juga mengajak kepada Islam Hadhari sebagai gantian Islam yang sedia ada. Saya tidak pasti apakah tafsiran Islam Hadhari dia?!!. Jika Anti-Hadith pun syok dengan Islam Hadhari, sedangkan dia menolak Islam Nabi SAW, maka amatlah membimbangkan kita. Nampaknya usaha ke arah menjelaskan maksud sebenar Islam Hadhari perlu ditingkatkan.
Kekeliruan juga ditambah dengan makin hebatnya kebangkitan hiburan tanpa sempadan halal dan haram di media dan pusat-pusat hiburan. Media yang terus menggalakkan perkara ini, media yang sama berkempen Islam Hadhari. Ramai akan menjadi tidak faham. Kita tahu tidak ramai yang membaca buku keluaran JAKIM tersebut. Masyarakat lebih menilai apa yang mereka dengar dan lihat, bukan apa yang mereka baca. Apa yang dilihat adalah alam realiti. Apa yang dibaca masih lagi hanya catatan atas kertas yang belum tentu pasti berfungsi. Kerja utama sekarang adalah mengeluarkan falsafah dan teori Islam Hadhari dari atas kertas kepada pelaksanaan di atas pentas kehidupan masyarakat
Saya mengajak para ilmuan dan tokoh-tokoh muslim masyarakat
Demikian juga pihak kerajaan. Jangan falsafah tinggal falsafah. Teori tinggal teori. Akhirnya nanti Islam Hadhari tidak jadi agenda pembangunan umat seperti yang diidamkan, sebaliknya hanya sekadar agenda politik. Kita mengharapkan keikhlasan kerajaan melaksanakan isi kandungan Islam Hadhari seperti yang termaktub, dan kita ingin membantunya.
Bagi membantu membangunkan projek Islam Hadhari saya ingin mengingatkan kita kepada beberapa perkara berikut:
- Mentamadunkan Umat Bukan Merangka Semula Agama
Adapun ajaran Islam sudah sempurna dan cukup. Tidak memerlukan sebarang penambahan. Tidak memerlukan asas-asas baru. Sesiapa yang
Firman Allah: (maksudnya) Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai din, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Surah Ali ‘Imran:85)
Firman Allah juga: (maksudnya): Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan mereka yang diberikan Kitab itu (Yahudi dan Nasrani) tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah datang kepada mereka pengetahuan (yang sah tentang kebenarannya) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.(Surah Ali ‘Imran 19)
Maka jelas bahawa Islam tidak berhajatkan kepada sebarang pembaharuan. Apa yang perlu diperbaharukan ialah sikap dan pemikiran umat yang mengaku menyandarkan diri kepada Islam. Umat Islamlah yang perlu ditamadunkan agar mereka menjadi lebih selaras dengan Islam yang dianuti oleh mereka. Ini kerana yang menjadi punca masalah ialah sikap umat bukan agama yang dianuti oleh mereka. Setelah menggambarkan keagungan generasi Islam yang lampau, ‘Ali Tantawi berkata: “Mijoriti kaum muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan-kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam (menghina Islam-pen). Sehingga Jamal al-Din al-Afghani, atau Muhammad ‘Abduh menyebut perkataan yang hebat: “Islam itu terlindung oleh penganutnya”. (‘Ali Tantawi, Mauqifuna min al-Hadarah al-Gharbiyyah, m.s. 45, cetakan: Dar al-Manarah, Jeddah.)
- Al-Quran dan al-Sunnah Mesti Benar-Benar Berfungsi Dalam Agenda Islam Hadhari
Atas apakah tamadun diukur dan dibina?. Apabila kita memperkatakan Islam yang bersifat tamadun ertinya diri Islam itu sendiri bertamadun. Menghayati Islam yang sebenar bererti menghayati tamadun keagungan. Sumber Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang menghayati dan beramal dengan sumber agung ini bererti dia mengamalkan Islam yang sebenar. Sesiapa yang mengamalkan Islam yang sebenar bererti dia sedang menghayati tamadun yang agung. Kemunduran umat hari ialah kerana mereka menyimpang dari kedua sumber agung ini.
