Wednesday, August 29, 2007

Di mana hikmah di dalam dakwah???

Abd al-Razzaq Muthalib Ahmad

Peristiwa di depan Maktabah Makkah (Perpustakaan Mekah), berdekatan Masjid al-Haram, membuatkan penulis bertanya pada diri sendiri: Di manakah hikmah di dalam dakwah mereka ini?

Suatu petang penulis pergi ke Masjid al-Haram. Memandangkan waktu solat masih lama lagi, penulis terus pergi ke Maktabah Makkah (yang dikatakan tempat kelahiran Nabi saw). Di sana, ada beberapa orang teman dari Rabitah al-Alam Islami, Mekah (Muslim World League), yang ditugaskan sebagai penterjemah sempena dengan musim haji. Sementara ada di situ, penulis juga turut membantu mereka untuk memberi penerangan kepada orang ramai yang datang melihat tempat tersebut.

Diringkaskan cerita, dalam ramai-ramai orang yang datang melawat tempat tersebut, ada seorang lelaki -kalau tidak silap dari India- yang datang menghampiri bangunan maktabah ini lalu mengusap dindingnya dengan tangan dan terus menyapu di badannya. Kebetulan perbuatan lelaki ini dilihat oleh salah seorang pegawai dari Jabatan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar –jabatan ini mungkin seperti JAKIM atau jabatan agama Islam di Malaysia-.Tanpa memberi peluang, dengan perasaan penuh “tanggungjawab” untuk mencegah kemungkaran, pegawai ini terus datang dan bertanya kepada lelaki ini dengan suara yang tinggi (dan penulis rasakan yang bahasa pegawai ini tidak difahami oleh lelaki tersebut). Pegawai itu bertanya (dalam bahasa Arab pasar): “Eshh anta??!! Anta majnun??!!” (Apa kau buat ni?? Kau gila??). Kemudian pegawai ini terus menghalau dengan menolak lelaki tersebut supaya beredar dari situ (Rooh! Rooh! (Pergi! Pergi!)

Penulis yang menyaksikan adegan ini, menggelengkan kepala. Perasaan penulis bercampur-campur. Bingung, kecewa, geram dan luntur semangat. Lantas penulis bertanya kepada diri sendiri: Di manakah hikmah di dalam dakwah mereka ini??!

Apakah begini caranya mencegah kemungkaran? Apakah begini cara dakwah manhaj salaf al-soleh? Apakah tiada ruang langsung untuk berlembut di dalam mencegah kemungkaran? Apakah tidak boleh jika ditanya terlebih dahulu dan diterangkan dengan baik kesalahan lelaki tersebut. Sekurang-kurangnya dia akan tahu yang perbuatannya tidak betul dan tahu juga apakah sebab-sebabnya.

Penulis merasakan yang lelaki tadi pergi dengan tidak mendapat sebarang mesej pun dari pegawai tadi kecuali yang dia faham bahawa ustaz-ustaz atau pendakwah di Arab Saudi ini memang keras dan kasar cara dakwah mereka. Betullah khabar-khabar yang di dengar sebelum ini.

Tidak hairan jika ramai yang bersangka buruk dengan dakwah sebahagian daripada pendakwah di Arab Saudi. Bukan manhaj yang salah, tetapi sikap sesetengah mereka yang bercanggah. Terlalu bersemangat ingin mencegah kemungkaran, tetapi tidak melihat siapakah sasaran, apakah perkataan dan apakah cara yang berkesan. Di manakah hikmah dalam dakwah mereka?

Ramai orang asyik bercakap tentang hikmah. Entah berapa ribu kali perkataan ini telah diulang cakap oleh para penceramah dan pendakwah. Entah berapa banyak telah ditulis di dalam makalah. Tetapi apa itu hikmah???Mungkin tulisan ini dapat memberi sedikit gambaran dan menambah apa yang kurang.

Pengertian al-hikmah

Menurut Dr. Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam bukunya al-Madkhal ila Ilm al-Da’wah, hikmah itu ialah: “ketepatan di dalam percakapan dan perbuatan”. Syaikh Said bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani pula di dalam bukunya “Al-Hikmah fi al-Da’wah ila Allah”, memberikan takrifan berikut: “Betul dan tepat di dalam percakapan dan perbuatan, dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya”. Dr. Abd al-Muhaimeen al-Tahhan di dalam “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah” menyatakan bahawa hikmah itu ialah: “perkataan yang tepat dan tindakan yang betul”.