Kita tidak boleh untuk membina tamadun kegemilangan dengan membebaskan diri dari ikatan-ikatan Islam, kononnya kerana inginkan kemajuan dan keterampilan. Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan diri dari ikatan Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, maka tidak perlu kita membinanya atas nama Islam. Jika inginkan ketamadunan dalam ertikata yang tidak difahami oleh Islam, Tamadun Barat sudah terbentang luas untuk kita menganutinya. Namun apabila kita ingin membina kemajuan dan ketamadunan atas nama Islam, maka kita mesti terikat dengan kehendak dan peraturan Islam. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Namun yang kita ingin tegaskan sejak dari awal bahawa hadarah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan. Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadarah al-Islam (Tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara ruh dan kebendaaan. Menseimbangkan antara akal dan hati. Menghimpunkan antara ilmu dan iman. Ia mengambil berat tentang ketinggian akhlak seperti ia mengambil berat tentang kemajuan kebendaan. Ia sebenarnya tamadun keruhanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jamaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan pertengahan”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir).
Justeru itu, sesiapa yang ingin membicara tentang ketamadunan yang hendak dibina atas nama Islam hendaklah jelas di hadapannya panduan dan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Tamadun yang dibina dan diseru oleh kedua sumber agung adalah tamadun yang tulen lagi seimbang.
- Para Pengusaha Projek Islam Hadhari Hendaklah Memahami Kekuatan Tamadun Umat
Para pengusaha pembangunan umat di bawah projek Islam Hadhari ini, hendaklah benar-benar memahami tabiat tamadun umat ini. Ini khususnya menteri-menteri kabinet yang kita anggap tonggak kepada pendekatan ini. Demikian juga menteri-menteri besar. Kejayaan rakyat menghayati projek pembangunan umat yang bernama Islam Hadhari ini sangat berkait dengan kejayaan tonggak-tonggak utama ini memahami tabiat tamadun umat itu sendiri.
Secara ringkasnya, sebelum kita membicara dan melaksanakan sesuatu, kita hendaklah memahami tentang hakikat perkara yang dibicarakan yang merangkumi latar belakang, tabiat dan ciri-cirinya. Demikian juga apabila kita membincangkan tentang tamadun Islam. Kita hendak memahami asas-asas Islam, ciri-cirinya, tabiatnya dan latar belakangnya
Justeru, kita tidak mungkin memahami dan mengulas tamadun yang telah dibina oleh generasi umat Islam yang lampau tanpa menghayati akidah dan pegangan Islam yang mereka kukuh berpaut dengannya. Mereka membina tamadun dengan acuan Islam yang diimani oleh mereka. Islam itu yang mengalir dalam urat nadi tamadun yang mereka pasak. Mereka mencintai dan membina tamadun di atas tapak tersebut. Tanpa memahami keimanan mereka, kita tidak akan mampu memahami kekuatan tamadun Islam sepanjang zaman. Tokoh sejarahwan Islam kini, Mahmud Syakir pernah membuat suatu perbandingan (analogi) yang sangat menarik, katanya:”Sesungguhnya seorang juru bina tidak akan dapat mendirikan binaan melainkan setelah dia mengkaji tapak binaan, jenis tanah, mata air dan lain-lain. Seorang doktor tidak akan mampu memberikan rawatan yang berkesan melainkan setelah dia bertanya pesakit mengenai puncanya, makanan, minuman dan lain-lain. Demikian juga seorang sejarahwan tidak dibolehkan menyebut sesuatu kisah yang sampai kepadanya atau menghuraikan sesuatu petikan tanpa mengetahui titik tolak umat ini iaitu `aqidah dan segala yang terpancar darinya iaitu kefahaman, nilaian dan maksud. Ini kerana dibimbangi akan memesongkannya di belakang hawa nafsu dan huraian yang salah yang akan membawa kepada mengubah sepenuhnya sesuatu keadaan dan jauh pula dari kefahaman yang sebenar”. (Mahmud Syakir, Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-Islamiy, m.s. 3-4, cetakan: Dar al-Maktab al-Islami,
Apabila kita ingin mencontohi mereka tanpa mengetahui rahsia kekuatan iaitu berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah maka kita akan gagal. Hari ini kita mungkin tertanya-tanya: Ke mana pergi ketamadunan agung yang telah dibina oleh kaum muslimin, khususnya bangsa Arab? Mengapa dunia arab menjadi hina? Ke manakah perginya arab yang dikatakan dahulunya pernah membuka empayar yang memberi kedamaian dan keadilan kepada dunia sejagat. Di manakah hilang khazanah tamadun yang dibanggakan oleh umat yang tercatat dengan tinta emas dalam lipatan sejarah peradaban manusia?