Kebanyakan pengertian hikmah yang diberikan oleh kebanyakan penulis adalah hampir sama dan ianya berlegar di sekitar tepat dan betul di dalam percakapan dan perbuatan serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Inilah takrif yang rajih dan ianya seperti yang dihuraikan oleh al-Imam Ibn Jarir al-Tabari di dalam tafsirnya, beliau menyebut bahawa hikmah itu ialah: tepat dan betul di dalam percakapan dan perbuatan.

Oleh itu, terdapat beberapa etika, prinsip dan disiplin yang perlu dititikberatkan oleh para pendakwah agar dakwahnya benar-benar memenuhi maksud hikmah ini. Antara ialah seperti yang telah dihuraikan di dalam buku “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah”:

Etika-etika al-hikmah di dalam dakwah

Pertama: Berikan khabar gembira (al-tabsyir) dan tidak melakukan sesuatu yang menyebabkan orang semakin menjauhi pendakwah (al-tanfir).

Sandaran penting di dalam prinsip yang pertama ini ialah nasihat Rasulullah saw kepada dua orang sahabat yang diutuskan untuk berdakwah di Yaman; Abu Musa al-Asy‘ari dan Muaz bin Jabal: ((Serulah manusia, hendaklah kamu berdua memberi khabar gembira dan jangan melakukan sesuatu yang menjauhkan manusia dari kamu, permudahkanlah dan janganlah kamu menyulitkan sesuatu perkara)).(al-Bukhari & Muslim).

Bagaimana untuk menggembirakan sasaran dakwah kita dan membuatkan mereka minat dengan dakwah yang kita sampaikan? Dua etika yang boleh diamalkan, iaitu:

1) Berlembut di dalam percakapan dan mesra di dalam pergaulan.

Tiada lagi yang lebih jelas di dalam menerangkan etika ini selain daripada saranan Allah swt kepada dua orang rasulNya; Musa dan Harun yang diutuskan bagi menyampaikan dakwah kepada Fir ‘aun: ((Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, berbicaralah dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut)) (surah Taaha: 43-44).

Galakan daripada Rasulullah saw juga banyak, antaranya seperti yang disampaikan oleh A’isyah bahawa Baginda bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya Allah menyukai sikap lemah lembut di dalam semua perkara)) (al-Bukhari & Muslim)

2) Jadikan hadiah pengikat mahabbah.

Hadiah merupakan sesuatu yang dapat menjalin ikatan kasih sayang, kemesraan dan menjauhkan perasaan benci dan buruk di dalam sangkaan. Sebab itulah Nabi saw menyarankan: ((Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana ianya akan menyebabkan kamu saling berkasih sayang)) (al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad).

Nabi saw sendiri ketika peperangan Hunain telah menghadiahkan Safwan bin Umayyah seratus ekor unta, kemudian seratus ekor lagi, kemudian seratus ekor lagi. Lalu Safwan berkata: Demi Allah, Rasulullah saw telah memberikan (hadiah ini) kepadaku dan sesungguhnya dia dahulu adalah manusia yang paling aku benci –sebelum keislaman Safwan-, tidaklah dengan pemberiannya ini sehingga dia menjadi manusia yang paling aku kasihi” (Riwayat Muslim).

Bagaimana pula untuk menjadikan orang ramai tidak menjauhi dakwah kita? Beberapa etika ini perlu diberi perhatian:

1) Elakkan berdepan dengan mereka dengan cara yang tidak disukai; seperti menyebut kesalahan dan menyandarkan kesalahan tersebut kepada mereka atau menyebut nama-nama mereka yang melakukan kesalahan.

Nabi saw jika ingin menegur sesuatu kesalahan atau maksiat, Baginda tidak akan menyebut nama mereka yang melakukan kesalahan tersebut. Perhatikan perkataan yang dipilih dan digunakan oleh Nabi saw: ((Apa kena dengan salah seorang dari kamu yang berdiri mengadap tuhannya, lalu meludah ke arah hadapannya (semasa solat)? Apakah ada di antara kamu semua yang suka jika ada seseorang yang berdiri mengadapnya lalu diludah ke arah mukanya? Jika ada diantara kamu yang ingin meludah, maka hendaklah dia ludah ke arah kirinya ke bawah kaki…)) (al-Bukhari & Muslim)

2) Bersabarlah menghadapi kelemahan dan kesalahan yang ada pada diri mereka, dan jangan suka menghukum di dalam semua perkara.

3) Jauhkan setiap perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan sangka buruk terhadap dakwah, walau pun perkara tersebut adalah harus untuk dilakukan.

Ikutikah contoh hikmah yang ditunjukkan seperti yang diceritakan oleh ‘Aisyah, bahawa Rasulullah saw bertanya kepadanya: ((Apakah kamu tidak tahu yang kaummu telah membina semula ka’bah tidak di atas tapak yang dibina oleh Ibrahim? ‘Aisyah menjawab: Ya Rasulullah, apakah kamu tidak mahu kembalikannya semula di atas tapak yang dibina Ibrahim? Baginda saw menjawab: ((Kalaulah tidak disebabkan kaummu yang masih di atas kekufuran, akan aku lakukannya)) (al-Bukhari & Muslim).

Ibn Hajar berkata: “…melalui hadis ini dapat diambil pengajaran bahawa perlunya untuk meninggalkan perkara yang maslahah (mendatangkan kebaikan) dengan tujuan mengelakkan jatuh ke dalam mafsadah (perkara yang buruk), dan juga tinggalkan urusan mencegah kemungkaran, takut akan jatuh ke dalam kemungkiran yang lebih dahsyat”. (Fath al-Bari 1/225)

Kedua: Permudahkan (al-taysir) dan jangan menyulitkan (al-ta’sir)

Konsep al-taysir ini merupakan prinsip penting di dalam agama. Dalil-dalil al-Quran dan hadis yang mengajak ke arah prinsip ini disebut berulang-ulang kali. Antaranya firman Allah (bermaksud): ((Allah mengkehendaki dari kamu untuk melakukan perkara yang mudah, dan Dia tidak mahu dari kamu perkara yang menyusahkan)) (al-Baqarah: 185). Di dalam ayat yang lain: ((Allah tidak mentaklifkan ke atas setiap diri kecuali apa yang mampu diusahakannya)) (al-baqarah: 286).

Nabi saw juga bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya agama ini mudah)) (al-Bukhari). A’isyah menyatakan bahawa: ((Tidaklah Rasulullah saw diberi pilihan di antara dua perkara kecuali Baginda akan memilih yang paling mudah…)) (al-Bukhari & Muslim).

Muaz bin Jabal pernah ditegur oleh Nabi saw apabila beliau membaca surah al-Baqarah atau al-Nisa’ ketika menjadi imam, kerana ini menyusahkan keadaan makmum. Sabda Nabi saw kepada Muaz: ((Apakah kamu mahu menimbulkan fitnah (diulangi sebanyak 3 kali), Kenapa tidak kamu solat dan membaca surah al-‘A’la, al-Syam dan al-Lail, kerana yang sembahyang di belakang kamu itu ada yang tua, yang lemah dan yang mempunyai urusan masing-masing)) (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Ketiga: Mengkaji dan mengambil kira kesan daripada setiap tindakan.

Kaji terlebih dahulu baik dan buruk setiap tindakan atau ucapan sebelum melakukannya. Bukan semua perkara yang betul itu perlu disegerakan dan bukan semua perkara yang tidak penting boleh ditangguhkan. Semua aspek perlu diambil kira agar wujudnya kesinambungan dakwah. Jangan kerana semangat semata-mata, tapi tiada hikmahnya, akhirnya dakwah tidak ke mana.