Jawapan sebenarnya terhimpun dan ucapan amirul mukminin `Umar bin al-Khattab r.a. pada hari beliau ke Syam dalam keadaan dan pakaian yang serba sederhana. Beliau ditegur oleh pimpinan tentera kerana bimbang keadaan beliau itu menjejas identiti beliau di hadapan tentera. Beliau menjawab dengan ucapan yang sangat bermakna: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. (Riwayat ini sanadnya disahihkan oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi. Lihat: Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Dar al-Ma’rifah,
Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya Kaif Dakhala al-‘Arab al-Tarikh menggambar betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah. Sekalipun pada Arab itu ada ciri-ciri yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki keberanian dan kepandaian dalam senjata, juga tunggangan kuda. Mereka mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik. Malangnya kesemua itu tidak mampu membawa mereka ke persada sejarah yang gemilang. Namun mereka akhir berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah. Sehingga al-Nadwi menyatakan: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India)
Asas-asas yang diletakkan oleh al-Quran dan al-Sunnah menuntut beberapa perkara dalam kehidupan agar kita dalam menjadi ummah yang bertamadun. Antara perkara penting dalam membina tamadun ialah menjaga ketulenan agama. Generasi Islam yang bertamadun, memelihara khazanah ketulenan agama mereka.
Oleh kerana agama adalah asas yang menjadi tapak pembinaan tamadun, maka agama mesti dipelihara ketulenannya. Ketulenan itu dipelihara pada dua bahagian;
Pertama: Ketulenan sumber.
Kedua: Tafsiran terhadap sumber yang tulen dengan kaedah-kaedah yang betul.
Agama mesti kekal terpelihara. Apatah lagi dalam dunia yang maklumatnya serba tangkas dan pantas. Sesuatu yang benar dan bohong sukar untuk dinilai. Sifat insan muslim yang bertamadun sentiasa menyaring dan memilih agar dia tidak terperangkap dengan maklumat yang bohong dan palsu. Bukan bertamadun namanya manusia yang menerima apa sahaja yang didengar tanpa mampu membuat penilaian terbaik
Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): “Akan datang datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu dibenarkan orang yang dusta, didustakan orang yang benar, dianggap amanah orang yang khianat, dianggap khianat orang yang amanah, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)”. (Hadith ini diriwayatkan oleh Al-Hakim, al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, dan al-Kharaiti. Demikian juga Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari :sanadnya baik. (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 14/593, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut.)
Projek ini wajar disokong, jika benar-benar akan dilaksanakan seperti yang dicatatkan oleh JAKIM. Islam Hadhari akan berjaya jika para pendokongnya menjiwai Islam itu sendiri dalam ertikata yang sebenar. YAB Perdana Menteri nampaknya sangat memerlukan menteri-menteri yang begitu berjiwa Islam bagi membangunkan umat ini. Akhlak rakyat sangat berkaitan dengan sikap pemimpin. Ramai yang gembira dengan sikap sederhana PM. Namun perlaksanaan Islam Hadhari seperti yang dicadangkan memerlukan pengembelingan yang besar. Seluruh kepimpinan negara mestilah melambangkan Islam Hadhari yang dicatat dan diimpikan. Usaha ke arah menjayakannya mestilah dibuktikan di pentas realiti dan terasa oleh rakyat bawahan. Jika tidak, projek ini akan dianggap hanya agenda politik.