Nabi saw telah menunjukkan contoh yang paling baik. Perhatikan beberapa contoh peristiwa berikut yang menggambarkan hikmahnya Baginda saw di dalam dakwah:

1) Nabi saw ketika dalam peringkat dakwah di Mekah –zaman permulaan Islam- menghalang sahabat-sahabatnya daripada bertindak balas dan berperang dengan kaum kafir Quraish walaupun mereka dihina, diseksa dan sehingga diisytiharkan pemboikotan ke atas mereka. Keputusan ini diambil kerana jumlah umat Islam waktu itu masih sedikit dan mereka tidak punyai kekuatan yang cukup. Keburukannya akan lebih besar jika mereka mengambil keputusan untuk membuat serangan balas.

2) Di dalam perjanjian Hudaibiyah, Nabi saw menerima semua syarat yang ditetapkan walaupun pada zahirnya syarat-syarat tersebut seperti menindas umat Islam. Tetapi dengan melihat kesannya, Nabi saw bersetuju. Benar sekali, kesannya jumlah yang masuk Islam semakin ramai selepas itu dan diakhiri dengan kejayaan “Pembukaan Kota Mekah”.

3) Nabi saw amat bersabar dengan tindakan yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul (ketua munafik di Madinah) yang telah menghasut orang Islam dan menimbulkan keraguan terhadap Islam. Boleh sahaja jika Nabi saw mengarahkan supaya dia dibunuh, tetapi memikirkan kesan buruknya yang lebih banyak, maka ia tidak dilakukan. Antara kesan buruk yang Nabi saw ingin elakkan ialah seperti sabda Baginda sendiri: ((…supaya orang ramai tidak bercakap-cakap yang Muhammad membunuh sahabatnya sendiri)) (al-Bukhari).

Keempat: Utamakan prioriti dan yang lebih penting dari yang penting.

Di dalam Islam, bukan semua perkara yang disuruh atau yang menjadi kewajipan itu berada di tahap yang sama. Begitu juga dengan perkara yang dilarang. Maka termasuk di dalam hikmah, seorang pendakwah itu perlu menyusun prioriti dan mengutamakan yang lebih penting dari yang penting, mengikut kesesuaian masa, tempat dan golongan sasarannya. Kaji terlebih dahulu yang manakah perkara: 1) yang penting dan perlu disegerakan, 2)yang penting tetapi tidak perlu disegerakan, 3)yang tidak penting tapi perlu disegerakan, 4)dan yang tidak penting dan tidak perlu disegerakan.

Pertama: Mulakan dengan perkara usul (prinsip) sebelum perkara furu’ (pecahan-pecahan). Maka di dalam Islam, tiada lagi yang lebih utama selain daripada aqidah dan tauhid. Lihat saja dakwah Nabi saw. Selama 13 tahun di Mekah, fokus yang diberikan ialah untuk menanamkan tauhid di dalam jiwa dan menafikan kesyirikan.

Kedua: Beri perhatian yang lebih kepada golongan-golongan penting yang jika golongan ini menerima dakwah kita, kesannya akan lebih besar dan cepat. Tetapi ia tidak bermaksud mengabaikan golongan-golongan biasa. Nabi saw di dalam dakwahnya telah memberikan perhatian yang lebih di dalam dakwahnya terhadap pemimpin-pemimpin kaum Quraish. Nabi saw juga telah berdoa semoga Allah menguatkan Islam dengan Umar al-Khattab atau dengan Abu Jahal bin Hisyam. Allah swt telah memilih Umar al-Khattab. Kenapa Nabi saw berdoa khusus untuk Umar al-Khattab dan Abu Jahal? Ini kerana kedua-duanya merupakan orang penting waktu itu dan jika mereka menerima Islam, kesannya amat hebat sekali. Perkara ini telah terbukti dengan Islamnya Umar al-Khattab.

Kelima: Raikan keadaan golongan sasaran.

Pertama: Kaji dan fahami keadaan semasa dan keadaan sekeliling golongan sasaran.

Bagaimanakah keadaan masyarakat di tempat tersebut. Apakah tahap pendidikan mereka, bagaimana keadaan ekonomi, apakah kecenderongan mereka, apakah masalah yang dihadapi di situ, apakah mazhab yang dianuti, apakah tempat/pusat ajaran yang menyelewang yang wujud di situ dan sebagainya. Ini semua perlu diketahui terlebih dahulu sebelum memulakan dakwah, kerana sudah pasti, lain padang lain juga belalangnya. Lain lubuk lain juga ikannya.

Jadi, pendekatan pendakwah dengan orang kampung tidak sama dengan pendekatan bersama orang-orang bandar. Begitu juga antara orang Islam dengan yang bukan Islam, golongan terpelajar dengan orang-orang biasa. Sebab itu Nabi saw semasa mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman telah menyebutkan ciri-ciri khusus golongan yang akan beliau dakwah. Sabda Nabi saw : ((Sesungguhnya kamu akan berhadapan dengan satu kaum daripada ahli kitab)) (al-Bukhari & Muslim).


Kedua: Raikan perbezaan, minat atau ciri-ciri istimewa setiap individu.

Perkara ini penting kerana ia merupakan “pintu masuk” untuk anda memulakan dakwah, terutamanya dalam dakwah fardiyah (dakwah terhadap individu tertentu). Contohi bagaimana Rasulullah saw telah meraikan ciri-ciri khusus yang ada pada raja Najran yang merupakan seorang Nasrani. Baginda saw telah menulis di dalam suratnya kepada raja tersebut: “Dengan nama Tuhan Ibrahim, Ishak dan Ya’qub daripada Muhammad, pesuruh Allah kepada raja Najran, Islamlah kamu?...)) (Sirah ibn Kathir, 2/310).

Ketiga: Fleksibel di dalam meraikan semua kehendak golongan sasaran dakwah dan menyampaikan dakwah secara berperingkat.

Tetapi ini semua dengan syarat tidak mengabaikan perkara-perkara usul dan rukun di dalam agama. Sebagai contohnya, ketika Basyir bin al-Khusasiyah mengikat janji dengan Islam, beliau meminta kebenaran daripada Nabi saw supaya dia tidak dikenakan kewajipan zakat dan berjihad. Nabi saw menjawab: ((Kalau tidak ada zakat dan jihad, maka dengan apa kamu ingin masuk syurga…)) (Imam Ahmad dan al-Hakim, disahihkan dan dipersetujui oleh al-Zahabiy).

Manakala ketika datang rombongan dari Thaqif datang berjumpa Nabi saw untuk berbai’ah dengan Islam, mereka juga meminta supaya tidak dikenakan zakat dan jihad. Maka Nabi saw menerima permintaan mereka ini. Kemudian, selepas dari itu, Nabi saw menerangkan (kepada sahabat) tentang pendiriannya itu: ((Mereka akan mengeluarkan zakat dan berjihad apabila mereka telah Islam)). (Abu Daud).

Demikianlah sebahagian daripada etika-etika dan prinsip penting yang perlu diberikan perhatian oleh setiap pendakwah supaya dakwahnya memenuhi maksud dan tuntutan al-hikmah. Kadang-kadang manusia bukan tidak mahu menerima yang benar itu sebagai kebenaran, tetapi mereka tidak bersetuju bagaimana kebenaran itu disampaikan. Oleh itu, muhasabah semula dakwah kita selama ini. Semoga konsep al-hikmah ini menjadi salah satu resipi kejayaan dakwah kita.


7 Rabi’ al-Awal 1428,

5.40 pm,

Mekah.

Tuesday, August 28, 2007

LAWATAN SHEIKH SALIM HILALI KE KUALA LUMPUR

LAWATAN SHEIKH SALIM HILALI KE KUALA LUMPUR

Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia diamanahkan oleh Pejabat Mufti Perlis untuk menjadi tuan rumah kepada Sheikh Salim Eid Muhammad Hilali (Sila Lihat Biografi) mulai 2 September hingga 6 September 2007. Beliau yang akan tiba pada 27 Ogos 2007 atas jemputan Sahibus Samahah Mufti Perlis terlibat dalam beberapa program di Pulau Pinang dan Perlis sehingga 1 September.

Program yang telah disusun untuk Sheikh Salim Eid Muhammad Hilali adalah seperti berikut:


Sept

Hari

Waktu

Program

Tempat


2

Ahad

8.30 pagi – 12.30 tengahari

Ceramah Perdana

KGPA


5.00 – 6.30 petang

Taaruf dengan Al-Nidaa

Pejabat Al-Nidaa’


8.00 – 10.00 malam

Wacana di Al-Nidaa’

Pejabat Al-Nidaa’


3

Isnin

8.30 pagi – 12.30 tengahari

Daurah

Akademi Al-Nidaa’


Petang

Bebas



8.00 – 10.00 malam

Al-Khadeem

Kayu Ara


4

Selasa

8.30 pagi – 12.30 tengahari

Daurah

Akademi Al-Nidaa’


3.30 – 5.00 petang

Universiti Malaya

Lembah Pantai


8.00 – 10.00 malam

UIA, Metrik

Petaling Jaya


5

Rabu

8.30 pagi – 12.30 tengahari

Daurah

Akademi Al-Nidaa’


3.30 – 5.00 petang

UKM

Bangi


8.00 – 10.00 malam

UIAM

Gombak


6

Khamis

Pagi

Bebas



Petang

Bebas



11.59 malam

Pulang ke Amman


Untuk menyertai program ini, sila hubungi:

1. Ustaz Fadlan bin Mohd Othman - 019-2233754

2. Ustaz Shapizan bin Johari - 012-3708078

3. Ustaz Anzaruddin bin Ahmad - 012-3808579


BIOGRAFI SINGKAT SYAIKH SALIM BIN 'IED AL HILALI

(Dipetik dari http://www.al-aisar.com/index.php/content/view/46/35)

Tempat dan Kelahiran :


Beliau di lahirkan di Kota Al Khaleel (Hebron) Palestin pada tahun 1377 H/1957 M.

Pendidikan:


Beliau menyelesaikan studinya dalam jurusan ‘Ilmu hadith’


Latar belakang Beliau :


Beliau menimba ilmu daripada Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani–Rahimulloh-dan menemani beliau hampir selama 25 tahun. Beliau juga bertemu dan menimba ilmu daripada beberapa ulama Hadith di India, Pakistan dan Hijaz (Arab Saudi–red) yang kemudian beliau menerima ijazah sebagai perawi/periwayat hadith dari guru-guru tersebut dan diperbolehkan mengajar dan meriwatkannya. Diantara guru-guru beliau dalam belajar ilmu hadith adalah Shaikh Badee' Ar-Raashidee (Muhaddith dari Sind), Shaikh Muhibb-ud-Deen Ar-Raashidee, Shaikh ' Abd-Ul-Ghafaar Hasan, Shaikh Muhammad ' Abdah Al-Falaah, Shaikh ' Ataa-Ulaah Haneef (Muhaddith dari Punjab) dan Shaikh Hammaad Al-Ansaaree (Muhaddith dari Madeenah).


Peranan Beliau dalam Dakwah :

Beliau aktif dalam menyerukan dakwah kepada manhaj Salaf. Beliau mungkin adalah salah satu ulama salafi cukup terkenal di negara-negara Barat (Eropah dan Amerika) karena beliau rutin mengadakan perjalanan untuk berdakwah ke Negeri Barat untuk mengunjungi dan menghadiri undangan pertemuan dan konferensi Islam, program serta seminar terutama di Inggeris dan Amerika Syarikat. Beliau juga mengajar dan memberi kuliah di Jordan, sehingga banyak sekali rakaman kaset pelajaran yang beliau sampaikan baik dalam Bahasa Arab atau diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris .

Buku karangan Beliau :

Beliau termasuk ulama yang produktif dalam berdakwah melalui karya tulisan mencapai hampir 100 karya tulis ,diantaranya:

1. Bahjat-un-Naadhireen Sharh Riyaad As-Saaliheen (3 Jilid) [Penjelas/Syarh Riyaadh As-Saaliheen, tersedia di www.al-aisar.com]


2. Mawsoo'at-ul-Manaahee ash-Shara'iyyah fee Saheeh As-Sunnat-in- Nabawiyyah (4 Jilid)


3. Kifaayat-ul-Hafadha Sharh Muqaddimat-ul-Mooqidhah [Buku yang menjelaskan tentang terminology dalam Ilmu Hadits]


4. Limaadha Akhtartu al-Manhaj as-Salafee [Mengapa Memilih Manhaj Salaf, kitab terjemahan tersedia di www.al-aisar.com]


5. Basaa’ir Dhiwee Sharaf [Buku yang menjelaskan beberapa prinsip Manhaj Salaf]

6. Mu’alifaat Sa’eed Hawaa [Buku kritikan terhadap buku-buku Sa’id Hawwa]

7. Al-Jamaa’aat al-islaamiyyah [buku terjemahannya “ jama’ah-jama’ah Islam Ditimbang menurut Al Qur’an dan As Sunnah, dapatkan di www.al- aisar.com]
[Buku ini beliau tulis ketika masih berusia 25 tahun ]


8. Al-Qaabidoon ‘alaal-Jamr [Memegang Sunnah – bagai memegang bara api]


9. Madaarij al-‘Uboodiyyah


10. Toobaa Lil-Ghurabaa [Kumpulan hadits yang berkaitan dengan golongan Al Ghurabaa


11. As-Sabr [Kesabaran]


12. Maqaami’ ash-Shaytaan [Jalan-jalan untuk mencegah Syaithon]


13. Halaawat-ul-Eemaan [manisntya Iman]


14. Qisat Ka’ab Ibn Maalik [Kisah hadist Ka’ab Ibn Maalik]


15. Al-Qawl-ul-Mubeen fee Jamaa’at-ul-Muslimeen [Pembahasan tentang siapakah jamaah muslimin]


16. Ar-Riyaa [Riya]


17. Al-Hayaa


18. Makaarim al-Akhlaaq [Akhlak Terpuji]

Selain sibuk dalam beberapa jabatan pekerjaan Syaikh Salim juga aktif memberikan catatan kaki, meneliti dan menilai derajat hadith (tahqiq, takhrij dan ta’liq) dari beberapa kitab ulama salaf, diantaranya :

1. Al-Waabil as-Sayyib karya f Ibn Al-Qayyim


2. Al-‘Itisaam karya As-Shaatibee (2 jilid)


3. Blind Following of the Madh-habs of Al-Ma’soomee


4. Al-Adhkaar karya Imam An-Nawawee (2 jilid), telah diterjemahkan “Shahih dan Dhaif kitab Al Adzkar” lihat di www.al-aisar.com


5. ‘Uddat-us-Saabireen Karya Ibn Al-Qayyim


6. Jaami’-ul-‘Uloom wal-Hikam Karya Ibn Rajab


Beliau juga aktif menulis artikel yang berkaitan dengan Tauhid, Aqidah dan Manhaj di beberapa majalah Islam dan jurnal. Beliau juga merupakan salah satu pendiri majalah Islami bermanhaj Salaf yang terbit di Jordan, yakni majalah Al Ashaalah dan menjabat sebagai pemimpin editor. Beliau Juga sebagai salah satu pendiri dan menjabat sebagai direktur Markaz Al Albani di Jordan, sebagai institusi pendidikan Islam bermanhaj Salaf, yang juga sering mengadakan beberapa program dan seminar.

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد:

فإنه تتشرف جمعية النداء الخيرية الماليزية بدعوة الإخوة والأخوات الكرام إلى حضور الدروس العلمية والمحاضرات الإرشادية لفضيلة الشيخ سليم بن عيد الهلالي حفظه الله تعالى ، والتي ستقام بإذن الله تعالى حسب الجدول التالي:

اليوم والتاريخ

8:30-10:00

10:30-12:30

3:30-5:00

5:00-6:30

8:00-10:00

الأحد

2/9/2007

محاضرة علمية (برنامج بإشراف لجنة الحديث دار الإفتاء برليس)

- KGPA

كوالا لمبور

تابع

استراحة

تعارف خاص مع أعضاء جمعية النداء

- جمعية النداء الخيرية TTDI

مذاكرة علمية

- جمعية النداء الخيرية TTDI

الإثنين

3/9/2007

لماذا اخترت المنهج السلفي

- AKADEMI AL-NIDAA’

كوالا لمبور

فرائد وفوائد في مصطلح الحديث

- AKADEMI AL-NIDAA’

كوالا لمبور

استراحة

استراحة

محاضرة علمية

- جمعية الخادم الخيرية SUNGAI KAYU ARA

الثلاثاء

4/9/2007

الألباني الذي عرفته

- AKADEMI AL-NIDAA’

كوالا لمبور

تزكية

- AKADEMI AL-NIDAA’

كوالا لمبور

مذاكرة علمية (لقاء مع قسم القرآن والسنة، جامعة مالايا)

- جامعة ملايا KUALA LUMPUR

استراحة

الشباب في مواجهة الشهوات والشبهات

- الجامعة الإسلامية العالمية PETALING JAYA

الأربعاء

5/9/2007

منهج السلف في الخلاف

- AKADEMI AL-NIDAA’

كوالا لمبور

لقاء مفتوح

- AKADEMI AL-NIDAA’

كوالا لمبور

مذاكرة علمية (لقاء مع قسم القرآن والسنة، الجامعة الوطنية الماليزية)

- الجامعة الوطنية الماليزية BANGI

استراحة

دور الشباب في نهضة الأمة

- الجامعة الإسلامية العالمية GOMBAK

فإن كان لديكم استفسار فتفضلوا بالاتصال بالأخوة:

باللغة الماليزية - الشيخ زين الدين (0122820244)

باللغة العربية - الأخ فضلان (0192233754)

- الأخ شفيزان (0123708078)

- الأخ أنظار الدين (0123808579)

هذا ونرجو من الإخوة أن ينتهزوا الفرصة الذهبية بالحضور في هذه المجالس العلمية الإيمانية آملين لكم التوفيق والسداد. وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وإخوانه والتابعين بإحسان إلى يوم الدين.

مع تحيات إخوانكم في جمعية النداء الخيرية الماليزية.

TTDI KUALA LUMPUR

Thursday, August 23, 2007

Nisfu Atau Nafsu Sya'aban ???



Assalamualikum WBT. Bulan sya'ban dah nak sampai pertengahannya.

Apa ada dengan pertengahan sya'ban? Apa ada dengan nisfu sya'ban?

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)

Akan tetapi hadith di atas tidak mengajar apa-apa amalan khusus di malam atau siang Nisfu Sya'ban! Dari mana asalnya? Siapa pula nabi yang mendapat wahyu yang mengajar kita tentang ibadah-ibadah yang tak di ajar oleh Nabi Muhammad SAW penutup segala rasul ini.

Ulas Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka."
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Sudahlah mennyebarkan bid'ah, kita lalai, lupa sehingga menjadi tali barut penipu dan pendusta dengan menipu masyarakat menggunakan nama Rasul. Ibadah yang tak pernah di ajar Nabi SAW dikatakan di ajar oleh Rasulullah SAW.

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka)

Ustaz Asri Zainul Abidin menyebutkan:

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat barat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. ialah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya. Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya. Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. samada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ianya disebut sebagai al-hadith. Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah:

“Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi `Ulum al-Hadith, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)

Apakah modal-modal atau hadiith-hadith palsu yang dijadikan hujah untuk menipu masyarakat ini dan secara tak langsung mengkhianati agama wahyu yang telah sempurna ini?

a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban

Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:

- Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar))..

Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

- Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).

Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.

- Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)).

Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.

Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.

Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)).

(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya:

((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).

Beliau menambah lagi:

((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti:

((Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)). (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)


b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya’ban.

Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi:

((Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).

(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)


Untuk apa kita sibuk-sibuk beramal dengan yang tidak sunnah sedangkan berapa banyak sunnah yang kita abaikan. Bahkan berapa ramai daripada kita meremehkan sunnah-sunnah ada, walaupun sudah mengetahui tentang nya. Lihatlah apa jadi dengan sunnah solat menghadap ke sutrah. Bid’ah nisfu sya’ban lebih popular dengan sunnah yang makin dilupakan ini, bahkan dipandang pelik orang yang sibuk-sibuk mencari dinding atau objek untuk dijadikan sutrah. Berapa ramai daripada kita yang mengamalkan bersiwak waktu nak solat, waktu nak baca al-Quran? Berapa ramai daripada kita bila mendengar azan akan berselawat? Berapa ramai daripada kita yang mengamalkan doa-doa dan zikir-zikir yang Nabi SAW ajar? Lihatlah, bid’ah semakin membiak dan sunnah semakin pupus.

Wassalam.

Rujukan:

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=7

http://yapis.blogspot.com/2005/09/nisfu-syaban-hentikan-penyebaran-hadis.html